Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Istikhlaf

الجواب

Istikhlâf dari segi istilah bererti seseorang itu digantikan oleh orang yang lain bagi menyempurnakan pekerjaannya, seperti imam digantikan oleh salah seorang daripada makmumnya bagi menyempurnakan sembahyang mereka disebabkan keuzuran imam tersebut. Istikhlâf itu juga dipakai bagi penggantian pemimpin Islam selepas kematiannya dan penggantian qadhi dalam menjatuhkan hukuman. (Mausû‘ah fiqhiyyah: 3/252)

Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung istikhlâf dalam sembahyang serta syarat-syarat yang berkaitan dengannya.

Istikhlâf Dalam Sembahyang

Jika imam keluar daripada sembahyangnya disebabkan berhadas sama ada dengan senghaja, lupa atau dengan sebab-sebab lain ataupun dengan tiada sebab adalah diharuskan bagi makmum menggantikannya. Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:

Maksudnya: “Ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang sakit tenat, datang Bilal untuk memberitahu Baginda tentang sembahyang. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruhnya supaya mengatakan kepada Abu Bakar agar beliau mengimami orang ramai. Saya berkata: “Abu Bakar adalah seorang lelaki yang penyedih dan jika dia berdiri mengambil tempatmu (sembahyang), dia akan menangis dan tidak mampu membaca al- Qur’an.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami sembahyang.” Saya pun mengatakan hal yang sama seperti di atas. Beliau (mengulangi perintah yang sama) pada ketiga atau keempat kalinya Baginda bersabda: “Kamu adalah (macam) sahabat-sahabat Yusuf. Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami sembahyang”. Maka Abu Bakar mengimami sembahyang. Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam datang dengan bantuan dua orang lelaki, seakan-akan baru saja aku melihat Baginda memijakkan kakinya ke tanah. Pada waktu Abu Bakar melihatnya, dia mencuba untuk berundur tetapi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi isyarat kepadanya untuk tetap sembahyang. Abu Bakar berundur sedikit dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam duduk di sebelah kirinya. Abu Bakar memperdengarkan takbir kepada orang ramai.” (Hadis riwayat Bukhari)

Syarat-Syarat Istikhlâf Dalam Sembahyang

Disyaratkan bagi makmum yang menggantikan imam itu, adalah pengganti (mustakhlif) yang sah menjadi imam kepada jemaah yang lain.

Jika imam itu diganti oleh makmum yang kurang fasih dalam bacaan Fâtihah (ummiyan), orang bisu atau orang yang tidak jelas bacaannya seperti mendengungkan pada tempat yang tidak dengung serta mengubah bacaan, maka tidak sah sembahyang makmum yang lain jika mengikutinya, kerana ia tidak sah menjadi imam.

Menurut Imam al-Haramain, syarat penggantian itu hendaklah dilakukan dengan serta merta. Jika imam keluar daripada jemaah, sedangkan makmum telah melakukan satu rukun, maka ditegah penggantiannya selepas itu. (Majmû‘: 4/139)

Begitu juga ditegah penggantiannya, jika makmum tersebut diam terlalu lama dengan kadar berlalunya satu rukun, sama ada rukun fi‘li (perbuatan) atau rukun qauli (percakapan). (Nihâyah al-Muhtâj: 2/349)

Dalam hal ini jika berlaku penggantian, tidak disyaratkan ke atas makmum untuk berniat lagi bagi mengikuti pengganti imam itu, kerana khalîfah (pengganti) itu sudah dalam kedudukan imam yang awal. (Majmû‘: 4/140)

Sifat Khalîfah Atau Mustakhlif Dalam Sembahyang

Apabila seorang makmum mengganti imam dalam sembahyang yang sama atau bilangan rakaat yang sama, maka sah penggantian tersebut, sama ada makmum itu masbûq atau selainnya dan sama ada makmum itu menggantikannya pada rakaat pertama atau pada rakaat yang lainnya. Ini kerana makmum itu mengikuti tertib imam sebelumnya dan tidak membawa kepada percanggahan.

Adapun jika diganti oleh seorang yang di luar sembahyang (bukan daripada kalangan makmum yang imamnya digantikan), menurut pendapat Imam an- Nawawi dan jumhûr bahawa jika orang itu menggantikan imam tersebut pada rakaat pertama atau ketiga daripada sembahyang yang empat rakaat adalah diharuskan. Ini kerana tidak bercanggah dengan makmum yang mengikutinya dalam tertib.

Sebaliknya jika berlaku percanggahan dalam tertib, tidaklah diharuskan. Sebagai contoh seorang yang di luar sembahyang mengganti imam pada rakaat kedua atau terakhir, kerana dia (pengganti) itu berdiri bagi rakaat yang pertama sedangkan makmum yang lainnya duduk tahiyat awal atau tahiyat akhir.

Jika makmum yang masbûq menggantikan imam yang keluar daripada jemaah, hendaklah dia menjaga tertib imam tersebut, sebagaimana perbuatannya jika imam belum keluar daripada jemaah. Sebagai contoh, makmum yang masbûq pada rakaat kedua dalam sembahyang Subuh, kemudian imam ketika itu berhadas, lalu diganti imam tersebut oleh makmum yang masbûq itu. Dalam hal ini, makmum yang menggantikan itu hendaklah menjaga tertib imam tersebut dengan menyambung perbuatan imam sebagaimana yang perlu dilakukan di dalam rakaat kedua dalam sembahyang Subuh iaitu berqunut, duduk dan bertashahhud walaupun pada asalnya dia baru melakukan satu rakaat. Selepas itu baharulah makmum yang masbûq itu (mustakhlif) bangkit semula untuk menggenapkan sembahyangnya iaitu dua rakaat, lalu berqunut lagi pada rakaat itu bagi dirinya sendiri sahaja bukan dalam berjemaah. Kemudian para jemaah yang mengikuti mustakhlif yang masbuk tersebut, bagi mereka ada dua pilihan (khiyâr) pada tahiyat akhir tadi iaitu sama ada berniat mufâraqah (berpisah daripada imam) dan terus memberi salam atau duduk menunggu mustakhlif itu dan memberi salam bersama-samanya.

Manakala makmum-makmum yang masbûq apabila imam sempurna sembahyangnya dengan memberi salam, lalu makmum-makmum yang masbûq itu bangkit semula untuk menyempurnakan sembahyang, kemudian bolehlah salah seorang daripada mereka yang masbûq itu untuk maju ke hadapan menjadi imam dan mereka yang masbûq itu boleh mengikutinya. mengikut pendapat yang ashah, ini adalah diharuskan melainkan dalam sembahyang Jumaat ianya tidak diharuskan kerana tidak harus mendirikan lagi sembahyang jumaat selepas dikerjakan. (Majmû‘: 4/139-141)

Istikhlâf Dalam Sembahyang Jumaat

Apabila imam keluar selepas membaca dua khutbah dan sebelum mengangkat takbîratul ihrâm bagi sembahyang jumaat, adalah diharuskan menggantikannya jika mustakhlif itu menghadiri khutbah. Jika mustakhlif itu tidak menghadiri khutbah maka dia tidak diharuskan mengganti imam itu.

Adapun jika imam keluar daripada sembahyang selepas mengangkat takbîratul ihrâm pada rakaat pertama sembahyang jumaat, adalah harus dia diganti oleh mustakhlif yang bersama imam sebelum imam keluar daripada jemaah itu, kerana mustakhlif itu tergolong dalam ahli jumaat. Jika mustakhlif itu tidak bersama imam sebelum dia keluar daripada sembahyang, maka tidak diharuskan mustakhlif mengimamkan sembahyang itu kerana dia tidak tergolong dalam ahli jumaat.

Manakala imam yang keluar daripada sembahyang jumaat pada rakaat kedua dan sebelum melakukan ruku‘, maka imam berkenaan boleh digantikan oleh orang yang bersama imam sebelum dia keluar daripada jemaah. Jika mustakhlif itu tidak bersama imam sebelum imam keluar daripada jemaah tidaklah diharuskan dia mengimamkan sembahyang tersebut.

Begitulah juga jika imam itu keluar selepas ruku‘ dalam rakaat kedua sembahyang jumaat, imam tidak harus diganti oleh mustakhlif yang tidak bersama imam sebelum dia keluar daripada jemaah. Jika mustakhlif itu bersama imam sebelum keluar daripada jemaah tetapi dia tidak bersama imam sebelum ruku‘ pada rakaat kedua, maka dalam keadaan seperti ini difardhukan ke atas mustakhlif itu sembahyang Zuhur.

Oleh itu mengikut pendapat yang ashah, adalah diharuskan bagi makmum yang bersembahyang Jumaat mengikuti mustakhlif yang difardhukan ke atasnya sembahyang Zuhur disebabkan mustakhlif itu tidak bersama imam Jumaat sebelum ruku‘ di rakaat kedua, tetapi hendaklah mustakhlif itu menjaga tertib imam yang awal. Manakala makmum yang mengikutinya ada dua pilihan, antara memberi salam dengan niat mufâraqah atau makmum menunggu mustakhlif dan memberi salam bersamanya sebagaimana yang dijelaskan di atas. Cara inilah yang lebih afdhal dilakukan. (Majmû‘: 4/445- 448, Mausû‘ah Fiqhiyyah: 3/257)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10674

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص