Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة٠ مشاهدة

Memberi Atau Menjual Daging Korban Kepada Orang Kafir

الجواب

Hari Raya Adha atau Hari Raya Korban adalah di antara syiar agama Islam. Pada hari tersebut umat Islam disunatkan menyembelih binatang korban bagi membesarkannya. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. ajj: 36)H-(Surah Al

Menurut hukum syara‘ binatang korban yang disembelih itu hendaklah terdiri daripada binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau atau kambing dengan tujuan menghampirkan diri dan taat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Selain itu menyembelih korban juga merupakan amalan yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sebagai bukti serta keikhlasan kita dalam menghidupkan syiar agama Islam. Ini jelas difahami daripada firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Daging dan darah binatang korban atau hadyi itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu. ajj: 37)H-(Surah Al

Menurut mazhab Syafi‘e menyembelih binatang korban adalah sunat yang dituntut (mu’akkadah). Ibadat korban ini hanya sah dilakukan untuk diri sendiri. Dengan demikian adalah tidak sah menyembelih korban untuk orang lain yang masih hidup kecuali dengan ada izinnya. Begitu juga tidak sah menyembelih korban untuk orang yang telah meninggal dunia kecuali ada wasiatnya. Walau bagaimanapun pahala menyembelih korban itu boleh diniatkan untuk dikongsi oleh orang lain seperti keluarganya.

Hukum Daging Korban

Hukum menyembelih binatang korban itu ada dua, iaitu korban wajib dan korban sunat. Adapun korban wajib itu seperti korban yang dinazar atau diwasiatkan.

Terdapat beberapa hukum yang perlu diambil perhatian berhubung dengan daging korban itu. Jika sembelihan binatang korban itu sebagai korban wajib, maka daging tersebut wajib disedekahkan kesemuanya. Haram bagi orang yang berkorban itu dan orang-orang yang di bawah tanggungannya memakan daging tersebut. Jika dimakannya daging itu, wajib dia mengganti kadar daging yang dimakannya dan kemudian disedekahkannya, tetapi tidak wajib dia menyembelih semula binatang yang lain sebagai ganti.

Manakala daging korban sunat pula, sunat bagi orang yang empunya korban itu memakan sebahagian daripadanya, sebagaimana dijelaskan oleh Al- Qur’an;

Tafsirnya: Dengan demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. ajj: 28)H-(Surah Al

Walau bagaimanapun lebih baik (afdhal) disedekahkan semuanya, melainkan dimakannya sedikit kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada mementingkan diri sendiri. Tetapi makan di sini bukanlah bererti dia wajib memakannya.

Bahagian daging yang dimakan oleh yang empunya korban itu, afdhalnya ialah hatinya kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memakan sebahagian daripada hati binatang korbannya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam memakan daripada hati binatang korbannya. (Hadis riwayat Baihaqi)

Sekalipun daging korban sunat itu boleh dimakan oleh orang yang berkorban namun haram baginya memakan kesemua daging tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. (Surah Al-Hajj: 36)

Sebahagian daripada daging korban sunat itu, wajib disedekahkan dalam keadaan mentah lagi basah kepada fakir miskin sekalipun ia hanya disedekahkan kepada seorang miskin sahaja. Jika dimakan kesemua daging korban sunat itu dan tiada sedikitpun yang disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, korban tersebut tetap sah, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging yang lain kadar yang wajib disedekahkan sebagai gantinya. Namun dari segi pahalanya orang tersebut tidak mendapat pahala korban sepenuhnya.

Selain daripada disedekahkan, daging-daging korban sunat itu harus dihadiahkan kepada orang kaya untuk dimakan sahaja, bukan sebagai milik kepada mereka. Ini bererti mereka tiada hak untuk menjual atau menghadiahkannya kepada orang lain dan seumpamanya. Berlainan halnya dengan orang fakir dan miskin, yang mana daging itu adalah menjadi milik mereka dan harus bagi mereka menjual atau memberikan daging tersebut kepada orang lain.

Begitu juga haram atas orang yang berkorban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada korban itu, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Siapa yang menjual kulit korban (udhhiyah) itu maka tiada dikira baginya korban. (Hadis riwayat Al-Hakim)

Kulit atau daging binatang korban itu juga haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.

Daging korban yang disedekahkan kepada orang fakir miskin itu mestilah dalam keadaan mentah. Berbeza halnya dengan daging korban yang dihadiahkan kepada orang kaya, di mana daging tersebut boleh dihadiahkan dalam keadaan mentah ataupun sudah dimasak. (I‘ânah Ath-Thâlibîn: 2/333- 334)

Tidak memadai jika yang diberikan kepada orang fakir miskin itu hanya kulitnya, bulunya, tanduknya, kukunya dan sebagainya.

Daging-daging korban atau mana-mana bahagian daripadanya sama ada korban wajib atau sunat yang disedekahkan kepada orang fakir miskin atau yang dihadiahkan kepada orang kaya itu adalah terhad kepada mereka yang beragama Islam sahaja. Haram memberi, menghadiahkan atau menjual daging korban tersebut kepada orang bukan Islam, sekalipun fakir miskin itu terdiri daripada kafir dzimmi (Mathla‘ Al-Badrain: 81). Ini adalah disebabkan menyembelih binatang korban itu adalah merupakan ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh sebab itu, sekiranya ada bahagian daging tersebut yang diberikan, dihadiahkan atau dijual kepada orang bukan Islam, maka wajib diganti dengan daging yang lain sekira-kira menyamai kadar berkenaan.

Demikianlah penentuan hukum syara‘ berkenaan dengan daging korban yang perlu kita ambil perhatian sepenuhnya semoga dengan demikian ibadat korban yang kita lakukan itu diterima oleh Allah Subhanhu wa Ta‘ala.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10575

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص