Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

I‘Tikâf: Jalan Mencari Ketenangan

الجواب

I‘tikâf ialah suatu ibadat yang mempunyai kelebihan dan hikmat tertentu. Di antaranya ialah membersihkan hati daripada sifat-sifat tercela, menyerahkan diri sepenuhnya beribadat kepada Allah demi memohon darjat yang tinggi dan menjauhkan diri daripada kesibukan dunia yang menghalang daripada mendekatkan diri kepadaNya.

Maksud asal pensyariatan i‘tikâf itu ialah menanti sembahyang untuk berjemaah. Diibaratkan orang yang beri‘tikâf itu seperti malaikat yang tidak melakukan dosa kepada Allah, melakukan segala apa yang disuruh dan bertasbîh malam dan siang. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 5/207)

I‘tikâf tidak terikat dengan waktu bahkan sunat beri‘tikâf pada setiap waktu, sama ada di bulan Ramadhan mahupun di bulan-bulan lain. Cuma ia lebih dituntut dan afdhal jika dilakukan pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan kerana fadhilat beri‘tikâf pada bulan tersebut lebih banyak dibandingkan daripada waktu-waktu pada bulan-bulan lain.

Pengertian I‘tikâf

I‘tikâf dari segi bahasa bermaksud diam dan duduk berhenti pada sesuatu tempat, tidak kira sama ada tempat itu baik atau sebaliknya. Manakala menurut pengertian syara‘ i‘tikâf bermaksud duduk di dalam masjid oleh seseorang yang tertentu dengan niat. (Al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 2/693)

Tuntutan I‘tikâf

I‘tikâf disyariatkan dalam Islam melalui al-Qur’an, as-Sunnahِ dan ijmâ‘ ulama.

Di antara dalil-dalil yang menunjukkan tentang tuntutan i‘tikâf itu sebagaimana Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri‘tikâf di dalam masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 187)

Allah berfirman di dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: “Dan ingatlah ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk ibadat haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Maqâm Ibrahim (tempat berdiri Nabi Ibrahim) itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah rumahKu (Ka‘bah dan Masjid al-Haram daripada segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf dan orang-orang yang beri‘tikâf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang ruku‘ dan sujud.” (Surah al-Baqarah: 125)

Dalil daripada as-Sunnah pula ialah hadis riwayat Ibnu ‘Umar, Anas dan ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhum:

Maksudnya: “Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma telah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam beri‘tikâf pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain:

Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha iaitu isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam beri‘tikâf pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Baginda melakukan amalan i‘tikâf tersebut sehingga Baginda wafat. Kemudian para isteri Baginda meneruskan amalan i‘tikâf selepas itu”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ulama sepakat mengenai pandangan az-Zuhri yang mengatakan: “Sungguh anih manusia, bagaimana boleh mereka meninggalkan i‘tikâf. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi Baginda tidak pernah meninggalkan i‘tikâf sehingga wafat”. I‘tikâf juga terdapat di dalam syariat Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam (al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 2/694) sebagaimana dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah rumahKu (Ka‘bah dan Masjid al- Haram daripada segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf dan orang-orang yang beri‘tikâf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang ruku‘ dan sujud.” (Surah al-Baqarah: 125)

Hukum Dan Waktu I‘tikâf

Hukum i‘tikâf adalah sunat mu’akkad. Ia dilakukan pada setiap waktu sama ada dalam bulan Ramadhan ataupun pada bulan-bulan lain. Afdhal melakukan i‘tikâf itu pada sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadhan (Nihâyah al-Muhtâj: 3/214) sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Menurut Imam asy-Syafi‘e dan para pengikutnya, bagi orang yang ingin mendapatkan pahala sunnah (mengikut perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan i‘tikâf 10 terakhir bulan Ramadhan) sayugialah dia masuk masjid dengan niat i‘tikâf sebelum masuk matahari hari ke 20 (malam ke 21) Ramadhan dan keluar daripada masjid pada malam Hari Raya selepas masuk matahari. Malahan lebih afdhal lagi jika dia kekal di dalam masjid hingga malam Hari Raya dan sembahyang Hari Raya serta keluar pada Hari Raya tersebut. (Raudhah: 2/255 dan al-Majmû‘: 6/469)

Bagi sesiapa yang beri‘tikâf sehari semalam atau lebih hendaklah memulakan i‘tikâf itu (di masjid) sebelum matahari terbenam dan keluar dari masjid setelah masuk matahari hari berikutnya. (Al-Majmû‘: 6/483)

Kategori I‘tikâf

I‘tikâf terbahagi kepada dua iaitu i‘tikâf sunat dan i‘tikâf wajib. I‘tikâf sunat ialah berniat i‘tikâf sunat kerana Allah Ta‘ala sama ada dengan masa sebentar (lahzhah), satu hari, satu hari satu malam atau sebagainya. Manakala i‘tikâf wajib hanya dengan cara bernazar untuk melakukannya sebagaimana pendapat jumhûr ulama mengenainya. (Al-Mausû‘ah al- Fiqhiyyah: 5/208)

Rukun I‘tikâf

Rukun i‘tikâf ada empat perkara:

1. Mu‘takif iaitu orang yang mengerjakan i‘tikâf. Syarat bagi orang yang beri‘tikâf itu hendaklah beragama Islam, berakal, suci daripada junub, haidh dan nifas. I‘tikâf itu sah dilakukan oleh lelaki, perempuan dan kanak-kanak mumayyiz.

2. Mu‘takaf fîh iaitu tempat melakukan i‘tikâf. Tempat i‘tikâf disyaratkan di dalam masjid kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, isteri dan para sahabat Baginda hanya beri‘tikâf di dalam masjid. Tidak ada perbezaan dari segi hukum beri‘tikâf di dalam masjid, sama ada di atas bumbung (suthuh), beranda dan halaman (ruhbah) masjid. (Tuhfah al-Muhtâj: 3/464 dan Nihâyah al-Muhtâj: 3/216) Imam asy-Syafi‘e dan pengikutnya bersepakat mengenai menara masjid yang terletak di halaman masjid yang dinaiki oleh bilal dan lainnya juga tidak membatalkan i‘tikâf. (Al-Majmû‘: 6/494-496).

Menurut pengarang kitab Tuhfah beri‘tikâf adalah lebih utama dilakukan di masjid jâmi‘ (masjid tempat mendirikan sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah) berbanding dengan masjid lain. Ini adalah untuk mengelak daripada bercanggah (khilâf) dengan pendapat yang mewajibkannya. Lagipun berjemaah di masjid jâmi‘ lebih ramai dan tidak perlu lagi keluar untuk bersembahyang Jumaat. (Tuhfah al-Muhtâj: 3/465).

Mengikut qaul jadîd pula, seorang perempuan tidak sah beri‘tikâf di masjid rumahnya (bilik khas sembahyang di dalam rumah) sebab ia bukan masjid. Buktinya ialah masjid rumah tidak dilarang orang yang berjemaah duduk di dalamnya untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang di dalam masjid seperti berhenti bagi orang yang junub di dalam masjid dan sebagainya. Di samping itu isteri-isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga melakukan i‘tikâf di dalam masjid. (Tuhfah al-Muhtâj: 3/366)

Menurut pendapat yang ashah di kalangan ulama Syafi‘iyyah, (al- Majmû‘: 6/473) seseorang yang bernazar untuk beri‘tikâf di dalam mana-mana masjid selain daripada Masjid al-Haram, Masjid an- Nabawi dan Masjid al-Aqsha, maka nazar itu adalah harus bahkan dia boleh melakukannya di mana-mana masjid kecuali jika dia bernazar untuk beri‘tikâf di dalam salah sebuah daripada tiga masjid (iaitu Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsha), maka dia wajib beri‘tikâf di dalam masjid yang ditentukan itu. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Umar Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Umar bin al-Khaththab telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya: “Aku telah bernazar pada ketika zaman Jahiliyah untuk beri‘tikâf satu malam di Masjid al-Haram.” Baginda menjawab: “Laksanakanlah nazar engkau.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kesimpulannya, ulama mazhab Maliki dan Syafi‘e mengharuskan i‘tikâf di mana-mana masjid, sementara ulama mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkannya di masjid jâmi‘. Manakala jumhûr ulama tidak mengharuskan i‘tikâf di masjid rumah (bilik khas sembahyang di dalam rumah) sedangkan ulama mazhab Hanafi pula mengharuskan demikian kepada orang perempuan. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 699-700)

3. Al-lubtsu iaitu berhenti di dalam masjid. Menurut pendapat ashah ulama Syafi‘e disyaratkan tempoh berhenti itu panjang sedikit daripada masa thuma‘ninah di dalam sembahyang sama ada dalam keadaan berdiri, duduk atau sambil berjalan di ruangan masjid. Tidak memadai sekadar thuma‘ninah atau kurang daripada itu. Bahkan lama berhenti itu tidak ditentukan masanya sehinggakan berniat nazar i‘tikâf bagi tempoh sebentar atau selama satu jam, sah i‘tikâf tersebut. Menurut Imam Syafi‘e afdhal berniat i‘tikâf selama satu hari bagi mengelak daripada khilâf (percanggahan ulama).

Sunat berniat i‘tikâf untuk mendapatkan pahala bagi orang yang melintas (lalu) dalam masjid seperti masuk dari sebuah pintu dan keluar dari pintu lain dan sebagainya, dan tidak memadai i‘tikâf itu bagi orang lalu dalam masjid tanpa niat.

4. Niat: Ketika hendak memulakan i‘tikâf disyaratkan berniat i‘tikâf. Ia tidak sah dilakukan tanpa niat sama seperti sembahyang dan ibadat-ibadat lain kerana niat itu adalah ibadat sama ada ibadat itu berbentuk wajib seperti nazar atau selainnya. Matn kitab al-Minhâj menyebutkan bahawa disyaratkan niat ketika memulakan i‘tikâf dan begitu juga ketika melakukan i‘tikâf nazar (wajib). Ini bertujuan untuk membezakan dengan i‘tikâf sunat, sebagaimana dinyatakan oleh Khathib asy-Syarbini pengarang kitab Mughni al-Muhtâj. (1/453).

Menurut Imam an-Nawawi pula, memadai i‘tikâf jika seseorang berniat i‘tikâf secara muthlaq (tidak menentukan masa i‘tikâf) sekalipun lamanya satu hari atau satu bulan. Dalam perkara tidak menentukan masa i‘tikâf ini, jika dia keluar daripada masjid kemudian masuk semula ke dalam masjid, hendaklah dia memperbaharui niat i‘tikâfnya sekalipun keluar kerana qadha hajat atau sebagainya. Kecuali ketika dia keluar untuk mengqadha hajat itu dia berazam untuk masuk semula, tidaklah perlu memperbaharui niatnya. (Al-Majmû‘: 6/487 dan Mughni al-Muhtâj: 1/453).

Bagi i‘tikâf yang ditentukan masanya seperti berniat i‘tikâf sunat selama satu hari atau satu bulan atau berniat nazar selama beberapa hari (tidak ditentukan masanya) dan tidak pula disyaratkan berturut-turut, dalam perkara ini menurut qaul ashah, tidak wajib memperbaharui niat jika seseorang itu hendak keluar bagi tujuan qadha hajat dan masuk semula ke dalam masjid. Kecuali bagi tujuan yang lain (selain qadha hajat) sekalipun masanya itu panjang atau sekejap, disyaratkan memperbaharui niat i‘tikâf itu. (Al-Majmû‘: 6/487 dan Mughni al-Muhtâj: 1/453).

Begitu juga bagi i‘tikâf nazar beberapa hari dengan berturut-turut, jika dia keluar masjid sehingga memutuskan hari berturut-turut itu dengan tujuan yang lain (selain qadha hajat atau mandi junub kerana bermimpi) disyaratkan baginya memperbaharui niat. Akan tetapi, jika dia keluar bagi tujuan qadha hajat atau mandi junub kerana bermimpi tanpa memutuskan hari berturut-turut tersebut, tidaklah wajib memperbaharui niatnya. (Al-Majmû‘: 6/487-488 dan Mughni al- Muhtâj: 1/454)

Puasa Bagi Orang Yang Beri‘tikâf

Menurut Imam Syafi‘e dalam qaul jadîd dan para pengikutnya bahawa harus juga melakukan i‘tikâf itu tanpa berpuasa, akan tetapi afdhal melakukan i‘tikâf itu dengan berpuasa. I‘tikâf juga sah di waktu malam sahaja dan pada hari-hari Tasyriq dan Hari Raya. Walau bagaimanapun menurut kebanyakan ulama Syafi‘e puasa bukanlah syarat bagi sahnya i‘tikâf.

Jika seseorang itu bernazar melakukan i‘tikâf satu hari atau lebih dengan berpuasa, maka memadailah dia melakukan i‘tikâf dengan puasa tanpa khilâf (percanggahan) ulama dan tidak diasingkan puasa itu daripada i‘tikâf. Begitulah juga sebaliknya. Manakala jika seseorang itu bernazar i‘tikâf dan puasa atau bernazar i‘tikâf dengan berpuasa, bolehkah kedua-duanya disatukan? Menurut pendapat yang ashah di kalangan mazhab Syafi‘e memadai keduanya disatukan dan itulah pendapat jumhûr dan nash daripada perkataan Imam as-Syafi‘e. (Al-Majmû‘: 6/475-477) Bahkan wajib disatukan sebagaimana disebut dalam matn kitab Mughni al-Muhtâj (1/453).

I‘tikâf Bersyarat

Seseorang yang bernazar untuk melakukan i‘tikâf selama beberapa hari dan disyaratkan dalam nazarnya itu bahawa dia akan keluar sekiranya dihinggapi penyakit, kerana menziarahi pesakit atau keluar kerana mencari ilmu, maka sah syarat-syaratnya itu. Oleh itu dia dibolehkan keluar melakukan perkara-perkara yang disyaratkan dalam nazarnya tetapi hendaklah dia bersegera kembali beri‘tikâf sebaik sahaja kerja-kerja itu selesai. Sekiranya dia lambat kembali tanpa uzur, batal i‘tikâfnya dan dia hendaklah memulai semula i‘tikâfnya dan wajib memperbaharui niat i‘tikâf tersebut. (Al-Majmû‘: 6/520 & 488)

Hukum Mengenai Perempuan Yang Beri‘tikâf

Perempuan sah melakukan i‘tikâf sebagaimana para isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya. Untuk jelasnya beberapa hukum mengenai perempuan yang beri‘tikâf sebagaimana disebutkan dalam kitab al-Majmû‘ (al-Majmû‘: 6/470-471):

1. Tidak sah dan tidak harus seorang perempuan beri‘tikâf tanpa izin daripada suami. Jika isteri bernazar untuk melakukan i‘tikâf dengan kebenaran suami, sebagai contoh ia ditentukan selama 2 hari, menurut Imam an-Nawawi harus bagi isteri tersebut masuk ke masjid tanpa memerlukan izin daripada suami, kerana kebenaran nazar itu adalah izin untuk masuk ke masjid. Jika nazar tersebut tidak ditentukan dengan masa, maka tidak harus bagi isteri masuk ke masjid tanpa izin suami.

2. Jika seorang isteri masuk masjid melakukan i‘tikâf sunat tanpa izin suami atau sebaliknya, maka harus bagi suami melarang meneruskan i‘tikâf itu tanpa khilâf (percanggahan ulama).

Manakala isteri yang berniat i‘tikâf dengan nazar tanpa izin suami, maka suami boleh melarang isteri daripada melakukan i‘tikâf itu. Jika isteri meneruskan i‘tikâfnya itu, maka bagi suami berhak melarang atau menegah daripada meneruskan i‘tikâf tersebut. Sebaliknya jika isteri diizinkan oleh suami melakukan i‘tikâf tersebut sama ada dengan ditentukan masa i‘tikâf atau sebaliknya dan i‘tikâf itu disyaratkan dengan berturut-turut maka tidak harus bagi suami menegah isteri daripada berbuat demikian, kerana penentuan masa tidak harus diakhirkan dan syarat berturut-turut itu tidak harus diselang-selikan. Demikian juga tidak harus membatalkan ibadat wajib ketika melakukan ibadat tanpa uzur.

Menurut pendapat al-ashah, jika isteri mendapat izin melakukan i‘tikâf tanpa menentukan masanya dan tidak disyaratkan berturut-turut, maka suami boleh menegah isterinya melakukan i‘tikâf tersebut.

Perkara Yang Harus Dilakukan Oleh Orang Yang Beri‘tikâf

Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmû‘ (6/514-517) telah menyebutkan perkara-perkara yang harus dilakukan oleh orang yang beri‘tikâf, iaitu:

1. Harus bagi orang yang beri‘tikâf itu bersuci, mandi dan menghias diri. Di samping itu dia mestilah menjaga kebersihan masjid. Sesungguhnya telah sabit bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tatkala sedang beri‘tikâf di masjid telah menghulurkan kepalanya kepada isterinya ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang berada di dalam biliknya untuk disikatkan kepala Baginda padahal isteri Baginda pada waktu itu sedang haidh, sebagaimana dalam satu riwayat disebutkan:

Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menghulurkan kepala Baginda kepadaku tatkala Baginda dalam masjid untuk disikat dan Baginda tidak akan masuk ke rumah kecuali ada keperluan ketika Baginda beri‘tikâf.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghulurkan kepalanya sedang aku di dalam bilikku dan menyikat rambut Baginda. Ketika itu aku dalam haidh.” (Hadis riwayat Muslim)

2. Harus bagi lelaki dan perempuan memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang indah atau berharga. Imam asy-Syafi‘e berkata dalam kitab al-Mukhtasar (al-Majmû‘: 6/515):

Ertinya: “Tidak mengapa orang yang beri‘tikâf sama ada lelaki dan perempuan memakai pakaian (yang indah), makan dan memakai wangian.”

Walau bagaimanapun bagi perempuan tidak diharuskan berbuat demikian sekiranya di masjid tersebut ada lelaki yang kemungkinan akan tercium bau-bauan yang dipakainya itu.

3. Harus bagi orang yang beri‘tikâf itu melakukan akad nikah di dalam masjid.

4. Harus membaca dan mempelajari al-Qur’an dan sebarang ilmu pengetahuan. Menurut Imam asy-Syafi‘e dan para pengikutnya bahawa perkara sedemikian itu lebih afdhal daripada melakukan sembahyang-sembahyang sunat (nâfilah) kerana mempelajari ilmu itu fardhu kifâyah.

5. Sekiranya yang beri‘tikâf itu berhajat kepada berjual beli, maka harus baginya berakad jual beli di masjid tanpa berlebihan seperti membawa bersama barang yang diakadkannya itu. Jika berlaku sedemikian hukumnya adalah makruh.

6. Tidak harus melakukan sesuatu pekerjaan di dalam masjid kecuali kerana hajat seperti menjahit atau menampal kain yang koyak ataupun memperbaiki sesuatu yang ditakuti rosak.

7. Harus bagi orang yang beri‘tikâf makan dan minum di dalam masjid dengan mengambil kira akan menjaga kebersihan masjid dan tidak mencemarkannya.

Perkara Yang Membatalkan I‘tikâf

Perkara-perkara yang membatalkan i‘tikâf itu ialah:

1. Bersetubuh sama ada keluar air mani atau sebaliknya, sekalipun ia dilakukan di luar masjid atau ketika keluar qadha hajat atau sebagainya yang mengharuskan dia keluar masjid. Kecuali bagi i‘tikâf sunat tidaklah membatalkan i‘tikâf dan ia dilakukan di luar masjid. Begitu juga tidak membatalkan i‘tikâf bagi orang yang lupa dan jahil mengenai haramnya bersetubuh ketika dalam i‘tikâf. (Mughni al- Muhtâj: 1/452 dan al-Majmû‘: 6/512).

2. Keluar mani tanpa bersetubuh dengan cara berseronok-seronok hingga menaikkan syahwat dengan ikhtiarnya. Oleh itu haram bagi orang yang beri‘tikâf melakukan sesuatu yang boleh membangkitkan syahwat sehingga membawa kepada persetubuhan. Inilah juga pendapat ar-Rafi‘e yang mengatakan bahawa pendapat al-ashah di sisi jumhûr ulama ialah apabila perbuatan berseronok-seronok itu menyebabkan keluar air mani maka batallah i‘tikâf itu, jika sebaliknya maka tidaklah membatalkannya. (Al-Majmû‘: 512-513 dan Mughni al-Muhtâj: 1/452).

3. Gila dan pitam yang berpanjangan. (Al-Majmû‘: 6/504-505).

4. Murtad dan mabuk. (Al-Majmû‘: 6/506).

5. Keluar haidh dan nifas. Jika seseorang wanita datang haidh atau nifas maka batal i‘tikâfnya. (Al-Majmû‘: 6/507).

Penutup

Berdasarkan penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa ibadat i‘tikâf merupakan ‘ibâdah badaniyyah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sepanjang hidup Baginda. Ini menandakan akan besarnya ganjaran dan pahala yang diberikan kepada orang yang melakukan.

Apatah lagi, i‘tikâf yang disertakan dengan puasa, seseorang itu akan bertambah hampir kepada Allah kerana tujuan i‘tikâf itu adalah pembersihan hati dan jiwa dengan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta menjauhkan diri daripada kegiatan atau aktiviti-aktiviti keduniaan. Oleh kerana itu untuk mencapai matlamat itu dianjurkan orang yang beri‘tikâf memperbanyak sembahyang sunat, berzikir kepada Allah, berdoa meminta ampun (istighfâr), mengucapkan selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam atau membaca al-Qur’an di samping bacaan-bacaan lain yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10932

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص