Polisi Dan Prioriti Berbelanja
الجواب
Pemilikan manusia terhadap aset-aset yang terdapat di muka bumi ini, sama ada yang terdapat di dalam perut bumi, di atas permukaan bumi, di dasar lautan atau di mana-mana pun jua, bukanlah satu pemilikan yang mutlak di sisi Islam. Manusia hanya dianggap sebagai pemegang amanah atau sebagai wakil untuk mentadbir dan mengurus rezeki yang dikurniakan Allah Ta‘ala kepada mereka. Allah tetap Pemilik yang mutlak terhadap segala sesuatu kerana Dialah yang menjadikan segala punca rezeki dan sumber pengeluaran hasil serta memudahkan jalan untuk memperolehinya. Selaras dengan apa yang disifatkan kepada manusia itu, Al-Qur’an ada menyebutkan:
Tafsirnya: “Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil.” (Surah Al-Hadîd: 7)
Di dalam konteks ayat di atas jelas bahawa manusia itu dilantik sebagai khalifah yang diwakilkan untuk mentadbir dan mengurus segala apa yang direzekikan kepadanya, selaras dengan tuntutan yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Status pemilikan tidak mutlak ini bukanlah bererti Islam menafikan status pemilikan individu. Bahkan Islam tetap mengakui dan mendukung pemilikan individu, di mana setiap individu mempunyai hak untuk mengguna dan mempertahankan hak miliknya daripada diganggu-gugat dan dicerobohi oleh orang lain. Begitu juga, Islam tidak melarang setiap orang untuk mengumpul harta sebanyak mungkin selama mana harta yang dikumpulkan itu melalui cara yang halal. Namun ini adalah terbatas dalam konteks hubungannya sesama manusia. Di dalam konteks hubungannya dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pula, pemilikannya itu tidak lebih daripada seorang khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir dan mengurus.
Sememangnya tujuan hidup bagi setiap orang ialah untuk beribadat dan mengabdikan diri semata-mata kepada Allah Ta‘ala. Selari dengan tujuan ini, Islam menggalakkan penganutnya mencari harta supaya mereka dapat beribadat dengan harta yang diperolehi, seperti digunakannya untuk memenuhi keperluan hidup dengan membeli makanan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya, dengan niat akan membolehkan atau memudahkannya melakukan ibadat seharian. Kemudian jika ada kelebihan digunakannya pula untuk mengeluarkan zakat, bersedekah, menunaikan fardhu haji dan sebagainya.
Selaras dengan konsep tersebut, seorang muslim yang beriman kepada Allah dan RasulNya adalah dengan sendirinya terikat dengan cara bagaimana dia berbelanja, mengguna atau menafkahkan harta yang diperolehinya, dan bagaimana dia memperkembang dan mengusahakannya supaya menjadi bertambah. Maknanya, segala pengurusan terhadap harta yang dimiliki tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya tanpa memerhati tuntutan-tuntutan dan batasan-batasan syara‘. Dalam makna yang lain, hendaklah dia patuh kepada petunjuk-petunjuk dan aturan-aturan yang telah diperuntukkan oleh pemiliknya yang mutlak iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Seseorang itu tidak boleh menggunakan hartanya sesuka hati sebagaimana yang pernah berlaku kepada penduduk Madyan, di mana mereka mengatakan kepada Nabi Syu‘aib ‘Allaihissalam:
Tafsirnya: “Wahai Syu‘aib, adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami tinggalkan apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami?” (Surah Hud: 87)
Orang-orang Madyan menyangka bahawa pemilikan terhadap harta membolehkan mereka mengurus dan membelanjakannya mengikut sesuka hati mereka, sekalipun dengan cara yang bertentangan dengan nilai-nilai akhlak dan kepentingan masyarakat.
Sehubungan dengan ini juga, Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang daripada membenarkan safîh (orang yang bodoh atau yang belum sempurna akalnya) dalam menguruskan hartanya, kerana ditakuti akan dibelanjakan dan dihambur-hamburkannya tanpa perhitungan. Tegahan ini jelas disebutkan di dalam Al-Qur’an:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang safih (yang belum sempurna akalnya) akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu.” (Surah Al-Nisâ’: 5)
Terdapat ulama tafsir mentafsirkan perkataan sufahâ’ (kata majmuk safîh) sebagai orang yang membazir di kalangan laki- laki dan perempuan dewasa serta kanak-kanak, yang membelanjakan hartanya pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan tidak mampu mengurusnya dengan baik.(Al-Tafsîr Al-Munîr, Dr. Wahbah Al-Zuhaili 4/247)
Oleh itu, memandang kepada kewajipan dan kepentingan umat Islam dalam menjaga dan menguruskan harta dengan baik maka orang-orang seperti ini boleh ditegah daripada mengurus dan membelanjakan harta milik mereka.
Siâsah Berbelanja
Dikatakan bahawa banyak orang pandai mencari dan mengumpulkan harta, tetapi sangat sedikit orang yang pandai berbelanja. Hatta kelompok sedikit yang pandai berbelanja itupun belum tentu menepati tuntutan-tuntutan dan batas-batas yang digariskan oleh syara‘. Oleh kerana itu Islam telah menyediakan garispandu bagaimana seseorang itu membelanjakan hartanya supaya tidak terbabas kepada pembaziran, lebih-lebih lagi bukan kerana tujuan-tujuan maksiat sehingga dalam perkara-perkara harus sekalipun hendaklah diperhatikan sejauhmana keutamaan sesuatu perbelanjaan yang harus itu.
Berikut ini beberapa siâsah atau polisi bagaimana membelanjakan harta:
1. Hendaklah dibelanjakan bagi keperluan diri, keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Oleh itu, tidak harus bagi pemilik harta menggenggam tangannya atau berlaku bakhil dalam membelanjakan hartanya untuk keperluan nafkah yang wajib bagi diri dan keluarganya. Perbuatan bakhil atau menahan harta daripada membelanjakannya merupakan perbuatan yang dilarang di dalam Islam. Ia boleh menjadi punca kerosakan kepada masyarakat. Perkara ini jelas sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadis:
Maksudnya: “Jauhilah kamu akan kekikiran, kerana sesungguhnya umat yang terdahulu hancur disebabkan kekikiran; kekikiran memerintahkan mereka supaya berlaku bakhil, lalu mereka menjadi bakhil, kekikiran memerintahkan mereka supaya memutuskan tali kekeluargaan, lalu mereka memutuskannya dan kekikiran memerintahkan mereka supaya berbuat kejahatan, lalu mereka memperbuat kejahatan.” (Hadis dikeluarkan oleh Abu Daud dan Nasa’i)
2. Hendaklah dibelanjakan dalam menunaikan hak-hak wajib yang tertanggung ke atas pemilik harta. Oleh itu, dilarang berlaku bakhil dalam membelanjakan harta untuk menunaikan hak-hak yang wajib ke atasnya. Adakalanya hak-hak tersebut merupakan sesuatu yang tetap, seperti membelanjakan harta untuk mengeluarkan zakat, memberi nafkah kedua ibu bapa serta keluarga. Adakalanya juga hak-hak orang lain yang mesti ditunaikan itu merupakan sesuatu yang mendatang secara tiba-tiba, seperti memberi bantuan atau pertolongan kepada orang yang ditimpa musibah atau bencana, meraikan tetamu, memberi pinjaman wang atau barang-barang yang berguna kepada yang berhajat dan sebagainya.
Agama Islam sangat mendukung akan kepentingan hak-hak ini. Ini dijelaskan di dalam beberapa ayat Al-Qur’an, di antaranya:
Tafsirnya: “Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu, bagi orang miskin yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mau meminta).” (Surah Al-Ma‘ârij: 24 – 25)
Di dalam ayat yang lain disebutkan:
Tafsirnya: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing- masing.” (Surah Al-Isrâ’: 26)
3. Belanjawan yang seimbang di antara kadar pendapatan dan perbelanjaan. Oleh itu, tidak wajar jika seorang yang mempunyai pendapatan dua puluh ringgit sehari tetapi berbelanja lebih daripada dua puluh ringgit sehari. Perbelanjaan yang tidak seimbang dengan pendapatan menyebabkan seseorang itu akan berhadapan dengan kehidupan yang tidak stabil. Akibatnya apabila berlaku sesuatu krisis kedudukan ekonomi keluarga berada di tahap yang tidak terkawal, di mana kadang-kadang menyebabkan perkara berhutang tidak dapat dielakkan.
Soal berhutang bukanlah tidak diharuskan, tetapi perlu diingat risiko berhutang itu amat besar, kerana sebagaimana maksud sebuah hadis bahawa berhutang itu pada awalnya adalah dukacita dan penghujungnya pula mengambil harta orang lain dengan tidak mengembalikannya. Apa tidaknya, seorang yang meminjam harta orang lain kemudian tidak mengembalikannya semula, sama ertinya mengambil harta orang lain. Di dalam maksud hadis yang lain juga diperingatkan tentang risiko berhutang, di mana hutang itu merupakan kegelisahan di waktu malam dan suatu penghinaan di siang hari.
Apa yang biasa berlaku, berhutang itu adalah lebih senang dan mudah berbanding ketika hendak membayar balik. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam selalu meminta perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar dijauhkan daripada bebanan hutang. Dengan alasan bahawa seseorang apabila berhutang, jika dia bercakap-cakap dia akan berdusta, apabila dia berjanji dia akan memungkiri.
Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam selalu berdoa di dalam sembahyang:
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada seksa kubur, dan aku berlindung denganMu daripada fitnah Masîh Dajjal, dan aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan fitnah kematian. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada dosa dan hutang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Lalu seorang berkata kepada Rasulullah: “Alangkah kerapnya tuan memohon perlindungan (supaya dijauhi) daripada hutang?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya seorang apabila berhutang, jika dia bercakap dia akan berdusta, apabila dia berjanji dia akan memungkiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Doa Baginda lagi mengenai dengan perlindungan supaya terhindar daripada tekanan hutang:
Maksudnya: “Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada resah gelisah dan dukacita, dan aku berlindung denganMu daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung denganMu daripada rasa takut dan kebakhilan, dan aku berlindung denganMu daripada tekanan hutang dan kekuasaan orang lain.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Oleh itu, seorang yang berbelanja pada kadar yang melebihi daripada kadar pendapatan, keperluan dan kemampuannya, maka ini yang dikatakan sebagai perbuatan melampau-lampau atau berlebih-lebihan yang ditegah oleh Islam. Sebenarnya kebijaksanaan dalam merancang perbelanjaan supaya tidak berlaku ketidakseimbangan dengan pendapatan adalah amat perlu, di mana natijahnya akan membawa kepada sikap berbelanja yang lebih terarah, bahkan akan mewujudkan sikap berjimat cermat.
4. Bersikap sederhana dalam perbelanjaan. Maknanya, dalam mengatur perbelanjaan seseorang itu mestilah berpaksikan sikap kesederhanaan, iaitu tidak bersikap bakhil atau kedekut dan tidak juga bersikap boros, berlebih-lebihan atau membazir. Sederhana itu berada di antara dua sikap tersebut. Konsep kesederhanaan ini sangat didukung oleh Islam dan merupakan satu sikap yang menyebabkan seorang itu mendapat keredhaan Allah Ta‘ala, sebagaimana dijelaskan di dalam Al-Qur’an melalui firmanNya:
Tafsirnya: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah Al-Furqân: 67)
Di dalam ayat yang lain disebutkan:
Tafsirnya: “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya kerana akibatnya akan tinggallah engkau dalam keadaan yang tercela dan menyesal.” (Surah Al-Isrâ’: 29)
Melalui ayat di atas, digambarkan bahawa orang yang bakhil itu diumpamakan seperti orang yang membelenggu tangannya di lehernya sehingga susah untuk mengeluarkan hartanya. Orang yang boros pula diumpamakan seperti orang yang menghulurkan tangannya dengan mencurah-curahkan hartanya tanpa ada perhitungan.
Allah melarang seseorang daripada bersikap bakhil sebagaimana juga Dia melarang bersikap boros, di mana natijah daripada bersikap bakhil itu akan menyebabkan mendapat celaan di sisi Allah dan menimbulkan kebencian di sisi manusia. Sementara natijah daripada bersikap boros itu akan membawa kepada penyesalan bila mana harta habis setelah dibelanjakan atau dikeluarkan tanpa perhitungan dan pertimbangan.
5. Tidak dibelanjakan pada perkara-perkara yang diharamkan. Aspek berbelanja pada perkara-perkara yang diharamkan itu bukan saja berbelanja untuk sesuatu yang diharamkan, seperti berjudi, memberi rasuah atau membeli minuman keras dan seumpamanya, bahkan juga berbelanja untuk sesuatu yang diharuskan tetapi dengan kadar yang berlebih-lebihan atau melampau. Sebab, sikap berlebih-lebihan dan membazir itu adalah dilarang dalam Islam. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan.” (Surah Al-Isrâ’: 26-27)
Tiga Keutamaan/Prioriti Dalam Perbelanjaan
Dalam aspek berbelanja bagi keperluan penggunaan (consumption), Islam telah mengatur sistem tiga keutamaan/prioriti. Apa yang dimaksudkan dengan keutamaan/prioriti dalam konteks ini ialah mendahulukan atau mementingkan apa yang lebih utama. Di samping itu tujuannya ialah untuk memenuhi keperluan hidup dengan melihat tuntutan yang mana satu yang mesti didahulukan. Terdapat tiga peringkat keutamaan/prioriti yang dimaksudkan, iaitu al-dharûriyyât (هرُورَّيه تالض), al-hâjjiyyât (ا ْلَْاجيهات) dan
Apa yang dimaksudkan dengan al-dharûriyyât itu ialah keperluan asas yang mesti dipenuhi. Sebagai contoh keperluan yang amat diperlukan oleh setiap orang untuk hidup ialah makanan, minuman, tempat tinggal dan pakaian untuk menutup aurat. Pendek kata, manusia tidak akan dapat hidup tanpa memenuhi keperluan-keperluan seperti ini.
Islam dalam tujuannya mengatur perbelanjaan lebih mengutamakan untuk memenuhi keperluan asas ini bagi setiap individu dan masyarakat, di mana melaluinya akan terpeliharalah agama, kehidupan, keturunan, kehormatan dan keamanan. Tujuan yang pertama ini mengambil tempat yang paling utama berbanding keperluan-keperluan yang lain.
Apa yang dimaksudkan dengan al-hâjiyyât itu ialah keperluan untuk memenuhi kehidupan yang lebih sempurna bagi memudahkan dalam memikul bebanan dan kewajipan kehidupan man. Ianya bolehlah dicontohkan seperti keperluan perbelanjaan untuk rawatan kesihatan, perbelanjaan untuk pendidikan dan memiliki kenderaan. Dalam erti kata lain, walaupun manusia boleh hidup tanpa keperluan yang berupa al-hâjiyyât ini, akan tetapi kehidupannya itu berada pada tahap yang serba kekurangan. Ini merupakan satu lagi tujuan Islam dalam mengatur perbelanjaan dan diletakkannya sebagai keutamaan/prioriti yang kedua selepas al-dharûriyyât.
Apa yang dimaksudkan dengan kategori ini ialah segala yang menyempurnakan kehidupan seharian atau disebut sebagai pelengkap, kerana tujuan Islam seterusnya dalam mengatur perbelanjaan manusia ialah untuk memenuhi keperluan kehidupannya yang berupa pelengkap atau penyempurna kedua-dua keutamaan sebelumnya. Ini bolehlah diumpamakan seperti perbelanjaan untuk membeli kenderaan tambahan, perabot rumah, barang-barang perhiasan dan sebagainya. Dalam erti kata lain, manusia boleh hidup dengan baik walaupun tidak memiliki dan menikmati keperluan dalam kategori ini. Justeru itu kategori ini diletakkan sebagai keutamaan/prioriti ketiga selepas al-dharûriyyât dan al-hâjiyyât.
Ketiga-tiga keutamaan/prioriti yang disebutkan ini perlulah dibezakan supaya setiap orang dapat menentukan keutamaan/prioriti yang mana satu yang harus didahulukan atau diutamakan. Keutamaan al-dharûriyyât mestilah didahulukan daripada keutamaan al-hâjiyyât, dan keutamaan al-hâjiyyât mestilah didahulukan daripada keutamaan al-tahsîniyyât.
Apabila setiap orang kenal dan menghayati akan ketiga-tiga peringkat keutamaan/prioriti ini maka cara berbelanja dan harta yang dibelanjakan akan lebih terarah dan lebih mendatangkan manfaat. Bukan saja pada diri sendiri dan orang-orang yang mempunyai hak terhadapnya bahkan juga pada masyarakat keseluruhannya.
Bersikap berhati-hati dan berhemat amat penting dalam berbelanja. Apabila hendak berbelanja, cuba renungkan terlebih dahulu, apakah tindakan ini wajar. Apakah sudah tertunai hak orang lain di dalam harta yang dimiliki, apakah sudah tertunai kewajipan zakat atau sebagainya? Semua ini memerlukan pertimbangan yang wajar.
Sebagaimana yang kita sebutkan terdahulu, perbelanjaan hendaklah seimbang dengan kadar pendapatan. Namun melihat realiti kehidupan masyarakat, memang tidak dapat dinafikan adanya golongan orang yang terpaksa berbelanja melebihi daripada kadar pendapatannya. Bukan disebabkan berlaku boros tetapi atas desakan untuk memenuhi keperluan hidup yang asasi. Mungkin disebabkan terpaksa menyara keperluan ahli keluarga yang mempunyai bilangan yang banyak sedangkan pendapatannya adalah kecil. Ini tidaklah dikategorikan sebagai berlebih-lebihan dalam berbelanja. Inilah golongan fakir atau miskin yang perbelanjaan asasnya lebih daripada pendapatan. Di sinilah peranan zakat atau institusi Baitulmal dalam membantu golongan ini. Lebih-lebih lagi mereka ada hak terhadap harta zakat. Pembelaan terhadap golongan ini adalah suatu kewajipan.
Memahami akan realiti ini, setiap anggota masyarakat yang mempunyai lebihan atau tambahan daripada keperluan yang ada bolehlah diperuntukkan kepada saudara Islamnya yang tidak berkecukupan umpamanya dalam konteks fakir atau miskin di atas. Hal ini ada relevannya jika kita memerhati satu riwayat daripada Abu Sa‘id Al-Khudriy, beliau berkata: “Ketika kami dalam perjalanan bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba datang seorang lelaki menunggang kenderaannya, lalu dia memalingkan pandangannya ke kanan dan ke kiri. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa membawa tunggangan (kenderaan) tambahan, maka hendaklah dia memberikan tambahan itu kepada orang yang tidak mempunyai tunggangan, dan barangsiapa memiliki lebihan bekalan, maka hendaklah dia memberikan lebihan itu kepada orang yang tidak mempunyai bekalan.” (Hadis riwayat Muslim)
Abu Sa‘id berkata lagi: “Selanjutnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan berbagai jenis harta, hingga kami melihat bahawa tidak ada seorang pun di antara kami yang mempunyai hak untuk memiliki apa-apa lebihan (atau tambahan).”
Imam Nawawi menegaskan bahawa di dalam hadis tersebut terdapat pengajaran tentang galakan memberi sedekah, bersifat dermawan, menolong melegakan kesusahan, berlaku ihsan terhadap teman dan sahabat serta mengambil berat tentang kebajikan mereka. (Shahîh Muslim bi Syarh Al-Nawawi 6/275)
Oleh itu dalam konteks ini, orang yang sudah mencukupi keperluan al-dharûriyyât diri dan keluarganya serta mempunyai lebihan daripada keperluan tersebut, maka bolehlah digunakan untuk menampung keperluan al-dharûriyyât orang lain yang tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi keperluan al-dharûriyyâtnya sendiri. Begitu juga seterusnya, seorang yang sudah mencukupi keperluan al-hâjiyyât diri dan keluarganya serta mempunyai lebihan daripada keperluan tersebut, maka bolehlah digunakan untuk menampung keperluan al-hâjiyyât orang lain.
Dengan demikian, setiap anggota masyarakat mestilah bersepadu tolong menolong antara satu sama lain dalam memenuhi keperluan-keperluan seperti ini, lebih-lebih lagi keperluan-keperluan bagi orang-orang yang berhak mendapat nafkah atau perbelanjaan daripada mereka yang terdiri daripada ahli keluarga.
Fenomena yang terjadi dalam masyarakat, terdapat orang yang lebih suka berbelanja pada perkara-perkara sampingan atau perkara-perkara yang tidak mustahak atau bermewah-mewah. Ada juga yang bersikap ‘tidak mengapa poket kosong asal bergaya’ semata-mata hendak menjaga status.
Sesungguhnya Al-Qur’an sendiri menegaskan tentang bahaya bermewah-mewah sekalipun bagi orang yang mampu. Hal ini diceritakan di dalam surah Saba’:
Tafsirnya: “Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri seseorang Rasul pemberi amaran melainkan orang- orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”. Dan mereka berkata lagi: “Kami lebih banyak harta benda dan anak-pinak, dan kami pula tidak akan diseksa.” (Surah Saba’: 34-35)
Ayat ini memberi isyarat bahawa kesombongan lantaran mempunyai harta dan anak-pinak yang banyak merupakan fenomena yang menjadi penghalang untuk menerima kebenaran dan hidayat. Inilah yang sering terjadi di kalangan manusia sejak dahulu lagi. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta nabi-nabi sebelum Baginda bila menyampaikan dakwah, yang terlebih dahulu menentang ialah orang-orang kaya dan ketua-ketua kerana merasakan kedudukan dan pengaruh mereka akan terancam.
Di zaman Nabi Nuh pernah orang-orang yang mewah menyatakan bahawa mereka bersedia menjadi pengikut Baginda kalau orang-orang yang rendah tarafnya disingkirkan. Penghalang Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam di kalangan Quraisy terdiri daripada orang-orang kaya, hartawan, saudagar dan orang-orang terkemuka. Orang-orang yang mewah ini mengatakan, kami dilebihkan dengan mempunyai harta dan anak-pinak yang berkembang biak. Itu semua adalah tanda bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala kasih kepada kami. Tentu kami tidak akan diberi rezeki sebanyak itu jika Tuhan tidak kasih dan redha pada kami. Demikianlah dakwaan dan anggapan mereka semata-mata.
Kemudian Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyanggah dakwaan dan anggapan mereka itu dengan berfirman:
Tafsirnya: “Dan bukanlah hartabenda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikit pun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di syurga) dengan aman sentosa.” (Surah Saba’: 37)
Perjalanan sejarah membuktikan bahawa keruntuhan sesuatu bangsa ialah apabila kemewahan sudah berlebih-lebihan dan nilai-nilai kebenaran tidak dipedulikan. Kejatuhan bangsa- bangsa Yunani dan Romawi purbakala ialah apabila kemewahan telah menguasai dan merosak jiwa mereka. Orang Islam sendiri pernah memerintah di Sepanyol selama 700 tahun. Sepanyol pernah menjadi kemegahan Islam dengan seninya yang tinggi dan penyumbang tamadun dunia yang kesannya dapat dilihat hingga ke hari ini. Tetapi mereka akhirnya diusir dari Jazirah Iberia dan tidak dapat lagi mempertahankan diri setelah jiwa mereka diseliputi oleh kemewahan. Sehingga terjadi satu peperangan di antara orang Islam dengan orang Nashrani yang ingin merebut kembali kuasa atas negerinya, tentera Islam tampil ke medan peperangan dengan pakaian sutera berwarna-warni, pelana kuda yang bertatahkan emas dan perak, sedang orang Nashrani tampil dengan topeng dan pakaian peperangan yang diperbuat daripada besi, di mana akhirnya tentera Islam kalah walaupun bilangannya mengatasi kaum Nashrani. Inilah kesan kemewahan yang berlebihan yang menguasai diri manusia dan memadamkan semangat perjuangan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.” (Surah Al-Isrâ’: 16)
Di dalam ayat yang lain disebutkan:
Tafsirnya: “Dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang melakukan kezaliman, dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai gantinya. Maka tatkala mereka merasai (kedatangan) azab Kami, mereka dengan serta merta lari keluar dari negeri itu. (Lalu dikatakan kepada mereka): “Janganlah kamu lari, dan sebaliknya kembalilah kepada kemewahan hidup yang telah diberikan kepada kamu, dan ke tempat-tempat tinggal kamu, supaya kamu dapat ditanya mengenai apa yang berlaku.” (Surah Al-Anbiyâ’: 11-13)
Perbelanjaan dan pengeluaran harta yang tidak terkawal atau pemborosan boleh dibendung dengan membuat tabungan. Banyak faedah yang dapat diperolehi daripada amalan menabung. Kesan utama yang timbul daripada tabiat menabung ialah terhindarnya inflasi, iaitu situasi di mana wang ringgit terlalu banyak di pasaran dan kuasa beli pengguna terlalu tinggi. Apabila menabung, daya membeli akan berkurangan dan kestabilan harga barang dapat diwujudkan.
Selain dari itu, menabung juga memberi faedah sebagai persediaan menghadapi keadaan-keadaan tertentu terutama ketika keadaan kecemasan, dan juga sebagai persediaan untuk menghadapi hari muka. Lebih jauh daripada itu adalah untuk faedah dan kepentingan umat Islam.
Sebagai suatu kesimpulan bahawa kebijaksanaan dalam pentadbiran kewangan dan harta adalah di antara faktor penting kejayaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Seseorang yang dapat memaksimakan fungsi akalnya khususnya dalam mentadbir harta dan kewangan menurut etika Islam, bukan sahaja akan menguntungkan dirinya, malah memberi faedah kepada individu lain, masyarakat dan seterusnya kepada negaranya. Dia akan dapat mengagihkan hartanya kepada sesiapa yang berhak menerimanya dengan mengambil kira bahawa hartanya bukan miliknya yang mutlak, menitikberatkan kewajipan mengeluarkan zakat, menolong sanak saudara yang miskin dan membantu saudara Islamnya yang memerlukan. Semua perlakuan ini akan membantu untuk memperolehi keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Oleh itu, dalam memenuhi keperluan-keperluan berbelanja kebijaksanaan amat perlu, dan mesti tahu serta kenal apakah petunjuk-petunjuk yang digariskan dalam Islam. Apabila perbelanjaan berpaksikan kepada petunjuk-petunjuk tersebut, baik dari segi polisi dan keutamaan/prioriti, maka ianya akan lebih terarah dan tidak akan berlaku penyelewengan dalam penggunaan harta yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada manusia.
Biarlah setiap sen wang yang dibelanjakan bukan setakat untuk memenuhi selera tetapi matlamat yang ingin dicapai ialah mendapat berkat dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10418
دليل الألوان
