Sembahyang Witir
الجواب
Sudah menjadi fitrah manusia suka berlumba-lumba dalam mencari sesuatu yang terbaik. Menyedari hakikat inilah, maka Islam menuntut setiap penganutnya supaya mencari kelebihan (fadhilat) dan amal kebajikan yang terbaik sebagai bekalan di akhirat nanti. Bahkan dianjurkan pula bersegera mengerjakan berbagai amal kebajikan itu kerana ia adalah sifat orang-orang salih, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan dan mereka menyuruh kepada yang ma‘rûf, mencegah daripada yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang salih.” (Surah Âli ‘Imran: 114)
Lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan iaitu bulan yang sangat tinggi darjat dan besar kelebihannya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sewajarnyalah kita memperbanyakkan amal ibadat seperti bersedekah, berzikir memperingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mendirikan sembahyang Tarawih, Tahajjud, Tasbih dan sembahyang-sembahyang sunat yang lainnya.
Di antara sembahyang-sembahyang sunat itu ialah sembahyang Witir. Witr berasal daripada perkataan Arab bererti bilangan yang ganjil seperti satu, tiga dan lima, sebagaimana disebutkan di dalam hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Tunggal, suka kepada yang ganjil.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksud “witrun” di dalam hadis di atas, bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu Satu dan tidak ada yang menyekutuiNya. Adapun maksud “Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyukai pada yang ganjil” ialah keutamaan angka ganjil itu dalam amalan, sebagaimana banyak terdapat di dalam ibadat seperti sembahyang fardhu lima waktu, bersuci pada setiap anggota wudhu sebanyak tiga kali, tawaf, sa‘i dan melontar jamrah sebanyak tujuh kali dan banyak lagi. Begitu juga angka ganjil terjadi di dalam kebanyakan ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti tujuh lapis langit, bumi, laut, hari-hari dalam seminggu dan sebagainya. (Syarh Shahîh Muslim: 11/6759)
Hukum Sembahyang Witir
Hukum sembahyang Witir itu adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang dituntut, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Tunggal, suka kepada yang ganjil. Maka dirikanlah sembahyang Witir wahai ahli al-Qur’an (wahai orang-orang beriman dengan al-Qur’an).” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Dalil bahawa hukum sembahyang Witir itu tidak wajib adalah sebagimana disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang pernah ditanya mengenai Islam oleh seorang lelaki daripada ahli Najd, lalu Baginda menjawab:
Maksudnya: “Sembahyang fardhu lima waktu pada siang dan malam. Maka lelaki itu berkata: “Adakah ke atasku selain itu?” Baginda menjawab: “Tidak ada, melainkan (disunatkan kepadamu) yang tathawwa‘ (sembahyang-sembahyang sunat).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah riwayat lain daripada ‘Ali Radiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Sembahyang Witir itu tidaklah wajib seperti sembahyang-sembahyang fardhu, akan tetapi ia adalah sunat yang dikerjakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan selain mereka)
Berdasarkan hadis-hadis di atas, sembahyang Witir itu tidak wajib dikerjakan. Walau bagaimanapun sembahyang Witir itu wajib bagi diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana ia adalah salah satu daripada keistimewaan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hal ini disebutkan dalam hadis Baginda, di mana Ibnu ‘Abbas pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Ada tiga yang fardhu ke atasku dan bagi kamu ianya tathawwu‘: Al-Witr, an-Nahr dan sembahyang ad-Dhuha.” (Hadis riwayat Ahmad)
Sembahyang Witir itu termasuk dalam sembahyang-sembahyang sunat râtibah. Dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj ada menyebutkan, bahawa sembahyang Witir itu tidak termasuk dalam sunat rawâtib. Ini adalah benar jika diibaratkan makna râtibah itu semata-mata râtibah mengiringi sembahyang fardhu. Adapun dalam kitab ar-Raudhah, bahawa sembahyang Witir itu termasuk dalam sunat rawâtib. Ini adalah benar juga, jika diibaratkan bahawa makna râtibah itu sunat mu’aqqatah (sembahyang sunat yang mempunyai waktu). (Nihâyah al-Muhtâj: 2/112) Ianya juga tidak disunatkan berjemaah melainkan pada bulan Ramadhan sahaja.
Di antara sembahyang-sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah itu, yang paling afdhal dikerjakan adalah sembahyang sunat rawâtib ma‘a al-farâ’idh (sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardhu). Manakala sembahyang Witir pula menurut qaul jadîd, ianya lebih afdhal daripada sembahyang sunat fajar (sembahyang sunat rawâtib sebelum Subuh). (Majmû‘: 4/33)
Waktu Sembahyang Witir
Menurut pendapat yang shahîh, bermula waktu sembahyang Witir itu setelah selesai daripada mengerjakan sembahyang fardhu Isya’ sehinggalah terbit fajar. Adalah tidak sah sembahyang Witir itu jika dikerjakan sebelum menunaikan sembahyang fardhu Isya’ sama ada dengan senghaja atau lupa.
Sembahyang Witir itu juga tidak sah sekalipun dia menyangka bahawa dia telahpun menunaikan sembahyang fardhu Isya’, ataupun dia menyangka bahawa dia telah menunaikan fardhu Isya‘ dalam keadaan berwudhu sedangkan yang berlaku sebaliknya, atau dia menyangka bahawa sembahyang Witir itu harus dikerjakan sebelum sembahyang fardhu Isya‘. Dalam keadaan-keadaan seperti ini tidaklah dikira Witirnya itu.
Adapun waktu yang afdhal untuk mengerjakan sembahyang Witir itu ialah di akhir malam selepas mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti Tahajjud, Hajat dan sebagainya, sekalipun seseorang itu meninggalkan sembahyang Witir berjemaah di awal waktu selepas Tarawih. Jika dia hendak berjemaah selepas Tarawih itu juga, hendaklah ditunaikan sembahyang sunat muthlaq (sembahyang sunat yang tidak berkait dengan waktu dan sebab) bersama mereka yang bersembahyang Witir itu. Demikian juga, afdhal baginya mengerjakan sembahyang Witir apabila dia yakin akan bangun pada lewat malam, sama ada bangun dengan sendirinya atau dibangunkan oleh orang lain sekalipun dia tidak berhajat untuk bersembahyang Tahajjud. Akan tetapi jika dia tidak yakin boleh bangun pada lewat malam itu dan tidak berhajat untuk mengerjakan Tahajjud adalah afdhal baginya mengerjakan sembahyang Witir itu pada awal waktu. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/115, al-Majmû‘: 4/18-20, Fath al-‘Allâm: 2/39)
Perkara melewatkan sembahyang Witir itu, ada disebutkan di dalam hadis-hadis yang shahîh, di antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barangsiapa takut tidak akan dapat bangun pada akhir malam, maka kerjakanlah Witir pada awal waktu, dan barangsiapa yang terasa ingin bangun pada akhir malam, maka kerjakanlah Witir pada akhir malam. Sesungguhnya sembahyang di akhir malam itu disaksikan (oleh malaikat) dan itu adalah lebih afdhal.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam mendirikan sembahyang sunat malam sedangkan dia (‘Aisyah) terbentang tidur di hadapannya. Apabila sampai pada mengerjakan sembahyang Witir, Baginda pun membangunkannya. Maka dia (‘Aisyah) pun mengerjakan sembahyang Witir.” (Hadis riwayat Muslim)
Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya lagi:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang Witir pada setiap malam sehinggalah kepada waktu sahur.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Jadikanlah oleh kamu di akhir sembahyang sunat malam dengan sembahyang Witir.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bilangan Rakaat
Sekurang-kurang bilangan rakaat sembahyang Witir itu adalah satu rakaat, diikuti dengan tiga, lima, tujuh dan sembilan rakaat, kemudian yang paling sempurna ialah sebelas rakaat menurut pendapat yang masyhûr. Hal ini telah dijelaskan dalam sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sembahyang Witir itu adalah hak (disyariatkan) ke atas setiap Muslim. Barangsiapa mahu bersembahyang Witir dengan lima rakaat maka kerjakanlah, dan barangsiapa mahu bersembahyang Witir dengan tiga rakaat maka kerjakanlah, dan barangsiapa mahu bersembahyang Witir dengan satu rakaat maka kerjakanlah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Bersembahyang Witirlah kamu dengan lima rakaat atau tujuh atau sembilan atau sebelas rakaat.” (Hadis riwayat Hakim)
Menyambung Dan Memisahkan Rakaat-Rakaat Witir
Bilangan rakaat sembahyang Witir yang paling sempurna ialah sebelas rakaat sebagaimana penjelasan di atas. Apa yang timbul ialah bagaimana cara menunaikannya, adakah boleh disambung kesemua rakaat itu atau dipisah-pisahkan?
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang Witir melebihi daripada satu rakaat, maka yang afdhal adalah memberi salam pada setiap dua rakaat dan satu rakaat pada yang terakhir. Sebagai contoh sembahyang Witir dengan sebelas rakaat, sepuluh rakaat daripadanya dilakukan dengan memberi salam setiap dua rakaat melainkan rakaat yang kesebelas hanya dilakukan dengan satu rakaat sahaja, sebagaimana di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memisahkan di antara sembahyang yang rakaatnya ganjil dan sembahyang yang rakaatnya genap dengan salam dan dia mendengarkan bacaannya kepada kami.” (Hadis riwayat Ahmad)
Adapun jika dia mengumpulkan kesemua rakaat Witir itu sama ada dengan satu atau dua tasyahhud dengan satu salam pada akhir rakaat, adalah harus dan sah Witirnya. Sebagai contoh sembahyang Witir dengan lima rakaat, dikerjakan kesemua rakaat itu tanpa diputus-putus dengan salam dan bertasyahhud pada rakaat yang kelima serta memberi salam, atau bertasyahhud pada rakaat yang keempat dan kelima serta terus memberi salam.
Menurut ar-Ruyani dalam hal tasyahhud ini, yang afdhal hanyalah dilakukan dengan satu tasyahhud sahaja di akhir rakaat. Jika melebihi daripada dua tasyahhud, menurut pendapat yang shahîh adalah tidak harus kerana ianya menyalahi apa yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Manakala dalam hal sembahyang Witir dengan tiga rakaat, yang afdhal adalah dipisahkan dengan dua salam. Ini kerana berdasarkan hadis-hadis shahih dan bagi memperbanyakkan amal ibadat, seperti memperbaharui niat sembahyang dan doa ketika dan selepas sembahyang. (Majmû‘: 4/17-18)
Sembahyang Witir Secara Duduk
Adalah diharuskan mengerjakan sembahyang sunat Witir itu dengan cara duduk walaupun dia mampu untuk berdiri, sebagaimana keharusan ini pada sembahyang-sembahyang sunat yang lainnya. Begitu juga harus mengerjakannya di atas tunggangan, sebagaimana dalam hadis Ibnu ‘Umar ketika beliau dalam musafir katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sembahyang sunat di atas tunggangan dengan menghadap ke arah mana sahaja hala tujuannya dan Baginda mengerjakan sembahyang Witir di atas tunggangan melainkan pada sembahyang yang wajib.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Walaupun begitu sembahyang sunat dengan berdiri itu adalah lebih afdhal dan mendapat pahala yang besar berbanding dengan sembahyang duduk atau berbaring, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesiapa yang sembahyang berdiri, maka itulah yang lebih utama dan sesiapa yang sembahyang duduk, maka baginya separuh pahala daripada pahala sembahyang berdiri. Dan sesiapa yang sembahyang tidur (berbaring merusuk), maka baginya separuh pahala daripada sembahyang duduk.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Bacaan Ketika Dan Selepas Sembahyang Witir
Sembahyang Witir apabila dikerjakan di bulan Ramadhan disunatkan membaca surah al-Fâtihah dan surah yang lain dengan jahr (suara yang nyaring) sama ada dengan berjemaah ataupun bersendirian. Adapun jika mengerjakan sembahyang Witir di luar bulan Ramadhan (di bulan-bulan yang lain) disunatkan membaca surah al-Fâtihah dan surah yang lainnya dengan isrâr (suara yang rendah).
Apabila seseorang itu mengerjakan sembahyang Witir dengan tiga rakaat adalah disunat membaca surah al-A‘la di rakaat pertama selepas surah al-Fâtihah, dan surah al-Kâfirûn di rakaat kedua, dan surah al-Ikhlâsh dan ma‘udzatain (al-Falaq dan an-Nâs) di rakaat ketiga. Hal ini ada disebutkan dalam hadis ketika ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah ditanya mengenai dengan surah yang dibaca oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika mengerjakan sembahyang Witir. Lalu ‘Aisyah menjawab:
Maksudnya: “Pada rakaat pertama (Rasulullah) membaca ِ اسم ِربك ِاألعلى (surah al-A‘la), di rakaat kedua Baginda membaca َِي ِأيـُّها ِالكافرون قل (surah al-Kâfirûn) dan di rakaat ketiga Baginda membaca ٌِ قل ِهو ِهللا ِأحد ِ (surah al-Ikhlâsh) dan Mu‘awwidztain (surah al-Falaq dan an-Nâs).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Jika dikerjakan sembahyang Witir itu melebihi daripada tiga rakaat, adalah disunatkan juga membaca surah-surah seperti di atas pada tiga rakaat yang terakhir, itu pun jika tiga rakaat yang terakhir itu tidak disambung dengan rakaat-rakaat sebelumnya. Contohnya, sembahyang Witir tujuh rakaat, mula-mula dikerjakannya empat rakaat sama ada satu atau dua salam kemudian baharulah diikuti dengan tiga rakaat selebihnya dengan membaca surah-surah itu tadi.
Jika disambung tiga rakaat yang terakhir itu dengan rakaat yang sebelumnya, maka tidak disunatkan membaca surah-surah yang telah disebutkan di atas. Ini kerana supaya tidak menyalahi yang sunat seperti berlakunya pembacaan yang tidak tertib mengikut Mushhaf atau kerana tidak berturut-turut atau lebih panjang daripada rakaat sebelumnya. Dalam hal ini kitab at-Tuhfah ada menyebut bahawa apabila dikerjakan sembahyang Witir dengan lima rakaat bolehlah dibaca seperti: al-Muthaffifîn dan al-Insyiqâq pada rakaat pertama, al-Burûj dan ath-Thâriq pada rakaat kedua dan selepas itu tidaklah dimestikan sesuatu daripada itu. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/401)
Sementara dalam kitab al-Maslak al-Qarîb menyebutkan bahawa sembahyang Witir sebelas rakaat, dibaca pada setiap rakaat dengan dua muqra’ atau tiga atau kurang atau lebih. Satu muqra’ itu lebih dikenali di kalangan kita sebagai satu ‘ain. Jika dia seorang hafiz al-Qur’an, hendaklah dibaca daripada awal al-Qur’an hingga khatam. Jika dia tidak hafal, bacalah apa yang ianya hafal seperti surah as-Sajdah, Yâsîn, ad-Dukhân, al-Wâqi‘ah dan Tabârak al-Mulk. Jika tidak (hafal) juga, ulang-ulangilah surah al-Ikhlâsh pada setiap rakaat apa yang mudah sebanyak sepuluh kali atau sedikit atau banyak daripada itu, tertakluk kepada kerajinan dan keinginan. (Al-Maslak al-Qarîb: 22)
Disunatkan membaca zikir ِ سبحان ِالملك ِالقدُّوس sebanyak tiga kali selepas salam sembayang Witir dan meninggikan suara pada zikir yang ketiga, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdurrahman ibnu Abza daripada ayahnya:ِ
Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang Witir dengan membaca surah al-A‘la, al-Kâfirûn dan surah al-Ikhlâsh. Apabila selesai memberi salam (Baginda membaca zikir) ِ سبحان ِالملك ِالقدُّوس sebanyak tiga kali dan meninggikan suaranya pada zikir yang ketiga.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Dalam kitab al-Ihya’ ada menyebutkan tentang zikir yang disunatkan selepas selesai memberi salam sembahyang Witir iaitu:
Ertinya: “Maha Suci milik Tuhan yang Maha Quddus, Tuhan malaikat dan roh, Engkau hiaskan langit dan bumi dengan Kebesaran dan Keperkasaan, Engkau tinggikan dengan kekuasaan dan Engkau tundukkan hamba-hamba dengan kematian.”(I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/402)
Manakala doa yang disunatkan selepas sembahyang Witir itu ialah sebagaimana yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada akhir sembahyang Witirnya membaca doa: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dan dengan kemaafanMu daripada seksaanMu, dan aku berlindung denganMu daripada tidak mampu untuk memujiMu sebagaimana Engkau memuji diriMu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Bilakah Qunut Sembahyang Witir?
Menurut pendapat yang shahîh sunat membaca doa qunut Witir khusus pada pertengahan akhir bulan Ramadhan iaitu bermula daripada 16 haribulan sehingga akhir Ramadhan. Doa itu dibaca selepas bangkit daripada ruku‘ dan di akhir rakaat sembahyang jika dikerjakan lebih daripada satu rakaat sembahyang Witir. Adapun jika seseorang itu hanya mengerjakan sembahyang Witir satu rakaat, maka bacalah doa qunut itu pada rakaat tersebut.
Doa qunut Witir itu sama bacaannya dengan doa qunut Subuh akan tetapi sunat digabungkan doa itu dengan qunut Sayyidina ‘Umar Radhiallallahu ‘anhu iaitu:
Ertinya: “Ya Allah, sesungguhnya kami mohon pertolonganMu, kami mohon pengampunanMu, kami mohon petunjukMu. Kami beriman denganMu, kami berserah kepadaMu, kami memujiMu dengan kebaikan semuanya, kami bersyukur dan kami tidak ingkar terhadapMu, kami buang dan tinggalkan sesiapa yang derhaka kepadaMu.
Ya Allah, Engkaulah yang kami sembah, dan kepadaMu kami tunaikan sembahyang dan melakukan sujud, kepadaMu kami bersegera dan bergegas untuk berkhidmat, kami harapkan rahmatMu, kami takut kepada azabMu, sesungguhnya azabMu adalah terlalu amat dahsyat dan ianya menimpa atas orang-orang kafir.
Ya Allah, azabkanlah orang kafir ahli kitab yang menghalang kami daripada mengikuti jalanMu dan mereka yang mendustakan rasul-rasulMu serta membunuh pengikut-pengikutMu.
Ya Allah, ampunilah orang-orang mukmin, mukminat, muslimin dan muslimat. Perbaikilah perhubungan di kalangan sesama mereka, jinakilah hati-hati mereka serta jadikan dalam hati-hati mereka itu iman dan hikmat, teguhkanlah mereka di dalam agama RasulMu, kurniakanlah kepada mereka kekuatan untuk menyempurnakan janjiMu yang Engkau perintahkan mereka untuk menunaikannya, tolonglah mereka terhadap musuhMu dan musuh mereka, wahai Tuhan yang Maha Benar, jadikanlah kami daripada mereka (orang-orang yang Engkau redhai).”
Menurut ar-Ruyani, berkata Ibnu al-Qas ditambah dalam qunut itu doa yang terkandung dalam surah al-Baqarah iaitu:
Tafsirnya: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (Surah al-Baqarah: 286)
Dalam hal doa qunut Subuh dan doa Sayyidina ‘Umar ini, manakah yang afdhal didahulukan? Menurut Imam an-Nawawi bacaan doa qunut Subuh itu adalah lebih afdhal didahulukan berbanding dengan doa Sayyidina ‘Umar, kerana doa qunut Subuh itu sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Raudhah ath-Thâlibîn: 1/329-330)
Apabila seseorang itu meninggalkan bacaan doa qunut Witir pada separuh terakhir Ramadhan sama ada dengan senghaja atau terlupa, disunatkan baginya untuk melakukan sujud sahwi.
Namun jika seseorang itu membaca doa qunut pada selain separuh terakhir Ramadhan serta tidak lama ber‘itidâl di dalam sembahyang Witir, maka makruh hukumnya dan disunatkan pula ke atasnya untuk melakukan sujud sahwi kerana membaca doa qunut bukan pada tempat yang disunatkan. Adapun jika lama dia ber‘itidâl dengan senghaja dan tahu itu haram maka batal sembahyangnya. Jika dia tidak mengetahui yang itu haram, maka tidak batal sembahyang dan disunatkan melakukan sujud sahwi. (Mughni al-Muhtâj: 1/305)
Bolehkah Sembahyang Witir Dengan Berjemaah?
Di antara sembahyang-sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah itu ialah sembahyang Witir. Akan tetapi sembahyang Witir itu disunatkan berjemaah hanya khusus pada bulan Ramadhan sahaja. Ini kerana sembahyang Tarawih disunatkan berjemaah di dalamnya demikianlah juga dengan sembahyang Witir.
Mengqadha Sembahyang Witir
Sembahyang Witir itu termasuk di dalam sembahyang-sembahyang sunat yang berwaktu seperti sembahyang Dhuha, Hari Raya, rawâtib seperti sembahyang sunat Zuhur dan sebagainya. Dalam hal ini menurut qaul jadîd adalah disunatkan mengqadha sembahyang Witir yang telah luput daripada waktunya sebagaimana mengqadha sembahyang fardhu. (Majmu‘: 4/43-44) Mereka berdalilkan dengan hadis-hadis yang shahîh di antaranya, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesiapa tidak sembahyang fajar dua rakaat sehingga terbit matahari maka sembahyanglah” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Sesiapa yang tidur atau lupa mengerjakan sembahyang Witir maka sembahyanglah apabila dia ingatkannya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Bolehkah Sembahyang Sunat Lain Selepas Witir?
Apabila seseorang itu sudah mengerjakan sembahyang Witir, kemudian dia hendak mengerjakan sembahyang sunat yang lainnya seperti sunat Tahajjud, hukumnya adalah harus dan tidak makruh perbuatannya itu. Akan tetapi bolehkah dia mengulangi sembahyang Witirnya itu? Dalam hal ini, sembahyang Witirnya yang awal itu tidak terhapus. Oleh yang demikian janganlah diulangi sembahyang Witirnya itu, akan tetapi bolehlah dia mengerjakan apa saja sembahyang yang syaf‘ân (genap) jika dia mahu. (Majmuk: 4/22,32)
Dalam sebuah hadis Thalq bin Ali daripada ayahnya berkata:
Maksudnya: “Saya pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tiada dua Witir dalam satu malam.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Penutup
Sembahyang Witir itu bukan hanya disunatkan pada bulan Ramadhan sahaja. Bahkan ianya disunatkan selain daripada bulan Ramadhan. Dalam makna yang lain, ia sunat dikerjakan pada setiap malam tidak mengira sama ada pada bulan Ramadhan atau di bulan-bulan yang lain.
Sembahyang Witir mempunyai fadhilat-fadhilat tertentu sehinggakan sembahyang ini menjadi wajib ke atas diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan hadis yang disebutkan sebelum ini. Di antara fadhilat-fadhilat sembahyang Witir itu, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla telah menambahkan bagi kamu satu sembahyang, iaitu lebih baik untuk kamu daripada humrin ni‘am (semulia-mulia harta di sisi orang-orang Arab), itulah sembahyang Witir. Allah jadikannya (sembahyang Witir) untuk kamu di antara Isya’ hingga terbit fajar.” (Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan sembahyang Dhuha, berpuasa tiga hari daripada sebulan dan tidak pernah meninggalkan sembahyang Witir sama ada dalam pelayaran dan bermuqîm, dicatat baginya pahala orang syahid.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)
Oleh yang demikian sayugia jangan ditinggalkan sembahyang Witir itu, kerjakanlah walaupun hanya sedikit rakaatnya akan tetapi berterusan, kerana amalan yang berterusan walaupun sedikit adalah perkara yang disukaiِ oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana di dalam hadis ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:
Maksudnya: “Ditanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: “Amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10734
دليل الألوان
