Duduk Antara Dua Sujud Lambang Ketenangan Seorang Hamba
الجواب
Duduk antara dua sujud merupakan salah satu rukun fi‘li (perbuatan) yang pendek. Menurut jumhûr ulama, duduk antara dua sujud adalah wajib dan tidak sah sembahyang jika ditinggalkan dengan sengaja. (Al-Majmû‘: 3/367)
Menurut ashhâb mazhab Syafi‘e dan jumhûr ulama wajib thuma’ninah ketika ruku‘, sujud, i‘tidâl (bangkit daripada ruku‘) dan duduk antara dua sujud, berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk menunaikan sembahyang hendaklah bertakbîr, kemudian bacalah yang mudah olehmu daripada ayat al-Qur’an. Kemudian ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian bangkit sehingga berdiri tegak (i‘tidâl), kemudian sujud dengan thuma’ninah, kemudian bangkitlah daripadanya dengan thuma’ninah, dan lakukanlah yang sedemikian itu dalam setiap sembahyangmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Ruangan Irsyad Hukum pada keluarannya kali ini akan menjelaskan kaifiyyât atau cara duduk antara dua sujud.
Imam an-Nawawi (al-Majmû‘: 3/397-403) menjelaskan kaifiyyât atau cara duduk antara dua sujud itu ada tiga:
1. Punggung didudukkan di atas tapak kaki kiri, sementara itu didirikan tapak kaki kanan dengan melipatkan anak-anak jari kaki kanan menghala ke qiblat. Inilah kaifiyyât duduk antara dua sujud yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:
Maksudnya: “Telah berkata Abu Humaid as-Sa‘idiy: “Aku adalah orang yang paling hafal (mengetahui) akan sembahyangnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Aku melihat ketika Baginda bertakbîr, Baginda mengangkat tangan Baginda sejajar dengan dua bahunya. Apabila ruku‘, Baginda letakkan kedua tangannya pada kedua lutut. Kemudian Baginda membungkukkan punggung. Apabila Baginda mengangkat kepala (dari ruku‘) Baginda tegak sehingga setiap tulang belakangnya kembali ke tempatnya. Apabila sujud Baginda letakkan kedua tangan Baginda dengan tidak mencengkam dan tidak pula menggenggam, dan Baginda hadapkan hujung jari-jari Baginda ke arah qiblat. Apabila Baginda duduk pada rakaat kedua, Baginda duduk di atas kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. Apabila Baginda duduk pada rakaat akhir maka Baginda julurkan kaki kiri dan ditegakkannya kaki kanan dan Baginda duduk di atas tempat duduk Baginda (tikarnya).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
2. Duduk iq‘a iaitu dengan punggung didudukkan di atas kedua-dua tapak kaki dan tumit. Cara ini juga diamalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Abu Zubair mendengar daripada Thawus mengatakan: “Kami bertanya kepada Ibnu ‘Abbas mengenai duduk (dengan cara iq‘a) di atas dua kaki. Ibnu ‘Abbas menjawab: “Itu adalah sunat”. Lalu kami berkata kepadanya: “Kami melihat (cara duduk sedemikian) menyusahkan orang tersebut”. Ibnu ‘Abbas menjawab: “Itulah sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadis riwayat Muslim)
3. Duduk di atas dua tumit dan jari kaki, adalah juga termasuk duduk antara dua sujud menurut riwayat daripada Ibnu ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum. (Al-Majmû‘: 3/399) Perkara ini disebutkan dalam satu riwayat daripada az-Zubair:
Maksudnya: “Sesungguhnya dia (az-Zubair) melihat ‘Abdullah bin ‘Umar apabila sujud, kemudian beliau mengangkat kepalanya daripada sujud yang pertama (lalu) duduk di atas jari-jari kakinya dan beliau berkata: “Sesungguhnya (duduk seperti ini) adalah sunnah.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Al-Baihaqi dalam kitab Sunan al-Kubra (2/464) menjelaskan bahawa duduk iq‘a seumpama ini adalah disunatkan sebagaimana yang diriwayatkan kepada kami daripada Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar Radiallahu ‘anhum. Beliau seterusnya menjelaskan cara duduk tersebut iaitu:
Maksudnya: “(Cara duduk itu) ialah meletakkan jari-jari kaki di atas bumi dan meletakkan punggung di atas dua tumit serta meletakkan lutut di atas bumi.”
Menurut an-Nawawi, ulama berselisih pendapat pada hukum duduk dan kaifiyyât dalam duduk al-iq‘a. Sebenarnya cara duduk iq‘a itu dua macam:
1. Meletakkan kedua punggungnya di bumi, menegakkan kedua kakinya dan meletakkan kedua tangannya di atas bumi seperti duduknya seekor anjing. Inilah cara duduk yang dimakruhkan sebagaimana yang dimaksudkan dalam larangan hadis.
2. Menjadikan kedua punggungnya atas tumitnya ketika melakukan duduk di antara dua sujud. Inilah cara duduk yang disunatkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Dalam perkara 2 di atas, Imam asy-Syafi‘e menyatakan adalah sunat melakukan duduk iq‘a ketika duduk antara dua sujud sebagaimana disebutkan dalam kitabnya al-Buwaithi dan al-Imlâ’. Walau bagaimanapun dalam nash (kitab) yang lain, beliau menyatakan duduk yang masyhur dan disunatkan ialah duduk iftirâsh. Oleh yang demikian, duduk yang afdhal menurut mazhab Syafi‘e ialah dengan cara duduk iftirâsh sama ada ketika melakukan duduk tasyahhud awwal, duduk antara dua sujud mahupun ketika duduk istirâhah (duduk sebelum bangkit bagi rakaat seterusnya). Manakala duduk ketika tasyahhud akhîr sunat dilakukan dengan duduk tawarruk (sebagaimana duduk yang biasa kita buat pada rakaat terakhir sebelum salam). (Shahîh Muslim Syarh an-Nawawi: 2/169-170)
Berdasarkan penjelasan di atas, menurut Imam Syafi‘e sunat duduk iftirâsh pada kebanyakan duduk dalam sembahyang, kecuali bagi duduk yang diikuti dengan salam. Menurut beliau juga, duduk di dalam sembahyang itu ada empat iaitu duduk antara dua sujud, duduk tasyahhud awwal, duduk istirâhah (duduk sebelum bangkit/berdiri bagi rakaat seterusnya), dan duduk tasyahhud akhîr. Kesemua duduk yang disebutkan tadi sunat dilakukan dengan duduk iftirâsh kecuali duduk tasyahhud akhîr. Begitu juga bagi orang yang masbûq, sunat duduk dengan iftirâsh. Menurut Imam an- Nawawi, jika dilakukan kesemua duduk dalam sembahyang dan menjadikan kaki-kakinya itu dengan cara duduk iftirâsh, iq‘a atau tawarruk tidak akan membatalkan sembahyang sekalipun duduk itu berbeza-beza. (Shahîh Muslim Syarh an-Nawawi: 2/133-134)
Disunatkan dalam duduk antara dua sujud itu, meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dan tangan kiri di atas paha kiri dengan jari-jari diletakkan sejajar di atas kepala lutut sambil menghadap qiblat. Tidaklah mengapa jika jari-jari tersebut melimpasi lutut berkenaan. (Al-Majmu‘: 3/398)
Doa Ketika Duduk Antara Dua Sujud
Perbuatan duduk antara dua sujud ini adalah satu waktu yang sangat singkat iaitu sekadar thuma’ninah (berhenti sekejap) sebelum berpindah kepada sujud yang kedua. Rukun ini melambangkan bahawa hidup seorang mukmin itu sentiasa berdisiplin, tenang dan tidak gopoh di dalam menghadapi sebarang ujian dan cabaran hidup di dunia yang berbagai-bagai corak dan rupa yang boleh melalaikan seorang hamba itu daripada Tuhannya. Ketika melakukan duduk antara dua sujud itu, disunatkan membaca doa:
Maksudnya: “Ya Allah! Ampunilah aku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, angkatlah kedudukanku, kurniakanlah kepadaku rezeki, dan berilah aku petunjuk serta kesihatan.”
Doa seumpama ini diriwayatkan dalam beberapa hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antaranya:
Maksudnya: “Daripada Ibnu ‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca doa ketika duduk antara dua sujud: “Ya Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, berilah aku petunjuk dan kurniakanlah aku rezeki”. Manakala di dalam riwayat Ibnu Majah (ditambah): “Angkatkanlah kedudukanku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Dalam hadis yang lain:
Maksudnya: “Daripada Ibnu ‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca ketika duduk antara dua sujud: “Ya Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, kurniakanlah aku kesihatan, dan berilah petunjuk serta rezki kepadaku.” (Hadis riwayat Abu Dawud)
Doa yang pendek dan ringkas ini merupakan hasrat suci dan rangkuman pengharapan seorang hamba terhadap Penciptanya serta rasa bimbang terhadap dosa-dosa yang telah lalu. Apa yang kita pohonkan dalam doa ini agar Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
• Menjadikan kita seorang manusia yang mencintai jalan kebenaran dan jika kita tersesat atau menyimpang daripada jalanNya yang lurus, kita memohon petunjuk agar dikembalikan ke jalan yang benar.
• Mengurniakan rahmatNya yang melimpah ruah kepada kita, iaitu rahmat yang berupa iman yang teguh, ilmu yang bermanfaat, sihat dan sejahtera, kehidupan yang baik dan diredhaiNya.
• Menutup serta menggantikan segala kekurangan atau cacat cela diri kita dengan kebaikan.
• Menjauhkan diri dan keluarga daripada segala mala petaka hidup di dunia dan azab sengsara di akhirat.
• Menetapkan hidup di atas jalan agamaNya yang lurus dan sentiasa membimbing segala tindak-tanduk kita dengan taufik dan hidayatNya.
• Memohon keampunan atas segala kesalahan dan dosa serta berharap kepadaNya agar tidak membiarkan kita terus bergelumang dengan dosa dan kemahuan nafsu yang jahat.
Apa yang kita ucapkan dalam doa ini bukan sekadar permintaan semata, tetapi merupakan pengisytiharan yang dinyatakan di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa itulah matlamat yang hendak kita cari. Ia mesti diikuti dengan usaha-usaha yang gigih, sabar, tekun, yakin, redha dan penuh harapan kepada pertolongan Allah. Dengan cara demikian, barulah Allah akan kabulkan permohonan atau doa itu.
Kesimpulan
Duduk antara dua sujud itu boleh dilakukan sama ada dengan cara duduk iftirâsh atau iq‘a, malahan tidak membatalkan sembahyang jika dilakukan semua duduk dalam sembahyang sama ada dengan duduk iftirâsh, tawarruk, atau iq‘a sekalipun berbeza-beza. Walau bagaimanapun duduk iftirâsh adalah afdhal bagi duduk yang tidak disudahi dengan salam. Manakala duduk tawarruk afdhal dilakukan bagi duduk yang disudahi dengan salam (ketika tahiyyat akhîr).
Hendaklah diingat, doa yang pendek ketika duduk antara dua sujud itu selain merupakan isi ibadah, ia juga sebagai pembekal yang melahirkan tenaga penggerak untuk bertindak mengikut lunas-lunas syariat. Ia melahirkan keazaman serta penyerahan yang tulin pada jiwa seorang hamba untuk mencapai apa yang diharapkannya daripada doa itu. Oleh kerana itu hayatilah setiap gerak geri ucapan (doa) dalam sembahyang itu supaya memberi kesan yang baik kepada kemantapan iman.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10852
دليل الألوان
