Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Takbîr Sembahyang: Huraian Dan Kesempurnaannya

الجواب

Sebaik-baik pertuturan (kalam) kepada Allah, salah satunya ialah takbîr. Takbîr menunjukkan kepada mengagungkan Allah Subahanahu wa Ta‘ala dengan ucapan “Allâhu Akbar” yang bererti Allah Maha Besar.ِ

Ucapan takbîr ini mendapat tempat dalam sembahyang yang menjadikannya sebagai rukun qauli. Irsyad Hukum kali ini menghuraikan persoalan hukum dan kesempurnaan takbîr dalam sembahyang, termasuk takbîrulintiqâlat.

Takbîratulihrâm

Takbîratulihrâm adalah salah satu daripada rukun sembahyang sebagaimana dalam hadis Abu Hurairah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke masjid, dan masuk seorang lelaki lalu bersembahyang. Sesudah itu dia memberi salam kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda pun membalas salam itu lalu bersabda: “Kembalilah dan kerjakanlah sembahyang, sesungguhnya engkau belum sembahyang.”

Lalu lelaki itu pun kembali mengerjakan sembahyang sebagaimana dia sembahyang sebelumnya. Kemudian lelaki itu datang dan memberi salam lagi kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Kembalilah dan kerjakanlah sembahyang, sesungguhnya engkau belum sembahyang.” Demikianlah berulang sehingga tiga kali.

Maka lelaki itu berkata: “Demi Zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat melakukan sembahyang yang lebih baik, maka ajarkanlah aku.”

Baginda bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk sembahyang, maka bertakbîrlah kemudian bacalah yang mudah bagimu daripada al-Qur’an, kemudian ruku‘lah sehingga kamu berthama’ninah dalam ruku‘, kemudian bangkitlah sehingga tegak berdiri, kemudian sujudlah sehingga kamu berthama’ninah dalam sujud, kemudian bangkitlah sehingga kamu berthama’ninah dalam duduk. Lakukanlah yang demikian itu dalam sembahyangmu keseluruhannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain pula menyebutkan:

Maksudnya: “Daripada ‘Ali Radhiallahu ‘anhu katanya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Kunci sembahyang itu adalah wudhu, dan permulaan sembahyang itu (bermulanya hukum haram melakukan sesuatu yang dihalalkan sebelumnya seperti makan dan minum) adalah takbîr dan penyudah sembahyang itu (berakhirnya hukum haram tersebut) adalah taslîm iaitu memberi salam.” (Hadis riwayat Ahmad)

Takbîratulihrâm ialah mengucapkan “Allâhu Akbar” pada permulaan sembahyang. Ia dilakukan beriringan dengan niat sembahyang. Dinamakan ia sebagai Takbîratulihrâm, kerana orang yang bersembahyang itu mengharamkan ke atas dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang seperti makan, minum, berkata-kata atau seumpamanya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/212) Ucapan takbîr dalam sembahyang itu telah pun ditetapkan lafaznya iaitu “Allâhu Akbar” sebagaimana mengikut sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda:

Maksudnya: “Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ataupun dilafazkan dengan kalimat “Allâhul Akbar” (ditambah huruf “alif” dan “lâm” pada kalimat Akbar “ّبللاِاألك ”).

1. Tidak sah melafazkan takbîr itu seperti contoh-contoh berikut:

i. Mendahulukan kalimat “Akbar” daripada lafzh al-Jalâlah “Allah”

ii. Menukar kalimat “Akbar” kepada kalimat “Kabîr” (ْيللاِكب ) kerana ia menghilangkan makna mengagungkan.

2. Tidak sah melafazkan takbîr dengan menambah huruf pada ucapan takbîr itu yang boleh menukar maknanya seperti berikut:

i. Memanjangkan huruf hamzah pada lafzh al-Jalâlah (آلل) atau pada kalimat “Akbar” (ّبآك ). Ini kerana menukar maknanya kepada pertanyaan (istifhâm). ii. Memanjangkan huruf “ba” pada kalimat “Akbar” (أكبار), maka menjadilah ia sebagai jama‘ kepada kabar yang bererti gendang yang satu muka. iii. Menambah huruf “wau” sebelum lafzh al-Jalâlah ( وللاِّبأك ).

iv. Menurut Ibnu Hajar, menambah huruf “wau” sakinah (bertanda mati) di antara dua kalimat takbîr, seperti (الليهو) kerana ia menjadikan jama‘ pada kalimat lâh (له) yang bererti berkilauan, atau menambah huruf “wau” mutaharrikah (yang berbaris) seperti

v. Menambah mad huruf “alif” di antara huruf “lam” dan “ha” dalam lafzh al-Jalâlah (ِ يالل) sehingga melebihi had yang tidak dianjurkan oleh ahli qurra’. Menurut Ibnu Hajar, kadar had panjang mad huruf “alif” di atas itu adalah sebanyak tujuh alif dan setiap satu alif pula mempunyai dua harkat.

Dalam melafazkan takbîr itu, tidak mengapa jika berhenti sekejap di antara dua kalimat takbîr dengan kadar mengambil nafas. Manakala menurut al- Azdra‘i, tidak mengapa jika melebihi kadar berhenti itu daripada kadar mengambil nafas seperti orang yang gagap. Demikian juga, tidak mengapa jika disebut dalam takbîr itu dengan membunyikan huruf “ra” yang berbaris depan ( للاِّب ِ أك ). (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/215-216)

Walau bagaimanapun sunat huruf “ra” dalam kalimat “Akbar” itu dibunyikan dengan tanda mati. (Fath al-‘Allâm: 2/234)

Wajib bagi orang yang mengerjakan sembahyang itu mendengar setiap huruf takbîr yang dilafazkannya ketika mengangkat takbîratulihrâm tersebut sebagaimana dengan rukun qauli yang lainnya seperti membaca surah al- Fâtihah, tasyahhud dan salam. Hukum wajib mendengar itu adalah bagi orang yang baik pendengarannya. Sementara orang yang tidak baik pendengarannya seperti tuli atau disebabkan ada halangan untuk mendengar seperti riuh rendah tempat itu, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi wajib dia melafazkan takbîr itu dengan suara yang tinggi atau nyaring dengan kadar apa yang dapat didengarnya jika dalam keadaan dia boleh mendengar. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/217-218)

Syarat-syarat yang lain pula, hendaklah lafaz takbîr itu dalam bahasa Arab bagi orang yang boleh/pandai melafazkannya. Akan tetapi bagi orang yang tidak pandai melafazkannya dalam bahasa Arab, maka wajib dia mempelajarinya walaupun mengakhirkan sembahyang daripada awal waktunya. Jika dia tidak pandai juga setelah mempelajarinya sehingga hampir luput waktu sembahyang, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dalam hal yang demikian itu dengan menterjemahkan takbîr tersebut dalam bahasa yang dia pandai dan tidak perlu lagi diulangi semula sembahyangnya itu jika dia sudah pandai melafazkan takbîr. Adapun jika dia sambil lewa mempelajari takbîr dalam bahasa Arab tersebut lalu dia mengerjakan sembahyang, maka hendaklah dia mengulangi semula sembahyang itu setelah pandai. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/215)

Disyaratkan juga kepada orang yang mengikut imam, mengakhirkan takbîrnya sehingga imam sempurna melafazkan takbîr. Jika takbîr makmum tersebut mengiringi sebahagian takbîr imam, maka tidak sah ikutan itu dan tidak dikira sembahyang makmum itu sebagaimana menurut as-Syarqawi. (Fath al-‘Allâm: 2/229)

Sunat mengangkat kedua-dua tapak tangan ketika melakukan takbîratulihrâm dengan mendedahkan tapak tangan tersebut serta menjarangkan sedikit jejarinya. Kedudukan kedua-dua tapak tangan itu sejajar dengan kedua bahunya serta jejarinya berada sejajar dengan atas telinga melainkan ibu jari sahaja berada sejajar dengan cuping telinga. Sunat ketika mengangkat tapak tangan itu sebaya dengan melafazkan takbîr. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/218-219) Demikian juga disunatkan menundukkan kepala sedikit dan melihat ke tempat sujud sebelum mengangkat takbîr. (Fath al-‘Allâm: 2/234)

Takbîrulintiqâlat

Takbîrulintiqâlat ialah mengucapkan “Allâhu Akbar” pada setiap kali hendak melakukan ruku‘ dan sujud, dan ketika hendak bangkit daripada sujud dan tasyahhud awwal. Takbîrulintiqâlat itu hukumnya sunat dan tergolong dalam sunat hai’ah sembahyang.

Sunat dilafazkan takbîr itu sebaya dengan permulaan hendak melakukan atau bangkit daripada perbuatan rukun sembahyang dan sunat memanjangkan takbîr itu sehingga sampai kepada perbuatan rukun sembahyang yang dituju. Akan tetapi kadar memanjangkannya tidak melebihi tujuh alif pada huruf “lam” dalam lafzh al-Jalâlah sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Dalam perkara sunat melafazkan takbîr sebaya dengan permulaan hendak melakukan perbuatan rukun sembahyang itu, takbîr ketika hendak ruku‘ dikecualikan daripada hukum sunat tersebut. Ini kerana ketika dia melafazkan takbîr tersebut dia sedang dalam keadaan berdiri dan mengangkat kedua tapak tangannya sejajar dengan bahu. (Fath al-‘Allâm: 2/387-389)

Sebagaimana disunatkan mengangkat kedua tapak tangan sejajar dengan bahu pada takbîratulihrâm, adalah disunatkan juga pada takbîrulintiqâlat. Adapun hukum sunat mengangkat kedua tapak tangan itu, hanyalah:

i. Ketika melakukan takbîratulihrâm. ii. Ketika hendak menuju kepada perbuatan ruku‘.

iii. Ketika bangkit daripada ruku‘ sambil melafazkanِ

iv. Ketika bangkit daripada melakukan tasyahhud awwal.

Selain daripada perkara yang disebutkan di atas adalah tidak disunatkan mengangkat kedua tapak tangan ketika melafazkan takbîr.

Ketika bangkit daripada tasyahhud awwal, menurut pendapat yang zhahîr, adalah sunat bermulanya mengangkat tapak tangan itu ketika sampai pada had sekurang-kurang ruku‘. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/219)

Sunat bagi imam meninggikan suaranya ketika melafazkan takbîratulihrâm dan takbîrulintiqâlat. Demikian juga sunat meninggikan suara bagi makmum yang menyampaikan takbîr imam kepada makmum yang lain yang tidak dapat mendengar suara imam, akan tetapi hendaklah ketika dia melafazkan takbîr itu berniat sebagai zikir atau pemberitahuan (i‘lâm), jika tidak maka batallah sembahyangnya. (Fath al-‘Allâm: 2/389)

Takbîr Dalam Sembahyang Hari Raya

Sunat melafazkan takbîr ketika sembahyang Hari Raya ‘Idul Fitri atau ‘Idul Adhha, selain takbîratulihrâm sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua sebaik sahaja selesai membaca doa iftitâh. Sunat melafazkan takbîr tersebut walaupun dalam sembahyang qadha Hari Raya.

Takbîr-takbîr ini tergolong dalam haia’h ash-shalâh dan tidak disunatkan sujud sahwi jika ditinggalkan takbîr tersebut dengan senghaja atau terlupa.

Akan tetapi jika ditinggalkan kesemua atau sebahagiannya, adalah makruh hukumnya.

Sunat mengangkat kedua tapak tangan setiap kali melafazkan takbîr tersebut. Kedudukan dan kaifiyyahnya (caranya) serupa dengan apa yang disunatkan dalam takbîratulihrâm. Sunat dibaca antara setiap dua takbîr (seperti selepas melafazkan takbîr pertama):

Ertinya: “Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah dan tiada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar.”

Adapun bagi orang yang masbûq, tidak perlu lagi baginya mengangkat takbîr tersebut melainkan jika dia mendapati imam dalam keadaan mengangkat takbîr. Sebagai contoh, jika orang yang masbûq itu mendapati imam dalam rakaat pertama setelah selesai mengangkat takbîr yang kedua, maka orang yang masbûq itu hanya mengangkat takbîr yang seterusnya iaitu takbîr yang ketiga sehingga yang ketujuh dengan mengikuti imam. Demikian juga, jika syak pada bilangan takbîr itu, maka ambillah yang sedikit atau ikut sahaja imam walaupun ianya kurang atau lebih. (Fath al- ‘Allâm: 2/10-11)

Takbîr Dalam Sembahyang Jenazah

Takbîr dalam sembahyang jenazah adalah sebanyak empat kali termasuk takbîratulihrâm. Kesemua takbîr tersebut adalah rukun sembahyang jenazah sebagaimana dalam hadis as-Sya‘biy katanya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang jenazah di atas kubur selepas sahaja dikebumikan, Baginda bertakbîr sebanyak empat kali.” (Hadis riwayat Muslim)

Sunat mengangkat kedua tapak tangan setiap kali melafazkan takbîr tersebut, kedudukan dan kaifiyyahnya serupa dengan apa yang disunatkan dalam takbîratulihrâm.

Apabila makmum yang masbûq mendapati imamnya telahpun melakukan sebahagian daripada sembahyang jenazah, lalu dia bertakbîr, maka masuklah dia dalam sembahyang jemaah itu sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Apa yang kamu dapati maka sembahyanglah dan apa yang kamu luputi maka sempurnakanlah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sebagai contoh, makmum masbûq sedang imam sudah selesai mengangkat takbîr yang kedua dan sedang membaca selawat. Maka makmum tersebut terus sahaja mengangkat takbîratulihrâm dan membaca surah al-Fâtihah, tidak perlu dia mengikuti apa yang imam baca (selawat). Apabila imam mengangkat takbîr yang ketiga, makmum yang masbûq itu terus sahaja mengikuti imam mengangkat takbîr yang kedua bagi dirinya dan membaca selawat. Demikianlah seterusnya, makmum tersebut membaca mengikut tertib pada setiap rakaat tanpa mengikuti apa yang imam baca. Apabila imam memberi salam, makmum tersebut terus sahaja menyempurnakan takbîr yang seterusnya.

Jika makmum itu sedang membaca sebahagian surah al-Fâtihah lalu imam mengangkat takbîr yang kedua, maka menurut pendapat yang ashah hentikan sahaja bacaan al-Fâtihah itu dan terus mengikuti imam mengangkat takbîr, nescaya dia telah memperolehi kedua takbîr itu disebabkan ‘uzr. (Al- Majmû‘: 5/197-198)

Kesimpulan

Oleh itu, haruslah diketahui bahawa takbîratulihrâm dan takbîrulintiqâlat mempunyai peranan tersendiri. Takbîratulihrâm adalah salah satu rukun sembahyang sama ada dalam sembahyang fardhu ataupun sunat dan tidak sah sembahyang jika ditinggalkan takbîr tersebut. Selain itu, takbîr dalam sembahyang jenazah juga termasuk dalam rukun sembahyang.

Sementara takbîrulintiqâlat pula dan takbîr dalam sembahyang Hari Raya (tujuh kali takbîr pada rakaat pertama dan lima kali takbîr pada rakaat kedua) adalah salah satu daripada sunat hai’ah sembahyang. Sungguhpun ia hanya sunat hai’ah, namun hendaklah takbîrulintiqâlat dan takbîr dalam sembahyang Hari Raya itu dilaksanakan dengan sesempurnanya, termasuk juga mengamalkan perkara-perkara sunat yang terdapat ketika bertakbîr seperti kaifiyyah mengangkat kedua tapak tangan, waktu disunatkan mengangkat tangan dan sebagainya agar amal ibadat yang kita kerjakan itu sempurna dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10868

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص