Istilâm Ketika Thawaf
الجواب
Dalam melaksanakan ibadah thawaf, terdapat beberapa perkara yang diwajibkan sama ada berbentuk syarat mahupun rukun. Ini bermakna tidak sah thawaf jika perkara-perkara yang diwajibkan itu tidak dilakukan. Di samping perkara yang diwajibkan, terdapat juga perkara-perkara yang disunatkan ketika melaksanakan thawaf. Antaranya ialah sunat hukumnya ke atas orang yang melaksanakan thawaf melakukan istilâm ketika thawaf, iaitu istilâm Hajar al-Aswad dan istilâm Rukun Yamani. Sementara dua lagi rukun iaitu Rukun ‘Iraqi dan Rukun Syami (dua penjuru yang terletak di sisi Hijr Isma‘il) tidak disunatkan melakukan istilâm.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak melakukan istilâm pada bahagian Ka‘bah selain Hajar al-Aswad dan Rukun Yamani sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau menyebutkan:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak melakukan istilâm melainkan (pada) al-Hajar (Hajar al-Aswad) dan Rukun Yamani. (Hadits riwayat Muslim)
Maksud Istilâm
Istilâm itu ialah (perbuatan) menyentuh dengan tangan. Tuntutan sunat melakukan istilâm (menyentuh) itu adalah bagi lelaki. Sementara bagi perempuan atau khuntsâ tidak disunatkan melakukan istilâm (menyentuh) dan mengucup Hajar al-Aswad serta untuk mendekati Ka‘bah kecuali dalam keadaan kawasan berdekatan Hajar al-Aswad itu tidak sesak atau lengang daripada jemaah lelaki yang menunaikan thawaf.
Lengang yang dimaksudkan dalam konteks ini adalah keadaan lengang yang selamat daripada dihampiri dan dipandang oleh lelaki bukan mahram apabila seorang perempuan itu melakukan istilâm, mengucup dan meletakkan dahi di Hajar al-Aswad atau keadaan yang menghalang daripada bersesak-sesak yang membawa kepada perkara sedemikian.
Cara Melakukan Istilâm
Istilâm sunat dilakukan di setiap pusingan thawaf sama ada istilâm Hajar al-Aswad atau istilâm Rukun Yamani. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak meninggalkan istilâm Rukun Yamani dan Hajar al-Aswad pada setiap pusingan (thawaf). (Hadits riwayat Abu Daud)
Disunatkan melakukan istilâm Hajar al-Aswad dan istilâm Rukun Yamani apabila berada berdampingan dengan kedua-duanya pada setiap pusingan daripada tujuh pusingan thawaf.
Berikut penjelasan mengenai istilâm Hajar al-Aswad dan Rukun Yamani:
1. Istilâm Hajar al-Aswad.
Istilâm Hajar al-Aswad merupakan antara perkara sunat dalam ibadat thawaf. Menurut jumhûr ulama mazhab asy-Syafi‘i, yang dimaksudkan dengan melakukan istilâm Hajar al-Aswad itu adalah terbatas pada batu Hajar al-Aswad itu sendiri, tidak termasuk penjuru Ka‘bah yang terletak padanya batu tersebut. Orang yang menunaikan thawaf, disunatkan ke atasnya untuk melakukan istilâm Hajar al- Aswad di permulaan setiap pusingan thawaf. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika Baginda tiba di Makkah, (Baginda melakukan) istilâm Hajar al-Aswad (di) permulaan thawaf, (Baginda) mempercepat langkah (pada) tiga pusingan (pertama) thawaf daripada tujuh (pusingan). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Disunatkan ke atas orang yang hendak menunaikan thawaf untuk menghadapkan mukanya ke arah Hajar al-Aswad dan melakukan istilâm iaitu dengan menyentuh Hajar al-Aswad menggunakan tangan, lalu mengucupnya dengan mulut. Istilâm sunat dilakukan dengan tangan kanan sebagaimana disebutkan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Dan yang keduanya (hendaklah istilâm Hajar al-Aswad selepas menghadapkan (mukanya); iaitu menyentuhnya dengan tangannya (di permulaan thawafnya) dan disunatkan (menyentuh dengan) tangan kanannya serta (disunatkan mengucupnya) sebagai ittibâ‘ (mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam).
Disunatkan ketika melakukan istilâm di permulaan thawaf, bahkan di setiap kali pusingan thawaf dengan mengucap:
Tuntutan sunat memulakan istilâm dengan mengucap takbîr itu berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menunaikan thawaf di Ka‘bah di atas unta, bilamana Baginda mendatangi (Hajar al-Aswad), Baginda memberi isyarat kepadanya dengan sesuatu yang ada di sisi Baginda (istilâm) dan bertakbîr (Hadits riwayat al-Bukhari)
Kemudian sunat membaca do‘a ini:
Ertinya: Ya Allah! Dalam keadaan beriman kepadaMu, membenarkan kitabMu, menepati janjiMu dan mengikuti sunnah NabiMu Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Membaca takbîr dan do‘a di atas dengan suara perlahan adalah sunat kerana ia lebih mendatangkan kekhusyû‘an. Walau bagaimanapun sunat membacanya dengan suara nyaring apabila bertujuan untuk mengajarkannya kepada seseorang selagi tidak menyakiti orang lain.
Sementara itu, mengucup Hajar al-Aswad pula sunat dilakukan dengan meringankannya iaitu mengucup Hajar al-Aswad tanpa membunyikan suara kucupan tersebut. Selain itu, disunatkan juga membersihkan mulut daripada bau yang tidak enak.
Setelah melakukan istilâm dan mengucup Hajar al-Aswad, disunatkan meletakkan dahi di atas Hajar al-Aswad sekalipun berlapik. Akan tetapi meletakkan dahi tanpa berlapik adalah perbuatan yang lebih sempurna.
Disunatkan mengulang perbuatan (istilâm, mengucup dan meletak dahi di atas Hajar al-Aswad) tersebut sebanyak tiga kali. Iaitu afdhal melakukan istilâm sebanyak tiga kali berturut-turut, kemudian mengucup sebanyak tiga kali berturut-turut dan meletakkan dahi juga sebanyak tiga kali berturut-turut. Jika tidak boleh untuk mengulang sebanyak tiga kali, maka lakukan sekadar yang boleh.
Perlu diingat, sungguhpun disunatkan melakukan istilâm Hajar al-Aswad dan mengucup Hajar al-Aswad ketika thawaf, perbuatan bersesak-sesak untuk mengucup Hajar al-Aswad adalah dilarang bahkan haram hukumnya jika menyakiti orang lain ataupun menyakiti diri sendiri. Dalam perkara ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah melarang Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu daripada bersesak-sesak terhadap Hajar al-Aswad sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Wahai ‘Umar, sesungguhnya engkau seorang lelaki yang kuat dan gagah, janganlah engkau bersesak-sesak ke atas Hajar al-Aswad, lalu (sehingga) engkau menyakiti orang yang lemah, melainkan jika engkau mendapati keadaan lengang, maka lakukanlah istilâm terhadapnya (Hajar al-Aswad) dan jika tidak, maka hadaplah ia (Hajar al-Aswad) lalu mengucap tahlîl dan takbîr. (Hadits riwayat Ahmad)
Dalam keadaan yang tidak membolehkan untuk mengucup dan meletakkan dahi di atas Hajar al-Aswad, umpamanya disebabkan keadaan yang penuh sesak, maka boleh dia melakukan istilâm sahaja iaitu menyentuhnya dengan tangan. Jika tidak mampu dengan tangan kanan, lakukan dengan tangan kiri dan kemudian mengucup tangan tersebut. Jika tidak mampu dengan kedua-dua tangannya, maka lakukan istilâm itu dengan alat seperti tongkat atau yang seumpamanya lalu mengucup tongkat atau alat tersebut.
Jika tidak mampu melakukan istilâm iaitu menyentuhnya dengan tangan atau selainnya, maka istilâm boleh dilakukan dengan isyarat, iaitu memberi isyarat menggunakan tangan atau sesuatu di tangan lalu mengucup tangan atau sesuatu yang digunakan untuk istilâm tersebut. Sebaliknya tidak disunatkan untuk melakukan istilâm dengan isyarat mengucup menggunakan mulut kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak pernah melakukan perbuatan demikian.
Secara ringkasnya, melakukan istilâm Hajar al-Aswad ketika thawaf adalah seperti berikut:
a) Istilâm dengan menyentuh Hajar al-Aswad serta mampu mengucup dan meletak dahi di atasnya.
i. Mengucap dan membaca do‘a sebanyak tiga kali.
ii. Melakukan istilâm dengan menyentuh Hajar al-Aswad menggunakan tangan kanan sebanyak tiga kali. iii. Mengucup Hajar al-Aswad sebanyak tiga kali. iv. Meletakkan dahi di atas Hajar al-Aswad sebanyak tiga kali.
b) Istilâm dengan menyentuh Hajar al-Aswad serta tidak mampu mengucup dan meletak dahi di atasnya.
i. Mengucap dan membaca do‘a sebanyak tiga kali. ii. Melakukan istilâm dengan menyentuh Hajar al-Aswad menggunakan tangan kanan atau alat seperti tongkat sebanyak tiga kali. iii. Mengucup tangan atau alat yang digunakan untuk istilâm sebanyak tiga kali.
c) Istilâm dengan memberi isyarat tangan.
i. Mengucap dan membaca do‘a sebanyak tiga kali. ii. Melakukan istilâm dengan memberi isyarat tangan kanan sebanyak tiga kali. iii. Mengucup tangan sebanyak tiga kali.
2. Istilâm Rukun Yamani.
Disunatkan ke atas orang yang menunaikan thawaf untuk melakukan istilâm Rukun Yamani pada setiap pusingan thawaf dengan menyentuhnya menggunakan tangan kanan. Sekiranya tidak mampu, maka istilâm dilakukan dengan tangan kiri. Kemudian jika tidak mampu, maka istilâm dilakukan dengan sesuatu yang ada di tangan kanan dan jika tidak mampu juga maka barulah dengan sesuatu yang ada di tangan kiri.
Tidak disunatkan mengucup Rukun Yamani, akan tetapi disunatkan untuk mengucup tangan atau sesuatu yang dilakukan istilâm dengannya setelah selesai melakukan istilâm.
Sebagaimana juga istilâm Hajar al-Aswad, jika tidak mampu menyentuh dengan tangan atau selainnya, maka istilâm dilakukan dengan isyarat iaitu memberi isyarat menggunakan tangan atau dengan sesuatu di tangan sebagaimana urutan seperti di atas dan kemudian mengucup tangan atau sesuatu yang digunakan untuk istilâm tersebut.
Disunatkan juga mengulang setiap perbuatan yang dianjurkan di atas sebanyak tiga kali.
Sebagai kesimpulan berdasarkan penjelasan di atas, istilâm Hajar al-Aswad dan Rukun Yamani merupakan perkara yang disunatkan ketika thawaf namun tidak disunatkan ke atas perempuan dan khuntsâ kecuali dalam keadaan tidak bersesak dengan jemaah lelaki yang bukan mahram. Istilâm dilakukan dengan menyentuh menggunakan tangan. Jika keadaan tidak membolehkan untuk berbuat demikian, maka istilâm dilakukan dengan menggunakan alat seperti tongkat, kemudian jika tidak boleh, istilâm dilakukan dengan isyarat tangan.
Oleh yang demikian, dalam keadaan sesak atau tidak memungkinkan untuk melakukan istilâm Hajar al-Aswad dan Rukun Yamani iaitu dengan menyentuhnya menggunakan tangan dan tidak juga memungkinkan untuk mengucup dan meletakkan dahi di atas Hajar al-Aswad, maka adalah lebih selamat melakukan tuntutan sunat istilâm itu menggunakan isyarat tangan sahaja agar tidak berlaku perkara yang haram disebabkan perbuatan bersesak-sesak sehingga menyakiti orang lain atau diri sendiri.
Ganjaran pahala sunat tetap akan diperoleh sekalipun dengan melakukan istilâm menggunakan isyarat tangan dan perbuatan yang demikian ini juga merupakan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10131
دليل الألوان
