Harta Kanak-Kanak Dan Janin: Adakah Diwajibkan Zakat?
الجواب
Harta merupakan di antara nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya, dan adalah menjadi tanggungjawab setiap hamba yang dikurniakan harta itu pula untuk mentadbirnya dengan baik dan bijaksana, seperti membelanjakannya kepada perkara-perkara yang dibenarkan, memberi nafkah kepada orang yang di bawah tanggungan, tidak membazir, menyalurkannya sebagai sumbangan atau bantuan dan apa-apa jua yang patut dilakukan mengikut landasan syara‘ termasuklah mengeluarkan zakatnya.
Oleh itu, setiap hamba Allah mempunyai tanggungjawab tersendiri terhadap harta benda di bawah penyeliaannya dan seterusnya berperanan untuk menunaikan tanggungjawab tersebut. Tanggungjawab yang dipikulkan itu telah diperuntukkan oleh syara‘ melalui dalil-dalil yang diwahyukan kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sama ada al-Qur’an ataupun as- Sunnah, di antaranya:
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil.” (Surah al-Hadîd: 7)
Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” (Surah al-Baqarah: 267)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Setiap pemilik emas dan perak yang tidak mahu menunaikan haknya (mengeluarkan zakatnya) pasti pada Hari Kiamat nanti disediakan baginya kepingan-kepingan besi daripada api, lalu dipanaskan kepingan-kepingan itu di dalam api neraka, kemudian diseterika rusuk, dahi dan punggungnya dengan kepingan-kepingan panas tersebut. Setiap kali kepingan-kepingan itu menjadi sejuk lalu dipanaskan semula. Hal ini terjadi di mana sehari pada masa itu menyamai tempohnya dengan lima puluh ribu tahun, dan (hal itu) terus-menerus berlangsung sehinggalah perhitungan yang dibuat kepada setiap hamba selesai. Maka selepas itu, barulah dia nampak ke manakah jalan yang ditujunya, sama ada ke syurga ataupun ke neraka.” (Hadis riwayat Muslim)
Sehubungan dengan itu, zakat adalah di antara tanggungjawab dan merupakan salah satu komponen dalam rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang merdeka (bukan hamba). Di samping tujuan induk menunaikan zakat itu sebagai menjunjung perintah Allah, ianya juga bertujuan untuk membersihkan pemberinya daripada dosa, supaya harta menjadi berkat dan membantu orang-orang yang memerlukannya daripada golongan yang ditentukan oleh syara‘.
Sebagaimana dimaklumi bahawa kanak-kanak merupakan golongan yang tidak termasuk di dalam kategori orang mukallaf. Maka tuntutan syara‘ seperti ibadat sembahyang, puasa dan haji tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak, kerana di antara syarat wajib ibadat itu hendaklah seorang itu mukallaf yakni berakal dan bâligh. Oleh itu, tiga jenis ibadat tersebut tidaklah diwajibkan kepada kanak-kanak yang belum mencapai peringkat umur bâligh. Apakah kewajipan zakat juga mengenakan syarat yang serupa (bâligh)?
Zakat Harta Kanak-Kanak
Sebelum itu, ada baiknya kita mengenali siapa yang dikatakan sebagai kanak-kanak pada pandangan syara‘. Orang yang dikatakan sebagai kanak-kanak itu pada pandangan syara‘ ialah orang yang pada peringkat umur semenjak lahir sehinggalah dia bâligh. Dalam konteks ini termasuklah mereka itu kanak-kanak yang masih mempunyai ibu bapa dan yang tidak mempunyai ibu bapa iaitu anak yatim.
Sebagaimana menurut pendapat yang didokong oleh majoriti para ulama termasuk para ulama dalam mazhab Syafi‘e bahawa kanak-kanak yang mempunyai harta, yang telah mencapai nishâb dan cukup haul, yakni genap satu tahun Hijriyyah adalah wajib dikeluarkan zakat daripada hartanya itu. Ini bermakna, mukallaf bukanlah merupakan sebahagian daripada syarat wajib zakat.
Dalil-Dalil Wajib Zakat Bagi Harta Kanak-Kanak
Hujjah-hujjah yang dikemukakan yang terdiri daripada dalil-dalil syara‘ sebagai sandaran bagi menyokong ketetapan hukum wajib zakat bagi harta kanak-kanak adalah seperti berikut:
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.” (Surah al-Baqarah: 43)
Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).” (Surah at-Taubah: 103)
Berdasarkan kedua-dua ayat di atas jelas bahawa kewajipan zakat itu difardhukan dalam konteks yang umum tanpa membezakan antara kanak-kanak dan orang dewasa atau yang sudah bâligh. Oleh itu, wajib dikeluarkan zakat daripada harta kekayaan kanak-kanak.
Hadis yang diriwayatkan daripada Yusuf bin Mahak, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Usahakanlah harta anak yatim atau harta-harta anak-anak yatim supaya tidak lenyap atau habis oleh sedekah.” (Hadis riwayat asy-Syafi‘e dan al-Baihaqi)
Menurut al-Baihaqi dan an-Nawawi bahawa sanad hadis di atas adalah shahîh, akan tetapi hadis tersebut adalah hadis mursal, kerana periwayat Yusuf bin Mahak adalah seorang tâbi‘în. Namun begitu, Imam asy-Syafi‘e mendokong hadis berkenaan berdasarkan kesamaannya dengan hadis-hadis shahîh yang lain yang secara umum mewajibkan zakat secara mutlak. Di samping itu, ianya juga disokong oleh pendapat yang diriwayatkan daripada para sahabat bahawa mereka mewajibkan zakat ke atas harta kekayaan anak-anak yatim. (As-Sunan al-Kubrâ: 5/524, al-Majmû‘: 5/301)
Berdasarkan petunjuk hadis di atas, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan para wâshi yakni pentadbir harta anak yatim khasnya dan masyarakat Islam umumnya agar berusaha mengembangkan harta kekayaan anak-anak yatim dengan memperniagakan dan mencari keuntungan, dan Baginda memberi peringatan agar tidak membiarkan harta tersebut tanpa diusahakan di mana akhirnya akan habis lenyap oleh sedekah yakni zakat. Maka tidak diragukan lagi bahawa sedekah dapat mengikis harta berkenaan sehingga habis dengan mengeluarkan sedekah daripada harta tersebut. Oleh yang demikian, jelas kepada kita bahawa zakat adalah dikenakan terhadap harta kekayaan kanak-kanak.
Selain itu, hujjah yang dikemukakan ialah bila dilihat dari sudut rasional mengapa diwajibkan zakat, tujuan zakat itu ialah untuk membantu melapangkan kesusahan golongan fakir miskin melalui kekayaan orang-orang yang mempunyai harta. Di samping itu juga untuk mensyukuri nikmat-nikmat Allah serta membersihkan harta kekayaan tersebut. Harta kekayaan kanak-kanak itu pula boleh digunakan untuk membayar nafkah dan denda seperti membayar denda bagi nilai sesuatu benda yang dibinasakannya. Maka dengan demikian, harta kekayaan kanak-kanak itu tidak terkecuali daripada hukum wajib zakat. (Al-Majmû‘: 5/302).
Jika ada orang berhujjah, bukankah kanak-kanak tidak menanggung dosa dan tidak pula menanggung kewajipan, sebagaimana tersebut di dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Diangkat catatan amal daripada tiga golongan: Daripada kanak-lanak sehingga dia bâligh…” (Hadis riwayat Abu Daud)
Maka sebagai menjawab hujjah tersebut, sememangnya kanak-kanak itu tidak menanggung dosa dan tidak pula diwajibkan zakat ke atas dirinya, akan tetapi pada hakikatnya kewajipan zakat itu adalah dikenakan pada harta kekayaannya. Maka dalam konteks ini, aspek kewajipan zakat itu adalah tertumpu kepada harta kanak-kanak itu bukannya tertumpu kepada batang tubuh dirinya.
Daripada beberapa jumlah dalil-dalil yang dikemukakan itu jelaslah bahawa harta kekayaan yang dimiliki oleh golongan kanak-kanak itu tidak terkecuali daripada dikenakan zakat, dengan mengambil kira ianya memenuhi syarat-syarat yang dikenakan iaitu cukup nishâb dan sampai tarikh matang iaitu setahun Hijriyyah.
Pihak Yang Mengeluarkan Zakat Bagi Kanak-Kanak
Persoalan yang timbul, oleh sebab kanak-kanak tidak dibenarkan untuk mengurus sendiri terhadap hartanya melainkan setelah dia mencapai peringkat umur bâligh dan cerdik serta pandai menjaga hartanya, maka siapakah atau pihak manakah yang berkewajipan mengeluarkan zakat daripada harta kanak-kanak itu?
Dalam hal ini para ulama menegaskan bahawa pihak yang berkewajipan mengeluarkan zakat daripada hartanya ialah wali yakni penjaga harta kanak-kanak berkenaan. Oleh itu, wajib ke atas para penjaga mengeluarkan zakat daripada harta kanak-kanak itu dengan segera apabila mencapai kadar nishâb dan sampai tarikh matang iaitu satu tahun Hijriyyah. Gesaan menyegerakan menunaikan zakatnya itu adalah memandangkan betapa orang-orang yang berhak menerima zakat memerlukan harta zakat itu.
Ingin kita menarik perhatian, apa yang berlaku sekarang ini, terdapat banyak di kalangan para ibu bapa yang membuat tabungan berupa wang tunai untuk anak-anak mereka, sama ada tabungan persendirian di rumah atau melalui institusi-institusi kewangan. Perkara ini merupakan satu fenomena yang baik dan terpuji, dan merupakan satu perancangan yang bijak demi masa hadapan anak-anak mereka. Namun perlu diingat juga, wang yang terkumpul hasil daripada tabungan tersebut apabila mencapai nisab tertentu iaitu $1,759.50 (mengikut nilaian semasa bagi 85 gram emas) dan genap terkumpul selama satu tahun Hijriyyah hendaklah dikeluarkan zakatnya dengan segera.
Zakat Harta Kanak-Kanak Yang Tertunggak
Bagaimana kedudukannya pula jika harta kekayaan kanak-kanak itu tidak dikeluarkan sehinggalah dia bâligh?
Para penjaga atau wali yang tidak pernah mengeluarkan zakat harta kekayaan kanak-kanak yang di bawah peliharaan mereka sehinggalah kanak-kanak itu bâligh, kewajipan berzakat tetap tidak gugur. Maka dalam hal ini wajib ke atas kanak-kanak itu selepas mereka bâligh mengeluarkan sendiri zakat harta kekayaan mereka yang tertunggak itu.
Sementara para penjaga yang melengah-lengahkan daripada mengeluarkan zakat itu tanpa ada sebab yang munasabah hukumnya adalah berdosa. Dengan sebab itu, para penjaga atau wali hendaklah mengeluarkan zakat daripada harta kekayaan kanak-kanak yang di bawah peliharaan mereka dengan segera, kerana melihat kepada kepentingan fakir miskin yang amat memerlukan harta zakat.
Zakat Harta Janin
Siapa yang dikatakan janin? Al-Imam al-Qurthubi ketika mentafsirkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai-bagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu.” (Surah an-Najm: 32)
Al-Imam itu menerangkan bahawa maksud janin itu ialah, kanak-kanak selama mana berada di dalam perut ibunya dikatakan dia sebagai janin.
Memandangkan janin mempunyai kelayakan di segi syara‘ untuk memiliki dan menerima harta melalui waris, wasiat dan sebagainya, apakah harta kekayaan yang telah diperuntukkan untuknya ketika dia masih di dalam kandungan ibunya melalui jalan pemilikan seperti di atas diwajibkan zakat?
Dalam konteks permasalahan ini, para ulama daripada kalangan mazhab Syafi‘e mempunyai pandangan yang berbeza dalam menghikayatkan pendapat al-Imam asy-Syafi‘e. Akan tetapi pendapat al-mazhab (pendapat yang dihikayatkan daripada Imam Syafi‘e yang muktamad atau autentik) ialah pendapat yang mengatakan bahawa harta janin tersebut tidak dikenakan zakat. Alasannya, kerana janin tersebut tidak dapat diyakini adakah apabila dia lahir nanti dia akan hidup. Maka dengan demikian, ketika janin itu masih di dalam kandungan perut ibunya tidak berlaku apa yang dikatakan sebagai pemilikannya terhadap harta berkenaan dalam bentuk yang sempurna dan tetap. Pendapat ini juga merupakan pendapat yang meyakinkan di sisi jumhûr ulama.
Maka berdasarkan pendapat ini, tempoh masa setahun Hijriyyah pengiraan zakat (haul) harta janin berkenaan jika ianya mencapai nishâb yang diwajibkan zakat adalah bermula daripada tarikh dia dilahirkan dalam keadaan hidup, bukannya bermula daripada tarikh harta berkenaan diperuntukkan untuknya.
Kesimpulan
Sebagai suatu kesimpulan, terdapat perbezaan kedudukan hukum zakat di antara harta kekayaan milik kanak-kanak dengan harta yang diperuntukkan untuk janin yang masih dalam kandungan ibunya.
Golongan kanak-kanak yang mempunyai harta yang telah mencapai nishâb dan cukup haul, yakni genap satu tahun Hijriyyah sungguhpun dia belum lagi mukallaf adalah wajib dikeluarkan zakat daripada hartanya itu.
Adapun harta yang cukup nishâb yang diperuntukkan untuk janin tidak dikenakan zakat melainkan setelah berlaku pemilikan yang sempurna dan tetap iaitu selepas dia dilahirkan dalam keadaan hidup, dan dari situ barulah bermula tarikh tempoh penghitungan haul iaitu satu tahun Hijriyyah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10937
دليل الألوان
