Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Islam Dan Perancangan Keluarga

الجواب

Agama Islam sangat menggalakkan perkahwinan, dan hadis- hadis shahîh yang menggalakkan berkahwin itu adalah banyak. Umumnya perkahwinan itu sunat, dan dalam keadaan tertentu hukumnya boleh menjadi wajib pula, umpamanya dalam keadaan seorang yang tidak terjamin akan terpelihara kehormatannya melainkan dengan berkahwin maka hukum kahwin di sini (ke atas dirinya) adalah wajib. Salah satu tujuan perkahwinan itu ialah untuk memperolehi zuriat dan untuk memperbanyak keturunan. Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada Anas, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Kamu kahwinilah wanita yang penyayang, yang dapat melahirkan anak yang banyak, kerana sesungguhnya saya akan berbangga dengan kamu kepada nabi-nabi lain pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad)

Oleh itu, tidak hairanlah jika Islam menyuruh memilih bakal calon suami atau isteri dengan melihat daripada berbagai-bagai sudut, di antaranya ialah agama dan keturunannya yang baik, dengan harapan generasi pewaris atau penyambung itu akan terdiri daripada golongan yang sihat dan berkualiti.

Seruan untuk memperbanyak keturunan telah wârid dalam banyak hadis. Oleh kerana itu, memperbanyak keturunan itu sendiri adalah dituntut dan itulah dia matlamat utama perkahwinan dalam Islam di samping memelihara kehormatan dan lain-lain. Sebenarnya memperbanyak keturunan itu adalah fitrah dan tabiat semula jadi manusia, bahkan ia juga tabiat semulajadi haiwan.

Keinginan, kecenderungan atau usaha-usaha yang dirancang untuk mencegah atau menghalang keturunan daripada berkembangbiak, itu adalah bertentangan dengan fitrah, sedangkan Islam itu sendiri ialah agama fitrah. Inilah pandangan syariat secara umum terhadap memperbanyak zuriat.

Perancangan keluarga bererti membatasi kelahiran anak atau menghadkan keturunan. Pada waktu ini banyak cara ke arah tujuan tersebut seperti dengan penggunaan pil-pil dan lain-lain seumpamanya.

Pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kaedah al-‘azl (mengeluarkan air mani di luar rahim) supaya tidak terjadi persenyawaan mani suami isteri telah wujud di kalangan sebahagian para sahabat. Hadis-hadis mengenai al-‘azl itu menjadi sandaran kepada penyokong-penyokong perancang keluarga.

Menurut Al-Imam Al-Ghazali - ulama besar dalam mazhab Syafi‘e - para ulama berbeza pendapat mengenai ketetapan hukum sama ada harus atau makruh melakukan al-‘azl itu. Pendapat yang shahîh (yang benar/yang kuat) pada kami (menurut Al-Imam Al-Ghazali) ialah diharuskan. Yang lebih utama ialah meninggalkan al-‘azl itu.

Menurut Al-Imam Al-Ghazali lagi, dorongan-dorongan melakukan al-‘azl itu ada lima perkara:

Pertama: Untuk menjaga hak pemilikan daripada hilang dengan sebab merdeka, al-‘azl dilakukan sewaktu bersetubuh dengan hamba-hamba wanita yang tinggal di rumah tuannya. Dengan maksud untuk mengekalkan hak milik itu, tidak memberi kemerdekaan dan menolak sebab-sebab kemerdekaan itu, al-‘azl di sini tidaklah dilarang.

Kedua: Untuk mengekalkan kecantikan dan kegebuan isteri supaya suami dapat terus bersenang-senang dengannya dan mengekalkan hidup isteri kerana dikuatiri berlaku bahaya waktu bersalin. Ini juga, tidaklah termasuk larangan melakukan al-‘azl.

Ketiga: Takut mendapat banyak kesusahan dengan sebab ramai anak dan menjaga supaya jangan terlalu penat bekerja serta menjaga supaya tidak masuk ke tempat-tempat yang mendatangkan tohmah hanya untuk mencari rezeki. Al-‘azl dengan sebab ini tidaklah dilarang, kerana kurangnya kesusahan itu boleh menolong melaksanakan perintah agama dengan baik. Namun begitu yang lebih sempurna dan utama adalah bertawakal dan yakin dengan jaminan rezeki Allah sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Dan tidak ada yang merangkak-rangkak di bumi ini (makhluk Allah yang bernyawa) melainkan Allah yang menanggung (memberi) rezekinya.” (Surah Hud ayat: 6)

Tidak boleh tidak bahawa dengan tindakan membuang air mani di luar rahim itu menjatuhkan diri dari tingkat kesempurnaan dan meninggalkan keutamaan. Tetapi memandang kepada akibat dan menjaga harta serta menyimpannya, walaupun bertentangan dengan tawakal, tidaklah kami (Al- Imam Al-Ghazali) akan mengatakan, bahawa tindakan itu termasuk larangan.

Keempat: Takut akan lahir anak-anak perempuan, kerana berkeyakinan bahawa mempunyai anak perempuan dan mengahwinkannya adalah memalukan, sebagaimana terdapat pada adat orang Arab, di mana mereka membunuh anak perempuan.

Ini adalah niat yang buruk. Jikalau ditinggalkannya kahwin atau bersetubuh disebabkan oleh niat tersebut, nescaya berdosalah dia, bukan berdosa dengan sebab meninggalkan kahwin dan bersetubuh, tetapi dengan sebab niat tersebut. Maka begitu pulalah tentang membuang air mani keluar (al-’azl).

Kelima: Wanita enggan berkahwin kerana sangat mementingkan kebersihan. Maka dengan sebab itu terpeliharalah dirinya daripada melahirkan anak, nifas dan penyusuan anak. Hal ini adalah adat kebiasaan wanita kaum Khawarij kerana mereka berlebih-lebihan dalam menggunakan air, sehingga mereka menqadhakan sembahyang-sembahyang mereka di hari-hari haidh. Ini adalah bid‘ah yang menyalahi sunnah. Maka ia adalah niat yang rosak. Disimpulkan bahawa al-‘azl itu diharuskan hanya sebagai suatu keringanan yang sementara apabila timbul sebab-sebab tertentu dan tanpa sebab-sebab ini ianya tidak diharuskan.

Kita wajiblah membuat ketetapan bahawa al-‘azl atau perbuatan seseorang menghindari supaya tidak menjadi benih anak, adalah bertentangan dengan fitrah, bertentangan dengan hadis-hadis Nabawi yang menyeru supaya memperbanyak keturunan dan bertentangan pula dengan hadis-hadis yang jelas menghalang al-‘azl sehinggalah di antara ulama ada yang berkata bahawa hadis-hadis yang melarang al-‘azl ini sebagai membatalkan hadis-hadis yang mengharuskannya kerana suatu keringan, khasnya hadis shahîh yang menyebut:

Maksudnya: “Al-‘azl itu pembunuh yang tersembunyi.”

Kemudian ianya juga adalah bertentangan dengan kaedah yang sudah disepakati umat Islam iaitu kaedah “supaya menjaga keturunan”. Dalam hal ini, para ulama telah sepakat mengatakan bahawa yang mesti dipelihara dan dijaga ada lima perkara; jiwa, agama, akal, keturunan dan harta.

Oleh sebab itu, pendapat mengenai dengan pencegahan keturunan adalah jelas bertentangan dengan amalan menjaga atau memelihara keturunan yang termasuk dalam perkara-perkara yang mesti dilakukan dalam Islam dengan ijmâ‘ ulama.

Daripada kajian yang telah lalu jelas menunjukkan bahawa pencegahan seseorang untuk memperbanyak keturunannya adalah suatu perbuatan meninggalkan yang lebih utama. Jikalau terdapat pada seseorang itu sesuatu yang menyebabkannya berbuat demikian, adalah ianya harus mengikut kadar sejauhmana keringanan itu. Dalam fiqh Islam tidak dijumpai adanya keringanan secara umum bagi satu bangsa, atau sesuatu daerah untuk melakukan pencegahan keturunan ini. Jadi keringanan al-‘azl ini hanyalah berbentuk keringanan secara peribadi.

Selain daripada itu pencegahan keturunan ini adalah termasuk di bawah perkara yang bertentangan dengan prinsip-prinsip yang sudah ditetapkan syara‘, iaitu prinsip menjaga keturunan dan memperbanyak keturunan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beberapa hadis yang disepakati oleh ulama.

Syara‘ tidak mengharuskan pencegahan kehamilan (keturunan) secara kulli (umum) dan tidak juga mengharuskannya sebagai suatu hukum keharusan untuk umum, kerana ini adalah bertentangan dengan ketetapan Allah yang melarang membunuh anak, sebagaimana tersebut di dalam surah Al-An‘âm, ayat 151 dan surah Al-Isrâ’, ayat 31.

Dengan yang demikian, berdasarkan hujah-hujah di atas, perancangan keluarga dalam erti kata membatasi atau menghadkan bilangan anak adalah tidak selaras dengan galakan syara‘. Kita tidak mahu putus keturunan kita, tidak mahu bangsa menjadi sedikit, tidak mahu derhaka kepada Rasul dan kita tidak mahu mengingkari kekuasaan Tuhan yang berkuasa memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya tanpa dapat dikira dan diperhitungkan. Firman Allah:

Tafsirnya: “Dan tidak ada binatang melata di dunia melainkan Allahlah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpannya. Semuanya tertulis dalam Kitab Yang Nyata (Lauh Mahfûzh).” (Surah Hud: 6)

Tidak boleh dinafikan, pertumbuhan penduduk yang pesat atau sebaliknya akan mempengaruhi secara langsung kedudukan politik dan ekonomi sesebuah negara. Bagi setengah negara di dunia ini pertumbuhan penduduk yang tinggi merupakan suatu mala petaka kepada mereka. Namun dari sudut politik dapat dilihat bahawa kekuatan negara berhubung rapat dengan kekuatan penduduknya. Jumlah manusia yang banyak dapat membantu menentukan kekuatan sesuatu negara dan bangsa.

Selain kuasa politik, jumlah penduduk akan mempengaruhi kedudukan ekonomi. Kekuatan ekonomi tidak dapat dipisahkan dengan tenaga manusia, bermula daripada peringkat tenaga buruh sehinggalah ke peringkat tenaga profesional. Tenaga manusia merupakan faktor pengeluaran. Apabila kita bercakap mengenai pembangunan ekonomi, kita tidak dapat lari daripada bercakap mengenai elemen tenaga pengeluaran ini. Siapakah yang akan mengisi elemen ini tanpa kesinambungan hidup manusia? Oleh itu, kelangsungan kelahiran zuriat atau anak adalah penting dalam sudut apapun.

Selain daripada penyebaran pil-pil mencegah beranak yang turut berlaku di setengah negara-negara Islam, di sana ada pula semacam kebimbangan lain yang pernah disuarakan oleh setengah-setengah pihak iaitu tentang kecenderungan cara-cara melahirkan anak melalui pembedahan yang diamalkan sebagai jalan ringkas atau mudah pada masa ini.

Pembedahan biasanya hanya boleh dilakukan untuk dua atau tiga orang anak sahaja dan selepas itu seseorang ibu akan dinasihatkan supaya tidak boleh mengandung lagi atas sebab-sebab keselamatan.

Kiranya ia dilakukan atas sebab-sebab dharurat seperti terpaksa untuk menyelamatkan nyawa ibu atau anak, maka itu adalah perkara khusus yang dipanggil ‘dharurat’, tetapi jika ia dijadikan trend semata-mata kerana memilih jalan mudah yang tiada kena-mengena dengan hukum ‘terpaksa’ atau ‘dharûrah’, maka itu bererti aniaya, zalim, ahmaq dan khianat serta melanggar fitrah dan menyalahi sunnah. Ditambah lagi kiranya ia termasuk suatu rancangan halus musuh Islam dalam jangka panjangnya, dan kita terlibat melaksanakan atau membenarkannya, maka tidak syak lagi adalah hukumnya haram, dosa atas dosa.

Perancangan keluarga mempunyai dua pendekatan:

Pertama: Mengadakan undang-undang atau peraturan yang menghendaki semua pasangan suami isteri tidak boleh mempunyai lebih daripada suatu jumlah atau bilangan anak yang tertentu, tidak kira sama ada pasangan itu mampu atau tidak untuk melahirkan lebih banyak anak atau sebaliknya, sama ada kemampuan itu dari segi ekonomi, fizikal atau lain-lain.

Menghadkan kelahiran seumpama ini dengan kuatkuasa undang-undang atau peraturan tertentu - hatta sekadar laungan-laungan dalam bentuk kempen-kempen - bagi pasangan keluarga tertentu, atau ia dikenakan kepada semua pasangan, adalah menyalahi dan jelas bertentangan dengan syara’ yang menghendaki perkembangan dan pertumbuhan zuriat dan juga bertentangan dengan hikmat Allah menjadikan manusia dan bahkan haiwan untuk beranak-pinak. Ketetapan meramaikan zuriat itu adalah diasaskan kepada firman Allah:

Tafsirnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu; anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu daripada benda-benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (menyembah berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?” (Surah Al-Nahl: 72)

Jadinya, menghadkan kelahiran anak dalam makna yang am di atas, yang dikuatkuasakan kepada semua pasangan suami isteri adalah bertentangan dengan perintah Allah dan RasulNya dan tidak selaras dengan peringatan atau amaran Allah supaya jangan membunuh anak kerana takutkan kelaparan atau kemiskinan.

Kedua: Rancangan keluarga dalam keadaan-keadaan yang khusus atau tertentu. Rancangan yang sedemikian bermakna menyusunnya disebabkan keadaan- keadaan seperti berikut:

(i) Isteri yang terlalu cepat mengandung.

(ii) Isteri yang mengidap penyakit berjangkit.

(iii) Kumpulan kecil yang lemah urat sarafnya menghadapi tanggungjawab atau tugas berat dan banyak, di mana mereka tidak mempunyai kerajaan atau orang-orang kaya yang dapat membantu menanggung beban mereka

(iv) Lain-lain sebab seperti yang telah diterangkan terdahulu, khususnya dengan merujuk pendapat dan ulasan Al-Imam Al-Ghazali.

Maka sesungguhnya perancangan keluarga berdasarkan sebab-sebab seperti di atas, adalah berbentuk perancangan secara peribadi.

Perancangan keluarga dengan pengertian seperti ini (rancangan keluarga secara peribadi), adalah disebabkan oleh sebab-sebab darurat yang khusus, bukan untuk melawan syariat dan naluri semula jadi.

Al-Qur’an sendiri telah pun menghadkan tempoh masa menyusu selama dua tahun penuh, dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memberi irsyâd supaya kanak-kanak jangan menyusu daripada susu perempuan yang sedang mengandung. Ini membawa pengertian bahawa adalah harus menghentikan kehamilan semasa masih dalam tempoh penyusuan itu.

Apabila syariat Islam menuntut supaya umatnya ramai lagi kuat dan tidak lemah longlai, maka syariat juga berusaha memelihara supaya keturunan itu jangan lemah dan longlai, bahkan syariat berusaha menjauhkan kemudaratan yang akan menimpa manusia ketika hidup melalui kaedah syariat yang berbunyi:

Ertinya: “Kemudaratan itu dihapuskan sekadar yang perlu sahaja.”

Bertolak dari sini, maka para ulama telah memutuskan bahawa adalah harus mencegah hamil atas usaha suami isteri secara berjangka, atau untuk selamanya jika sekiranya terdapat pada keduanya atau pada salah seorang daripada keduanya penyakit, yang mana dengan kehamilan mungkin penyakit itu akan berjangkit kepada keturunan atau anak cucu.

Oleh sebab itu, jika pun terpaksa dilakukan, rancangan keluarga itu hendaklah atas sebab-sebab darurat yang tidak meliputi umum, yakni secara perseorangan sahaja mengikut kadar kemudaratan bagi yang bersangkutan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10414

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص