Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Ghîbah Menggawatkan Masyarakat

الجواب

Salah satu ajaran Islam kepada penganutnya dalam menjaga keharmonian hidup bermasyarakat ialah menjaga lidah daripada menyakiti orang lain terutama terhadap saudara sesama Islam. Bahaya lidah yang tidak bertanggungjawab boleh menggugat keharmonian hidup bernegara, bermasyarakat dan berkeluarga. Berapa banyakkah penganiayaan, kezaliman, keruntuhan rumahtangga dan permusuhan dan akhirnya pembunuhan berlaku hanya disebabkan oleh lidah?

Tidak hairanlah, di dalam agama Islam, seorang yang tidak menjaga lidahnya iaitu berkata-kata tanpa memikirkan akibat buruk daripada kata-katanya boleh menjerumuskannya masuk ke neraka seperti kata-kata yang membawa kufur. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawasanya dia mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya adakalanya seorang hamba (Allah) itu bercakap satu ucapan yang menyebabkan dia terjerumus ke dalam api neraka yang dalamnya lebih jauh dari jarak di antara timur dan barat.” (Hadis riwayat Muslim)

Manakala di dunia pula hukum syara‘ telah menetapkan bahawa disebabkan oleh lidah, seseorang itu boleh dijatuhi hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali akibat kata-kata yang dikeluarkannya seperti menuduh seseorang berzina tanpa membawakan empat orang saksi. Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-Nûr, ayat 4:

Tafsirnya: “Dan orang-orang yang melimparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka itu lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang fâsiq.”

Oleh kerana itu, syara‘ menegaskan bahawa berita-berita yang dibawa oleh lidah-lidah yang fâsiq, hendaklah dipastikan dahulu keshahîhannya dan kebenarannya kerana mempercayai berita-berita yang tidak dipastikan keshahîhannya itu boleh mengakibatkan kezaliman dan penyesalan. Firman Allah dalam surah Al-Hujurât, ayat 6:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fâsiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Memang tidak dapat dinafikan bahawa untuk memelihara lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah dan yang dilarang oleh syara‘ adalah suatu perkara yang bukan mudah. Kadang-kadang secara tidak langsung dan tanpa disedari dalam percakapan seharian kita, terkandung kata-kata yang dilarang oleh syara‘. Oleh kerana itu sebagai jalan selamat, syara‘ sejak dari mula lagi menganjurkan kepada kita agar tidak terlalu banyak bercakap kecuali percakapan yang jelas ada manfaatnya. Bahkan apabila berdiam diri itu sama saja manfaatnya dengan manfaat menuturkan percakapan, maka dalam kedudukan begini, adalah disunatkan bagi seseorang itu untuk diam sahaja. Sebab kadang-kadang apabila percakapan yang harus itu tidak dapat dikawal, ia boleh membawa kepada yang haram dan dilarang oleh syara‘. Pada kebiasaannya kata-kata yang haram itu bermula dengan cara yang sedemikian. Maka justeru itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia (bila berkata-kata) berkata yang baik atau diam sahaja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ajaran Islam menghendaki hubungan sesama manusia terutama saudara Islam itu terselamat daripada segala penganiayaan sama ada berbentuk perbuatan atau perkataan. Orang Islam yang lebih utama ialah mereka yang memegang prinsip sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Musa Al- Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Orang muslimin yang bagaimanakah yang paling afdhal (utama)?” Nabi bersabda: “Orang yang orang-orang Islam yang lain selamat daripada lidah dan tangannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah Hadis lain pula diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Daripada keelokan Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa saja yang tidak berguna.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Hadis ini menurut kebanyakan huraian ulama lebih banyak memperkatakan hal-hal yang bersangkutan dengan percakapan, sekalipun pengertiannya lebih umum. Ini disebabkan akibat buruk yang ditimbulkan oleh lidah atau perkataan amatlah besar bencananya. Oleh itu pengertian ‘meninggalkan yang tiada berguna’ adalah diutamakan di dalam perkara meninggalkan percakapan yang sia-sia atau yang tidak berfaedah atau meninggalkan percakapan yang boleh menyebabkan terjadinya fitnah dan permusuhan.

Menurut pandangan syara‘, dalam kebanyakan percakapan atau perbualan manusia itu tidak ada yang lebih baik daripada percakapan atau perbualan yang membawa kepada mengingat Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Firman Allah dalam surah Al-Nisâ, ayat 114:

Tafsirnya: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan- bisikan mereka kecuali (bisikan-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia.”

Ini ditegaskan lagi oleh sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah, isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Setiap percakapan anak Adam (seseorang) itu berakibat buruk, tidak membawa faedah kecuali (percakapan) yang menyeru kepada kebaikan, yang mencegah daripada kemungkaran dan yang mengingati Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Salah satu daripada keburukan yang banyak dilakukan oleh lidah dan banyak tersebar di dalam masyarakat ialah mengumpat. Mengumpat itu dilarang di dalam Islam. Ia dikenal dalam bahasa Arab dengan panggilan ghîbah. Ghîbah adalah haram dengan ittifâq para fuqaha’, bahkan setengah ahli tafsir dan fuqahâ’ berpendapat ia termasuk di antara dosa-dosa besar berdasarkan firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-Hujurât, ayat 12:

Tafsirnya: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan- larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”

Memang selayaknya orang yang mengumpat itu diumpamakan seperti memakan daging mayat saudaranya sendiri. Ini menunjukkan bahawa betapa perbuatan mengumpat itu adalah perbuatan yang dibenci oleh syara‘ sebagaimana tabiat semulajadi manusia membenci memakan bangkai mayat manusia. Di akhirat nanti orang yang mengumpat ini akan menerima balasan yang setimpal sebagaimana yang diriwayatkan dAnas bin Malik yang berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tatkala aku dimi‘rajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga yang mengoyak-ngoyak wajah dan dada mereka dengan kuku itu, lalu aku bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan (merendahkan) kehormatan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Hakikat yang dimaksudkan dengan mengumpat atau ghîbah itu ialah menyebut akan hal seseorang dengan sesuatu yang tidak disukainya di belakangnya. Baik yang disebut itu ada pada badannya, agamanya, dunianya, dirinya, isteri/suaminya, ahli keluarganya, orang gajinya, sahabatnya, pakaiannya dan lain-lain. Di dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tahukah kamu apa itu ghîbah (mengumpat)?” Para sahabat berkata: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu.” Baginda bersabda: “(Mengumpat itu ialah) penyebutanmu terhadap saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukainya.” Dikatakan: “Bagaimana pendapat Tuan jika yang aku katakan itu memang benar terjadi pada saudaraku?” Baginda bersabda: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar maka sesungguhnya engkau telah mengumpatnya, tetapi jika apa yang engkau katakan itu tidak benar maka sesungguhnya engkau telah membuat dusta kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun contoh-contoh mengumpat dengan menyebut bahagian badan seseorang itu, umpamanya dengan menyebut bahawa si polan itu gemuk, kurus, hitam, atau pendek. Terhadap agama seseorang, misalnya dikatakaan si polan itu fâsiq, pengkhianat, berpura-pura alim, meremehkan kewajipan agama, kurang ajar kepada orang tua, bakhil atau suka mengumpat. Terhadap dunia seseorang pula misalnya disebut si polan itu tidak beradab, tidak peramah dan peduli orang, malas bekerja, suka membuang masa atau tidak pandai bergaul.

Contoh mengumpat yang berhubung dengan diri, suami/isteri, ibu bapa, ahli keluarga, orang gaji dan sahabat seseorang pula misalnya dikatakan si polan itu sombong, buruk perangai, pencuri, penipu, tukang kebun, peminta sedekah, tidak bermaruah atau berpenyakit.

Berhubung dengan pakaian seseorang pula umpamanya disebut si polan itu pakaiannya murah, tidak berseterika, berpakaian kotor, selekeh dan lain-lain.

Pendeknya apa saja perkara yang diperkatakan di belakang seseorang yang jika didengar oleh orang yang diperkatakan (diumpat) itu, dia membencinya dan tidak menyukainya, maka itulah namanya umpat atau ghîbah. Orang yang melakukan perkara sedemikian adalah berdosa dan layak mendapat seksa sebagaimana yang diberi amaran oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Mengumpat itu tidak hanya terbatas perlakuannya dengan menyebut dengan lidah sahaja, bahkan ia termasuk juga perlakuan dengan tulisan, pergerakan, isyarat dengan mata, tangan, mulut dan sebagainya. Kesimpulannya, setiap ungkapan atau perbuatan yang dapat difahami daripada menyebut kekurangan atau keaiban seorang Islam di belakangnya adalah dikira perkara mengumpat yang diharamkan.

Sebagai contohnya, meniru-niru cara berjalan seseorang kerana timpangnya jalan seseorang itu atau daripada bermacam-macam gerak-geri orang yang dianggapnya sebagai sesuatu kekurangan, maka perbuatan seperti itu dianggap sebagai umpat juga yang mana hukumnya adalah haram tanpa ada perselisihan pendapat di kalangan ulama.

Demikian pula misalnya seorang pengarang buku yang dengan jelas menyebut seseorang yang tertentu di dalam tulisannya umpamanya: “Si polan itu begini dan begini”, dengan maksud menyebutkan kekurangan dan menghinanya, maka adalah haram hukumnya.

Tetapi jika tulisan itu dimaksudkan untuk menerangkan kesalahan seseorang agar tidak diikuti oleh orang lain atau dengan maksud menerangkan lemahnya satu-satu pendapat itu agar orang lain tidak terpedaya kepadanya, maka itu tidaklah dinamakan ghîbah (umpat) bahkan ia adalah nasihat yang memang wajib dilaksanakan bagi memelihara kesucian agama.

Demikian juga apabila seorang pengarang menulis: “Sebenarnya pendapat satu kaum atau jemaah itu adalah salah dan satu kejahilan, kebodohan, kelalaian dan seumpamanya”, maka tulisan yang seumpama ini tidak disebut sebagai ghîbah. Sebab yang dinamakan ghîbah itu ialah menyebut secara langsung dan terang peribadi orang perseorangan atau suatu kaum atau jemaah dengan langsung dan terperinci.

Termasuk juga dalam ghîbah yang diharamkan, seperti umpamanya dikatakan: “Yang melakukan perkara buruk itu ialah orang-orang itu, sebahagian fuqahâ’, sebahagian orang alim, sebahagian pendakwah dan sebahagian orang kampung di hujung sana.” Bila mana orang yang diajak bercakap mengetahui, memahami dan mengenali mereka yang disebut itu, maka jadilah ia ghîbah.

Begitu juga ghîbah yang diharamkan termasuk apabila ada niat untuk menyindir dan menghina seseorang yang ditanyakan. Contohnya apabila ada orang ditanya: “Bagaimana keadaan dan khabar si polan?” Orang itu menjawab: “Semoga Allah mengampuni dan menjadikan kita ini baik”, atau “Kita bermohon saja keselamatan daripada Allah” atau “Kita berlindung kepada Allah daripada kejahatannya” atau “Semoga Allah memaafkan kita kerana kurang malu” dan sebagainya yang dapat difahami bahawa jawapan itu adalah mengandungi sindiran sinis yang menyatakan kekurangan orang yang ditanyakan.

Inilah di antara contoh-contoh ghîbah (umpat) secara tidak langsung, tetapi si pendengar atau orang yang diajak bercakap memahami bahawa maksudnya ialah menyebut kekurangan seseorang itu.

Hukum haram mengumpat bukan hanya terbatas kepada orang yang mengumpat sahaja, tetapi juga orang yang mendengar atau menyetujui apa yang diumpatkan. Orang yang mendengar seseorang yang mengumpat, wajiblah bagi yang mendengar itu mencegah perkara tersebut jika dia tidak merasa takut terancam olehnya. Jika dia tidak mampu untuk mencegahnya, maka wajib dia mengingkarinya dengan hatinya dan menjauhi atau meninggalkan tempat itu jika dia boleh berbuat begitu. Jika dia mampu menegur dengan kata nasihat atau dapat mengalihkan percakapan tersebut kepada hal-hal yang lain, maka wajiblah dia melakukan perkara itu. Jika dia tidak melakukannya, dia juga turut berdosa.

Apabila seseorang berada di dalam suatu majlis yang sedang berlaku di dalamnya ghîbah (umpat) dan dia tidak mampu mencegahnya atau dia sudah cuba mencegahnya, tetapi tidak dihiraukan oleh orang-orang yang berada di majlis itu dan tidak ada jalan baginya untuk meninggalkan majlis tersebut, maka untuknya beberapa jalan keluar. Hendaklah dia berzikir kepada Allah Ta‘ala dengan lidah dan hatinya atau dengan hatinya sahaja atau hendaklah dia berfikir pada perkara lain bagi memalingkan dirinya daripada mendengar ghîbah yang ada di majlis itu. Dengan demikian tidaklah ada apa-apa (dosa) setelah itu jika dia terdengar percakapan ghîbah itu. Jika ada peluang baginya untuk meninggalkan majlis tersebut sesudah itu, maka wajib dia meninggalkan tempat itu selagi mereka tetap melakukan ghîbah (umpat). Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-An‘âm, ayat 68:

Tafsirnya: “Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat- ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim isesudah engkau teringat (akan larangan itu).”

Cara yang terlebih baik bagi seorang Islam itu apabila dia mendengar seseorang mengumpat orang Islam yang lain, lebih-lebih lagi orang yang diumpat itu orang yang mempunyai nama baik dan tergolong di kalangan orang baik-baik, ialah dengan melarang perkara tersebut demi mempertahankan kehormatan orang itu. Ketika di akhirat nanti, Allah Ta‘ala pula akan mempertahankan dirinya daripada api neraka sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa menolak (melarang) daripada (diumpat) kehormatan peribadi saudaranya, nescaya Allah akan menolak (memalingkan) api neraka daripada dirinya kelak di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Manakala daripada Jabir bin Abdullah dan Abu Thalhah bin Sahl Al-Anshari Radhiallahu ‘anhum, keduanya berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada seorang yang menghina seorang muslim di suatu tempat di mana dijatuhkan kehormatannya dan dikurangkan harga dirinya, melainkan pasti Allah akan menghinakannya di tempat di mana dia ingin mendapat pertolonganNya. Dan tidak ada seorang yang menolong seorang muslim di suatu tempat di mana dijatuhkan kehormatannya dan dikurangkan harga dirinya, melainkan pasti Allah akan menolongnya di tempat di mana dia sangat mengharapkan pertolonganNya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Apabila seseorang telah terlanjur melakukan ghîbah (umpat) kepada saudaranya, maka dituntut dengan segera agar dia bertaubat daripada dosa itu. Taubat kerana perlanggaran hak Allah (yang wajib dilaksanakan oleh hambaNya) adalah dengan tiga syarat iaitu:

i. Menarik diri daripada melakukan maksiat ketika itu juga.

ii. Menyesal daripada perbuatan dosa itu.

iii. Berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.

Oleh kerana maksiat ghîbah ini menyangkut dengan hak orang lain, maka selain tiga syarat di atas, ditambah lagi dengan syarat yang keempat iaitu:

iv. Mengembalikan sesuatu yang diambilnya secara tidak sah kepada pemiliknya atau meminta maaf daripada kesalahannya itu dan memohon supaya dibebaskan daripada tuntutan sesuatu itu.

Sesungguhnya apabila seseorang mengumpat saudaranya, pahala amal kebaikan yang telah dilakukan oleh orang yang mengumpat itu dipindahkan kepada orang yang diumpatnya. Jika dia tidak mempunyai sebarang pahala amal kebaikan, maka dipindahkan dosa orang yang diumpatnya itu kepadanya. Ini bersesuaian dengan penjelasan sebuah Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang pernah melakukan kezaliman kepada seseorang yang menyangkut soal kehormatan atau sesuatu yang lain, maka hendaklah dia meminta halal di atas perbuatannya itu di satu hari sebelum dirham dan dinar sudah tidak ada (nilai) lagi, di mana apabila dia mempunyai amal salih maka ia akan diambil sesuai dengan perbuatan zalimnya dan apabila dia tidak mempunyai kebaikan-kebaikan maka keburukan-keburukan temannya itu akan diambil dan ditimpakan kepadanya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam memohon kemaafan daripada orang yang diumpat, para ulama membincangkan adakah sudah cukup dan memadai bagi seseorang yang mengumpat itu ketika meminta maaf hanya mengucapkan: “Tadi saya telah mengumpatmu, oleh itu saya minta maaf?” Atau mestikah dia menerangkan tentang masalah yang menjadi bahan umpatannya itu?

Ada dua pendapat di kalangan para ulama Syafi‘e:

Pendapat pertama mengatakan, disyaratkan menerangkan tentang hal yang diumpatkan itu. Jika dia meminta maaf tanpa menyebutkan perkara yang diumpatkannya itu maka tidak sah taubatnya sebagaimana juga halnya dengan perkara meminta dihalalkan sesuatu benda yang diambil tanpa diketahui bendanya.

Pendapat kedua pula tidak mensyaratkan supaya diterangkan perkara yang diumpatkan itu kerana persoalan ini termasuk di antara persoalan yang dapat ditolak ansur. Oleh kerana itu tidak harus diketahui apa yang diumpatkan itu, lain halnya jika yang bersangkut paut dengan harta.

Pendapat pertama adalah lebih adzhar (mendekati kebenaran) kerana kadang-kadang seseorang itu boleh bertolak ansur dengan memaafkan satu jenis umpatan dan adakalanya dia tidak dapat bertolak ansur untuk memaafkan satu jenis umpatan yang lain.

Jika orang yang diumpat itu telah meninggal dunia atau ghaib (tidak diketahui tempat dia berada) dan tidak mungkin lagi bagi seseorang itu untuk meminta maaf kepadanya, para ulama berkata: “Sepatutnya dia memperbanyakkan membaca istighfâr (memohon keampunan) bagi orang yang diumpatnya itu dan mendoakannya kebaikan serta memperbanyakkan amal kebaikan.”

Ini bersesuaian dengan firman Allah di dalam surah Hud, ayat 114:

Tafsirnya: “Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan.”

Diriwayatkan daripada Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepadaku: “Bertakwalah kepada Allah di mana saja engkau berada dan ikutilah keburukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu menghapuskannya dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Sesungguhnya bagi orang yang diumpat itu adalah sunat memaafkan orang yang mengumpatnya dan bukannya wajib, kerana sedemikian itu hanya semata-mata merupakan sebagai kebaikan dan pengguguran haknya ke atas orang yang mengumpat. Dia boleh memilih di antara mahu memaafkan ataupun tidak.

Akan tetapi, bersesuaian dengan prinsip agama Islam dan roh ukhuwwah Islamiyyah yang menggalakkan umatnya agar bermaaf-maafan dan memberi kemaafan, adalah dihukumkan sunat muakkadah (yang dituntut) memaafkan orang yang mengumpat bagi melepaskannya daripada belenggu dosa ghîbah (umpat). Terdapat banyak ayat Al-Qur’an yang menganjurkan supaya memaafkan kesalahan orang lain dan menjelaskan kelebihan sifat pemaaf. Firman Allah Ta‘ala dalam surah آli ‘Imran, ayat 134:

Tafsirnya: “(Di antara sifat orang yang bertakwa itu ialah) orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Firman Allah lagi dalam surah Al-Syûrâ, ayat 43:

Tafsirnya: “Dalam pada itu (ingatlah) orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak akan berkurangan harta yang disedekahkan dan Allah akan menambah kemuliaan kepada seorang hamba yang mahu memberi kemaafan dan Allah akan mengangkat darjat orang yang mahu merendahkan diri keranaNya.” (Hadis riwayat Muslim)

Walaupun hukum ghîbah atau umpat itu adalah haram tetapi dalam hal-hal yang tertentu ia adalah diharuskan demi untuk kemaslahatan. Ia diharuskan di dalam enam situasi yang berikut:

i. Pengaduan terhadap penganiayaan atau kezaliman.

Harus bagi orang yang mendapat penganiayaan atau kezaliman mengadukan dengan menyebut hal orang yang menzalimi itu kepada sultan, kadi, orang yang mempunyai tauliah atau mempunyai kuasa untuk menyelesaikannya. Maka dalam perkara ini, orang yang mengadu itu pasti akan membutirkan nama, jenis penganiayaan dan kezaliman orang yang diadunya itu secara terperinci. Firman Allah dalam surah Al- Nisâ’, ayat 148:

Tafsirnya: “Allah tidak suka kepada perkataan- perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus- terang (untuk mendedahkan kejahatan orang) kecuali oleh orang yang dizalimi (dianiaya). Dan (ingatlah) Allah sentiasa Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

ii. Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran dan mengembalikan seorang yang melakukan maksiat ke jalan yang benar.

Maka dalam hal ini harus seorang yang memohon bantuan kepada orang lain yang dapat diharapkan merubah suatu kemungkaran menyebut: “Si polan telah melakukan perkara itu dan ini, maka tolong tuan agar melarangnya”, dengan niat untuk mencegah kemungkaran. Jika dia tidak berniat sedemikian maka adalah tetap haram hukumnya.

iii. Meminta fatwa.

Umpamanya seseorang bertanya kepada mufti dan menyebut: “Ayahku/saudaraku/si polan telah berbuat zalim begini dan begini kepadaku. Apakah dia akan mendapatkan ini atau tidak dan apakah jalan keluar bagiku untuk mengambil hakku?” Atau seseorang berkata: “Isteriku/suamiku telah berbuat begini dan begini kepadaku”. Maka dalam hal seperti ini adalah diharuskan perkara tersebut kerana ada suatu keperluan. Tetapi untuk lebih berhati-hati maka sebaiknya pertanyaan itu ialah berbentuk umum, contohnya: “Bagaimana pendapat tuan mufti jika seseorang berbuat begini dan begini?” Dengan demikian maksudnya sudah terpenuhi dalam bentuk pertanyaannya itu tanpa menyebut seseorang yang tertentu. Walau bagaimapun jika disebut seseorang yang tertentu dalam pertanyaan tersebut adalah dibolehkan berdasarkan Hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: “Hindun binti Utbah isteri Abu Sufyan datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Sufyan itu adalah seorang lelaki kikir. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untukku dan anakku, kecuali apa yang ku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Apakah dalam hal ini aku menanggung dosa?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallalm bersabda: “Ambillah daripada hartanya dengan cara yang baik, apa yang mencukupimu dan anakmu.” (Hadis riwayat Muslim)

iv. Memberi peringatan dan nasihat kepada orang Islam.

Adapun memberi nasihat apabila diminta untuk diberi nasihat adalah hak setiap orang Islam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Hak orang Islam ke atas orang Islam yang lain ada enam. Dikatakan: “Apa ia wahai Rasulullah?” Rasulullah bersabda: “Apabila engkau bertemu dengannya ucapkanlah salam kepadanya, apabila dia mengundangmu maka penuhilah undangannya, apabila dia meminta nasihatmu maka nasihatilah dia, apabila dia bersin lalu memuji Allah maka doakanlah dia (dengan mengucapkan yarhamukallâh), apabila dia sakit maka ziarahilah dia dan apabila dia meninggal dunia maka iringilah jenazahnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam perkara memberi peringatan dan nasihat terbahagi pula kepada beberapa bahagian seperti berikut:

a. Menyebut kekurangan yang ada pada perawi Hadis dan saksi dalam suatu perkara. Hal ini dibolehkan dengan ijmâ‘ (kesepakatan) umat Islam, bahkan adalah wajib hukumnya.

b. Memberi nasihat setelah diminta pandangan di dalam perkara yang berhubung kait dengan perkara jodoh, usaha bersama dalam perniagaan, menitipkan sesuatu (wadi‘ah) dan muamalah. Maka adalah wajib bagi orang yang diminta pandangan menerangkan apa yang diketahuinya dengan niat dan cara aturan nasihat sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan nasihat kepada Fatimah binti Qais ketika dia dipinang oleh Mu‘awiyah bin Abu Sufyan dan Abu Jahm, lalu dia meminta pandangan Rasulullah mengenai dua orang sahabat ini. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Adapun Abu Jahm, dia tidak meletakkan tongkatnya dari bahunya (orang yang ringan tangan memukul isterinya) dan adapun Mu‘awiyah adalah fakir miskin yang tidak berharta sama sekali. Bernikahlah saja engkau dengan Usamah bin Zaid.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam perkara ini jika penerangan yang dibuat telah sampai ke matlamat dan tujuannya dengan menyebut seumpama: “Jangan awak melakukan perkara ini dan ini” atau “adalah kurang bijak dan tidak baik engkau meneruskan maksudmu”, maka memadai baginya menyebut sedemikian sahaja atau yang seumpamanya tanpa menambah penerangan yang lain. Tetapi jika penerangan tersebut tidak sampai kepada tujuan dan matlamatnya kecuali dengan berterus terang dengan menyebut sejelas-jelasnya, maka barulah boleh disebutkan dengan jelas sesuai dengan keperluan.

c. Memberi penjelasan dan keterangan kepada seorang pembeli. Apabila dilihat seorang yang membeli hamba yang dikenali sebagai seorang yang suka mencuri, berzina, meminum minuman keras atau lainnya, maka adalah wajib diterangkan sifatnya itu kepada pembeli jika si pembeli itu belum mengetahui. Ini tidaklah terhad dalam perkara tersebut sahaja bahkan semua barang dagangan yang mempunyai keaiban adalah wajib kepada orang yang mengetahui menerangkannya apabila si pembeli tidak mengetahuinya.

d. Memberi penerangan tentang seorang yang melakukan perkara bid‘ah atau fâsiq. Apabila dilihat seorang penuntut ilmu yang berguru kepada mubtadi‘ (orang yang melakukan perkara bid‘ah) atau fâsiq dan ditakuti guru itu akan memberi kesan yang memudaratkan kepada penuntut tersebut, maka wajib diberi nasihat kepada penuntut tersebut dengan menjelaskan perkara bid‘ah atau fâsiq yang dilakukan oleh gurunya itu. Disyaratkan ketika menerangkan perkara itu agar berniat benar-benar untuk memberi nasihat, sebab ketika itu, niat boleh menjadi salah dan bertukar disebabkan terdorong oleh sifat dengki atau godaan syaitan yang diperkirakannya sebagai memberi nasihat.

e. Memberi teguran kepada orang atasan mengenai orang bawahannya seumpama orang bawahannya itu tidak layak dan bukan ahlinya bagi sesuatu pekerjaan atau seorang yang berbuat fâsiq atau lalai dan cuai dalam menjalankan tugas dan sebagainya. Dengan demikian perkara tersebut akan diperbetulkan oleh atasannya menurut yang selayaknya.

v. Berbuat fâsiq atau bid‘ah secara terang-terangan.

Boleh menyebut tentang seseorang yang secara terang-terangan melakukan kefâsiqan atau bid‘ah seperti berterang-terangan meminum khamr (minuman keras), melakukan kekerasan sesama makhluk, melakukan penipuan, memeras ugut dan memimpin kepada perkara-perkara yang batil. Sebab dengan perbuatanya yang berterang-terangan itu, dengan sendirinya dia tidak benci dan marah apabila perkara itu disebut di belakangnya. Tetapi adalah haram menyebut selain daripada apa yang dilakukannya secara terang-terangan seperti kekurangan-kekurangan yang ada pada dirinya kecuali ada sebab syar‘i lain yang membolehkan sebagaimana yang telah tersebut terdahulu.

vi. Memberitahu (menjelaskan) agar dikenali seseorang itu dengan tepat.

Apabila seseorang itu lebih dikenal dengan nama panggilan seperti si rabun, pincang, tuli, buta, juling mata, pesek hidung dan lain-lain, adalah harus disebut dengan niat ingin memberitahu dengan lebih jelas. Haram jika disebut perkara itu dengan niat mengurangkan martabatnya dan merendahkan dirinya kerana kekurangan yang ada padanya. Sekiranya ada cara lain atau jalan untuk menggunakan sebutan lain yang dapat menerangkan identitinya dengan jelas tentunya perkara itu adalah lebih utama.

Inilah enam sebab yang mengharuskan seseorang itu disebut kekurangan-kekurangannya.

Apa yang perlu ditekankan tentang keharusan dalam enam situasi ini ialah apabila terdapat keperluan dan hajat sahaja sebagaimana kaedah fiqhiyyah menyebutkan:

Ertinya: “Darurat (keperluan yang terdesak) itu mengharuskan yang dilarang.”

Itupun hanya pada kadar yang diperlukan sahaja, sebagaimana kaedah ini menyebutkan:

Ertinya: “Apa yang diharuskan disebabkan oleh darurat (keperluan yang terdesak) dilakukan dengan kadar seminima yang boleh.”

Justeru itu bagi orang yang diharuskan memakan bangkai kerana dharûrah keputusan makanan, keharusan memakan itu hanyalah dibenarkan sekadar yang perlu sahaja sekira-kira boleh menyelamatkan nyawanya. Maka begitu juga dengan ghîbah yang diharuskan itu, penyebutan itu hendaklah mengikut kadar yang perlu sahaja bagi menyampaikan kepada tujuan yang dikehendaki.

Prinsip agama Islam adalah jelas, iaitu kehormatan, harta dan darah setiap orang muslim itu dipelihara oleh Islam dan hukum asalnya adalah haram dicabuli oleh sesiapa pun. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Seorang muslim adalah saudara muslim yang lain, tidak boleh mengkhianatinya, tidak boleh membohonginya dan tidak boleh menghinanya. Setiap muslim terhadap muslim yang lain adalah haram kehormatannya, hartanya dan darahnya. Takwa itu ada di sini (di hati), seseorang itu sudah cukup berbuat kejahatan dengan menghina saudaranya sesama muslim.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Malah agama Islam menekankan jika ada keaiban-keaiban atau kekurangan-kekurangan pada seseorang, maka semua itu hendaklah ditutup dan dilindungi daripada tersebar kepada umum. Ini jelas dan terang daripada Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan akan balasan baik yang diterima oleh seseorang yang melindungi dan menutupi keaiban-keaiban saudaranya yang lain. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tiada seorang hamba menutup aib seorang hamba yang lain di dunia maka pada hari kiamat nanti Allah akan menutupi keaibannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Manakala balasan azab di dunia dan di akhirat akan disediakan bagi orang yang suka supaya keburukan saudaranya tersebar diketahui umum. Firman Allah dalam surah Al-Nûr, ayat 19:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka supaya tersebar tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang- orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”

Maka oleh itu, dalam usaha kita menjauhi maksiat yang disebabkan oleh lidah, kita haruslah ingat bahawa keburukan-keburukan atau kekurangan-kekurangan yang ada pada orang lain tidaklah menjadikan kita lebih baik daripadanya, sebaliknya dengan menyebut kekurangan dan keburukan orang lain tanpa alasan yang diharuskan oleh syara‘, akan menjadikan martabat kita lebih rendah daripada orang itu di sisi Allah. Jika sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenaran dan kesahihannya, adalah lebih selamat kita berprasangka baik daripada membuat andaian-andaian atau sangkaan-sangkaan yang buruk atau pun mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain. Sesungguhnya yang demikian itu hanya akan membawa kepada dosa dan akhirnya permusuhan yang tidak disangka-sangka. Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-Hujurât ayat, 11-12:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah- rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan- larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fâsiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fâsiq (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fâsiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10392

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص