Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Sunat Diutamakan, Wajib Diabaikan?

الجواب

Manusia dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak lain hanya untuk menyembah dan beribadat kepada Allah semata-mata. Perkara ini juga sebagai bukti bahawa manusia itu sentiasa berhajat kepadaNya dan berada di dalam kekuasaanNya. Hal tersebut dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah Adz-Dzâriyât: 56)

Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, terdapat tuntutan-tuntutan yang dikenali dengan beberapa istilah hukum. Istilah itu ialah wajib, sunat, makruh, haram dan harus.

Fardhu dan wajib mempunyai maksud yang sama kecuali beberapa perkara di dalam bab haji. Sebenarnya perkara yang fardhu dan wajib dalam Islam yang mesti ditunaikan oleh semua orang Islam itu bukanlah bermaksud sehingga membebankan seseorang Muslim untuk melakukannya. Bahkan ia merupakan tugas, tanggungjawab dan syariat yang di dalamnya terkandung berbagai hikmat dan fadhilat bagi mencapai kebahagiaan dan kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Contohnya sembahyang yang wajib dilakukan sehari semalam. Masa yang diambil untuk menunaikan sembahyang tersebut hanyalah sedikit. Jika dijumlahkan kelima-lima waktu itu tidak pun sampai satu jam. Masa tersebut jauh berbeza jika dibandingkan dengan masa dua puluh empat jam yang ada dalam sehari semalam.

Walaupun demikian, dalam menunaikan tanggungjawab yang diwajibkan itu, orang-orang yang lemah iman dan taqwanya tetap sahaja merasakan perkara tersebut sebagai satu bebanan. Ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Surah Al-Baqarah: 45)

Adapun perkara-perkara sunat boleh menampung kecacatan-kecacatan atau kekurangan yang tidak disedari berlaku semasa menunaikan amalan fardhu. Kemungkinan dalam menunaikan amalan fardhu itu tanpa, disedari wujud kecacatan atau kurang kesempurnaannya. Hal sedemikian dijelaskan oleh Rasulullah Shallalhu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Jika didapati sembahyang fardhunya sempurna, maka ia akan ditulis sempurna, jika sembahyang fardhunya tidak sempurna, maka Allah memerintahkan (kepada para Malaikat) memeriksa tentang sembahyang sunatnya. (Hadis riwayat Nasa’i)

Sekiranya amalan fardhu itu sempurna dikerjakan maka mengerjakan amalan sunat merupakan satu kelebihan besar. Amalan fardhu itu diibaratkan sebagai modal dan amalan sunat itu merupakan keuntungan dan laba. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat menggalakkan membuat amalan sunat tersebut sebagaimana riwayat Thalhah bin Ubaidillah bahawa seorang lelaki daripada penduduk Najd telah bertanya kepada Nabi mengenai kewajipan sembahyang, puasa dan zakat, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sembahyang itu lima kali dalam sehari semalam”, lalu lelaki tersebut berkata: “Apakah ada kewajipan atasku selain daripada sembahyang?” Baginda menjawab: “Tidak, kecuali yang sunat”, Baginda menyambung lagi: “Dan puasa dalam bulan Ramadhan.” Lelaki itu bertanya: “Apakah ada kewajipan atasku selain daripada itu?” Baginda menjawab: “Tidak, kecuali yang sunat.” Thalhah berkata: “Dan Rasulullah menyebutkan kepadanya (lelaki itu) mengenai zakat, seraya lelaki itu bertanya: “Apakah ada kewajipan atasku selain daripadanya?” Nabi menjawab: “Tidak, kecuali yang sunat.” Lalu Thalhah berkata: “Lelaki itu berpaling dan berkata: “Demi Allah saya tidak menambah perkara ini dan tidak menguranginya.” Rasulullah bersabda: “Berbahagialah engkau jika benar.” (Hadis riwayat Bukhari)

Galakan amalan sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan balasan serta ganjaran yang diberikan kepada orang yang melakukannya sangat besar. Antara hadis-hadis yang menyebutkan tentang ganjaran amalan dalam ibadat sunat sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah berfirman: “Barang siapa yang memusuhi waliKu, maka sesungguhnya Aku telah mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada hambaKu berdamping kepada Aku dengan sesuatu, yang lebih Aku sukai daripada dia menunaikan perkara yang Aku fardhukan ke atasnya, dan sentiasalah hambaKu berdamping kepada Aku dengan membuat perkara-perkara yang sunat sehingga Aku kasihkan dia, maka dengan pendengaranKu dia mendengar akannya, dan dengan penglihatanKu, dia akan melihat akannya, dan dengan qudratKu tangannya membuat akannya, dan dengan qudratKu, dia berjalan dengan kakinya dan jika dia memohon kepadaKu, nescaya Aku berikan dia, dan jika dia memohon perlindunganKu, nescaya Aku lindungi dia, dan tiadalah Aku teragak-agak akan membuat sesuatu, sebagaimana yang Aku sendiri membuatnya, Aku teragak-agak dari jiwa hambaKu yang mukmin yang bencikan mati, dan Aku benci akan menyakiti akannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Al-Qur’an juga ada menyebutkan mengenai wajibnya melaksanakan hukum dan peraturan yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada RasulNya. Hal ini digambarkan dalam firman Allah:

Tafsirnya: Ini ialah satu ‘surah’ yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya (menjalankannya), dan Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya). (Surah An-Nûr: 1)

Berdasarkan ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan kepada hambaNya supaya melaksanakan segala hukum dan peraturan yang ditetapkanNya. Peraturan dan hukum itu wajib dijalankan oleh orang Islam tanpa ragu-ragu serta dengan penuh ketaqwaan kerana peraturan dan hukum yang ditetapkan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala itu benar-benar boleh menjaga mashlahat manusia tanpa pilih kasih. Ia juga benar-benar mampu menyelesaikan segala permasalahan dengan baik tanpa perlu kepada pindaan-pindaan kerana ia dicipta oleh Allah Yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. Selain itu hukum-hukum tersebut berperanan sebagai pemberi ingatan dan nasihat kepada orang Islam, mendidik jiwa supaya bertaqwa dan membawa umat kepada jalan yang sempurna dalam kehidupan bermasyarakat dan keluarga.

Mengutamakan Perkara Sunat, Mengenepikan Perkara Wajib

Memang menjadi fitrah manusia suka berlumba-lumba dalam mencari sesuatu yang terbaik. Khusus dalam perkara ibadat, setiap orang Islam dituntut mencari kelebihan (fadhilat) dan amal kebajikan sebagai pertaruhan dan bekalan di akhirat nanti. Perbuatan sedemikian adalah sifat orang-orang yang salih sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: “Dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya) adalah daripada orang-orang yang salih.” (Surah Âli ‘Imran: 114)

Terdapat segolongan manusia yang tersilap fahaman dan tindakan kerana terlalu mementingkan amalan sunat sehingga perkara yang wajib dan fardhu terabai. Kemungkinan perkara ini berlaku kerana orang berkenaan terkeliru oleh pahala besar yang dijanjikan sebagai ganjaran bagi amalan-amalan sunat. Keadaan inilah yang menjadikan mereka ghairah melakukan amalan-amalan sunat dan menyebabkan mereka tidak memberi perhatian yang lebih kepada perkara-perkara yang wajib. Sedangkan perkara wajib itu lebih utama dilaksanakan. Contohnya mengutamakan sembahyang sunat dengan sembahyang qadha.

Sembahyang itu wajib dilakukan oleh setiap orang Islam sebagai pengabdian dan tanda syukur kepada Allah Yang Maha Agong. Sembahyang itu diwajibkan ke atas orang Islam kerana ia merupakan salah satu daripada rukun Islam. Sembahyang juga adalah cahaya yang menerangkan jalan hidup yang sebenarnya dan cahaya bagi orang yang mengerjakannya di dunia dan akhirat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Sesiapa yang memelihara sembahyang adalah baginya cahaya, petunjuk dan pertolongan di Hari Kiamat. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya tidaklah ada cahaya baginya, petunjuk dan pertolongan dan dia pada Hari Kiamat nanti bersama dengan Firaun, Hamman, Qarun dan Ubai bin Khalaf. (Hadis riwayat Ahmad)

Hukuman bagi orang yang meninggalkan sembahyang akan bergantung kepada keadaan sama ada yang ditinggalkan itu sengaja atau tidak sengaja. Jika sembahyang itu ditinggalkan dengan sengaja kerana ingkar tentang kewajipannya (tidak mengaku akan wajibnya hukum sembahyang), dalam keadaan ini orang yang ingkar itu dihukumkan kafir murtad dengan ijmâ‘ ulama. Mengenai hukum orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas padahal dengan i‘tiqâd dia tahu akan wajibnya sembahyang itu, pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi‘e ialah dia dihukum bunuh secara hadd (setelah disuruh bertaubat ketika itu) dan tidak dihukumkan kafir.

Pendapat mengenai kekufuran orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas sehingga habis waktunya adalah berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antara ayat Al-Qur’an yang menyifatkan mereka di Hari Kiamat nanti daripada golongan orang-orang kafir dan munâfiq, sekalipun mereka hidup bersama dengan orang-orang Islam di mana mereka diperintahkan sujud (bersembahyang) tetapi tidak dikerjakan atau ditunaikan, adalah sebagaimana gambaran yang diberikan oleh Allah Subahanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: (Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (Hari Kiamat), dan mereka diseru supaya sujud, maka mereka tidak dapat melakukannya. Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan), sedang mereka dalam keadaan sihat. (Surah Al-Qalam: 42-43)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menyifatkan orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu sebagai tanda tidak bersyukur terhadap keluarga dan harta yang diperolehinya, Baginda bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa yang meluputkan satu sembahyang, maka seolah-olah dia mengecilkan (menyempitkan) ahli keluarga dan hartanya. (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan ayat Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas, apapun sebabnya, kecuali kerana terlupa atau tertidur, maka meninggalkan sembahyang itu hukumnya berdosa dan wajib diqadhakan dengan segera.

Menurut Imam An-Nawawi, bahawa sembahyang fardhu yang luput dengan tiada uzur, ditinggalkan sembahyang dengan sengaja, mencuaikan sembahyang tersebut ketika dalam pelayaran atau lalai kerana menonton hiburan, maka wajib ke atasnya mengqadhakan sembahyang yang ditinggalkan atau dicuaikan itu dengan bersegera dan tidak boleh dilengah-lengahkan.

Dalam keadaan ini, menurut Ibnu Hajar Rahimahullah bahawa tidak harus bahkan haram bagi orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja atau dengan tiada uzur menghabiskan masa dan waktunya dengan perkara-perkara lain sekalipun yang sunat sebelum mengqadhakan sembahyang fardhu yang ditinggalkannya itu, melainkan masanya itu digunakan bagi menunaikan perkara-perkara yang wajib seperti mencari nafkah untuk tanggungannya.

Begitu juga dengan zakat, ia merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam apabila cukup syarat-syaratnya. Zakat bertujuan membersih golongan kaya daripada perasaan kedekut. Ibadat ini juga dapat membersihkan perasaan dendam dan hasad dengki golongan miskin terhadap mereka yang hidup mewah. Jelasnya tujuan amalan zakat ialah untuk membentuk masyarakat yang penyayang dan adil.

Selain Al-Qur’an, kewajipan mengeluarkan zakat itu disepakati oleh ijmâ‘ ulama. Perintah wajib ibadat tersebut telah dijelaskan di dalam beberapa ayat Al-Qur’an dan hadis. Ibnu Hajar dalam Az-Zawâjir banyak menyebutkan hadis-hadis berkenaan dengan orang yang meninggalkan dan melengah-lengahkan zakat, di antaranya sabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas‘ud:

Maksudnya: Kami diperintah menunaikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, barangsiapa yang tidak mengeluarkan zakat tidaklah ada sembahyang baginya.

Dan dalam riwayat yang lain:

Maksudnya: Barangsiapa yang menunaikan sembahyang dan tidak mengeluarkan zakat maka dia bukan tergolong daripada orang Islam yang memberi manfaat terhadap amal kebajikannya. (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis di atas, kewajipan zakat itu seiring dengan kewajipan sembahyang. Oleh itu, ibadat tersebut hendaklah ditunaikan kerana lebihan harta yang ada adalah hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui ashnâf-ashnâf yang ditentukan oleh syara‘.

Dalam usaha mengukuhkan hidup bermasyarakat, umat Islam digalakkan bantu membantu melalui sumbangan atau derma kebajikan kepada pihak-pihak yang memerlukannya seperti orang miskin, anak yatim dan sebagainya. Sekalipun amalan sedemikian menjadi tuntutan agama Islam, namun ibadat zakat tidak seharusnya diabaikan atau dilengahkan kerana ia adalah satu kewajipan yang mesti didahulukan. Orang yang mempunyai harta (telah wajib ke atasnya zakat) sedang dia ingkar mengeluarkan zakat, disifatkan sebagai sama seperti keadaan orang kafir. Hal ini disebutkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya: Barangsiapa baginya harta (untuk dia) menunaikan haji ke Baitullah atau (harta itu) wajib dikeluarkan zakat daripadanya tetapi dia tidak menunaikan haji dan mengeluarkan zakat daripada harta, dia memohon (kepada Allah) supaya dikembalikan semula (ke dunia untuk mengerjakan haji dan menunaikan zakat) ketika dia hendak mati.” Lalu berkata seorang lelaki: “Bertaqwalah wahai Ibnu Abbas, sesungguhnya yang memohon dikembalikan semula (ke dunia) hanyalah orang kafir.” Maka berkata Ibnu Abbas sambil membacakan sepotong ayat Al-Qur’an yang tafsirnya: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang salih.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Menurut Al-Qurtubi bahawa menyegerakan ibadat zakat adalah wajib dan tidak harus melambat-lambatkannya. Begitulah juga dengan ibadat-ibadat lain yang telah ditentukan waktunya. (Al-Qurthubi: 18/130) Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang salih.” (Surah Al-Munâfiqûn: 10)

Berdasarkan ayat di atas bahawa perkara-perkara wajib adalah wajib diutamakan dan tidak boleh dilengah-lengahkan atau dilambat-lambatkan. Maka dalam hal ini melakukan umrah, melancong ke tempat lain yang memerlukan perbelanjaan yang banyak sehingga ibadat zakat tertangguh adalah bercanggah dengan kehendak Islam yang sebenar. Dalam perkara zakat, mana-mana harta yang wajib dikeluarkan zakat seperti harta wang simpanan, perniagaan, pertanian, binatang ternakan seperti kerbau dan kambing, emas dan perak yang cukup syarat-syaratnya hendaklah ditunaikan dengan segera ditakuti dengan melambatkannya akan luput. Walau bagaimanapun, zakat-zakat yang terluput wajib diqadhakan sepertimana juga dalam perkara sembahyang.

Puasa merupakan ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Ta‘ala sendiri sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “ Setiap amalan anak Adam (manusia)

adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untukKu (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.” (Hadis riwayat Bukhari)

Puasa Ramadhan diwajibkan kepada umat Islam pada setiap tahun berdasarkan Al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Begitu juga disunatkan ke atas orang Islam berpuasa sunat atau tathawwu‘ di hari atau bulan yang lain seperti melakukan puasa ‘Asyura, hari Arafah, puasa Sya‘ban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal dan lain-lain. Di antara hadis-hadis yang menyebut mengenai ganjaran melakukan puasa sunat itu, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai puasa enam hari di bulan Syawal:

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas tidak dinafikan bahawa ganjaran yang diberikan kepada orang yang berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal itu adalah besar. Memandangkan kelebihan berpuasa sunat itu besar, maka sebahagian orang tersilap anggap sehingga meninggalkan puasa qadha. Sedangkan, menurut hukum syara‘, puasa-puasa sunat tersebut hanya boleh dilakukan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan disunatkan juga dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti perempuan haid dan nifas, musafir yang diharuskan atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah haram baginya melakukan apa jua puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha puasanya yang luput itu, kerana puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib diqadha sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Surah Al-Baqarah: 148)

Berdasarkan ayat ini kewajipan mengqadha puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran. Bagi orang-orang yang benar-benar tidak berdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan sembuh, mereka tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah (memberi makan orang miskin) sebagai ganti puasa tersebut.

Dalam mengerjakan qadha puasa, para ulama berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur adalah wajib menyegerakan qadha puasa tersebut. Dan mereka tidak diharuskan bahkan haram melakukan puasa-puasa sunat sebelum mengqadhanya. (Fath Al-‘Allâm: 4/161)

Menurut ulama Syafi‘iyyah tidak harus bahkan haram orang-orang sedemikian mengerjakan puasa-puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha puasa yang tertinggal itu. Sehubungan dengan ini, sayugia diingatkan bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa Ramadhan hendaklah menyegerakan qadha puasa tersebut sebelum datang Ramadhan yang baru.

Walau bagaimanapun sebagai agama yang penuh hikmat, Islam juga menyediakan jalan atau cara yang baik bagi mendapatkan pahala sunat sekalipun mempunyai qadha puasa, umpamanya bagi orang yang hendak melakukan qadha puasa Ramadhan (meninggalkannya kerana keuzuran yang diharuskan oleh syara‘) ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa-puasa sunat. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qadha dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha dan ganjaran puasa sunat). Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qadha, puasa nazar atau puasa kaffârah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari ‘Asyura, hari Arafah dan puasa-puasa sunat yang lain seumpamanya.

Begitu juga dalam perkara seseorang yang mampu mengerjakan yang wajib seperti menunaikan haji tetapi ghairah dan asyik melakukan umrah. Setiap tahun dia mengerjakan umrah lebih daripada sekali tetapi dia tidak ada usaha langsung untuk menunaikan fardhu haji, lebih-lebih lagi berazam untuk mengerjakannya di masa akan datang. Padahal ibadat haji itu adalah rukun Islam yang wajib dikerjakan oleh setiap orang mukallaf sekali seumur hidup iaitu bagi orang yang telah cukup syarat-syaratnya seperti berkuasa melakukannya.

Ibnu Hajar dalam Az-Zawâjir ada menyebutkan bahawa dosa besar keseratus empat puluh lapan adalah orang-orang yang meninggalkan haji setelah dia berkuasa dan mampu mengerjakannya sehingga dia mati. Banyak hadis-hadis yang menerangkan kesalahan orang yang enggan pergi haji setelah dia berkuasa mengerjakannya, di antaranya hadis daripada Abdullah bin Sabit daripada sahabat Abu Umamah daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa tidak dikurung atau dihalang oleh sesuatu hajat yang nyata atau sakit yang menghalang atau sultan yang zalim dan dia tidak pergi menunaikan haji, maka biarlah dia mati jika dia suka mati Yahudi atau dia suka mati Nashrani. (Hadis riwayat Baihaqi)

Berdasarkan hadis di atas, haji itu harus ditangguhkan jika berlaku ke atasnya seperti sakit atau adanya perkara-perkara yang menghalang dirinya daripada mengerjakan haji itu dengan syarat mestilah ada azam yang berterusan untuk menunaikan haji tersebut di masa akan datang.

Untuk lebih memahami maksud perbincangan tajuk di atas, kita bawakan lagi contoh yang lain, seperti adanya sebahagian orang yang ghairah pergi berdakwah. Perbuatan ini adalah baik, tetapi kadangkala mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga, seperti kebajikan dan nafkah anak isterinya. Sedangkan kebajikan dan nafkah anak isteri dan keselamatannya itu adalah wajib ke atas suami.

Sekalipun berdakwah mempunyai fadhilat kerana ia adalah antara kerja-kerja amal kebajikan tetapi perlu juga difahami antara fardhu dengan sunat. Hanya orang yang tidak tahu membezakan antara fardhu dan sunat sahaja yang lebih mengutamakan perkara yang sunat.

Daripada apa yang telah diperjelaskan di atas, orang yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan amalan yang fardhu dan sunat adalah orang yang mengerjakannya dengan penuh ikhlas yang akan dapat membawa dirinya hampir dengan Allah dan akhirnya dia dicintai oleh Allah Ta‘ala.

Amalan fardhu ialah segala perkara yang wajib ditunaikan yang ditetapkan oleh Islam. Dilaksanakan amalan itu dengan rasa tanggungjawab daripada seorang hamba kepada Tuhannya dan ia merupakan sebagai asas, sedang segala perkara yang sunat adalah sebagai binaan dan binaan terletak di atas asas. Seorang mukmin dikehendaki menyediakan asas amalannya sebelum mendirikan binaan. Ertinya dia wajib menunaikan segala perkara yang wajib kemudian menambahnya dengan mengerjakan segala yang sunat supaya amalannya lebih teratur dan sempurna.

Melakukan amalan-amalan sunat pula menjadikan seseorang itu lebih dicintai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebab yang menjadi amalannya ada dua macam iaitu yang fardhu dan yang bukan fardhu. Maka tarafnya tentu melebihi daripada orang yang hanya mengerjakan segala yang fardhu sahaja.

Berdasarkan penerangan-penerangan di atas perkara yang wajib itu hendaklah diutamakan. Harus bagi seseorang meninggalkan ibadat yang sunat iaitu yang diminta supaya ia dikerjakan secara suka rela bagi menunaikan tanggungjawabnya melaksanakan yang wajib. Memang diakui bahawa yang sunat adalah sebagai penampung atau penyempurna bagi kekurangan yang mungkin terdapat dalam perkara yang wajib atau yang fardhu dan juga untuk merapatkan hubungan atau mendampingkan diri seseorang kepada Tuhannya, sebagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Yang pertama sekali akan diperhitungkan daripada amalan seseorang di Hari Kiamat nanti ialah sembahyang fardhu. Jika didapati sembahyang fardhunya sempurna, maka ia akan ditulis sempurna, jika sembahyang fardhunya tidak sempurna, maka Allah memerintahkan (kepada para malaikat) memeriksa tentang sembahyang sunatnya. Kalau didapati dia melakukan sembahyang sunat, maka sembahyang sunat tadi akan menyempurnakan segala kekurangan yang terdapat di dalam sembahyang fardhu, demikian pula cara memperhitungkan amalan-amalan yang lain. (Hadis riwayat Nasa’i)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10613

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص