Sutera
الجواب
Sutera adalah sejenis benang yang lembut dan halus yang didapati daripada sejenis ulat, ataupun bermaksud kain atau cita yang dibuat daripada benang sutera. (Kamus Dewan: 1331)
Kain yang diperbuat daripada benang sutera ini sudah menjadi popular di kalangan orang ramai terutama sekali kaum perempuan dan tidak kurang pula oleh sebahagian kaum lelaki. Kain yang lembut dan halus serta mempunyai nilai yang tinggi ini menambahkan lagi minat pemakainya bagi menunjukkan status atau kedudukan seseorang itu sama ada sebagai orang yang berada atau ingin bergaya.
Sebagai barang yang mewah, seperti emas, Islam mempunyai penilaiannya tersendiri. Dalam hal ini bagaimanakah pandangan Islam terhadap penggunaan sutera? Irsyad Hukum kali ini akan menjelas dan menghuraikan beberapa perkara yang berhubung dengan penggunaan atau pemakaian sutera.
Hukum Memakai Sutera
Hukum memakai pakaian yang diperbuat daripada benang sutera itu tertakluk kepada pemakainya. Jika dia seorang perempuan adalah harus memakainya, sebaliknya haram hukumnya bagi lelaki sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Emas dan sutera dihalalkan bagi wanita daripada umatku dan diharamkan ke atas lelaki daripada umatku.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Hadis yang lain lagi daripada Abu Laila katanya:
Maksudnya: “Ketika tiba di Madayin, Hudzaifah meminta minuman. Lalu datang seorang pembesar kampung dengan membawa gelas yang diperbuat daripada perak. (Hudzaifah) membuang gelas tersebut, lalu berkata: “Sesungguhnya aku tidak membuangnya melainkan aku melarangnya tetapi tidak berhenti (perbuatan itu masih dilakukan). Sesungguhnya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang kita daripada menggunakan sutera dan dîbâj (sejenis sutera) serta minum daripada bejana emas dan perak. Baginda bersabda: “Ia (sutera dan bejana) bagi mereka di dunia dan ia (sutera dan bejana) bagi kamu di akhirat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Daripada Ibnu ‘Umar katanya:
Maksudnya: “Aku pernah mendengar ‘Umar menyebutkan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa memakai sutera di dunia tidak akan memakainya di akhirat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Menurut asy-Syaukani, bahawa hadis di atas menunjukkan kepada sindiran tidak masuk syurga, kerana sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman bahawa pakaian ahli syurga itu adalah sutera. Oleh yang demikian, barang siapa yang memakai pakaian sutera maka tidak akan masuk ke dalam syurga. Sementara menurut as-Suyuthi, hadis ini dita’wîl oleh kebanyakan ahli hadis bahawa orang yang memakai sutera itu tidak akan masuk syurga bersama-sama orang yang terdahulu yang berjaya. (Tuhfah al-Ahwadzi: 8/88) Pendapat ini disokong lagi dengan hadis daripada Juwairiyah katanya:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Barang siapa memakai pakaian sutera, nescaya Allah memakaikannya pakaian daripada neraka di Hari Kiamat kelak.” (Hadis riwayat Ahmad)
Titik permulaan pengharaman memakai pakaian sutera ini adalah ketika Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai sutera lalu dilarang oleh Jibril ‘Alaihissalam, sebagaimana diceritakan dalam hadis daripada ‘Uqbah bin ‘Amir katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dihadiahkan (oleh Ukaidir) dengan farrûj (sejenis pakaian) sutera. Baginda memakainya lalu mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Setelah selesai sembahyang Baginda menanggalkan pakaian itu dengan keras seperti membencinya. Baginda bersabda: “Pakaian ini tidak sesuai bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Hadis riwayat Muslim)
Banyak lagi hadis-hadis yang melarang lelaki memakai pakaian sutera dan mengharuskan perempuan memakainya, di antaranya hadis daripada ‘Ali Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memegang sutera di tangan kirinya dan emas di tangan kanannya. Baginda mengangkat keduanya lalu bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua ini haram ke atas lelaki daripada umatku dan halal bagi perempuan daripada umatku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Adapun memakai sutera kerana darurat seperti ketika musim sejuk atau panas atau selainnya, dan tiada pakaian lain selain sutera, maka harus dia memakai pakaian tersebut bahkan hendaklah dia memakainya bagi menutup aurat. (Al-Majmû‘: 4/380)
Kanak-Kanak Dipakaikan Sutera
Ada tiga pendapat dalam hukum orang yang memakaikan kanak-kanak pakaian sutera:
1. Haram ke atas orang yang memakaikan sutera kepada kanak-kanak sebagaimana dalam umum hadis di atas yang melarang lelaki memakai emas dan sutera.
2. Harus memakaikan kanak-kanak yang belum bâligh pakaian sutera itu. Ini kerana kanak-kanak itu belum mukallaf.
3. Jika kanak-kanak itu sampai umurnya tujuh tahun, maka haram dipakaikan sutera. Jika di bawah tujuh tahun, maka harus hukumnya.
Dalam ketiga-tiga pendapat ini, pendapat yang kedualah yang ashah iaitu harus dipakaikan sutera ke atas kanak-kanak yang belum bâligh. (Al- Majmû‘: 4/377-378)
Hukum Khuntsa Musykil Memakai Sutera
Khuntsa musykil ialah orang yang tidak nyata padanya tanda atau alamat yang menunjukkan dia sebagai lelaki atau perempuan, ataupun bertentangan tanda-tanda tersebut.
Setiap barang perhiasan yang diharamkan ke atas lelaki, diharamkan juga ke atas khuntsa musykil. Oleh yang demikian, haram bagi khuntsa musykil memakai sutera sebagaimana diharamkan ke atas lelaki. (Al-Majmû‘: 4/384)
Kain Sutera Sebagai Pakaian Biasa
Pakaian yang bercampur dengan sutera, menurut pendapat yang shahîh dan masyhûr adalah mengikut kadar timbangannya. Jika sedikit timbangan sutera itu, maka harus dipakai oleh lelaki, namun jika lebih banyak timbangan sutera itu berbanding dengan timbangan bahan yang lain itu, maka haram lelaki memakainya. Adapun jika sama timbangan antara keduanya, maka menurut pendapat yang shahîh adalah harus dipakai oleh lelaki kerana ia bukan sutera sebagaimana dalam hadis daripada Ibnu ‘Abbas katanya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada pakaian sutera yang tulen. Adapun sujian daripada sutera dan jahitan pakaian maka tidak mengapa.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam hal pakaian yang disuji dengan sutera (sejenis jahitan untuk membuat bunga pada kain), adalah harus jika tidak melebihi empat jari. Ini termasuklah juga kocek pakaian, tampalan padanya dan sebagainya. Jika ia melebihi daripada empat jari, maka haram dipakai sebagaimana dalam hadis daripada Suwaid bin Ghafalah:
Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Umar bin al-Khaththab berkhutbah di Jabiyah (bandar Syam) lalu berkata: “Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada memakai pakaian sutera melainkan pada kadar dua, tiga atau empat jari.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika dijahit pakaian itu dengan benang sutera adalah harus dipakai tanpa ada perselisihan pendapat. Melainkan baju besi berzirah (berantai) yang dianyam dengan emas walaupun sedikit adalah haram dipakai kerana ada kesombongan padanya. Sementara alat tasbîh yang mempunyai benang sutera tidak haram menggunakannya. Adapun jubah yang bukan daripada sutera tetapi isi di dalamnya (yakni antara lapis luar dan lapis dalam) ada sutera atau terdapat sutera di dalam bantal atau sebagainya, adalah harus digunakan.
Manakala dalam perkara jubah ini, Imam an-Nawawi mengatakan:
Ertinya: “Jika di lapisan luar jubah sutera dan di lapisan dalamnya kapas ataupun di lapisan luarnya kapas dan di lapisan dalamnya sutera adalah haram digunakan tanpa ada perselisihan pendapat.” (Al-Majmû: 4/380)
Sutera Sebagai Kain Kafan
Haram mengkafankan mayat lelaki dengan kain sutera sebagaimana haram dia memakai ketika hidupnya. Manakala bagi mayat perempuan, boleh dikafankan dengan kain sutera sebagaimana dia boleh memakainya ketika hidupnya akan tetapi makruh hukumnya, kerana ada pembaziran, berbeza halnya ketika dia hidup kerana berhias-hias untuk suaminya. (Al-Majmû‘: 5/153)
Sembahyang Dengan Pakaian Sutera
Haram bagi lelaki memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas ketika sembahyang, namun sembahyangnya itu sah. Adapun jika tidak diperolehinya sebarang pakaian melainkan sutera, menurut pendapat yang ashah hendaklah dia memakai pakaian sutera itu. Demikian juga, jika dia hanya mempunyai pakaian yang bernajis dan pakaian sutera. Menurut pendapat yang ashah, jika pakaian bernajis itu tidak dapat dibersihkannya kerana ketiadaan air, maka wajib dia bersembahyang dengan pakaian sutera tersebut, kerana sutera itu suci dan ia hanya haram pada ketika bukan waktu dharûrah.
Manakala bagi perempuan pula, harus dia memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas ketika sembahyang. (Al-Majmû‘: 3/147 dan 181-182)
Rambut Diikat Dengan Benang Sutera
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perempuan yang menyambung atau meminta sambungkan rambut mereka dengan rambut orang lain. Menyambung rambut itu termasuk dalam dosa-dosa besar.
Adapun mengikat rambut dengan benang sutera atau sebagainya yang bukan menyerupai rambut, maka tidaklah termasuk dalam larangan di atas kerana ia tidak termasuk makna tujuan menyambung itu, tetapi untuk kecantikan dan mengelokkannya. (Al-Majmû‘: 3/147)
Memakai Sutera Kerana Penyakit
Harus bagi lelaki memakai sutera jika dia berpenyakit seperti berkurap, berkudis atau sebagainya sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada Anas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi kelonggaran kepada Abdul Rahman bin ‘Auf dan Zubair memakai pakaian sutera kerana ada kudis yang mereka alami.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Demikian juga, harus memakai sutera bagi menghindarkan kutu sama ada ketika pelayaran ataupun tidak. (Al-Majmû‘: 4/381)
Penggunaan Sutera Pada Selain Pakaian
Haram bagi lelaki menggunakan sutera sama ada dijadikan pakaian, alas tempat duduk atau bersandar, dan segala jenis penggunaan (al-Majmû‘: 4/377) sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada Hudzaifah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kami minum dan makan pada bejana emas dan perak, dan (melarang kami) daripada memakai sutera dan dîbâj (sejenis sutera) serta duduk di atasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Demikian juga, haram menjadikan sutera sebagai tabir pintu, tabir jendela atau sebagainya. (Asna al-Mathâlib: 1/277)
Kesimpulan
Walaupun sutera itu suci, harus dijual-beli dan sah juga dijadikan pakaian sembahyang, namun ia haram dan berdosa ke atas lelaki memakainya. Oleh kerana itu hati-hatilah memakai sutera, kerana apalah ertinya suatu pakaian walaupun bermutu tinggi yang tujuannya untuk menutup aurat dan berhias menurut syara‘, akibatnya akan mendatangkan kerugian di akhirat kelak.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10880
دليل الألوان
