Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Waktu-Waktu Yang Ditegah Melakukan Sembahyang

الجواب

Umat Islam memang disarankan untuk sentiasa memperbanyak melakukan sembahyang-sembahyang sunat. Sembahyang-sembahyang sunat itu sebenarnya berperanan menampal segala kekurangan yang dilakukan ketika melakukan sembahyang-sembahyang fardhu.

Dengan memperbanyak melakukan ibadat sembahyang, seseorang hamba akan sentiasa berada dekat dengan Khâliqnya kerana sembahyang itu penghubung di antara manusia dengan Allah.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “(Kedudukan) yang paling dekat di antara hamba dan Tuhannya ialah ketika dia sujud (di dalam sembahyangnya) maka perbanyakkanlah doa.” (Hadis riwayat Muslim)

Sembahyang-sembahyang sunat itu ada yang telah ditetapkan waktu dan ada pula sembahyang-sembahyang sunat yang tidak terhad waktunya iaitu boleh dilakukan bila-bila masa, sama ada pada waktu malam atau siang. Sebahagian sembahyang sunat itu ada hubungannya dengan sembahyang fardhu seperti sembahyang sunat qabliyah dan ba‘diyah. Ada juga sembahyang sunat yang disunatkan melakukannya kerana waktu yang tertentu seperti sembahyang sunat Dhuha dan ada di antara sembahyang sunat yang dilakukan oleh sebab tertentu seperti sembahyang gerhana matahari, gerhana bulan, kerana memulakan pelayaran atau balik dari pelayaran, hinggalah kepada sembahyang mutlak yang bukan bersebab dan berwaktu separeti sembahyang sunat Tasbih dan lainnya.

Begitu banyak sekali sembahyang-sembahyang sunat yang dianjurkan kepada kita melakukannya, yang patut kita ambil kesempatan atau peluang memanfaatkannya.

Walau bagaimanapun, ada beberapa waktu dan keadaan yang dilarang kita melakukan sembahyang-sembahyang berkenaan. Walaupun secara umumnya, yang dilarang itu ialah sembahyang-sembahyang sunat pada waktu-waktu tertentu, namun ada juga kalanya sembahyang fardhu.

Bilakah waktu dan keadaan yang dimaksudkan itu? Apakah hukum melakukan sembahyang pada waktu-waktu berkenaan, adakah haram atau makruh sahaja? Adakah sembahyang itu sah atau sebaliknya? Apa-apa dia sembahyang yang ditegah melakukannya itu? Maka Irsyad hukum kali ini akan menghuraikannya.

Bilakah Waktu-Waktu Yang Dilarang Menunaikan Sembahyang?

Sebagaimana dijelaskan oleh para ulama fiqh berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa waktu-waktu tertentu yang ditegah melakukan sembahyang adalah seperti berikut:

1. Bermula dari terbit matahari sehingga matahari naik tinggi kira-kira kadar satu tombak. Satu tombak itu adalah kira-kira kadarnya tujuh hasta paras ketinggian orang biasa dan satu hasta pula ialah kira-kira menyamai dengan lapan belas inci.

2. Waktu istiwâ’ iaitu waktu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga gelincir matahari atau condong ke bawah (kecuali waktu istiwâ’ pada hari Jumaat).

3. Waktu ketika matahari berwarna kekuning-kuningan sehingga tenggelam keseluruhan bulatan matahari itu di ufuk.

Ketiga-tiga waktu ini ada disebutkan di dalam hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani katanya:

Maksudnya: “Tiga waktu yang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kami bersembahyang dan mengkebumikan mayat, iatu ketika matahari naik sehingga tinggi, ketika matahari tegak (terpacak) sehingga gelincir dan ketika matahari hampir terbenam sehingga ia terbenam.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas melarang bersembahyang dan mengkebumikan mayat pada ketiga-tiga waktu berkenaan.

4. Selepas sembahyang fardhu Subuh iaitu bagi orang yang telah menunaikan sembahyang Subuh sehingga terbit matahari.

5. Selepas sembahyang fardhu ‘Ashar sehingga terbenamnya matahari.

Diterangkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri yang mengatakan bahawa dia telah mendengar Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada sembahyang selepas Subuh sehingga terbit matahari dan tidak ada sembahyang selepas ‘Ashar sehinggalah matahari terbenam.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hukum Menunaikan Sembahyang Pada Waktu-Waktu Tersebut

Menurut pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab Syafi‘e bahawa hukum melakukan sembahyang pada waktu-waktu yang tersebut itu adalah makruh tahrîm. (Mughni al-Muhtâj: 1/128, Fath al-‘Allâm: 3/114, Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 1/520 )

Makruh tahrîm sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn dan pengarang Fath al-‘Allâm ialah hukum yang sabit dengan dalil yang zhanni dan boleh dibuat takwilan (andaian), berbeza dengan haram yang mana ia sabit dengan dalil qath‘i yang tidak boleh dibuat takwilan sama ada dalil itu daripada kitab atau sunnah atau ijmâ‘ ataupun qiyâs. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/197, Fath al-‘Allâm: 3/114)

Ada juga pendapat ulama yang mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh tanzîh. Walau bagaimanapun sembahyang itu tetap tidak sah sebagaimana kata al-Khathib asy-Syarbini:

Ertinya: “Dan tidak sah sembahyang itu jika kita berpendapat bahawasanya hukumnya adalah makruh tahrîm, dan begitu juga pada pendapat yang mengatakan bahawa hukumnya adalah karâhah tanzîh menurut pendapat yang ashah.” (Mughni al-Muhtâj: 1/129)

Sengaja Mengakhirkan Sembahyang Hingga Masuk Waktu-Waktu Makruh

Berkata pengarang Fath al-Mu‘în:

Ertinya: “Maka jika seseorang itu bermaksud (sengaja mengakhirkan) sembahyang yang bukan empunya waktu di dalam waktu makruh (mengerjakan sembahyang) kerana waktu itu adalah waktu makruh (sebagaimana yang telah diketahuinya) maka hukumnya adalah haram secara mutlak dan sembahyang itu tidak sah walaupun (mengqadha) sembahyang yang telah luput waktunya sekalipun wajib diqadha dengan segera kerana dia telah menentang hukum syara‘.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/199-200)

Berlainan halnya jika tujuan mengakhirkannya pada waktu makruh itu oleh sebab yang tertentu iaitu bukan dengan niat melakukannya pada waktu itu kerana waktu itu adalah waktu makruh seperti mengerjakan sembahyang jenazah selepas sembahyang ‘Ashar kerana bertujuan supaya ramai jemaah bersembahyang, maka itu adalah diharuskan. (Lihat Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/200)

Tidak termasuk di dalam larangan itu bagi sembahyang yang empunya waktu seperti mengakhirkan sembahyang ‘Ashar sehingga matahari kekuning-kuningan.

Apakah Dia Sembahyang-Sembahyang Yang Dilarang Melakukannya itu?

Sembahyang-sembahyang yang ditegah melakukannya pada waktu-waktu yang lima ialah sembahyang sunat muthlaq iaitu sembahyang yang tidak mempunyai sebarang sebab seperti sembahyang sunat Tasbih dan juga sembahyang yang bersebab tetapi sebabnya itu terkemudian. Sembahyang yang sebabnya terkemudian itu ialah seperti sembahyang sunat Ihram dan sembahyang sunat Istikharah. Sebab sembahyang sunat Ihram itu adalah kerana memakai Ihram, ia hanya berlaku setelah melaksanakan sembahyang Ihram dan Istikharah itu pula kerana membuat suatu perkara itu dimulakan selepas sembahyang Istikharah.

Adapun sembahyang yang sebabnya terdahulu daripada sembahyangnya ataupun beriringan, maka harus dikerjakan pada waktu-waktu tegahan itu, tidak makruh dan tidak haram. Misal sembahyang-sembahyang berkenaan ialah seperti sembahyang qadha sama ada fardhu atau sunat, sembahyang jenazah, sembahyang Istisqa’, sembahyang gerhana, sembahyang sunat yang dinazarkan, sembahyang Hari Raya, sembahyang Dhuha, sembahyang sunat Tawaf, sembahyang sunat wudhu, sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, sujud tilawah dan sujud syukur dan lain-lain sembahyang yang sebabnya terdahulu.

Sembahyang-sembahyang ini harus untuk dilakukan pada lima-lima waktu dilarang melakukan sembahyang itu berdasarkan hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan ijmâ‘ para ulama.

Menurut sebuah riwayat mengenai dengan peristiwa taubat Ka‘ab bin Malik bahawa dia telah melakukan sujud syukur selepas sembahyang fardhu Subuh sebelum lagi terbit matahari.

Menurut sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Bilal:

Maksudnya: “Wahai Bilal! Cuba kau ceritakan kepadaku apakah pekerjaan yang paling kau harapkan daripada pekerjaan-pekerjaan yang telah kamu lakukan dalam Islam? Sesungguhnya aku mendengar bunyi kasut engkau di hadapanku di syurga”. Bilal berkata: “Aku tidak melakukan suatu pekerjaan yang paling aku harapkan selain aku tidak pernah bersuci sama ada malam atau siang kecuali untuk bersembahyang dengannya, sembahyang yang ditentukan oleh Allah untukku(sembahyang sunat).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas menjelaskan bahawa sujud syukur harus dilakukan pada waktu yang terlarang. Begitu juga dengan sembahyang sunat wudhu setelah bersuci dengan mengambil wudhu sebagaimana yang diamalkan oleh Bilal Radhiallahu ‘anhu, tidak mengira siang atau malam. Ini kerana sebab sembahyang sunat wudhu dan sujud syukur itu adalah sebab yang terdahulu bukan terkemudian. Begitulah juga halnya dengan sembahyang-sembahyang lain yang mempunyai sebab yang terdahulu.

Hikmat Pengharaman Sembahyang Pada Waktu-Waktu Berkenaan

Larangan mengerjakan sembahyang pada waktu-waktu tertentu itu mempunyai hikmat yang tersendiri.

Waktu ketika matahari terbit, maka terbitnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan, lalu orang kafir bersembahyang untuknya. Waktu ketika matahari tegak (rembang) pula, ketika itulah neraka Jahannam dinyalakan dan pintu-pintunya dibuka dan waktu ketika matahari hendak terbenam, maka terbenamnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan maka orang kafir bersembahyang untuknya. Perkara ini ada dijelaskan di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam antaranya hadis daripada Abdullah ash-Shunabiji bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Ketika matahari terbit akan disertai oleh syaitan. Jika matahari telah naik, maka syaitan akan meninggalkannya. Apabila matahari tepat berada di tengah (waktu istiwâ’) maka syaitan akan menyertainya, tetapi jika matahari telah gelincir, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila matahari hampir terbenam pula, maka syaitan akan menyertainya dan jika matahari telah terbenam, maka syaitan akan menjauhinya. Di waktu-waktu itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang seseorang mengerjakan sembahyang.” (Hadis riwayat an-Nasa’i) Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Maka sesungguhnya neraka Jahannam dinyalakan pada waktu tengah hari( iaitu ketika matahari berada ditengah-tengah).” (Hadis riwayat an-Nasa’i)

Adapun hikmat melarang sembahyang sunat selepas sembahyang Subuh dan ‘Ashar bukanlah disebabkan sesuatu yang wujud dalam waktu itu, sebab dari segi hukum waktu itu dihabiskan dengan kewajipan waktu, yang lebih baik daripada sunat yang sebenarnya. (Al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 1/520)

Lain-Lain Waktu Yang Ditegah Melakukan Sembahyang

Selain daripada waktu-waktu tegahan bersembahyang sebagaimana yang dijelaskan di atas ada juga beberapa waktu dan keadaan yang juga dilarang sama ada hukumnya makruh atau haram sebagaimana yang akan dihuraikan di bawah ini:

1. Ketika Hendak Didirikan Sembahyang Fardhu

Makruh memulakan sembahyang sunat selepas muadzdzin memulakan iqâmah sembahyang, sama ada sembahyang itu sembahyang sunat rawâtib, seperti sembahyang sunat Subuh, Zuhur atau lain-lain dan sama ada dia meyakini yang dia akan sempat mendapat satu rakaat bersama-sama imam ataupun tidak. (Lihat al-Majmû‘: 4/62)ِ

Dalil pendapat ini ialah hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Apabila sembahyang didirikan, maka tidak boleh dilakukan sembahyang kecuali sembahyang fardhu.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun hikmat larangan bersembahyang sunat selepas iqâmah dilaungkan ialah supaya seseorang itu sempat bersembahyang fardhu bersama-sama dengan imam dari awalnya, iaitu dia boleh memulakan sembahyang beriringan dengan imam. Jika dia sibuk dengan sembahyang sunat, dia akan luput takbîratulihrâm bersama-sama imam. Begitu juga dia akan luput beberapa amalan sembahyang yang menyempurnakan fardhu. Fardhu adalah lebih utama dijaga supaya sempurna. Hikmat lain pula ialah adanya larangan daripada menyalahi imam. (Al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 1/532).

2. Ketika Khatib Berada Di Atas Mimbar

Sebaik saja imam duduk di atas mimbar, maka ditegah dan dilarang daripada melakukan sembahyang. Tegahan ini adalah khusus kepada mereka yang telah sedia ada hadir di masjid sedang imam telahpun duduk di atas mimbar.

Berkata Imam an-Nawawi:

Ertinya: “Berkata ashhâb Syafi‘iyyah: “Apabila imam duduk di atas mimbar adalah ditegah untuk memulakan sembahyang sunat, mereka menaqal bahawa telah ijmâ‘ ulama dalam perkara ini”. Dan berkata pengarang al-Hâwi: “Apabila imam duduk di atas mimbar adalah haram ke atas orang yang berada di dalam masjid untuk memulakan sembahyang sunat, jika waktu itu dia sedang di dalam sembahyang hendaklah dia duduk (berhenti).” (Al-Majmû‘: 4/472).

Haram mendirikan sembahyang sama ada sembahyang itu sembahyang fardhu atau sunat sekalipun qadha sembahyang itu wajib disegerakan. Umapamanya orang yang meninggalkan sembahyang Subuh tanpa sebarang uzur, maka haram dia melakukan qadha Subuh itu sejak dari waktu duduknya imam itu sekalipun sebelum dia membacakan khutbah, atau sekalipun dia yakin yang dia boleh selesai dan sempat mengikuti permulaan khutbah, sebagaimana yang telah dii‘timâdkan oleh ar-Ramli dalam Fatwanya. (Fath al-‘Allâm: 3/111).

Jika dilakukannya sembahyang pada ketika itu, maka tidaklah sah sembahyangnya walaupun pada ketika itu imam membacakan doa untuk sultan ataupun ketika mengucapkan taradhdhi (mengucapkan Radhiallahu ‘anhu apabila disebut nama-nama para sahabat) kerana semua itu dikira ada hubungannya dengan khutbah Jumaat. (Fath al- ‘Allâm: 3/111)

Berkata Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya:

Ertinya: “Tidak sah (sembahyang fardhu seperti sembahyang qadha yang baru dia teringat ketika itu sekalipun wajib disegerakannya atau sembahyang sunat) dan juga tidak sah tawaf dan sujud tilawah atau syukur menurut yang zahir pada keduanya (tawaf dan sujud tilawah atau sujud syukur) sebab mengambil ‘illah para ulama mengapa diharamkan sembahyang (selepas imam duduk di atas mimbar) kerana perbuatan itu adalah menghindar atau berpaling daripada (mendengar) khutbah secara keseluruhan.” (Hawâsyai Syarwani wa Ibnu Qasim ‘ala at-Tuhfah: 2/457)

Sepertimana diharamkan mendirikan sembahyang pada waktu tersebut, adalah juga diharamkan memanjangkan sembahyangnya. Maka, sesiapa yang pada ketika itu (ketika imam duduk di atas mimbar) dia sedang sembahyang, maka wajib dia mentakhfîf (meringankan atau menyingkatkan) sembahyangnya itu. (Fath al-‘Allâm: 3/112)

Maksud mentakhfîfkan sembahyang itu ialah memadai melakukan perkara-perkara yang rukun dan wajib dalam sembahyang sahaja. Ada juga pendapat lain yang mendefinisikan bahawa maksud takhfîf itu ialah meninggalkan tathwîl (memanjangkan) menurut ‘urf (kebiasaan) dan ini adalah pendapat yang awjah sepertimana dalam syarah ar-Ramli. Menurut pandapat ini adalah makruh menambah daripada apa yang wajib sebagaimana yang dikatakan oleh al-Kurdi sebagai menjaga pendapat yang pertama itu. (Fath al-‘Allâm: 3/113)

As-Sayyid Abu Bakar menyebutkan sebagaimana yang dinaqalnya daripada perkataan Ibnu Qasim bahawa sayugia jika dia memulakan sembahyang fardhu sebelum imam (khatib) duduk di atas mimbar, dan khatib itu duduk sedang dia masih di dalam sembahyangnya, jika sembahyangnya itu tinggal dua rakaat maka harus dia melakukannya (menyempurnakannya) dan wajib dia mentakhfîf. Jika banyak (lebih daripada dua rakaat), maka ditegah melakukannya dan wajib dia memberhentikannya atau menukarkannya menjadi sembahyang sunat dan memadailah melakukannya dua rakaat di samping wajib mentakfîfkannya. (Fath al-‘Allâm: 3/113)

Adapun orang yang baru memasuki masjid sedang imam telah duduk atau berada di atas mimbar membaca khutbah, maka harus yakni sunat selagi tidak ditakuti akan luput bertakbîratulihrâm bersama-sama imam sebelum dia duduk. Begitu juga orang yang telah duduk kerana lupa atau jahil tetapi belum panjang jarak masanya disunatkan bersembahyang sunat dua rakaat dengan niat tahiyyatul masjid. (Hawâsyai Syarwani wa Ibnu Qasim ‘ala at-Tuhfah: 2/457)

Pada pendapat mazhab Hanafi dan mazhab Maliki pula, makruh hukumnya melakukan sembahyang tahiyatul masjid pada ketika itu sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang rahmah al-ummah. (Fath al-‘Allâm: 3/113).

Sembahyang Zuhur Sebelum Imam Selesai Menunaikan Sembahyang Jumaat

Antara waktu yang boleh dikira sebagai waktu yang terlarang menunaikan sembahyang ialah pada waktu imam belum selesai mendirikan sembahyang Jumaat. Akan tetapi hukum ini khusus bagi sembahyang fardhu Zuhur dan bagi orang yang meninggalkan sembahyang Jumaat dengan sengaja tanpa uzur syara‘.

Imam an-Nawawi menjelaskan pendapat ashhâb Syafi‘iyyah (ulama-ulama mazhab Syafi‘e) bahawa bagi sesiapa yang diwajibkan ke atasnya menunaikan sembahyang fardhu Jumaat, maka tidak harus menunaikan sembahyang Zuhur sebelum lagi dia terluput sembahyang Jumaat itu tanpa ada sebarang khilâf mengenainya kerana yang dituntut ke atasnya ialah fardhu Jumaat. Jika dia menunaikan sembahyang Zuhur sebelum lagi luput dan imam belum lagi selesai menunaikan sembahyang Jumaat itu, maka menurut qaul jadîd sembahyang Zuhurnya itu adalah tidak sah. Para ashhâb juga sepakat bahawa pendapat yang shahîh ialah batal sembahyang Zuhurnya itu. (Lihat al-Majmû‘: 4/416)

Bahkan, menta’khîr sembahyang Zuhur sehingga selesai sembahyang Jumaat itu adalah disunatkan ke atas orang yang mempunyai keuzuran seperti orang sakit yang berkemungkinan akan hilang uzurnya itu sebelum lagi imam selesai mendirikan sembahyang Jumaat, misalnya dia sembuh atau pulih sehingga benar-benar putus harapannya bahwa dia tidak akan sempat hadir untuk mengikuti sembahyang Jumaat. Kadar waktu itu menurut pendapat yang ashah ialah ketika imam mengangkat belakangnya untuk bangun daripada rukuknya pada rakaat yang kedua. (Lihat Mughni al- Muhtâj: 1/279)

Adakah Harus Mengerjakan Sembahyang Sunat Setelah Mengerjakan Sembahyang Witir?

Sengaja ditimbulkan masalah ini kerana adanya kekeliruan orang ramai tentang hukum mengerjakan sembahyang sunat selepas Witir, adakah diharuskan ataupun sebaliknya. Perkara ini berpunca kerana hadis yang menyarankan untuk menjadikan sembahyang yang terakhir itu ialah sembahyang sunat Witir.

Keraguan ini menimbulkan masalah bagaimanakah halnya dengan orang yang telah mengerjakan Witir berjemaah di masjid bersama-sama imam khususnya ketika bulan Ramadhan. Sehinggakan ada jemaah yang balik meninggalkan masjid sesudah sempurna sembahyang Tarawih supaya dapat mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang Tasbih dan Tahajjud dan selepas itu barulah melakukan sembahyang Witir pada penghujung malam. Ada juga yang tidak melakukan Tahajjud kerana menyangka jika telah melakukan sembahyang Witir tidak diharuskan menunaikan sembahyang sunat lainnya. Dan ada pula yang melakukan dua Witir pada satu malam iatu sekali berjemaah bersama imam di masjid dan mengulanginya sekali lagi setelah dia bersembahyang Tahajjud.

Sebenarnya sebagaimana yang diperkatakan oleh ulama fiqh khususnya dalam mazhab Syafi‘e seperti Imam an-Nawawi bahawa apabila seseorang itu telah mengerjakan sembahyang Witir, kemudian dia hendak mengerjakan sembahyang sunat yang lainnya seperti sunat Tahajjud, hukumnya adalah harus dan tidak makruh perbuatannya itu. Akan tetapi adakah dibolehkan mengulang sembahyang Witirnya itu? Dalam hal ini, sembahyang Witirnya yang awal (yang telah dilakukannya) itu tidak terhapus. Oleh yang demikian janganlah diulangi sembahyang Witirnya itu, tetapi bolehlah dia mengerjakan apa saja sembahyang yang syaf‘an (genap) jika dia mahu. (Al-Majmû‘: 4/22, 32)

Perbuatan mengulangi Witir dalam satu malam itu adalah dilarang. Sebuah riwayat daripada Thalq bin Ali daripada ayahnya, katanya:

Maksudnya: “Saya pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tiada dua Witir dalam satu malam.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Pengecualian Larangan Bersembahyang Pada Waktu-Waktu Larangan Itu

Dalam mazhab Syafi‘e larangan bersembahyang pada waktu-waktu tersebut dikecualikan dalam keadaan-keadaan berikut:

1. Hari Jumaat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa mengerjakan sembahyang ketika matahari tegak (rembang) adalah makruh tahrîm. Bagaimanapun ia dikecualikan pada hari Jumaat. Perkara ini dijelaskan di dalam sebuah hadis daripada Qatadah daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya:

Maksudnya: “Bahawasanya Baginda membenci sembahyang pada tengahari (rembang) kecuali pada hari Jumaat, dan Baginda bersabda: “Sesunguhnya neraka Jahannam dimarakkan (pada saat itu) melainkan pada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Pengkhususan itu pula adalah umumِ untuk orang yang hadir ke masjid atau tidak. Berkata al-Khathib asy-Syarbini:

Ertinya: “Dan pada pendapat yang ashah adalah harus bersembahyang pada waktu ini (waktu matahari tegak) sama ada dia hadir sembahyang Jumaat ataupun tidak.” (Mughni al-Muhtâj: 1/128)

2. Tanah Haram Makkah

Mengerjakan apa saja jenis sembahyang di tanah suci Mekah adalah diharuskan tanpa mengira sebarang waktu sekalipun pada waktu yang terlarang. Pendapat ini adalah yang shahîh di dalam mazhab Syafi‘e dan disokong dengan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda:

Maksudnya: “Wahai Bani Abdi Manaf, jangan kamu melarang seseorang tawaf di rumah ini (Baitullah) dan bersembahyang pada bila-bila waktu yang dia sukai, malam atau siang.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Lagipun bersembahyang di tanah haram Makkah ada tambahan kelebihan atau fadhilat, maka harus mengerjakan sembahyang di sana dalam apa-apa jua keadaan. (Mughni al-Muhtâj: 1/130)

Penutup

Berdasarkan keterangan dan penjelasan yang dibawakan di atas, ada beberapa ibadat khususnya sembahyang yang ada ketikanya ia ditegah untuk dilakukan. Bahkan jika dilakukan sembahyang itu adalah tidak sah. Oleh itu haruslah dijaga dan difahami waktu dan keadaan yang ditegah melakukan ibadat sembahyang pada ketika itu supaya terjamin kesempurnaan ibadat sembahyang kita serta diredhai dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

*Tanbîh (Maksud hadis larangan mengubur mayat pada waktu tertentu itu ialah sembahyang janazah) Mughni al-Muhtâj: 1/363.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10993

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص