Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Azan Dan Iqâmah: Hukum Dan Kelebihannya

الجواب

Menurut kamus Lisân al-‘Arab, azan dari segi bahasa bererti pemberitahuan (al-i‘lâm), (Lisân al-‘Arab: 13/9) sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan inilah perisytiharan daripada Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri daripada tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik.” (Surah at-Taubah: 3)

Sementara azan dari segi syara‘ pula bererti zikir yang ditentukan untuk pemberitahuan masuk waktu sembahyang fardhu lima waktu.

Menurut kamus Lisân al-‘Arab, iqâmah pula dari segi bahasa adalah mashdar kepada kalimat aqâma iaitu mendirikan. (Lisân al-‘Arab: 12/498) Pada syara‘ pula bererti zikir yang ditentukan untuk mendirikan sembahyang. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/460)

Sejarah Disyariatkan Azan Dan Iqâmah

Adapun sejarah disyariatkan azan dan iqâmah itu bermula di Madinah pada tahun pertama Hijrah, (al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 2/358) sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar katanya:

Maksudnya: “Semasa orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkirakan waktu sembahyang dan tidak ada seorangpun yang menyerukan untuk sembahyang. Pada suatu hari mereka pun membincangkan hal itu. Berkata sebahagian mereka: “Ambillah nâqûs (loceng) seperti nâqûs orang-orang Nashrani (Kristian).” Berkata sebahagian yang lain pula: “(Ambillah) trompet seperti trompet orang-orang Yahudi.” Lalu ‘Umar berkata: “Tidakkah kamu melantik seorang lelaki untuk menyerukan sembahyang?” Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Bilal, berdirilah dan serulah untuk sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain daripada ‘Abdullah bin Zaid katanya:

Maksudnya: “Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk menggunakan nâqus (loceng) untuk dipalu bagi mengumpulkan orang ramai untuk mendirikan sembahyang jemaah, dalam tidurku (mimpi) seorang lelaki berjalan mengelilingiku sedang membawa nâqûs di tangannya. Lalu aku berkata: “Wahai hamba Allah, adakah kamu jual nâqûs itu?” Dia berkata: “Apa yang akan engkau buat dengannya (nâqûs)?” Aku berkata: “Dengan nâqûs itu kami menyeru kepada sembahyang.” Dia berkata: “Mahukah kamu aku tunjukkan yang lebih baik daripada itu?” Aku berkata: “Ya.”

Berkata periwayat (orang yang bermimpi): “Dia (lelaki yang dimimpikan) berkata: “Engkau ucapkan: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, saya mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, saya mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, marilah mendirikan sembahyang, marilah mendirikan sembahyang, marilah menuju kemenangan, marilah menuju kemenangan, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada tuhan yang disembah melainkan Allah.”

(‘Abdullah bin Zaid) berkata: “Kemudian lelaki itu berundur sedikit.”

Lalu lelaki itu berkata: “Jika engkau menyerukan iqâmah sembahyang engkau ucapkan: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, saya mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, marilah mendirikan sembahyang, marilah menuju kemenangan, sesungguhnya sembahyang telah didirikan, sesungguhnya sembahyang telah didirikan, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada tuhan yang disembah melainkan Allah.”

Pada pagi esoknya aku datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu mengenai dengan mimpiku itu. Baginda bersabda: “Sesungguhnya mimpimu itu benar insyâ’ Allah, berdirilah engkau bersama Bilal dan ajarkan padanya apa yang engkau mimpikan itu. Hendaklah Bilal azan dengan apa yang diajarkan kepadanya itu, kerana suaranya lebih bagus dan tinggi daripada engkau.” Maka aku berdiri bersama Bilal lalu aku ajarkan dia dan dia azan dengan apa yang aku ajarkan itu.

(‘Abdullah bin Zaid) berkata: “Maka terdengarlah azan itu oleh ‘Umar bin al-Khaththab, sedang dia dirumahnya. Lalu dia keluar dengan bergegas menyeret selendang di belakangnya dan berkata: “Demi Yang telah Mengutusmu dengan benar wahai Rasulullah, sesungguhnya aku bermimpi sepertimana yang dimimpikan olehnya (‘Abdullah bin Zaid).”

Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Segala puji bagi Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Lafaz-Lafaz Azan Dan Iqâmah

Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, kalimat-kalimat azan itu mencakupi aqidah keimanan, baik dari segi ‘aqliyyah dan sam‘iyyâh. Dimulai dengan mensabitkan zat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang berhak bagiNya daripada sifat kesempurnaan, iaitu َب للاِأك bererti Allah Maha Besar daripada setiap sesuatu. Kemudian pengakuan terhadap keesaan Allah dan pengakuan terhadap kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu ِ أشهد

kepada sembahyang dan kejayaan, iaitu حيِعلى ِالصلة bererti dekatilah oleh kamu sembahyang dan janganlah malas. ِ ِحيِعلىالفلح bererti dekatilah oleh kamu akan sebab kemenangan iaitu sembahyang untuk mengecapi nikmat yang berkekalan. Di dalam seruan itu juga adalah pemberitahuan mengenai perkara-perkara hari akhirat daripada hari kebangkitan dan pembalasan. Kemudian diulangi lagi selepas itu dengan takbîr dan disudahi dengan kalimat tauhid. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/367, al-Majmû‘: 3/81) Azan itu mempunyai sembilan belas ungkapan termasuk dengan tarjî‘, jika tidak termasuk dengan tarjî‘ jadilah ia lima belas ungkapan, iaitu:

(Allah Maha Besar) empat kali.

(Saya mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah) dua kali.

(Saya mengaku bahawa Muhammad pesuruh Allah) dua kali.

(Marilah mendirikan sembahyang) dua kali.

(Marilah menuju kemenangan) dua kali.

(Allah Maha Besar) dua kali.

(Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah) sekali. Sementara iqâmah pula mengandungi sebelas ungkapan iaitu:

Tarjî‘

Apa yang dimaksudkan dengan tarjî‘ itu ialah melafazkan dua kalimat syahadah sebanyak dua kali dengan suara yang rendah sekira-kira didengar oleh orang yang berhampiran dengannya. Tarjî‘ itu dilafazkan sebelum menyerukan dua kalimat syahadah dengan suara yang nyaring. Hukum melafazkan tarjî‘ itu adalah sunat dan azan itu tetap sah walaupun ia tidak dilafazkan di dalam azan. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/379) Ini adalah mengikut ajaran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika ditanya oleh Abu Mahdzurah mengenai azan:

Maksudnya: “Saya berkata: “Wahai Rasulullah! Ajarkan aku cara-cara azan.” Kata (Abu Mahdzurah): “Maka Baginda menyapu ubun-ubun kepalaku.”

Baginda bersabda: “Kamu ucapkan: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dengan suaramu yang tinggi.

Kemudian kamu ucapkan: “Saya mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, saya mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, dengan suaramu yang rendah.

Kemudian tinggikan suaramu ketika menyerukan syahadah: “Saya mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, saya mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, marilah mendirikan sembahyang, marilah mendirikan sembahyang, marilah menuju kemenangan, marilah menuju kemenangan.

Jika azan sembahyang subuh, kamu ucapkan: “Sembahyang itu lebih baik daripada tidur, sembahyang itu lebih baik daripada tidur, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada tuhan yang disembah melainkan Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Tatswib Dalam Azan Subuh Tatswîb ialah menyerukan الصلة ِخي ِمن ِالنوم sebanyak dua kali selepas

Tatswîb ini sunat dilafazkan ketika kedua-dua azan Subuh sahaja (sebelum dan ketika fajar) – berlainan dengan amalan orang-orang Makkah sebagaimana penjelasannya akan datang - dan makruh jika dilafazkan tatswîb itu pada selain waktu Subuh sebagaimana disebutkan dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam Baginda bersabda:

Maksudnya: “Barang siapa yang mengada-adakan perkara baru (bid‘ah) di dalam urusan agama kita ini (agama Islam) yang tidak ada padanya (sandaran daripada al-Qur’an dan sunnah) maka ianya ditolak (bâthil).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tatswîb dikhususkan pada azan Subuh supaya menyedarkan orang yang tidur daripada malas mengerjakan sembahyang. Adapun mengikut kebiasaan orang-orang Makkah, tatswîb itu hanya dikhususkan pada azan yang kedua iaitu selepas terbit fajar bagi membezakan antaranya dengan azan yang pertama (sebelum terbit fajar). (Al-Majmû‘: 3/105 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/378-379)

Hukum Azan Dan Iqâmah Kerana Sembahyang

Azan dan iqâmah kerana sembahyang itu hanya disyariatkan untuk sembahyang-sembahyang fardhu sahaja iaitu sembahyang lima waktu.

Hukum azan dan iqâmah menurut pendapat yang ashah adalah sunat, sunat ‘ain bagi sembahyang perseorangan dan sunat kifâyah bagi sembahyang berjemaah, sepertimana sunat membaca basmalah ketika hendak makan dan ketika hendak melakukan persetubuhan, sunat kifâyah melakukan korban bagi ahli rumah, memberi salam, mendoakan orang yang bersin dan apa yang dilakukan daripada perkara-perkara sunat terhadap mayat. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/367)

Manakala sembahyang-sembahyang yang lain adalah tidak disunatkan azan dan iqâmah sama ada sembahyang sunat yang disunatkan berjemaah seperti sembahyang ‘Idul Fitri, ‘Idul Adhha, gerhana matahari atau bulan dan sembahyang meminta hujan, ataupun tidak disunatkan pada sembahyang itu berjemaah seperti sembahyang Dhuha dan sebagainya. Selain daripada itu azan dan iqâmah juga tidak disunatkan bagi sembahyang nazar dan jenazah. (Al-Majmû‘: 3/83)

Syarat-Syarat Azan Dan Iqâmah

Terdapat beberapa perkara yang disyaratkan di dalam azan dan iqâmah, iaitu:

1. Tertib. Hendaklah azan dan iqâmah itu dilaungkan dengan mengikut susunan ungkapannya sebagaimana yang diajarkan di dalam hadis-hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika dilaungkan azan dan iqâmah itu tidak menurut tertib, maka ia boleh membawa kepada mempermain-mainkan dan hilang dasarnya sebagai al-i‘lâm (pemberitahuan).

Adapun jika tertinggal sebahagian kalimatnya, maka hendaklah dia kembali kepada yang tertinggal itu dan mengulangi semula yang selepasnya. Sebagai contoh, jika tertinggal “حىِعلىِالصلة ” sedang dia sudah melaungkan “حى ِعلى ِالفلح ”, maka hendaklah dia melaungkan kembali yang tertinggal itu “حىِعلىِالصلة ” dan mengulangi semula yang telah dilaungkannya “ حىِعلىِالفلح ”. Namun jika dia mengulangi semula semuanya, itulah yang lebih baik. (Al-Majmû‘: 3/121, I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/376-377 dan Mughni al-Muhtâj: 1/191)

2. Berturut-turut. Hendaklah ungkapan-ungkapan azan dan iqâmah itu dilaungkan secara berturut-turut. Jika diselangi antara ungkapan-ungkapan azan atau iqâmah itu dengan percakapan atau diam yang lama, walaupun disebabkan terlupa adalah batal azan atau iqâmah tersebut kerana hilang dasarnya sebagai al-i‘lâm.

Adapun diam sekejap atau diselangi antara kalimat-kalimatnya itu dengan percakapan yang pendek, tidaklah batal azan atau iqâmah tersebut. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam pernah berkata-kata ketika Baginda berkhutbah, oleh yang demikian berkata-kata di dalam azan atau iqâmah itu lebih utama lagi dihukumkan tidak batal. Hadis tersebut ialah daripada Jabir bin ‘Abdullah katanya:

Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki, sedang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah pada hari Jumaat, lalu Baginda bersabda: “Adakah engkau sudah sembahyang wahai polan? Dia berkata: “Tidak.” Baginda bersabda: “Bangkitlah dan kerjakan dua rakaat sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Mengenai dengan diam, jika berlaku diam tersebut begitu lama sehingga tidak dinamakan lagi ianya sebagai azan atau iqâmah, maka hendaklah diulang semula.

Adapun percakapan bukan kerana adanya mashlahah (kepentingan) ketika azan atau iqâmah adalah makruh hukumnya.

Jika orang yang azan atau iqâmah itu bersin, maka sunat dia bertahmîd di dalam hatinya sahaja. Manakala sunat dia melambatkan jawapan salam kepada orang yang memberi salam atau tasymît (doa bagi orang yang mendengar orang lain bersin) selepas dia selesai melaungkan azan atau iqâmah. Adapun jika dijawabnya juga salam orang yang memberi salam atau bertasymît atau berkata-kata selain itu, kerana adanya mashlahah ketika dia sedang azan atau iqâmah, maka tidaklah makruh atas perbuatannya itu, hanya meninggalkan yang sunat. Sebaliknya jika dia ternampak orang buta yang ditakuti akan terjatuh ke dalam perigi umpamanya, adalah wajib dia memberitahu orang buta tersebut. (Al- Majmû‘: 3/121, Mughni al-Muhtâj: 1/191 dan Hawâsyi Tuhfah al- Muhtâj: 1/470)

Disyaratkan juga agar tidak begitu lama jarak masa antara iqâmah dan sembahyang yang akan dikerjakan melainkan jika jarak masa antara keduanya itu disebabkan oleh perkara-perkara yang sunat seperti imam menyuruh makmumnya untuk membetulkan saf. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/377 dan Fath al-‘Allâm: 2/114)

3. Melaungkan dengan suara yang nyaring. Azan dan iqâmah untuk mendirikan sembahyang jemaah hendaklah dilaungkan dengan suara yang nyaring, sekurang-kurangnya didengar dengan jelas oleh seorang daripada jemaah tersebut. Ini kerana sembahyang jemaah itu sah dilakukan dengan dua orang sahaja.

Adalah tidak sah jika azan dan iqâmah itu dilaungkan dengan suara perlahan sehingga tidak didengar oleh seseorang pun daripada jemaah. Ini kerana telah hilang dasarnya sebagai al-i‘lâm. Berlainan halnya dengan tarjî‘, hendaklah diucapkan dengan suara perlahan.

Manakala azan dan iqâmah bagi orang yang bersembahyang sendirian hendaklah dilaungkan dengan suara perlahan, sekira-kira didengar olehnya sahaja. Ini kerana tujuan azan dan iqâmah itu baginya adalah sebagai zikir sahaja bukannya untuk al-i‘lâm. (Al-Majmû‘: 3/120 dan Sabîl al-Muhtadîn: 1/171-172)

4. Masuk waktu sembahyang.ِ Azan dan iqâmah itu hendaklah dilaungkan ketika sudah masuk waktu sembahyang fardhu kecuali azan Subuh sahaja boleh dilaungkan sebelum masuk waktunya. Adapun waktu iqâmah itu ialah ketika hendak menunaikan sembahyang tunai atau qadha.

Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah jika sebahagian ungkapan azan - selain azan Subuh - dilaungkan sebelum masuk waktunya dan sebahagiannya pula sesudah masuk waktunya, maka tidak sah azan tersebut dan hendaklah diulang semula.

Adapun azan Subuh itu sunat dilaungkan sebanyak dua kali, iaitu sebelum dan selepas terbit fajar. Menurut pendapat yang ashah, waktu harus melaungkan azan sebelum waktu Subuh itu ialah selepas tengah malam.

Hikmat azan sebelum Subuh itu ialah untuk menyedarkan orang yang tidur, orang yang berjunub atau berhadas untuk bersiap sedia lebih awal sebelum masuk waktu sembahyang demi mendapatkan fadhilat awal waktu.

Sementara iqâmah bagi semua waktu - Subuh atau lainnya - tidak sah dilaungkan sebelum masuk waktu dan sebelum hendak menunaikan sembahyang. Jika dilaungkan iqâmah sesudah masuk waktu sembahyang, tetapi sebelum hendak menunaikan sembahyang adalah batal iqâmah tersebut jika lama jarak masa antara iqâmah dan sembahyang itu. (Al-Majmû‘: 3/95-97, Mughni al-Muhtâj: 1/194 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/378)

Syarat-Syarat Orang Yang Azan Dan Iqâmah

Disyaratkan ke atas orang yang azan dan iqâmah, seperti berikut:

1. Islam. Tidak sah azan dan iqâmah oleh orang kafir.

2. At-tamyîz. Tidak sah azan dan iqâmah oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz.

3. Lelaki. Tidak sah azan dilaungkan oleh perempuan bagi jemaah lelaki. Bahkan haram jika perempuan meninggikan suaranya di hadapan mereka (orang lelaki ajnabi). Demikian juga haram ke atas perempuan melaungkan azan yang suaranya dapat didengar oleh orang lelaki ajnabi itu, sekalipun di hadapan mahram atau kaum sejenisnya.

Tidak makruh jika perempuan itu azan bagi jemaah perempuan dengan suara yang rendah, bahkan mendapat pahala, kerana ianya dikira sebagai zikir, tetapi bukan sebagai azan dengan maksud al-i‘lâm.

Sunat bagi perempuan menyerukan iqâmah sahaja dengan suara yang rendah jika ia sembahyang bersendirian. Sementara sunat dengan suara yang tinggi jika sembahyang itu didirikan secara berjemaah sesama perempuan sahaja. (Fath al-‘Allâm: 2/113, I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/374- 375 dan al-Majmû‘: 3/108)

Sunat-Sunat Azan Dan Iqâmah

Sunat-sunat azan dan iqâmah itu seperti berikut:

1. Sunat bagi orang yang azan dan iqâmah itu berdiri, sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Wahai Bilal! Berdirilah engkau dan serulah untuk sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Makruh bagi orang yang mampu berdiri melaungkan azan dan iqâmah dalam keadaan duduk atau berbaring, namun azan dan iqâmahnya itu sah, kerana maksudnya telah pun tercapai iaitu sebagai pemberitahuan. (Al-Majmû‘: 3/117)

2. Berdiri di tempat yang tinggi seperti menara masjid. Jika tidak ada menara, berdiri di atas suthuh masjid (bumbung yang mendatar). Jika tidak ada juga, maka sunat berdiri di pintu masjid. Adapun iqâmah tidak disunatkan berdiri pada tempat yang tinggi, melainkan kerana keperluan seperti masjid terlalu besar.

3. Menghadap ke qiblat, kerana qiblat itu adalah semulia-mulia arah. Makruh jika tidak menghadap ke qiblat.

4. Tanpa menggerakkan dada dan kaki, memalingkan muka ke sebelah kanan apabila menyerukan “ ِحيِعلىالصلة ”, lalu kembali semula memalingkan muka ke arah qiblat. Memalingkan muka ke sebelah kiri apabila menyerukan dua kali kalimat “حي ِعلى ِالفلح ”, lalu kembali semula memalingkan muka ke arah qiblat. Daripada Abu Juhaifah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Aku pernah datang mengadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di Makkah sewaktu Baginda berada di dalam sebuah qubbah (khemah) merah diperbuat daripada kulit. Lalu Bilal keluar dan menyerukan azan, sedang aku memerhati mulut Bilal yang menghala ke sana dan ke sana (ke kanan dan ke kiri).

(Abu Juhaifah) berkata: “Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar dengan pakaian merah corak Yaman buatan Qatar.”

Musa berkata: “Berkata (Abu Juhaifah): “Aku telah melihat Bilal keluar ke Abthah lalu menyerukan azan, sesudah sampai kepada ِ حىِعلىِالفلح, dia memalingkan lehernya ke kanan dan ke kiri tanpa berpusing. Kemudian Bilal masuk (ke kediamannya) lalu dia mengeluarkan tongkat.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Terdapat tiga pendapat bagi cara-cara yang disunatkan ketika memalingkan muka tersebut.

i. Pendapat pertama dan yang ashah adalah cara yang disebutkan di atas.

ii. Pendapat yang kedua ialah dengan memalingkan muka ke sebelah kanan apabila menyerukan kalimat pertama (ِ حى ِعلى الصلة), lalu kembali semula ke arah qiblat. Kemudian memalingkan muka sekali lagi ke sebelah kanan pada kalimat kedua (حى ِعلى ِالصلة ), lalu kembali semula ke arah qiblat. Demikian juga keadaannya pada kedua-dua kalimat (ِ حى ِعلى الفلح) hanya perbezaannya dengan memalingkan muka ke sebelah kiri.

iii. Pendapat ketiga ialah dengan memalingkan muka ke sebelah kanan sekali bagi kalimat (حى ِعلى ِالصلة ) dan ke sebelah kiri sekali. Kemudian memalingkan muka ke sebelah kanan sekali bagi kalimat (حىِعلىِالفلح ) dan ke sebelah kiri sekali. (Al-Majmû‘: 3/115)

Hukum sunat memalingkan muka itu termasuklah juga pada azan khutbah Jumaat, azan untuk sembahyang seorang diri dan azan bagi menolak gangguan syaitan. Manakala azan bagi anak yang baru lahir tidak dituntut untuk meninggikan suara dan memalingkan muka, kerana tidak ada faedahnya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/380-381)

5. Sunat menutup dua lubang telinga dengan dua jari telunjuk kerana ianya boleh meninggikan lagi suara, sebagaimana di dalam hadis daripada Abu Juhaifah ketika Bilal melaungkan azan di hadapan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam katanya:

Maksudnya: “Aku pernah melihat Bilal azan, dia memalingkan (muka ketika hayya‘alatân) diikuti dengan mulutnya ke sana dan ke sana. Kedua jari telunjuknya di telinganya. Ketika itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berada di qubbah yang berwarna merah pada sangkaanku (Abu Juhaifah).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Jika salah satu tangannya sakit, maka memadailah dengan sebelah tangan sahaja. Namun jika jari telunjuknya sakit, maka gunakanlah jarinya yang lain. Adapun hukum sunat menutup lubang telinga ini hanyalah pada azan sahaja dan tidak pada iqâmah. Demikian juga tidak disunatkan pada azan sembahyang seorang diri dengan suara yang rendah. (Sabîl al-Muhtadîn: 1/173 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/379-380)

6. Sunat bagi orang yang melaungkan azan itu merdeka (bukan hamba) dan bâligh. Kanak-kanak mumayyiz sah azan dan iqâmahnya, (Al- Majmû‘: 3/109) sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Hendaklah azan untuk kamu daripada orang yang terpilih di kalangan kamu dan hendaklah yang mengimamkan kamu itu orang yang ahli dalam membaca (al-Qur’an).” (Hadis riwayat Abu Daud)

7. Sunat bagi orang yang azan dan iqâmah itu bersifat ‘âdil. Ini kerana memberi kepercayaan orang ramai terhadapnya apabila dia memperkhabarkan masuknya waktu sembahyang. Makruh bagi orang yang fâsiq, akan tetapi azan dan iqâmahnya itu adalah sah. (Al-Majmû‘: 3/109)

8. Sunat bagi orang yang azan dan iqâmah itu suci (thahârah) daripada hadas atau junub. Makruh jika dia melaungkan azan dalam keadaannya berhadas atau berjunub, bahkan sangat makruh lagi jika dia melaungkan iqâmah dalam keadaan tersebut. Ini kerana iqâmah itu lebih hampir untuk mendirikan sembahyang. Walau bagaimanapun, azan dan iqâmah yang dilaungkannya dalam keadaan berhadas atau berjunub itu adalah sah. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tidaklah azan melainkan orang yang berwudhu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

9. Tartîl pada azan dan idrâj pada iqâmah. Sunat melaungkan azan itu dengan bacaan yang tartîl (bacaan yang perlahan dengan menyebut kalimat-kalimatnya dengan terang dan jelas). Ini bertujuan supaya dapat menyampaikan kepada orang ramai supaya hadir berjemaah. Manakala iqâmah pula, sunat dilaungkan dengan bacaan yang idrâj (bacaan yang segera). Ini kerana iqâmah itu dilaungkan kepada jemaah yang sudah hadir untuk bersembahyang. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Bilal:

Maksudnya: “Wahai Bilal! Jika engkau azan, maka perlahan-lahan pada azanmu dan jika engkau iqâmah, maka percepatkan.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Haram talhîn (berlagu-lagu) ketika azan dan iqâmah jika lagu-lagu itu mengubah makna kalimat-kalimatnya atau menimbulkan kewahaman yang ditegah, seperti contoh-contoh berikut:

i. Memanjangkan huruf “hamzah” pada kalimat âsyhadu (آشهد), maka jadilah hamzah itu sebagai istifhâm (tanda tanya). ii. Memanjangkan huruf “ba” pada kalimat akbar (َبأك ), maka jadilah ia sebagai jama‘ (أكبار) kepada kabar (َبك ) yang bererti gendang yang satu muka. iii. Mewaqafkan pada kalimat lâ ilâha (ل ِإله ) yang bererti “tiada tuhan” dan memulakan bacaan pada kalimat illallâh (إلِللا ) yang bererti “melainkan Allah” maka perkara ini boleh membawa kepada kufur. iv. Memanjangkan huruf “alif” pada kalimat Allah (آلل), kerana melebihi huruf mad dan lîn daripada kadar yang dibaca oleh orang Arab maka itu adalah salah. v. Menukar huruf “alif” kepada huruf “ha” pada kalimat Allah (هالل). vi. Memanjangkan huruf “hamzah” pada kalimat akbar (َبآك ). vii. Tidak menyebut huruf “ha” pada kalimat as-shalah (الصل) maka jadilah maksudnya seruan menuju ke neraka. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/473)

10. Sunat bagi orang yang melaungkan azan itu tinggi suaranya, sebagaimana hadis daripada ‘Abdullah bin Zaid katanya:

Maksudnya: “Setelah pagi esoknya, kami datang mengadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengkhabarkan tentang mimpi itu. Baginda bersabda: “Sesungguhnya mimpimu itu adalah benar, berdirilah engkau bersama Bilal. Sesungguhnya suara (Bilal) itu bagus dan tinggi daripada engkau, maka ajarkanlah padanya apa yang telah dikatakan kepadamu (mimpi) dan Bilal pun menyerukan dengan itu (yang diajarkan).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Demikian juga, sunat bagi orang yang azan itu elok suaranya supaya dapat menambat hati pendengar dan condong untuk menjawabnya, (Mughni al-Muhtâj: 1/193) sebagaimana hadis daripada Abu Mahzurah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kira-kira dua puluh orang lelaki, lalu mereka pun azan, maka Baginda takjub dengan suara Abu Mahzurah. Lantas Baginda mengajarkannya azan.” (Hadis riwayat ad-Darimi)

11. Menjawab azan dan iqâmah. Orang yang mendengar azan dan iqâmah sama ada azan bagi sembahyang atau yang lainnya seperti azan di telinga kanak-kanak yang baru lahir dan orang yang musafir, sunat menjawabnya sepertimana kalimat-kalimat atau ungkapan yang dilaungkan oleh orang yang azan dan iqâmah itu, melainkan pada kalimat hayya‘alatân (حى ِعلى ِالصلة dan حى ِعلى ِالفلح ) dan tatswîb

Jawapan bagi setiap hayya‘alatân itu adalah hawqalah “ِ لِحولِولِقوة إل ِِبلل ”: “Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah.”

Jawapan bagi tatswîb ketika azan Subuh pula ialah “ِصدقت ِوبررت”: “Benarlah engkau dan jadilah engkau mempunyai kebajikan yang banyak.”

Sementara jawapan bagi kalimat “ِقد ِقامت ِالصلة”: “Sesungguhnya telah “Allah menetapkan dan mengekalkan sembahyang itu dan Allah menjadikan aku daripada orang yang salih lagi ahli sembahyang.”

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa tidak sunat dijawab azan itu melainkan azan bagi sembahyang sahaja. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/384)

Sunat menjawab azan dan iqâmah itu walaupun dalam keadaan berhadas, junub, haidh atau nifas kerana ianya adalah zikir, melainkan ketika sedang menunaikan sembahyang fardhu atau sunat, bersetubuh dan qadha hajat (buang air kecil atau besar), sunat dijawab kemudian jika tidak lama jaraknya. Makruh menjawab bagi orang yang ada najis di mulutnya.

Jika seseorang itu mendengar azan atau iqâmah ketika dia sedang membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu atau berdoa, sunat dia berhenti sekejap untuk menjawab azan dan iqâmah tersebut. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/386-387 dan al-Majmû‘: 3/124-125)

Jika terdengar sebahagian azan, sama ada pada bahagian yang awal ataupun yang akhir adalah sunat dijawab kedua-dua bahagian itu, walaupun dia tidak mendengar sebahagian azan yang lain itu. Adapun jika dia terdengar azan yang dilaungkan oleh beberapa orang seperti dia terdengar azan di kampungnya dan azan di kampung yang lain, maka sunat dia menjawab kedua-duanya. Berlainan halnya jika azan itu dikumandangkan dengan serentak, maka memadailah dengan sekali jawab. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/386)

12. Sunat ke atas orang yang azan dan iqâmah serta orang-orang yang mendengarnya berselawat dan mengucapkan salam ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sesudah selesai daripada azan dan iqâmah tersebut, jika jarak masa antara azan dan iqâmah adalah lama. Akan tetapi jika tidak lama masa selang azan dan iqâmah itu, memadailah dengan berselawat dan salam sekali sahaja selepas iqâmah. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar orang yang azan, maka kamu ucapkan sepertimana orang yang azan itu ucapkan. Kemudian berselawatlah ke atasku, kerana barangِ siapa berselawat ke atasku satu selawat nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh selawat. Kemudian berdoalah kepada Allah bagiku “wasîlah”, kerana “wasîlah” itu suatu tempat di syurga yang tidak layak bagi seseorang melainkan bagi seorang hamba daripada hamba-hamba Allah. Aku berharap, akulah hamba itu. Barangِ siapa memohon “wasîlah” untukku, wajib baginya syafaat.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ahmad)

Menurut Imam an-Nawawi disunatkan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebelum iqâmah. Adapun menurut Syaikh al-Kabir al-Bakri, disunatkan berselawat itu sebelum azan dan iqâmah.

Selepas selesai azan dan iqâmah, sunat ke atas orang yang azan dan iqâmah serta orang yang mendengarnya itu memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala doa al-wasîlah dengan menadah kedua tangan, kerana sesiapa yang memohon doa al-wasîlah itu akan beroleh syafaat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu:

Ertinya: “Ya Allah, Tuhan kepada seruan yang sempurna ini dan sembahyang yang didirikan, anugerahkan ke atas Nabi Muhammad wasîlah (suatu tempat di dalam syurga) dan kelebihan dan bangkitkan Baginda di tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.”

Kemudian disunatkan berdoa di antara azan dan iqâmah, seperti memohon selamat daripada musibah dan penyakit. Inilah di antara saat-saat mustajâb di mana doa diperkenankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tidak ditolak doa antara azan dan iqâmah.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Doa tidak ditolak antara azan dan iqâmah.” Mereka berkata: “Apakah yang kami katakan wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Kamu mohon kepada Allah ‘afiah (keselamatan) di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Selepas azan Maghrib pula disunatkan berdoa sepertimana yang diajarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Ummu Salamah:

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya inilah saat menghadapi malam (ciptaanMu), akhir siang (ciptaanMu) dan suara-suara para pemanggil (namaMu), maka ampunilah aku.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sesudah azan Subuh pula disunatkan berdoa seperti berikut:

Ertinya: “Ya Allah, inilah saat menghadapi siang (ciptaanMu), akhir malam (ciptaanMu) dan suara-suara para pemanggil (namaMu), maka ampunilah aku.”

Dikhususkan kedua-dua doa tersebut dibaca ketika selepas azan Maghrib dan Subuh, kerana Maghrib itu merupakan penyudah bagi amalan di siang hari, manakala Subuh pula penyudah bagi amalan waktu malam dan permulaan bagi amalan di siang hari. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/387-389)

Menurut ar-Ruyani sunat membaca ayat al-Kursiy di antara azan dan iqâmah.

13. Sunat duduk dan diam seketika atau sebagainya di antara azan dan iqâmah bagi menunggu jemaah berkumpul, melainkan pada sembahyang Maghrib kerana kesuntukan masanya. (Al-Majmû‘: 3/127)

14. Sunat berpindah daripada tempat melaungkan azan ke tempat lain ketika menyerukan iqâmah, sebagaimana ‘Abdullah bin Zaid diajarkan oleh seseorang di dalam mimpinya:

Maksudnya: “Kemudian dia berundur daripadaku ke belakang sedikit.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Disunatkan orang yang menyeru iqâmah itu terdiri daripada orang yang sama yang melaungkan azan, sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada Ziyad bin al-Haris ash-Shudaiy katanya:

Maksudnya: “Aku bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam pelayaran. Baginda menyuruhku (azan), maka aku pun azan. Lalu Bilal ingin menyerukan iqâmah, lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam besabda: “Sesungguhnya saudara (Ziad bin al-Haris) ash-Shuda’ telahpun azan, dan barang siapa yang azan maka dialah yang iqâmah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Kelebihan Azan Dan Iqâmah

Melakukan azan dan iqâmah adalah lebih afdhal daripada menjadi imam. Ini kerana azan dan iqâmah itu adalah tanda atau alamat waktu sembahyang dan ianya juga lebih banyak manfaat daripada menjadi imam. Muadzdzin (tukang azan) itu juga merupakan pemegang amanah (amîn). Manakala menjadi imam itu adalah penjamin (dhâmin). Oleh yang demikian, amîn itu lebih baik daripada dhâmin. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/383) Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Imam-imam itu dhumanâ’ (menjamin sembahyang makmumnya) dan orang-orang yang azan itu umanâ’ (amanah atas waktu sembahyang) maka Allah memberi petunjuk kepada imam-imam dan mengampunkan orang-orang yang azan.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa menjadi imam itu lebih afdhal daripada melaungkan azan dan iqâmah kerana dikhususkan seorang imam itu daripada kalangan orang yang berilmu tinggi. Demikian juga mendirikan sembahyang itu lebih afdhal daripada menyerukannya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/384) Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Maka hendaklah salah seorang daripada kamu mengazankan untuk kamu, kemudian hendaklah yang mengimamkan kamu itu orang yang akbâr (berilmu) di kalangan kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun menurut Ibnu Hajar dan Imam an-Nawawi, melaungkan azan berserta iqâmah itu lebih afdhal daripada menjadi imam. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/384)

Selain itu, banyak lagi disebutkan di dalam hadis mengenai kelebihan-kelebihan azan dan iqâmah dan orang yang melaungkannya. Antaranya ialah:

i. Sehingga Orang Sanggup Mengundi Untuk Medapatkannya

Hadis daripada Abu Hurairah katanya:

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seandainya manusia mengetahui tentang apa (kelebihan) yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak akan mendapatkannya melainkan dengan mereka mengundi, nescaya mereka akan mengundi. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) yang ada pada at-tahjîr (sembahyang Zuhur di awal waktu) nescaya mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada al-‘atamah (sembahyang ‘Isya’) dan Subuh nescaya mereka mendatanginya walaupun dengan merangkak-rangkak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ii. Dipohonkan Ampun Dan Mendapat Pahala Sepertimana Pahala Orang Yang Bersembahyang Dengannya

Hadis daripada al-Bara’ bin ‘Azib katanya:

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya mengucapkan selawat kepada (makmum-makmum) di baris hadapan. Sementara orang yang azan akan dipohonkan ampun baginya sejauh suaranya dan akan dipersaksikan dia oleh sesiapa yang mendengarnya daripada tumbuhan yang hidup dan kering dan baginya pahala seperti pahala sesiapa yang bersembahyang bersamanya.” (Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’i)

iii. Mengusir Syaitan

Hadis daripada Abu Hurairah katanya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqâmah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqâmah itu baharulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata: “Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati, sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’i)

iv. Mendapat Pahala Yang Banyak

Diriwayatkan di dalam hadis daripada Mu‘awiyah katanya:

Maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Orang-orang yang melaungkan azan itu ialah orang yang paling panjang lehernya di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun yang dimaksudkan dengan orang yang paling panjang lehernya di Hari Kiamat itu ialah disebabkan dia melihat pahalanya yang banyak.

Menurut an-Nadhr bin Syumail, adapun kelebihannya ketika berada di Padang Mahsyar ialah dapat melepaskan dirinya daripada kesusahan dan kesesakan disebabkan ramainya orang pada hari perhitungan itu.

Menurut pendapat yang lain, bahawa orang itu banyak pengikutnya. Kata Ibnu al-A‘arabiy, maksudnya ialah orang yang banyak amalannya. Sementara menurut al-Qadhi ‘Iyadh dan yang lainnya ialah bermaksud orang yang cepat masuk ke dalam syurga. Dikatakan juga ianya bermaksud sebagai ketua. (Syarh Shahîh Muslim: 2/77)

v. Balasan Syurga

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Barangِ siapa azan selama dua belas tahun wajiblah baginya syurga dan ditulis untuknya dengan azannya itu pada setiap hari enam puluh kebajikan dan pada setiap iqâmah pula tiga puluh kebajikan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

vi. Jin Dan Manusia Serta Selainnya Menjadi Saksi Di Hari Kiamat

Sebuah hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman katanya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu berkata kepadanya (‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman): “Sesungguhnya aku melihat engkau menyukai kambing dan sahara. Jika engkau berada di lingkungan kambing atau saharamu lalu engkau azan untuk sembahyang, maka tinggikanlah suaramu ketika melaungkannya kerana tidak didengar suara orang yang azan oleh jin dan manusia serta lain-lainnya melainkan menjadi saksi baginya di Hari Kiamat”. Berkata Abu Sa‘id: “Aku mendengarnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan an-Nasa’i)

vii. Pintu Langit Dibuka Dan Saat Doa Mustajab

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Jika dilaungkan iqâmah untuk sembahyang, maka dibukakan pintu-pintu langit dan dimakbulkan doa.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ada dua waktu tidak ditolak doa orang yang berdoa, iaitu ketika iqâmah sembahyang dan dalam barisan jihad pada jalan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Azan Sekali Dalam Sembahyang Berturut

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa azan dan iqâmah itu sunat dilaungkan ketika hendak menunaikan sembahyang fardhu lima waktu, sama ada secara berjemaah ataupun bersendirian.

Adapun yang dimaksudkan dengan sembahyang berturut itu ialah, sembahyang fardhu yang dilakukan berturut-turut seperti mendirikan sembahyang qadha yang banyak, sembahyang jama‘, sembahyang qadha berserta sembahyang tunai yang telah pun masuk waktunya.

Dalam hal sembahyang berturut-turut ini, disunatkan azan sekali sahaja pada permulaan sembahyang, itu pun jika tidak lama jarak masa antara satu sembahyang dengan sembahyang yang lain. Jika lama jarak masa antara satu sembahyang dengan sembahyang yang lain dalam makna tidak berturut-turut, maka disunatkanlah azan pada setiap kali sembahyang itu. Sementara iqâmah pula disunatkan juga pada setiap kali mendirikan sembahyang berturut-turut itu.

Jika didirikan sembahyang qadha berserta sembahyang tunai secara berturut-turut, sedangkan dia melaungkan azan sesudah masuk waktu sembahyang tunai, maka memadailah azan yang dilaungkannya di permulaan sembahyang itu, sama ada dia memulakan sembahyang tunai, kemudian baharulah sembahyang qadha ataupun sebaliknya. Akan tetapi jika dilaungkannya azan itu sebelum masuk waktu sembahyang tunai, maka sunat baginya azan sekali lagi untuk sembahyang tunai tersebut. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/374)

Dalil bagi pensyariatan azan pada permulaan sembahyang berturut dan iqâmah pada setiap sembahyang yang didirikan ialah hadis daripadaِ ‘Abdullah bin Mas‘ud katanya:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Musyrik telah melalaikan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada mendirikan empat sembahyang fardhu di hari peperangan Khandaq. Maka Baginda memerintahkan Bilal untuk azan, lalu dia pun azan. Kemudian iqâmah lalu mendirikan sembahyang Zuhur, kemudian iqâmah lagi lalu mendirikan sembahyang ‘Ashar, kemudian iqâmah lagi lalu mendirikan sembahyang Maghrib, kemudian iqâmah lagi lalu mendirikan sembahyang ‘Isya’.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Hadis daripadaِ Jabir bin ‘Abdullah katanya:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memulakan perjalanannya sehingga sampai ke Muzdalifah. Maka di tempat itu, Baginda menjama‘ sembahyang Maghrib dan ‘Isya’ dengan sekali azan dan dua kali iqâmah, dan Baginda tidak mendirikan sembahyang apapun di antara keduanya.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)

Azan Atau Iqâmah Ketika Kesempitan Waktu

Pada setiap kali sembahyang fardhu yang hendak didirikan, sunat dilaungkan azan dan iqâmah sebelum mendirikan sembahyang tersebut. Akan tetapi apabila seseorang ingin membataskan antara iqâmah atau azan sama ada disebabkan kesempitan waktu atau sebagainya, adalah lebih afdhal dia melakukan azan daripada iqâmah. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/ 372)

Sembahyang Yang Tidak Disunatkan Azan Dan Iqâmah

Sembahyang jemaah yang tidak disunatkan azan dan iqâmah, seperti sembahyang Hari Raya, Tarawikh, Witir pada bulan Ramadhan sahaja, gerhana bulan atau gerhana matahari dan sembahyang meminta hujan, sunat diseru dengan bacaan:

“Marilah sembahyang jemaah”,

“Marilah sembahyang, marilah sembahyang”,

“Marilah sembahyang”,

“Marilah sembahyang, semoga kamu dirahmati Allah” ataupun

“Hadirlah kamu kepada sembahyang”.

Menurut Ibnu Hajar, makruh jika seruan itu disebut:

“Marilah mendirikan sembahyang”. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/375-376)

Jika sembahyang sunat yang disunatkan berjemaah itu tidak dikerjakan secara berjemaah, maka tidak disunatkan menyeru dengan seruan yang sedemikian. Ini termasuklah juga sembahyang sunat yang memang tidak disunatkan berjemaah. (Fath al-‘Allâm: 2/126)

Tiada Seruan Bagi Sembahyang Jenazah

Menurut Ibnu Hajar, bahawa sembahyang jenazah itu tidak disunatkan padanya seruan untuk memanggil jemaah, kerana pada kebiasaannya orang telah pun hadir.

Dalam hal ini dapatlah difahamkan daripada ungkapan “pada kebiasaannya orang telah pun hadir”, jika tidak ada seorang pun bersamanya untuk mengerjakan sembahyang jenazah ataupun berkehendak untuk meramaikan lagi jemaah daripada itu, maka sunatlah seruan tersebut dilakukan bagi kemashlahatan si mati.

Ada juga pendapat yang lain, bahawa seruan itu sunat dilakukan juga walaupun telah ramai jemaah yang hadir, tetapi mereka tidak mengetahui bila waktu imam hendak mengerjakan sembahyang jenazah.

Sementara ada pendapat yang lain bahawa sembahyang jenazah itu tidak disunatkan padanya seruan melainkan ada hajat. Maka serulah seperti:

“Marilah sembahyang ke atas mayat yang hadir daripada orang-orang mati yang Islam.” (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/462)

Azan Dan Iqâmah Selain Untuk Sembahyang Fardhu

Selain untuk menunaikan sembahyang fardhu, azan itu juga disunatkan pada waktu-waktu tertentu seperti:

i. Azan Untuk Orang Marah, Buruk Perangai Dan Resah Gelisah Sunat mengazankan ke telinga orang yang sedang marah, orang yang buruk sifatnya sama ada daripada manusia atau binatang dan orang yang resah, kerana azan itu boleh menghilangkan keresahan itu. Apabila tidak hilang juga keresahan tersebut, maka ulangilah ia berkali-kali.

ii. Azan Untuk Orang Yang “Kerasukan”

Menurut as-Syanwani, daripada apa yang telah dicuba bagi membakar jin adalah dengan mengazankan di telinga orang kerasukan sebanyak tujuh kali, dibaca surah al-Fâtihah tujuh kali, surah al-Falaq, surah an- Nâs, ayat al-Kursiy, surah ath-Thâriq, di akhir surah al-Hasyr bermula daripada ayat 21 sehingga 24 dan dibaca surah ash-Shâffât bermula daripada ayat 177 sehingga 186. Menurutnya lagi, jika dibaca ayat al- Kursiy sebanyak tujuh kali di atas air kemudian dipercikkan ke muka orang yang diganggu jin, maka ianya boleh menyembuhkannya.

iii. Azan Apabila Kebakaran Dan Taghawwul al-Ghilan

Disunatkan juga azan ketika menghadapi kebakaran dan ketika taqhawwul al-qhilan (jin dan syaitan menyerupai dengan bermacam-macam rupa).

iv. Azan Dan Iqâmah Untuk Kanak-Kanak Baru Lahir

Sunat juga melaungkan azan dan iqâmah ke atas anak yang baru lahir, iaitu azan di telinga kanan dan iqâmah di telinga kirinya, kerana dengan azan dan iqâmah itu, anak damit itu tidak akan diganggu oleh ummu ash-shibyân (daripada jin).

v. Azan Dan Iqâmah Untuk Orang Yang Hendak Musafir

Demikian juga disunatkan azan dan iqâmah ketika orang hendak musafir. Akan tetapi jika musafir maksiat, maka tidak disunatkan azan dan iqâmah.

Tidak disunatkan azan ketika menurunkan mayat ke kubur. Menurut Ibnu Hajar, jika bertepatan waktu menurunkan mayat ke kubur dengan waktu azan sembahyang dikumandangkan, nescaya akan ringanlah soalan kubur ke atas mayat tersebut. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/370)

Mendahulukan Doa Wudhu Daripada Doa Azan

Menurut fatwa al-Balqini, sesiapa yang selesai berwudhu sedangkan azan yang dilaungkan itu pun selesai serentak, maka hendaklah dia membaca terlebih dahulu doa wudhu kerana ianya suatu ibadat. Kemudian baharulah membaca doa azan. Menurutnya lagi, adalah lebih baik dibaca terlebih dahulu dua syahadah wudhu, iaitu:

Ertinya: “Saya mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Esa dan tidak ada yang menyekutuiNya dan saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu adalah hamba dan RasulNya.”

Kemudian diikuti dengan doa azan kerana di dalam doa azan itu terkandung doa ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu “al-wasîlah”. Selepas itu, baharulah dibaca doa bagi diri sendiri iaitu doa yang terkandung di dalam doa selepas wudhu:

Ertinya: “Ya Allah, jadikanlah aku daripada kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku daripada kalangan orang-orang yang suci dan jadikanlah aku daripada kalangan hamba-hambaMu yang salih.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/389)

Kesimpulan

Azan itu syiar Islam yang dilaungkan untuk mengingati sembahyang sekaligus menunaikannya secara berjemaah sebagai tanda umat Islam bersatu padu. Untuk sembahyang bersendirian ia merupakan sebagai zikir.

Di samping banyaknya ganjaran dan fadhilat dalam azan dan iqâmah itu, azan berfungsi juga untuk mengubati orang yang “kerasukan”, resah gelisah, menghindarkan daripada kejahatan jin, meredakan orang marah dan mengelokkan perangai buruk, hatta berguna untuk orang hendak belayar. Azan dan iqâmah ke atas anak yang baru lahir sudah pun dimaklumi oleh umum.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10799

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص