Membersihkan Kulit Binatang Sebelum Dimanfaatkan
الجواب
Penggunaan barang-barang yang diperbuat daripada kulit binatang, lebih-lebih lagi binatang yang terkawal, dianggap oleh setengah orang sebagai barang-barang berjenama, Walaupun ia sebenarnya bertentangan dengan undang-undang dan pencinta alam. Penggunaan barang-barang daripada kulit binatang itu telah pun wujud lama sebelum zaman Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah minum air dalam geriba (tempat menyimpan air daripada kulit binatang). Namun demikian adakah semua kulit binatang boleh dijadikan barang-barang pakaian, perhiasan dan sebagainya?
Agama Islam sebagai agama yang syumûl mempunyai pandangan tersendiri dalam perkara ini. Para ulama telah mengutarakan dan membincangkannya di dalam kitab-kitab fiqh secara mendalam dengan berpandukan kepada dalil-dalil syara‘ sebagai sandaran. Menyedari akan hal ini, tidak syak lagi ia merupakan di antara perkara yang penting untuk diketahui oleh setiap orang. Irsyad hukum kali ini akan menjelaskan beberapa perkara yang berhubungkait dengan kulit binatang, antaranya kulit binatang apa yang dibenarkan oleh Islam, bagaimana cara menyamak dan isu-isu yang berhubungkait dengannya serta hukum penggunaannya.
Binatang Yang Tidak Halal Dimakan
Kesemua anggota binatang yang tidak halal dimakan seperti buaya, singa, kucing, monyet dan sebagainya, jika terpisah anggota binatang tersebut daripada badannya sama ada ketika binatang itu masih hidup ataupun sudah mati adalah bangkai. Ini termasuk juga kulit binatang tersebut. Walau bagaimanapun menurut hukum syara‘ kulit-kulit seperti ini akan menjadi suci jika ia disamak dan boleh dimanfaatkan melainkan kulit anjing dan babi.
Binatang Yang Halal Dimakan
Kesemua anggota binatang yang halal dimakan seperti unta, lembu, ayam dan sebagainya, jika terpisah anggota tersebut daripada badannya sama ada ketika binatang itu masih hidup atau mati bukan kerana disembelih, adalah bangkai. Maka kulit binatang tersebut juga adalah najis. Namun jika ia disamak, kulit itu menjadi suci dan boleh dimanfaatkan.
Sementara kulit binatang yang halal dimakan jika terpisah daripada badan binatang itu setelah disembelih adalah suci dan boleh dimanfaatkan tanpa perlu menyamaknya lagi. Ini kerana ia suci selepas matinya disebabkan sembelihan. (Fath al-‘Allâm: 1/185).
Hukum Dan Dalil-dalil Mengharuskan Samak
Perbuatan menyamak itu merupakan suatu jenis kerja yang dilakukan bagi faedah dan kepentingan manusia. Banyak faedah dan manfaat yang dapat dinikmati dan digunakan oleh manusia daripada kulit-kulit yang telah dibersihkan dengan cara menyamaknya. Syariat Islam memandangnya sebagai suatu kerja atau usaha yang diharuskan.
Terdapat beberapa jumlah dalil syar‘i yang memperuntukkan berkenaan kulit bangkai boleh menjadi suci setelah disamak, di antaranya:
1) Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata:
Maksudnya: “Hamba sahaya milik Maimunah diberi sedekah seekor kambing, lalu kambing itu mati. Tidak berapa lama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi bangkai kambing itu, Baginda bersabda: “Mengapa tidak kamu ambil kulitnya, kemudian kamu samak supaya kamu dapat memanfaatkannya”. Mereka berkata: “Ia sudah menjadi bangkai”. Baginda bersabda: “Yang haram itu hanyalah memakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
2) Di dalam riwayat yang lain daripada Salamah bin al-Muhabbaq:
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika peperangan Tabuk berkunjung ke sebuah rumah. Tiba-tiba Baginda mendapati sebuah geriba (tempat menyimpan air daripada kulit binatang) bergantung, lalu Baginda bertanya meminta air. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, geriba itu bangkai”. Baginda bersabda: “Penyamakannya mensucikannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i)
Berpandukan kepada kedua-dua dalil di atas jelas bahawa kulit bangkai di mana pada asalnya dihukumkan sebagai najis boleh menjadi suci dan boleh dimanfaatkan jika ianya disamak.
Cara Membersihkan Kulit Binatang
Cara membersihkan kulit binatang yang najis ataupun bangkai selain kulit anjing dan babi adalah dengan menyamaknya, iaitu menghilangkan segala lendir dan kelembapan yang melekat pada kulit di mana jika dibiarkan akan merosakkan kulit tersebut.
Bahan yang digunakan ialah sesuatu yang kesat atau kasar di lidah jika terkena lidah seperti daun akasia (qarazh), manjakani (‘afsh), kulit delima (qusyûr ar-rummân), tawas (asy-syabb) dan seumpamanya.
Tidak semestinya bahan yang digunakan itu terdiri daripada benda-benda yang suci, malahan tidak menjadi halangan menurut hukum syara‘ jika bahan yang digunakan untuk menyamak itu terdiri daripada benda yang najis seperti tahi burung merpati. Apa yang penting, bahan yang digunakan itu dapat mengeringkan kelembapan kulit, menghilangkan kotoran dan baunya yang busuk.
Tidak sah menyamak dengan hanya menjemur kulit binatang itu di bawah panas terik cahaya matahari, melumurnya dengan tanah, membekukan dan memasinkannya, kerana cara-cara tersebut tidak mampu membuang segala kotoran yang ada pada kulit, sekalipun kulit itu kering dan harum baunya. Tanda yang menunjukkan bahawa kotoran itu tidak hilang ialah jika kulit itu direndam atau terjatuh ke dalam air, pasti bau busuk akan kembali semula.
Semua kotoran dan najis yang ada pada kulit mestilah dihilangkan. Sesuatu yang ada di atas kulit bangkai seperti bulu tidak akan menjadi suci sekalipun ia disamak. Oleh itu, bulu tersebut hendaklah dicabut atau dihilangkan daripada kulit tersebut. Walau bagaimanapun jika bulu itu ada tertinggal sedikit dan susah hendak menghilangkan keseluruhannya maka ia adalah dimaafkan. (Fiqh Dan Perundangan Islam: 1/86-88).
Membasuh Kulit Dengan Air Ketika Dan Setelah Menyamak
Menurut pendapat yang ashah, ketika menyamak kulit binatang tidak wajib dibasuh dengan air. Oleh itu, sunat sahaja ketika menyamak kulit itu disertai dengan air. Dalam hal ini, apabila kulit berkenaan selesai disamak maka harus ianya diperjualbelikan, walaupun ianya tidak dibersihkan dengan air.
Akan tetapi dalam masalah menggunakannya untuk kepentingan ibadat sembahyang, seperti dibuat pakaian untuk menutup aurat dan seumpamanya, ataupun untuk kegunaan menyimpan barang yang basah seperti air dan seumpamanya, tidak harus menggunakan kulit yang telah siap disamak bagi tujuan-tujuan tersebut melainkan setelah dicuci dengan air, walaupun ianya disamak dengan bahan yang suci, apatah lagi jika kulit itu disamak dengan menggunakan bahan penyamak yang najis, kerana kulit yang telah disamak itu diumpamakan seperti pakaian yang terkena najis.
Adapun jika dibersihkan najis itu dengan air sebelum kulit itu disamak, adalah tidak memadai. Sebagai contoh, jika kulit yang belum disamak itu terkena najis mughallazhah lalu disucikan dengan air sebanyak tujuh kali di mana salah satunya bercampur tanah, maka tidak diterima thaharah (penyucian) itu. (Nihâyah al-Muhtâj, kitâb ath-thahârah, bâb an-najâsah wa izâlatuh: 1/251, al-Minhâj fî Syarh Shahîh Muslim, kitâb al-haidh, bâb thahârah julûd al-maitah, Mughni al-Muhtâj, kitâb ath-thahârah, bâb an-najâsah).
Kesimpulannya, sungguhpun kulit yang sudah disamak dianggap suci dari segi di mana sebelumnya ia dianggap sebagai bangkai, akan tetapi ianya belum boleh dimanfaatkan (kecuali dalam masalah jual beli) melainkan setelah dibersihkan terlebih dahulu dengan air. Adapun pembersihan kulit dengan menggunakan air sebelum atau semasa kulit disamak adalah tidak memadai.
Penggunaan Kulit Binatang
Penggunaan kulit binatang yang telah disamak adalah diharuskan dalam Islam sama ada dijadikan kasut, pakaian atau sebagainya. Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa kulit anjing dan babi adalah tidak harus dimanfaatkan walaupun sesudah disamak.
Seperti yang sudah dimaklumi bahawa anjing dan babi itu keduanya adalah najis mughallazhah (najis berat). Selain ditegah memakan daging babi dan anjing, ditegah juga memanfaatkan segala anggota binatang itu seperti kulit, bulu dan sebagainya, kerana babi dan anjing itu sendiri adalah najis al-‘ain.
Sesuatu yang basah atau cecair yang datang daripada najis anjing dan babi, seperti tahi, kencing, air liur, peluh dan darah adalah najis. Begitu juga sesuatu yang kering daripadanya seperti bulu dan kulit apabila tersentuh dalam keadaan basah juga adalah najis. Cara menyucikan daripada najis ini, hendaklah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Salah satu daripadanya air yang bercampur tanah. (Mughni al-Muhtâj, kitâb ath-thahârah, bâb an-najâsah: 1/118)
Ada juga sebahagian ulama seperti al-Awza‘i dan ulama yang sependapat dengan beliau mengatakan bahawa kulit binatang buas seperti harimau, serigala dan sebagainya, adalah ditegah menggunakannya. Mereka berhujjah dengan hadis daripada Usamah:
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada menggunakan kulit-kulit binatang buas.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam riwayat yang lain, daripada Usamah:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada menggunakan kulit-kulit binatang buas untuk dihamparkan sebagai alas.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Namun menurut ashhâb asy-Syafi‘e, semua kulit bangkai itu termasuk kulit binatang buas adalah suci setelah disamak, melainkan kulit anjing dan babi. Mereka berhujjah dengan beberapa dalil daripada hadis, di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:
Maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika kulit disamak maka ia menjadi bersih.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain, daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengizinkan untuk menggunakan kulit-kulit bangkai jika telah disamak.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Hadis di atas menunjukkan bahawa kulit bangkai binatang adalah suci setelah disamak. Kulit bangkai di sini adalah umum termasuklah juga kulit binatang buas melainkan apa yang telah disepakati akan larangannya iaitu anjing dan babi.
Adapun hujjah daripada hadis yang dikemukakan oleh al-Awza‘i sebelum ini boleh dimaksudkan kepada kulit binatang buas yang masih berbulu, kerana pada kebiasaannya kulit binatang buas itu digunakan dalam keadaannya yang masih berbulu. Oleh itu, kulit binatang buas itu tidaklah najis, namun yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah bulu yang ada pada kulit tersebut. Ini kerana kulit bangkai yang masih nyata berbulu tidak akan suci walaupun setelah disamak, kerana samak itu tidak akan memberi kesan kepada bulu. (Al-Majmû‘, kitâb ath-thahârah, bâb al-âniyah: 1/277-278).
Oleh itu, kulit yang telah disamak dan suci, harus digunakan sama ada untuk dijadikan pakaian, tempat menyimpan barang yang basah atau kering, dijual beli dan boleh dibawa ketika sembahyang. Adapun memakan kulit bangkai yang telah disamak, menurut qaul qadîm dan pendapat yang ashah adalah haram sama ada ia binatang ma’kûl (yang boleh dimakan) atau ghair al-ma’kûl (tidak boleh dimakan). (Al-Majmû‘, kitâb ath-thahârah, bâb al- âniyah: 1/287)
Memandangkan kepentingan penggunaan barangan yang diperbuat daripada kulit di mana setengahnya dianggap sebagai keperluan seharian, tidak hairanlah ianya menjadi sumber ekonomi bagi setengah pihak. Banyak barang-barang yang diperbuat daripada kulit yang boleh kita lihat di pasaran seperti kasut, beg, dompet, baju, tali pinggang dan sebagainya dengan berbagai jenama dan kualiti yang berbeza-beza. Sudah tentu juga ianya diperbuat daripada kulit binatang yang berbeza. Malahan terdapat setengahnya diperbuat daripada kulit yang najis iaitu kulit anjing dan babi.
Oleh itu, setiap umat Islam perlu berhati-hati dalam memilih keperluan masing-masing. Pastikan pilihan kita bukan daripada kulit yang najis.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10970
دليل الألوان
