Sembahyang: Tuntutan Kebersihan Dalam Sembahyang
الجواب
Islam sangat menggalakkan kebersihan, bersih daripada kekotoran dan segala pemandangan yang tidak menyenangkan lebih-lebih lagi yang menyakiti seperti hadir ke masjid dalam keadaan bau busuk.
Najis bukan sahaja dituntut oleh Islam supaya dibersihkan daripada pakaian, tubuh badan dan tempat ibadat, malah dituntut agar tempat membuang najis juga dibersihkan dan dijaga daripada menjadi puncaِ terkena najis. Kecuaian menjaga kebersihan yang dituntut oleh Islam ini boleh menyebabkan seseorang itu dilaknat, di antara contohnya ialah membuang najis (kecil atau besar) di tempat perhentian orang, di bawah pohon yang berbuah, di jalan yang dilalui orang, di tempat takungan air untuk orang ramai, di tepi sungai atau di tepi pintu masjid. Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Hendaklah kamu hindari daripada tiga punca laknat (ke atas diri kamu); Membuang najis di tempat-tempat terkumpul air yang didatangi orang bagi mengambil air, di jalan yang dilalui orang dan di tempat-tempat perhentian orang.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Irsyad Hukum kali ini akan memberi kefahaman tentang hukum mengenai kebersihan dan hukum najis serta hubungannya dengan kesahan sembahyang.
Najis ialah benda-benda yang dianggap kotor oleh syara‘, kotor yang boleh membatalkan sembahyang walaupun ianya dianggap tidak mengapa oleh manusia. Apabila tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang kena najis, wajib dibasuh, kerana benda-benda itu menghalang daripada sah sembahyang.
Mengenai bersih atau kebersihan walaupun maknanya suci dan tidak kotor, namun dari segi pengaruh hukumnya adalah berbeza, kerana tiap-tiap yang najis itu bererti tidak bersih (kotor) atau tidak suci, seperti anjing atau babi, darah, bangkai atau benda-benda yang keluar dari dubur dan qubul. Memandangkan adanya perbezaan ini, maka perlulah seseorang itu mengenali apa dia benda-benda yang najis atau kotor dalam pandangan syara‘, kerana yang bernajis itulah yang dianggap tidak bersih oleh syara‘ dan inilah yang boleh menjejaskan kesahan sembahyang.
Harus diingat tiap-tiap yang kotor (tidak bersih) itu tidak semestinya najis, tetapi sebaliknya tiap-tiap yang najis itu adalah kotor (tidak bersih), seperti baju atau pakaian yang terkena lumpur tanah, kuah lauk dan seumpamanya boleh dipakai dan dibawa sembahyang. Sembahyang dengan baju yang terkena lumpur tanah adalah sah, berlainan apabila terkena najis. Benda-benda najis menghalang sah sembahyang, manakala benda-benda kotor tetapi tidak najis, tidak menghalang sahnya sembahyang.
Galakan Bersih Dalam Sembahyang
Islam bukan saja menggalakkan supaya sembahyang didirikan dalam keadaan bersih, bahkan dengan berhias. Perkara ini telah disentuh oleh al-Qur’an:
Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (seperti mengerjakan sembahyang).” (Surah al-A‘râf: 31)
Dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga ada diterangkan supaya berhias dengan memakai pakaian yang indah ketika hendak ke masjid mengerjakan sembahyang, terutama pada Hari Jumaat dan Hari Raya, di samping memakai bau-bauan yang harum.
Bahkan sunat sesiapa yang hendak mendirikan sembahyang sama ada lelaki atau perempuan (tanpa kehadiran lelaki asing atau ajnabi) memakai seindah-indah pakaian dan memakai dengan apa yang boleh dibuat berhias, menurut kebiasaan, berdasarkan zahir ayat di atas.
Adalah makruh hukumnya seseorang bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar atau ada ukiran, kerana kemungkinan ia boleh mengganggu sembahyangnya. (Fath al-‘Allâm: 2/172-173)
Di antara hadis-hadis yang menganjurkan supaya berpakaian yang indah ketika hendak mendirikan sembahyang ialah:
Maksudnya: “Apabila seseorang kamu sembahyang (hendak sembahyang), pakailah dua kain, kerana Allah Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi lebih layak buat kita berhias di hadapanNya. Kalau tidak ada padanya dua helai kain, pakailah izar (sarung) bila sembahyang, dan jangan berkerudung ketika sembahyang, seperti sembahyang Yahudi.” (Hadis riwayat ath-Thabarani dan al-Baihaqi)
Dengan keterangan-keterangan di atas jelaslah bahawa adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa ketika mendirikan sembahyang itu tidak perlu dititikberatkan kebersihan zahir. Malahan menghias diri sewaktu hendak mendirikan sembahyang adalah disunatkan, sebagaimana keterangan al-Qur’an dan hadis mengenainya.
Kedudukan Sembahyang Seseorang Yang Syak Tentang Kebersihan
Adapun mengenai kedudukan sembahyang seseorang yang ragu atau syak tentang kebersihan, sekalipun ragu atau syak tentang najis, maka keraguan atau syak itu tidak menjejaskan hukum yang boleh menyebabkan sembahyang tidak sah, kerana berdasarkan kaedah fiqh bahawa:
Ertinya: “Sesuatu yang sudah diyakini tidak dihilangkan oleh sebab adanya keraguan.”
Pengarang al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir pula menyebutkan:
Ertinya: “Sesiapaِ yang yakin dia dalam keadaan bersih (suci), dan merasa syak berhadas, maka dia adalah suci, atau dia yakin dalam keadaan berhadas dan syak dalam suci, maka dia adalah berhadas.”
Dalil bagi kaedah ini berdasarkan sabda Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Apabila salah seorang di antara kamu merasakan sesuatu di dalam perutnya, kemudian dia merasa ragu, adakah telah keluar sesuatu daripada perutnya itu atau tidak, Maka janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia mendengar bunyi atau mendapati sesuatu bau.” (Hadis riwayat Muslim)
Riwayat yang lain pula mnyebutkan daripada Abdullah bin Zaid, katanya: “Ada seorang lelaki mengadu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dia berasa terkhayal, adakah dia berhadas semasa menunaikan sembahyang”, maka sabda Baginda:
Maksudnya: “Janganlah dia meninggalkan sembahyangnya sehingga dia mendengar bunyi atau mencium bau.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Daripada Abu Sa‘id Al-Khudriy berkata: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jikalau syak salah seorang kamu dalam sembahyangnya, dan dia tidak tahu berapa jumlah rakaat telah dia sembahyang, adakah tiga (rakaat) ataupun empat, maka buangkan yang syak dan hendaklah dibina atas apa yang dia yakini.” (Hadis riwayat Muslim)
Mengenai perkara-perkara najis yang dimaafkan (ma‘fuw) khasnya mengenai tempat laluan atau jalan yang bernajis, pengarang kitab Fath al- Mu‘în pula ada menyebutkan, beliau berkata:
Ertinya: “Termasuk najis ma‘fuw (yang dimaafkan): Sedikit lumpur di tempat laluan berjalan yang telah diyakini najisnya, sekalipun najis mughallazah, dengan alasan susah menghindarinya; selagi benda najisnya tidak nampak dengan jelas. Tentang kemaafan adanya najis ini, adalah berbeza sesuai dengan waktu dan tempatnya, mengenai pada pakaian dan badan. Jika zat najis itu jelas terang kelihatan di atas jalan laluan, walaupun tempat laluan anjing, maka ia tidak dimaafkan - walaupun ia merata di atas jalan - mengikut pendapat yang paling aujah. Guru kita mengeluarkan fatwa tentang jalan yang tidak berlumpur bahkan yang terdapat di sana kotoran manusia, kotoran anjing dan binatang-binatang lain, lalu terkena air hujan, (ia dianggap) sebagai najis yang dimaafkan kerana susah menghindarinya.
“Kaedah penting: Iaitu sesuatu yang asalnya suci, lalu ada prasangka ia menjadi najis dengan alasan bahawa barang yang seperti itu pada umumnya najis, maka di sini ada dua pendapat yang terkenal dengan: Pendapat asal (ia suci) dan pendapat zahir atau ghâlib. Pendapat yang lebih kuat adalah pendapat bahawa barang tersebut suci, dengan alasan “asal keyakinan yang telah ada”, di mana hal ini lebih terpercaya daripada “kebiasaan kejadian” yang selalu berbeza sesuai dengan keadaan dan masa. Yang demikian itu seperti pakaian pembuat arak, pakaian orang haidh, pakaian anak-anak, bejana milik orang-orang pemeluk agama yang menggunakan barang najis, daun yang umumnya berjatuhan di tempat najis, air liur anak damit, sutera jukh yang terkenal terbuat daripada lemak babi, keju Syria yang terkenal terbuat daripada perut besar babi.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah diberikan keju oleh penduduk Syria, lalu Baginda makan sebahagiannya, Baginda tidakpun bertanya daripada apa keju itu diperbuat. Demikianlah kaedah yang sebahagian besarnya telah dikemukakan oleh guru kita dalam Syarh al- Minhâj.”
Maka berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, kedudukan sembahyang seseorang yang ragu tentang kebersihan itu adalah sah dengan syarat benda najisnya itu tidak nampak dengan jelas.
Kesimpulan
Berdasarkan huraian-huraian di atas, Islam menggambarkan konsep kebersihan itu amat penting di dalam kehidupan sehari-hari. Contohnya, di dalam al-Qur’an dijelaskan bagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memuji orang-orang Madinah kerana cara mereka bersuci. Sedangkan orang lain juga bersuci apabila membuang najis (besar). Apabila disiasat ternyata bahawa cara orang Madinah bersuci daripada najis besar itu ialah dengan mencantumkan di antara air dan tanah, manakala orang lain tidak berbuat demikian, bahkan hanya dengan air sahaja. (Tafsîr ash-Shawi) Perkara ini jelas di dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad) yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya) sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah at-Taubah: 108)
Berhubung dengan perkara tersebut, membersihkan najis besar dengan menggabungkan air beserta kertas khas (toilet paper) adalah juga suatu cara yang terbaik.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10787
دليل الألوان
