Anak Damit: Membuang Dan Memungutnya
الجواب
Kes pembuangan anak damit (kanak-kanak) merupakan isu yang sangat serius yang tidak boleh dianggap sebagai isu pinggiran. Ia adalah antara rentetan gejala sosial yang sangat membimbangkan.
Berbagai cara dilakukan ke atas anak damit yang tidak berdosa itu. Ada yang disimpan dalam kotak dan ditinggalkan di kawasan pelupusan sampah, ada yang diletakkan di kawasan kebun orang dalam keadaan dikerumuni oleh semut dan ada pula yang dihanyutkan ke sungai. Hasil tindakan kejam itu menyebabkan anak damit tersebut terdedah kepada bahaya dan kematian.
Perbuatan orang yang tidak bertanggungjawab itu, bukan setakat sanggup membuang anak damit atau langsung membunuhnya selepas dilahirkan, bahkan sebelum kanak-kanak itu dilahirkan pun ada berbagai percubaan yang dilakukan untuk membunuhnya, seperti menggugurkannya daripada kandungan.
Pembunuhan Anak Damit Di Zaman Jahiliah
Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab pada zaman Jahiliah membunuh anak-anak perempuan mereka dengan menanam mereka hidup-hidup, kerana berasa malu beroleh anak perempuan. Hal ini ada diceritakan di dalam al-Qur’an melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya dan dia sangat marah. Dia menyembunyikan dirinya daripada orang ramai disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.” (Surah an-Nahl: 58-59)
Tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ad-Darimi bahawa pada suatu hari seorang lelaki datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam menceritakan betapa dahsyat perbuatannya pada zaman jahiliah. Dia berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami ini pada zaman jahiliah adalah penyembah berhala dan menjadi pembunuh anak kami. Aku sendiri mempunyai seorang anak perempuan. Setelah dia menjadi gadis kecil, dia gembira dengan ajakanku apabila aku mengajaknya. Maka pada suatu hari aku mengajaknya dan dia menuruti aku. Lalu aku membawanya ke sebuah perigi kepunyaan kaum kami yang tidak begitu jauh dari kediaman kami. Kemudian aku membawanya ke pinggir perigi itu untuk melihat ke dalamnya. Setelah kepalanya terjulur ke dalam, terus aku angkat kedua-dua kakinya dan aku lemparkan dia ke dalam. Ketika aku meninggalkannya masih lagi kedengaran dia memanggil-manggil: “Ayah, ayah!”
Mendengar ceritanya itu dengan tidak disedari menitislah air mata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu berkata salah seorang yang berada dalam majlis itu: “Cukuplah, engkau telah membuat Rasulullah bersedih hati.” Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Biarkan dia, dia menceritakan hal itu kerana tekanan batinnya yang mendalam.”
Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda pula kepada lelaki itu: “Teruskanlah ceritamu itu.” Maka orang itu pun melanjutkan ceritanya dan Rasulullah pula terus menitiskan air mata hingga ke atas janggut Baginda. Kemudian Baginda bersabda kepada lelaki itu: “Sesungguhnya Allah telah menghapuskan dosa-dosa zaman jahiliah itu dengan keislamanmu. Mulakanlah penghidupanmu dengan membuat amalan yang baik.”
Demikianlah perbuatan orang-orang Arab di zaman jahiliah, di mana mereka membunuh anak-anak perempuan mereka kerana takut menanggung malu.
Pembunuhan Anak Damit Di Zaman Sekarang
Jika kita lihat dan bandingkan antara perbuatan orang-orang Arab di zaman jahiliah dan zaman sekarang ini tidak banyak bezanya dalam percubaan membunuh anak damit. Akan tetapi di zaman sekarang ini adalah lebih dahsyat lagi kerana orang yang membuang anak damit itu tidak akan memilih apapun jantinanya, sama ada anak itu lelaki ataupun perempuan. Pada kebiasaannya mereka akan meninggalkan anak damit itu terbiar begitu sahaja. Berbanding dengan orang-orang zaman jahiliah di mana mereka membuang anak-anak perempuan mereka sahaja atau menanamnya hidup-hidup sehingga mati iaitu dikubur dan tidak dibiarkan. Perbuatan zaman sekarang ini nampak lebih zalim dan lebih jahat lagi kerana memanjangkan tempoh penganiayaan dan penderitaan terhadap anak damit berkenaan.
Sungguhpun di zaman ini pengajian dan penerangan mengenai hukum-hakam Islam tersebar luas, ditambah lagi dengan suasana keislaman yang wujud, tetapi gejala ini masih terjadi juga. Walaupun hanya seorang dua, tetapi cukup menyeramkan dan menyayat hati dan lain-lain perasaan yang tidak boleh digambarkan dan dilukiskan dengan kata-kata. Di manakah silapnya sehingga syiar Islam yang tersebar luas itu tidak membawa kesan apa-apa kepada mereka?
Hukum Pembuangan Dan Pengguguran Anak
Sejak mula janin berada di dalam kandungan ibu, Islam sudah melindunginya. Para ulama menegaskan bahawa pengguguran kandungan sesudah janin ditiupkan roh (diberi nyawa), hukumnya adalah haram dan merupakan suatu tindakan jenayah yang tidak halal bagi seorang manusia melakukannya.
Al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Ihya, ketika membezakan antara mencegah kehamilan dan pengguguran kandungan, beliau telah menegaskan bahawa mencegah kehamilan adalah berbeza dengan pengguguran dan pembunuhan, kerana apa yang dikatakan pengguguran dan pembunuhan itu merupakan suatu jenayah terhadap manusia yang sudah wujud. Kewujudan anak itu sendiri adalah bertahap. Tahap pertama, sperma (benih lelaki) bersarang dalam rahim, kemudian bercampur dengan benih perempuan, lalu siap untuk menghadapi hidup. Perlakuan merosakkannya merupakan suatu tindakan jenayah yang kejam, apatah lagi jika sperma atau nuthfah ini sudah menjadi segumpal darah dan segumpal daging.
Dalam soal kehormatan manusia ini, Islam tidak berhenti setakat melindungi dan menjaminnya ketika hayatnya sahaja, malah berlanjutan. Walaupun nafas manusia itu terhenti (sudah mati), namun kehormatannya tetap dilindungi, di mana Islam meletakkan fardhu kifâyah kepada orang Islam yang hidup untuk menyempurnakan pengurusan jenazahnya dengan cara yang terhormat. Hatta selepas mayat disemadikan, kita digalakkan pula menziarahi pusaranya sebagaimana digalakkan menziarahinya semasa hayatnya.
Balasan Allah Terhadap Pembunuh
Mengikut hukum syara‘ kematian yang berlaku kerana pembunuhan yang disengajakan, pembunuhnya itu akan dikenakan hukuman qishâsh. Membunuh seorang mukmin pula termasuk tujuh dosa yang paling besar, hukumannya pula sangat berat dan keras sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (Surah an-Nisâ’: 93)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa membunuh dengan sengaja itu akan dikenakan empat macam balasan di akhirat kelak;
(i) Berkekalan di dalam neraka Jahannam. (ii) Mendapat kemurkaan Allah. (iii) Dilaknat atau dikutuk hidupnya.
(iv) Azab yang sangat pedih dan keras yang akan disediakan oleh Allah baginya di akhirat.
Terdapat juga hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan tentang dosa dan hukum ke atas pembunuh yang tidak dibenarkan oleh syara‘ itu, antaranya:
Maksudnya: “Aku (Ubaidullah bin Abu Bakar) mendengar Anas bin Malik berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyebut dosa-dosa besar (atau Baginda ditanya mengenai dosa-dosa besar), jawab Baginda: “Menyekutukan Allah, membunuh manusia dan derhaka kepada kedua ibu bapa.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh Mu‘âhad (orang yang telah mengikat persetujuan dengan pemerintah Islam), maka si pembunuh itu tidak akan mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu (boleh dicium) sejauh perjalanan 40 tahun.” (Hadis riwayat Bukhari)
Maka berdasarkan hadis di atas, jika seorang Muslim membunuh orang bukan Islam yang telah mendapat perlindungan daripada pemerintah Islam, tidak akan mencium bau syurga, yang baunya boleh dicium dari jarak 40 tahun perjalanan, apatah lagi jika yang dibunuh itu ialah seorang Muslim.
Oleh sebab itulah ada di antara sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berpendapat bahawa orang yang membunuh manusia dengan sengaja, bukan kerana menjalankan hukum dan bukan pula kerana keizinan membunuh di dalam peperangan, tidak akan diterima taubatnya oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala terutama membunuh seseorang Muslim.
Di antara yang berpendapat seperti ini ialah Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu. Walaupun pendapat ini dipertikai oleh jumhûr ulama, namun perkara membunuh tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara‘ adalah amat besar risikonya, termasuk tidak diterima taubatnya. (Tafsir al-Qurthubi: 332-334)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas‘ud disebutkan bahawa kes perbicaraan yang mula-mula sekali yang dihakimkan di Hari Kiamat ialah perkara darah (pembunuhan).
Pendeknya banyak lagi hadis lain yang mengecam perbuatan membunuh itu, antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Melenyapkan dunia ini lebih mudah bagi Allah daripada membunuh seorang Muslim.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Nasa’i)
Memungut Anak Buangan
Perbuatan membunuh tidak syak lagi adalah perbuatan zalim dan terkutuk yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bermoral. Cara dan tempat anak damit itu dibuang seperti di kawasan atau tempat pembuangan sampah, menunjukkan seolah-olah kanak-kanak itu lebih hina daripada binatang, kerana binatang yang dipelihara oleh tuannya pun, apabila ia mati biasanya akan ditanam dan kadang-kadang juga ditangisi.
Kanak-kanak yang dijumpai dinamakan laqîth atau manbûdz. Ertinya, kanak-kanak kecil yang dipungut atau dibuang di jalan atau seumpamanya dengan tidak diketahui siapa ibu bapanya.
Perbuatan membuang kanak-kanak itu biasanya bertujuan sama ada untuk menutup malu, kerana anak damit itu hasil daripada perzinaan atau anak di luar nikah atau untuk mengelakkan bebanan dalam memikul tanggungjawab keluarga.
Hukum Memungut Anak
Memungut kanak-kanak laqîth itu adalah fardhu kifâyah ke atas orang-orang Islam. Akan tetapi jika hanya seorang sahaja yang mengetahuinya, maka wajib ke atasnya memungut anak tersebut iaitu sebagai fardhu ‘ain ke atasnya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Surah al-Mâ’idah: 32)
Hak Penjagaan Kanak-Kanak Laqîth
Wajib bagi orang yang memungut itu disaksikan oleh dua orang saksi yang ‘âdil di atas pungutan kanak-kanak laqîth itu dan harta yang ada bersama-sama anak tersebut. Jika tidak bersaksi dalam memungut anak itu, maka jadilah dia fâsiq dan tidak ada wilâyah (kuasa) pada mengasuh dan menjaga kanak-kanak itu, melainkan jika dia bertaubat dan bersaksi, kerana tidak bersaksi itu adalah fisq (fasik).
Syarat sabit kuasa dan ada wilâyah (kuasa) bagi orang yang memungut kanak-kanak laqîth itu hendaklah dia mukallaf, merdeka, Islam, ‘âdil dan rasyîd. Oleh itu tidak perlu lagi meminta kebenaran daripada raja terlebih dahulu dalam memungut kanak-kanak laqîth, akan tetapi adalah sunat sahaja diserahkan anak itu kepada raja.
Jika orang yang memungut kanak-kanak laqîth itu tidak memenuhi syarat di atas, seperti dia seorang yang fâsiq, kanak-kanak, orang yang mahjûr ‘alaihi atau orang kafir memungut anak laqîth Islam, maka wajib bagi raja mengambil kanak-kanak laqîth tersebut.
Perbelanjaan Ke Atas Kanak-Kanak Laqîth
Perbelanjaan kanak-kanak laqîth itu diambil daripada hartanya yang am, seperti waqf yang diperuntukkan bagi kanak-kanak laqîth ataupun diambil daripada hartanya yang khas iaitu harta yang tertentu kepadanya, seperti baju yang diselimutkan ke atasnya atau dibentangkan di bawahnya, wang atau sebagainya yang berada dalam leher bajunya, dalam buaiannya atau lain-lain seumpamanya.
Jika kanak-kanak laqîth itu tidak mempunyai sebarang harta, maka perbelanjaannya diambil daripada harta Baitulmal. Jika tidak ada harta Baitulmal, maka wajib ke atas orang Islam yang mempunyai perbelanjaan yang lebih, memberi kepada kanak-kanak laqîth itu sekadar yang cukup dengan cara berhutang.
Orang yang memungut kanak-kanak laqîth itu pula boleh menjaga harta kanak-kanak tersebut, tetapi dia tidak boleh membelanjakan harta itu ke atas kanak-kanak laqîth melainkan sesudah mendapat kebenaran daripada qadhi.
Kedudukan Agama Anak Buangan
Al-Imam an-Nawawi dalam kitabnya Minhaj ath-Thâlibîn dalam bahagian al-Laqîth telah menjelaskan kedudukan hal ehwal kanak-kanak yang dijumpai.
Ertinya: “Apabila didapati seorang kanak-kanak yang dibuang dalam negeri Islam, dan dalam negeri itu ada juga ahli dzimmi, atau didapati di negeri yang dibuka oleh orang Islam dan orang-orang Islam mengakui negeri itu dikuasai oleh orang kafir secara perdamaian, atau orang-orang Islam memiliki negeri itu dengan orang-orang dzimmi membayar jizyah dan dalam negeri itu ada orang Islam, maka kanak-kanak yang dijumpai itu dihukumkan sebagai kanak-kanak Islam.
Jika kanak-kanak itu didapati di negeri kafir, maka dihukumkan kanak-kanak itu kafir, kiranya negeri itu tidak didiami oleh orang Islam, akan tetapi jika ada diam orang Islam seperti orang tawanan dan peniaga, maka kanak-kanak yang dijumpai itu sebagai kanak-kanak Islam menurut qaul al-ashah.” (Mughni al-Muhtâj: 3/572-573)
Penyempurnaan Mayat Kanak-Kanak Yang Dibuang
Mayat kanak-kanak yang dibuang itu jika dihukumkan dia beragama Islam kerana dia dijumpai dalam negeri Islam atau dijumpai dalam negeri kafir dan terdapat orang Islam di dalamnya atau sebab-sebab lain seperti di atas, maka penyempurnaan bagi mayat kanak-kanak tersebut hendaklah mengikut kaedah Islam. Fardhu kifâyah ke atas orang Islam untuk menyempurnakan mayat kanak-kanak itu, iaitu wajib memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengkebumikan mayat tersebut di perkuburan orang-orang Islam.
Manakala jika mayat kanak-kanak yang dibuang itu dihukumkan kafir kerana dia dijumpai di negeri kafir dan negeri itu tidak didiami oleh orang Islam, maka kanak-kanak damit itu haram disembahyangkan. Walau bagaimanapun diharuskan untuk memandikannya dan wajib dikafankan dan ditanam di perkuburan orang-orang kafir.
Kesimpulan
Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala mencipta makhluk yang bernama manusia dengan sebaik-baik atau seindah-indah kejadian iaitu keindahan dalam kedua-dua unsur; jasmani dan rohani. Selain daripada itu, manusia juga adalah makhluk istimewa yang telah dikurniakan dengan akal dan fikiran supaya mereka dapat menjalani kehidupan di muka bumi ini dengan lebih sempurna dan bijak. Tetapi apa yang menyedih dan dikesalkan ialah terdapat segelintir daripada mereka yang bertindak di luar batas kemanusiaan dan berfikiran seolah-olah mereka bukan sebagai makhluk yang berakal, iaitu dengan perbuatan kejam membuang atau membunuh jiwa yang tidak berdosa khasnya anak-anak damit yang belum mengenal erti sebuah kehidupan.
Maka adakah layak seseorang itu dipanggil sebagai insan atau manusia sedangkan perbuatan mereka lebih buruk daripada binatang? Sedangkan binatang yang tidak dikurniakan akal sebagaimana yang dimiliki oleh manusia pun mempunyai rasa kasih dan sayang terhadap anak-anak mereka, inikan pula manusia! Adakah wajar kita yang dikurniakan akal dan perasaan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, mempersia-siakan kurniaan tersebut, apatah lagi menggunakannya pada jalan yang salah lagi sesat? Anak adalah amanat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan anugerahNya yang amat besar kepada kita terutama dalam meneruskan generasi keturunan manusia khasnya untuk menyebarluaskan risalah agama Islam. Dari itu tanamkanlah rasa belas kasihan terhadap mereka, kerana mereka juga makhluk Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tidak minta dilahirkan ke dunia untuk disakiti apatah lagi untuk dibunuh.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10670
دليل الألوان
