Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة٠ مشاهدة

Kaifiyyah Dan Permasalahan Menyapu Kedua-Dua Telinga Ketika Berwudhu’

الجواب

Menyapu kedua-dua telinga merupakan salah satu tuntutan sunat ketika berwudhu’. Ia disunatkan atas dasar ittibâ‘ iaitu mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sepertimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyapu kepala dan kedua-dua telinga Baginda (ketika berwudhu’), (iaitu pada) zahir dan batin kedua-dua telinga. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hadits ini menunjukkan bahawa bahagian telinga yang sunat disapu itu ialah bahagian zahir dan batin kedua-dua belah telinga.

Maksud zahir telinga ialah sisi telinga yang berada sejajar dengan kepala (bahagian belakang telinga). Adapun maksud batin telinga pula ialah sisi telinga yang berada sejajar dengan muka depan (bahagian depan telinga).

Tuntutan menyapu kedua-dua telinga ketika berwudhu’ dilaksanakan selepas selesai menyapu kepala. Tertib ini perlu dipelihara sebagai syarat bagi mendapatkan ganjaran sunat menyapu kedua-dua telinga ketika berwudhu’. Oleh yang demikian, dalam mazhab asy-Syafi‘i, jika perbuatan menyapu kedua-dua telinga itu dikerjakan sebelum menyapu kepala, maka tidak dikira tertunai tuntutan menyapu kedua-dua telinga itu kerana ia dikerjakan sebelum waktunya. Jumhûr ulama berpendapat bahawa adalah disyaratkan untuk menggunakan air yang baharu untuk disapukan kepada kedua-dua telinga dan bukannya dengan air yang sama digunakan untuk menyapu kepala. Ini kerana telinga merupakan anggota yang tersendiri dan bukan dikira sebagai sebahagian daripada anggota muka dan kepala.

Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya beliau telah melihat Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’. Beliau menjelaskan wudhu’ Baginda itu dengan berkata:

Maksudnya: Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’ lalu Baginda mengambil air wudhu’ untuk (menyapu) kedua-dua telinga Baginda dengan air yang berbeza daripada air yang Baginda ambil untuk menyapu kepala Baginda. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Bagaimanapun, sekiranya ketika menyapu kepala terdapat baki air pada tangannya yang belum digunakan untuk menyapu kepalanya, maka air yang belum digunakan itu boleh digunakan untuk menyapu kedua-dua telinga dan perbuatan itu memadai kerana air tersebut masih dikira sebagai air yang baharu (bukan air musta‘mâl).

Kaifiyyah Menyapu Kedua-dua Telinga Ketika Berwudhu’

Dalam kitab-kitab ulama mazhab asy-Syafi‘i, ada dijelaskan kaifiyyah menyapu kedua-dua telinga ketika berwudhu’ sepertimana berikut:

(i) Menurut Imam al-Haramain Rahimahullâh dan beberapa ulama lain, kaifiyyah menyapu kedua-dua telinga ketika berwudhu’ ialah dengan cara mengambil air dengan kedua-dua tangan kemudian memasukkan hujung kedua-dua jari telunjuk ke dalam kedua-dua lubang telinga dan memutar-mutarkan kedua-dua perut jari telunjuknya itu pada lipatan-lipatan dan lekuk-lekuk telinga dan menjalankan kedua-dua ibu jarinya pada zahir telinga (bahagian belakang telinga) mulai dari bahagian bawah ke atas.

Kemudian sunat ditempelkan atau dilekapkan kedua-dua telapak tangan yang dalam keadaan basah pada kedua-dua telinganya selepas itu bagi memastikan sapuan air sudah merata pada telinga.

Menurut Imam asy-Syafi‘i dan Imam al-Buwaithi Rahimahumallâh, sunat diambil air yang baharu sekali lagi untuk menyapu kedua-dua lubang telinga. Ini kerana kedua-dua lubang telinga pada telinga adalah sama kedudukannya seperti mulut dan hidung pada muka seseorang. Maka apabila dibezakan mulut dan hidung daripada muka ketika mengambil air wudhu’, begitu jugalah perlu dibezakan antara zahir dan batin telinga dengan lubangnya.

Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullâh, tuntutan sunat mengambil air yang baharu untuk menyapu kedua-dua lubang telinga sepertimana yang disebutkan oleh Imam asy-Syafi‘i dan Imam al-Buwaithi Rahimahumallâh di atas boleh dilaksanakan dengan dua kaifiyyah, iaitu:

a. Selepas melaksanakan semua kaifiyyah yang dinyatakan sebelum ini, dia membasahkan semula kedua-dua jari telunjuknya lalu memasukkannya ke lubang kedua-dua telinga bagi setiap sapuan.

b. Dia menyapu pada zahir dan batin kedua-dua telinga terlebih dahulu tanpa memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga. Kemudian setelah selesai, dia membasahkan semula kedua-dua jari telunjuknya lalu memasukkan hujung jari telunjuknya itu ke lubang kedua-dua telinga bagi setiap sapuan.

Menurut Imam ar-Ramli, Imam al-Bujairimi Rahimahumallâh dan lainnya, mengambil air yang baharu untuk menyapu kedua-dua lubang telinga ini adalah kaifiyyah yang paling afdhal dan paling sempurna. Walau bagaimanapun, sekiranya digunakan air yang sama dengan air yang digunakan untuk menyapu zahir dan batin telinga, maka yang demikian itu tetap memadai dan tetap mendapat pahala sunat kerana dia dikira telah melaksanakan tuntutan menyapu kedua-dua telinga.

(ii) Selain kaifiyyah yang disebutkan oleh Imam al-Haramain Rahimahullâh yang dinyatakan di atas, terdapat satu lagi kaifiyyah yang lain sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Ghurar al- Bahiyyah, iaitu dia menyapu zahir telinga dengan kedua-dua ibu jari dan menyapu batin telinga dengan jari telunjuk, lalu melalukan hujung jari telunjuknya ke seluruh lipatan dan lekuk telinga dan memasukkan hujung jari kelingkingnya ke dalam lubang telinga.

Beberapa Permasalahan Ketika Menyapu Kedua-dua Telinga

(i) Adakah dituntut untuk mendahulukan menyapu telinga kanan sebelum telinga kiri?

Ketika menyapu kedua-dua telinga, tidak disunatkan untuk mendahulukan yang kanan daripada yang kiri. Bahkan sunat disapu secara serentak kedua-dua belah telinga.

Bagaimanapun, sekiranya orang yang berwudhu’ itu orang yang kudung salah satu daripada tangannya, maka dalam hal ini adalah dituntut untuk dia mendahulukan menyapu telinga kanan.

(ii) Adakah tatslîts dituntut ketika menyapu kedua-dua telinga?

Tatslîts bermaksud mengerjakan tiga-tiga kali. Tatslîts disunatkan ketika membasuh atau menyapu semua anggota wudhu’, sama ada anggota yang wajib ataupun anggota yang sunat, tidak terkecuali juga ketika menyapu kedua-dua telinga.

Oleh yang demikian, walaupun menyapu kedua-dua telinga dengan sekali sapuan sudah memadai untuk mendapat pahala sunat, akan tetapi mengerjakannya secara tiga-tiga kali (tatslîts) adalah lebih utama dan sempurna.

(iii) Apakah hukum meninggalkan menyapu kedua-dua telinga ketika berwudhu’?

Menurut jumhûr, menyapu kedua-dua telinga merupakan salah satu tuntutan sunat sahaja dalam berwudhu’ sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini. Oleh yang demikian, memandangkan hukumnya sunat, maka harus ia ditinggalkan dan ia tidak menjejaskan wudhu’ seseorang dan sah wudhu’nya.

Penutup

Demikian beberapa penjelasan mengenai kaifiyyah dan permasalahan menyapu kedua-dua telinga ketika berwudhu’. Apa yang jelas, menyapu kedua-dua telinga merupakan salah satu tuntutan dalam mengerjakan wudhu’ yang perlu diketahui dan difahami dengan baik kerana perlaksanaannya merupakan salah satu asas kesempurnaan wudhu’.

Walaupun menyapu kedua-dua telinga ketika berwudhu’ hukumnya hanya sunat, pastinya terdapat ganjaran pahala dan berbagai hikmah serta rahsia yang hanya diketahui oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Justeru itu, tunaikanlah ia dengan sempurna dengan memenuhi segala syarat dan tuntutannya sepertimana yang telah ditentukan syara‘ dan jangan sekali-kali ia ditinggalkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10152

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص