Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Kiraan Fidyah Puasa Berganda

الجواب

Kiraan fidyah puasa sama ada berganda ataupun tidak masih lagi menjadi kekeliruan bagi sebahagian orang. Pada dasarnya fidyah puasa akan berganda jika puasa yang ditinggalkannya itu tidak diqadha’ setelah datangnya Ramadhan yang baharu tahun demi tahun. Namun ada kalanya fidyah tersebut tidak berganda walaupun masih belum diqadha’ setelah datang Ramadhan tahun berikutnya disebabkan keuzuran yang ditentukan oleh syara‘.

Maka untuk lebih jelas, dihuraikan dengan lebih lanjut lagi keadaan-keadaan fidyah puasa yang berganda dan tidak berganda itu.

Maksud dan Kadar Fidyah Puasa

Fidyah bermaksud denda atau tebusan yang dikenakan kepada orang Islam yang melakukan beberapa kesalahan tertentu dalam ibadat. Ia juga merujuk kepada menebus ibadat dengan memberi sedekah kepada fakir miskin berupa makanan yang mengenyangkan.

Fidyah puasa pula ialah memberi makan fakir miskin sebanyak satu mudd (cupak) beras atau apa-apa jua bijiran yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Bagi Negara Brunei Darussalam, makanan asasi majoriti penduduknya adalah beras wangi, beras Siam dan terdapat juga penduduk yang memakan beras “kabun” (beras tempatan) sebagai makanan asasi.

Dalam al-Qur’an Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Iaitu beberapa hari yang tertentu. Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka, jika dia berbuka) maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Tetapi sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada membayar fidyah), jika kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah: 184)

Menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa kewajiban membayar fidyah sebagaimana dijelaskan ayat di atas adalah ke atas orang yang membebankan dirinya untuk menunaikan ibadat puasa, walhal dia tidak terdaya menunaikannya, lalu dia pun berbuka dan diwajibkan ke atasnya membayar fidyah. Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullâh:

Maksudnya: Orang yang sangat tua di kalangan lelaki dan perempuan, kedua-duanya tidak berdaya untuk berpuasa, maka hendaklah kedua-duanya memberi makan orang miskin setiap hari sebagai ganti. (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, kadar fidyah puasa bagi 1 hari puasa yang ditinggalkan ialah sebanyak satu mudd (cupak) beras atau apa-apa juga bijiran yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri. Kadar satu mudd itu adalah bersamaan dengan 15 tahil atau kira-kira 567 gram.

Menurut mazhab asy-Syafi‘i, fidyah tidak sah dikeluarkan dengan nilai harga atau wang. Namun demikian, sebagai irsyâd adalah dibolehkan bertaqlîd dengan mazhab Hanafi bagi sesiapa yang hendak membayar fidyahnya dengan nilaian harga atau wang. Harga atau wang untuk gantian satu mudd bersamaan dengan 567 gram bagi satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan ialah $0.71 sen bagi beras wangi dan $0.48 sen bagi beras Siam.

Sebagai contoh, kadar fidyah puasa bagi 3 hari puasa yang ditinggalkan ialah sebanyak 1,701 gram iaitu dengan mendarab bilangan hari puasa yang ditinggalkan dengan kadar satu mudd bersamaan 567 gram. Oleh itu, jumlah bayaran fidyah 3 hari puasa iaitu 3 mudd (1,701 gram) ialah $2.13 sen bagi beras wangi dan $1.44 sen bagi beras Siam.

Untuk lebih jelas berikut adalah kiraan gandaan yang disebutkan:

puasa yang ditinggalka n

Kadar fidyah Harga Beras Wangi Harga Beras Siam

1 hari 567 gram $0.71 sen $0.48 sen 3 hari 567 gram x 3 hari = 1,701 gram

$0.71 sen x 3 = $2.13 sen

$0.48 sen x 3 = $1.44 sen

Kiraan Fidyah Puasa Berganda

Fidyah dalam ibadat puasa diwajibkan kepada golongan-golongan berikut:

1. Orang yang melengah-lengahkan qadha’ puasa sehingga datang bulan Ramadhan yang baru. 2. Orang yang tidak terdaya mengerjakan puasa kerana sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh. 3. Perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak yang berbuka kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya jika dia berpuasa.

Kewajiban membayar fidyah puasa ini boleh menjadi berganda kerana sebab-sebab tertentu, namun ada kalanya juga tidak berganda. Untuk lebih jelas disebutkan satu persatu seperti berikut:

a. Orang yang melengahkan qadha’ puasa.

Fidyah puasa bagi orang yang belum mengqadha’ puasanya akan berganda setiap tahun apabila datang puasa Ramadhan pada tahun-tahun berikutnya selagi puasa yang ditinggalkannya itu belum diqadha’.

Jika seseorang itu meninggalkan puasa sebanyak 1 hari pada bulan Ramadhan tahun 1439H, dan dia masih tidak mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu sehingga datang bulan Ramadhan tahun 1441H sedangkan dia berdaya mengqadha’nya, maka dia wajib membayar fidyah puasa tersebut sebanyak 2 kali ganda kerana puasa tersebut tidak diqadha’ selama 2 tahun. Contohnya:

Ramadha n Tahun

puasa yang ditinggalka n

Fidyah puasa berganda

Jumlah bayaran fidyah puasa

1439H 1 hari - -

1440H (Belum diqadha’)

1 hari x 1 tahun = 1 mudd

567 gram x 1 = 567 gram (Belum dibayar)

1441H (Belum diqadha’)

1 hari x 2 tahun = 2 mudd (Berganda kerana terkumpul 2 tahun)

567 gram x 2 = 1,134 gram

Dalam contoh di atas, iaitu bagi orang yang meninggalkan puasa sebanyak 1 hari pada bulan Ramadhan tahun 1439H dan masih belum mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu sehingga datang bulan Ramadhan tahun 1441H, jika dia telah membayar fidyah puasa bagi gandaan tahun 1440H sedangkan dia masih belum mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya pada tahun 1439H, maka dia hanya wajib membayar fidyah puasa bagi tahun 1441H sahaja. Contohnya:

Ramadha n Tahun

puasa yang ditinggalka n

Fidyah puasa berganda

Jumlah bayaran Fidyah puasa

1439H 1 hari - -

1440H (Belum diqadha’)

1 hari x 1 tahun = 1 mudd

567 gram x 1 = 567 gram (Sudah dibayar)

1441H (Belum diqadha’)

1 hari x 1 tahun = 1 mudd (Tidak berganda kerana fidyah tahun 1440H telah dibayar)

567 gram x 1 = 567 gram

Begitulah juga halnya jika dia ada meninggalkan 1 hari puasa pada tahun 1439H, 1 hari puasa pada tahun 1440H dan 1 hari puasa pada tahun 1441H, dan dia belum juga mengqadha’ puasanya yang ditinggalkan setiap tahun itu sehingga datang Ramadhan tahun 1442H, maka setiap hari tersebut masing-masing mempunyai gandaan mengikut berapa tahun ia tidak diqadha’. Contohnya:

Ramadhan Tahun

Puasa yang ditinggalkan

Fidyah puasa berganda sehingga tahun 1442H

Jumlah bayaran Fidyah puasa

Jumlah bayaran fidyah puasa terkumpul

1439H 1 hari

1 hari x 3 tahun = 3 mudd (Gandaan fidyah puasa sehari bagi tahun 1439H)

567 gram x 3 = 1,701 gram

1,701 gram + 1,134 gram + 567 gram = 3,402 gram (Jumlah fidyah puasa yang dibayar pada bulan Ramadhan tahun 1442H)

1440H 1 hari

1 hari x 2 tahun = 2 mudd (Gandaan fidyah puasa sehari bagi tahun 1440H)

567 gram x 2 = 1,134 gram

1441H 1 hari

1 hari x 1 tahun = 1 mudd (Gandaan fidyah puasa sehari bagi tahun 1441H)

567 gram x 1 = 567 gram

Begitulah kiraan gandaan fidyah puasa yang ditinggalkan 1 hari pada tahun 1439H, 1 hari pada tahun 1440H dan 1 hari pada tahun 1441H apabila dibayar pada Ramadhan tahun 1442H.

b. Orang yang tidak terdaya mengerjakan puasa kerana sangat tua atau orang sakit yang tiada harapan sembuh.

Orang sangat tua yang susah untuk berpuasa atau orang sakit yang tiada harapan sembuh tidak diwajibkan untuk melaksanakan puasa, namun mereka itu diwajibkan membayar fidyah bagi menggantikan hari-hari puasa yang ditinggalkannya sebagaimana disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar wajib membayar (fidyah) satu mudd ke atas orang yang berbuka disebabkan lanjut usia (sangat tua).

Dalam pada itu Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ menjelaskan bahawa selain orang yang sangat tua termasuklah juga dalam keadaan ini orang sakit yang tiada harapan sembuh yang susah baginya berpuasa.

Malah jika dia merasa mampu dan berdaya untuk berpuasa juga selepas dia berbuka, tidak diwajibkan baginya mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya. Imam asy-Syarwani Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:

Ertinya: Dan sekiranya dia merasa mampu dan berdaya untuk berpuasa selepas (dia berbuka), tidak dibebankan (diwajibkan) baginya mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya (walaupun kewajiban fidyah masih kekal di bawah tanggungannya).

Dalam perkara fidyah puasanya, apabila orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh itu melambat-lambatkan membayar fidyahnya sehingga datang bulan Ramadhan pada tahun berikutnya, dalam keadaan ini tidaklah dikenakan apa-apa ke atasnya iaitu tidak berganda fidyahnya. Perkara ini juga disebutkan oleh Imam asy-Syarwani Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Dan jikalau mengakhirkan (pembayaran fidyah puasa) iaitu umpamanya orang tua (yang dikenakan membayar fidyah melambat-lambatkan melaksanakan pembayaran fidyahnya) daripada tahun pertama maka tidaklah dibebankan apa-apa (ke atasnya) kerana melambat-lambatkan (membayar fidyah puasa itu).

Ini bermakna dia (orang yang sangat tua yang susah untuk berpuasa dan orang sakit yang tiada harapan sembuh) hanya diwajibkan membayar fidyah puasa yang ditinggalkannya tanpa mengqadha’ puasa tersebut. Oleh itu, jika dia merasa susah untuk melaksanakan puasa Ramadhan sebulan pada tahun 1439H dan berterusan keadaannya selama 3 tahun sehingga Ramadhan tahun 1441H, maka fidyah puasa yang ditinggalkan selama 3 tahun itu tidaklah berganda disebabkan keuzurannya itu. Maka bayaran fidyahnya selama 3 tahun itu adalah seperti berikut:

Ramadhan Tahun

Puasa yang ditinggalkan

Fidyah puasa berganda sehingga tahun 1441H

bayaran Fidyah puasa

Jumlah bayaran fidyah puasa terkumpul

1439H 30 hari

Tidak berganda

567 gram x 30

17,010 gram 17,010 gram + 17,010 gram + 17,010 gram = 51,030 gram1440H 30 hari 567 gram x 30 = 17,010 gram 1441H 30 hari 567 gram x 30 = 17,010 gram

Walaupun orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh hanya diwajibkan membayar fidyah sahaja, tetapi mereka tidak harus menyegerakan membayar fidyah tersebut sebelum masuk bulan Ramadhan, seperti menyegerakan membayar untuk dua hari atau lebih bagi puasa yang akan ditinggalkannya atau membayar tiga puluh mudd untuk tiga puluh hari puasa yang akan ditinggalkannya sebelum masuk bulan Ramadhan berkenaan. Namun harus membayar fidyah tersebut selepas fajar setiap hari di bulan Ramadhan dan harus membayarnya juga sebelum fajar setiap hari berpuasa iaitu pada malamnya.

Malah jika mereka menghadapi kesusahan sehingga tidak sanggup membayar fidyah berkenaan maka gugurlah kewajiban membayar fidyah tersebut berdasarkan pendapat al-ashah.

c. Perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak.

Terdapat dua keadaan bagi perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan dalam perkara mengqadha’ puasa ataupun membayar fidyah. Dua keadaan tersebut ialah:

i. Wajib mengqadha’ puasa sahaja.

Jika perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada dirinya, maka dia hanya diwajibkan mengqadha’ sejumlah puasa yang ditinggalkannya itu sahaja pada hari-hari lain dan tidak dikenakan fidyah.

Begitu juga jika dia berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat ke atas dirinya dan juga anaknya, maka dia diwajibkan mengqadha’ puasa sahaja dan tidak dikenakan fidyah.

ii. Wajib mengqadha’ puasa dan membayar fidyah.

Jika perempuan hamil berbuka kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya sahaja umpamanya jika dia berpuasa kandungannya akan gugur atau jika berpuasa perempuan yang menyusukan itu takut anaknya pasti kehausan kerana air susu yang tidak mencukupi atau susu akan kering, maka dia diwajibkan mengqadha’ puasa itu sebagai hak bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas dirinya dan membayar fidyah disebabkan berbuka untuk orang lain (anaknya).

Diriwayatkan dalam sebuah hadits bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ telah ditanya mengenai kedudukan puasa seorang perempuan hamil yang takut mendatangkan mudharat kepada anaknya. Lalu beliau berkata:

Maksudnya: Berbukalah dan berilah makan orang miskin satu cupak gandum sebagai ganti setiap hari (yang dia berbuka). (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Kedua-dua keadaan ini (perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak) diwajibkan mengqadha’ puasa jika meninggalkannya. Maka jika puasa yang ditinggalkannya itu tidak diqadha’ sehingga datang Ramadhan tahun berikutnya maka dia dikenakan membayar fidyah. Fidyah itu juga akan berganda tahun demi tahun selagi puasa tersebut belum diqadha’nya. Perkiraan gandaan fidyah puasa kerana melengahkan qadha’ puasa sehingga datang Ramadhan tahun berikutnya telah diterangkan sebelum ini.

Selain itu, bagi perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak yang berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya, dia perlu menambah lagi kadar bayaran fidyah 1 mudd bagi sehari puasa ditinggalkannya itu disebabkan berbuka untuk orang lain (anaknya) di samping fidyah puasa yang belum diqadha’nya.

Maka untuk lebih jelas, bagi perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak yang berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya, dibawakan contoh keadaan jika dia tidak mengqadha’ puasa sehari sehingga berlalu 3 tahun, iaitu dari tahun 1439H hingga 1442H, seperti berikut:

Ramadhan Tahun

puasa yang ditinggalkan

Jumlah fidyah kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya

Fidyah puasa berganda

bayaran fidyah puasa

Jumlah bayaran fidyah puasa terkumpul

1439H 1 hari 1 mudd - 1 mudd = 567 gram

4 mudd = 2,268 gram

1440H -

Belum dibayar dan tidak berganda

1 hari x 3 tahun = 3 mudd (Berganda kerana terkumpul 3 tahun)

567 gram x

= 1,701 gram

1441H -

1442H -

Adapun dalam keadaan tertentu ada kalanya seorang perempuan itu menghadapi keuzuran yang berterusan kerana setelah dia hamil dan dalam tempoh menyusukan anaknya dia hamil lagi sehingga tidak sempat untuk mengqadha’ puasanya itu. Maka dalam perkara ini, tidaklah diwajibkan ke atasnya gandaan fidyah kerana perbuatannya melambatkan qadha’ puasa itu sebagaimana diwajibkan gandaan fidyah ke atas orang yang berkesempatan atau berupaya untuk mengqadha’ puasa tetapi tidak melakukannya.

Dalam perkara ini, Imam Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyebutkan:

Ertinya: Maka jika seseorang itu tidak dapat mengqadha’ (puasa Ramadhan) kerana berterusan keuzurannya seperti berterusan dalam pelayaran, berterusan sakit, berterusan hamil dan menyusukan anak sehingga datang Ramadhan (pada tahun berikutnya) maka tidaklah dikenakan fidyah ke atasnya dengan sebab penangguhan ini.

Sebagai contoh, bagi perempuan yang menghadapi keuzuran kerana berterusan hamil setiap tahun selama 3 tahun, apabila dia meninggalkan 1 hari puasa pada tahun 1439H, 1 hari puasa pada tahun 1440H dan 1 hari puasa pada tahun 1441H disebabkan keuzuran tersebut, maka kiraan fidyahnya adalah seperti berikut:

Ramadha n Tahun

puasa yang ditinggalka n

Fidyah kerana takut mendatang kan mudarat kepada anaknya

Fidyah puasa bergand a

bayaran fidyah puasa

bayaran fidyah puasa terkumpul

1439H 1 hari 1 mudd - 1 mudd = 567 gram

3 mudd = 1,701 gram

1440H 1 hari 1 mudd Tidak berganda kerana keuzuran yang berterusa n

1 mudd = 567 gram

1441H 1 hari 1 mudd 1 mudd = 567 gram

1442H - - -

Akan tetapi walaupun dalam keuzuran, dia tetap wajib membayar fidyah sekiranya dia berbuka kerana takut mendatangkan mudharat kepada anaknya. Menurut mazhab asy-Syafi‘i, kewajiban qadha’ puasa yang ditinggalkannya itu masih tetap tertanggung ke atasnya sehingga ia dilaksanakan.

Meninggal Dunia Sebelum Sempat Mengqadha’ Puasa atau Membayar Fidyah.

Jika lambat mengqadha’ puasa disebabkan keuzuran berterusan yang dibenarkan syara‘ sehingga dia meninggal dunia seperti berterusan sakit, dalam pelayaran, pitam, haidh, nifâs, hamil, menyusukan anak dan seumpamanya, maka dia tidak berdosa bahkan tidak diwajibkan warisnya mengqadha’ puasa mahupun membayar fidyah daripada harta peninggalannya.

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu lambat mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya (sama ada kerana keuzuran ataupun tidak), sedang dia berupaya untuk melakukannya dan dia ada meninggalkan harta, maka adalah wajib ke atas wali atau waris untuk melakukan sama ada dengan mengqadha’ puasa atau membayar fidyah. Namun membayar fidyah puasa adalah lebih afdhal.

Jika orang yang mati itu tidak ada meninggalkan harta, maka tidaklah wajib ke atas wali atau waris berpuasa atau membayar fidyah. Walau bagaimanapun jika dilakukan juga hukumnya harus bahkan sunat bagi wali atau waris berpuasa dan membayar fidyah bagi pihak si mati.

Akan tetapi, jika seseorang yang diwajibkan berpuasa (tanpa keuzuran pula) dia tidak berpuasa dan tidak mengqadha’nya sehingga datang Ramadhan tahun berikutnya kemudian dia meninggal dunia, maka wajib atasnya dua mudd daripada harta peninggalannya iaitu satu mudd bagi puasa yang ditinggalkannya dan satu mudd lagi bagi puasa yang tidak diqadha’nya sehingga datang Ramadhan berikutnya.

Contohnya, seseorang tidak berpuasa sehari pada tahun 1439H dan puasa tersebut tidak diqadha’nya tanpa sebarang keuzuran sehingga datang Ramadhan tahun 1440H, kemudian dia meninggal dunia. Maka wajib atasnya membayar fidyah 2 mudd iaitu sebanyak 1,134 gram daripada harta peninggalannya.

Ramadha n Tahun

puasa yang ditinggalka n

Fidyah puasa kerana meninggalkan puasa

Fidyah puasa berganda

bayaran Fidyah puasa

1439H 1 hari

1 mudd (Ganti sehari puasa yang ditinggalkannya 2 mudd = 1,134 gram

1440H (Belum diqadha’)

1 hari x 1 tahun = 1 mudd (Fidyah puasa sehari yang belum diqadha’ kerana melewatkan qadha’ tanpa keuzuran sehingga meninggal dunia)

Begitulah huraian mengenai kiraan gandaan fidyah bagi puasa yang belum diqadha’ sehingga datang Ramadhan yang baru tahun demi tahun. Apa yang jelas ialah ada kalanya fidyah puasa itu berganda dan ada kalanya juga fidyah puasa itu tidak berganda disebabkan keuzuran. Antara contoh keadaaan fidyah puasa tidak berganda disebabkan keuzuran itu ialah orang sangat tua yang susah untuk berpuasa, orang sakit yang tiada harapan sembuh dan perempuan yang hamil dan menyusukan anak secara berterusan sebagaimana disebutkan sebelum ini.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10095

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص