Berkorban Dengan Binatang Yang Mempunyai Earmark Atau Ear Tag
الجواب
Salah satu syarat sah ibadat korban ialah binatang yang dijadikan korban itu hendaklah selamat daripada kecacatan atau aib termasuk kecacatan atau aib yang mengurangkan daging atau bahagian selain daging yang boleh dimakan daripada binatang tersebut. Kerana itu, antara perkara yang dianggap sebagai cacat atau aib ialah terpotong atau putus telinga binatang yang hendak dikorbankan itu walaupun sedikit atau binatang tersebut tidak bertelinga semenjak lahir, kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan.
Mengenai perkara tersebut, timbul persoalan tentang kedudukan binatang ternakan yang mempunyai earmark atau ear tag (tanda pada telinga) untuk dijadikan binatang korban. Ini kerana dalam proses penandaan tersebut secara praktikal, penggunaan peralatan kacip telinga digunakan untuk menindik (melubangi) telinga binatang sebelum meletakkan alat penanda padanya. Proses ini disebut sebagai ear marking atau ear tagging. Rata-rata syarikat penternakan binatang secara global menjalankan proses penandaan di bahagian telinga binatang-binatang ternakan mereka sebagai alternatif pengenalpastian atau pengesanan binatang tersebut dan bagi lain-lain keperluan yang membantu memudahkan dan melancarkan para penternak dalam urusan kerja mereka.
Di sini akan dijelaskan mengenai kedudukan binatang ternakan yang ditindik telinganya untuk diberi penandaan dan dijadikan sebagai binatang korban. Adakah ia sah dijadikan korban atau sebaliknya? Hukum Berkorban dengan Binatang yang Terpotong atau Koyak Telinganya
Dalam kitab Mughnî al-Muhtâj, al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh mensyarah perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh, katanya:
Ertinya: [Dan] tidak (memadai yakni tidak sah berkorban dengan) [binatang yang terpotong sebahagian telinganya] walaupun (bahagian telinga) yang terpotong itu sedikit kerana hilang bahagian yang boleh dimakan.
Berdasarkan huraian di atas, jelas bahawa binatang yang telinganya terpotong kesemuanya atau terpotong sebahagiannya walaupun sedikit dan bahagian yang terpotong itu terpisah daripada telinganya, adalah tidak harus dijadikan binatang korban. Kecacatan ini mengurangkan dagingnya kerana sebahagian anggota yang boleh dimakan telah hilang disebabkan terpotong dan terpisah daripada telinganya.
Walau bagaimanapun sekiranya bahagian terpotong itu tidak terpisah daripada telinga binatang tersebut, seperti daging telinga koyak di bahagian tepi telinga dan daging tersebut masih bersambung dengan telinganya dalam keadaan tergantung, maka binatang tersebut harus dijadikan binatang korban akan tetapi hukumnya adalah makruh.
Dalam kitab al-Majmû‘, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan:
Ertinya: Tidak harus (untuk dijadikan binatang korban) binatang yang terpotong (semua) telinganya. Jika terpotong (atau koyak) sebahagiannya, hendaklah diperhatikan, jika tidak terpisah daripadanya (telinga itu) sesuatu (daging) bahkan (hanya) terpotong atau koyak tepinya dan (daging yang koyak itu) masih kekal (bersambung kepada telinga) dalam keadaan tergantung, maka ia tidak dilarang (harus dijadikan binatang korban) menurut pendapat yang lebih shahîh daripada dua pendapat yang dikemukakan. Dan jika terpisah (daging telinganya) maka jika ia banyak dengan dinisbahkan kepada telinga itu, maka ia dilarang tanpa sebarang khilâf, jika (yang terpisah itu) hanya sedikit sahaja maka ia dilarang juga pada pendapat yang lebih shahîh daripada dua pendapat kerana hilangnya bahagian yang boleh dimakan.
Berbalik kepada binatang yang menjalani proses ear marking atau ear tagging ini, sekiranya daging telinga binatang tersebut terpotong atau koyak dan daging tersebut masih tergantung, maka binatang tersebut harus dijadikan binatang korban akan tetapi hukumnya adalah makruh sebagaimana penjelasan di atas. Namun jika dilihat pada kebiasaan praktik melakukannya, kaedah penandaan dengan cara sedemikian mengakibatkan bahagian daripada telinga binatang terpotong dan terpisah daripadanya. Maka yang sedemikian itu jelas bahawa binatang tersebut mempunyai kecacatan dan keaiban yang menyebabkannya tidak sah untuk dijadikan binatang korban.
Bagaimanakah Jika Sukar Mendapatkan Binatang Korban yang Sempurna Telinganya?
Sebagaimana yang dijelaskan di atas, tidak sah dijadikan korban binatang yang terpotong atau koyak telinganya sehingga terpisah daripadanya kerana hilang bahagian yang boleh dimakan.
Walau bagaimanapun dalam keadaan sekiranya seseorang itu telah berusaha bersungguh-sungguh namun sukar mendapatkan binatang yang sempurna telinganya daripada kecacatan atau keaiban, maka menurut al-Qadhi Husain Rahimahullâh salah seorang ulama mazhab asy-Syafi‘i bahawa harus berkorban dengan binatang yang terpotong bahagian telinganya disebabkan keuzuran (kesusahan untuk) mengadakan binatang yang sempurna telinganya. Perkara ini disebut oleh as-Sayyid ‘Abdurrahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Rahimahullâh dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn.
Dengan demikian, fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam menyebut bahawa hukum binatang yang telah menjalani proses ear marking atau ear tagging adalah harus dijadikan korban dengan syarat pihak yang diamanahkan untuk mengurus dan mendatangkan binatang yang akan dijadikan korban hendaklah terlebih dahulu berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan binatang-binatang yang sempurna telinganya daripada cacat atau aib. Sekiranya binatang yang selamat daripada kecacatan atau keaiban tersebut tidak mencukupi kuantiti atau jumlah yang diperlukan atau sukar mendapatkan binatang yang selamat daripada cacat atau aib sedemikian, maka bolehlah dicukupkan dengan binatang yang telah menjalani proses ear marking atau ear tagging untuk dijadikan korban.
Jelasnya, tidak sah berkorban dengan binatang yang mempunyai kecacatan dan keaiban yang boleh mengurangkan daging atau bahagian yang boleh dimakan daripada binatang tersebut. Bahagian telinga binatang juga tidak terkecuali daripada syarat selamat daripada cacat dan aib sebagaimana yang ditentukan syara‘. Bagaimanapun, jika berlaku kesukaran kepada pihak pengurus untuk mengadakan atau mendapatkan binatang yang sempurna telinganya daripada cacat dan aib setelah berusaha bersungguh-sungguh mencarinya, maka harus berkorban dengan binatang yang terpotong atau terkoyak bahagian telinganya yang terpisah itu.
KADAR DAGING KORBAN YANG WAJIB DISEDEKAHKAN
Ibadat korban merupakan ibadat yang dilakukan setiap tahun oleh umat Islam pada Hari Raya Adha (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari tasyrîq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, selain meraih fadhilat yang amat banyak sebagaimana disebutkan dalam beberapa buah hadits iaitu seperti menambah amal kebajikan, penebus dosa dan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Sementara itu, bagi orang fakir dan miskin, ibadat korban ini adalah suatu yang sangat menggembirakan kerana ia merupakan peluang mereka meraih rezeki melalui agihan-agihan daging ibadat korban yang dilakukan oleh umat Islam.
Dalam konteks melakukan ibadat korban, sememangnya kita tidak terlepas daripada memberikan daging korban itu kepada orang fakir dan miskin kerana mereka adalah orang yang wajib menerima agihan daging korban tersebut, sama ada ibadat korban wajib mahupun ibadat korban sunat. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berikanlah (sebahagian yang lain) untuk dimakan oleh orang yang susah lagi fakir. (Surah al-Hajj: 28) Dari itu, selaku orang yang wajib menerima agihan daging ibadat korban, berapakah kadar daging yang wajib diagihkan kepada mereka itu?
Kadar Daging Korban yang Wajib Diberikan Kepada Orang Fakir atau Miskin
Kadar daging yang wajib diagih-agihkan kepada fakir dan miskin itu tertakluk pada hukum korban itu sama ada ia korban wajib atau pun korban sunat. Ini kerana terdapat perbezaan hukum dalam perkara pengagihan daging korban wajib dan daging korban sunat kepada fakir dan miskin. Namun apa yang jelas, orang fakir dan miskin tetap mempunyai hak terhadap daging korban dalam kedua-dua ibadat korban wajib dan sunat itu.
Berikut diterangkan mengenai kadar daging yang wajib diberikan kepada golongan fakir dan miskin sama ada daripada korban wajib atau korban sunat serta hukum-hakam yang berkaitan dengannya:
1. Bahagian fakir dan miskin dalam korban wajib.
Jika sembelihan binatang korban itu sebagai korban wajib seperti korban nazar, maka daging tersebut wajib disedekahkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam.
Haram bagi orang yang berkorban wajib itu dan orang-orang yang di bawah tanggunggannya memakan daging tersebut. Jika dimakannya daging itu, wajib dia mengganti kadar daging yang dimakannya dan kemudian disedekahkannya kepada orang fakir dan miskin, tetapi tidak wajib dia menyembelih semula binatang yang lain sebagai ganti. Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menjelaskan:
Ertinya: Dan korban wajib itu tidak harus baginya (orang yang berkorban wajib itu) memakan daripadanya, jika dia memakan daripadanya (daging korban wajib itu) sesuatu (bahagian), hendaklah membayar dengan gantinya.
2. Bahagian fakir dan miskin dalam korban sunat.
Jika sembelihan binatang korban itu sebagai korban sunat, maka menurut pendapat yang ashah (lebih shahîh) adalah wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin sebahagian daripada daging korban sunat tersebut sebagaimana kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Dan pada pendapat yang ashah, wajib menyedekahkan sebahagiannya (daripada daging korban sunat).
Adapun kadar minima yang wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin itu, al- Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh ketika menjelaskan kata-kata Imam an- Nawawi Rahimahullâh berkenaan ‘sebahagian daripada daging korban sunat’ itu berkata:
Ertinya: [Dan menurut pendapat yang ashah, wajib menyedekahkan sebahagiannya (daripada daging korban sunat)] walaupun pada kadar yang sedikit daripada dagingnya sekira-kira ia boleh dinamakan sebagai sedekah (kerana kuantitinya yang mencukupi) kepada orang-orang fakir.
Imam al-Qalyubi Rahimahullâh juga ada menjelaskan:
Ertinya: Dan menurut pendapat yang ashah, wajib menyedekahkan sebahagiannya (daripada daging korban sunat itu) walaupun pada (nilai) modal yang terendah.
Ini bermakna kuantiti daging tersebut hendaklah yang mempunyai nilai walaupun nilainya itu nilai yang terendah kerana kuantiti daging yang tidak bernilai itu tidaklah memadai untuk diberikan kepada seorang fakir atau seorang miskin. Perkara ini disebutkan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh:
Ertinya: Benar, (kadar yang sedikit daripada daging itu) menunjukkan bahawa tidak memadai dengan (maksud) sedikit itu (kuantiti daging) yang sangat tidak berharga (tidak bernilai).
Manakala Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh ketika membahaskan kata-kata Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas memberikan panduan dalam menyedekahkan daging korban pada kadar minima itu dengan berkata:
Ertinya: Maka hendaklah baginya (daging pada kadar sedikit itu) mempunyai suatu hasil secara keseluruhannya (ada nilai yang boleh diperjualbelikan daging pada kadar yang sedikit itu) seperti (menyedekahkan daging korban pada timbangan) satu rithl.
Menurut Ustadz Doktor ‘Ali Jum‘ah Hafizhahullâh dalam kitab beliau al- Makâyîl wa al-Mawâzîn asy-Syar‘iyyah, kiraan satu rithl itu (berdasarkan rithl al-‘Iraqi atau rithl al-Baghdadi) adalah bersamaan dengan kira-kira 382.5 gram.
Maka berdasarkan keterangan ulama di atas, dapatlah difahami bahawa daging korban sunat yang wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin itu hendaklah terdiri daripada daging yang mempunyai nilai seperti kadar timbangan daging 382.5 gram. Malah adalah lebih baik jika melebihi daripada kadar timbangan tersebut sebagaimana yang dipraktikkan di negara kita Brunei Darussalam, amalan masyarakat Brunei menyedekahkan daging binatang korban kepada fakir dan miskin adalah sebanyak 1 kilogram/1000 gram ataupun ½ kilogram/500 gram.
Selain itu, sunat hukumnya bagi orang yang berkorban sunat itu menyedekahkan sebanyak kadar sepertiga daripada daging korban sunat berkenaan kepada fakir dan miskin. Malah afdhal atau lebih utama disedekahkan kesemuanya, kecuali sedikit sahaja diambilnya untuk dimakan iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya. Ini kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan menjauhkan diri daripada sifat mementingkan diri sendiri.
Jika seseorang itu memakan kesemua daging korban sunatnya dan tidak disedekahkan kepada fakir dan miskin walau sedikit pun, maka wajib didapatkan atau dibeli daging-daging yang lain mengikut kadar yang wajib disedekahkan sebagai ganti meskipun sah korban sunatnya itu.
Jelasnya, hak fakir dan miskin pada daging korban wajib mahu pun korban sunat itu tetap ada dan perlu diambil perhatian oleh orang yang berkorban.
Perlu diingatkan juga bahawa daging korban yang wajib disedekahkan kepada orang fakir dan miskin itu wajib disedekahkan dalam keadaan mentah lagi basah dan tidak memadai jika daging tersebut dimasak kemudian dipanggil orang-orang fakir dan miskin untuk memakannya kerana hak bagi fakir dan miskin adalah memilikinya dan bukan memakannya atau memilikinya dalam keadaan sudah dimasak.
Demikian juga, menyedekahkan bahagian-bahagian binatang korban seperti kulit, hati, perut dan lemak sahaja tanpa dagingnya adalah tidak memadai kerana bahagian-bahagian tersebut tidak dinamakan sebagai daging.
Begitulah penjelasan mengenai kadar daging yang wajib disedekahkan kepada fakir atau miskin dan beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Apa yang jelas ialah kadar minima daging korban sunat yang wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin itu walaupun memadai dalam kadar yang sedikit tetapi hendaklah ia berharga dan memenuhi kriteria sedekah dan persyaratan yang ditetapkan dalam ibadat korban.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10135
دليل الألوان
