Kelebihan Hadir Awal Ke Masjid Pada Hari Jumaat
الجواب
Matlamat hidup manusia adalah untuk mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kebahagiaan itu pula akan dijamin datang apabila manusia mahu melaksanakan perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Antara perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang wajib ditunaikan ialah sembahyang. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya; dan mereka yang mejauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (Surah Al-Mu’minûn: 1-3)
Berdasarkan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa kebahagiaan dan kemenangan hidup itu hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang beriman, orang-orang yang menjaga sembahyangnya dan orang-orang yang menjauhkan dirinya daripada perbuatan sia-sia.
Sembahyang adalah salah satu daripada rukun Islam dan merupakan suatu ibadat yang sangat penting dalam Islam. Malah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegaskannya dalam sabda Baginda:
Maksudnya: “Mahukah kamu aku memberitahukan bahawa dasar (punca) segala urusan, tiangnya dan puncaknya?” Aku menjawab: “Ya! Wahai Rasulullah”, lalu Baginda bersabda: “Dasar (punca) segala urusan adalah Islam (dua kalimah syahadat) dan tiangnya ialah sembahyang dan puncaknya ialah jihad.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Dengan demikian sembahyang merupakan suatu suruhan yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Orang yang menunaikan sembahyang ini akan diberi ganjaran pahala kerana mematuhi suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hidupnya sentiasa mendapat nikmat dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan di akhirat nanti akan dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama dengan orang-orang salih.
Kewajipan Sembahyang Jumaat
Sembahyang Jumaat adalah salah satu daripada kewajipan yang termaklum berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Orang-orang yang mengingkarinya dihukumkan kufur.
Al-Qur’an menjelaskan mengenai kewajipan sembahyang Jumaat sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan bang (azan) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah Al-Jumu‘ah: 9)
Berdasarkan ayat ini dan ayat-ayat berikutnya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan umat Islam bersegera ke masjid sebaik-baik sahaja mendengar seruan azan serta meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja-kerja lain, untuk mendengar khutbah dan mengerjakan sembahyang Jumaat. Setelah selesai sembahyang, mereka digalakkan meneruskan usahanya mencari rezeki sambil banyak mengingati Allah dalam segala keadaan. Mereka yang mematuhi ajaran Allah akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan mengenai kewajipan sembahyang Jumaat tersebut berdasarkan sabda Baginda:
Maksudnya: Sembahyang Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap orang Islam dengan (mengadakannya) secara berjemaah kecuali empat iaitu seorang hamba, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit. (Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)
Oleh itu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta memerintahkan mengadakan satu sembahyang yang khas menandakan kebesaran hari Jumaat, bagi menggantikan sembahyang Zuhur.
Kelebihan Hari Jumaat
Di antara kebesaran dan kelebihan hari Jumaat itu ialah penghulu segala hari. Pada hari Jumaat telah dijadikan bapa segala manusia iaitu Adam ‘Alaihissalam. Pada hari itu juga diberikan satu saat di mana segala doa dan permintaan akan dikabulkan kecuali perkara-perkara maksiat sebagaimana Rasulullah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada Hari Raya Adhha dan Hari Raya Fithrah, pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘Alaihissalam dan baginda diturunkan dari syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘Alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jumaat juga akan terjadinya Hari Kiamat. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Hari Jumaat juga adalah hari pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Islam baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan kelebihan orang yang berwudhu di rumahnya kemudian pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat melalui sabda Baginda:
Maksudnya: Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah) telah berbuat sia-sia. (Hadis riwayat Muslim)
Orang-orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat juga akan mendapat rahmat dan aman daripada segala azab kubur. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat, dia akan dicap dengan cap iman dan terpelihara daripada seksa kubur. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengkhabarkan bahawa ganjaran pahala yang besar diberikan kepada orang-orang yang pergi berjemaah ke masjid termasuk untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Sabda Baginda:
Maksudnya: Apabila seseorang berwudhu lalu dia memperelokkan wudhunya kemudian dia keluar (pergi) ke masjid, dia tidak keluar kecuali untuk menunaikan sembahyang, tidak dia melangkah satu langkah kecuali ditinggikan satu darjat baginya dan dihapuskan baginya satu kesalahan, apabila dia bersembahyang malaikat sentiasa memohonkan rahmat ke atasnya selama mana dia masih di tempat sembahyang dan belum berhadas, malaikat memohonkan: “Wahai Allah berilah rahmat ke atasnya, wahai Allah sayangilah dia!” (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam hadis ini terkandung beberapa perkara yang penting. Pertama, ganjaran pahala yang besar akan diperolehi oleh orang-orang yang sedia berwudhu lalu pergi ke masjid untuk bersembahyang jemaah. Maka setiap langkahnya akan dikira sebagai penghapus dosa-dosanya dan menaikkan darjatnya. Para malaikat juga sentiasa memohonkan keampunan dan rahmat kepada orang-orang sedemikian. Kedua, orang yang berwudhu di rumah itu menggambarkan bahawa mereka sentiasa menjaga ketepatan waktu sembahyang kerana telah bersedia lebih awal lagi.
Oleh yang demikian hari Jumaat adalah hari yang mengandungi banyak kelebihan dan kebesaran yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Hadir Jumaat Lebih Awal
Kita dituntut agar menepati waktu sembahyang dan dilarang melengahkannya. Menepati waktu sembahyang itu merupakan bukan sahaja tuntutan agama, malahan orang yang menepatinya itu akan mendapat ganjaran yang besar. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Orang-orang yang bersembahyang pada waktunya dan menyempurnakan wudhunya, menyempurnakan (tegak) berdirinya, menyempurnakan khusyû‘nya, rukû‘nya dan sujûdnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan putih dan cemerlang. Sembahyang itupun berkata: “Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (memperelokkan kelakuan sembahyang itu).” Tetapi sesiapa yang bersembahyang tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula memperelokkan wudhunya, khusyû‘nya, rukû‘nya dan sujûdnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan hitam legam sambil berkata: “Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku.” Sehinggakan setelah sembahyang itu berada di suatu tempat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, lalu iapun dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak-koyak kemudian dipukulkanlah ke mukanya. (Hadis riwayat Ath-Thabarani)
Ulama Syafi‘e juga sepakat mengatakan bahawa sunat (mustahabb) menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari Jumaat. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan tentang kelebihan orang-orang yang menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari Jumaat, Baginda bersabda:
Maksudnya: Apabila datang hari Jumaat, maka setiap pintu masjid ada malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutannya. Apabila imam telah duduk (di atas mimbar), para malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah). Perumpamaan orang yang hadir ke masjid lebih awal adalah bagaikan orang yang menyembelih hadyi (korban) seekor unta, kemudian seperti menyembelih seekor sapi, kemudian seperti menyembelih seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam, kemudian seperti orang yang memberikan sedekah sebiji telur. (Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas kepada kita bahawa meghadirkan diri ke masjid lebih awal pada hari Jumaat adalah sangat dituntut dan mempunyai ganjaran dan balasan yang besar. Sembahyang tepat pada waktunya juga dianggap sebagai memelihara sembahyang kerana jika dilengahkan waktu sembahyang tersebut, kemungkinan akan tertinggal atau terlepas waktu yang ditentukan itu.
Malah Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah menjelaskan bahawa antara sifat-sifat orang yang mendapat kebahagiaan itu ialah mereka yang tetap mengerjakan sembahyang pada waktunya dengan cara yang sempurna. FirmanNya:
Tafsirnya: Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (Surah Al-Mu’minûn: 9)
Kesimpulannya, sembahyang dengan khusyû‘ dan tawâdhû‘ serta menjaga dan memelihara waktu adalah satu kewajipan. Maka adalah disunatkan kepada orang yang diwajibkan sembahyang Jumaat supaya menghadirkan diri lebih awal ke masjid bagi mengelak daripada terlepas pahala atau fadhilat datang awal ke masjid seperti mana maksud hadis di atas.
Lambat hadir yang mendatangkan kerugian itu termasuklah hadir setelah imam naik ke atas mimbar untuk membaca khutbah. Hal ini telah diceritakan dalam hadis di atas yang menyebutkan:
Maksudnya: Apabila imam telah duduk (di atas mimbar) para malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah).
Ini bererti para malaikat yang khusus bertugas mencatat kelebihan hadir awal ke masjid pada hari Jumaat itu menghentikan catatannya kerana hendak sama-sama mendengar khutbah. Orang yang sedemikian hanya akan tersenarai dalam orang-orang yang hadir Jumaat sahaja, tetapi tidak tersenarai sebagai orang-orang yang mendapat kelebihan yang seolah-olah berkorban seekor unta atau sapi seperti yang disebut dalam hadis di atas.
Dari itu sayugialah kita datang awal ke masjid pada hari Jumaat dan ketika dalam perjalanan menuju ke masjid hendaklah dengan khusyû‘ dan merendah diri. Apabila sampai di masjid jangan lupa berniat i‘tikâf ketika hendak masuk ke masjid. Dengan datang awal itu juga kita berkesempatan melakukan perkara-perkara sunat yang lain seperti sembahyang sunat Tahiyyat Al-Masjid, membaca Al-Qur’an, beristighfâr, berzikir dan berdoa, kerana pada hari Jumaat itu mempunyai kelebihan dan kebesaran yang banyak dan ganjaran yang berlipat ganda.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10580
دليل الألوان
