Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Kewajipan Mengqadha Puasa

الجواب

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya diِ sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya, dan ia juga menjadi penghulu segala bulan.

Bagi umat Islam pula, bulan Ramadhan merupakan tetamu agung mereka, bulan yang membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat.

Oleh yang demikian rebutlah peluang di bulan Ramadhan ini demi mendapatkan ganjaran pahala dengan memperbanyakkan amal ibadat, seperti bersedekah kepada fakir miskin, membaca al-Qur’an, memperbanyakkan zikir memperingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala, menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan sembahyang-sembahyang sunat dan sebagainya.

Puasa Ramadhan wajib ditunaikan bagi orang-orang yang mukallaf, hatta kanak-kanak yang baru baligh di malam hari Ramadhan dituntut untuk menunaikan puasa tersebut. Begitu juga perempuan yang baru bersih daripada haidh dan nifas.

Tidak seorang pun orang yang mukallaf itu terlepas daripada tuntutan mengerjakan puasa Ramadhan melainkan kerana keuzuran.

Keuzuran yang dimaksudkan itu keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ untuk berbuka puasa, seperti perempuan haidh atau nifas, hamil yang memudaratkan diri atau kandungannya (janin), menyusukan anak atau orang sakit yang memudharatkan dirinya kalau berpuasa atau bermusafir.

Walau bagaimanapun orang yang ada keuzuran untuk berpuasa itu masih juga dituntut untuk melaksanakannya, tetapi dalam bentuk yang lain iaitu dengan mengqadhanya di hari yang lain atau diwajibkan sama ada membayar fidyah sahaja atau kedua-duanya sekali iaitu mengqadha puasa serta membayar fidyah.

Hukum Berbuka Puasa Dengan Senghaja

Berbuka puasa dengan senghaja tanpa keuzuran adalah termasuk dalam dosa-dosa besar dan pelakunya dihukumkan sebagai fâsiq. Wajib ke atas orang itu bertaubat dengan segera untuk melepaskan dirinya daripada kefâsiqan. Tidak sah taubatnya itu melainkan dengan mengadha kesemua puasa yang ditinggalkannya. (Az-Zawâjir: 1/323)

Dalam sebuah riwayat, Abu Umamah al-Bahaliy Radhiallahu ‘anhu telah berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, datang dua orang lelaki kepadaku terus mengangkat atas lenganku lalu membawaku ke bukit-bukau (yang sukar dilalui). Maka mereka berdua berkata: “Naiklah.”

Aku bersabda: “Sesungguhnya aku tidak mampu.”

Maka mereka berdua berkata: “Sesungguhnya kami akan mempermudahkanmu.” Maka aku pun mendaki sehingga sampai ke pertengahan bukit lalu terdengar suara yang begitu dahsyat.

Aku bersabda: “Suara apakah ini?”

Mereka berdua berkata: “Ini adalah laungan ahli neraka.” Kemudian aku dibawa (beredar), lalu ternampak satu kaum yang otot besar di atas tumit mereka digantung. Koyak sudut mulut mereka sehingga mengalir darah pada sudut mulut mereka itu.

Baginda bersabda: “Aku pun bersabda: “Siapakah mereka itu?”

Mereka berdua berkata: “Merekalah yang berbuka sebelum selesai puasa mereka.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Jika ada yang tidak berpuasa janganlah beranggapan bahawa puasa itu boleh juga ditinggalkan, lebih-lebih lagi mengingkarinya. Ini kerana menurut ijmâ‘ ulama, barangsiapa yang mengingkari fardhu puasa Ramadhan atau merasa ragu-ragu akan fardhunya, maka dia adalah terkeluar daripada agama Islam iaitu murtad, wal‘iyadzubillah.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Ikatan Islam dan asas-asas agama itu ada tiga perkara yang padanya diasaskan Islam. Sesiapa yang meninggalkan salah satu daripadanya maka dia kafir lagi halal darahnya, iaitu: Persaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, sembahyang yang difardhukan dan puasa Ramadhan.” (Hadis riwayat Abu Ya‘la)

Alangkah ruginya orang yang meninggalkan puasa Ramadhan tanpa keuzuran itu, walaupun ditinggalkannya hanya sehari.ِ Ini kerana satu hari Ramadhan yang ditinggalkannya itu tidak akan dapat diganti walaupun dia berpuasa seumur hidupnya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Barangsiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu yang disebut ar-Rayyan, yang mana pada Hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk melaluinya. Tidak seorang pun akan masuk selain mereka (yang berpuasa) itu. Dikatakan: “Di manakah orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka itu pun berdiri, tidak seorang pun akan masuk melainkan mereka itu. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup, sehingga tidak ada seorang pun yang masuk melaluinya.” (Hadis muttafaq ‘alaih)

Hadis di atas menerangkan bahawa orang-orang yang berpuasa itu akan diberi keistimewaan khas di mana mereka berhak untuk masuk syurga melalui pintu ar-Rayyan. Amat rugilah orang-orang yang tidak mengerjakan ibadah puasa itu kerana tiada hak mereka untuk masuk syurga melalui pintu tersebut.

Qadha Puasa

Qadha adalah berasal daripada perkataan Arab. Dari segi istilah ulama, qadha dalam ibadat itu bererti melaksanakan sesuatu ibadat yang telah keluar daripada waktunya yang ditentukan oleh syara‘. (Al-Qâmûs al-Fiqhi: 305)

Setiap orang mukallaf yang meninggalkan puasa Ramadhan sama ada disebabkan keuzuran seperti sakit, musafir, haid, nifas atau hamil atau berbuka tanpa keuzuran adalah diwajibkan untuk mengadha puasa yang ditinggalkannya itu. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah dia berbuka kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah: 185)

Qadha Bagi Orang Berbuka Disebabkan Keuzuran

Adapun puasa yang ditinggalkan disebabkan keuzuran tidaklah wajib diqadha dengan segera. Walau bagaimanapun mengqadhanya dengan segera adalah lebih baik dan hukumnya adalah sunat (mustahabb) untuk tujuan berjaga-jaga (ihthiyât). Begitu juga, tidak diwajibkan mengadha puasanya itu dengan berturut-turut, bahkan hanya sunat sahaja. Oleh itu adalah harus melakukan qadha dengan berselang-seli harinya.

Melambatkan qadha puasa disebabkan keuzuran itu adalah diharuskan sebagaimana disebutkan dalam sebuah riwayat Yahya daripada Abu Salamah, katanya:

Maksudnya: “Saya telah mendengar ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata: “Dahulu saya ada qadha puasa bulan Ramadhan, namun saya tidak upaya untuk mengqadhanya melainkan di bulan Sya‘ban.” Yahya berkata: “Disebabkan ada kesibukan yang datangnya daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam atau dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (kerana khuatir Baginda akan memerlukannya pada bila-bila masa).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang berbuka puasa disebabkan keuzuran, harus melambatkan qadha puasa Ramadhan sehingga datangnya bulan Sya‘ban iaitu sebelum datangnya Ramadhan yang baru. Ini kerana Siti ‘Aisyah mengadha puasanya pada bulan Sya‘ban tersebut bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mana Baginda banyak mengerjakan puasa sunat di bulan Sya‘ban itu.

Perlulah diingat bahawa keharusan melambatkan qadha puasa itu tidaklah sampai datangnya bulan Ramadhan yang baru, kerana berdosa bagi orang yang melengah-lengahkan qadha puasa Ramadhan sehingga masuk ke bulan Ramadhan yang baru tanpa keuzuran yang menyebabkan dia tidak dapat mengqadhanya. Keuzuran yang dimaksudkan di sini ialah seperti sakit yang berpanjangan.

Manakala waktu mengqadha puasa itu, menurut Imam an-Nawawi adalah harus mengqadha puasa Ramadhan pada sepanjang tahun melainkan bulan Ramadhan, Hari-Hari Raya dan Hari Tasyrik. Tidaklah menjadi makruh mengqadha puasa pada selain waktu-waktu yang tidak diharuskan itu sama ada mengqadhanya pada bulan Zulhijjah atau selainnya. (Majmû‘: 6/413)

Qadha Bagi Orang Yang Berbuka Puasa Dengan Senghaja

Orang yang berbuka puasa dengan senghaja tanpa keuzuran adalah diwajibkan mengqadha puasanya itu dengan segera kerana sesiapa yang berbuka puasa dengan senghaja adalah fâsiq, oleh itu diwajibkan ke atasnya bertaubat dengan segera untuk melepaskan dirinya daripada kefâsiqan itu. Tidaklah sah taubatnya itu melainkan dia mengqadha kesemua puasa yang ditinggalkannya. Jika dia melengah-lengahkan qadha puasa itu tanpa keuzuran, nescaya dia berterusan dalam kefâsiqan. Berterusan dalam kefâsiqan itu adalah suatu dosa.

Jelasnya bahawa orang yang berbuka puasa dengan senghaja dan melengahkan qadha puasanya itu tanpa keuzuran sehingga sampai bulan Ramadhan yang baru adalah berdosa dan fâsiq. Begitulah juga setiap perkara yang wajib seperti sembahyang, jika ditinggalkan dengan senghaja dan dilengah-lengahkan pada mengqadhanya adalah perbuatan dosa dan fisq. (Az-Zawâjir: 1/324)

Kewajipan Bagi Orang Yang Melambatkan Qadha Sehingga Masuk Ramadhan Baru

Sebagaimana penjelasan yang di sebutkan tadi, adalah berdosa bagi orang yang tiada keuzuran melengah-lengahkan qadha puasanya sehingga masuk Ramadhan yang baru.

Menurut Imam an-Nawawi, apabila seseorang yang tidak mempunyai keuzuran melengah-lengahkan qadha puasanya sehingga masuk bulan Ramadhan yang baru, hendaklah orang tersebut mengerjakan puasa bagi bulan Ramadhan yang baru terlebih dahulu kemudian baharulah dia mengqadha puasa yang ditinggalkannya sebelum ini dan membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan. Dalam âtsâr sahabat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata:

Maksudnya: “Barangsiapa yang melengahkan qadha puasa Ramadhan sehingga didapatinya Ramadhan yang lain maka hendaklah dia berpuasa Ramadhan di bulan tersebut, kemudian barulah dia mengqadha puasa yang ditinggalkannya dahulu itu dan memberi makan pada setiap hari seorang miskin (fidyah)” (Hadis riwayat ad-Daraquthni)

Jenis fidyah itu ialah sama seperti jenis zakat fitrah iaitu makanan asasi dan yang mengenyangkan bagi sesebuah negeri umpamanya bagi Negara Brunei Darussalam makanan asasinya adalah beras. Kadar yang patut dikeluarkan ialah satu mudd (secupak) iaitu lima belas tahil beras bersamaan 566.85 gram.

Orang yang berhak menerima fidyah itu pula ialah orang fakir dan miskin sahaja. Fidyah itu boleh diberi lebih daripada satu cupak kepada seorang miskin, berlainan dengan membayar kaffârah. Ini bererti tidak boleh memberi dua cupak untuk seorang miskin bagi membayar kaffârah, bahkan hendaklah diberi satu cupak sahaja kepada setiap seorang miskin hingga enam puluh orang.

Adapun jika seseorang yang lewat mengadha puasanya sehingga datang Ramadhan yang baru disebabkan keuzuran, seperti dia masih dalam pelayaran, sakit atau lain-lain keuzuran syar‘i, adalah dituntut mengqadha puasa tanpa membayar fidyah. (Majmû‘: 6/412-413)

Bila Fidyah Itu Berganda?

Apabila seseorang melengah-lengahkan qadha puasa tanpa ada keuzuran sehingga datang Ramadhan yang kedua adalah diwajibkan ke atasnya mengqadha puasa tersebut beserta membayar fidyah. Jika dia tidak mengqadhanya juga sehingga datang lagi Ramadhan yang ketiga, maka diwajibkan ke atasnya membayar fidyah dua kali ganda bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Ini bererti dia wajib mengqadha satu hari puasa berserta fidyah dua cupak beras. Fidyah itu akan terus berganda dari tahun ke tahun selagi dia belum habis menyempurnakan qadha puasanya. Akan tetapi qadha puasanya itu tidaklah berganda sebagaimana fidyah.

Untuk lebih jelas di sini kita bawakan dua contoh:

Contoh I

Seorang telah meninggalkan puasanya pada tahun 1419H sebanyak 8 hari. Puasa yang ditinggalkannya itu tidak diqadhanya sehingga masuk Ramadhan 1422H (selama tiga tahun).

Maka cara mengiranya ialah dengan masuknya Ramadhan 1420H, dia wajib membayar fidyah kerana tidak mengqadha puasanya itu. Fidyahnya berganda ketika masuk Ramadhan 1422H kerana dia telah melengah-lengahkan qadha puasanya.

Fidyah yang wajib dibayarnya sebanyak 24 mudd (8 x 3 tahun) hasil daripada gandaan fidyahnya yang bermula dari tahun 1420H, 1421H dan 1422H. Banyak fidyah yang wajib dikeluarkan dalam kiraan kilonya ialah 13.604kg (24 mudd x 566.85 gram).

Contoh II

Seorang itu meninggalkan puasa sebanyak 8 hari pada tahun 1400H, 7 hari pada tahun 1401H dan 6 hari pada tahun 1402H. Kesemua puasa ini belum diqadha sehingga masuk Ramadhan 1403H.

Maka cara mengiranya ialah, dengan masuknya Ramadhan 1401H, dia wajib mengqadha sebanyak 8 hari serta wajib mengeluarkan fidyah kerana belum menunaikan qadha puasa pada tahun 1400H sebanyak 8 mudd (8 mudd x 566.85 gram = 4.534 kg beras).

Jika puasa tersebut tidak juga diqadha sehingga masuk Ramadhan 1402H, maka qadha puasanya bertambah menjadi 15 hari (8 hari pada tahun 1400H dan 7 hari pada tahun 1401H). Fidyahnya juga bertambah iaitu 16 mudd bagi puasa tahun 1400H kerana telah sampai tempoh dua kali Ramadhan yang baru iaitu 1401H dan 1402H. Kemudian ditambah dengan fidyah yang baru iaitu 7 mudd kerana belum mengqadha 7 hari puasa yang ditinggalkan pada 1401H. Maka jumlah fidyah yang perlu dibayar pada tahun 1402H ialah 23 mudd (23 mudd x 566.85 gram = 13.037 kg beras).

Jika masuk Ramadhan 1403H dan puasa qadhanya belum juga ditunaikan bahkan bertambah lagi 6 hari pada 1402H, maka dia wajib qadha sebanyak 21 hari. Manakala fidyahnya menjadi 24 mudd bagi 8 hari puasa 1400H kerana sudah melalui 3 kali Ramadhan (1401,1402 dan1403H), 14 mudd bagi 7 hari puasa 1401H dan 6 mudd bagi 6 hari puasa 1402H. Jumlah keseluruhan fidyah yang wajib dibayar ialah 44 mudd (44 mudd x 566.85 gram = 24.941 kg beras).

Meninggal Dunia Sebelum Menyempurnakan Qadha Puasa

Seseorang yang berbuka puasa disebabkan keuzuran lalu berterusan keuzurannya itu sehinggakan tidak mampu mengqadhanya seperti masih dalam keadaan sakit ketika dia meninggal dunia, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya qadha atau fidyah. Ini kerana hukum wajib itu tidak lagi tertanggung ke atasnya sebagaimana dalam kewajipan fardhu haji.

Manakala dalam hal dia mampu untuk mengadhanya sama ada qadhanya itu disebabkan uzur ataupun tidak, namun dia tidak mengqadhanya sehingga meninggal dunia, dalam keadaan ini terdapat dua qaul:

i. Menurut qaul jadîd, diwajibkan membayar fidyah daripada hartanya bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan dengan satu cupak makanan dan tidak sah bagi wali si mati itu berpuasa untuknya.

Dalam hal ini, jika seseorang meninggal dunia sebelum datang Ramadhan yang baru, maka diwajibkan bagi setiap hari qadha puasa itu satu cupak makanan. Akan tetapi jika dia meninggal dunia selepas masuknya Ramadhan yang baru, maka menurut pendapat yang ashah adalah diwajibkan dua cupak makanan; satu cupak bagi puasa yang ditinggalkan dan satu cupak lagi kerana melambatkan qadhanya. (Majmû‘: 6/419)

ii. Manakala menurut qaul qadîm dan dipilih oleh Imam an-Nawawi, harus bagi wali si mati itu berpuasa untuknya jika dia mahu. Ini bererti bukanlah menjadi kewajipan kepada wali itu untuk berpuasa bagi si mati bahkan tertakluk kepadanya untuk memilih sama ada puasa atau pun fidyah. Jika wali itu berpuasa untuk si mati adalah sah dan tidak perlu lagi dia membayar fidyah untuk si mati kerana dengan puasanya itu juga boleh melepaskan beban si mati. (Majmû‘: 6/414- 415)

Wali yang dimaksudkan di sini ialah semua kaum kerabat si mati sekalipun bukan ahli ‘ashâbah dan bukan juga ahli waris atau bukan wali yang bertanggungjawab ke atas harta si mati menurut pendapat yang mu‘tamad. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/244)

Dalil bagi mereka yang mengharuskan wali si mati itu mengqadhakan puasa si mati adalah berdasarkan beberapa hadis shahîh di antaranya, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggal dunia dan atasnya kewajipan puasa, maka walinya berpuasa untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata:

Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan baginya kewajipan puasa satu bulan, adakah saya perlu mengqadhakannya bagi pihaknya?”

Baginda bersabda: “Sekiranya ibumu mempunyai hutang, adakah engkau membayarkannya bagi pihaknya?”

Lelaki itu menjawab: “Ya”

Baginda bersabda: “Maka hutang terhadap Allah itu lebih berhak untuk diqadha.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian janganlah dilengah-lengahkan qadha puasa sehingga datangnya Ramadhan yang baru ataupun langsung tidak menghiraukannya sehingga berlalunya Ramadhan dari setahun ke setahun. Ini bukan sahaja boleh menyebabkan bergandanya fidyah yang wajib dibayar bahkan juga mendapat dosa besar ke atas pelakunya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10724

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص