Hari-Hari Yang Sunat, Haram Dan Makruh Berpuasa
الجواب
Puasa adalah ibadat yang berkesan sekali dalam mengendalikan hawa nafsu sekaligus dapat menyinari hati dan mendidik seluruh anggota sehingga ke martabat taqwa. Puasa yang sebenar-benarnya bukan hanya menahan perut dan kemaluan daripada mengecap keinginan syahwat bahkan mengekang pancaindera daripada melakukan perkara-perkara dosa dan haram. Akhirnya berpuasa hati daripada segala cita-cita yang kotor dan pemikiran keduniaan yang boleh memesongkan perhatian daripada Allah.
Dari segi ganjaran puasa, tidak ada satu amal ibadat pun yang tidak ditentukan dan dibataskan ganjaran pahalanya selain daripada ibadat puasa. Sesungguhnya ganjaran pahala orang yang melakukan ibadat puasa tidak ditetapkan dengan satu jumlah dan tidak pula dihadkan dengan satu had tertentu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: “Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia (orang yang berpuasa) telah meniggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini menerangkan bahawa segala amalan manusia itu dihadkan atau dibatasi oleh Allah ganjarannya daripada sepuluh sampai 700 kali ganda, tetapi tentang puasa tidaklah sedemikian. Dalam erti kata lain tidak dibataskan ganjarannya oleh angka atau jumlah yang tertentu, bahkan terserah kepada Allah yang Maha Kaya memberikan pembalasan yang setimpal dengannya. Ini tidak lain tidak bukan adalah menggambarkan bahawa betapa besarnya dan istimewanya ibadat puasa di sisi Allah.
Lebih daripada itu lagi, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyediakan sebuah pintu di dalam syurga yang dikhususkanNya bagi orang yang berpuasa untuk memasukinya di Hari Kiamat nanti sebagaimana diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu yang disebut Al-Rayyan yang mana pada Hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk melaluinya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: “Di manakah orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorangpun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorangpun yang masuk melaluinya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id Al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya daripada api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun.” (Hadis riwayat Bukhari)
Di dalam Islam, di samping puasa fardhu yang diwajibkan di bulan Ramadhan, disyariatkan juga puasa-puasa sunat yang dikerjakan di luar bulan Ramadhan. Puasa sunat mempunyai beberapa perbezaan daripada puasa fardhu yang dikerjakan di bulan Ramadhan dalam berbagai segi. Di antaranya:
1. Orang yang sedang berpuasa sunat atau lain-lain perkara yang sunat seperti sembahyang kecuali haji dan umrah adalah harus baginya memutuskan (tidak wajib menyempurnakan) puasanya itu berdasarkan sabda Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Orang yang sedang berpuasa sunat itu adalah raja bagi dirinya, jika dia mahu dia berpuasa dan jika dia mahu dia berbuka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Akan tetapi adalah makruh hukumnya jika dia memutuskan puasa sunatnya itu tanpa ada sesuatu keuzuran, bagi menghindarkan perselisihan pendapat yang mengatakan wajib disempurnakan apabila seorang itu telah masuk mengerjakan puasa sunat, berdasarkan zahir firman Allah di dalam surah Muhammad, ayat 33:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu batalkan amalan-amalan kamu.”
Jika dia membatalkan puasanya itu dengan sebab ada sesuatu keuzuran seperti menolong tetamu yang merasa keberatan untuk dijamu makan secara bersendirian, maka tidaklah dihukumkan makruh bahkan sunat baginya berbuka. Namun berpuasa adalah lebih afdhal jika tidak ada keberatan atau kesukaran daripada mana-mana pihak untuk menjamu makanan. Oleh itu, orang yang berbuka puasa tanpa keuzuran, tidak ada pahala bagi puasanya itu manakala orang yang berbuka puasa kerana ada sebab keuzuran dikurniakan pahala bagi puasanya itu walaupun ianya tidak sempurna dilakukan. (Lihat Tuhfah Al-Muhtâj 3/460)
Adalah disunatkan juga bagi orang yang mengerjakan puasa sunat jika dia memutuskannya sama ada disebabkan keuzuran atau pun tidak, supaya mengqadha puasanya itu sebagai mengambil kira pendapat yang mengatakan wajib mengqadhanya kerana menyempurnakannya adalah wajib di sisi mereka iaitu imam-imam yang tiga (Imam Hanafi, Maliki dan Hambali Rahimahumullah). (Lihat Mughni Al-Muhtâj 1/604 dan Fath Al-‘Allâm 4/167)
2. Tidak disyaratkan berniat di malam hari untuk mengerjakan puasa-puasa sunat kerana akhir waktu untuk berniat bagi puasa-puasa sunat itu adalah sebelum tergelincir matahari (waktu Zuhur) berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadaku pada suatu hari: “Wahai Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu (untuk dimakan)?” Aisyah berkata: “Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Tidak ada di sisi kita sesuatu pun (untuk dimakan)”. Baginda bersabda: “(Jika begitu) maka aku berpuasa.” (Hadis riwayat Muslim)
Begitu juga tidak disyaratkan dalam mengerjakan puasa-puasa sunat berniat menta‘yîn (menentukan jenis puasa seperti puasa hari Isnin, ‘Arafah, ‘Asyura’ dan sebagainya). Ia sah dilakukan dengan berniat mutlaq sahaja seperti katanya:
Ertinya: “Sahaja aku berpuasa”
Imam Nawawi berkata: “Adalah wajar supaya disyaratkan ta‘yin di dalam puasa yang beriringan seperti puasa hari ‘Arafah, ‘Asyura’, puasa hari-hari Putih, Enam Syawal dan sebagainya sebagaimana disyaratkan sedemikian itu di dalam Sembahyang sunat rawatib.” (Lihat Mughni Al-Muhtâj 1/572, Al-Mausû‘ah Al-Fiqhiyyah 28/87-88 dan I‘ânah Al-Thâlibîn 2/252)
Puasa-puasa sunat itu ialah:
Puasa Enam
Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di dalam bulan Syawal. Ia boleh dikerjakan berselang seli di dalam bulan Syawal, tetapi mengerjakannya berturut-turut selepas Hari Raya adalah terlebih afdhal. Diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim)
Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa di sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadis riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” (Hadis riwayat Al-Darimi)
Puasa Hari ‘Arafah
Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Zulhijjah yang disunatkan kepada orang-orang yang tidak melakukan ibadat haji. Kelebihan berpuasa pada hari itu ialah menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Anshari katanya:
Maksudnya: “Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) tentang berpuasa di hari ‘Arafah? Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis riwayat Muslim)
Manakala bagi orang-orang yang melakukan ibadat haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Ummu Al-Fadhl binti Al-Harits katanya:
Maksudnya: “Bahawa beberapa orang di sisinya di hari ‘Arafah membicarakan puasa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (di hari ‘Arafah). Sebahagian mereka ada yang mengatakan bahawa Baginda berpuasa dan sebahagian mereka ada yang mengatakan bahawa Baginda tidak berpuasa. Maka aku hantar kepada Baginda segelas susu yang pada ketika itu Baginda berada di atas untanya, lalu Baginda meminumnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Zulhijjah (hari ‘Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari iaitu dari hari yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan, sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan hari ‘Arafah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya:
Maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang lebih dicintai oleh Allah untuk dilakukan ibadah kepadaNya daripada sepuluh hari di bulan Zulhijjah, dimana satu hari berpuasa daripadanya sebanding dengan puasa satu tahun dan mendirikan ibadah satu malam daripadanya sebanding dengan mendirikan ibadah pada Lailatulqadar.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada setengah isteri-isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah, di hari ‘Asyura’ dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya.” (Hadis riwayat Nasa’i)
Puasa Hari ‘Asyura’, Tasu‘a’ Dan Kesebelas Muharram
Puasa hari ‘Asyura’ ialah puasa sunat pada hari kesepuluh bulan Muharram. Diriwayatkan daripada Mu‘awiyah bin Abu Sufyan Radhiallahu ‘anhuma berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Ini adalah hari ‘Asyura’ dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka barangsiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah dia dan barangsiapa mahu (tidak berpuasa) maka berbukalah dia.” (Hadis riwayat Bukhari)
Hikmat berpuasa pada hari ‘Asyura’ sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: “(Tatkala) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sampai di Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Baginda bersabda: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Hari yang baik, ini adalah hari yang mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka, maka Musa berpuasa pada hari itu.” Nabi bersabda: “Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu.” Lalu Baginda berpuasa dan memerintahkan berpuasa (pada hari itu).” (Hadis riwayat Bukhari)
Kelebihan berpuasa di hari ‘Asyura’ sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Anshari katanya:
Maksudnya: “Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) tentang berpuasa pada hari ‘Asyura’. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu.” (Hadis riwayat Muslim)
Adalah disunatkan juga di samping berpuasa pada hari ‘Asyura’, berpuasa pada hari Tasu‘a’ iaitu hari yang kesembilan bulan Muharram berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: “Dahulu, ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda memerintahkan (para sahabatnya) untuk melakukan puasa itu, mereka berkata: “Wahai Rasulullah! (Bukankah) sesungguhnya hari ‘Asyura‘ itu hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila pada tahun yang akan datang, insya Allah kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan”. Berkata Abdullah bin Abbas: “Belum sempat menjelang tahun hadapan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun wafat.” (Hadis riwayat Muslim)
Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu‘a’ (sembilan Muharram) itu daripada berbagai- bagai aspek:
i. Bagi membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Asyura’ (sepuluh Muharram) sahaja. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan buatlah perbezaan padanya (daripada) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadis riwayat Ahmad)
ii. Bagi maksud berhati-hati bepada hari ‘Asyura’ kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.
iii. Bagi maksud menyambung puasa hari ‘Asyura’ dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari ‘Asyura’. (Lihat I‘ânah Al-Thâlibiîn 2/301)
Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari ‘Asyura’ tanpa berpuasa pada hari Tasu‘a’, supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram. Bahkan Imam Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala menyebutkan di dalam kitab Al-Umm dan Al-Imlâ’ disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu‘a’), kesepuluh (‘Asyura’) dan kesebelas bulan Muharram.
Puasa Nabi Daud
Puasa Nabi Daud ialah puasa yang dikerjakan berselang-seli dengan berpuasa sehari dan berbuka sehari. Ia adalah puasa sunat yang afdhal sekali di antara puasa-puasa sunat sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya: (Lihat Mughni Al-Muhtâj 1/604)
Maksudnya: “Sembahyang yang paling disukai oleh Allah ialah sembahyang Nabi Daud ‘Alaihissalam dan puasa yang paling disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud. Adalah Baginda (Nabi Daud) itu tidur di separuh malam, mendirikan ibadat sembahyang di sepertiga malam, tidur (kembali) di seperenam malam, berpuasa sehari dan berbuka sehari.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam sebuah hadis lain yang bersumber daripada Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma juga bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:
Maksudnya: “Maka berpuasalah engkau (Abdullah bin ‘Amr) sehari dan berbuka sehari (berikutnya), yang sedemikian itu adalah puasa Nabi Daud ‘Alaihissalam dan ia adalah puasa sunat yang afdhal sekali. Maka aku berkata (Abdullah bin ‘Amr): “Sesungguhnya aku mampu lebih daripada sedemikian itu”. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada yang lebih afdhal daripada yang sedemikian itu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Puasa Hari-Hari Putih
Puasa hari putih itu ialah puasa sunat sebanyak tiga hari di setiap bulan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: “Telah berwasiat kepadaku Khalili Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tiga perkara: Berpuasa tiga hari di setiap bulan, sembahyang Dhuha dua rakaat dan sembahyang Witir sebelum aku tidur.” (Hadis riwayat Bukhari)
Puasa putih ini dilakukan pada hari ke 13, 14 dan 15 di setiap bulan dan dinamakan hari-hari tersebut hari putih kerana bulan pada malam itu penuh dan putih terang. Daripada Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Wahai Abu Dzarr! Apabila engkau berpuasa tiga hari daripada sebulan, maka berpuasalah pada 13, 14 dan 15 haribulan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Adalah wajar juga berpuasa pada hari ke 12 di samping berpuasa pada hari-hari yang ke 13, 14, dan 15 sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan bahawa hari yang ke 12 itu adalah awal bagi hari yang ke 13. Dikecualikan berpuasa pada hari yang ke 13 Zulhijjah kerana ia adalah terdiri daripada hari-hari Tasyriq yang diharamkan berpuasa dan digantikan hari tersebut pada hari ke 16 Zulhijjah.
Adapun kelebihan berpuasa di hari-hari putih sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barangsiapa berpuasa daripada tiap-tiap bulan sebanyak tiga hari, maka sedemikian itu (menyamai) puasa selama setahun.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Ini adalah berdasarkan bahawa satu kebajikan itu menyamai sepuluh kebajikan. Dengan berpuasa 3 hari setiap bulan maka ia sebanding berpuasa sebanyak 30 hari dan begitulah seterusnya.
Puasa Hari-Hari Hitam
Puasa hari-hari hitam ialah puasa sunat yang dilakukan pada hari yang ke 28, 29 dan 30 setiap bulan. Dinamakan hari-hari tersebut dengan hari-hari hitam kerana kegelapan malam-malamnya pada waktu itu disebabkan ketiadaan bulan. Maka dengan berpuasa pada tiga hari tersebut itu sebagai permohonan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya menghilangkan kegelapan pada malam-malam itu.
Adalah wajar juga berpuasa pada hari ke 27 di samping berpuasa pada hari-hari ke 28, 29 dan 30 sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan bahawa hari yang ke 27 itu adalah awal bagi hari yang ke 28.
Jika perkiraan bulan hanya 29 hari iaitu tidak genap hingga 30 hari, maka diganti satu hari puasa yang kurang itu pada hari yang pertama bulan yang baru bagi menggenapkan bilangan puasa itu sebanyak tiga hari yang perkiraannya bermula daripada hari yang ke 28.
Puasa Hari Isnin Dan Khamis
Puasa hari Isnin dan Khamis puasa yang disunatkan pada hari- hari tersebut di setiap minggu. Adapun hikmat disunatkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis itu ada hubungkait dengan amal perbuatan manusia di dalam satu minggu. Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid katanya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wasallam (melakukan) puasa pada hari Isnin dan Khamis, dan ditanya (Baginda) akan (sebab) sedemikian itu, Baginda bersabda: “Sesungguhnya amalan manusia itu ditunjukkan (dibentangkan) pada hari Isnin dan Khamis.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam hadis yang lain pula, diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Ditunjukkan amalan (anak Adam) itu pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka supaya ditunjukkan amalanku itu sedang aku berpuasa.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Tersebut di dalam Kitab I‘ânah Al-Thâlibîn bahawa berpuasa pada hari Isnin adalah lebih afdhal daripada berpuasa pada hari Khamis kerana keistimewaan yang berlaku pada hari tersebut. Di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Anshari katanya:
Maksudnya: “Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) akan perihal berpuasa pada hari Isnin, Baginda bersabda: “Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutus atau diturunkan ke atasku (perutusan) pada hari itu.” (Hadis riwayat Muslim)
Puasa Di Bulan-Bulan Haram
Di antara bulan yang disunatkan berpuasa ialah bulan-bulan haram. Bulan-bulan haram adalah terdiri daripada bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. Diriwayatkan daripada Mujibah Al-Bahiliyyah daripada ayahnya atau bapa saudaranya berkata:
Maksudnya: “Sesungguhnya dia pernah mengadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian setelah dia pergi selepas setahun, dia mengadap Baginda sedang perihal dan bentuk (badannya) sudah berubah. Lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah! Tidakkah engkau mengenaliku?” Baginda bersabda: “Siapa awak?” Dia berkata: “Saya adalah Al-Bahili yang datang mengadap engkau pada tahun lalu.” Baginda bersabda: “Apa yang telah membuatmu berubah padahal engkau dahulu mempunyai bentuk (badan) yang bagus?” Dia berkata: “Saya tidak makan makanan kecuali di malam hari sejak berpisah denganmu.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kenapa engkau menyiksa dirimu?” Selanjutnya Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan Sabar (Ramadhan) dan sehari setiap bulan.” Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku, sesungguhnya saya masih kuat.” Baginda bersabda: “Berpuasalah dua hari (setiap bulan)” Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku.” Baginda bersabda: “Berpuasalah tiga hari (setiap bulan)” Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku.” Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab) dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah!
Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah!” Sambil Baginda bersabda itu Baginda memberi isyarat dengan tiga jari, digenggamnya keras kemudian dilepaskannya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berkata Imam Nawawi: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan meninggalkan (setelah tiga hari) kerana menjadi kesusahan ke atasnya memperbanyakkan puasa sebagaimana tersebut di awal hadis. Adapun bagi sesiapa yang tidak menjadi kesusahan ke atasnya, maka berpuasa seluruhnya (di bulan-bulan haram) adalah satu fadhilat.” (Lihat kitab Al-Majmû‘ 6/438, I‘ânah Al-Thâlibîn 2/307)
Dinamakan bulan-bulan ini dengan nama bulan-bulan haram kerana dahulu orang-orang Arab menghormati dan mengagungkannya serta mengharamkan di dalam bulan-bulan tersebut melakukan pembunuhan sehinggakan jika salah seorang daripada mereka bertemu orang yang telah membunuh bapanya, anaknya atau saudaranya di bulan-bulan ini, orang yang membunuh itu tidak akan diganggu.
Adapun bulan yang terlebih afdhal untuk mengerjakan puasa di antara bulan-bulan haram itu ialah bulan Muharram. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: “Puasa yang afdhal sekali selepas puasa di bulan Ramadhan ialah (puasa) di bulan Allah iaitu bulan Muharram, dan sembahyang yang afdhal sekali selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat malam.” (Hadis riwayat Muslim)
Adapun jawapan yang disebutkan oleh para ulama, kenapa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih banyak melakukan puasa-puasa sunat di bulan Sya‘ban daripada bulan Muharram sedangkan bulan Muharram adalah bulan yang lebih afdhal untuk mengerjakan puasa selepas bulan Ramadhan sebagaimana yang tersebut di dalam hadis, ialah:
i. Kemungkinan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengetahui kelebihan bulan Muharram itu ketika di akhir hayat Baginda dan tidak sempat mengerjakannya.
ii. Kemungkinan kebetulan pada waktu itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mendapat keuzuran kerana musafir, sakit atau sebagainya yang menghalang Baginda daripada memperbanyakkan puasa di bulan Muharram itu. (Lihat kitab Al-Majmû‘ 6/439 dan Syarh Shahîh Muslim 4/295)
Puasa Di Bulan Sya‘ban
Adalah disunatkan berpuasa di bulan Sya‘ban sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:
Maksudnya: “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa sehingga kami mengatakan Baginda tidak berbuka, dan Baginda berbuka sehingga kami mengatakan Baginda tidak berpuasa. Saya tidak pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyempurnakan puasa satu bulan kecuali pada bulan Ramadhan dan saya tidak pernah melihat Baginda berpuasa lebih banyak daripadanya pada bulan Sya‘ban.” (Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan berpuasa pada bulan ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid katanya:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku belum pernah melihat engkau berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan sebagaimana (banyaknya) engkau berpuasa di bulan Sya‘ban.” Baginda bersabda: “Sedemikian itu kerana bulan Sya‘ban, bulan yang manusia lalai (kerana terletak) di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan, dan ia adalah bulan di mana diangkat padanya amalan-amalan manusia kepada Allah Rabbul ‘Alamin, maka aku suka supaya diangkat amalanku sedang aku di dalam keadaan berpuasa.” (Hadis riwayat Al-Nasa’i)
Puasa-Puasa Yang Dimakruhkan
Puasa-puasa yang dimakruhkan itu ialah:
i) Puasa Hari Jumaat Atau Hari Sabtu Atau Hari Ahad Semata-Mata
Adalah makruh berpuasa pada hari Jumaat satu-satunya sahaja tanpa disambung sebelum atau sesudahnya dengan puasa yang lain. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Jangan kamu berpuasa pada hari Jumaat sahaja.” (Hadis riwayat Ahmad)
Tetapi jika digabungkan puasa hari Jumaat itu dengan satu hari puasa yang lain sama ada sebelum atau sesudahnya, maka tidaklah dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Jangan berpuasa salah seorang daripada kamu pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau selepasnya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Adapun puasa yang dihukumkan makruh hanya berpuasa sehari semata-mata pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Busr daripada saudara perempuannya sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu melainkan apa yang telah difardhukan Allah ke atas kamu. Jika seorang daripada kamu tidak mendapati (pada hari itu apa-apa makanan) melainkan satu kulit anggur atau ranting pokok, maka hendaklah dia memamahnya (supaya kamu tidak dinamakan berpuasa pada hari itu)” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Oleh kerana itu juga dimakruhkan berpuasa hanya sehari semata-mata pada hari Ahad kerana hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Nashrani. Diriwayatkan oleh Al-Nasa‘i bahawa hari-hari yang paling banyak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa ialah hari Sabtu dan Ahad, dan Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Sabtu dan Ahad adalah dua hari raya bagi orang-orang musyrik dan aku suka supaya aku menyalahi mereka.” (Lihat Mughni Al-Muhtâj 1/603 dan Tuhfah Al-Muhtâj 3/458)
Jika berpuasa pada dua hari tersebut (Sabtu dan Ahad) bersama-sama atau didahului puasa hari Sabtu itu dengan berpuasa pada hari Jumaat atau disambung puasa hari Ahad itu dengan berpuasa pada hari Isnin, maka tidaklah dihukumkan makruh kerana puasa yang sedemikian itu tidak diagungkan oleh mana-mana kaum.
Dihukumkan makruh berpuasa sehari semata-mata pada tiga hari tersebut (Jumaat, Sabtu dan Ahad) apabila tidak ada sebab lain yang dianjurkan untuk berpuasa. Apabila ada sebab lain yang menganjurkan untuk berpuasa seperti bertepatan hari tersebut dengan puasa hari ‘Arafah, ‘Asyura’ atau hari tersebut bertepatan dengan puasa orang yang melakukan puasa Nabi Daud (berpuasa sehari dan berbuka sehari) atau ia melakukan puasa pada hari tersebut kerana puasa qadha atau nazar, tidaklah dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata:
Maksudnya: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat untuk mendirikan sembahyang (malam) daripada malam- malam yang lain, dan jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat untuk berpuasa daripada hari-hari yang lain kecuali satu puasa yang (kebetulan bertepatan) seorang di antara kamu berpuasa (pada hari itu).” (Lihat Mughni Al-Muhtâj 1/603, Fath Al-‘Allâm 4/165 dan Syarh Shahîh Muslim 4274) (Hadis riwayat Muslim)
ii) Puasa Sepanjang Tahun Selain Dua Hari Raya Dan Hari-Hari Tasyrîq
Adalah makruh hukumnya berpuasa sepanjang tahun selain dua Hari Raya dan hari-hari Tasyrîq bagi sesiapa yang takut akan kemudaratan atau terabai hak sama ada yang wajib atau yang sunat. Diriwayatkan daripada ‘Atha bahawa Al-‘Abbas, seorang ahli syair mengkhabarkan kepadanya bahawa dia mendengar Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: “Telah sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawasanya aku terus menerus berpuasa dan mengerjakan sembahyang malam. Sama ada Baginda mengutus seseorang kepadaku (untuk berjumpa Baginda) atau aku sendiri yang menemui Baginda. Maka Baginda bersabda: “Benarkah dikhabarkan bahawa engkau berpuasa dan tidak berbuka dan engkau mengerjakan sembahyanag malam dan tidak tidur? Puasalah sehari dan berbukalah sehari, dan dirikanlah sembahyang malam dan tidurlah, sesungguhnya bagi dua matamu ke atasmu mempunyai bahagian hak dan sesungguhnya bagi dirimu dan keluargamu ke atasmu mempunyai bahagian hak.” Dia berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai kekuatan untuk mengerjakan sedemikian.” Baginda bersabda: “Berpuasalah seperti puasa Nabi Daud ‘Alaihissalam.” Dia berkata: “Bagaimana (puasa Nabi Daud ‘alaihissalam)?” Baginda bersabda: “Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari dan dia tidak lari apabila bertemu musuh (tetap segar dalam menghadapi musuh di medan pertempuran).” Dia berkata: “Aku harus bagaimana (dalam hal ini) wahai Nabi Allah?” ‘Atha berkata: “Aku tidak mengetahui bagaimana disebut perihal puasa sepanjang masa”. Nabi bersabda sebanyak dua kali: “Tidak dianggap berpuasa sesiapa yang berpuasa sepanjang masa.” (Hadis riwayat Bukhari)
Tetapi bagi sesiapa yang tidak takut akan kemudaratan dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada pengabaian hak-hak, tidaklah dihukumkan makruh berpuasa bahkan disunatkan. (Lihat Mughni Al-Muhtâj 1/603 dan Fath Al-‘Allâm 4/165)
Puasa Yang Diharamkan
Puasa yang diharamkan itu ialah:
i) Puasa Pada Hari Raya Fitrah, Adha Dan Hari-Hari Tasyrîq
Adalah diharamkan berpuasa pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha dan pada hari-hari Tasyrîq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah berpuasa dua hari iaitu Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitrah.” (Hadis riwayat Muslim)
Manakala daripada Nubaisyah Al-Hadzali berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Hari-hari Tasyriq adalah hari-hari makan dan minum (bukan hari berpuasa).” (Hadis riwayat Muslim)
ii) Puasa Pada Hari Syak Dan Hari-Hari Separuh Yang Kedua Bulan Sya‘ban
Adalah haram berpuasa sunat pada hari syak iaitu pada 30 haribulan Sya‘ban yang tersebar berita di kalangan orang bahawa anak bulan Ramadhan telah dilihat, akan tetapi tidak disabitkan oleh hakim (pemerintah) kerana tidak dipersaksikan penglihatan anak bulan itu oleh seorang yang adil atau ianya dipersaksikan oleh dua orang kanak-kanak, beberapa orang perempuan, seorang hamba atau seorang fasik. Jika tidak ada tersebar berita tersebut maka tidaklah dikatakan hari itu sebagai hari syak bahkan ia adalah termasuk hari-hari daripada bulan Sya‘ban. Begitu juga adalah diharamkan berpuasa sunat pada hari-hari separuh yang kedua bulan Sya‘ban (16 hingga 30 Sya‘ban) tanpa ada sebab. Diriwayatkan daripada ‘Ammar bin Yasir katanya: (Lihat I‘ânah Al-Thâlibîn 2/309 dan Al-Qâmûs Al-Fiqhi 201)
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari yang syak padanya manusia (hari syak) maka sesungguhnya dia telah menderhakai Abu Al- Qasim Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Manakala diriwayatkan pula daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apabila telah masuk separuh bulan Sya‘ban maka janganlah kamu berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Jika seseorang itu berpuasa pada hari syak atau pada separuh kedua bulan Sya‘ban dengan ada sebab seperti puasa qadha, nazar dan kaffârah atau kebetulan bertepatan hari syak itu dengan puasa yang pada adatnya dia berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis dan puasa sehari dan berbuka sehari atau dia telah berpuasa pada 15 Sya‘ban dan berterusan puasanya itu tanpa berbuka hingga ke hari syak, maka baginya dibolehkan berpuasa pada hari syak dan separuh kedua bulan Sya‘ban itu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: (Lihat I‘ânah Al-Thâlibîn 2/309 dan Fath Al-‘Allâm 4/151-152)
Maksudnya: “Jangan kamu dahului bulan Ramadhan itu dengan berpuasa sehari dan juga dua hari melainkan puasa seseorang yang (kebetulan bertepatan) dia berpuasa (pada adatnya hari itu). (Hadis riwayat Muslim)
iii) Puasa Seorang Isteri Tanpa Keizinan Suaminya Yang Berada Di Dalam Negeri
Adalah haram bagi seorang isteri berpuasa sunat atau puasa qadha muwassa‘ (yang mempunyai masa yang panjang lagi untuk diqadha) tanpa keizinan suaminya yang berada di dalam negeri. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya: (Lihat Tuhfah Al-Muhtâj 3/461)
Maksudnya: “Janganlah seorang perempuan (isteri) berpuasa sedangkan suami ada (di dalam negeri) melainkan dengan keizinan suami; dan janganlah dia mengizinkan (orang lain) masuk rumah suami sedangkan suami ada, melainkan dengan keizinan suami; dan apa pun yang dia nafkahkan daripada hasil kerja suami tanpa perintah suami, maka separuh pahala itu adalah bagi suami.” (Hadis riwayat Muslim)
Demikianlah disebutkan puasa-puasa yang sunat, makruh dan haram. Di antaranya ada yang dihubungkan hukumnya sama ada sunat, makruh dan haram dengan bersempenakan hari-hari tertentu dan ada pula dihubungkan hukumnya sama ada sunat, makruh dan haram dengan keadaan diri orang yang berpuasa. Semoga ia akan menjadi panduan dan rujukan ringkas dalam mengerjakan ibadah puasa-puasa sunat sepanjang tahun.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10385
دليل الألوان
