Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة٠ مشاهدة

Mempercayai Kuasa Tangkal Dan Azimat

الجواب

Pemakaian tangkal dan azimat biasanya dikaitkan dengan kepercayaan bahawa ia mempunyai kuasa mengubat atau kesan dalam mendapatkan kebaikan atau menolak kemudharatan. Adakah perkara ini benar?

Dalam hal ini kita ingin menyebut mengenai al-Qur’an. Pada keseluruhannya al-Qur’an itu adalah ubat segala macam bentuk penyakit baik penyakit rohani mahupun jasmani. Perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Qur’an melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al- Qur’an ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya, dan (sebaliknya) al-Qur’an itu tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isrâ’: 82)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:

Tafsirnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

Berbalik kita kepada penggunaan atau pemakaian tangkal dan azimat.

Tangkal atau azimat pada kebiasaannya adalah benda-benda atau tulisan yang dibungkus, dikalungkan atau dibawa oleh seseorang dengan maksud sebagai penangkal kejahatan untuk menolak segala jin atau syaitan dan sihir, di samping untuk keselamatan atau penyembuhan.

Tangkal dalam bahasa Arab disebut sebagai “tamîmah” iaitu barang yang digantung di tangan kanak-kanak atau lainnya kerana menolak ‘ain (kejahatan mata). Menurut al-Kholkoli, tamîmah itu ialah benda yang digantung di leher kanak-kanak yang diperbuat daripada manik-manik atau tulang untuk menolak penyakit ‘ain.

Menurut Kamus Dewan, tangkal itu ialah sesuatu yang digunakan untuk menolak bala (penyakit, hantu, jin dan ‘ain). Ia juga bererti azimat seperti Tangkal Bisa, Tangkal Jin, Tangkal Sawan dan Tangkal Sahari Bulan (azimat yang berbentuk bulan sabit daripada emas atau perak yang digantung di leher kanak-kanak). Manakala azimat pula ialah bahan yang terdiri daripada tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu tertentu atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian tertentu tubuh badan seperti pinggang yang dianggap mempunyai sakti dan boleh mengelakkan penyakit, bencana dan sebagainya.

Pada kebiasaannya tangkal dan azimat itu kedua-duanya dianggap oleh sebahagian masyarakat dapat menyembuhkan penyakit atau melindungi diri dan keluarga daripada bahaya, seperti bahaya gangguan jin, sengatan kala jengking, kejahatan ‘ain, kedengkian orang dan sebagainya.

Pandangan Islam Terhadap Tangkal Dan Azimat

Menurut al-Qurthubi bahawa tangkal itu terbahagi kepada tiga perkara. Yang pertama, tangkal yang dibuat oleh orang-orang jahiliah daripada perkara yang tidak difahami tujuannya. Tangkal seperti ini wajib dijauhi supaya tidak berlaku syirik atau membawa kepada syirik (menyekutukan Allah).

Yang kedua, tangkal yang digunakan dengan kalâmullâh (al-Qur’an) atau dengan nama-nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sifat-sifatNya. Tangkal seperti ini harus digunakan bahkan menjadi sunat jika tangkal itu bersumber daripada hadis atau âtsâr sahabat.

Yang terakhir, tangkal-tangkal yang digunakan bukan daripada nama atau sifat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bukan daripada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala, seperti nama-nama malaikat atau orang salih atau nama mu‘azhzham daripada makhluk seperti ‘Arasy. Tangkal seperti ini lebih baik ditinggalkan. Jika tangkal itu mengandungi perkara menghormatkan perkara makhluk itu, maka sayugia dijauhkan seperti menjauhi daripada bersumpah bukan dengan nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala. (Fath al-Bâri: 11/353)

Tangkal Dan Azimat Yang Diharuskan

Tangkal dan azimat yang harus atau boleh digunakan itu ialah yang diketahui erti dan tujuannya serta harus pula pada syara‘ seperti ianya mengandungi zikir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Menurut Imam al-Khaththabi, bahawa apabila tangkal dan azimat itu mengandungi zikir kepada Allah, maka adalah sunat digunakan bagi tujuan mengambil berkat daripada zikir-zikir itu. Tetapi, dalam hal keberkesanannya, hanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala jualah yang memberi perlindungan, menyembuhkan dan sebagainya kepada penggunanya bukan yang lain (bukan tangkal dan azimat itu).

Menurut Imam an-Nawawi pula, sunat menggunakan azimat yang menggunakan ayat al-Qur’an dan zikir-zikir yang ma‘rûf. (Syarh Shahîh Muslim: 14/196)

Menurut Imam Ibnu Hajar, ulama telah ijmâ‘ mengenai keharusan pemakaian tangkal dengan kalâmullâh atau nama dan sifat Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bergantung pada tiga syarat: Hendaklah tangkal itu dengan menggunakan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau nama dan sifat-sifatNya; tangkal itu juga digunakan dengan bahasa Arab atau bahasa lain yang diketahui ertinya; dan hendaklah orang yang membuat atau memakai tangkal itu jangan beri‘tiqâd bahawa tangkal itulah yang memberi kesan.

Kesan baik dan jahat itu datangnya daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala jua. (Fath al-Bâri: 11/352, Bayân li an-Nâs: 2/152)

Dalil yang mengharuskan bagi penggunaan tangkal dan azimat itu telah disebutkan dalam hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja‘iy telah berkata:

Maksudnya: “Dahulu di zaman jahiliah kami menggunakan tangkal-tangkal. Lalu kami bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah pandanganmu tentang itu?” Baginda bersabda: “Tunjukkan kepada saya tangkal-tangkal kamu itu, tidak mengapa menggunakan tangkal-tangkal yang tidak ada padanya syirik.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam sebuah riwayat, Anas Radhiallahu ‘anhu telah bertanya kepada Tsabit Rahimahullah yang sedang sakit:

Maksudnya: “Mahukah kamu aku jampikan dengan jampi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam?” Dia menjawab: “Ya.” Berkata Anas: “Ya Allah, Tuhan manusia yang menghilangkan kesengsaraan, sembuhkanlah. Engkaulah penyembuh. Tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesakitan.” (Hadis riwayat Abu Daudi)

Dalam riwayat yang lain, ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika menjampi Baginda membaca: “Debu tanah kami dan air liur sebahagian kami, menyembuhkan sakit kami dengan izin Tuhan kami.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, ‘Aisyah telah ditanya mengenai jampi terhadap binatang yang mempunyai racun, lalu ‘Aisyah menjawab:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi kelonggaran untuk berjampi daripada setiap sesuatu yang mempunyai racun.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Di dalam kitab Dalîl al-Fâlihîn Syarh Riyâdh ash-Shâlihîn: 3/382, ar-Rabi‘ telah bertanya kepada Imam asy-Syafi‘e tentang pemakaian tangkal atau azimat, maka Imam asy-Syafi‘e menjawab:

Ertinya: “Tidak mengapa memakai tangkal dengan kitab Allah (al-Qur’an) atau dengan apa yang diketahui daripada zikir Allah.”

Tangkal Dan Azimat Yang Haram Digunakan

Adapun tangkal dan azimat yang diharamkan ialah sesuatu yang dibuat oleh orang-orang zaman jahiliah, seperti diikat tembaga di lengan sebagai azimat dan dikalungkan sesuatu di leher sebagai azimat atau sesuatu yang dibuat sebagai sihir, umpamanya supaya isteri cinta kepada suami atau sebaliknya atau tangkal dan azimat itu tidak dapat difahami erti dan tujuannya. Ini adalah kerana tangkal dan azimat seperti ini boleh jadi mengandungi sihir atau mengandungi perkara-perkara yang membawa kepada syirik.

Orang-orang jahiliah beri‘tiqâd bahawa tangkal dan azimat itu menolak bencana dan kejahatan. I‘tiqâd seperti itu adalah dosa besar. Walaupun kita tidak dapat mengatakannya sebagai syirik, tetapi ia boleh membawa dan menarik seseorang ke dalam gawang syirik (menyekutukan Allah) dan menyekutukan Allah itu adalah kafir atau menjadikan orang Islam murtad (keluar daripada agama Islam).

Selain daripada itu, penggunaan tangkal dan azimat juga boleh menjadi haram apabila ia melanggar prinsip-prinsip hukum yang telah ditetapkan oleh syara‘. Jika orang yang memakai tangkal atau azimat itu bukan setakat untuk mengambil berkat sahaja, bahkan beri‘tiqâd bahawa tangkal dan azimat yang dipakainya itu mempunyai kuasa ghaib atau kesaktian yang boleh menolak bencana dan sebagainya, maka i‘tiqâd seumpama ini akan merosakkan prinsip aqidah Islam yang sebenar.

Larangan memakai tangkal dan azimat yang menyalahi prinsip-prinsip hukum yang telah ditetapkan oleh syara‘ itu ada disebutkan dalam beberapa buah hadis. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa menggantung (memakai) azimat, maka Allah tidak akan sempurnakan baginya, dan sesiapa menggantung wada‘ah (suatu benda putih yang diambil daripada laut bagi pelimun daripada mata orang) maka Allah tidak akan memberinya tenang dan selesa.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim)

Dalam riwayat yang lain pula, bahawa satu kumpulan terdiri daripada sepuluh orang telah datang mengadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sembilan orang daripadanya telah mengikat ikatan setia. Rasulullah enggan mengikat ikatan setia dengan lelaki yang seorang itu. Orang-orang bertanya apakah halnya, sabda Baginda: “Di lengan atasnya ada azimat, maka orang itupun menanggalkan azimat itu dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun mengikat setia dengannya, kemudian Baginda bersabda”:

Maksudnya: “Barangsiapa menggantung (memakai) azimat, maka dia telah menyekutukan Allah.” (Hadis riwayat al-Imam Ahmad)

Manakala hadis yang dikhabarkan oleh ‘Imran bin Hushain, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah terpandang suatu halaqah (lingkaran) di atas lengan seorang lelaki dan Baginda meminta supaya benda itu ditunjukkan kepadanya. Berkata orang itu: “Lingkaran itu berasal daripada tembaga,” maka bersabda Rasulullah:

Maksudnya: “Celaka! Apa ini?” Berkata orang itu: “Ini daripada jenis wahinah (azimat bagi penyakit di lengan atas).” Sabda Baginda: “Sanya wâhinah itu tidak menambahkan kamu melainkan menambahkan sakit lengan. Tanggalkanlah ia daripada kamu, kerana kalau kamu mati, dan ia masih ada di badan kamu, kamu tidak akan beruntung untuk selama-lamanya.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Zainab, isteri Abdullah katanya:

Maksudnya: “Telah datang orang tua kepada kami untuk menjampi humrah (penyakit sejenis ta‘un), sementara kami mempunyai tempat tidur yang kakinya panjang. Apabila ‘Abdullah masuk, dia berdehem-dehem dan bersuara. Maka pada suatu hari ‘Abdullah masuk, lalu bersembunyi orang tua itu ketika mendengar suaranya. Lalu ‘Abdullah datang dan duduk di sampingku (Zainab) dan menyentuhku, kemudian dia mendapati pada sentuhan itu benang, lalu bertanya: “Apa ini?”

Maka saya menjawab: “Ini adalah tangkalku yang di dalamnya jampi penyakit humrah.” Maka ‘Abdullah pun menarik dan memotongnya, lalu membuangnya.

Berkata ‘Abdullah: “Sesungguhnya keluarga ‘Abdullah tidak berhajat kepada sesuatu yang syirik.” Saya mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa tangkal-tangkal, azimat-azimat dan tilâwah itu menyekutu Allah.”

Saya berkata: “Sesungguhnya pada suatu hari saya telah keluar rumah, maka si polan telah melihatku. Lalu mata saya yang sebelah arah polan itu telah melelehkan air mata. Maka apabila saya tinggalkan orang itu, berhentilah air mata itu dan apabila saya biarkan dia, meleleh lagi air mata.”

Berkata ‘Abdullah: “Itulah perbuatan syaitan.” Apabila engkau ikut perbuatan syaitan ia tinggalkan engkau dan apabila engkau derhaka kepada syaitan, maka ia cucuk mata engkau, tetapi jikalau engkau buat sebagaimana yang telah dibuat oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, adalah lebih baik kepada engkau dan lebih lekas engkau sembuh. Engkau rinjiskan air pada matamu, dan engkau berdoa: “Mohon hilangkan sakit ini, ya Tuhan manusia, dan mohon sembuhkan, Engkaulah yang penyembuh. Tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak meninggalkan seberang kesakitant.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Ibnu Hajar dalam kitab az-Zawâjir menyebutkan bahawa tangkal dan azimat itu kedua-duanya termasuk di bawah erti kata dosa besar sebagaimana menurut amaran yang tersebut di dalam hadis-hadis yang disebutkan tadi. Malah ia dinamakan sebagai syirik (menyekutukan Allah). Adapun tangkal-tangkal yang ditegah atau dikira suatu dosa besar itu ialah apabila tangkal dan azimat itu dii‘tiqâdkan boleh menolak bencana atau tangkal-tangkal yang bukan dalam bahasa Arab dan tidak pula diketahui ertinya. Menurut Imam al-Khaththabi adalah sunat berbuat tangkal apabila tangkal-tangkal itu diketahui akan ertinya dan tujuannya dan ia mengandungi zikir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. (Az-Zawâjir: 1/274)

Oleh yang demikian dapatlah diambil kesimpulan bahawa apabila pemakaian tangkal dan azimat itu ada kaitan dengan kepercayaan bahawa ia mempunyai kuasa atau kesan dalam mendapatkan kebaikan atau menolak kemudharatan, ia adalah haram dan berdosa besar. Oleh itu, elakkanlah diri kita daripada melakukan perbuatan tersebut, kerana menolak bencana dan memberi keuntungan itu hanyalah urusan Allah Subhanahu wa Ta‘ala jua, bukan yang lainnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10717

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص