Mengingat Dan Menghadapi Mati
الجواب
Sesungguhnya kehidupan di dunia ini merupakan jambatan untuk kita menuju ke negeri akhirat iaitu suatu penghidupan yang kekal abadi. Oleh itu sudah tentu setiap daripada kita akan menemui ajal. Dalam keghairahan kita melayari kehidupan ini, mencari harta, mencari rezeki untuk hidup, mengurus hal ehwal keluarga, anak-anak, hal ehwal pekerjaan dan apa jua hal-hal keduniaan, kadang-kadang membuatkan kita lalai dan lupa daripada mengingati mati. Fenomena ini memang tidak dapat dinafikan sering terjadi kepada sebahagian orang. Walaupun usia semakin meningkat dan keadaan fizikalnya semakin lemah namun kepentingan dunia tetap menjadi prioriti teratas. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjelaskan fenomena ini melalui sabda Baginda:
Maksudnya: “Manusia itu lemah tetapi kuat terhadap dua perkara iaitu: Tamak kepada harta dan tamak kepada umur.” (Hadis riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)
Hukum Mengingati Mati
Mengingati mati itu sebahagian daripada tuntutan syara‘, di mana setiap individu disunatkan mengingati mati pada setiap ketika. Ini jelas sebagaimana diterangkan di dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud beliau berkata:
Maksudnya: “Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya.” Ibnu Mas’ud berkata: “Kami berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya kami benar-benar malu dan segala pujian bagi Allah.” Baginda menjawab: “Bukan itu, akan tetapi malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya ialah kamu menjaga kepala dan apa yang ada padanya (telinga, mata dan lidah), menjaga perut dan apa yang terkandung padanya (hati dan kemaluan), dan ingat akan mati dan kesusahan. Dan sesiapa menghendaki akhirat maka dia meninggalkan kesenangan dunia. Sesiapa berbuat demikian itu (perkara yang tersebut di atas), maka dialah orang malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Di dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Banyakkanlah ingatan kepada pemutus kenikmatan, yakni mati.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Faedah Mengingati Mati
Perkataan “mengingati” itu di dalam bahasa Arab disebut sebagai adz-dzikr (الذكر), dan perkataan ini biasa dipakai di dalam bahasa Melayu yang disebut dengan “zikir”. Dalam konteks ini, zikir boleh saja dilakukan melalui lidah, melalui hati dan amal perbuatan. Begitu juga dengan mengingati mati ianya boleh saja dilakukan melalui lidah, misalnya dengan membaca ayat-ayat al- Qur’an atau hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menceritakan tentang mati. Selain faedah membaca al-Qur’an itu untuk mengingati mati ianya juga berguna sebagai bekalan dan persediaan menghadapi kematian, umpamanya membaca surah al-Mulk di mana surah ini mempunyai kelebihan yang hebat, sebagaimana tersebut di dalam hadis bahawa surah al-Mulk itu disifatkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai penyelamat dan pendinding pembacanya daripada azab kubur.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau menceritakan bahawa seseorang daripada sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mendirikan khemah di atas kubur, dengan tidak menyangka bahawa tapak kawasan itu adalah kubur. Lalu dia terdengar ada orang membaca surah “تبارك ِالذي ِبيده ِامللك” (surah al-Mulk) di dalam kubur sehingga akhir surah tersebut. Kemudian dia pun pergi berjumpa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan memberitahu apa yang telah didengarnya: “Wahai Rasulullah, saya telah mendirikan khemah di atas tapak perkuburan, dan saya tidak menyangka bahawa tempat itu adalah kubur, lalu saya terdengar ada orang membaca surah “تبارك ِالذي ِبيده ِامللك” (surah al-Mulk) di dalam kubur sehingga akhir surah tersebut”. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Dialah penghalang, dialah penyelamat yang menyelamatkannya daripada seksa kubur.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Mengingati mati itu boleh juga melalui hati, misalnya dengan membayangkan di hadapan matanya keadaan ketika dia dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan, ataupun dengan amal perbuatan, misalnya dengan menziarahi kubur, turut serta menguruskan jenazah dan menziarahi orang yang sedang sakit terutama orang yang dalam keadaan nazak.
Perkara seperti ini boleh saja mencuit kalbu dan membibitkan dalam diri dan sanubari seseorang itu suatu perasaan keinsafan bahawa hidup ini tidak kekal dan hidup ini tidak selamanya dalam keadaan sehat, di mana saat kematian tetap akan kunjung tiba pada bila-bila masa. Semua ini sebenarnya secara tidak langsung akan membawa seseorang itu kepada sentiasa ingat kepada yang Maha Berkuasa menghidup dan mematikan setiap makhluk; Allah ‘Azza wa Jalla. Apabila seseorang itu sentiasa ingat kepada Allah maka Allah akan sentiasa membalasnya dengan kebaikan. Firman Allah Ta’ala:
Tafsirnya: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada Aku (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan.” (Surah al-Baqarah: 152)
Selain itu, seseorang yang sentiasa ingat kepada kematian akan mencetuskan dorongan dan gesaan yang menggerakkan dirinya agar sentiasa waspada dan memastikan dirinya sentiasa berada di dalam sempadan-sempadan yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala tanpa melewatinya walau sejengkal, iaitu dengan menjunjung perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.
Ihtidhâr Dan Tanda-Tandanya
Sebagaimana disebutkan, bahawa di antara perkara yang boleh menggerakkan diri kita untuk mengingati mati ialah dengan menziarahi orang yang sedang nazak. Bertolak daripadanya, apakah yang dimaksudkan dengan nazak itu dan bagaimana seharusnya kita menghadapinya?
Keadaan nazak ataupun disebut di dalam kitab-kitab fiqh sebagai ihtidhâr memberi maksud kepada keadaan bila mana seseorang itu berada di ambang kematian atau hampir mati berdasarkan tanda-tanda tertentu.
Bila kita sebut “di ambang kematian” atau “hampir mati”, tidaklah bermakna bahawa jangka waktu nazak atau ihtidhâr itu terbatas pada waktu nyawa atau roh orang yang nazak itu sudah berada di halqum, di mana ketika itu dia tidak lagi berdaya untuk berkata-kata. Bahkan jangka waktu nazak atau ihtidhâr itu meliputi pada keadaan sebelum roh sampai ke halqum.
Ini kerana, jika keadaan nazak atau ihtidhâr hanya terbatas kepada keadaan di mana roh sudah sampai di halqum, seseorang itu tidak lagi dapat berkata-kata apatah lagi untuk berbuat sesuatu perkara. Sedang apa yang sabit daripada riwayat-riwayat yang shahîh bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda menghadapi ihtidhâr Baginda sempat berpesan, berdoa malahan bersugi. Ini menunjukkan bahawa keadaan nazak atau ihtidhâr itu tidak terbatas kepada keadaan bila mana nyawa atau roh sudah berada di halqum (ghargharah).
Para ulama telah menyebutkan beberapa tanda yang terdapat pada orang yang hampir mati, di antaranya ialah kedua kakinya menjadi longgar atau kendur, hidungnya menjadi bengkok, pelipisnya (antara telinga dengan mata) menjadi cekung dan kulit mukanya mengembang.
Perkara Yang Dilakukan Oleh Orang Nazak
Apakah yang perlu dilakukan bagi orang yang sedang nazak, di mana ketika itu dia sedang berada pada saat-saat akhir hayatnya sebelum maut datang menjemputnya?
Terdapat beberapa perkara yang elok dilakukannya, sungguhpun pada ketika itu dia berada di saat genting perpisahannya dengan dunia yang fana ini, iaitu:
(i) Bersangka baik kepada Allah Ta‘ala
Dalam hal ini, diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: “Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, tiga hari sebelum Baginda wafat: “Jangan seseorang di antara kamu mati, kecuali dia bersangka baik kepada Allah.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Apa yang dimaksudkan dengan bersangka baik kepada Allah itu, sebagaimana menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah Ta‘ala, ialah bersangka baik bahawa Allah Ta‘ala akan sentiasa mencucuri rahmat ke atasnya, mengasihinya dan mengampunkan dosa-dosanya.
Oleh itu, bagi orang yang sedang sakit dan yang sedang nazak dalam keadaannya begitu sunat bersangka baik dalam erti kata yang kita sebutkan di atas, dan sentiasa mengharap akan belas kasihan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kerana Allah akan sentiasa memerhati pengharapan hambaNya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Allah yang Maha Agung berfirman: “Aku memberi ganjaran menurut sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu, maka apabila dia mengingatiKu dalam dirinya Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu dalam suatu kelompok jemaah, maka Aku akan mengingatinya dalam suatu kelompok jemaah di mana mereka ini lebih baik daripada mereka itu. Apabila dia mendekatiKu sejengkal, maka Aku mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, maka Aku mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepadaKu dengan berjalan biasa, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari-lari anak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
(ii) Berwasiat
Jika orang yang sedang nazak itu mempunyai sebarang tanggungan kepada pihak lain, sama ada tanggungan kepada Allah Ta‘ala ataupun kepada sesama manusia, misalnya hutang, barang yang dipinjam daripada seseorang, barang yang diamanahkan kepadanya untuk disimpan dan seumpamanya, maka hendaklah dia berpesan atau berwasiat kepada ahli keluarganya supaya dapat melunaskan, menyelesaikan dan menyerahkan balik tanggungan-tanggungan tersebut bagi pihak dirinya.
(iii) Bertaubat
Para ulama bersepakat mengatakan bahawa bertaubat daripada segala dosa hukumnya adalah wajib. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nûr: 31)
Sehubungan itu, apakah orang yang hampir mati juga disuruh bertaubat? Mengikut pendapat jumhûr atau majoriti ulama bahawa seseorang yang pernah melakukan dosa kemudian dia melambatkan taubatnya sehinggalah ke saat-saat akhir hayatnya, jika keadaannya itu tidak diketahui secara pasti adakah dia akan mati atau tidak, atau dengan kata lain keadaannya masih lagi samar-samar sama ada dia akan terus hidup atau tidak ada harapan untuk terus hidup lagi, maka dalam hal ini tidak syak lagi taubatnya masih lagi diterima jika dia bertaubat dengan taubat nashûhah walaupun dalam keadaannya yang hampir mati itu, selama mana nyawa atau rohnya belum sampai ke halqum. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi roh belum sampai ke halqum.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Maka dengan sebab itu, orang yang hampir mati selagi nyawa atau roh belum sampai ke halqum hendaklah dia bertaubat daripada segala macam dosa yang pernah dilakukannya, sama ada secara sedar atau tidak.
(iv) Bersugi
Sunat bersugi bagi orang yang sedang nazak. Perkara ini telah dilakukan sendiri oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda sakit menghadapi mati sebagaimana tersebut di dalam riwayat yang shahîh:
Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Abdul Rahman bin Abu Bakar telah masuk menjenguk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang aku (‘Aisyah) sedang menyandarkan kepala Baginda ke dadaku, dan pada ketika itu Abdul Rahman membawa kayu siwak (sugi) yang masih basah (segar) yang digunakannya untuk bersugi. Aku tidak pernah melihat Baginda bersugi dengan lebih baik (bersungguh-sungguh) daripada persugiannya ini.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menumpukan pandangannya kepadanya, lalu aku mengambil siwak tersebut, kemudian aku mengupas, mengibas dan memperelokkannya. Selepas itu aku memberikannya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian Baginda bersiwak dengannya.
Maka tiada lain (selepas Baginda bersugi), Baginda mengangkat tangan Baginda atau jari-jari Baginda, kemudian bersabda: “Menuju kepada Teman yang Maha Tinggi (Allah)”, tiga kali. Selepas itu, Allah mengambil Baginda (mencabut nyawa Baginda). ‘Aisyah berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat berada di antara perut dan daguku.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Selain daripada merupakan sunnah, telah disebutkan oleh para ulama bahawa bersugi ketika seseorang dalam keadaan nazak akan memudahkan roh keluar dari jasad. Maka dengan bersugi akan meringankan beban seseorang dalam menghadapi detik-detik sakarât al-maut.
v) Berzikir dan berdoa
Sunat bagi orang yang sedang menghadapi ihtidhâr memperbanyakkan zikir, membaca ayat-ayat al-Qur’an dan berdoa sekadar termampu, terutama sekali zikir ال إلهاال هللا, kerana telah sabit di dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam Baginda bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa akhir percakapannya “ masuk syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Menurut setengah ulama, jika seseorang itu tidak mampu untuk berzikir dengan lidahnya, maka bolehlah dia berzikir di dalam hatinya.
Kesimpulannya, bahawa mati pasti akan menjemput setiap yang bernyawa, dengan sebab itu setiap kita janganlah leka dan lalai daripada mengingati mati supaya kita sentiasa bersedia menghadapinya dengan memperbanyakkan amal kebajikan, dan semoga kita memperoleh sebaik-baik kesudahan usia iaitu husn al-khâtimah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10958
دليل الألوان
