Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات٠ مشاهدة

Sedekah: Kualiti Atau Kuantiti, Mana Yang Lebih Utama?

الجواب

Ramadhan merupakan bulan rahmat, bulan keampunan, bulan diturunkan di dalamnya al-Qur’an, bulan jihad dan bulan dilipatgandakan ganjaran pahala. Oleh kerana keistimewaan yang terdapat pada bulan Ramadhan itu, banyak jenis ibadat yang disyariatkan yang boleh dilakukan oleh setiap orang untuk meraih ganjaran yang berlipat ganda, sama ada ibadat fardhu ataupun ibadat yang sunat. Antara ibadat sunat yang digalakkan di bulan ini ialah amalan bersedekah.

Apa yang dimaksudkan dengan sedekah dari pandangan syara‘ ialah pemberian semasa hidup kepada seseorang tanpa ada tukar ganti atas dasar mendekatkan diri kepada Allah. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 26/323)

Berdasarkan pengertian tersebut, bahawa apa juga jenis pemberian berupa mata benda tanpa ada bayaran balik sebagai imbalan atas pemberian itu melainkan yang diharapkan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka itu disebut sebagai sedekah, seperti sedekah wajib, sedekah sunat, waqaf, derma, sumbangan dan sebagainya.

Mengapa kita sebut ‘mata benda’? Kerana ianya akan membezakan antara sedekah dengan pinjaman. Pinjaman ialah pemilikan kepada seseorang sesuatu manfaat akan tetapi mata bendanya tetap menjadi milik orang yang meminjamkan.

Mengapa pula kita sebut ‘atas dasar mendekatkan diri kepada Allah’? Kerana yang demikian itu akan membezakan di antara sedekah dengan hibah dan hadiah. Apabila sesuatu pemberian itu dengan tujuan untuk mengerat dan merapatkan hubungan maka itu disebut sebagai hibah. Manakala jika ianya dimaksudkan untuk memuliakan orang yang diberi maka itu dinamakan hadiah. Jelas di sini bahawa titik perbezaan di antara sedekah dengan hibah dan hadiah adalah dari aspek niat atau tujuan sesuatu pemberian.

Namun pada kebiasaannya perkataan sedekah itu di kalangan para ulama fiqh lebih kerap dimaksudkan kepada sedekah sunat. Dalam istilah masyarakat kita selain sedekah ianya juga disebut sebagai derma atau sumbangan. Kedua-dua istilah derma dan sumbangan itu selama mana dimaksudkan oleh pelakunya, yakni yang memberi derma atau sumbangan sebagai amalan untuk merapatkan hubungan dirinya dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan mencari keredhaanNya maka yang demikian itu dikategorikan sebagai sedekah. Sementara sedekah wajib lebih dikenali dengan istilah zakat.

Memberi sedekah itu hukumnya sunat. Banyak terdapat dalil-dalil syara’ yang memperuntukkan suruhan dan galakan bersedekah. Antaranya sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah) Allah jualah yang menyempit dan meluaskan (pemberian rezeki), dan kepadaNya kamu semua dikembalikan.” (Surah al-Baqarah: 245)

Firman Allah di dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: “Dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan berikanlah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Muzzammil: 20) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ada menyebutkan mengenai suruhan dan galakan bersedekah itu, sebagaimana Baginda bersabda:

Maksudnya: “Mana-mana orang mukmin yang memberi makanan kepada seorang mukmin yang lain kerana kelaparan, maka Allah akan memberi makanan kepadanya pada Hari Kiamat daripada buah-buah syurga. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi minuman kepada seorang mukmin yang lain kerana kehausan, maka Allah akan memberi minuman kepadanya pada Hari Kiamat daripada khamar syurga yang termetri bekasnya. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakaian kepada seorang mukmin yang lain kerana tidak berpakaian, maka Allah akan memberi pakaian kepadanya daripada pakaian syurga yang berwarna hijau.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

Daripada dalil-dalil yang disebutkan dapatlah ditanggapi bahawa suatu pemberian kerana Allah akan dibalas dengan sebaik-baik balasan atau ganjaran daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan sudah tentu balasan itu tidak akan diperolehi kecuali melalui amalan-amalan berkebajikan yang telah dilakukan oleh seseorang hamba, baik amalan tersebut berbentuk sumbangan harta ataupun tenaga. Apabila Allah berjanji untuk membalas amalan kebaikan itu, maka ini menunjukkan betapa amalan tersebut adalah suatu yang dituntut oleh syara‘, dan ini termasuklah memberi sedekah.

Sedekah itu boleh dilakukan pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan, kerana di bulan inilah yang lebih dituntut untuk memperbanyakkan sedekah sebagai mengikut sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang paling pemurah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan orang yang paling pemurah (dermawan), dan Baginda lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril bertemu Baginda. Jibril bertemu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pada setiap malam Ramadhan, lalu Baginda membacakan al-Qur’an. Sungguh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah seorang yang lebih pemurah (dermawan) dalam kebaikan daripada angin yang diutus.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan an-Nasa’i)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya, sedekah manakah yang lebih afdhal? Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

Maksudnya: “Sedekah di bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Kualiti atau Kuantiti?

Antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam amalan bersedekah adalah kualiti atau mutu barang yang disedekahkan. Jadi, apakah ciri-ciri yang memenuhi kualiti yang dikehendaki di sini?

Terdapat tiga perkara yang mesti dipenuhi untuk menjadikan pemberian sedekah itu berkualiti:

Pertama: Mestilah barang yang disedekahkan itu daripada kategori yang bagus dan baik.

Sebagaimana yang disebutkan terdahulu, bahawa bersedekah merupakan ibadat untuk merapatkan hubungan kita dengan Allah yang Maha Luas pemberianNya dan untuk mensyukuri segala nikmat yang dianugerahkan kepada kita. Adalah tidak layak jika apa yang dipersembahkan kepadaNya terdiri daripada benda-benda yang kita sendiri tidak sudi menerimanya.

Oleh itu, kalau hendak memberi sedekah biarlah daripada jenis yang kita sendiri senang hati jika kita yang menerimanya, bukannya daripada jenis yang kita sendiri tidak senang hati jika kita yang menerimanya, malahan hanya menerimanya kerana terpaksa, kerana menjaga hati pemberinya.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang pemberian sedekah dengan benda yang tidak baik, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu senghaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” (Surah al-Baqarah: 267)

Kedua: Perkara yang penting sekali ialah sedekah itu daripada sesuatu yang halal yang tidak bercampur dengan perkara syubhah.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak seseorang itu memberikan sedekah daripada harta yang baik - dan Allah tidak akan menerima kecuali yang baik - melainkan Allah yang Maha Pengasih akan menerima sedekah itu dengan tangan kananNya, sekalipun sedekah itu hanya berupa sebiji kurma. Lalu di tangan Allah yang Maha Pengasih sedekah itu bertambah-tambah sehingga menjadi lebih besar daripada gunung, sebagaimana di antara kamu memelihara (membesarkan) anak kudanya atau anak untanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam an-Nawawi salah seorang ulama terkemuka dalam mazhab Syafi‘e telah menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan “الطيب” (yang baik) di dalam hadis di atas ialah sesuatu yang halal.

Di dalam hadis yang lain, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci, bersih daripada segala kekurangan), dan Dia tidak menerima kecuali yang baik.

Dan Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada para Rasul.”

Allah berfirman (tafsirnya): “Wahai rasul-rasul! Makanlah daripada benda-benda yang baik-baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Amat Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mu’minûn: 51)

Allah berfirman lagi (tafsirnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.” (Surah al-Baqarah: 172)

Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan tentang seorang yang melakukan perjalanan jauh, yang kusut rambutnya lagi berdebu, dia menadahkan kedua tangannya ke langit, seraya berdoa: “Ya Tuhanku! Ya Tuhanku!”, sedangkan makanannya daripada yang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan diberi makan dengan yang haram, lalu bagaimana doanya itu diperkenankan?” (Hadis riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)

Dalam mengulas hadis di atas, al-Imam an-Nawawi menegaskan bahawa ianya memberi galakan atau dorongan supaya apa yang dinafkah atau dibelanjakan itu hendaklah daripada benda yang halal, dan melarang daripada menafkahkan benda-benda yang tidak halal. Apa jua yang diminum, dimakan, dipakai dan seumpamanya pula hendaklah daripada benda yang halal semata-mata yang tidak ada keraguan atau syubhah padanya.

Daripada ulasan di atas, dapatlah diambil pengajaran bahawa cara membelanjakan harta di jalan Allah itu salah satunya ialah dengan jalan bersedekah. Oleh itu, adalah sewajarnya benda yang disedekahkan itu daripada yang halal semata-mata, tanpa bercampur dengan elemen-elemen yang meragukan atau syubhah. Ini merupakan tuntutan Allah dan RasulNya sebagaimana jelas di dalam hadis-hadis yang disebutkan tadi; sesungguhnya Allah itu tidak akan menerima kecuali sesuatu yang baik dan sesuatu yang halal.

Ketiga: Ianya terdiri daripada barang yang disayangi oleh pemberi sedekah.

Sunat hukumnya bagi seseorang mengeluarkan sedekah atau derma daripada benda-benda yang disukainya (Fath al-‘Allâm: 3/512). Ini jelas sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.” (Surah Âli ‘Imran: 92)

Sebenarnya di sinilah juga merupakan ujian yang berat bagi orang yang mengaku dirinya beriman. Seorang yang tidak sanggup mengeluarkan, membelanjakan atau mendermakan sesuatu yang amat disayangi atau disukainya belumlah mencapai taraf keimanan yang tinggi, belumlah dikatakan mempunyai jiwa yang baik.

Ketiga-tiga komponen yang telah disebutkan perlu ada pada jenis mata benda yang disedekahkan untuk dikategorikan sebagai sedekah berkualiti. Adapun kuantiti atau sedikit dan banyak sesuatu pemberian itu bukanlah menjadi ukuran.

Oleh itu, tidak semestinya pemberian itu diberikan dalam jumlah atau bilangan yang banyak, malahan sunat bagi seseorang bersedekah atau menderma walaupun dengan bilangan yang sedikit. Tidak perlu malu untuk bersedekah atau menderma dengan jumlah wang yang kecil atau dengan sesuap makanan umpamanya, kerana yang demikian itu amat bernilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana firmanNya:

Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah az-Zalzalah: 7)

Di dalam sebuah hadis shahîh, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan separuh buah kurma.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas memberi dorongan untuk bersedekah walaupun dengan mata benda yang sedikit bilangannya, seperti dengan hanya separuh buah kurma, kerana yang demikian itu sungguhpun sedikit tetapi mampu untuk menyelamatkan tuannya daripada api neraka.

Perkara Yang Merosakkan Sedekah

Antara elemen terpenting dalam amalan bersedekah adalah keikhlasan. Bersedekah biarlah terbit daripada hati nurani yang bersih dan ikhlas untuk membantu orang lain. Oleh itu, perlu ada etika pada diri orang yang bersedekah atau menderma, antaranya jangan mengungkit-ungkit dan menyakiti orang yang menerima sedekah atau derma.

Apabila seseorang mengungkit-ungkit kembali pemberian sedekah yang telah dihulurkannya, nyatalah bahawa dia tidak memberi dengan keikhlasan, tidak memberi dengan hati yang bulat kerana Allah.

Sebagai contoh, seorang yang telah menghulurkan derma untuk mendirikan masjid, lalu dia diminta sekali lagi untuk memberi bantuannya. Tiba-tiba diungkit-ungkit pemberiannya yang dahulu: “Mengapa datang lagi, bukankah tempoh hari saya sudah menderma?”. Padahal kalau dia mahu, kalau dia ikhlas beberapa kali memberi derma pun tidak menjadi masalah.

Begitu juga halnya dengan menyakiti orang yang diberi, kelakuan seperti ini tidak sekali-kali menunjukkan keikhlasan si pemberi. Biarpun dia menghulurkan sedekah tetapi diiringi dengan kata-kata yang boleh memalukan dan menyinggung perasaan orang yang diberi, pemberiannya itu tidak mendatangkan apa-apa ganjaran, malahan boleh mendatangkan dosa.

Para ulama bersepakat mengatakan bahawa perbuatan mengungkit-ungkit kembali sedekah, derma atau sumbangan yang telah diberikan dan menyakiti orang yang menerima pemberian tersebut adalah haram hukumnya dan merosakkan pahala amal sedekahnya itu (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 26/340). Hal ini telah disebutkan dalam al-Qur’an, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana menunjuk-nunjuk kepada manusia (ria), dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” (Surah al-Baqarah: 264)

Perkara mengungkit-ungkit pemberian, sedekah atau derma dan menyakiti hati orang yang diberi sedekah atau derma, termasuk dalam golongan orang yang rendah akhlak. Orang seperti ini tidak sedar dan insaf bahawa kekayaan dan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya, tidaklah ada ertinya kalau dia terputus hubungan dengan masyarakat, kerana antara tujuan bersedekah, menderma, menghulur sumbangan ialah sebagai jalan penghubung dan pengerat sesama manusia.

Sifat ria atau sifat menunjuk-nunjuk juga boleh menjadi punca rosaknya sesuatu pemberian sedekah. Sedekah tidak ada apa-apa nilai jika ianya dihulurkan hanya untuk mendapat pujian orang, hanya untuk memberitahu orang bahawa dia seorang yang pemurah, padahal jika tidak dilihat orang dia tidak akan mengeluarkan sedekah. Oleh itu, ikhlas merupakan kunci kejayaan untuk mendapat ganjaran daripada amalan bersedekah.

Sebagai suatu kesimpulan, segala apa yang dikeluarkan atau diberikan dengan niat mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala, sama ada ianya dinamakan sebagai sedekah, derma, sumbangan atau seumpamanya, adalah penting untuk diperhati aspek kualiti benda atau barang yang diberikan itu.

Pendek kata, kualiti adalah menjadi ukuran bukannya kuantiti. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita derma atau sedekahkan, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Dan suatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.” (Surah Âli ‘Imran: 92)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10920

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص