Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة٠ مشاهدة

Amalan Yang Boleh Dilakukan Perempuan Haidh Di Bulan Ramadhan

الجواب

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam disebabkan keistimewaannya yang banyak. Antara keistimewaan itu ialah pahala ketaatan dan kebaikan yang dilakukan diberi ganjaran berlipat ganda. Keistimewaan yang ditunggu-tunggu itu juga, terdapatnya satu malam istimewa di antara sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan itu yang disebut sebagai malam lailatul-qadr.

Pada bulan ini, umat Islam diwajibkan berpuasa dan disunatkan meningkatkan amal salih bagi mendapat ganjaran pahala seperti memperbanyakkan membaca al- Qur’an, memperbanyakkan zikir dan ibadat-ibadat sunat yang lain.

Khusus bagi perempuan haidh pula, walaupun ibadat puasa tidak dapat dilaksanakan disebabkan keuzuran tersebut, akan tetapi banyak amalan lain yang boleh dilakukan bagi memperoleh ganjaran pahala. Antaranya:

1. Menjauhi perkara-perkara larangan agama.

Menjauhi perkara-perkara yang dilarang itu adalah wajib dan dituntut kepada semua orang Islam. Bagi sesiapa yang melaksanakan ibadat puasa jika perkara-perkara yang dilarang dilakukan juga, maka sia-sia pahala orang yang berpuasa walaupun puasanya sah.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta (bahkan) mengamalkannya, maka Allah tidak berkehendak untuk dia meninggalkan makan dan minumnya (Allah tidak memandang dan tidak menerima puasanya). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Puasa tidak hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bahkan menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh puasa itu menegah pendengaran, penglihatan, lidah, tangan dan kaki serta anggota-anggota lain daripada melakukan perbuatan dosa.

Tuntutan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang syara‘, tidak hanya dituntut ke atas orang yang berpuasa sahaja, bahkan juga ke atas orang yang tidak berpuasa kerana meninggalkan larangan syara‘ adalah wajib, bahkan dituntut pada setiap waktu. Maka yang sedemikian, tidak terkecuali bagi perempuan yang haidh. Antaranya:

a. Menahan pandangan daripada memandang perkara-perkara yang dilarang syara‘ serta memandang kepada perkara-perkara yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

b. Menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata tidak berfaedah, dusta, mengumpat, memfitnah, berkata keji, bertelagah dan sebagainya serta melazimkan untuk berdiam diri dan membasahkan lidah dengan berzikir kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

c. Mencegah pendengaran daripada mendengar perkara-perkara maksiat. Ini kerana setiap apa yang haram untuk dikatakan, haram juga untuk didengar.

d. Mencegah anggota-anggota yang lain seperti tangan, kaki dan sebagainya daripada melakukan perkara-perkara yang dibenci syara‘.

2. Memperbanyakkan zikir dan do‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Orang yang berpuasa disunatkan memperbanyakkan membaca al-Qur’an dan meneliti serta memahami isi kandungannya sebagaimana yang dilakukan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pada setiap malam bulan Ramadhan.

Manakala bagi perempuan haidh adalah ditegah memegang dan membaca al- Qur’an. Walau bagaimanapun dia boleh melalukannya di dalam hati dengan tidak melafazkannya dan dia boleh melihat Mushhâf dengan tidak memegangnya.

Dalam perkara ini, para ulama sepakat bahawa perempuan yang haidh dibolehkan berzikir sama ada secara hati, lidah atau dengan kedua-duanya sebagaimana dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Adzkâr, beliau menyebut:

Ertinya: Ulama sepakat mengharuskan zikir dengan hati dan lidah bagi orang yang berhadats, orang junub, perempuan haidh dan nifâs. Zikir-zikir yang boleh diamalkan sepanjang hari bulan Ramadhan, antaranya: a. Bertahmîd iaitu membaca ertinya: Segala puji-pujian bagi Allah. b. Bertakbîr iaitu membaca ertinya: Allah Maha Besar. c. Bertasbîh iaitu membaca ertinya: Maha suci Allah. d. Hauqalah iaitu membaca ertinya: Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Mulia. e. Bertahlîl iaitu membaca ertinya: Tiada Tuhan Selain Allah. f. Selain itu, digalakkan untuk menjadikan istighfâr sebagai zikir amalan di bulan Ramadhan, bahkan setiap hari sebagaimana yang diamalkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Baginda bersabda:

Maksudnya: Dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali. (Hadits riwayat Muslim) g. Memperbanyakkan berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. h. Memperbanyak do‘a kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan hamba-hambaNya supaya sentiasa berdo‘a serta beribadat kepadaNya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai Aku maka (katakan kepada mereka): “Aku sentiasa hampir (kepada mereka). Aku memperkenankan permohonan orang-orang yang berdo‘a apabila dia berdo‘a kepadaKu.” (Surah al-Baqarah: 186)

Timbul persoalan, bolehkah perempuan haidh berzikir dan berdo‘a dengan ayat-ayat al-Qur’an?

Adapun do‘a-do‘a daripada ayat-ayat al-Qur’an seperti do‘a ditimpa musibah, do‘a menaiki kenderaan atau do‘a-do‘a lain yang biasa dijadikan amalan adalah dibolehkan bagi perempuan yang haidh jika tidak dimaksudkan membaca al- Qur’an, sama ada dia membaca sebagai zikir atau tiada maksud apa-apa.

Mengenai perkara ini, Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam menyebut: “Jika dia sedang mendengar atau ditimpa musibah, lalu membaca ayat yang sunat dibaca ketika itu dengan niat zikir adalah harus, atau mendengar bunyi guruh, lalu membaca ayat yang sunat dibaca ketika itu dengan niat zikir adalah harus. Begitu juga ketika menaiki kenderaan membaca ayat yang sunat dibaca ketika itu dan semasa berdo‘a membaca ayat yang berbunyi do‘a dengan niat bukan membaca al-Qur’an adalah harus. Begitulah halnya dalam mana-mana sempena atau munasabah yang disunatkan membaca ayat al-Qur’an yang mana orang yang haidh juga disunatkan membacanya, tetapi dengan tidak mengqashadkannya sebagai al-Qur’an.”

Selain itu, setiap perkara ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga terkandung di dalamnya fadhilat berzikir. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut bahawa fadhilat yang ada dalam amalan zikir tidak terbatas pada ucapan tasbîh, tahlîl, tahmîd, takbîr dan yang seumpamanya. Setiap amal atau perbuatan yang dilakukan kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ demi mentaatiNya, maka ia juga disebut zikir kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Inilah yang dikatakan oleh Said bin Jabir Radhiallâhu ‘anhu dan ulama-ulama yang lainnya sebagaimana yang disebut di dalam kitab al-Adzkâr.

3. Memperbanyakkan sedekah.

Bersedekah merupakan amalan mulia yang boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun ia lebih dituntut di bulan Ramadhan. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri merupakan contoh seorang yang paling pemurah dan sifat pemurahnya itu semakin bertambah-tambah ketika di bulan Ramadhan.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam merupakan manusia yang paling pemurah. Baginda itu lebih pemurah lagi dalam bulan Ramadhan ketika Baginda didatangi oleh Jibril ‘Alaihissalâm (kerana Baginda sangat berbesar hati dengan pengutusan Jibril ‘Alaihissalâm untuk bertemu dengan Baginda dan kerana kesan bertadârus al-Qur’an dengan Jibril ‘Alaihissalâm). Adapun Jibril ‘Alaihissalâm mendatangi Baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan lalu (Jibril ‘Alaihissalâm) mengajarkan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam al-Qur’an (mentasmî‘ dan meneliti bacaan Baginda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam). Maka apabila Jibril mendatanginya, sememangnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu sangat pemurah dengan kebaikan lebih daripada angin yang bertiup. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim) Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh ketika mensyarahkan hadits ini, maksud “sangat pemurah dengan kebaikan lebih daripada angin yang bertiup” itu ialah betapa pantas dan ringannya tangan Baginda menghulurkan pemberian serta tidak putusnya limpahan kebajikan yang disalurkan Baginda kepada siapa sahaja tanpa pilih kasih.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, hadits ini merupakan seruan serta anjuran kepada umat Islam supaya menanamkan sifat pemurah dan sentiasa mengamalkan sifat pemurah itu pada setiap waktu, dan sunat meningkatkan sifat pemurah tersebut dalam bulan suci Ramadhan sebagai mencontohi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Amalan sedekah yang boleh dilakukan di bulan Ramadhan, antaranya bersedekah kepada golongan fakir miskin, anak-anak yatim atau orang-orang yang memerlukan. Sebagai contoh bersedekah bantuan berupa makanan bagi keperluan berbuka dan yang seumpamanya.

4. Memperbanyak melakukan kebaikan kepada keluarga, kaum kerabat bahkan jiran tetangga, lebih-lebih lagi pada malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Antaranya menyediakan juadah berbuka untuk mereka.

Menyebut mengenai penyediaan juadah ini, dibawakan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhanni Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa memberi makan atau minum orang yang berpuasa (berbuka), maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa, tanpa mengurangkan apa-apapun pahala orang yang berpuasa itu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Dalam pada itu, perempuan yang haidh juga boleh mengisi bulan Ramadhan dengan membaca hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, mendalami ilmu-ilmu agama serta menghadiri majlis-majlis zikir yang membicarakan hal-hal berkaitan agama. Dalam kitab al-Adzkâr menyebut bahawa majlis zikir menurut ‘Atha Rahimahullâh adalah majlis mengenai hukum halal dan haram, yang mana membahas kaifiyyah menjual dan membeli, bersembahyang, berpuasa, bernikah, bercerai, menunaikan haji dan yang seumpamanya.

Selain perkara-perkara yang disebut di atas, ada banyak lagi amal-amal salih yang boleh dilakukan bagi perempuan yang haidh ketika di bulan Ramadhan bagi mendapatkan pahala berlipat ganda di bulan yang mulia ini.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10087

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص