Perihal Penyusuan Dan Anak Susuan
الجواب
Penyusuan kanak-kanak yang baru lahir atau disebut dalam bahasa Arab sebagai ridhâ‘ atau radhâ‘ah merupakan satu cara kehidupan semula jadi manusia.
Sesungguhnya menyusukan anak mempunyai kelebihan yang amat banyak. Menurut hasil kajian pakar perubatan, susu ibu itu mengandungi kesemua zat makanan yang diperlukan untuk perkembangan dan kesihatan seorang anak kecil. Ia juga mengandungi zat khusus yang penting untuk perkembangan otak dan daya intelek yang lebih baik. Susu ibu juga boleh mengurangkan masalah pergigian dan ortodontik dan boleh mencegah penyakit lain seperti lelah, ekzema, sakit perut, sembelit dan sindrom kematian mengejut anak kecil. Selain daripada itu susu ibu juga boleh mewujud dan mempereratkan hubungan rapat antara ibu dan anak kecil.
Penyusuan dengan susu ibu kepada anak sangat digalakkan kerana ia bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada anak itu, malahan juga kepada ibu-ibu yang menyusukan. Di antara kebaikannya terhadap ibu-ibu, yang telah dikenal pasti oleh pakar perubatan, ialah cecair yang dikenali sebagai oksitosin yang dikeluarkan semasa penyusuan boleh mengecutkan rahim dan membantu menghentikan pendarahan selepas bersalin. Penyusuan ibu dengan sepenuhnya boleh melambatkan kedatangan haid, menjarangkan kehamilan, membantu ibu bagi memulihkan semula ukuran bentuk badan dengan segera dan dapat mengurangkan lemak dipinggang dan peha. Ianya juga boleh mengurangkan risiko kanser buah dada.
Menurut ajaran Islam pula, penyusuan anak ini memang telah disyariatkan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (Surah al-Baqarah: 233)
Yang dimaksudkan dengan radhâ‘ah di sini ialah masuknya air susu perempuan ke dalam perut seorang kanak-kanak yang umurnya tidak lebih daripada dua tahun qamariah.
Hukum Penyusuan Anak
Menyusukan anak kecil yang masih dalam peringkat umur penyusuan adalah wajib selama mana anak kecil itu memerlukannya. Akan tetapi ke atas siapakah yang menanggung kewajipan tersebut? Siapakah pula yang menanggung pembiayaannya?
Apabila lahir seorang anak, maka adalah menjadi kewajipan kepada bapa anak itu untuk mencarikan orang yang boleh menyusukan anak tersebut.
Manakala seorang ibu pula wajib menyusukan anaknya dengan air susu yang baru keluar dari sejak kelahiran (al-liba’). Al-liba’ itu dipanggil dengan nama saintifiknya sebagai kolostrum. Warna kolostrum itu kuning seakan-akan warna oren dan ianya menyerupai seperti mentega yang cair dan kolosturm itu pekat dan melekit seperti sirap mapel. Menurut kajian saintifik ianya mengandungi proten yang tinggi, zat besi dan mineral yang lain. Ianya juga mengandungi kurang lemak, karbohidrat dan kalori berbanding dengan air susu dada yang keluar selepas kolostrum.
Adapun jangka masa al-liba’ itu tertakluk kepada pengkajian ahli bijak pandai, ada yang mengatakan kadarnya selama tiga hari dan ada juga yang mengatakan selama tujuh hari. Hukum wajib itu berlaku kerana anak itu tidak akan hidup atau tidak akan kuat pada kebiasaannya tanpa penyusuan dengan al-liba’.
Sekalipun pada lazimnya seorang ibu akan menyusukan anaknya, namun perkara tersebut bukanlah wajib ke atasnya untuk berbuat sedemikian jika ada perempuan lain yang boleh menyusukan anak itu. Tetapi jika ibu tersebut menyusukannya, pembiayaan penyusuan itu adalah wajib ke atas bapa anak itu sekiranya anak tersebut tidak memiliki harta. Oleh yang demikian si suami tidak ada hak untuk memaksa isterinya bagi menyusukan anaknya. Jika terjadi pertelingkahan antara suami dan isteri sama ada pada penyusuan atau pembiayaannya, maka bolehlah suami meminta perempuan lain untuk menyusukannya. Dalam hal ini suami juga berkewajipan membiayai penyusuan tersebut. Ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan (sebaliknya) jika kamu (daripada kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.” (Surah ath-Thalâq: 6)
Berlainan halnya, jika anak itu tidak berbapa, bapa dan anak itu tidak memiliki harta, anak itu tidak menerima susu perempuan yang lain, anak itu anak zina atau tiada diperolehi perempuan lain yang boleh menyusukan, maka dalam hal ini penyusuan itu wajib ke atas ibunya.
Jika si ibu itu berkehendak untuk menyusukan anaknya, maka dia berhaklah menyusukannya. Menurut pengarang Al-Minhâj, berdasarkan pendapat yang ashah suami tersebut tidak berhak melarang isterinya menyusukan anaknya sendiri sebagaimana yang telah dishahîhkan oleh kebanyakan ulama. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya.” (Surah al-Baqarah: 233)
Ini kerana larangan suami terhadap isterinya bagi penyusuan anak itu, boleh mendatangkan kesengsaraan kepada si ibu itu sendiri, kerana si ibu lebih rapat dan cenderong hatinya kepada si anak. Begitulah juga dengan susu ibu, ianya lebih serasi dan sesuai jika diberikan kepada anaknya sendiri. (Nihâyah al-Muhtâj: 7/222, Mughni al-Muhtâj: 3/573)
Kewajipan suami membiayai penyusuan anaknya - sekalipun anak kecil itu adalah anak isterinya sendiri - adalah berasaskan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu maka berikanlah kepada mereka upahnya.” (Surah ath-Thalâq: 6)
Jika si isteri itu meminta upah yang tinggi daripada suaminya sehingga melebihi upah yang sebanding atau ada perempuan lain yang mendermakan susunya atau perempuan lain itu meminta upah yang lebih rendah daripada upah yang sebanding, maka harus bagi suami untuk tidak memenuhi kehendak isterinya itu sebaliknya mengupah perempuan lain itu untuk menyusukan anaknya. (Mughni al-Muhtâj: 3/573)
Sesungguhnya amalan penyusuan anak oleh perempuan yang bukan ibu kandung anak itu telahpun menjadi amalan masyarakat sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri semasa kecilnya disusukan oleh Tsuaibah iaitu salah seorang hamba perempuan daripada Abu Lahab, dan Halimah as-Sa‘adiah iaitu ibu susuannya daripada Bani Sa‘ad.
Rukun Radhâ‘ah (Penyusuan) Dan Syaratnya
Rukun radhâ‘ah dan syaratnya yang menyebabkan seorang anak itu disabitkan sebagai anak susuan dan menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukannya ada tiga perkara iaitu:
i. Al-Murdhi‘ iaitu perempuan yang menyusukan. Disyaratkan orang yang menyusukan itu perempuan yang hidup dan telah mencapai usia sembilan tahun qamariah.
ii. Ar-Râdhi‘ iaitu anak yang disusukan. Disyaratkan anak itu hidup dan umurnya tidak melebihi dua tahun qamariah (haulain) sekalipun lebihnya itu pada kadar sehari.
iii. Al-Laban iaitu air susu perempuan. Disyaratkan air susu itu sampai masuk ke perut anak berkenaan sehingga ia boleh menyebabkan pertumbuhan badan anak tersebut, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak menjadi mahram daripada susuan melainkan apa yang menumbuhkan daging dan menguatkan tulang.” (Hadis riwayat Ahmad)
Disyaratkan juga had penyusuan itu tidak kurang daripada lima kali dalam waktu yang berasingan dengan kadar penyusuan mengikut kebiasaan, sebagaimana disebutkan dalam sebuah âtsâr shahâbi daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:
Maksudnya: “Menurut apa yang diturunkan daripada al-Qur’an sebelumnya bahawa sepuluh kali susuan yang telah dipastikan itu akan mengharamkan mereka (menjadikan mereka sebagai mahram). Kemudian (ketetapan itu) dimansukhkan dengan hanya lima kali susuan yang telah dipastikan. Maka wafat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan (sebahagian mereka) terus membacanya (ayat lima kali susuan) daripada ayat al-Qur’an (sehinggalah mereka berpakat untuk menasakhkan pembacaannya).” (Hadis riwayat Muslim)
Adapun yang dimaksudkan dengan pemansukhan ayat “sepuluh kali susuan” itu adalah pada pembacaan dan hukumnya, namun pemansukhan bagi ayat “lima kali susuan” itu adalah pada pembacaan sahaja bukan hukumnya. (Syarh Shahîh Muslim: 10/26)
Disyaratkan pada kadar penyusuan yang dikira sebagai sekali penyusuan itu adalah mengikut kebiasaan. Maksud daripada penyusuan mengikut kebiasaan itu ialah apabila seorang perempuan menyusukan anak dengan susu dadanya, nescaya anak itu akan menghisapnya dan apabila dipisahkan daripadanya nescaya dia akan melepaskannya (kenyang). Proses sedemikian sudah dikira sebagai sekali susuan.
Jika proses penyusuan itu diselangi dengan sesuatu keadaan yang tidak lama, seperti terputus penyusuan ini disebabkan anak tersebut bernafas, keletihan, termengah-mengah atau terputus disebabkan kesedakan kerana air susu terlalu banyak di mulutnya, kemudian anak tersebut kembali menghisap susu dada perempuan itu, maka penyusuan yang demikian ini masih dikira sebagai sekali susuan. Demikian juga halnya apabila memindahkan anak itu daripada susu dada sebelah kanan kepada susu dada sebelah kiri.
Jika terputus anak itu daripada penyusuan tanpa sebarang sebab kemudian kembali untuk menyusu, maka dalam keadaan ini tertakluk kepada jangka masa terputusnya itu, jika hanya seketika nescaya ianya dikira sekali susuan, namun jika jangka masa yang lama nescaya dikira dua kali susuan. (Majmû‘: 20/92-93)
Hukum Anak Susuan
Apabila sabit seorang anak kecil menyusu kepada seorang perempuan yang bukan ibunya atau bukan mahramnya dengan rukun dan syarat di atas, maka anak susuan tersebut akan dikaitkan dengan sebahagian hukum-hakam anak kandung (nasab), seperti dalam hal haram berkahwin, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Haram dengan sebab susuan seperti apa yang haram dengan sebab nasab keturunan.” (Hadis riwayat Bukhari)
Begitu juga persamaan pada hukum dalam perkara wudhu apabila bersentuhan, aurat dan khalwat.
Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa hukum yang berbeza antara anak susuan dengan anak kandung, seperti perwarisan, nafkah, pengguguran hukum qishâsh, tidak dipotong tangan apabila mencuri harta, dan penjagaan (wilâyah) ke atas harta atau diri sendiri, yang mana kesemua ini tidak sabit ke atas anak susuan. (Asna al-Mathâlib: 3/415)
Anak Susuan Dalam Hukum Haram Pernikahan
Apabila seorang perempuan menyusukan anak orang lain dengan air susu hasil daripada perkongsian perempuan itu dengan suaminya, maka jadilah anak itu sebagai anak susuan kepada keduanya. Dengan makna yang lain, mereka berdua menjadi ibu dan bapa susuan kepada anak itu. Adapun dalil dalam perkara ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:
Maksudnya: “Sesungguhnya Aflah saudara Abu al-Qu‘aisy meminta izin kepadaku (untuk masuk) setelah turunnya ayat hijâb, lalu aku berkata: “Demi Allah tidak aku mengizinkannya masuk sehinggalah aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana saudara Abu al- Qu‘aisy bukanlah orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isteri Abu al-Qu‘aisy.”
Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku maka aku berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya lelaki itu bukan orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isterinya (Abu al- Qu‘aisy).”
Rasulullah bersabda: “Izinkanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu.”
‘Urwah berkata: “Oleh kerana itu ‘Aisyah berkata: “Haramkanlah daripada sesusuan apa yang haram kerana nasab keturunan.” (Hadis riwayat Bukhari)
Oleh yang demikian anak susuan itu menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Untuk lebih jelasnya berikut disebutkan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak susuan itu:
i. Perempuan yang menyusukan.
ii. Suami ibu susuan.
iii. Ibu bapa kepada ibu susuan.
iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan.
v. Adik beradik kepada ibu susuan.
vi. Adik beradik kepada bapa susuan.
vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan.
viii. Anak-anak kepada ibu susuan.
ix. Anak-anak kepada bapa susuan.
Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan, adalah anak yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya sehinggalah ke bawah. Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada ushûl bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawâsyinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu‘nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah.
Beberapa Permasalahan Perihal Radhâ‘ (Penyusuan)
i. Penyusuan Kanak-Kanak Yang Sudah Besar
Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun qamariah (haulain), maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (Surah al-Baqarah: 233)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak ada hubungan susuan melainkan apa yang disusukan di dalam masa dua tahun (sebelum dua tahun).” (Hadis dikeluarkan oleh ad-Daraquthni)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Tidak menjadi mahram daripada penyusuan itu kecuali susuan yang mengenyangkan dan penyusuan itu sebelum tempoh bercerai menyusu.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
ii. Penyusuan Anak Kecil Melalui Botol, Gelas Dan Sebagainya
Di antara syarat penyusuan kanak-kanak itu ialah sampainya air susu perempuan ke perut anak tersebut, sama ada terus menerus melalui hisapan payudara atau secara perahan yang diminumkan ke mulut atau dimasukkan ke hidung melalui gelas, botol, sudu atau sebagainya. Kesemua cara yang demikian itu, adalah dikira sebagai proses penyusuan yang mensabitkan anak tersebut sebagai anak susuan.
Adapun jika dimasukkan air susu itu melalui lubang atau rongga-rongga yang lain seperti telinga, mata, dubur, qubul atau melalui tempat luka, ia tidak mensabitkan anak itu sebagai anak susuan kerana air susu itu tidak sampai ke dalam perutnya dan ia tidak memberi pertumbuhan badan terhadap anak tersebut.
iii. Penyusuan Dengan Susu Yang Bercampur
Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan, dan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh anak itu.
Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul yang azhhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak itu keseluruhan air susu yang bercampur dengan bahan-bahan tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ‘ain air susu itu ke dalam perut.
Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul yang ashah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak tersebut sebagai anak susuan. (Mughni al-Muhtâj: 3/529, Raudah ath-Thâlibîn: 9/4-5)
iv. Anak Kecil Disusukan Oleh Dua Orang Perempuan
Apabila seseorang anak disusukan oleh dua orang perempuan atau lebih dengan lima kali susuan atau lebih, maka sabit anak tersebut sebagai anak sesusuan kepada kedua-dua orang perempuan yang menyusukannya itu.
Jika dicampur air susu milik kedua-dua perempuan itu lalu diminumkan kepada anak tersebut, maka sabit anak susuan kepada kedua-dua perempuan itu.
Jika salah satu daripada kedua-dua air susu itu mengatasi yang lain pada kadar banyaknya, maka pemilik air susu yang banyak itu adalah sabit sebagai ibu susuan kepada anak tersebut. Walau bagaimanapun pemilik air susu yang sedikit itu juga akan sabit sebagai ibu susuan jika anak tersebut meminum kesemua air susu yang telah bercampur itu atau lebihan air susu yang bakinya itu hanya tinggal sedikit sahaja daripada air susu yang dipunyainya. (Nihâyah al-Muhtâj: 7/174-175)
v. Susu Perempuan Yang Dijadikan Keju
Air susu perempuan yang dijadikan keju atau serbuk, apabila diberi makan kepada anak yang masih di bawah umur dua haul, maka sabit anak itu sebagai anak susuan. Begitu juga keadaannya apabila susu yang dijadikan keju itu dicairkan terlebih dahulu lalu diminumkan.
vi. Penyusuan Bagi Khuntsa
Khuntsa ialah seseorang yang mempunyai dua kemaluan atau tidak mempunyai sebarang kemaluan melainkan satu lubang bagi keluarnya air kencing. Apabila dapat dipastikan bahawa dia adalah seorang lelaki, maka tidak sabit anak susuan jika dia menyusukan anak itu. Akan tetapi jika dia dipastikan sebagai seorang perempuan lalu menyusukan anak itu, maka sabitlah anak itu anak susuannya.
Manakala khuntsa musykil (yang tidak dapat dipastikan jantinanya) adalah tidak sabit anak susuan jika khuntsa musykil itu menyusukan anak itu. Ini kerana tidak diketahui akan jantinanya. (Mughni al-Muhtâj: 3/528)
vii. Syak Tentang Bilangan Penyusuan
Apabila perempuan yang menyusukan itu syak tentang bilangan penyusuannya kepada anak yang disusukan, sama ada lima kali penyusuan atau kurang daripada itu atau syak terhadap air susu, sama ada susu itu miliknya, milik orang lain atau susu binatang, atau dia syak tentang usia anak itu, sama ada dia menyusukan sebelum anak itu berumur dua tahun atau sesudah dua tahun, atau dia syak sama ada anak kecil itu hidup ketika dia menyusukan dan sebagainya, maka dalam semua keadaan ini tidak sabit anak tersebut sebagai anak susuannya kerana adanya syak itu. (Nihâyah al- Muhtâj: 7/177)
viii. Penyusuan Dengan Air Susu Hasil Daripada Perzinaan
Perempuan yang memiliki air susu hasil daripada perzinaannya lalu menyusukan anak orang lain, maka sabit anak itu anak susuannya, walaupun air susu itu hasil daripada perzinaan. Tetapi tidak sabit hukum anak susuan itu kepada lelaki yang menzinai perempuan yang menyusukan anak tersebut.
ix. Penyusuan Dengan Susu Perempuan Yang Telah Mati
Di antara syarat perempuan yang menyusukan anak hendaklah perempuan itu masih hidup. Apabila seorang anak disusukan dengan air susu perempuan yang telah mati, maka tidaklah sabit anak tersebut sebagai anak susuan kepada perempuan yang telah mati itu kerana air susu si mati itu tidak halal. Ia adalah najis pada ‘ainnya dan tidak memberi pertumbuhan badan anak tersebut. Dari itu susuan itu tidak sabit walaupun pada asalnya air susu itu halal.
x. Pernikahan Lelaki Dengan Anak Perempuan Hasil Daripada Perzinaannya
Pernikahan antara lelaki dengan anak perempuan hasil daripada perzinaan dengan ibu anak itu walaupun telah disusukan oleh ibu anak perempuan tersebut, adalah halal kerana tiada bersambung nasab keturunan dengannya. Walau bagaimanapun hukum pernikahan tersebut adalah makruh. Mereka juga tiada hubungan dalam perkara waris dan sebagainya.
Manakala kedudukan perempuan yang melahirkan anak daripada hasil perzinaan, adalah sabit anak itu anaknya.
xi. Pernikahan Antara Perempuan Yang Menyusukan Dengan Bapa Kandung Anak Yang Menyusu
Hukum pernikahan antara perempuan yang menyusukan dengan bapa kandung anak yang menyusu adalah halal pernikahannya. Ini kerana hukum haram pernikahan disebabkan susuan itu hanya terbatas kepada anak yang disusukan sehingga furu‘nya tanpa membabitkan keluarga ushûl dan hawâsyi anak susuan tersebut dan juga tidak ada pertalian nasab (keturunan) dan radhâ‘ah antara keluarga asal anak susuan itu dengan keluarga susuan bagi anak tersebut.
Begitulah juga halal ibu kandung anak susuan itu bernikah dengan bapa susuan kepada anak tersebut.
xii. Pernikahan Antara Bapa Kandung Anak Susuan Dengan Ibu Kepada Perempuan Yang Menyusukan
Pernikahan antara bapa anak susuan dengan ibu kepada perempuan yang menyusukan adalah harus. Begitu juga halal bagi bapa kandung itu bernikah dengan anak kepada perempuan yang menyusukan anaknya.
xiii. Pernikahan Antara Adik Beradik Anak Susuan Dengan Adik Beradik Susuannya
Pernikahan antara adik beradik bagi anak yang menyusu dengan adik beradik susuannya tidaklah diharamkan. Halal bagi mereka berkahwin kerana tidak ada hubungan susuan antara adik beradik si penyusu dengan adik beradik susuannya.
Penutup
Apabila sabit seseorang anak itu sebagai anak susuan, maka hendaklah kita berhati-hati dan berwaspada terhadap anak susuan terutama sekali dalam perkara hukum yang berkaitan dengan pernikahan, agar tidak menimbulkan permasalahan seperti fasakh disebabkan nikah fâsid kerana pasangan suami isteri itu terdiri daripada orang yang haram bernikah disebabkan susuan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10713
دليل الألوان
