Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Simbol-Simbol Bukan Islam

الجواب

Simbol ialah pengenalan mengenai sesuatu syi‘âr, tanda atau lambang. Bulan sabit biasanya dirujuk sebagai simbol Islam. Begitu juga cross atau salib adalah simbol kepada agama Kristian. Setiap agama ada simbolnya tersendiri. Dengan simbol itu mudahlah orang mengenali ia kepunyaan siapa atau dirujuk kepada yang empunya simbol itu.

Persoalan sesuatu simbol itu bukan hanya persoalan identiti untuk mengenalkan sesuatu, bahkan dalam keadaan tertentu akan menjadi persoalan aqidah atau kepercayaan. Bagaimana boleh begitu? Seorang remaja Melayu yang memakai kalung salib, boleh menggambarkan atau ditafsirkan dia telah menganut agama Kristian. Jika dia hanya berlagak-lagak sekalipun atau bermain-main, ini boleh merosakkan aqidahnya. Jika remaja itu mati dalam keadaan dia memakai salib itu, tentu susah untuk membuat penentuan sejauhmana kesudahan penyempurnaan mayatnya. Begitulah pengenalan awal mengenai simbol, tanda atau alamat.

Menegakkan Syi‘âr Islam

Syi‘âr dalam istilah bahasa arab bererti tanda, alamat atau lambang. Kata majmuknya ialah sya‘â’ir. Sya‘â’irallâh ertinya tanda-tanda peribadatan kepada Allah. Demikian juga ertinya dari segi istilah syara‘. Setiap apa yang menunjukkan lambang ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah syi‘âr Allah seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan manâsiknya, mendirikan sembahyang jemaah, azan dan iqâmah, korban, jihâd pada jalan Allah dan sebagainya.

Syi‘âr Islam inilah yang wajib kita tegakkan sama ada syi‘âr yang fardhu ataupun yang sunat. Sesiapa yang meninggalkan syi‘âr-syi‘âr Allah ini, nescaya dia mengabaikan ketaatannya dan meninggalkan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kerana menegakkan syi‘âr Islam itu akan membawa kepada ketaqwaan. Hal ini telah dijelaskan di dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Demikianlah (perintah Allah), dan barangsiapa mengagungkan syi‘âr-syi‘âr Allah, maka sesungguhnya itu timbul daripada ketakwaan hati.” (Surah al-Hajj: 32)

Syi‘âr-syi‘âr Allah juga bererti melakukan berbagai ibadat di tempat-tempat tertentu. Sebagai contoh mengelilingi Kaabah ketika berthawâf, melakukan wuqûf di ‘Arafah, berhenti (bermalam) di Masy‘aril Haram atau Muzdalifah, melontar dan menyembelih qurban di Mina, sa‘i di antara Shafa dan Marwah; semua itu adalah syi‘âr Allah dan semuanya dilakukan menurut aturan, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala di dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Sesungguhnya Shafa dan Marwah adalah sebahagian daripada syi‘âr Islam.” (Surah al-Baqarah: 158)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian daripada syi‘âr Allah.” (Surah al-Hajj: 36)

Lambang Agama Kristian

Oleh itu berhati-hatilah kita daripada terikut-ikut akan budaya atau ajaran agama lain selain daripada ajaran Islam, sama ada budaya atau dakwah yang mereka sebarkan itu secara terang-terangan ataupun sebaliknya. Apa yang lebih dikhuatiri lagi ialah dakwah agama bukan Islam ini disebarkan dengan cara tersembunyi, seperti menggunakan lambang agama mereka yang disebarkan melalui permainan, buku-buku pelajaran dan sebagainya.

Lambang cross atau salib adalah salah satu daripada simbol utama agama Kristian yang amat kuat pengaruhnya. Suatu masa dahulu cross adalah lambang kepada kereta ambulan dan lambang kesihatan di negara kita. Tetapi, alhamdulillah sekarang ini telah diubah menjadi bulan sabit. Cross berupa garis yang bersilang seperti tanda campur. Di antara nama-nama salib atau palang itu ialah Aiguisee, Avellane, Celtic, Latin, Jerusalem, Patee, Papal, Trefly, Fleuree, Crux ansata, Entrailed, Canterbury, Cercelee, Cross crosslet, Globical, Graded Calvary, Greek, Millvine, Maltese, Potent dan sebagainya.

Cross atau salib itu mempunyai pengertiannya tersendiri kepada agama Kristian. Dengan cross atau salib itulah orang-orang Kristian mengukuhkan i‘tiqâd mereka dengan mempercayai bahawa Nabi Isa ‘Alaihissalam telah disalib dan dibunuh oleh musuh Baginda. Padahal, dalam al-Qur’an, hadis dan ijmâ‘ umat Islam menyatakan bahawa Nabi Isa ‘Alaihissalam itu tidak dibunuh dan tidak disalib oleh musuh-musuhnya tetapi Baginda telah diselamatkan dengan diangkat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala hidup-hidup ke langit. Sehingga sekarang Nabi Isa ‘Alaihissalam tetap hidup dan akan hidup sehingga ke akhir zaman. Ketika itulah al-Imam al-Mahdi dan dajjal besar yang buta mata sebelah daripada keturunan bangsa Yahudi akan keluar. Pada waktu itulah Nabi Isa ‘Alaihissalam akan turun ke dunia untuk memerangi dajjal yang membuat kacau dan huru-hara besar ke atas umat Islam yang akhirnya Baginda akan membunuh dajjal besar itu.

Simbol-Simbol Kufur Pada Permainan, Lencana Dan Pakaian

Alhamdulillah pemandangan lambang cross atau salib begitu terhad di negara kita, melainkan di tempat-tempat tertentu seperti gereja. Namun usaha-usaha pihak-pihak yang empunya lambang ini tidak akan terhenti dan akan sentiasa menyebarkan lambang ini dengan apa cara sekalipun sama ada melalui mainan, alat-alat pendidikan atau sebagainya. Apa yang nyata kanak-kanak Islam telahpun membeli dan menjadikannya permainan mereka. Sebagai contoh dalam permainan tamuguci/pet, di mana dalam permainan tersebut diselitkan lambang salib. Permainan ini seakan-akan “Game & Watch” dan objek di dalamnya juga mengandungi unsur-unsur kehidupan seharian misalnya ia perlu diberi makan, minum, tidur dan lain-lain. Apabila ia lapar, ia perlu diberi makan dengan menekan punat-punat yang tersedia dan berbagai keadaan lagi. Apabila objek dalam permainan ini mati atau tamat ia akan mengeluarkan perkataan ‘die’ dengan bertanda palang Kristian (salib).

Jelas tamuguci/pet itu suatu permainan, tetapi apabila ia diselitkan dengan salib, tidak syak lagi ia mempunyai tujuan misi atau diayah Kristian.

Begitu juga pada suatu waktu yang lalu, lencana sekolah-sekolah misi di antara lain mengandungi lambang cross. Tiada lain tujuannya kecuali untuk menonjolkan kehebatan simbol itu yang tentunya mempunyai hubungan dengan Nabi Isa dalam agama Kristian menurut i‘tiqâd mereka.

Kehalusan misi mengkristian dan memperdayakan orang Islam juga terserlah melalui tulisan perkataan ‘Carlsberg’ pada pakaian dengan tujuan untuk mempromosi, melaris atau mengiklankan supaya barang itu dikenali dan diminati, sekaligus akan dibeli. Carlsberg adalah jenama bagi sejenis minuman keras atau arak. Arak (khamr) itu adalah haram. Perkara ini telah jelas dan maklum kepada umat Islam. Sesiapa jua yang memakai baju yang ada padanya lambang Carlsberg itu sama ada disedari atau tidak, telah menolong untuk memperkenal, mempromosi dan melariskan jualan Carlsberg. Oleh sebab Carlsberg itu sejenis arak, maka memakai baju yang ada padanya nama jenama ini adalah termasuk dalam tegahan umum oleh Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan”. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Tidak lama dulu kita telah mendengar di negara jiran bahawa remaja Islam dikejutkan dengan kumpulan Black Metal. Sasaran kumpulan ini adalah remaja Islam di sekolah-sekolah rendah dan kumpulan ini gemar berpakaian serba hitam dengan logo bintang lima. Kumpulan ini mengajak remaja berhibur dengan muzik yang menyeronokkan (rock), meminum arak, merokok, melakukan seks bebas dan lain-lain. Sebelum memulakan persembahan muzik yang agak gila acara pertamanya ialah memijak dan membakar al-Qur’an. Ahli kumpulan ini juga melukiskan lambang salib di badan dan di tempat tersembunyi. Ini juga adalah salah satu contoh anasir-anasir jahat bukan Islam yang ingin menghancurkan Islam dan umatnya. al- Qur’an telah memberikan peringatan dan pengajaran kepada umat Islam bahawa orang Yahudi dan Kristian akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya umat Islam supaya mengikut telunjuk dan kehendak mereka. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu) (Surah al-Baqarah: 120)

Berbagai cara dan jalan yang mereka lakukan untuk merosakkan kepercayaan dan keperibadian orang-orang Islam. Oleh kerana ramai yang tidak menyedari hakikat ini, maka bukan sedikit daripada kalangan umat Islam yang terikut-ikut dengan adat dan budaya serta cara hidup mereka, semata-mata dengan alasan menurut peredaran zaman, sekalipun yang diikuti itu bersalahan dengan ajaran Islam dan bertentangan dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Hakikat ini wajib diketahui dan mana-mana yang terlanjur, wajib kembali ke jalan yang benar.

Konspirasi Terhadap Islam

Berdasarkan contoh-contoh yang telah disebutkan tadi, orang-orang Islam semestinya mengambil perhatian terhadap peringatan al-Qur’an dan hadis mengenai penentangan agama lain kepada Islam. Penentangan itu akan terus berjalan sampai bila-bila, sama ada kita sedar atau tidak, cuma taktik atau caranya sahaja yang berubah berdasarkan faktor geografi, tempat, bangsa, masa dan lain-lain. Matlamatnya adalah satu, iaitu untuk menghancurkan Islam dan memadamkan cahayanya. Kadang-kadang strategi musuh-musuh Islam itu berubah-ubah, misalnya orang Islam tidak perlu masuk atau menganut agama Kristian, tetapi cukup dengan mencuaikan, tidak berpegang teguh atau merasa ragu terhadap agamanya. Lama kelamaan dia akan masuk Kristian sekalipun tanpa disedari.

Orang-orang bukan Islam itu sungguhpun nampaknya semacam berpecah-belah sesama mereka atau di kalangan mereka sendiri, tetapi mereka tetap bersatu padu dalam memenuhi tuntutan matlamat mereka untuk menghancurkan Islam. Inilah hakikat yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir itu tidak sukaِ (akan yang demikian).” (Surah at-Taubah: 32)

Sejarah kebencian dan penentangan orang-orang Musyrikin, Yahudi dan Nashrani terhadap Islam dan umatnya tidak hanya setakat di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat sahaja, bahkan juga akan berterusan sehingga ke akhir zaman. Hal ini telah dijelaskan melalui firman Allah Subahanhu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang ummiy (orang-orang Arab), dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). (Surah Âli ‘Imran: 75)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhamamd) akan mendapati bahawa orang yang paling memusuhi orang-orang Mukmin itu ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik.” (Surah al-Mâ’idah: 82)

Kristian Menyusup Masuk Melalui Berbagai Saluran

Penentangan ini meliputi semua segi, sama ada lisan, tulisan, kekerasan, permainan, kegiatan-kegiatan yang berbentuk kebajikan dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, gerakan-gerakan untuk menghancurkan Islam oleh Zionis, kelab-kelab di bawahnya seperti kelab Lion, kelab Rottery, Komunisme hatta fahaman kapitalisme yang bukan lagi menjadi rahsia.

Taktik pengkristianan pun sudah berubah. Memang tidak banyak yang dapat mereka harapkan daripada orang-orang Islam untuk masuk agama Kristian. Namun sudah cukup dan memadai bagi mereka untuk menggoncangkan aqidah umat Islam dan melonggarkan iltizâm mereka terhadap ajaran agama Islam dengan berbagai-bagai cara, seperti melalui sukan, hiburan, kegiatan badan-badan yang dicap sebagai “kebajikan”, bahkan dalam medan-medan perbincangan ilmiah dan akademik. Begitu juga media-media elektronik, majalah-majalah, filem dan sebagainya yang cukup berjaya untuk mencapai matlamat mereka bagi menggoncangkan aqidah umat Islam dan meninggalkan ajaran-ajaran Islam yang murni.

Al-‘Allâmah as-Said ‘Alwi bin Thahir al-Haddad, Mufti Kerajaan Johor telah memaparkan pengalaman-pengalaman atau maklumat tentang Kristian ini, katanya:

“Adapun perubahan-perubahan cara setengah-setengah mission pengembang Kristian itu kepada cara-cara pelajaran ilmu pengetahuan dan kebudayaan telah saya dapati rahsia-rahsianya dan keterangan-keterangannya yang sangat mustahak di dalam sebuah buku yang disalin daripada seratus buah buku yang ditulis oleh pakar-pakar pengembang Kristian itu sendiri dan penolong-penolongnya. Setelah diadakan beberapa kongres dan perundingan, semuanya sepakat mengatakan bahawa mengembangkan Kristian dengan cara berterang-terang itu tidak mendatangkan natijah melainkan sangat kecil dalam golongan orang-orang Islam. Dari sebab itu mereka telah menetapkan perubahan cara menyeludupkan ajaran-ajaran Kristian itu dalam buku-buku pelajaran dan ilmu pengetahuan dan didikan hingga dalam buku-buku kedoktoran dan kejuruteraan (engineering) apatah lagi di dalam buku-buku kebudayaan, kesusasteraan dan lain-lain siaran di masa sekarang.

Dalam buku yang telah saya sebutkan itu didapati fikiran-fikiran, syarahan-syarahan, pidato-pidato pengembang Kristian. Mereka sepakat mengubah cara-cara mengembangkan Kristian itu daripada cara berterang-terang dengan cara didikan menyeludupkan ajaran-ajaran itu ke dalam buku-buku pelajaran dan lainnya. Buku yang disebarkan itu saya boleh tunjukkan nama buku itu kepada siapa yang hendak tahu bila-bila masa juga.

Tempat-tempat yang mustahak pengembang-pengembang Kristian itu menaruh racun-racun Kristian itu ialah dalam buku-buku Tarikh. Mereka tidak sebutkan dalam buku-buku Tarikh itu orang-orang Islam yang masyhur di Timur Jauh dan Tenggara Asia dan begitu juga orang-orang Islam yang masyhur di Timur Tengah, tetapi mereka hanya menyebutkan orang-orang masyhur Barat. Kalau pun mereka sebutkan junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka mereka sebutkan tohmah-tohmah dan bidasan-bidasan karut atas Baginda, al-Qur’an dan agama Islam.”

Kerana itu mereka mengubah haluan ke saluran pendidikan dengan menyeludupkan ajaran-ajaran tersebut di dalam buku-buku pelajaran. Sekolah adalah sebaik-baik tempat untuk mencapai matlamat ini. Sebagai contohnya, penggunaan watak Santa Claus ketika menjelang Hari Natal di dalam perkumpulan sekolah. Santa Claus memberikan hadiah-hadiah kepada penuntut-penuntut termasuklah anak-anak Islam yang belajar di sekolah berkenaan. Santa Claus adalah watak khas dalam agama Kristian. Apakah tanggapan kanak-kanak Islam yang masih mentah itu terhadap Santa Claus? Di peringkat awal kanak-kanak Islam itu tentulah akan mengangggap Santa Claus orang yang ‘pemurah’ atau orang yang baik hati.

Jiwa kanak-kanak yang sedang jinak ini jika terus diasuh dan dipupuk melalui program-program pembelajaran dan alat-alat permainan serta contoh-contoh yang berunsurkan kufur seperti watak Santa Claus, nyanyian-nyanyian keagamaan dan pergaulan serta budaya kufur, maka sudah barang tentunya matlamat yang lebih jauh untuk memesongkan aqidah kanak-kanak Islam dan generasi Islam itu akan tercapai juga dan tiada mustahilnya.

Kita janganlah menutup mata hati daripada menerima hakikat, bahawa perkara orang-orang Melayu Islam yang menukar agama mereka sudah dan sedang berbangkit di negara-negara jiran. Angka ribuan pernah disebut mengenai orang-orang yang telah murtad atau keluar daripada agama Islam. Angka ini dikhuatiri boleh bertambah dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan-keadaan zahir yang memberangsangkan, seperti adanya sekolah-sekolah misi yang aktif, ditambah lagi dengan minat orang-orang Islam sendiri kepadanya yang sangat mendalam sehingga mendorong pencinta-pencinta hukum Islam untuk menggubal Kanun Riddah (Akta Murtad).

Kewajipan orang-orang Islam bukan sahaja menjaga aqidah dan syariat agamanya, bahkan mempertahankannya daripada sebarang penyelewengan dan anasir-anasir yang boleh merosakkan aqidah dan syariat itu, tidak kira kecil, lebih-lebih lagi yang bersifat dasar atau pokok.

Oleh yang demikian, apa sahaja benda yang ada padanya lambang cross atau salib sebagai unsur untuk pendiayahan Kristian, wajib dihalang pendedahan dan pengedarannya kerana ditakuti lambat laun akan merosakkan aqidah orang-orang Islam, dan dalam waktu yang sama akan menarik orang-orang bukan Islam lain kepada agama Kristian itu. Adapun membiarkan cross terdedah di tempat-tempat yang boleh dilihat oleh umat Islam merupakan sesuatu yang mungkar.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10730

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص