Mahr (Mas Kahwin)
الجواب
Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia juga menjadi fitrah semula jadi manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Maha suci Allah Tuhan yang telah menciptakan (makhluk-makhluk) semuanya berpasangan; sama ada daripada yang ditumbuhkan oleh bumi, daripada diri mereka, atau pun daripada apa yang mereka tidak dapat mengetahuinya.” (Surah Yâsîn: 36)
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)” (Surah adz-Dzâriyât: 49)
Walau Bagaimanapun perkahwinan atau pengawanan binatang adalah mengikut sesuka hatinya, tidak mengira anak atau ibunya sendiri atau pasangan binatang yang lain. Sedangkan perkahwinan manusia mestilah mengikut peraturan dan undang-undang, kerana itu apabila pasangan itu melakukan persetubuhan rambang, maka perbuatan itu adalah haram dan berdosa besar.
Dalam makna yang lain manusia tidak boleh sewenang-wenangnya menjalin hubungan atau bergaul dengan pasangannya tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara‘, seperti adanya îjâb qabûl, wali nikah, saksi dan pasangan yang halal dikahwini. Mana-mana perhubungan di luar syarat nikah adalah haram lebih-lebih lagi jika terjebak dengan perkara yang membawa perzinaan.
Sesudah terlaksananya perkahwinan dengan cara yang betul dan sah di sisi syara‘, terdapat beberapa tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dalam kehidupan suami isteri. Iaitu hak isteri ke atas suami, hak suami ke atas isteri dan hak mereka bersama.
Di antara hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami ialah memberi mas kahwin. Mas kahwin dalam perkataan Arab disebut dengan mahr. Mahr (mas kahwin) adalah pemberian wajib daripada seorang suami kepada isterinya disebabkan pernikahan atau persetubuhan (dukhûl).
Mahr dipanggil juga sebagai shadaq, nihlah, farîdhah, hiba’, ajr, ‘aqr, ‘alâ’iq, thaul dan nikah. Terdapat enam perkataan yang disebutkan dalam al- Quran, iaitu perkataan shadaq dan nihlah dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu masِ kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.” (Surah an-Nisâ’: 4)
Perkataan nikah dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatan.” (Surah an-Nûr: 33)
Perkataan thaul dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup.” (Surah an-Nisâ’: 25)
Sementara perkataan ajr dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Berikanlah mas kahwinnya menurut yang patut.” (Surah an-Nisâ’: 25)
Perkataan farîdhah dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan tidaklah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan mas kahwin itu (tentang cara dan kadar pemberiannya).” (Surah an-Nisâ’: 24)
Wujudnya kewajipan membayar mahr kepada perempuan, menunjukkan penghargaan Islam terhadap kaum wanita sekaligus menaikkan martabat mereka. Ini kerana pada zaman jahiliyah, wanita tidak boleh memiliki atau mewarisi harta bahkan mereka dijadikan sebagai barangan yang boleh dijual beli atau dipinjam-pinjamkan.
Mahr Para Isteri Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Dan Anak Perempuan Baginda Mahr atau mas kahwin memang sudah wujud sejak zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sahabat-sahabat Baginda. Mahr itu telah pun menjadi ketetapan dalam syara‘. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi mahr kepada isteri-isterinya sebanyak dua belas setengah ûqiyyah iaitu lima ratus dirham (kira-kira B$877.62 mengikut kiraan dirham masa kini, di mana 200 dirham bersamaan dengan B$351.05. (Lihat Kitab Hukum Zakat Dr. Yusuf Qardhawi: 256). Sebagaimana disebut dalam hadis daripada Abu Salamah, beliau bertanya kepada Sayyidatuna ‘Aisyah tentang mahr yang diberikan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu ‘Aisyah berkata:
Maksudnya: “Baginda memberi mahr kepada isteri-isterinya sebanyak dua belas uqiyyah dan satu nasy. ‘Aisyah berkata: “Tahukah kamu apa itu nasy?”
Abu Salamah berkata: “Aku berkata: “Tidak tahu.”
‘Aisyah berkata: “Setengah ûqiyyah. Demikian itu kesemuanya sebanyak lima ratus dirham. Maka inilah kadar mahr yang diberikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada isteri-isterinya.” (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad)
Daripada Abu al-‘Ajfa’ as-Sulamiy, berkata ‘Umar bin al-Khaththab:
Maksudnya: “Saya tidak pernah tahu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menikahi isteri-isterinya dengan sesuatu (mahr) dan tidak menikahkan anak-anaknya dengan sesuatu (mahr) lebih daripada dua belas uqiyyah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud dan an-Nasa’i)
Dikatakan bahawa mahr Ummu Habibah iaitu isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebanyak empat ribu dirham atau empat ratus dinar. Namun kadar mahr yang tinggi itu bukannya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda tidak berakad nikah dengan kadar yang banyak itu. Akan tetapi ianya adalah merupakan tabarru‘ daripada an-Najasyi sebagai memuliakan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana dalam hadis Ummu Habibah:
Maksudnya: “Bahawasanya dia (Ummu Habibah) di bawah tanggungan ‘Ubaidullah bin Jahsy (suaminya). Lalu suaminya meninggal dunia di tanah Habsyah, maka an-Najasyie menikahkannya dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dia (an-Najasyie) memberikan mahrnya (Ummu Habibah) bagi pihak diri Rasulullah sebanyak empat ribu dirham. An-Najasyie mengutus Ummu Habibah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan ditemani oleh Syurahbil bin Hasanah. Berkata Abu Daud: “Hasanah itu adalah ibunya (Syurahbil).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Mahr Para Sahabat Dan Selainnya
Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu mengahwini Ummu Kalthum binti Ali Radhiallahu ‘anhu dengan mahr empat puluh ribu dirham. Thalhah bin ‘Ubaidullah mengahwini anak perempuan Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu dengan mahr seratus ribu dirham. Sementara Mush‘ab menikahi Sakinah binti Husain Radhiallahu ‘anhuma dengan mahr sejuta dirham. (Al-Majmû‘: 18/8-9)
Abdul Rahman bin ‘Auf bernikah pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan mahr emas seberat biji buah kurma iaitu tiga dan sepertiga dirham. Manakala Sa‘id bin al-Musayyab menikahkan anak perempuannya dengan mahr dua dirham. (Ahkâm az-Ziwâj: 77)
Sementara Khalifah al-Ma’mun daripada Bani ‘Abbas, menikahi puteri Bauran iaitu anak kepada Perdana Wazir Khalifah al-Ma’mun yang bernama Fadhl bin Sahl dengan mahr beratus-ratus talam emas yang dipenuhi dengan wang emas (dinar). Dihiasi dengan lilin-lilin yang dibakar dengan minyak ‘Anbar yang harum semerbak serta dicampur dengan kesturi yang digiling halus. Sehinggalah tercatat dalam sejarah bahawa majlis pernikahan itu sangat mewah serta mahr yang paling mahal bersesuaian dengan kekayaan Khalifah al-Ma’mun. (Tafsîr al-Azhar: 2/1097)
Hukum Mahr
Seorang suami diwajibkan memberi mahr kepada isterinya walaupun mahr itu bukan salah satu daripada syarat sah atau rukun nikah. Jika tidak disebutkan mahr di dalam akad nikah atau ada perselisihan di dalamnya, maka pernikahan tersebut tetap sah. Ini membuktikan bahawa ada perbezaan di antara pernikahan dan jual beli. Jual beli itu tidak sah melainkan di dalamnya akad harga yang diketahui. Manakala nikah pula, ianya sah tanpa disebutkan mahr itu di dalam akad.
Kewajipan mahr itu telah disebutkan dalam al-Qur’an, di antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.ِ Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah an-Nisâ’: 4)
Menurut al-Qurthubi bahawa ayat di atas ditujukan kepada pihak suami. Ini menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya pihak suami bertabarru‘ dengan memberikan mahr kepada isteri-isteri mereka. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 3/1330)
Syarat-Syarat Mahr
Hendaklah mahr yang diberikan kepada pihak isteri itu merupakan sesuatu benda yang boleh dijual beli atau sesuatu yang ada harga atau boleh sewa sama ada yang nampak (ada di tangan seseorang) atau hutang yang dalam tanggungan. Mahr itu juga boleh diberi secara tunai, bertangguh atau dibayar secara beransur-ansur. Untuk jelasnya dihuraikan syarat-syarat mahr:
1. Hendaklah mahr itu terdiri daripada sesuatu yang suci dan bukan sesuatu yang haram. Oleh yang demikian tidak sah sekiranya arak, bangkai, babi atau sesuatu yang najis dijadikan mahr.
2. Hendaklah mahr itu dalam milik atau kuasa suami. Tidak sah sekiranya barang curian, rampasan atau barang yang memang tidak dimilikinya seperti disebutkan mahr di dalam akad sebanyak seribu ringgit akan tetapi dia tidak memilikinya. Begitu juga sekiranya dia menjadikan sesuatu yang bermanfaat sebagai mahr tetapi tidak dimilikinya, seperti dia menjadikan khidmat seorang hamba sebagai mahr akan tetapi dia tidak memiliki hamba itu.
3. Hendaklah mahr itu bersih daripada sebarang penipuan, seperti sesuatu yang tidak ada atau tidak diketahui sama ada pada jenis, jumlah atau sifatnya. Sebagai contoh, menjadikan rumah, binatang ternak atau sebagainya yang tidak ditentukan yang mana satu untuk dijadikan mahr.
Demikian juga tidak sah dijadikan mahr sesuatu yang belum sempurna miliknya, seperti barang belian yang belum diterima (qabadh) atau sesuatu yang tidak mampu untuk diserahkan, seperti burung yang terbang di udara, binatang liar di dalam hutan atau ikan di lautan.
4. Hendaklah mahr itu mempunyai nilai dan manfaat, seperti memberi khidmat kepada pihak isteri. Sebagai contoh, memelihara kambing si isteri dalam masa yang tertentu, menjahit pakaiannya, mengajar al- Qur’an, mengajar sya‘ir yang dibolehkan oleh syara‘, mengajar menulis, bertukang atau sebagainya daripada sesuatu yang bermanfaat dan dibolehkan oleh syara‘. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tentang hikayat Syu‘aib bersama Musa ‘Alaihimassalam:
Tafsirnya: “Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): “Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah daripada kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku insyâ’ Allah, daripada orang-orang yang baik layanannya.” (Surah al-Qashash: 27)
Sementara dalil bagi menjadikan pengajaran al-Qur’an itu sebagai mahr, adalah hadis Sahl bin as-Sa‘idiy:
Maksudnya: “Bahawasanya telah datang seorang perempuan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya datang kepadamu untuk menghibahkan diriku kepadamu.” Perempuan itu berdiri begitu lama.
Maka bangun seorang lelaki lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Kahwinkanlah aku dengannya, sekiranya tuan tidak berhajat kepadanya.”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adakah kamu mempunyai sesuatu untuk diberikan kepadanya sebagai mahr?”
Katanya: “Tidak ada padaku melainkan kain sarung ini.”
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jika engkau berikan kain sarung itu kepadanya, sudah tentu kamu duduk tanpa memakai kain sarung, maka oleh itu carilah sesuatu.”
Dia berkata: “Saya tidak mempunyai apa-apa.”
Kemudian Baginda bersabda: “Carilah walaupun sebentuk cincin besi.” Lalu lelaki itu pun mencari, namun tidak diperolehinya sesuatu pun. Maka bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apakah engkau hafal sesuatu daripada al-Qur’an?”
Dia berkata: “Ya, surah ini dan surah ini”, dengan menyebutkan nama-nama surah tersebut.
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku kahwinkanmu bersamanya dengan mahr daripada al-Qur’an yang engkau hafal.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Demikian juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah sama seperti hadis di atas, akan tetapi tidak disebutkan kain sarung dan cincin. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Apakah yang kamu hafal daripada al-Qur’an?”
Dia berkata: “Surah al-Baqarah dan surah berikutnya.”
Baginda bersabda: “Bangunlah! Lalu ajarkan dua puluh ayat kepadanya, dan dia adalah isterimu.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam sebuah hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Amir bin Rabi‘ah daripada ayahnya, bahawa seorang perempuan daripada bani Fazarah telah berkahwin dengan mas kahwin sepasang sandal:
Maksudnya: “Bahawasanya seorang perempuan daripada bani Fazarah telah berkahwin dengan sepasang sepatu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apakah engkau redha menyerahkan diri dan hartamu dengan sepasang sepatu?”
Perempuan itu berkata: “Ya.”
Dia berkata: “Maka Rasulullah membolehkan perkahwinannya itu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Oleh itu tidak sah menjadikan sesuatu yang tidak bermanfaat dan tidak bernilai pada kebiasaannya sebagai mahr, seperti serangga, sebutir biji gandum atau sebagainya.
Kadar Mahr
Para fuqahâ’ telah sepakat bahawa mahr itu tidak ada had banyaknya, kerana tidak ditentukan kadar banyaknya oleh syara‘. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baru) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?” (Surah an-Nisâ’: 20)
Seorang perempuan pernah berhujjahkan ayat ini ketika ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallahu ‘anhu menghadkan pembayaran mahr di dalam khutbahnya dengan tidak melebihi empat ratus dirham. Beliau berkata dalam khutbahnya:
Maksudnya: “Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam memberi mas kahwin wanita. Sesungguhnya jika sekiranya (berlebih-lebihan dalam membayar mas kahwin itu) menjadi penghormatan di dunia atau ketakwaan di sisi Allah, nescaya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih utama dan berhak meninggikan mahr itu daripada kamu. Baginda tidak memberi mas kahwin kepada seorang perempuan daripada isteri-isterinya dan tidak juga memberi mas kahwin kepada seorang perempuan daripada anak-anaknya melebihi daripada dua belas uqiyyah.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan Ibnu Majah)
Sementara dalam riwayat yang lain ada menyebutkan bahawa ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallahu ‘anhu berkata dalam khutbahnya, sesiapa yang melebihi mahrnya daripada empat ratus dinar nescaya lebihan itu diserahkan kepada Baitulmal. Sesudah beliau turun daripada mimbar, datang seorang perempuan Quraish membantah khutbah beliau dengan katanya:
Maksudnya: “Wahai Amirul Mukminin! Adakah kitab Allah Ta‘ala lebih berhak diikuti ataupun kata-katamu?”
Beliau berkata: “Kitab Allah Ta‘ala yang diikuti,ِ apa itu?”
Perempuan itu berkata: “Engkau telah melarang orang ramai sebentar tadi daripada berlebih-lebihan memberi mas kahwin wanita. Allah Ta‘ala berfirman dalam kitabNya: “Dan kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun daripada harta itu.”
‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata: “Setiap orang lebih faqîh daripada ‘Umar”, dua atau tiga kali (beliau berkata demikian). Kemudian beliau kembali ke atas mimbar.
Beliau berkata kepada orang ramai: “Sesungguhnya tadi aku telah pun melarang kamu daripada berlebih-lebihan dalam membayar mas kahwin wanita, maka sekarang lakukanlah oleh lelaki pada hartanya apa yang dia mahu.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Akan tetapi adalah disunatkan agar tidak berlebih-lebihan dalam membayar mahr perempuan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya nikah yang paling besar berkatnya adalah yang sedikit mahrnya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Dalam riwayat yang lain pula, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sebaik-baik pernikahan adalah yang sedikit (mahrnya).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Hikmat mengelakkan daripada berlebih-lebihan dalam membayar mahr itu, yang jelas adalah memudahkan pemuda-pemuda untuk berkahwin supaya tidak terpesong kepada perkara yang tidak diingni seperti zina dan perkara-perkara yang membawa kepada buruk akhlak, sebagaimana ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata dalam khutbahnya:
Maksudnya: “Sesungguhnya lelaki yang berlebih-lebihan dalam memberi mahr perempuannya sehingga menjadikan perempuan itu permusuhan dalam diri lelaki itu.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Adapun had sedikit bagi kadar mahr itu tidak disepakati oleh para fuqahâ’. Namun dalam mazhab Syafi‘e, mahr itu tidak ada had sedikitnya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina.” (Surah an-Nisâ’: 24)
Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa harta yang disebutkan di atas tidak ditentukan oleh syara‘. Demikian juga dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan bahawa cincin yang diperbuat daripada besi dan sepasang sepatu boleh dijadikan mahr. Ini menunjukkan bahawa mahr itu sah dengan setiap sesuatu yang boleh dinamakan sebagai harta.
Oleh itu, tidak ada had bagi mahr perempuan sama ada banyak atau sedikit asalkan ianya terdiri daripada sesuatu yang boleh dijual beli iaitu ada padanya nilai.
Berapakah Kadar Mahr Yang Elok Dibayar?
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menikahi isteri-isterinya dan mengahwinkan anak-anaknya dengan mahr tidak melebihi daripada dua belas setengah uqiyyah iaitu lima ratus dirham.
Oleh yang demikian, mustahab (disunatkan) bagi lelaki memberi mahr kepada perempuannya dengan tidak melebihi lima ratus dirham untuk bertabarruk dengan perbuatan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Itu pun tertakluk kepada kemampuan lelaki tersebut. (Al-Majmû‘: 18/8 dan 10) Imam asy-Syafi‘e berkata:
Ertinya: “Dan Qashd (tujuan) dalam mahr adalah disukai kepada kita, dan disunatkan mahr itu tidak melebih atas apa yang diberikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada isteri-isterinya dan anak-anaknya. Dan itu adalah lima ratus dirham, mengharap keberkatan pada setiap sesuatu yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
Tidaklah menjadi kesalahan jika lelaki itu memberi mahr kepada isterinya lebih daripada lima ratus dirham sebagaimana perbuatan an-Najasyi ketika dia menjadi wakil Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada waktu Baginda menikahi Ummu Habibah dengan dibayarkan oleh an-Najasyi mahrnya sebanyak empat ribu dirham. Jika demikian itu hukumnya makruh, nescaya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan menegahnya.
Walau bagaimanapun sayugialah digalakkan agar memberi mahr itu tidak kurang daripada sepuluh dirham. Ini kerana menghindarkan daripada pendapat sesetengah ulama yang mengatakan kadar sekurang-kurang mahr itu sebanyak sepuluh dirham. (Al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 9/6765-6766)
Selain pemberian mahr itu daripada sesuatu yang bermanfaat dan bernilai sama ada banyak atau sedikit, ianya juga bergantung kepada persetujuan kedua pihak. Jika terdapat perselisihan antara dua belah pihak dalam menentukan mahr, jatuhlah mahr tersebut kepada mahr mitsl.
Jenis-Jenis Mahr
Sudah menjadi kebiasaan di negara kita sebelum melangsungkan perkahwinan, satu majlis yang dikenali sebagai majlis “besuruh” diadakan bagi kedua belah pihak untuk berunding dan menetapkan kadar mahr yang akan diberikan oleh bakal suami. Pada kebiasaannya pihak perempuan akan menyebutkan kadar mahr yang ditetapkan, seterusnya pihak lelaki akan bersetuju dengan kadar yang dicadangkan itu.
Dalam hal ini, pihak lelaki berhak mencadangkan dalam waktu rundingan itu sama ada ingin memberikan mahr lebih tinggi ataupun kurang daripada kadar yang telah dikemukakan oleh pihak perempuan. Dengan ini tidaklah menjadi kesalahan asalkan ianya dipersetujui oleh kedua belah pihak dan mahr itu merupakan sesuatu yang bermanfaat dan bernilai.
Terdapat dua jenis mahr yang dikemukakan oleh para fuqahâ’, iaitu:
1. Mahr musamma: Iaitu mahr yang disebutkan di dalam akad atau selepas akad dengan keredhaan kedua pihak. Sama ada mahr itu disepakati dengan jelas di dalam akad atau ditetapkan bagi isteri selepas akad dengan keredhaan atau ditetapkan mahr itu oleh hakim. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh daripada mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu.” (Surah al-Baqarah: 237)
2. Mahr mitsl: Ianya adalah kadar mahr yang ditentukan mengikut kebiasaannya pada nasab dan sifat daripada ‘ashâbâtnya di sebelah perempuan. Maka didahulukan mengikut susunan seperti di bawah ini:
i. Adik beradik perempuan seibu sebapa.
ii. Adik beradik perempuan sebapa.
iii. Anak perempuan kepada adik beradik lelaki seibu sebapa.
iv. Anak perempuan kepada adik beradik lelaki sebapa.
v. Ibu saudara sebelah bapa seibu sebapa.
vi. Ibu saudara sebelah bapa sebapa.
vii. Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa seibu sebapa.
viii. Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa sebapa.
Dijelaskan dalam sebuah hadis daripada ‘Alqamah katanya:
Maksudnya: “Abdullah telah didatangi (ditanya) tentang seorang perempuan yang telah dinikahi oleh seorang lelaki, kemudian lelaki itu mati dan belum menentukan mahr kepadanya dan belum disetubuhinya.
‘Alqamah berkata: “Maka mereka pun berselisih pendapat tentangnya.”
Maka ‘Abdullah berkata: “Saya berpendapat baginya seperti mahr perempuan-perempuan kaumnya dan baginya harta warisan dan ‘iddah.” Maka mengakui Ma‘qal bin Sinan al-Asyja‘i, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah membuat keputusan ke atas Birwa‘ binti Wasyiq sama dengan apa yang diputuskan oleh ‘Abdullah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Adapun jika tidak didapati ‘ashabahnya itu (seperti senarai yang disebutkan di atas) sama ada ianya belum bernikah atau tidak diketahui berapa kadar mahrnya, maka dilihatlah mahr itu pada dzawil arhâmnya. Yang dimaksudkan dengan dzawil arhâm itu ialah ibu dan kerabatnya. Bukanlah dzawil arhâm yang disebutkan dalam hukum farâ’idh, kerana ibu dan ibu-ibunya itu di dalam hukum farâ’idh adalah tergolong dalam ashhâb al-furûdh.
Menurut al-Mawardi dan ar-Ruyani, didahulukan daripada perempuan dzawil arhâm itu adalah seperti berikut:
i. Ibu
ii. Adik beradik perempuan seibu
iii. Nenek perempuan
iv. Ibu saudara sebelah ibu
v. Anak perempuan kepada adik beradik seibu
vi. Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah ibu
Jika tidak diperolehi juga perempuan-perempuan dzawil arhâm seperti senarai di atas sama ada belum berkahwin atau tidak diketahui kadar mahrnya, maka dilihatlah kepada perempuan ajnabi (asing, bukan kerabat) yang berdekatan dengannya di negerinya yang sudah bernikah dan setaraf dengannya. Sebagai contoh jika dia seorang hamba, maka dilihat pada hamba sepertinya dan jika dia orang badawiyyah (orang kampung), maka dilihatlah pada perempuan badawiyyah yang sepertinya dan jika dia orang bandar, maka dilihatlah pada perempuan bandar sepertinya.
Apabila tidak diketahui kadar mahr perempuan itu daripada ‘ashabah dan dzawil arhâmnya, baharulah dilihat kepada perempuan ajnabi yang berhampiran dengannya dan diambil kira juga pada sifat-sifat perempuan tersebut dalam menentukan banyak dan sedikit kadar mahr yang akan diberi seperti berikut:
i. Akal: Perempuan yang mempunyai akal yang pintar lebih tinggi mahrnya berbanding dengan perempuan yang kurang pintar.
ii. Umur: Perempuan yang muda lebih diingini daripada perempuan yang sudah lanjut usia.
iii. Kecantikan: Mahr perempuan yang cantik lebih tinggi daripada mahr perempuan yang kurang cantik.
iv. Senang dan susah: Mahr perempuan yang kaya lebih tinggi berbanding mahr perempuan yang miskin.ِ
v. Al-‘iffah (menjauhkan diri daripada maksiat): Perempuan yang ‘afîfah lebih tinggi mahrnya daripada perempuan yang suka berbuat maksiat.
vi. Al-hurriyyah (kebebasan): Mahr perempuan yang merdeka lebih tinggi berbanding mahr perempuan hamba.
vii. Al-bakârah (keperawanan): Anak dara lebih mahal mahrnya daripada janda.
viii. Adab dan akhlak: Perempuan yang berperangai dan berakhlak mulia lebih tinggi mahrnya daripada perempuan yang berperangai dan berakhlak buruk.
ix. Keturunan.
Di antara sifat-sifat yang disebutkan di atas terdapat sifat yang paling masyhur untuk diambil kira dalam mahr mitsl, ianya adalah agama, al- ‘iffah dan al-hurriyyah. (Al-Majmû‘: 18/51-53)
Perkara Yang Mewajibkan Mahr Mitsl
Terdapat beberapa perkara yang mewajibkan mahr mitsil di antaranya:
1. Nikah at-tafwîdh: Pernikahan yang berlaku dengan akad yang sah akan tetapi tidak disebutkan di dalamnya mahr. Apa yang dimaksudkan dengan at-tafwîdh itu adalah menyerahkan perempuan kepada suami atau walinya untuk menentukan kadar mahr.
Sebagai contoh, seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang bâligh lagi rasyîdah sama ada dara atau janda tanpa mahr dengan keizinan dan keredhaan perempuan itu. Seperti dia berkata kepada walinya: “Kahwinkan aku tanpa mahr.” Maka wali tersebut mengahwinkannya dengan menafikan adanya mahr ataupun tidak menyebutkannya, dinamakanlah ia sebagai nikah at-tafwîdh. Oleh yang demikian, nikah at-tafwîdh itu diwajibkan mahr mitsl dan nikahnya itu sah walaupun disyaratkan oleh perempuan tersebut bahawa tidak ada mahr baginya.
Diwajibkan bagi suami memberi mut‘ah sahaja jika belum berlaku persetubuhan (dukhûl) dan belum ditentukan mahrnya. Jika berlaku persetubuhan atau kematian sebelum dukhûl dan sebelum ditentukan mahr, maka diwajibkan mahr mitsl. Adapun jika dalam keadaan nikah at-tafwîdh ini terjadi talak sebelum dukhûl dan mahr belum lagi ditentukan, maka isteri hanya mendapat separuh mahr. (Al-Majmû‘: 18/48-49, al-Fiqh al-Islâmiy wa Adillatuh: 9/6777-6781) Sebagaimana dalam mafhûm ayat al-Qur’an, firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh daripada mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu.” (Surah al-Baqarah: 237)
2. Bersepakat tidak ada mahr: Iaitu apabila seorang lelaki mengahwini seorang perempuan tanpa mahr dengan persetujuannya, maka wajiblah mahr mitsl jika berlakunya persetubuhan (dukhûl) atau kematian.
3. Mahr yang tidak sah di dalam akad: Apabila mahr yang disebutkan atau ditentukan di dalam akad sesuatu yang tidak sah untuk dijadikan mahr seperti bangkai, arak, sebutir biji gandum, setitik air, burung yang terbang di udara atau sebagainya, adalah diwajibkan mahr mitsl dan nikahnya itu tetap sah walaupun mahrnya fâsid. (Al-Fiqh al-Islâmiy wa Adillatuh: 9/6777-6781)
Perkara Yang Mewajibkan Mahr Musamma Adapun perkara yang menyebabkan wajibnya mahr musamma itu ialah, apabila berlakunya akad yang sah dan mahr yang sah yang disebutkan di dalam akad atau selepasnya atas dasar keredhaan dan persetujuan.
Jika berlakunya akad pernikahan itu fâsid (tidak sah) bukan disebabkan mahr yang tidak sah akan tetapi fâsid pada nikah disebabkan oleh yang lain seperti pernikahan tanpa saksi, pernikahan mut‘ah atau sebagainya, adalah diwajibkan bagi suami membayar mahr jika berlaku dukhûl yang hakiki, (al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh: 9/6782-6783) sebagaimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Setiap perempuan yang telah bernikah tanpa izin walinya maka nikahnya itu batal, maka nikahnya itu batal, maka nikahnya itu batal. Jika suami menyetubuhinya (dukhûl) maka baginya (perempuan itu) mahr kerana dia (suaminya) telah menghalalkan farajnya. Jika ada pertengkaran antara mereka maka hakim adalah wali bagi orang yang tidak mempunyai wali.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan di atas adalah menjadi tuntutan yang wajib ke atas para suami untuk memberikan mahr kepada isteri-isteri mereka sama ada sebelum, sesudah atau ketika akad nikah dilangsungkan sebagaimana dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadis yang telah diutarakan di atas.
Mahr itu boleh diberikan secara tunai, bertangguh (hutang) ataupun dibayar secara beransur-ansur dan ia juga menjadi hak mutlak kepada si isteri. Orang lain sekali-kali tidak berhak ke atasnya sekalipun wali, untuk membiayai perbelanjaan majlis perkahwinan anak perempuannya itu melainkan dengan keizinannya.
Berdasarkan hadis yang disebutkan di atas juga, nikah yang paling besar berkatnya adalah yang sedikit mahrnya. Oleh itu sewajarnya mahr itu diringankan demi untuk mendapat keberkatan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui hadis Baginda itu. Walau bagaimanapun bagi bakal suami yang berkemampuan adalah mustahabb (sunat) bertabarruk dengan perbuatan Nabi di dalam memberikan kadar mahr, demi mendapatkan keberkatan melalui setiap perbuatan yang dilakukan oleh Baginda.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10781
دليل الألوان
