Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Pertanian Dari Perspektif Islam

الجواب

Islam sebagai agama yang lengkap, selain menumpukan perhatian kepada persoalan ibadat, bahkan juga mementingkan soal-soal kelangsungan hidup ini. Apa juga perkara yang menjadi ‘survival’ umat atau urusan pelengkap umat ini adalah menjadi kewajipan untuk diwujudkan. Ini sesuai dengan kaedah fiqh:

Ertinya: “Sesuatu yang wajib itu tidak akan sempurna melainkan dengan mengadakan sesuatu, maka mengadakan sesuatu itu adalah wajib.”

Salah satu elemen atau faktor untuk menjadi umat yang kuat, kaya atau tidak miskin ialah bekerja, berusaha dan dalam waktu yang sama menjauhkan diri daripada sifat lemah dan malas. Ini bersesuaian dengan amalan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam salah satu doa Baginda iaitu berlindung daripada sifat lemah dan malas.

Memaju dan memanfaatkan sumber bumi juga merupakan tuntutan dalam Islam. Salah satu sumber kekuatan yang menjadi survival umat itu ialah meneroka bidang pertanian sebagai sumber penghasilan bumi. Pandangan Islam terhadap bidang pertanian sangat positif. Maka Irsyad Hukum keluarannya kali ini cuba melihat pandangan Islam terhadap pertanian itu.

Islam Dan Pertanian

Peri mustahaknya bidang pertanian pada pandangan Islam dapat dilihat daripada banyaknya ayat al-Qur’an yang menyebut tentang hasil tanaman dan buah-buahan yang beraneka macam. Di antaranya sebagaimana firman Allah Subahanahu wa Ta‘ala:

Maksudnya: “Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanam-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan (warna atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah daripada buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.” (Surah al-An‘âm: 141)

Firman Allah dalam ayat lain:

Maksudnya: “Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah sesetengahnya daripada setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.” (Surah ar-Ra‘d: 4)

Dalam surah yang lain Allah berfirman lagi:

Maksudnya: “Dia (Allah) juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanam-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga daripada segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.” (Surah an-Nahl: 11)

Selain ibadat sembahyang dan sebagainya, melakukan aktiviti pertanian juga dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah kerana seperti yang dijelaskan melalui ayat-ayat di atas tanda kebesaran Allah dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanam-tanaman yang diusahakan oleh para petani.

Al-Qur’an sendiri ada menyebutkan bahawa kehidupan manusia di muka bumi ini diumpamakan sebagai pohonan atau tumbuh-tumbuhan yang tumbuh subur selepas turunnya air hujan dari langit, lalu pepohon itu membesar dan mengeluarkan buah kemudian menjadi tua dan layu. Kemudian ia musnah dan diganti oleh tanaman lain. Inilah sebenarnya hakikat kehidupan manusia yang sementara di dunia ini jika ianya direnung dengan penuh insaf dan sedar. Perkara ini disebut dalam firman Allah:

Maksudnya: “Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur-baurlah tanaman di bumi antara satu dengan lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air hujan itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Kahf: 45)

Bekerja sebagai petani adalah juga satu ibadat yang bukan sahaja memberi hasil kepada diri para petani yang terlibat malahan yang lebih penting lagi ialah ia mengajar manusia supaya memahami dengan sebenarnya hakikat tawakkal kepada Allah dan beriman kepada kekuasaan Allah yang mengatasi segala bentuk kekuasaan lain. Walaupun petani perlu bekerja keras dan menggunakan segala kemahiran untuk menjayakan usaha pertaniannya, akan tetapi yang menumbuhkan segala tanaman dan memberi hasil adalah Allah. Manusia berusaha dan berdoa agar mendapat hasil yang baik. Tetapi seandainya setelah semua itu dilakukan tidak juga mendapat hasil yang diharapkan maka si petani hendaklah pasrah kepada ketentuan Allah dan menerima hakikat itu dengan hati yang terbuka. Inilah inti pati kepada konsep tawakkal yang sebenar.

Galakan Islam Kepada Bidang Pertanian

Bagi umat Islam, kegiatan di dalam bidang ini merupakan di antara cara yang mudah bagi mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala di samping mendapat manfaat atau pendapatan yang halal daripada hasil jualan keluaran pertanian.

Ulama berselisih pendapat mengenai usaha yang paling baik, sama ada usaha daripada perniagaan, pertukangan ataupun pertanian. Menurut Imam an-Nawawi dalam Shahîhnya, pekerjaan yang baik dan afdhal ialah pertanian. Inilah pendapat yang shahîh kerana ia merupakan hasil tangannya sendiri dan ia juga memberi manfaat kepada diri sendiri, umat Islam dan kepada binatang. Di samping itu bidang pertanian juga membawa para petani kepada sifat tawakkal. (Al-Majmû‘: 9/54 & Shahîh Muslim Syarh Imam an-Nawawi)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan mengenai pahala dan ganjaran orang-orang yang menjalankan bidang pertanian ini sebagaimana riwayat Anas bin Malik, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Tiada seorang Muslim pun yang bertani atau berladang lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia ataupun binatang melainkan bagi dirinya daripada tanaman itu pahala sedekah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tiada seorang Muslim menanam dan bertani maka hasil pertaniannya itu dimakan oleh manusia, binatang dan sebagainya melainkan dia akan menerima ganjaran pahala sedekah”ِ –ِ dalam riwayat yang lain: “Melainkan dia akan menerima pahala sedekah hingga Hari Kiamat”. (Hadis riwayat Muslim)

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dan Imam an-Nawawi bahawa hadis-hadis yang dinyatakan di atas adalah penjelasan mengenai fadhilat (kelebihan) bercucuk tanam dan ganjaran bagi orang yang melakukannya itu berterusan sehingga Hari Kiamat selagi tanaman itu masih kekal.

Dalam hadis marfû‘ pula, daripada riwayat Abu Ayyub al-Anshari, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman melainkan Allah ‘Azza wa Jalla menetapkan baginya ganjaran pahala sebanyak jumlah yang dihasilkan oleh tanaman tersebut.” (Hadis riwayat Ahmad)

Oleh itu mengusahakan hasil bumi dengan bertani dan mengerjakan tanah terbiar merupakan salah satu cara mendapatkan punca pendapatan yang halal lagi sah di sisi Islam.

Menurut sejarah Islam, setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah, Baginda telah menggalakkan agar usaha pertanian ditingkatkan. Bumi Madinah yang ketika itu sememangnya subur perlu diusahakan dengan lebih giat. Dalam hubungan ini, kaum Muhajirin yang berhijrah bersama Baginda diaturkan supaya bekerjasama dengan kaum Anshar iaitu penduduk asal Madinah di dalam usaha-usaha pertanian.

Hal seumpama ini sesuai dengan riwayat Rafi‘ bin Hadij bahawa di zaman Rasulullah telah diingatkan oleh beberapa orang bapa-bapa saudara Baginda bahawa Rasulullah melarang daripada perkara yang memberi manfaat kepada kami, lalu kami bertanya: Apakah perkara tersebut?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia mengerjakannya dengan bertani atau (jika dia tidak berupaya melakukannya) hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan dan janganlah dia menyewakannya (sekalipun) hanya sepertiga, seperempat dan makanan asasi.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Hakikat betapa Islam sangat menggalakkan sektor pertanian jelas daripada peruntukan yang ada di dalam syari‘ah. Sebagai contoh, sesiapa sahaja yang mengusahakan tanah terbiar dengan jayanya akan mendapat hak milik kekal terhadap tanah berkenaan berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. Peruntukan ini jelas memberi insentif kepada pengusaha-pengusaha bidang pertanian yang mengusahakan tanah terbiar atau mati. Perkara ini disebutkan dalam riwayat Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang memakmurkan (mengusahakan) tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa maka dia lebih berhak terhadapnya”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun kita telah pun mempunyai peraturan atau undang-undang tanah, maka tidaklah boleh menggunakan tanah dengan sewenang-wenangnya melainkan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa.

Menanam Tanaman Haram Dan Membahayakan

Walaupun Islam sangat menggalakkan sektor pertanian, namun Islam melarang aktiviti-aktivit pertanian yang dijalankan bagi tujuan yang meragukan atau tidak sah menurut Islam seperti menanam anggur bagi tujuan membuat minuman keras, penjualan dan pengeluaran bahan-bahan yang memudaratkan manusia seperti penanaman ganja serta lain-lain tumbuhan yang mengandungi racun.

Dalam kitab al-Majmû‘ ada membincangkan kedudukan sama ada boleh atau tidak seseorang menjual anggur yang ditanamnya kepada seseorang yang diketahui akan atau kelazimannya menggunakan anggur itu bagi membuat minuman keras. Pendapat yang shahîh adalah haram bagi orang berkenaan menjual anggurnya kepada pembeli tersebut. (Al-Majmû‘: 9/334) Walaupun menanam anggur pada asasnya diharuskan tetapi apabila jelas hasilnya itu akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan, maka para petani perlulah berhati-hati ketika menjualnya supaya ia bukan penyumbang kepada perkara yang diharamkan itu.

Begitulah kedudukannya dengan lain-lain hasil pertanian seperti ternakan. Prinsip ini hendaklah dipegang demi memastikan bahan-bahan yang dikeluarkan itu tidak disalahgunakan bagi tujuan-tujuan yang tidak diharuskan oleh syara‘.

Pemasaran Hasil Pertanian

Kegiatan memonopoli dan menyorok sesuatu barangan (ihtikâr) terutamanya barang makanan adalah tidak dibenarkan dalam Islam. Dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasalam Baginda bersabda:

Maksudnya: “Jangan melakukan perbuatan memonopoli (kerana) perbuatan itu dilakukan oleh orang-orang yang berdosa”. (Hadis riwayat Muslim)

Islam melarang kegiatan orang tengah yang mengambil kesempatan di dalam urusan pemasaran sesuatu barangan termasuk barang makanan. Urusniaga ini dinamakan talaqqa ar-rukbân iaitu kegiatan menemui para pengeluar barangan termasuk para petani di luar bandar dan membeli barangan mereka sebelum mereka sampai ke bandar atau pekan dan mengetahui harga pasaran sebenar. Dalam makna yang lain, membeli dengan harga yang murah dan menjualnya dengan harga yang mahal, sehingga akhirnya akan menjejas kepentingan pengguna. Menurut Khathib asy-Syarbini sah urusniaga tersebut jika tidak bermaksud sedemikian. (Mughni al-Muhtâj: 2/36) Perkara ini adalah berdasarkan larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksdunya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam bersabda: “Jangan kamu membeli dagangan secara rukbân (barang dagangan yang masih berada di atas kenderaan untuk dijual).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)

Kesimpulan

Penjelasan di atas menggambarkan bahawa Islam memberi perhatian dan sangat menggalakkan sektor pertanian. Malahan Islam memberi panduan dalam memastikan segala aktiviti pertanian iaitu bermula daripada projek dimulakan hinggalah kepada proses pemasaran dan jualan menurut garis panduan yang jelas dan adil demi mengelakkan perbalahan di antara penjual dan pembeli.

Walau bagaimanapun, perhatian tidak seharusnya diberikan hanya kepada sektor ini dengan mengabaikan kepentingan sektor-sektor lain kerana matlamat utama kita ialah untuk mencapai keseimbangan di dalam segala bidang bagi memenuhi tuntutan fardhu kifâyah dalam rangka membangun negara dan umat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10911

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص