Marah: Kesan Dan Pengendaliannya
الجواب
Marah itu adalah satu perubahan sikap yang terhasil ketika menggelegaknya darah di dalam hati untuk menghasilkan kelegaan dalam dada. Demikian pendapat al-Jurjani. Marah memberi erti juga, menghendaki kemudharatan kepada orang yang dimarahi. Maka lawan marah itu ialah redha.
Hakikat Marah
Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala menciptakan sifat marah itu daripada api dan menjadikannya sebagai salah satu tabiat bagi manusia. Apabila terhalang salah satu hajat atau maksud seseorang, nescaya menyalalah api kemarahannya yang menjadikan darah hatinya mendidih lalu mengalir kepada saraf dan menggelegak ke bahagian sebelah atas badannya sebagaimana menggelegaknya api dan sebagaimana menggelegaknya air yang dipanaskan di dalam periuk. Lalu muka dan matanya menjadi merah, sementara di sebalik kulitnya membayangkan warna merah.
Sesungguhnya marah itu akan mengembang apabila seseorang memarahi orang di bawahnya dan merasa berkuasa terhadap orang itu. Jikalau marah itu timbul terhadap orang yang di atasnya dan dia berputus asa untuk membalas dendam, nescaya terjadilah kekecutan darah dari permukaan kulit sampai ke rongga hati dan dia menjadi gundah-gulana.
Jikalau kemarahan itu terjadi terhadap orang yang sebanding atau setaraf dengannya, nescaya darah itu bertukar-ganti di antara mengecut dan mengembang.
Adapun kekuatan marah itu tempatnya adalah di hati. Ertinya darah hati menggelegak untuk menuntut balas, dan kekuatan marah itu digunakan untuk menolak apa yang menyakitkan hatinya sebelum marahnya terjadi dan untuk menyembuhkan dan menuntut balas sesudah marahnya terjadi. Menuntut balas adalah makanan kekuatan tersebut dan keinginannya, kerana dengan menuntut balas akan terhasil kelegaannya, dan dia tidak akan tenteram melainkan dengan menuntut balas atau membalas dendam.
Sesungguhnya manusia itu dalam kekuatan marah ini terbahagi kepada tiga peringkat iaitu:
1. Tafrîth (ketiadaan sifat marah). 2. Ifrâth (sifat marah yang melampau). 3. I‘tidâl (pertengahan antara marah dan tidak marah).
Maksud tafrîth ialah tidak adanya kekuatan marah itu pada seseorang atau kekuatan marah itu sangat lemah. Sifat seumpama ini adalah tercela iaitu orang itu dikatakan tidak mempunyai sifat cemburu pada diri. Imam Syafi‘e berkata: “Orang yang diperbuat sesuatu ke atasnya supaya dia menjadi marah, lalu dia tidak marah, maka orang itu seperti keldai.”
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menyifatkan para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan terkadang-kadang bersifat keras dan berperasaan cemburu atas diri, seperti firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka itu bersikap keras terhadap orang-orang kafir.” (Surah al-Fath: 29)
Allah telah berfirman ke atas NabiNya Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Tafsirnya: “Perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munâfiq itu,dan bersikap keraslah terhadap mereka.” (Surah at-Tahrîm: 9)
Yang dikatakan bersikap keras dan tegas itu adalah bersumber daripada adanya tanda-tanda kekuatan cemburu dalam diri iaitu yang menyebabkan sifat marah.
Hasil sifat marah yang lemah ini ialah ketiadaan harga diri sama sekali untuk menentang sesuatu yang mengganggu kehormatan peribadi dan kehormatan isteri. Dia bersifat acuh tak acuh sahaja ketika peribadinya dihina-dinakan oleh orang-orang yang rendah budinya. Dia merasakan dirinya terlalu kecil dan rendah untuk mempertahankan peribadinya daripada kecaman orang lain.
Adapun maksud ifrâth itu pula ialah sifat marah yang berlebihan sehingga melampaui batas kebijaksanaan akal dan agama. Orang seperti ini buta dan tuli dalam menerima setiap pengajaran. Apabila dia diberi nasihat, nescaya tidak akan didengarnya, bahkan bertambah kemarahannya, dan apabila dia memperolehi cahaya daripada sinar akalnya dan dia mahu kembali kepadanya, nescaya dia tidak sanggup menerimanya kerana sinar akalnya sudah padam dan terus lenyap dengan asap kemarahannya.
Di antara tanda-tanda marah pada zahirnya ialah berubah warna kulit, menggeletar kaki tangan, kelakuan tidak menurut ketertiban dan ketentuan yang biasa, gerak-geri tidak tentu arah, percakapan bercampur suara marah keluar dari rahangnya, mata merah padam dan lubang hidung kembang kuncup.
Adapun tanda-tanda kemarahan yang terdapat pada lidah ialah kelancangan lidah ketika menyebutkan caci maki.
Sementara I‘tidâl itu pula adalah sifat marah yang sederhana. Maka siapa yang marahnya terlalu lemah, sewajarnyalah dia mengubati dirinya sehingga menjadi kuat marahnya iaitu sifat marah yang terpimpin oleh pertimbangan akal dan perintah agama, dan siapa yang marahnya terlalu berlebih-lebihan, maka sewajarnyalah dia mengubati dirinya supaya berkurang kemarahannya sehingga dia berada di tengah-tengah di antara marah yang sangat lemah dan marah yang berlebih-lebihan, dan marah yang sederhana ini adalah jalan yang lurus.
Tingkatan-Tingkatan Marah
Menurut Ibn al-Qayyim, tingkatan marah itu ada tiga, iaitu:
i. Marah taraf permulaan iaitu sekadar marah sahaja. Orang yang marah di peringkat permulaan masih menyedari apa yang diucapkannya dan apa yang dilakukannya dan masih memikirkan akibat-akibat yang akan timbul.
ii. Marah yang bersangatan iaitu marah di peringkat ini sudah sama dengan orang kemasukan syaitan atau orang gila. Fikiran dan pandangannya sudah gelap sehingga tidak sedar lagi apa yang diucapkannya, tidak menyedari apa yang dikerjakannya dan tidak menyedari akibat yang akan timbul.
iii. Marah taraf pertengahan iaitu orang yang betul-betul marah, tetapi masih menyedari perbuatan dan percakapannya. Dengan perkataan lain marah yang mempunyai rasa malu dan rasa takut.
Jenis-Jenis Marah
Marah mengikut sebab-sebab penggeraknya kadang-kadang dipuji dan kadang-kadang dicela.
Sifat marah yang terpuji ialah marah yang diluahkan kerana membela kebenaran dan agama, dan marah kerana menegah kemungkaran dan perkara-perkara haram.
Sementara marah yang tercela itu pula ialah marah pada jalan yang salah, yang dinyalakan oleh kesombongan dan keangkuhan.
Kesan-Kesan Marah Dalam Tindakan Orang Marah
Kebanyakan ulama fiqh berpendapat bahawa orang yang marah dipertanggungjawabkan segala perbuatannya semasa dia marah, dan diambil kira apa-apa saja perbuatan yang lahir daripadanya, seperti perbuatan yang menyebabkannya menjadi kafir, membunuh orang, mengambil harta orang lain tanpa hak, talak dan sebagainya. Mereka berhujjah dengan bersandarkan kepada beberapa dalil, di antaranya:
Hadis Khaulah binti Tha‘labah, isteri kepada Aus bin ash-Shamit ada menyebutkan: “Suaminya telah marah lalu dia menzhihârkannya, maka dia (Khaulah) pun pergi berjumpa Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam lalu memberitahu kepada Baginda perkara itu dan berkata:
“Dia tidak bermaksud untuk mentalakku.”
Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Aku tidak tahu melainkan engkau sebenarnya telah menjadi haram ke atasnya.”
Di dalam hadis ini Allah telah menjadikan talak sebagai zhihâr, dan talak itu jatuh walaupun diucapkan dalam keadaan marah. Akan tetapi jika seseorang itu marah sehingga dia pitam maka tidak berlaku talak kerana hilang akalnya. Dalam keadaan ini dia menyerupai orang gila yang mana tidak jatuh talak yang lahir daripada seorang gila.
Oleh yang demikian, sekiranya seorang manusia yang berada dalam keadaan marah merosakkan sesuatu yang berharga kepunyaan orang lain, maka harta tersebut berada di bawah jaminannya dan dia hendaklah membayar ganti rugi hasil daripada perbuatannya itu. Lain-lain contoh di antaranya:
• Sekiranya dia membunuh seseorang dengan sengaja, maka dia dikenakan qishâsh.
• Sekiranya dia melafazkan lafaz kekufuran, maka dia dihukumkan murtad sehinggalah dia bertaubat.
• Sekiranya dia bersumpah untuk melakukan sesuatu, maka sumpahnya mestilah dilaksanakan (sah sumpahnya).
• Sekiranya dia mentalak isterinya, maka jatuh talaknya itu.
Menahan Diri Daripada Marah
Seorang ulama fiqh, Nur bin Muhammad berkata: “Seorang Muslim hendaklah bersifat lemah-lembut dan sabar kerana ia adalah salah satu sifat orang-orang bertaqwa. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memuji orang-orang yang bersifat lemah-lembut dengan firmanNya:
Tafsirnya: “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” (Surah asy-Syûra: 43)
Ayat ini memberi maksud bahawa orang-orang yang sabar di atas kezaliman yang dilakukan ke atasnya dan dia memaafkan orang yang menzaliminya itu akan mendapat pahala dan ganjaran yang amat besar daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya bersifat sabar dan lemah-lembut dan Allah mengkhabarkan kepada Baginda bahawa nabi-nabi yang terdahulu sebelum Baginda adalah orang-orang yang memiliki sifat demikian. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul (ulul-azmi) daripada kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu).” (Surah al-Ahqâf: 35)
Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya bersifat sabar di atas pembohongan orang-orang kafir dan di atas penyeksaan mereka sebagaimana bersabarnya para nabi sebelum Baginda.
Sementara itu ada hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan tentang kelebihan orang-orang yang dapat menahan kemarahannya, di antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Di dalam hadis yang lain ada menyebutkan:
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Berpesanlah kepadaku”. Nabi bersabda: “Jangan marah.” Kemudian orang tadi mengulangi lagi, lalu Baginda menjawab: “Jangan marah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Wahab bin Munabbih menceritakan bahawa syaitan mahu menyesatkan seorang ahli ibadat Bani Israel, akan tetapi syaitan itu tidak berjaya. Pada satu hari ahli ibadat ini keluar dari rumahnya kerana sesuatu keperluan. Lalu syaitan pun keluar bersamanya agar dia dapat peluang untuk menyesatkannya. Syaitan berusaha menyesatkannya dalam bentuk godaan syahwat dengan cara membuatnya marah, tetapi tidak berjaya lalu dia mencuba lagi dengan cara menakut-nakutkannya iaitu dengan menggugurkan batu dari bukit. Apabila batu itu hampir mengenai ahli ibadat itu, dia pun berzikir mengingati Allah, lalu batu itu pun menyingkir daripadanya. Kemudian syaitan menjelma menjadi singa, lalu ahli ibadat itu berzikir mengingati Allah dan dia tidak takut kepada binatang buas itu. Kemudian syaitan menjelma pula menjadi ular ketika ahli ibadat itu sedang sembahyang. Ular itu melilit kaki dan badannya sehingga ke kepalanya. Apabila ahli ibadat itu hendak sujud, ular itu berlingkar di mukanya dan apabila dia hendak meletakkan kepalanya untuk sujud, ular itu membuka mulutnya untuk menelan kepalanya. Lalu ahli ibadat itu pun miring ke tempat lain untuk membolehkannya sujud. Apabila ahli ibadat itu selesai sembahyang dan beredar dari tempatnya, maka syaitan menemuinya dan berkata:
“Aku telah melakukan itu dan ini tapi aku tidak berjaya memperdayakanmu, maka mulai sekarang aku mahu menjadi sahabatmu dan aku tidak akan menyesatkanmu.”
Maka ahli ibadat pun menjawab: “Sebagaimana aku tidak mahu bersahabat denganmu semasa engkau menakut-nakutkan aku, begitu jugalah hari ini aku tidak ingin bersahabat denganmu.”
Lalu syaitan pun berkata: “Tidakkah engkau mahu bertanya kepadaku tentang keadaan ahli keluargamu sesudahmu?”
Ahli ibadat menjawab: “Aku telah mati sebelum mereka.”
Kemudian syaitan berkata: “Tidakkah engkau mahu bertanya padaku tentang bagaimana cara aku menyesatkan anak-anak Adam?”
Ahli ibadat menjawab: “Ya, khabarkanlah tentang cara bagaimana engkau menyesatkan anak-anak Adam.”
Syaitan berkata: “Dengan tiga perkara: Bakhil, marah dan mabuk:
• Sesungguhnya seseorang manusia itu jika bakhil, aku sedikitkan hartanya pada pandangan matanya, maka dengan cara ini akan menahannya daripada mengeluarkan hak-hak yang wajib dikeluarkannya dan menjadikannya suka kepada harta orang lain.
• Jika seseorang itu marah, kami akan memutar-mutarkannya di antara sesama kami sebagaimana seorang kanak-kanak memutar-mutarkan bola di antara sesama mereka. Meskipun dia boleh menghidupkan orang mati dengan doanya nescaya kami tidak akan berputus asa daripada menggodanya, sesungguhnya dia dibangunkan dan dihancurkan dengan satu perkataan sahaja.
• Jika dia mabuk kami akan memimpinnya kepada semua kejahatan seperti mana dipimpin seekor kambing melalui telinganya menurut sesuka hati kami.”
Hasil daripada cerita ini, syaitan telah memberitahu ahli ibadat itu bahawa orang yang marah sesungguhnya dia berada di tangan syaitan seperti bola berada di tangan kanak-kanak. Jadi syaitan dengan sewenang-wenangnya dapat mempermain-mainkan orang yang sedang marah tadi. Maka disarankanlah kepada orang-orang yang marah supaya bersabar supaya dia tidak menjadi tawanan syaitan dan supaya tidak hangus amalannya.
Diriwayatkan juga bahawa iblis telah menjumpai Nabi Musa ‘Alaihissalam lalu dia berkata: “Engkau telah dipilih untuk menyampaikan risalah Tuhanmu dan Dia telah bercakap-cakap denganmu, sesungguhnya aku adalah salah satu daripada makhlukNya, aku mahu bertaubat kepada Tuhanmu, maka engkau mohonlah kepadaNya supaya Dia mengampunkanku.”
Nabi Musa pun gembira apabila mendengar permintaan iblis itu, lalu dia pun meminta air kemudian berwudhu dan seterusnya bersembahyang. Kemudian dia berkata: “Sesungguhnya iblis salah satu daripada makhlukMu memohon keampunan daripadaMu, maka ampunkanlah dia.”
Lalu Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Wahai Musa sesungguhnya dia tidak bertaubat.”
Kemudian Nabi Musa berkata: “Wahai Tuhanku memang benar dia mahu bertaubat.”
Maka Allah pun menurunkan wahyu kepada nabi Musa: “Sesungguhnya Aku mendengar permohonanmu wahai Musa, suruhlah dia (iblis) bersujud di kubur Nabi Adam, nescaya aku akan mengampunkannya.”
Maka Nabi Musa pun balik dengan gembira dan memberitahu kepada iblis perkara itu. Iblis menjadi marah dan sombong lalu berkata: “Aku tidak sekali-kali sujud kepadanya semasa dia hidup, adakah patut aku sujud sesudah dia mati! Wahai Musa sesungguhnya engkau mempunyai hak ke atasku dengan pertolongan yang engkau berikan kepadaku, maka aku wasiatkan kepadamu dengan tiga perkara:
“Ingatlah aku ketika melakukan tiga perkara:
• Ingatlah aku ketika engkau marah, sesungguhnya aku berada di dalam hatimu mengikut mengalirnya darah di pembuluh darah;
• dan ingatlah aku ketika menemui musuh di dalam pertempuran, sesungguhnya aku ketika seseorang itu menemui musuh, aku akan mengingatkannya kepada isteri, keluarga, harta dan anaknya sehingga dia berpatah balik daripada pertempuran;
• dan jauhilah daripada mendampingi perempuan yang bukan mahram, kerana sesungguhnya aku adalah utusannya kepadamu dan utusanmu kepadanya.”
Adalah diriwayatkan juga daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa: “Apabila pecah gigi depan Baginda semasa perang Uhud, sahabat merasa geram dan kesal dengan keadaan Baginda itu lalu mereka berkata:
“Wahai Rasulullah, jika engkau memohon kepada Allah untuk membalas mereka dan dengan apa yang mereka lakukan ke atasmu, bagaimana pendapatmu?”
Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya aku tidak diutus untuk menjadi seorang pelaknat, tetapi aku diutus sebagai seorang pendakwah dan pembawa rahmat. Wahai Tuhanku, berikanlah hidayatMu kepada kaumku, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang tidak mengetahui.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang menahan lidahnya daripada menjatuhkan maruah orang-orang Islam, nescaya Allah akan membatalkan kejatuhannya pada Hari Kiamat, dan sesiapa yang menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menghentikan kemurkaanNya kepadanya pada Hari Kiamat.”
Bagaimana Menghilangkan Sifat Marah
Sebenarnya seseorang itu tidak akan kekal menyintai atau menyukai sesuatu dan membenci sesuatu. Justeru itu dia tidak terlepas daripada perasaan meradang dan marah. Selama mana sesuatu perkara itu bersesuaian dengannya atau menyalahinya, maka tidak boleh tidak sudah tentu dia menyukai apa yang bersesuaian dengannya dan membenci apa yang menyalahinya yang mana akan disusulinya dengan sifat marah. Sesungguhnya seseorang itu apabila diambil apa yang disukainya, sudah tentu dia akan marah dan apabila ditujukan kepadanya apa yang dibencinya, sudah pasti juga dia akan marah. Maka apa-apa yang disukai oleh seseorang itu terbahagi kepada tiga bahagian:
Pertama: Apa yang penting kepada seseorang amnya seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan kesihatan. Jadi sesiapa yang dipukul badannya, tidak boleh tidak pasti dia akan marah. Begitu juga apabila diambil pakaian yang menutup auratnya, sudah pasti dia akan marah.
Kedua: Apa yang kurang penting bagi seseorang seperti kemegahan, harta banyak, dan binatang ternak. Semua yang tersebut ini adalah disukai menurut kesukaan.
Ketiga: Hal yang mustahak pada sebahagian orang, tidak pada sebahagian orang yang lain seperti buku pada orang yang berilmu kerana ia memerlukan buku itu lalu dia menyukainya, maka dia akan marah kepada orang yang membakar buku itu.
Adapun bahagian yang pertama, maka latihan yang dilakukan untuk menghilangkan sifat marah tidaklah bererti untuk menghapuskan kemarahan sama sekali, akan tetapi untuk dia tidak mengikuti nafsu marahnya melainkan pada batas-batas yang dianjurkan oleh agama dan dipandang baik oleh akal.
Jadi untuk mengalihkan kemarahan dari hati itu, mungkin tidak akan terjadi kerana ia bukan kehendak tabiatnya, tetapi hanyalah untuk mengurangi sifat marahnya sahaja.
Untuk bahagian yang ketiga, samalah keadaannya dengan yang pertama, kerana apa yang menjadi satu dharûri atau kepentingan kepada seseorang, tidak dapat menghalangnya daripada bersifat marah, lantaran orang lain tidak memerlukan kepentingan yang diambil daripadanya itu. Jadi latihan yang dilakukan, dapat melemah dan mengurangkan kemarahannya sehingga dia tidak merasa terlalu pedih di atas kehilangan sesuatu daripadanya dan dia dapat bersabar menerima apa yang telah berlaku.
Sementara bahagian yang kedua pula, kemarahan mungkin dapat dihilangkan melalui latihan, kerana kesukaannya terhadap sesuatu seperti harta yang banyak dapat dibuang apabila dia memahami bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja dan kehidupan di akhirat jua yang kekal abadi. Jadi dengan cara ini dia akan mencari harta di dunia ini mengikut kadar keperluan sahaja.
Sebab-Sebab Yang Menimbulkan Kemarahan
Sebab-sebab yang menimbulkan kemarahan itu ialah sifat megah diri, membanggakan diri, suka bersenda gurau, membuang masa bermain-main, mengejek, memalukan orang, suka bermusuhan, menyalahi janji dan tamak. Semua sifat yang tersebut ini adalah budi pekerti yang tercela pada agama, yang mana seseorang itu tidak akan terlepas daripada mempunyai sifat marah apabila dia mempunyai sifat-sifat yang tersebut. Jadi untuk menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan sifat marah itu tadi, perlulah seseorang itu bersifat dengan sifat-sifat yang menjadi lawannya. Contohnya sifat megah diri, maka perlulah dia bersifat rendah diri untuk menjauhi sifat marah. Begitu juga sifat membanggakan diri, maka perlulah dia menganggap bahawa manusia itu sebenarnya adalah sama rata sahaja.
Adapun sifat bersenda gurau yang menjadi sebab kepada kemarahan, dapat dihilangkan dengan menyibukkan diri dengan kepentingan-kepentingan agama. Begitu juga sikap membuang masa dengan bermain-main dapat dihilangkan dengan kesungguhan mencari keutamaan, dengan berperangai baik dan menimba pengetahuan agama yang dapat menjamin kebahagiaannya di akhirat kelak.
Sifat mengejek pula dapat dihilangkan dengan sifat memuliakan, dan sifat memalukan orang dapat dihilangkan dengan bersifat menjaga lidah daripada perkataan keji. Begitu juga sifat-sifat yang lain, semuanya dapat dihapuskan dengan bersifat dengan lawannya.
Apabila sifat-sifat ini terhapus daripada diri seseorang, maka suci dan bersihlah dia daripada sifat-sifat keji tersebut dan terlepaslah dia daripada kemarahan yang ada pada dirinya.
Kesan-Kesan Marah Yang Dicela
Sifat suka marah adalah suatu sifat yang dikeji dan suatu tabiat buruk. Jika seseorang itu menghambakan dirinya kepada sifat marah, nescaya terhasillah kesan-kesan yang memudharatkan dirinya sendiri khususnya dan masyarakat umumnya.
Adapun kemudharatan terhadap dirinya, dapat diketahui apabila kita menggambarkan keadaan seseorang yang sedang marah. Raut wajahnya berubah, darahnya meluap, anggotanya menggeletar, urat-urat lehernya menegang, pergerakannya kelam kabut, percakapannya tidak jelas, lidahnya mudah mengeluarkan kata-kata keji, mengumpat, mengutuk dan kemungkinan mengeluarkan kata-kata haram yang boleh mengeluarkannya daripada Islam seperti lafaz kufur, mencela agama dan seumpamanya. Selain daripada itu, seseorang yang cepat marah itu akan melakukan tindakan-tindakan yang di luar dugaan yang berkemungkinan akan melibatkan kerugian harta dan kesakitan pada tubuh badan.
Adapun kemudharatan terhadap masyarakat, ia melahirkan perasaan dengki di dalam diri dan menyembunyikan niat jahatnya terhadap seseorang. Ia boleh membawa kepada perbuatan menyakiti orang lain dan membenci serta merasa gembira apabila mereka ditimpa musibah. Seterusnya akan mencetuskan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia. Dengan itu juga, rosaklah kehidupan dan runtuhlah masyarakat.
Ada seperkara lagi yang selalu kita lakukan ketika marah, padahal perkara itu amat membahayakan diri sendiri sebelum ia membahayakan diri orang lain. Mungkin kita menyedari bahawa perbuatan itu salah, tetapi oleh kerana terlalu terpengaruh oleh marah tadi, sehingga kita tidak dapat menimbang lagi segala kata-kata yang diucapkan oleh lidah. Kata-kata itu seperti melaknati orang, menyundal-nyundalkan orang, mencelakakan orang dan sebagainya. Sebab jika kita menyebutkan kata-kata yang tidak senonoh itu kepada orang lain, seolah-olah kita telah menuduhnya dengan ucapan kita itu. Andaikata apa yang diucapkan itu memang benar, nescaya kita telah melanggar perintah menyuruh kita menutup segala keaiban orang lain. Orang yang mendedahkan keaiban saudaranya adalah berdosa besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala sekalipun perkara yang dituduhnya itu memang benar. Apatah lagi jika tidak benar, maka dosanya akan bertimpa-timpa lagi.
Ada setengah ulama menganggap ucapan-ucapan seperti “sial”, “laknat”, “celaka” dan seumpamanya sebagai doa, kerana ada sebuah hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang melarang perbuatan seperti itu. Sebab dikhuatiri, jika ucapan itu berkebetulan dengan masa pengabulan doa dan permintaan, nescaya bencana ucapan itu akan menimpa orang yang ditujukan ucapan itu, kiranya dia memang patut menerima bencana itu pada ukuran Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Tetapi kiranya dia tidak patut menerimanya, maka bencana itu akan kembali menimpa ke atas orang yang menujukan ucapan itu.
Diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, dia berkata: “Suatu masa kami bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang menuju ke medan perang, tiba-tiba ada seorang Anshar merasa tidak selesa terhadap binatang kenderaannya, lalu dia menyumpah-nyumpah binatang itu: “Jalanlah, laknat!” Maka Baginda marah kepada orang Anshar itu lalu bersabda: “Turunlah dari binatang itu! Jangan engkau biarkan ia ikut bersama-sama kita, kerana ia telah mendapat laknat.” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Janganlah engkau mendoakan (kecelakaan) ke atas dirimu atau ke atas anak-anakmu atau ke atas harta bendamu, kerana dikhuatiri bertepatan pada saat doa mustajâb, di mana setiap hamba yang memohon (berdoa) sesuatu daripada Tuhan akan dikabulkan.”
Bagaimana Mengendalikan Marah
Sebenarnya penyakit marah yang dicela itu boleh diubati dengan dua perkara iaitu dengan ilmu dan amal.
Mengubati marah dengan ilmu itu ada enam perkara:
Pertama: Dengan bertafakkur memikirkan kisah-kisah teladan yang menyentuh tentang buruk baiknya bersifat marah, berfikir tentang keutamaan menahan kemarahan, memberi maaf dan berlemah lembut. Dengan cara ini, akan menjadikannya gemar dan suka kepada pahala yang bakal diperolehinya daripada menghiasi diri dengan sifat-sifat tadi. Seterusnya dapat mencegahnya daripada bersifat marah.
Kedua: Dengan cara seseorang itu menakutkan dirinya kepada seksaan Allah dengan berkepercayaan bahawa kekuasaan Allah ke atas dirinya lebih besar daripada kekuasaannya ke atas manusia lain.
Ketiga: Dengan mengingatkan diri akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam.
Keempat: Dengan berfikir tentang bentuk buruk dirinya ketika dia marah dan berfikir tentang betapa kejinya sifat marah itu.
Kelima: Dengan berfikir tentang sebab yang membawanya kepada kemarahan.
Keenam: Dengan menyedari bahawa kemarahannya adalah berpunca daripada sikap membanggakan diri sendiri yang tidak sesuai dengan kehendak Allah.
Sementara itu mengubati marah dengan amal perbuatan pula di antaranya ialah:
Dengan membaca:ِ
yang bererti: “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang kena rejam.”
Inilah ayat yang disuruh baca oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika marah.
Begitu juga sunat dibaca doa ini ketika marah:
Ertinya: “Wahai Tuhanku, Tuhan Nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah aku daripada fitnah-fitnah yang menyesatkan.”
Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca yang demikian, maka hendaklah seseorang itu duduk jika dia marah dalam keadaan dia berdiri, berbaring jika dia marah dalam keadaan dia sedang duduk dan dekatkanlah diri dengan bumi, yang mana dari bumi itulah dia dijadikan dan agar dia tahu akan kehinaan dirinya. Kemudian carilah dengan duduk dan berbaring itu ketenangan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia melekatkan dirinya ke bumi.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda:
Maksudnya: “Apabila seseorang di antara kamu marah dan dia sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk, sesungguhnya yang demikian itu akan menghilangkan marahnya, dan jika tidak maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Selain daripada itu, cara menghilangkan penyakit marah itu juga ialah dengan mendiamkan diri, Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam.” (Hadis riwayat Ahmad)
Oleh kerana kesan-kesan yang tercela yang ditimbulkan oleh sifat marah itu, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menganjurkan kepada umat manusia supaya jangan suka marah, sebab marah itu tidak akan mendatangkan apa-apa yang baik kepada diri, malah ia akan menyebabkan berbagai-bagai bencana, terutama sekali bila perasaan marah itu diletakkan bukan pada tempatnya.
Selain itu, orang yang suka marah itu sering ditunggangi oleh syaitan yang memaksakan kehendaknya ke atas orang yang marah itu. Manakala orang yang menurut kehendak syaitan itu tidak akan selamat di dunia dan di akhirat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-11060
دليل الألوان
