Perihal Harîm
الجواب
Pengertian Harîm
Harîm dari sudut bahasa ialah sesuatu yang haram diganggu dan diceroboh. Dari sudut istilah pula ialah hak-hak sesuatu yang terdapat di sekitar atau sekelilingnya.
Para ulama Syafi‘e memberikan definisi harîm sebagai apa-apa yang sangat diperlukan bagi kesempurnaan manfaat sesuatu, walaupun sesuatu itu dapat dimanfaatkan tanpa harîm itu. (Nihâyah al-Muhtâj: 5/339)
Harîm bermaksud juga sebagai kawasan atau tempat yang dihajatkan oleh orang ramai untuk kesempurnaan penggunaan sesuatu tempat itu. Adapun sebab dinamakan harîm kerana haram mengganggu tempat harîm dengan apa jua gangguan atau pencerobohan. (Fatwa Mufti Kerajaan Brunei bil. 31/1992, hlm. 3)
Dalam kitab al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah (17/212) disebutkan bahawa di antara makna harîm termasuklah kawasan atau halaman (seperti) halaman rumah atau kawasan masjid. Menurut Kamus Dewan pula, perkataan “kawasan” sama maksudnya dengan:
i. Perkarangan, halaman,
ii. Tempat terbuka atau lapangan, lingkungan sesuatu keluasan.
Daripada penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa harîm itu bererti tempat atau kawasan yang dekat, lazimnya digunakan oleh orang seperti jalan, parit, lorong, jambatan, tempat orang menunggu atau tempat perhentian dan sebagainya, ketika hendak menggunakan sesuatu kawasan yang dibangunkan, seperti masjid, kubur, rumah, sungai dan lain-lain.
Masjid umpamanya, maka harîmnya termasuklah jalan, halaman, lapangan terbukanya atau persekitarannya yang boleh membawa kepada kesempurnaan penggunaan masjid, kerana tujuan harîm sesuatu tempat itu ialah bagi kesempurnaan menggunakan kemudahan tempat itu.
Keluasan Harîm
Kadar keluasan harîm itu tidak terhad dan ianya tertakluk kepada adat kebiasaan penggunaannya. Menurut al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah bahawa kadar keluasan harîm itu berbeza-beza sesuai dengan berbezanya apa-apa yang berkaitan dengan harîm itu. (Hlm: 214)
Dalam memperuntukkan kawasan harîm, yang perlu diambil kira ialah adanya kemudahan dan keselesaan orang ramai semasa menggunakannya, sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang, seperti jalan masuk, parit, longkang, tempat perhentian, tanah simpanan bagi perluasan di masa akan datang (jika diperlukan) dan lain-lain.
Adalah bertepatan harîm yang lazimnya didapati di negara ini telahpun dipagar, maka kawasan di luarnya itu sama ada dikatakan harîm atau sebaliknya tertakluk kepada keperluan sesuai dengan maksud harîm seperti yang disebutkan di atas iaitu“harîm ialah apa-apa yang sangat diperlukan bagi kesempurnaan manfaat sesuatu, walaupun sesuatu itu dapat dimanfaatkan tanpa harîm itu.”(Nihâyah al-Muhtâj: 5/339)
Hukum Yang Berkaitan Dengan Harîm
Menurut Ibnu Hajar dalam kitabnya at-Tuhfah bahawa tidak sah memiliki dengan menghidupkan (ihyâ’) harîm bagi sesuatu (tempat) yang telah dibangunkan. Harîm bagi sesuatu tempat yang dibangunkan (di‘imârahkan) itu ialah kawasan dan tempat yang dihajatkan padanya oleh orang ramai bagi kesempurnaan menggunakan sesuatu yang telah di‘imârahkan itu, sekalipun dapat digunakan manfaat itu dengan tidak payah menggunakan harîmnya. (Hawâsyi Syarwani wa Ibnu Qasim ‘alâ Tuhfah al-Muhtâj: 6/235)
Untuk lebih jelas, dihuraikan perkara-perkara yang berhubung dengan harîm seperti harîm masjid, harîm kubur dan harîm sungai.
Harîm Masjid
Kitab at-Tuhfah (6/217) menyebutkan bahawa hukum halaman atau kawasan masjid sama seperti halaman rumah. Imam an-Nawawi berkata di dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn (5/283): “Segolongan ulama, termasuk Ibnu Kajj, menganggap halaman rumah itu sebagai harîmnya.”
Merujuk kepada kedudukan bangunan masjid di Negara Brunei Darussalam, pada umumnya ia mempunyai halaman atau kawasan dan kawasan ini dianggap sebagai harîmnya. Pada lazimnya pula harîm (kawasan) masjid telahpun dipagar.
Adapun kawasan atau tanah yang bersempadan dengan masjid jika ia membawa mashlahat dan kesempurnaan kepada orang ramai khususnya jemaah masjid pada masa menggunakan masjid dan ia belum dimiliki oleh orang lain, ia masih harîm masjid. Lebih-lebih lagi jika kawasan di luar pagar itu umpamanya, disimpan khas bagi tujuan yang berkaitan dengan kesempurnaan penggunaan tempat atau masjid itu, yang bererti tanah itu sebagai tanah rizab.
Mengenai persoalan tentang “adakah tanah masjid itu dikira kawasan masjid”, dalam makna yang lain masjid termasuk halaman atau perkarangan masjid itu. Jika digazetkan atau diniatkan sebagai masjid, maka kesemua tanah itu menjadilah masjid walaupun belum mempunyai bangunan masjid atau sebahagian tanah itu telah dibangunkan masjid.
Pengertian Masjid
Masjid dari sudut bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara‘ pula ialah mana-mana tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berbunyi:
Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Mu‘jam Lughât al- Fuqahâ’: 428 dan Ihkâm as-Sâjid: 26-27)
Apabila diperhatikan sejarah kewujudan dan kedudukan tanah persekitaran masjid pada masa dahulu berdasarkan definisi masjid dari sudut istilah, di antaranya ada masjid yang hanya berupa tanah lapang yang diberi tanda atau sempadan di sekelilingnya dengan mendirikan tiang-tiang yang dipacakkan tepat pada sempadan berkenaan.
Jika setakat yang ditanda sebagai sempadan itu hanyalah tiang saja yang dijadikan masjid atau disebut masjid oleh orang ramai, atau oleh pewaqaf – jika ia masjid waqaf – maka yang berada di luar sempadannya tidak dikira sebagai masjid dan tidak berlaku padanya hukum-hakam masjid seperti i‘tikâf.
Sehubungan dengan ini, kalau ada orang yang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, iaitu setakat mana luas atau besarnya tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid itu, manakala kawasan yang di luarnya tidak turut menjadi masjid. Dalam hal ini Imam az-Zarkasyi ada menyebutkan:
Ertinya: “Kalau seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab al-Wajîz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz waqaf.” (Ihkâm as-Sâjid: 396)
Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam az-Zarkasyi di atas, sekiranya keseluruhan tanah yang diperuntukkan itu telah diwartakan (digazetkan) atau diniatkan sebagai masjid, maka jadilah kesemua tanah yang diniatkan itu masjid, walaupun bangunan masjid belum didirikan.
Tetapi jika yang digazetkan sebagai masjid hanya setakat bangunannya sahaja, maka itulah sahaja yang dianggap sebagai masjid, manakala bakinya adalah sebagai harîm masjid atau rizab masjid (tanah simpanan untuk masjid dan lain-lain keperluan masjid).
Harîm Kubur
Kubur ialah tanah yang digali dengan bentuk dan ukuran tertentu untuk menutupi atau mengebumikan mayat.
Perlu diketahui bahawa tanah perkuburan orang Islam itu ada tiga jenis:
1. Tanah kubur yang diwaqafkan kerana kubur orang Islam. Hukumnya tidak boleh digunakan selain daripada mengebumikan mayat orang Islam, sama ada telah hancur luluh tulang dan anggota-anggota mayat atau tidak.
2. Tanah kubur yang dinamakan musabbalah iaitu tanah yang biasa digunakan untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut oleh penduduk di tempat itu, sekalipun tidak diketahui asal puncanya dan tidak diketahui orang yang mensabilkannya, maka tanah tersebut tidak boleh digunakan selain untuk mengebumikan mayat orang Islam. Walau bagaimanapun, menurut pengarang Hâsyiah at-Tuhfah, boleh digunakan tanah tersebut selain untuk mengebumikan mayat jika telah hancur luluh tulang-tulang dan suku-suku anggota mayat yang dikubur di situ, dan tanah itu tidak digunakan lagi oleh penduduk di tempat itu untuk mengebumikan mayat pada masa sekarang dan berazam tidak akan mengebumikan mayat di tanah itu pada masa akan datang.
3. Tanah mawât, iaitu tanah yang bukan kebiasaannya digunakan orang-orang untuk mengebumikan mayat di tanah tersebut, tanah yang dimiliki oleh seseorang atau tanah yang dipinjam kerana mengebumikan mayat di tempat tersebut. Apabila ditanam mayat pada salah satu daripada tempat-tempat yang disebutkan, maka harus digali kubur itu apabila telah hancur luluh segala tulang dan suku-sukunya, serta harus digunakan semula tanah itu kerana tujuan-tujuan yang lain seperti bertani, dibuat jalan atau didirikan rumah. Dalam makna yang lain, tanah itu tidak lagi dinamakan tanah perkuburan.
Menurut Syaikh Ibnu Hajar dalam fatwanya bahawa kubur juga mempunyai harîm. Erti harîm itu ialah kawasan yang dekat dengan kubur yang lazim digunakan oleh orang ketika hendak menggunakan kubur itu seperti jalan, lorong, jambatan, tempat perhentian dan sebagainya. (At-Tuhfah: 6/238 )
Orang-orang Islam zaman dahulu membuka tanah perkuburan jauh daripada rumah dan jauh daripada tempat yang kotor, supaya mayat-mayat tidak terkena kotoran atau basah sebab terkena air dari rumah tempat kediaman. Dipilih tanah perkuburan itu di tempat yang munasabah dan kering. Begitulah juga kita memilih tanah-tanah perkuburan di tempat-tempat yang tinggi dan jauh dari rumah kediaman sebagaimana tanah-tanah perkuburan di negara kita sekarang ini. (Al-Ahkâm as-Sulthâniyyah: 237)
Oleh yang demikian nyatalah bahawa kubur-kubur itu juga mempunyai harîm sebagaimana perkataan-perkataan ulama mengenainya. Harîm kubur itu ialah kawasan yang di tepi kubur yang digunakan orang bagi kesenangan dan kemudahan pada masa menggunakan kubur tersebut. Manakala luas harîm kubur itu tidak ditentukan, hanya mengikut kadar hajat orang yang menggunakannya dari satu masa ke satu masa.
Haram dan berdosa menceroboh kehormatan kubur dan harîmnya dengan mendirikan bangunan atau membuat perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan kubur sehingga menyakiti mayat, menghalang orang-orang yang hendak menggunakan kubur, menyempit serta menyusahkan orang ramai yang hendak menggunakan kawasan harîm kubur tersebut, kecuali pada perkara-perkara yang memberi kesenangan dan kemudahan penggunanya.
Harîm Sungai
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami bahawa harîm sungai itu ialah kawasan dan tempat yang digunakan oleh orang ramai kerana hajat menggunakan sungai itu dengan selesa, atau mana-mana kawasan yang dihajatkan kerana membuang tanah yang digali dari sungai tersebut atau membuang sampah daripadanya kerana membersihkan sungai itu. Maka tidak dibolehkan mendirikan apa jua bangunan sekalipun masjid di tempat yang dikatakan harîm tersebut, malahan wajib dirobohkan bangunan yang didirikan di atasnya sebagaimana telah dinaqalkan daripada mazhab yang empat. (At- Tuhfah: 6/236)
Berdasarkan penjelasan tersebut, segala kawasan di tebing sungai, di belakang tebing sungai dan di pantai sungai itu adalah harîm bagi sungai yang digunakan untuk kesempurnaan dan kemudahan menggunakan sungai itu seperti tempat turun naik, meletak sementara barang-barang dan sebagainya. Harîm sungai itu tidak boleh didirikan bangunan sekalipun masjid kerana bangunan itu ditakuti menyusah dan menyempitkan orang ramai daripada menggunakannya dan tidak boleh menjalankan apa-apa perniagaan kerana ia akan menghalang keselesaan lalu-lalang dan orang turun naik menggunakan tebing sungai itu.
Adapun besar dan luas harîm sungai itu tidak terhad, hanya ia mengikut hajat orang ramai pada kesempurnaan dan kemudahan menggunakan sungai itu sekalipun pada masa akan datang tiada orang menggunakannya. Maka bahagian yang tidak digunakan itu tetap kekal menjadi harîm sungai selama-lamanya.
Oleh yang demikian, menurut syara‘ bahawa tebing-tebing sungai itu adalah harîm bagi sesebuah sungai, untuk digunakan oleh orang-orang yang sering menggunakan sungai tersebut kerana turun naik dan memunggah atau mengisi barang-barang dari atau ke perahu dan kapal.
Maka berdasarkan penjelasan di atas, masjid, sungai dan kubur menurut kebanyakan ulama mempunyai harîm yang tersendiri. Dari itu tidak boleh digunakan harîm itu kerana lain-lain tujuan seperti mendirikan bangunan, bangsal-bangsal perniagaan, tempat permainan atau dijadikan tempat kerja bertukang kerana semua itu menyusah dan menyempitkan, lebih-lebih lagi pada perkara-perkara yang boleh membahayakan orang-orang yang menggunakan harîm tersebut.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10801
دليل الألوان
