‘Athiyyah (Pemberian): Menerima Sumbangan Daripada Orang Bukan Islam
الجواب
Sedekah ialah sesuatu yang diberikan kepada seseorang atau pihak-pihak yang tertentu dengan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dalam sedekah itu pula terkandung dua perkara iaitu pemberian dan harapan untuk mendapatkan pahala.
Manakala hadiah ialah pemberian yang diberikan kepada seseorang kerana memuliakannya sama ada disertai dengan harapan mendapat ganjaran pahala ataupun tidak. Maka sedekah dan hadiah itu adalah hibah.
Menurut kitab al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tabarru‘ (sumbangan atau derma) mengikut para fuqahâ’ termasuklah wasiat, waqaf, hibah dan sebagainya. Setiap perkara yang disebutkan itu mempunyai pengertiannya yang tersendiri; maka tabarru‘ itu tidak lari daripada pengertiannya sebagai sesuatu yang diberikan berbentuk harta atau manfaat secara sukarela tanpa mengharapkan apa-apa balasan (daripada si penerima) hanya semata-mata dengan tujuan amal ma‘rûf (kebajikan). (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 10/65) Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). ” (Surah al-Mâ’idah: 2)
Dalam ruagan Irsyad Hukum kali ini akan menjelaskan mengenai keharusan menerima sumbangan atau derma daripada orang bukan Islam atau daripada syarikat dan bank konvensional.
Hubungan Baik Dengan Orang Bukan Islam
Prinsip agama Islam tentang hubungan baik dengan orang- orang bukan Islam sangat jelas. Perkara ini ditegaskan melalui beberapa ayat al-Qur’an, bahkan kehidupan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mencerminkan perkara yang sedemikian.
Allah telah memerintahkan supaya berbuat baik, melakukan ihsan kepada seluruh manusia serta bertolong-tolongan di antara umat mengenai perkara-perkara taat dan bagaimana hendak menegakkan mashlahat bersama.
Di antara ayat al-Qur’an yang memerintahkan supaya berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam ialah:
Tafsirnya: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8)
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat Baginda pernah hidup bersama-sama dengan orang-orang musyrik Makkah. Mereka berurusniaga dan menjalankan lain-lain urusan hidup seperti berjual-beli, mengambil upah dan lain-lain tanpa memandang sumber pendapatan orang-orang musyrik itu sama ada halal atau haram, sebagaimana riwayat daripada Abdul Rahman bin Abu Bakar Radhiallahu ‘anhuma, katanya:
Maksudnya: “Ketika kami bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian datang seorang lelaki musyrik berbadan besar dan tinggi membawa seekor kambing dengan menundanya. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kambing ini dijual atau diberikan (hibah)?” Lelaki Musyrik menjawab: “Tidak, kambing ini untuk dijual! Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membeli kambing itu daripada lelaki musyrik tersebut.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Demikian juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sahabat-sahabat Baginda sewaktu di Madinah pernah hidup bersama-sama dengan orang-orang bukan Islam, khasnya orang-orang Yahudi yang tinggal di Kota Madinah dan di sekitarnya pada masa itu. Orang-orang Islam juga berurusan dengan orang-orang bukan Islam dalam banyak hal seperti memberi dan menerima barang-barang, hutang piutang, jual beli bahkan menerima hadiah tanpa melihat sumber kemasukan dan pendapatan orang-orang bukan Islam itu, padahal diketahui umum sejak sekian lama lagi bahawa orang-orang Yahudi itu ahli riba.
Telah sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda pernah menerima makanan yang diberikan orang Yahudi, lalu Baginda memakannya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Dan seorang wanita Yahudi telah memberikan hadiah kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan seekor kambing yang dibubuh dengan racun.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Demikian juga Baginda pernah menerima hadiah-hadiah daripada orang bukan Islam sebagaimana diriwayatkan dalam hadis. Telah sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda menerima hadiah baghal (binatang hasil daripada pengawanan antara kuda betina dengan keldai jantan) putih dan burdan (kain bergaris untuk dibuat selimut) daripada Raja Ailah. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan katanya:
Maksudnya: “Telah berkata Abu Humaid: “Raja Ailah pernah menghadiahkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam seekor Baghal berwarna putih dan selimut tebal.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Telah sabit juga bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menerima hadiah daripada Muqawqis (al-Maquqas atau al-Muqauqas), Amir Mesir bagi pihak Qaisar. Sewaktu membalas surat yang dikirim oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Muqawqis, al-Muqawqis menjawab:
Kepada Muhammad bin Abdullah Daripada al-Muqawqis, Pembesar Kopti, Salam sejahtera kepada Tuan.
Kemudian daripada itu; Saya telah membaca surat Tuan dan memahami apa yang Tuan sebutkan di dalamnya dan apa yang Tuan serukan itu.
Sebenarnya saya telahpun mengetahui bahawa seorang Nabi masih ada lagi (akan dibangkitkan) dan selama ini saya menyangka Nabi berkenaan akan dibangkitkan di negeri Syam.
Saya telah memuliakan utusan Tuan, dan bersama ini saya kirimkan (sebagai hadiah) kepada Tuan dua orang jâriyah (hamba) yang mempunyai kedudukan tinggi di dalam suku Kopti dan juga beberapa helai pakaian.
Saya juga menghadiahkan seekor baghal kepada Tuan untuk Tuan tunggangi. Wassalam.” (Muhammad al-Khudari, Nûr al-Yaqîn: 216)
Inilah di antara dalil yang menunjukkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menerima hadiah daripada kalangan yang bukan Islam.
Perkara penerimaan makanan lebih berat berbanding dengan penerimaan barang.
Pendapat Ulama Mengenai Keharusan Menerima Sumbangan Orang Bukan Islam
Menurut nash-nash mazhab yang empat, adalah harus orang-orang Islam berurus-niaga, bekerjasama dan bergaul dengan orang-orang bukan Islam seperti menerima hadiah atau wasiat sehingga dalam perkara membangun masjid.
Secara umumnya penjelasan perkara ini adalah seperti berikut:
Dasar umum dalam Islam menghendaki supaya urusan-urusan kewangan dan kontrak-kontrak (akad-akad) dan semua peraturan-peraturan bukanlah suatu larangan. Oleh yang demikian adalah harus orang-orang bukan Islam berkongsi niaga, dalam mudhârabah, bercucuk tanam, mengairi tanaman dan lain-lain.
Memang tidak dinafikan bahawa ada pengecualian-pengecualian dalam urusan-urusan tertentu yang terlarang dalam Islam seperti larangan dalam jual beli khinzîr, arak dan lain-lain sebagaimana perkara itu disebut dengan terperinci dalam kitab-kitab fiqh.
Dalam mazhab Syafi‘e wasiat dan waqaf itu sebahagian daripada akad (kontrak) tabarru‘ (seperti derma atau pemberian) dan hubungan sesama manusia adalah harus hukumnya selama ianya bukan kerana tujuan maksiat.
Nash al-Imam asy-Syafi‘e dengan terang menyatakan bahawa adalah harus orang bukan Islam berwasiat membina masjid untuk orang-orang Islam. Al- Imam itu juga mengharuskan orang bukan Islam berwaqaf sekalipun untuk masjid.
Berkata al-Imam an-Nawawi dalam Raudhah ath-Thâlibîn 6/98:
Ertinya: “Sah wasiat orang kafir dengan sesuatu yang boleh dijadikan harta atau boleh dimiliki. Dan tidak sah wasiat dengan arak dan khinzîr sama ada wasiat itu untuk orang Islam atau orang dzimmi, dan tidak juga bagi tujuan maksiat seperti menta‘mîr gereja atau membangunnya atau mencetak kitab Taurat dan Injil atau membaca kedua-kedua kitab itu dan lain-lain seumpamanya.”
Katanya lagi:
Ertinya: “Harus bagi orang Islam dan orang dzimmi berwasiat untuk menta‘mîr Masjid al-Aqsha dan lain-lain masjid, menta‘mîr perkuburan nabi-nabi, ulama-ulama dan orang-orang salih kerana dengan penta‘mîran ini tujuannya menghidupkan orang-orang ziarah dan untuk memperolehi tabarruk.”
Pengarang as-Sirâj al-Wahhâb iaitu Muhammad az-Zuhri al-Ghamrawi sewaktu menghuraikan Matn al-Minhâj bagi an-Nawawi tentang “Apa yang harus dalam jual beli, harus pula menghibahkannya”, menyatakan bahawa:
Ertinya: “Setiap apa yang harus jualbelikan, harus pula menghibahkannya, dan apa yang tidak harus diperjualbelikan, seperti barang yang tidak diketahui, yang dirampas, yang hilang, maka tidak harus dihibahkan.” (h. 308)
Dengan ini jelaslah bahawa orang-orang Islam boleh berurus niaga dengan orang-orang bukan Islam, kecuali yang dilarang oleh Islam seperti khinzîr dan arak. Begitu juga orang bukan Islam menghadiahkan sesuatu harta atau manfaat kepada orang Islam adalah termasuk dalam kaedah yang disebutkan oleh al-Imam an-Nawawi di atas.
Menurut kitab Kifâyah al-Akhyâr fî Hilli Ghâyah al-Ikhtishâr katanya:
Ertinya: “Dan sekiranya yang mewakafkan itu seorang dzimmi, lalu dia berhukum kepada kita dalam perkara yang sedemikian itu (mewakafkan sesuatu harta kepada rumah berhala, gereja, kitab-kitab Taurat dan Injil) boleh kita batalkan wakafnya itu, sekiranya wakaf itu kepada hal-hal yang dilarang oleh orang Islam.”
Maka berdasarkan nash-nash di atas adalah harus bagi orang Islam menerima dan menggunakan apa-apa juga barang yang diderma, diberi atau dihibahkan oleh orang bukan Islam itu selama ia tidak bercanggah dengan nash dan kaedah di atas.
Adapun mengenai dengan maksud hadis yang mengatakan bahawa: “Allah itu Thayyib (baik atau bagus) tidak akan menerima melainkan yang baik juga”, tidaklah termasuk dalam persoalan ini, kerana maksud penerimaan Allah hanya yang baik-baik itu ialah yang berkaitan dengan pemberian ganjaran pahala, sedangkan pahala itu tidak diberikan kepada orang bukan Islam.
Menerima Sumbangan Daripada Syarikat Dan Bank Konvensional
Bank-bank konvensional pada lazimnya tidak sunyi daripada bermuamalat secara riba, terutama dalam soal pinjam-meminjam. Riba itu haram dalam Islam berdasarkan al-Qur’an dan hadis. Namun demikian bank konvensional ada juga bermuamalat dengan perkara-perkara yang dibenarkan oleh syara‘ seperti mengendalikan tukaran wang asing, perkhidmatan pengiriman wang, upah menyimpan harta benda dan lain-lain seumpamanya.
Apabila kedudukan sesebuah bank konvensional seperti di atas, bermakna bank memiliki harta yang bercampur-campur antara sumber yang haram dan yang halal. Mungkin susah untuk membezakan di antara keduanya.
Mengenai harta yang haram, para jumhûr ulama mengharuskan dibelanjakan wang haram bagi mashlahat umat Islam berdasarkan hadis yang dibawakan oleh al-Ghazali dalam kitabnya Ihyâ’ Ulûm ad-Dîn di bawah tajuk “Halal Haram” dan al-Iraqi telah mengeluarkan hadis daripada al-Imam Ahmad dengan sanadnya yang bagus, daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dihadiahkan seekor kambing panggang. Aku (‘Aisyah) mengatakan kepada Baginda, bahawa daging itu haram, Nabi pun tidak memakannya, (sebaliknya) memerintahkannya supaya diberikan. Baginda bersabda: “Beri makan kambing panggang itu kepada orang-orang tawanan.”
Menurut Al-Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihyâ’ Ulûm ad-Dîn: “Jika bercampur benda-benda halal yang tidak terbatas dengan benda-benda haram yang tidak terbatas, sepertimana harta-harta yang ada pada masa kini, maka tidak haram mengambil sesuatu daripadanya walaupun ia mengandungi benda-benda halal dan haram itu, melainkan ada bukti yang menunjukkan benda-benda itu haram. Kalau tidak ada pada benda itu sesuatu tanda yang menunjukkan ianya haram, meninggalkannya adalah wara‘ dan mengambilnya halal yang tidak akan menjadi fâsiq memakannya.
Sesungguhnya telah dimaklumi di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para Khulafâ’ ar-Râsyidîn dan sesudahnya bahawa ada harga-harga arak dan dirham-dirham riba daripada tangan kafir dzimmi (kafir yang dijamin keselamatannya oleh pemerintah Islam) bercampur-baur dengan harta-harta lain, dan begitu juga harta-harta yang diambil daripada harta rampasan perang.
Sejak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengharamkan riba ketika Baginda mengerjakan haji Wada’ tidaklah semua manusia meninggalkan amalan riba itu secara menyeluruh, sebagaimana mereka tidak meninggalkan minuman arak dan maksiat-maksiat yang lain, sehingga diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjual arak, lalu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata: “Allah mengutuk kiranya si polan itu di mana dia orang yang pertama yang menjalankan penjualan arak, kerana dia tidak memahami bahawa pengharaman arak itu adalah (termasuk juga) pengharaman harganya.”
Adapun orang-orang yang enggan berjual beli daripada harta-harta (yang bercampur itu) hanyalah menunjukkan sifat wara‘, sedangkan banyak ulama tidak pun menegah berjual beli dengan harta-harta yang bercampur-campur itu padahal banyak harta dirompak pada masa-masa pemerintahan orang-orang yang zalim.”
Berdasarkan pandangan al-Ghazali di atas adalah harus membeli atau mengambil barang-barang yang bercampur-aduk di antara halal dan haram.
Oleh yang demikian, tidaklah mengapa jika sumbangan berupa kewangan, cenderamata atau yang seumpamanya daripada syarikat-syarikat atau bank kewangan konvensional itu diambil atau diterima.
Bagaimanapun, menurut al-Ghazali sendiri tentang benda-benda halal dan haram yang bercampur-campur dengan tidak terbatas, jika pada benda-benda itu tidak terdapat suatu tanda yang menunjukkan ianya haram, maka meninggalkannya adalah wara‘, dan mengambilnya pula dibolehkan, tidak menjadi fâsiq. Wara‘ itu ialah menjauhi segala syubhah kerana takut terjatuh dalam haram atau melazimkan membuat pekerjaan yang terpuji dan meninggalkan pekerjaan yang buruk dan keji.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10791
دليل الألوان
