Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Istibrâ’

الجواب

Setiap orang perlu menjaga kebersihan, apatah lagi dalam menjaga kebersihan dirinya, sama ada zahiriah atau batiniah. Ada bermacam-macam cara yang dipraktikkan oleh seseorang untuk menjaga kebersihan, akan tetapi ada satu cara yang mungkin segelintir orang tidak mengetahuinya dengan baik. Cara menjaga kebersihan yang kita maksudkan itu ialah istibrâ’. Kalau kita amati, cara ini sebenarnya amat diperlukan kerana kita bukan hanya disuruh beristinjâ’ tetapi juga beristibra‘ sebagai langkah permulaan bagi perbuatan menjaga kebersihan itu. Apakah istibra’ itu sebenarnya?

Pengertian Istibrâ’

Istibrâ’ adalah perkataan arab yang membawa erti menuntut kebersihan.

Dari segi syara‘, perkataan istibrâ’ digunakan dalam dua bentuk:

Pertama, yang berhubungkait dengan kebersihan (thahârah).

Kedua, yang berhubungkait dengan nikah iaitu dalam membicarakan soal penentuan nasab keturunan. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 3/167)ِ

Dalam konteks persoalan istibrâ’ ini, kita hanya akan menyentuhnya dalam bentuk pertama sahaja iaitu thahârah.

Istibrâ’ Di Dalam Thahârah

Ibnu ‘Arafah mendefinisikan istibrâ’ sebagai menghilangkan kekotoran daripada kedua-dua tempat keluar najis. Pengertian ini bermaksud membersihkan air kencing, tahi, mazi, wadi dan mani sebagaimana yang difahami daripada perkataan ulama mazhab Syafi‘e dan Hanbali.

Sementara ulama mazhab Hanafi menta‘rîfkannya sebagai menuntut kebersihan dari luar dengan sesuatu sehingga yakin bahawa tidak ada kesan-kesan najis yang tinggal atau tersisa, dan mereka tidak membayangkan masalah ini ada kaitannya dengan pihak perempuan kerana pada pendapat mereka, perempuan tidak dituntut beristibrâ’. (Hâsyiah Ibnu ‘Abidin: 1/359)

Perkataan-perkataan yang ada hubung kaitnya dengan istibrâ’ ini ialah istinqâ’, istinzah dan istintar. Kesemua perkataan ini membawa makna membersihkan kedua-dua tempat keluar najis daripada apa yang keluar darinya.

Hukum Istibrâ’

Sebilangan besar ulama mazhab Syafi‘e dan Hanbali mengatakan hukumnya adalah sunat dengan beralasan bahawa selepas berhenti pengaliran air kencing itu, ia tidak akan keluar lagi. Sementara ada juga sebahagian daripada ulama mazhab Syafi‘e yang berpendapat bahawa istibrâ’ itu hukumnya wajib, dan inilah juga menjadi pendapat ulama mazhab Hanafi dan Maliki.

Mereka yang mengatakan hukum beristibrâ’ itu wajib berdalilkan dengan hadis ad-Daraquthni:

Maksudnya: “Bersihkanlah kemaluan kamu daripada air kencing, kerana kebanyakan azab kubur berpunca daripadanya.”

Hadis ini disokong dengan kenyataan bahawa jika seseorang itu menyangka atau merasa yakin bahawa mengikut kebiasaannya, jika dia tidak beristibrâ’ nescaya akan keluar sesuatu lagi daripada kemaluannya, maka wajiblah dia melakukan istibrâ’.

Dalil mereka yang kedua:

Maksudnya: “Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui salah satu tembok daripada tembok-tembok Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang manusia yang sedang diseksa di dalam kuburnya. Nabi bersabda: “Dua orang sedang diseksa dan keduanya tidak diseksa kerana dosa besar”. Kemudian Baginda bersabda: “Ya, yang seorang tidak beristibrâ’ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba”. Kemudian Baginda minta diambilkan pelepah kurma yang basah, lalu dibelah menjadi dua dan Baginda letakkan pada masing-masing kuburan itu satu belahan. Lalu dikatakan: “Wahai Rasulullah, kenapakah engkau perbuat ini?” Baginda bersabda: “Mudah-mudahan keduanya diringankan selama dua belah kurma itu belum kering atau sehinggalah ia kering.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hikmat Beristibra‘

Ali al-Ujhuri berkata: “Sesungguhnya beristibrâ’ itu tujuannya boleh difahami oleh akal dan dia bukan daripada amalan ta‘abbudiyyah (semata-mata menurut perintah Allah), kerana dengan beristibrâ’ akan terhenti hadas yang keluar yang boleh membatalkan wudhu”.

Sehubungan dengan ini semua mazhab bersetuju mengatakan, seseorang yang berhadas jika kuat sangkaannya bahawa hadasnya ada yang masih belum habis dan berhenti keluar, maka tidak sah wudhunya tanpa beristibrâ’. Ini bersandarkan kepada kata sepakat para ulama dalam menentukan bahawa suatu hukum itu boleh dibina bersandarkan sangkaan kuat.

Cara Untuk Beristibrâ’

Istibrâ’ itu dilakukan sama ada untuk membersihkan kotoran daripada dubur atau untuk membersihkan air kencing. Jika dilakukan untuk membersihkan najis daripada dubur, maka memadai dilakukan sekira-kira dia merasakan bahawa tidak ada yang tinggal atau tersisa di tempat keluarnya.

Dengan kemudahan yang ada sekarang seperti ‘kertas tandas’ sebagai alat istinjâ’ boleh membantu mengesan sama ada masih ada najis yang tinggal atau sudah bersih dengan yakin. Cara ini adalah lebih baik, ini disebut oleh al-Qur’an bahawa:

Tafsirnya: “Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah at-Taubah: 108)

Menurut suatu riwayat yang dinukilkan oleh Imam Muhammad ar-Razi di dalam tafsirnya al-Fakhr ar-Razi, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu masa pernah berjalan bersama orang-orang Muhajirin sehinggalah Baginda berhenti di pintu Masjid Quba’, lalu Baginda bertanya kepada orang-orang Anshar yang sedang duduk di sana: “Adakah kamu orang-orang yang beriman?” Orang-orang Anshar itu diam tidak menjawab, lalu Baginda mengulang pertanyaan Baginda sekali lagi dan dijawab oleh ‘Umar: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka ini orang-orang yang beriman dan saya bersama mereka”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bertanya: “Adakah kamu redha dengan ketentuan Allah (qadha’)?”. Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersabar jika ditimpa bala?” Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersyukur di atas kesenangan?” Mereka menjawab: “Ya”. Lalu Baginda bersabda: “Demi Allah, kamu memang orang-orang yang beriman”, kemudian Baginda bersabda lagi: “Wahai orang-orang Anshar, sesungguhnya Allah telah memuji kamu, apakah sebenarnya amalan kebersihan yang istimewa yang kamu kerjakan (sehingga mendapat pujian setinggi itu)?” Lalu mereka menjawab: “Kami kalau membersihkan sesudah membuang air besar dan buang air kecil, meskipun telah kami beristinjâ’

dengan batu, selalu kami ikuti membasuhnya dengan air”. Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca ayat di atas.” (Tafsir al-Fakhr ar- Razi: 8/201)

Adapun jika istibrâ’ itu dilakukan untuk membersihkan air kencing, sama ada daripada perempuan ataupun lelaki, maka jika perempuan, tidaklah dituntut istibrâ’ kepada mereka menurut pendapat ulama Hanafi, memadailah dengan menunggu seketika sebelum mereka beristinjâ’. Manakala para ulama Syafi‘e dan Hanbali mengatakan dituntut istibrâ’ dengan cara menekan ari-arinya.

Bagi lelaki pula, istibrâ’ dilakukan dengan apa cara yang terbiasa dibuatnya dengan syarat perbuatannya itu tidak mengheretnya ke arah was-was syaitan atau membawa kepada menyusahkannya, kerana di antara adab istibrâ’ itu ialah dengan membuang perasaan was-was daripada dirinya.

Imam al-Ghazali berkata: “Jangan terlalu banyak berfikir dalam perkara hendak melakukan istibrâ’ sehingga menimbulkan was-was dan menyusahkan.”

Adapun cara untuk seseorang itu menghentikan aliran air kencing daripada zakarnya ialah dengan cara mengurutnya dengan jari-jari tangan kirinya dari pangkal batang zakar hingga ke kepalanya sebanyak tiga kali sehingga tidak tersisa rasa basah di lubang zakarnya. Cara ini boleh dibuat dengan meletakkan jari tengah tangan kirinya di bawah batang zakar dan meletakkan ibu jarinya di atas batang zakarnya itu, kemudian mengurutnya turun hingga ke kepala zakar, dan disunatkan memicitnya dengan lembut untuk mengeluarkan saki baki air kencingnya itu.

Secara umumnya cara untuk beristibrâ’ itu berbeza-beza mengikut kelainan cara yang dilakukan seseorang. Sekalipun begitu, tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan aliran air kencing. Ada yang melakukannya dengan cara yang mudah, ada pula yang terpaksa membuat berulang-ulang kali untuk menghentikannya, dan ada juga yang melakukannya dengan cara berdehem-dehem. Walaupun begitu, makruh membalut kepala zakar dengan kain atau yang seumpamanya untuk menghentikan air kencing daripada keluar. Begitu juga makruh memakan masa yang lama berada di dalam tandas hanya semata-mata untuk tujuan beristibrâ’. (Al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 1/194-195)

Percikan Air Kencing Yang Terkena Pada Badan Atau Pakaian

Sehubungan dengan istibrâ’ ini, kita juga ingin menyentuh masalah percikan air kencing yang terkena pada badan atau pakaian sewaktu seseorang itu membuang air kecil, kerana apa yang kita sedia maklum bahawa air kencing adalah najis. Namun dalam perkara jenis-jenis najis yang boleh dimaafkan yang di antaranya ialah najis yang mempunyai kadar yang sedikit, apakah kadar percikan air kencing yang sedikit itu boleh dimaafkan?

Kadar Najis Yang Boleh Dimaafkan

Imam asy-Syafi‘e menurut qaul jadîdnya ada dua pendapat:

Pertama: Kadar yang banyak itu ialah kadar yang boleh dilihat tanpa memandangnya dengan teliti dan tanpa diperiksa, dan kadar yang sedikit pula adalah yang sebaliknya.

Kedua: Kadar yang ditentukan oleh adat kebiasaan, dan ini adalah pendapat yang lebih diterima (ashah). Pendapat ini mengatakan bahawa apa saja najis yang biasanya berlaku percikan dan susah hendak dielakkan adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit, dan apa jua najis yang jarang berlaku boleh membawa percikan dan mudah untuk dielakkan adalah sebaliknya (najis). (Al-Majmû‘: 3/142)

Hukum Percikan Air Kencing

Percikan air kencing adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit. Ia merupakan suatu perkara yang sukar untuk dielakkan oleh seseorang yang membuang air kecil iaitu setelah mengambil kira bahawa kita telah berusaha dan berhati-hati mengelakkan daripada terkena percikan air kencing itu.

Ramai orang merasa ragu akan kebersihan badan atau pakaiannya yang terkena percikan najis air kencing, sehinggakan mereka menganggapnya sebagai penghalang daripada melakukan ibadat, khususnya sembahyang. Ada pula yang bersusah payah menghilangkan najis percikan air kencing ini dan ada juga yang sanggup menukar pakaiannya semata-mata untuk mengharap agar ibadat yang ditunaikannya itu akan diterima.

Para ulama mazhab Syafi‘e mempunyai pendapat masing-masing dalam menentukan hukum percikan air kencing yang terkena pada badan atau pakaian.

Ada pendapat mengatakan ia adalah di antara najis-najis yang boleh dimaafkan dan ada yang mengatakan ia adalah najis. Para pengarang kitab-kitab fiqh berselisih pendapat dalam memilih pendapat yang lebih diterima. Imam al-Mawardi mengatakan yang ashah adalah pendapat yang mengatakan ia adalah najis. Sebaliknya al-Qadhi Abu Thayyib mengatakan ia tidak najis jika terkena pada pakaian.

Pendapat yang shahîh dan terpilih daripada pendapat-pendapat ini ialah pendapat yang mengatakan bahawa percikan air kencing tidak menajiskan badan atau pakaian. Al-Muhamili mengambil kata putus untuk pendapat ini di dalam kitabnya al-Muqni’ dan Imam al-Ghazali membenarkannya dengan memberikan alasan bahawa najis ini susah untuk dielakkan dan ia boleh mendatangkan kepayahan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “(Dan dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama).” (Surah Al-Haj:78)

Kesimpulannya perbuatan beristibrâ’ itu dilakukan adalah semata-mata untuk membersihkan lebihan air kencing selepas membuang air kecil. Ia wajib dilakukan jika kita yakin masih ada sisa air kencing yang belum keluar bagi mengelakkan badan atau pakaian kita daripada terkena najis. Adapun jika semasa kita membuang air kecil itu, terpercik air kencing ke badan atau pakaian kita, maka ia tidaklah menghalang kita daripada menunaikan fardhu sembahyang kerana ia merupakan di antara najis yang dimaafkan. Meskipun begitu ia tidaklah memberi makna bahawa kita boleh meringan-ringankan soal kebersihan. Kita perlulah berhati-hati semasa membuang air kecil bagi mengelakkan badan atau pakaian kita daripada terkena najis.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10985

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص