Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية٠ مشاهدة

Membayar Lebih Daripada Jumlah Hutang

الجواب

Islam menetapkan garis panduan berhutang selaras dengan tuntutan syara‘ supaya tidak berlaku padanya riba. Riba boleh sahaja berlaku dalam berhutang seperti pemiutang mensyaratkan kepada penghutang untuk membayar lebih daripada jumlah pinjaman. Umpamanya dia berkata: “Aku pinjamkan awak seratus ringgit tetapi awak mesti membayar seratus sepuluh ringgit”. Maka lebihan jumlah sepuluh ringgit itu adalah riba. Ini jelas sebagaimana atsar daripada Imam Malik Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Sesungguhnya telah sampai kepadanya (Imam Malik Rahimahullâh) bahawa seorang laki-laki datang menemui ‘Abdullah bin ‘Umar, lalu dia berkata: “Wahai Abu ‘Abdurrahman! Sesungguhnya aku telah menghutangkan kepada seseorang dengan satu hutang. Dan aku mensyaratkan kepadanya supaya melebihkan bayarannya daripada jumlah yang telah aku hutangkan kepadanya”. Maka ‘Abdullah bin ‘Umar pun berkata: “Yang demikian itu adalah riba.” (Atsar riwayat Malik)

Akan tetapi, bagaimana jika bayaran lebihan itu tidak disyaratkan oleh pemiutang di dalam ‘aqad pinjaman malah ia diberikan secara ikhlas oleh penghutang, umpamanya dia berkata ketika membayar hutangnya: “Ini hutangku seratus ringgit dan lebihnya sepuluh ringgit adalah ikhlas daripadaku”. Adakah bayaran lebihan seperti ini dikira riba? Oleh itu, dihuraikan kedudukan hukum bayaran hutang yang dilebihkan.

Hukum Membayar Lebih Daripada Jumlah Hutang

Menolong seseorang dalam memberikan pinjaman kewangan merupakan salah satu amalan yang baik dan berkebajikan. Ini bertepatan dengan suruhan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ agar saling tolong-menolong pada perkara yang berkebajikan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Maka sebarang pertolongan pinjaman kewangan daripada ahli keluarga mahupun sahabat-sahabat sudah sepatutnya dihargai kerana ia bukan sahaja dipandang sebagai satu pertolongan tetapi juga satu pengorbanan. Sebab itu ada antara penghutang menghargai pertolongan tersebut dengan melebihkan jumlah bayaran daripada pinjamannya dengan kerelaan hati penghutang. Perbuatan sebegini tidaklah salah bahkan ia adalah dibolehkan dalam syara‘ selagi bayaran lebihan itu tidak disyaratkan dalam ‘aqad pinjaman.

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyebutkan dalam kitabnya al-Majmû‘ bahawa membayar hutang dengan nilai yang melebihi daripada jumlah pinjaman adalah diharuskan selagi tidak disyaratkan, umpamanya membayar hutang satu dirham dengan dua dirham atau satu dirham dengan satu dirham yang lebih tinggi nilainya. Adapun sandaran mengenai keharusan melebihi membayar hutang ada disebutkan dalam hadits seperti berikut:

1. Dalam sebuah hadits disebutkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah melebihkan jumlah bayaran hutangnya sebagaimana diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Adalah aku (pernah memberi) Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam hutang, maka (Baginda) telah membayar kepadaku dan bahkan menambah (nilai bayarannya itu) kepadaku. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata bahawa hadits ini menunjukkan bahawa melebihkan membayar hutang daripada jumlah pinjaman adalah sunat. Malahan melebihkan bayaran itu adalah sebaik-baik cara membayar hutang.

2. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Rafi‘ Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah berhutang seekor unta muda daripada seorang lelaki. Kemudian didatangkan kepada Baginda seekor unta daripada unta sedekah. Baginda pun memerintahkan Abu Rafi‘ supaya membayar kepada lelaki tersebut akan (hutang) unta mudanya (yang telah dihutangkannya kepada Baginda). Abu Rafi‘ kembali kepada Baginda dan berkata: “Saya tidak menemukan di dalam unta sedekah itu kecuali unta dewasa yang bagus”. Baginda bersabda: “Bayarkan kepadanya, kerana sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya.” (Hadits riwayat Muslim)

3. Begitu juga dengan atsar di bawah ini:

Maksudnya: Daripada Mujahid, sesungguhnya dia berkata: “‘Abdullah bin ‘Umar pernah meminjam wang dirham daripada seseorang, kemudian dia membayar balik hutangnya itu dengan wang dirham yang lebih baik daripadanya (dirham yang dipinjamnya dahulu). Berkata orang itu: “Wahai Abu ‘Abdurrahman! Ini lebih baik daripada dirhamku yang pernah ku pinjamkan”. Jawab ‘Abdullah bin ‘Umar: “Sesungguhnya aku tahu, tetapi aku sendiri suka yang sedemikian itu.” (Atsar riwayat Malik)

Berdasarkan dalil-dalil yang tersebut di atas, dapatlah difahami bahawa apabila seseorang itu membayar hutangnya melebihi jumlah pinjamannya secara sukarela selagi ia tidak disyaratkan dalam ‘aqad pinjaman tidak dikira sebagai riba. Bahkan hukumnya adalah sunat sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Walau bagaimanapun jika bayaran hutang melebihi daripada jumlah pinjaman itu ada disebutkan dan disyaratkan dalam ‘aqad pinjaman maka ia haram kerana riba.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10147

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص