Perihal Kematian Dan Kenduri Arwah
الجواب
Mati ialah terputusnya perhubungan di antara roh dan jasad. Sebenarnya mati merupakan perpindahan pertama bagi manusia dari alam dunia menuju ke alam akhirat. Bermula dari sini manusia akan berpindah ke alam barzakh atau alam kubur. Mati itu adalah perkara yang pasti terjadi bagi semua yang hidup. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan pasti merasai mati, dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. (Surah Âli ‘Imran: 185)
Alam barzakh merupakan alam tempat roh orang mati berada, sementara menunggu hari dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Ketika berada di alam barzakh manusia akan disoal dengan berbagai perkara termasuk mengenai ketuhanan dan kerasulan oleh malaikat Munkar dan Nakir. Bagi mereka yang dapat menjawabnya, maka mereka akan bahagia dan selamat. Keupayaan seseorang sama ada boleh menjawab atau tidak soalan-soalan itu, sebenarnya akan bergantung kepada amalan manusia semasa hidupnya di dunia.
Di dalam Al-Qur’an, hidup mempunyai dua pengertian iaitu hidup di dunia dan hidup di alam akhirat. Hidup di dunia ialah bersatu jasad dengan roh atau jiwa. Sementara hidup di akhirat (mati) adalah apabila roh atau jiwa berpisah daripada jasad. Pengertian ini diambil daripada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah (Yang Menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). (Surah Az-Zumar: 42)
Berdasarkan ayat di atas menurut Imam Ar-Razi bahawa mati dan tidur itu adalah daripada jenis yang sama, cuma mati itu terputus nyawa secara zahir dan batin daripada badan manusia, manakala tidur pula terputus nyawa secara zahir badan manusia sahaja. Oleh itu tidur adalah mati kecil kepada manusia. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika hendak tidur dan bangun daripada tidur membaca doa sebagaimana yang diriwayatkan oleh sahabat Huzaifah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak tidur Baginda membaca doa: “Ya Allah dengan namaMu aku mati dan hidup”, dan apabila Baginda terjaga membaca doa: “Syukur kepada Allah yang menghidupkan diriku selepas mematikannya dan kepadaNyalah tempat kembali.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Takziah
Sebagai agama yang lengkap lagi sempurna, Islam telah mengaturkan adab-adab yang perlu diikuti apabila ada kematian, antaranya ialah disunatkan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati. Takziah ialah menyuruh dan menyatakan kepada orang yang ditimpa musibah tersebut agar bersabar, menyebutkan janji pahala kepada orang yang bersabar dan dosa bagi orang yang tidak bersabar serta memohonkan keampunan bagi si mati kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bagi keluarganya pula dipohonkan supaya dikurniakan pahala yang berlipat ganda di atas kesabaran mereka.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya bersabar ketika seseorang itu ditimpa kesusahan atau musibah. Di antara orang-orang yang bersabar itu ialah mereka yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka tidak hilang semangat bahkan mereka segera mengucapkan:
Tafsirnya: Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali. (Surah Al-Baqarah: 156)
Hal ini juga telah dijelaskan dalam firman Allah:
Tafsirnya: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayatNya. (Surah Al-Baqarah: 156-157)
Para fuqahâ’ tidak berselisih pendapat tentang sunatnya (mustahabb) mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah atau kesusahan. Dilakukan takziah itu bagi menenangkan atau menghiburkan hati orang-orang yang berdukacita kerana kehilangan orang yang dikasihi. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Puteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengirimkan utusan kepada Baginda bahawa seorang anak saya (Usamah) meninggal dunia, maka silalah datang kepada kami.” Bagindapun mengirimkan utusan dengan berkirim salam dan sabdanya: “Sesungguhnya bagi Allah apa yang diambilNya dan bagiNya apa yang diberikanNya, dan segala yang wujud ini di sisi Allah ada batas waktu yang telah ditentukanNya! Perintahkan kepadanya supaya dia bersabar dan mencari pahala Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Sabda Baginda yang lain:
Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan takziah (pernyataan turut bersedih (berdukacita)) orang yang ditimpa musibah, maka dia memperolehi pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: Tiadalah seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberinya pakaian daripada pakaian yang mulia pada Hari Kiamat. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Menurut ulama Syafi‘iyyah, sunat mengucapkan takziah kepada keluarga si mati sebelum mayat tersebut dikuburkan kerana ketika itu keluarga si mati dalam keadaan sedih dan gelisah. Walau bagaimanapun yang lebih baik ucapan takziah tersebut dilakukan setelah mayat dikuburkan kerana sebelum menanam mayat itu ahli keluarga si mati dalam keadaan sibuk membuat segala urusan pengkebumian. (Mughni Al-Muhtâj: 1/428)
Menurut para ulama, sunat mengucapkan takziah itu dalam lingkungan tiga hari, sebab menurut kebiasaannya kesusahan itu tidak lebih daripada tiga hari. Maka makruh hukumnya jika ucapan takziah itu dilakukan lebih daripada tiga hari, kerana ditakuti selepas tiga hari itu akan memperbaharui kesedihan seseorang itu. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan puncak daripada kesusahan selama tiga hari, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Bagi wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat tidak diharuskan berkabung atas si mati lebih daripada tiga hari, kecuali atas suaminya iaitu selama empat bulan sepuluh hari. (Hadis riwayat Bukhari)
Cara Mengucapkan Takziah
Sunat mengucapkan takziah kepada orang Islam yang ditimpa musibah kematian keluarganya dengan ucapan:
Maksudnya: Mudah-mudahan Allah Ta‘ala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita (dengan sebaik-baik hiburan) serta diampuni akan si mati daripada keluarga kamu.
Cara Membalas Ucapan Takziah
Maka elok bagi keluarga yang diucapkan takziah membalas dengan ucapan:
Maksudnya: Moga-moga Allah Ta‘ala akan mengurniakan kepadamu sebaik-baik ganjaran.
Menangisi Dan Meratapi Mayat
Menangis kerana perasaan sedih yang tidak tertahan di atas kehilangan orang yang dikasihi, seperti kematian seseorang adalah diharuskan berdasarkan riwayat Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Kami masuk bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menemui Abu Saif Al-Qain, suami wanita yang menyusui Ibrahim. Rasulullah mengambil Ibrahim dan menciumnya, sesudah itu kami masuk kepada Baginda dan (ketika itu) Ibrahim menghembuskan nafas (terakhir) dengan tenang, lalu mata Rasulullah mulai mencucurkan air mata.”
Kemudian Abdul Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: “Engkau wahai Rasulullah!”, Baginda bersabda: “Wahai putera ‘Auf, sesungguhnya air mata itu rahmat (kasih sayang), kemudian air mata (Baginda) terus bercucuran lagi, seraya Baginda bersabda: “Sesungguhnya mata mencucurkan air mata dan hatipun sedih dan kami hanya mengatakan apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim.” (Hadis riwayat Bukhari)
Walaupun menangis itu diharuskan tetapi menangis dengan meratap atau menjerit-jerit, menarik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau mengoyak-ngoyak baju dan lain-lain adalah haram. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa orang sedemikian diancam dengan seksaan yang berat, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-goyak baju dan berteriak- teriak seperti berteriaknya orang jahiliah. (Hadis riwayat Bukhari)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: Wanita yang menangis menjerit-jerit, apabila tidak bertaubat, akan dibangkitkan di Hari Kiamat nanti dengan memakai pakaian (tembaga) daripada percikan api neraka dan baju besi daripada kurap. (Hadis riwayat Muslim)
Menangisi mayat dengan meratapinya dan memanggil-manggil dengan ucapan: “Wahai sandaranku! Wahai kemuliaanku! Wahai orang yang baik pekertinya! Wahai kesayanganku!” dan seumpamanya akan menjadi sebab mayat tersebut terseksa. Perkara ini juga digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:
Maksudnya: Apabila ada seseorang yang meninggal, kemudian ada orang yang menangisinya mengatakan: “Duhai pujaanku! Duhai kemuliaanku!” atau sebagainya, nescaya ada dua malaikat yang ditugaskan kepada mayat itu, menusuk-nusuk badan mayat tersebut dengan mengatakan: “Apakah benar engkau adalah gunung? Apakah benar engkau adalah yang mulia?” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Dan dalam hadis yang lain, Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya mayat itu diseksa dengan sebab tangisan (ratapan) ahli keluarganya ke atasnya. (Hadis riwayat Bukhari)
Majlis Kenduri Arwah
Pada kebiasaannya, apabila ada kematian, majlis tahlîl atau kenduri arwah akan diadakan oleh keluarga orang yang telah meninggal dunia. Keluarga tersebut menjemput orang-orang hadir yang terdiri daripada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai ke rumah si mati bagi membacakan ayat-ayat Al- Qur’an seperti surah Yasin, bertahlîl dan sebagainya untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Selepas acara tersebut semua tetamu yang hadir dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Apakah amalan sedemikian sesuai dengan kehendak hukum syara‘?
Sebagaimana yang kita ketahui, agama Islam sangat menggalakkan berbuat kebajikan seperti bersedekah, memberi makan dengan mengundang orang ke rumah dengan tujuan silaturahim, membaca ayat-ayat Al-Qur’an dan berdoa beramai-ramai memohon rahmat bagi si mati dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. (Surah Al-Muzzammil: 20)
Menurut Ibnu Hajar, adalah sunat bagi jiran si mati sekalipun bukan berasal dari negerinya atau bukan ahli keluarga menyediakan makanan yang boleh mengenyangkan ahli keluarga si mati pada hari tersebut hingga ke malamnya. Begitu juga sunat bagi keluarga si mati yang jauh berbuat demikian kerana ahli si mati ketika itu diselubungi oleh kesedihan di atas kematian tersebut. (Hawâsyi Al-Syarwani dan Ibnu Qasim (Al-Tuhfah): 3/207)
Jika dilihat kepada kebiasaan kenapa majlis kenduri arwah itu diadakan, ialah bertujuan untuk memohon rahmat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi si mati dengan mengajak dan membawa orang ramai khususnya sanak saudara agar berdoa untuk si mati supaya si mati mendapat rahmat daripada doa tersebut; selain itu ia mengeratkan lagi hubungan persaudaraan (silaturahim) di kalangan sanak saudara dan kerabat serta jiran. Maka dari sudut ini mengadakan majlis kenduri arwah itu adalah suatu perbuatan yang baik dan digalakkan oleh Islam.
Walau bagaimanapun, supaya tujuan kenduri tersebut selaras dengan kehendak agama, janganlah dianggap bahawa ia dibuat sebagai suatu perkara hak bagi si mati yang mesti ditunaikan oleh keluarganya. Begitu juga jamuan itu jangan dianggap sebagai suatu perkara agama yang di syariatkan.
Jelasnya, mengadakan kenduri arwah dan membuat jamuan itu jika tujuannya untuk membalas budi baik kepada orang dan jiran kepada si mati serta menghubungkan silaturahim tidaklah menjadi kesalahan dalam agama. Yang lebih elok dan sunat pula, ialah kaum kerabat dan jiran menghantar makanan kepada ahli si mati sebagai tanda simpati untuk meringankan beban mereka kerana ahli si mati ketika itu dalam keadaan sibuk menguruskan perkara-perkara si mati. Inilah yang sebenarnya wajar dilakukan oleh orang Islam dalam usaha meringankan bebanan keluarga si mati dan di antara cara menghiburkan mereka. Inilah juga perkara yang disuruh oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai kepada Baginda berita kematian Jaafar bin Abu Thalib, Baginda bersabda:
Maksudnya: Buatkanlah makanan oleh kamu untuk ahli keluarga Jaafar yang telah meninggal, (kerana) telah datang kepada mereka perkara yang membuat mereka sibuk (disebabkan ditimpa kematian itu). (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan hadis di atas adalah jelas bahawa menyediakan makanan oleh jiran atau keluarga sama ada yang dekat atau yang jauh kepada ahli keluarga si mati adalah perbuatan yang terpuji kerana berbuat begitu menzahirkan perasaan simpati, kasih sayang, silaturahim dan mengambil perhatian terhadap keluarga si mati. Di samping itu juga ia dianggap sebagai meringankan beban dan menghiburkan keluarga yang ditimpa kesedihan.
Di negara kita, timbul pula budaya baru dalam usaha meringankan beban dan menghiburkan keluarga yang ditimpa kematian itu. Namun caranya bukan dengan menghantarkan makanan, tetapi dalam bentuk yang lain iaitu memberikan sampul-sampul surat sambil menziarahi keluarga dan mayat. Sampul-sampul itu berisi wang yang berbeza-beza jumlahnya untuk diberikan kepada keluarga si mati, sebagai tanda simpati. Yang lebih menarik lagi, ianya bukanlah terhad dilakukan oleh kaum kerabat dan jiran-jiran sahaja, malahan juga rakan taulan dan siapa sahaja, dengan tidak mengira jauh ataupun dekat. Budaya seumpama ini sesuai dengan kehendak sunnah seperti di atas yang wajar kita amalkan dan kekalkan.
Sebahagian orang mengadakan kenduri arwah sehingga empat puluh hari. Amalan sedemikian tidaklah bertentangan dengan apa yang diriwayatkan oleh Mujahid, apabila seseorang itu mati maka langit dan bumi akan menangis di atas kematiannya selama empat puluh pagi, kerana bumi dan langit kehilangan seorang hamba Allah yang sentiasa meng‘imârahkan bumi dengan rukû‘ dan sujud. Manakala langit pula kehilangan ucapan tasbîh dan takbîr. Menurut Ali dan Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhum bahawa apabila seorang mukmin meninggal dunia dia ditangisi oleh tempat ibadatnya di bumi dan tempat naik amalnya yang baik di langit. (Al-Qurthubi: 16/130)
Islam sangat menggalakkan orang hidup terutama kepada anak-anak dan keluarga terdekat yang lain supaya sentiasa membaca Al-Qur’an, doa dan zikir dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang telah meninggal dunia. Pada hakikatnya pembacaan Al-Qur’an, bertahlil dan seumpamanya itu tidak hanya terhad atau terikat dengan tujuh hari, empat puluh hari atau disebut sebagai makan haul, bahkan bacaan-bacaan tersebut sepatutnya sentiasa diamalkan sepanjang masa supaya ibu bapa dan keluarga yang telah meninggal itu mendapat rahmat, ketenangan dan kebahagiaan sebagaimana yang dinanti-nantikan oleh mereka. Hal ini telah digambarkan dalam sebuah hadis:
Maksudnya: Umpama orang mati itu dalam kuburnya seperti orang karam yang berpaut dengan apa sahaja, dia menanti doa daripada anak, atau bapa atau saudara atau kerabat, dan sesungguhnya doa itu masuk ke dalam kubur si mati (iaitu) doa daripada orang yang hidup yang berupa cahaya seperti gunung besarnya. (Al-‘Iraqi dalam kitab: Al-Mughni ‘an Haml Al- Asfâr: 2/184)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menyatakan bahawa tiap-tiap seorang hamba Allah mempunyai dua pintu di langit, sebuah pintu tempat amalnya naik dan sebuah lagi tempat rezekinya turun; maka apabila seseorang mukmin itu mati, ternyata kehilangannya oleh kedua-dua pintu itu, lalu mereka menangisinya. Perkara ini telah diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, sebagaimana Baginda bersabda:
Maksudnya: Orang mukmin itu mempunyai dua pintu, satu pintu bagi amal kebajikannya naik ke langit dan satu pintu tempat turun rezekinya daripada langit. Maka apabila seseorang itu mati kedua-dua pintu itu menangis. Oleh kerana itu Allah Ta‘ala berfirman: “Mereka itu (Firaun dan orang-orang yang tidak melakukan amal kebaikan di muka bumi ini, ketika dibinasakan) tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Manfaat Doa Sampai Kepada Orang Mati
Abu Al-‘Ijji Al-Dimasqiyi menyebutkan dalam Syarh Al-‘Aqîdah Ath- Thahawiyah, menurut Ahli Sunnah wal Jama‘ah, puasa, sembahyang atau sedekah untuk dijadikan pahalanya kepada orang lain sama ada yang telah mati dan yang hidup adalah harus. Pahala tersebut juga sampai kepada mereka. Begitu juga pendapat ulama Syafi‘eyah bahawa doa yang dihadiahkan kepada orang mati dan orang hidup akan sampai kepada mereka sama ada keluarga yang dekat atau jauh, dengan wasiat atau sebaliknya. Perkara ini dijelaskan oleh hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Syarh Al-‘Aqîdah Ath-Thahawiyah: 664/Hukm Al-Syarî‘ah Al-Islâmîyah fî Ma’tam Lailah Al-Arba‘în: 19 & 37)
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menjelaskan di dalam Al-Qur’an bahawa doa orang yang hidup kepada orang yang telah mati itu memberi manfaat kepada si mati. Dalam hal ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya beristighfâr (memohonkan keampunan) untuk para sahabat, tabi‘în, orang-orang alim, termasuk keluarga, sanak saudara, rakan dan taulan dan orang-orang Islam yang lain yang telah meninggalkan kita terlebih awal, sebagaimana Allah berfirman:
Tafsirnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah ada dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Hasyr: 10)
Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memerintahkan para sahabat memohon keampunan bagi Raja Najasyi yang telah meninggal. Begitu juga Baginda memerintahkan umat Islam memohon keampunan bagi si mati ketika dikuburkan, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengkhabarkan kepada kami bahawa Najasyi, Raja Habsyah meninggal pada hari itu, lalu Baginda bersabda: “Pohonkanlah keampunan bagi saudara kamu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam riwayat yang lain, Utsman bin ‘Affan Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai menguburkan mayat, Baginda berdiri di atasnya seraya bersabda:
“Pohonkanlah keampunan bagi saudara kamu, pohonkanlah baginya ketetapan menjawab kerana ketika ini dia sedang disoal.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Begitu juga dengan bersedekah, pahala sedekah tersebut akan memberi manfaat kepada si mati jika diniatkan sedemikian, sebagaimana Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam apabila ditanya: “Adakah sesuatu yang bermanfaat bagi seseorang yang meninggal apabila disedekahkan sesuatu untuknya?” Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Sa‘ad bin Ubadah saudara Bani Sa‘idah, pada masa kematian ibunya, dia tidak berada di sisinya, lalu beliau datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal sedang aku tidak berada di sisinya, oleh kerana itu adakah sesuatu boleh memberi manfaat kepadanya jika aku menyedekahkan sesuatu itu untuknya?” Baginda bersabda: “Ya”, Sa‘ad berkata: “Maka sesungguhnya aku bersaksi kepada engkau bahawa kebunku yang berbuah itu adalah sedekah untuk ibuku.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam hadis yang lain juga ada menyatakan:
Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal secara tiba-tiba dan aku menyangka apabila dia (dapat) berkata-kata maka pasti dia akan bersedekah, apakah aku (dapat) bersedekah untuknya?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya, bersedekahlah untuknya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Berdasarkan ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis di atas, amal kebajikan yang dilakukan sama ada amalan mengadakan kenduri arwah atau bersedekah, memberikan wang kepada orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al-Qur’an hingga khatam, berdoa dan sebagainya dengan niat pahalanya untuk si mati lebih diyakini bahawa pahalanya akan sampai kepada si mati.
Memberi Wang Kerana Menyembahyangkan Mayat
Kadang-kadang menguruskan mayat itu menggunakan perbelanjaan yang banyak kerana keluarga si mati akan memberi wang kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al-Qur’an dan tahlîl. Berhubung dengan perbelanjaan ini jika orang yang memberi itu bukan ahli waris seperti kaum kerabat yang terdiri daripada zawilarhâm, anak menantu atau sahabat-sahabat si mati dan harta yang diberikan itu pula bukan daripada harta si mati, maka adalah harus diberikan dengan maksud pahalanya untuk si mati.
Jika yang memberi wang itu terdiri daripada ahli waris dan wang yang diberikan itu pula ialah harta atau wang pusaka (warisan), maka hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada semua ahli waris yang berkenaan. Sekiranya hal ini terjadi, perlu juga diingat bahawa hendaklah penggunaan wang atau harta pusaka itu tidak menjejaskan perkara-perkara wajib bagi si mati seperti menunaikan wasiat, zakat, hutang dan lain-lain.
Maka dalam hal ini sama ada pemberian berupa wang atau seumpamanya kepada orang yang menyembahyangkan, membaca Al-Qur’an atau kepada jemputan yang hadir yang turut mendoakan si mati, pemberian wang tersebut boleh sahaja diterima sebagai sedekah kerana si mati, bukannya upah sembahyang. Si penerima juga boleh membuat pilihan sama ada menerima sedekah tersebut atau menerimanya kemudian menyedekahkannya semula kepada keluarga si mati. Ini yang elok, kiranya keluarga si mati itu lebih memerlukannya atau sangat berhajat kepada wang berkenaan.
Di sini perlu diperjelaskan bahawa pemberian sedekah seperti wang kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al-Qur’an, tahlîl dan kepada jemputan yang hadir tidaklah termasuk perkara yang dituntut di dalam penyelenggaraan mayat dan ia bukanlah suatu perkara yang wajib atau sunat yang disyariatkan oleh agama.
Maka sewajarnya perbuatan pemberian sedekah seperti itu hendaklah mengambil kira bahawa ia tidak memberat atau membebankan keluarga atau ahli waris si mati. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah Baqarah: 286)
Hal ini juga sesuai dengan ajaran dan pimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Kami berada di sisi Umar lalu beliau berkata: “Kami dilarang daripada sebarang perbuatan yang memberatkan. (Hadis riwayat Bukhari)
Saat kedatangan ajal maut itu mustahak sentiasa dalam ingatan supaya setiap orang akan bersiap sedia dengan amalan yang membawanya ke syurga. Kenduri arwah atau seumpamanya selepas kematian seseorang itu hanyalah satu usaha daripada orang-orang yang hidup. Namun usaha seseorang itu sendiri di samping rahmat Allah adalah penentu kepada nasibnya yang sebenar.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10601
دليل الألوان
