Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب٠ مشاهدة

Variasi Akhlak Yang Membina Kekuatan Dan Merosak Persaudaraan Dalam Islam

الجواب

Pembentukan dan pembinaan kekuatan tali persaudaraan sesama Islam bukan sahaja terjalin melalui hubungan darah kekeluargaan atau keturunan, akan tetapi Islam juga melihat bahawa ikatan persaudaraan itu melewati batasan tersebut dan merangkumi ikatan yang lebih global atas dasar kesatuan aqidah. Orang-orang Islam yang tidak ada pertalian darah kekeluargaan di antara sesama mereka masih tidak terputus hubungan persaudaraan, bahkan mereka itu tetap bersaudara kerana adanya ikatan melalui agama, iaitu agama Islam.

Al-Qur’an telah menyifatkan bahawa ikatan persaudaraan di kalangan sesama Islam merupakan sebahagian daripada sebesar-besar nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini jelas sebagaimana terungkap melalui firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (Surah Âli ‘Imran: 103)

Dalil-dalil Yang Menegaskan Tentang Persaudaraan

Terdapat beberapa jumlah dalil yang terdiri daripada nash al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang dapat dikemukakan sebagai sandaran bagi menyokong tuntutan Islam tentang betapa pentingnya memelihara jalinan persaudaraan dalam Islam itu, antaranya ialah:

1. Firman Allah Ta ‘ala:

Tafsirnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurât: 10)

2. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Seorang Muslim itu adalah saudara bagi seorang Muslim (yang lain) tidak boleh menganiaya dan membiarkannya dianiaya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Diriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam saling cinta mencintai, sayang menyayangi dan bertolong-tolongan di kalangan mereka, umpama satu jasad, apabila sakit satu anggota jasadnya akan terasalah sekalian anggota (yang lain sehinggakan) tidak dapat tidur malam dan demam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seorang daripada kamu sehingga dia mencintai terhadap saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keseluruhan dalil-dalil yang dikemukan di atas memberi petunjuk dan penjelasan yang nyata bahawa setiap orang Islam itu adalah bersaudara tanpa dibatasi oleh darah keturunan, warna kulit, asal-usul bangsa, bahasa dan sebagainya. Oleh itu, tidak lain dan tidak bukan pertalian itu hanyalah terjalin melalui ikatan keimanan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu pula pesuruh Allah.

Contoh Ideal Dalam Persaudaraan Islam

Di zaman permulaan Islam di Madinah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mempersaudarakan tiap-tiap seorang daripada kalangan Muhajirin (orang-orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah) dengan seorang yang lain daripada kaum Anshar (penduduk Madinah). Ianya merupakan satu contoh yang ideal dalam suasana persaudaraan Islam. Al- Qur’an telah memaparkan tentang persaudaraan ini dengan gambaran yang elok, di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala memuji sikap orang-orang Anshar terhadap saudaranya yang berhijrah ke Madinah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan orang-orang (Anshar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah!) sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-Hasyr: 9)

Begitulah sikap orang-orang Anshar terhadap orang-orang Muhajirin sebagaimana yang digambarkan oleh ayat di atas. Mereka membela dan menolong Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan saudara-saudara mereka yang berhijrah dalam keadaan kemiskinan. Orang-orang Anshar amat kasih dan tidak ada rasa benci terhadap saudara-saudara mereka yang baru datang berhijrah ke tempat mereka. Malahan mereka menaruh belas kasihan dan lebih mengutamakan saudara-saudara mereka yang baru datang sungguhpun mereka sendiri (orang-orang Anshar) berada dalam kesulitan.

Diriwayatkan di dalam hadis yang shahîh oleh al-Imam al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana kelaparan untuk meminta makanan. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus lelaki itu kepada isteri-isteri Baginda untuk meminta makanan. Isteri-isteri Baginda berkata: “Yang ada pada kami hanyalah air”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Siapakah yang akan menjamu orang ini?” Seorang lelaki Anshar menjawab: “Saya”. Kemudian dia membawa pergi kepada isterinya, lalu berkata: “Muliakanlah tetamu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam”. Isterinya menjawab: “Yang ada pada kita hanyalah makanan anak-anakku”.

Si suami berkata lagi: “Sediakanlah makanan, nyalakanlah lampu dan tidurkanlah anak-anakmu jika mereka hendak makan malam”. Lalu si isteri pun menyediakan makanan, menyalakan lampu dan menidurkan anak-anaknya. Selepas itu, si isteri bangun berdiri seolah-olah dia memperbaiki lampunya dan memadamkannya. Dengan demikian kedua-dua suami isteri itu dapat meyakinkan tetamu tadi seolah-olah keduanya sudah makan. Padahal kedua-dua mereka dalam keadaan lapar.

Pada waktu paginya, mereka berdua datang berjumpa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Semalam Allah meredhai perbuatan kamu berdua”. Lalu Allah Ta‘ala menurunkan ayat:

Tafsirnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah!) sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-Hasyr: 9)

Sejarah juga telah mencatatkan tentang betapa ketulusan dan kemurnian persaudaraan di antara mereka. Di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibrahim bin Sa‘d daripada bapanya yang meriwayatkan daripada datuknya, beliau berkata:

Maksudnya: “Ketika mereka (Muhajirin) tiba di kota Madinah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mempersaudarakan di antara Abdul Rahman (bin ‘Auf) dan Sa‘d bin Rabi‘. (Sa‘d) berkata kepada Abdul Rahman: “Sesungguhnya aku adalah golongan Anshar yang terbanyak harta, maka aku membahagi hartaku dua bahagian, dan aku mempunyai dua isteri, lihatlah yang mana engkau lebih tertarik daripada keduanya, lalu sebutkan namanya kepadaku, maka aku akan menceraikannya. Kemudian jika sudah habis ‘iddahnya maka kahwinilah dia”. Abdul Rahman berkata: “Semoga Allah memberkati keluargamu dan hartamu, (akan tetapi) di manakah pasar kamu?” Mereka menunjukkannya pasar Bani Qainuqa‘…” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sikap mendahulukan kepentingan orang lain dan kecintaan yang ditunjukkan oleh golongan Anshar terhadap saudara mereka golongan Muhajirin itu mencerminkan ketulusan dan keikhlasan mereka dalam menghubungkan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama Islam yang jarang terdapat dan susah ditemui pada dunia zaman sekarang. Inilah perwatakan masyarakat Islam yang dibimbing dan dibangun oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam semasa di Madinah yang boleh dianggap sebagai model terbaik bagi masyarakat Islam sendiri dan masyarakat lain.

Cara Mengeratkan Hubungan Persaudaraan

Bagaimanakah cara menghubungkan tali persaudaraan yang dituntut dalam Islam? Cara penghubungan yang dituntut bukanlah ianya bermaksud apabila terdapat pihak saudara Islam yang lain menghubungkan tali persaudaraan maka barulah kita menghubungkannya juga. Sikap begini tidak menepati apa yang dikehendaki oleh Islam. Akan tetapi kita mestilah lebih bersikap proaktif terhadap hubungan tersebut. Ataupun dalam erti kata yang lain, kita hendaklah menjadi pihak yang mula-mula sekali menghubungkan tali persaudaraan dengan pihak saudara Islam kita yang lain sungguhpun pihak saudara kita itu tidak ingin dengan hubungan itu. Perkara ini jelas sebagaimana tersebut di dalam hadis yang shahîh, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “(Tidak dikatakan) sebagai orang yang menghubungkan (tali persaudaraan) orang yang hanya membalas (apabila tali persaudaraan itu disambungkan oleh orang lain), akan tetapi (yang dikatakan) orang yang menghubungkan (tali persaudaraan itu) ialah apabila diputuskan tali persaudaraannya dia menyambungkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan at-Tirmidzi)

Di dalam riwayat yang lain disebutkan:

Maksudnya: “Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Kemudian aku berjumpa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu aku memegang tangan Baginda dan aku berkata: “Wahai Rasulullah! Beritahu aku tentang kelebihan-kelebihan amalan”. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Wahai ‘Uqbah! Hubungkan (tali persaudaraan) orang yang memutuskan hubungan denganmu, berilah orang tidak memberimu dan berpalinglah daripada orang yang menzalimimu.” (Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Bagi melaksanakan tuntutan dalam merapat dan menghubungkan persaudaraan, syariat Islam telah menggariskan beberapa adab yang boleh membantu memenuhi tuntutan tersebut apabila adab-adab itu dijaga dan dipraktikkan. Antaranya ialah:

1. Bantu-membantu dan tolong-menolong

Antara ciri-ciri yang penting dalam mengukuhkan tali persaudaraan itu ialah perlunya ada sikap saling bantu-membantu atau tolong-menolong, kerana apalah ertinya persaudaraan jika kita tidak mahu menolong saudara kita ketika dia berkehendakkan pertolongan dan bantuan. Daripada sikap tolong-menolong inilah akan membuahkan perpaduan dan kekuatan ummah.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menggambarkan nilai sikap bantu-membantu ini melalui apa yang diriwayatkan daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin bagi seorang mukmin yang lain adalah seperti satu binaan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebiji batu bata sifatnya adalah lemah sungguhpun ia merupakan bahan konkrit, dan beratus-ratus atau beribu-ribu batu bata yang hanya berselerakan tidak memberi apa-apa kekuatan dan tidak dapat berdiri teguh sebagai sebuah binaan. Akan tetapi satu binaan yang kukuh adalah terbina daripada susunan batu bata yang teratur dan saling bertaut antara satu sama lain. Maka begitu juga sifatnya orang Islam, perpecahan di kalangan mereka di mana masing-masing membawa haluannya sendiri tanpa menghiraukan saudaranya yang lain tidak akan memberi apa-apa kekuatan kepada ummah. Oleh itu, semestinya orang Islam berganding bahu dan tolong-menolong antara satu sama lain dalam setiap keadaan.

Al-Qur’an al-Karim memerintahkan dan mewajibkan tolong menolong, dengan syarat jenis tolong-menolong itu hendaklah pada perkara kebajikan dan taqwa. Sebaliknya menegah dan menghukumkan haram sekiranya tolong-menolong itu adalah pada perkara maksiat dan permusuhan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Mâ’idah: 2)

2. Memberi salam

Apabila seorang Muslim berjumpa dengan seorang Muslim yang lain sunat dia memberi salam dan wajib ke atas orang yang diberi salam menjawab salam tersebut.

Di antara rahsia di sebalik tuntutan mengucapkan salam itu ialah kerana ia merupakan sebab pertama untuk kita beramah mesra dengan seseorang dan menjadi kunci yang membawa kepada terjalinnya hubungan persahabatan dan persaudaraan. Dengan menyebarkan salam di kalangan sesama Islam akan menerbitkan kasih sayang di antara satu sama lain. Hal ini jelas sebagaimana tersebut dalam satu riwayat:

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan iman kamu tidak akan sempurna sehinggalah kamu sayang menyayangi, dan tidakkah aku tunjukkan kepada kamu akan sesuatu apabila kamu melakukannya kamu akan saling sayang menyayangi? Kamu ucapkanlah salam di antara kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Oleh kerana pentingnya salam itu, maka salam juga boleh diutus atau dikirim melalui seseorang atau surat. Jika salam yang diutus melalui surat itu sampai kepada orang yang ditujukan maka wajib salam itu dijawab dengan segera. Begitu juga jika salam yang diutus melalui seseorang sampai kepada orang yang ditujukan salam itu wajib dijawab salam itu dengan berkata:

Ertinya: “Dan ke atas awak dan ke atasnya kesejahteraan.”

3. Berjabat tangan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan umatnya supaya berjabat tangan apabila berjumpa antara satu sama lain. Diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada dua orang Islam yang bertemu lalu berjabat tangan, melainkan diampuni dosa kedua mereka sebelum keduanya berpisah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dipandang dari sudut hukum, berjabat tangan itu adalah sunat pada setiap kali berjumpa atau bertemu. Hukum ini adalah disepakati oleh para ulama. Diriwayatkan daripada Qatadah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Aku (Qatadah) bertanya kepada Anas Radhiallahu ‘anhu: “Apakah berjabat tangan itu terjadi pada sahabat-sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam?” Dia (Anas) menjawab: “Ya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

4. Menghadiahkan senyuman apabila berjumpa

Menunjukkan wajah yang manis dan ceria, kemudian dihiasi dengan senyuman ketika setiap kali berjumpa atau bertemu sesama saudara Islam merupakan satu akhlak yang baik yang dapat mengukuhkan tali persaudaraan. Jenis kebaikan akhlak ini nampak kecil tapi memberi kesan yang amat besar dalam jalinan hubungan persaudaraan. Oleh itu, sunat menunjukkan wajah yang manis ketika setiap kali bertemu. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, di mana Baginda bersabda kepada Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Jangan sekali-kali engkau meremehkan sesuatu daripada kebaikan walaupun hanya dengan menunjukkan kepada saudaramu wajah yang manis.” (Hadis riwayat Muslim) 5. Mengucapkan tahniah dan mendoakan supaya mendapat keberkatan pada munasabah-munasabah tertentu, umpamanya: i) Apabila mendapat cahaya mata Sunat memberi tahniah kepada saudara Islam kita yang baru mendapat cahaya mata dengan ucapan:

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu pada pemberianNya, dan engkau mensyukuri yang Memberi itu, dan semoga anak ini menjadi dewasa dan berbakti kepadamu.” Dan ucapan itu sunat dibalas dengan ucapan:

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu dan semoga Dia memberkati ke atasmu.” Atau:

Maksudnya: “Semoga Allah membalas kebaikanmu dan semoga Allah memberimu rezeki seumpamanya.” ii) Apabila saudara Islam kita bernikah, maka ucapkanlah kepadanya:

Maksudnya: “Semoga Allah memberkati di dalam diri kamu dan memberkati bagi kamu.” Atau:

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu, memberkati ke atasmu dan menyatukan di antara kamu berdua dalam kebaikan.” iii) Apabila datang daripada pelayaran Sunat mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi saudaranya yang baru datang daripada pelayaran dengan mengucapkan:

Maksudnya: “Segala puji-pujian bagi Allah yang telah menyelamatkanmu.” Atau:

Maksudnya: “Segala puji-pujian bagi Allah yang menyatukanmu kembali.” iv) Apabila saudara kita pulang daripada menunaikan fardhu haji Sunat mengucapkan kepada saudara kita yang pulang daripada menunaikan fardhu haji dengan ucapan:

Maksudnya: “Semoga Allah menerima ibadat hajimu, mengampunkan dosamu dan menggantikan (semula) perbelanjaanmu.”

Atau:

Maksudnya: “Ya Allah! Ampunkanlah bagi orang yang melaksanakan ibadat haji dan orang yang dimintakan ampun oleh orang yang melaksanakan haji itu.” v) Ketika menyambut Hari Raya Ketika menyambut Hari Raya disunatkan bagi sesama Muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan ucapan:

Ertinya: “Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada kamu.” vi) Apabila saudara kita membuat sesuatu kebaikan kepada kita, maka ucapkanlahِ kepadanya:

Maksudnya: “Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan.” 6. Saling memberi hadiah pada waktu-waktu tertentu Perkara ini jelas sebagaimana tersebut di dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Biasakanlah oleh kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan saling kasih mengasihi.” (Hadis riwayat Abu Ya‘la)

7. Menziarahi saudara yang sakit

Di antara hak seorang Islam yang perlu dilaksanakan oleh saudara Islamnya sendiri ialah menziarahinya ketika dia sakit, sebagaimana hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas seorang Muslim (yang lain) ada lima perkara, iaitu menjawab salam, menziarahi ketika dia sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan mendoakan orang bersin.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menziarah orang yang sakit itu hukumnya adalah sunat mu’akkadah. Banyak hadis shahîh yang menegaskan mengenai ketetapan hukum tersebut. Antaranya ialah sebagaimana yang diriwayatkan daripada al- Barra’ Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami (melakukan) tujuh perkara dan menegah kami daripada tujuh perkara (iaitu), Baginda menyuruh kami mengiringi jenazah dan menziarahi orang yang sakit…(hingga akhir hadis).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

8. Mengucapkan ta‘ziah ketika sesuatu musibah menimpa saudara yang lain

Ta‘ziah adalah salah satu contoh akhlak yang mulia yang dapat menzahirkan kasih sayang seorang Muslim terhadap saudaranya yang lain. Ianya merupakan satu amalan untuk menenangkan perasaan seseorang yang ditimpa musibah kematian dan meringankan kesedihannya iaitu dengan menyebut-nyebut sesuatu yang boleh menghiburkan hatinya.

Mengucapkan ta‘ziah hukumnya adalah sunat, kerana ia termasuk di antara perkara menyuruh kepada kebaikan dan menegah daripada kemungkaran. Sebagaimana juga, ianya adalah termasuk di antara perkara bertolong-tolongan dalam kebajikan dan taqwa.

Ucapan ta‘ziah boleh dibuat dengan apa juga lafaz yang memberi maksud ta‘ziah. Antara lafaznya:

Ertinya: “Semoga Allah memberi ganjaran yang besar, mengelokkan dukacitamu dan mengampunkan mayat (ahli keluarga)mu.”

Perkara Yang Merosak Hubungan Persaudaraan

Islam melarang dengan tegas setiap individu memperlakukan segala bentuk akhlak yang tidak baik terhadap individu yang lain, di mana natijahnya akan menyumbang kepada keretakan hubungan sesama Islam dan akan menyebabkan perpecahan di antara umat Islam. Antara perlakuan yang mesti dihindari:

1. Hasad dengki

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang umatnya daripada segala sifat keji, di mana salah satunya ialah sifat hasad dengki.

Hakikat hasad dengki itu ialah rasa kurang senang terhadap nikmat yang dikecapi oleh orang lain, lalu mengharap-harapkan agar nikmat itu terhapus daripadanya.

Larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu jelas sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Janganlah kamu saling benci-membenci, dan janganlah kamu saling berdengki-dengkian, dan janganlah kamu saling bermusuh-musuhan. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hukum berdengki-dengkian itu adalah haram menurut ijmâ‘ (kesepakatan) umat Islam, kecuali hasad dengki terhadap nikmat-nikmat yang diperolehi oleh seorang yang derhaka kepada perintah-perintah Allah seperti orang fâsiq dan kafir, lalu dijadikan nikmat itu untuk melakukan maksiat dan larangan Allah Ta‘ala. Dalam hal ini tidaklah dilarang bila seseorang itu mengharap-harapkan agar nikmat itu hilang daripadanya, dengan tujuan supaya segala kemungkaran yang dilakukan akan terhenti dan tidak lagi berlarutan.

Menaruh perasaan dengki terhadap nikmat dan kesenangan yang dikecapi oleh seseorang, lalu dengan sebab itu menimbulkan kebencian terhadap orang itu, samalah seperti tidak menyukai dan tidak redha terhadap qadha’ Allah Ta‘ala dan ketentuanNya dalam melebihkan setengah hambaNya daripada setengah yang lain. Sikap seperti ini tidak syak lagi tentulah mendatangkan dosa.

Kesannya terhadap hubungan sesama Islam pula, tidak syak lagi akan melemah dan merenggangkan ikatan persaudaraan tersebut, kerana tidak lagi wujud dalam dirinya rasa kasih sayang terhadap saudara Islamnya, malahan membencinya.

Akan tetapi tidaklah menjadi kesalahan jika sekiranya seseorang itu mengharapkan supaya memperolehi sesuatu nikmat yang serupa dengan apa yang dikecapi oleh orang lain, selama mana dia tidak mengharapkan atau bercita-cita agar nikmat itu lenyap daripada orang lain, dan dia juga tidak membenci kalau orang itu terus mengecapi nikmat itu. Hasad dengki jenis ini dikatakan sebagai al-ghibthah.

Dengki dalam erti kata al-ghibthah, jika sekiranya dalam perkara ketaatan atau kebaikan, maka ianya adalah sesuatu yang dipandang baik dari segi syara‘. Umpamanya, seseorang melihat saudaranya yang lain mempunyai harta dan membelanjakannya pada jalan yang hak, seperti bersedekah, menderma kepada anak-anak yatim atau sebagainya, lalu dia bercita-cita untuk melakukan perkara yang serupa jika berkemampuan. Maka dengki (al-ghibthah) dalam perkara seperti ini adalah sesuatu yang dipandang baik dari segi syara‘.

Jika sekiranya al-ghibthah itu pula dalam perkara yang mendatangkan dosa, maka ianya adalah dikeji. Umpamanya, seseorang melihat saudaranya yang lain mempunyai harta dan membelanjakannya pada jalan yang haram, lalu dia bercita-cita untuk melakukan perkara yang serupa jika berkemampuan, maka dengki (al-ghibthah) dalam perkara seperti ini adalah dikeji dari segi syara‘.

Jika sekiranya al-ghibthah itu dalam perkara yang diharuskan, maka ianya adalah harus.

Sehubungan dengan ini Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak (dibenarkan) hasad dengki melainkan pada dua perkara (iaitu): Seorang yang dikurniakan oleh Allah harta yang banyak, lalu dia menaburkan harta itu pada perkara-perkara yang benar, dan seorang yang diberikan oleh Allah ilmu, lalu dia mengamalkan ilmu itu serta mengajarkannya (kepada orang lain).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan bahawa maksud hadis di atas ialah, tiada dengki (al-ghibthah) yang terpuji melainkan dua perkara yang telah disebutkan di dalam hadis di atas dan perkara-perkara yang seumpama keduanya.

2. Menganiaya dan membiarkan saudara Islamnya dianiaya Perbuatan menzalimi atau menganiaya orang lain hukumnya adalah haram, apalagi jika yang dianiaya itu saudara Islamnya sendiri. Ini jelas sebagaimana diperuntukkan di dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda:

Maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim (yang lain). Tidak boleh menganiaya dan membiarkannya dianiaya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut al-Imam Ibnu Hajr al-‘Asqalani ketika beliau menjelaskan keterangan maksud hadis di atas, bahawa seorang Muslim yang berlaku zalim atau membuat aniaya kepada seorang Muslim yang lain hukumnya adalah haram. Tidak sepatutnya dia membiarkan saudaranya disakiti oleh orang lain atau membiarkannya dalam keadaan yang boleh menyakitinya. Bahkan hendaklah dia menolong dan mempertahankannya.

3. Tidak menegur sapa

Seorang Muslim yang tidak mahu menegur sapa dan memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya yang lain lebih daripada tiga hari hukumnya adalah haram tanpa ada alasan atau keuzuran yang dibenarkan syara‘. Ini jelas sebagaimana diperuntukkan di dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang Muslim memutuskan saudaranya (tidak menegur sapa) lebih daripada tiga hari; bila keduanya bertemu maka yang seorang ini berpaling dan yang seorang lagi membelakangi. Dan orang yang lebih baik daripada keduanya ialah orang yang memulakan dengan ucapan salam. ” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika sekiranya terdapat sesuatu alasan atau keuzuran yang dibenarkan syara‘ yang mendorongnya tidak menegur sapa, maka tidaklah menjadi apa-apa. Umpamanya, saudaranya itu telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syara‘, maka harus dia tidak menegur sapa saudaranya itu sehinggalah dia bertaubat daripada perbuatannya itu. Hal ini adalah berdasarkan sebuah riwayat di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menegur sapa Ka‘ab bin Malik selama lima puluh malam disebabkan dia tidak ikut serta dalam peperangan Tabuk tanpa ada keuzuran, sehinggalah Allah menerima taubatnya barulah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menegurnya kembali.

Menurut al-Imam Ibnu Hajr al-‘Asqalani, bahawa dalam konteks menegur sapa untuk mengembalikan hubungan yang terputus, terdapat dua taraf kedudukan:

i) Taraf yang lebih tinggi (yang maksima): Iaitu menghindarkan daripada tidak bertegur sapa secara total dengan cara memberi salam, berbual-bual atau bercakap-cakap dan mengeratkan persahabatan melalui berbagai cara yang dapat dilakukan.

ii) Taraf yang lebih rendah (yang minima): Iaitu menegur sapa dengan hanya memberi salam tanpa mengambil sebarang inisiatif yang lain untuk merapatkan kembali hubungan yang terputus.

Oleh itu, ancaman yang berat (berdosa) bagi sesiapa yang tidak berusaha untuk mengembalikan hubungan yang terputus dengan mengambil tindakan yang minima iaitu memberi salam.

Adapun orang yang tidak berusaha untuk mengembalikan hubungan yang terputus dengan mengambil tindakan yang maksima, jika pertelingkahan itu tidak membabitkan hubungan kaum kerabat (yang tidak mempunyai pertalian darah), maka tidaklah mendatangkan dosa. Sebaliknya, jika pertelingkahan itu membabitkan hubungan kaum kerabat (yang mempunyai pertalian darah), maka yang demikian itu dikira sebagai memutuskan pertalian kekeluargaan.

Hukum memutuskan tali kekeluargaan itu adalah termasuk di antara perkara yang mendatangkan dosa besar. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan -ِ jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah, serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatan mereka.” (Surah Muhammad: 22-23)

4. Menghina atau mengejek

Yang dimaksudkan dengan penghinaan ialah memandang rendah atau menjatuhkan martabat seseorang, ataupun mendedahkan keaiban dan kekurangan seseorang dengan tujuan menjadikannya bahan ketawa. Ini boleh berlaku dengan menceritakan perihal orang lain dengan tutur kata, perbuatan, isyarat ataupun dengan cara lain yang boleh membawa maksud dan tujuan yang sama. Tujuannya ialah untuk merendahkan diri orang lain, menjadikannya bahan ketawa, menghina dan memperkecilkan kedudukannya di mata orang ramai.

Hukumnya adalah haram. Larangan menghina atau mengejek ini jelas dinyatakan di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.” (Surah al-Hujurât: 11)

Termasuk di antara perbuatan menghina yang diharamkan itu ialah memanggil dengan panggilan atau gelaran yang tidak baik, yang tidak sedap didengar oleh orang yang kena panggil, di mana panggilan itu membawa kepada suatu bentuk penghinaan dan cemuhan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fâsiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fâsiq (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah!) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fâsiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurât: 11)

Oleh itu, tidak sepatutnya seorang Muslim berbuat jahat kepada saudaranya yang lain dengan memanggil atau menggelar saudaranya itu dengan panggilan yang tidak sedap didengar dan memalukan. Perkara ini tidak syak lagi akan menyakitkan hati saudaranya dan membakar api permusuhan sesama Islam.

5. Membocorkan rahsia Mendedahkan rahsia orang adalah di antara perkara-perkara yang dilarang, kerana perbuatan itu akan menyakiti hati orang lain dan tidak mengendahkan tentang kepentingan orang itu.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Apabila seseorang telah memberitahu sesuatu perkara, lalu dia pergi, maka itu adalah suatu amanah (tidak boleh disebarkan).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Oleh itu, membocorkan rahsia orang dikira tidak amanah. Ini adalah suatu pengkhianatan, dan mengkhianati orang lain adalah haram hukumnya, jika ianya boleh mendatangkan bahaya atau mudharat kepada orang itu. Kalau pun tidak mendatangkan bahaya atau mudharat, maka itu samalah seperti kita menghinanya.

6. Mengumpat

Mengumpat adalah di antara seburuk-buruk kejahatan. Yang dimaksudkan dengan mengumpat ialah menyebut seseorang dengan sesuatu yang tidak disukainya, sama ada pada badannya, agamanya, dunianya, bentuk kejadiannya, perangainya, hartanya, anaknya, orang tuanya, suami/isterinya, pembantu rumahtangganya, serbannya, pakaiannya, gaya berjalannya, gerak-gerinya dan sebagainya yang bersangkut paut dengan dirinya. Tidak kira sama ada menyebut-nyebut itu dengan percakapan, tulisan ataupun dengan isyarat melalui mata, tangan, kepala atau sebagainya.

Hukum mengumpat itu adalah haram menurut ijmâ‘ seluruh umat Islam. Dalilnya adalah jelas tersebut di dalam al-Qur’an, sunnah dan ijmâ‘.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain. Sukakah seseorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi amat Mengasihani.” (Surah al-Hujurât: 12)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengumpamakan orang yang mengumpat saudaranya sendiri seperti memakan daging saudaranya yang telah menjadi bangkai. Setiap manusia sudah tentu tidak mahu makan daging manusia. Apatah lagi daging saudaranya sendiri, dan daging itu pula sudah menjadi bangkai. Ini menunjukkan betapa buruk dan kejinya perbuatan mengumpat itu di sisi Allah Ta‘ala.

7. Mengadu domba (menyebarkan fitnah hasutan)

Mengadu domba atau di dalam bahasa Arabnya disebut sebagai an-namîmah ialah memindahkan ucapan dari seorang ke seorang dengan maksud untuk merosakkannya.

Menurut al-Imam al-Ghazali Rahimahullahu Ta‘ala, pada kebiasaannya an-namîmah adalah diistilahkan bagi perbuatan orang yang menceritakan percakapan orang lain kepada orang yang diceritakan mengenainya, umpamanya dia berkata: “Si anu mengatakan tentang kamu begitu begini”. Sebenarnya an-namîmah itu tidak terhad kepada yang demikian itu, bahkan ianya lebih umum, iaitu mendedahkan segala perkara yang tidak patut disebarkan, sama ada ianya tidak disukai oleh orang yang diceritakan mengenainya, ataupun tidak disukai oleh orang yang diceritakan kepadanya, ataupun tidak disukai oleh orang ketiga. Tidak kira sama ada cara mendedahkan itu dengan percakapan, tulisan, isyarat, gerak-geri atau seumpamanya, dan sama ada yang didedahkan itu berupa percakapan ataupun perbuatan, dan sama ada ia sememangnya suatu keaiban ataupun bukan.

Jelasnya, hakikat an-namîmah (mengadu domba) itu ialah, membocorkan rahsia orang lain dan melanggar kehormatannya dengan mendedahkan rahsia yang dia tidak ingin orang lain mengetahuinya. Hukumnya adalah haram. Ini adalah berdasarkan dalil-dalil yang bersumber daripada al-Qur’an, sunnah dan ijmâ‘. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai).” (Surah al-Qalam: 11)

Diriwayatkan daripada Hudzaifah Radhiallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (suatu hari) melintasi dua buah kubur, lalu bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mereka sedang diseksa, kedua-dua mereka tidak diseksa kerana dosa besar (menurut anggapan mereka).” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Bahkan (itu adalah dosa besar), adapun salah seorang daripada mereka ialah orang yang suka ke sana ke mari mengadu domba dan yang seorang lagi ialah orang yang tidak bersuci daripada air kencingnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apakah Yang Perlu Dilakukan Jika Seseorang Menerima Cerita Yang Berbau Fitnah Hasutan?

Al-Imam al-Ghazali menegaskan, setiap orang yang diceritakan kepadanya tentang sesuatu dengan maksud menyebar fitnah hasutan, umpamanya diceritakan kepadanya: “Si anu mengatakan kamu begini begini”, maka hendaklah dia mengambil enam tindakan di bawah ini:

i) Tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan kepadanya, kerana pengadu domba itu adalah orang fâsiq, dan orang fâsiq itu berita yang dibawanya tidak dapat dipercayai.

ii) Melarang perbuatannya itu serta memberinya nasihat dan menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah tidak baik.

iii) Membencinya kerana Allah, sebab Allah Ta‘ala amat membenci pengadu domba, dan membenci kerana Allah ketika itu adalah suatu kewajipan.

iv) Jangan sekali-kali berperasangka buruk tentang apa yang disampaikan itu, kerana Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.” (Surah al-Hujurât: 12)

v) Janganlah cerita yang disampaikan itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada ianya benar atau sebaliknya, sebab Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.” (Surah al-Hujurât: 12)

vi) Jangan merasa senang atau suka dengan perbuatan pengadu domba itu, dan seterusnya tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang diceritakan kepadanya itu.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada ‘Umar bin Abdul Aziz Radhiallahu ‘anhu, dia menceritakan sesuatu tentang seorang lelaki lain, lalu ‘Umar bin Abdul Aziz berkata: “Jika kamu mahu diperiksa, kami akan memeriksa ceritamu itu. Jika ternyata kamu berdusta, kamu termasuk salah seorang daripada mereka yang disebutkan dalam ayat ini:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fâsiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.” (Surah al-Hujurât: 6)

Jika kamu benar dalam menyampaikan cerita ini, kamu termasuk salah seorang dari mereka yang disebutkan dalam ayat ini:

Tafsirnya: “Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai).” (Surah al-Qalam: 11)

Jika kamu mahu minta maaf, kami sedia memaafkan kamu.” Lelaki itu pun berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Aku tidak akan mengulangi perbuatanku ini selama-lamanya.”

8. Tidak menghormati dan menyakiti jiran tetangga

Jiran tetangga merupakan antara golongan masyarakat yang hampir dan rapat hubungan dengan kita. Oleh itu, adalah penting hubungan tersebut sentiasa dalam keadaan yang baik dan harmoni. Jiran tetangga yang baik akan sentiasa menghormati hak jiran tetangganya, melayaninya dengan baik dan mudah untuk memaafkan jika terjadi sesuatu perselisihan.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya berlaku baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga yang dekat ataupun yang jauh. Ini jelas sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya.” (Surah an-Nisâ’: 36)

Menyakiti jiran tetangga bererti mencabuli hak yang diperuntukkan oleh syara‘ dan ianya tidak syak lagi suatu tindakan yang mendatangkan dosa. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menjelaskan tentang ancaman orang yang menyebabkan jiran tetangganya tidak aman tenteram melalui sabda Baginda:

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga seorang yang jiran tetangganya tidak aman daripada kejahatannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Kesannya dari aspek persaudaraan pula, jika jiran tetangga itu daripada kalangan orang Islam, tidak diragukan lagi akan menimbulkan ketegangan, dan mungkin juga sehingga membawa kepada keretakan hubungan persaudaraan.

Inilah di antara hikmat mengapa Islam menyuruh umatnya supaya berbuat baik terhadap jiran tetangga, iaitu demi mempererat hubungan dan menolak perpecahan.

9. Sombong atau bongkak

Sombong atau bongkak merupakan sifat yang dikeji dalam pandangan syara‘. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya.” (Surah an-Nisâ’: 36)

Al-Imam al-Ghazali Rahimahullahu Ta‘ala menegaskan bahawa orang yang sombong itu tidak mampu untuk mencintai saudaranya yang beriman sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri, dan tidak mampu untuk merendahkan dirinya. Sedangkan merendahkan diri itu punca bagi akhlak orang-orang bertaqwa. Orang yang sombong itu tidak dapat menjauhi perasaan dendam kesumat, sentiasa tidak dapat bercakap benar, tidak dapat meninggalkan sifat suka marah, tidak dapat menguasai dirinya untuk menahan kemarahan, tidak dapat menjauhi hasad dengki, tidak sudi mendengar nasihat yang baik, bahkan tidak mahu mendengar nasihat sama sekali. Tabiatnya juga suka merendahkan orang lain dan mengumpat.

Jika demikian halnya orang yang sombong itu, maka tidak diragukan lagi kesannya terhadap hubungan persaudaraan akan menjadi renggang. Ini adalah disebabkan wujudnya dalam diri orang yang sombong itu sifat tinggi diri dan sentiasa melihat rendah terhadap orang lain. Maka sudah tentu tidak akan wujud perasaan kasih sayang dan suasana hormat menghormati antara satu sama lain.

10. Mencari-cari kesalahan orang

Dalam menjaga kehormatan orang lain dan keharmonian bermasyarakat, Islam melarang penganutnya daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mencabuli kehormatan dan keharmonian tersebut. Salah satu perkara yang dapat memberi kesan yang buruk terhadap keharmonian itu ialah dengan mencari-cari kesalahan dan membuka keaiban orang. Larangan tersebut jelas disebutkan di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.” (Surah al-Hujurât: 12)

Oleh itu, setiap orang mempunyai kehormatan dirinya yang tidak boleh dicabuli dengan mendedahkan dan mencari-cari apa keaiban atau kesalahannya, sekalipun dia berbuat dosa, selama mana dilakukan bukan secara terang-terangan. Apatah lagi jika ianya merupakan perasangka atau tuduhan yang tiada berasas.

Apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan mencari-cari kesalahan dan mendedahkan keaiban orang? Ianya tidak lain hanyalah menggembirakan orang yang berhati busuk. Orang-orang yang suka mencari kesalahan dan membuka keaiban orang itu merasa seronok dengan perbuatan mereka itu kerana diperdaya oleh syaitan sehinggakan pandangan mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan itu merupakan sesuatu yang elok.

Dalam menggalakkan supaya tidak berlaku penganiayaan terhadap kehormatan orang lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menjamin tentang balasan orang yang menutupi rahsia dan keaiban orang lain melalui sabda Baginda:

Maksudnya: “Dan barang siapa menutupi rahsia seorang Islam nescaya Allah menutupi (rahsia)nya pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebaliknya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi peringatan kepada orang-orang yang suka mencari-cari kesalahan dan mendedahkan keaiban orang lain bahawa orang itu tetap akan dibukakan keaiban dan rahsianya oleh Allah Ta‘ala, sungguhpun dia berusaha untuk menutupinya. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang menyatakan beriman dengan lidahnya tetapi iman itu belum sampai ke hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang-orang Islam, dan jangan kamu mencela mereka, dan jangan kamu mencari-cari keaiban mereka, kerana barang siapa yang mencari-cari keaiban saudara Muslimnya nescaya Allah pun akan mencari-cari keaibannya. Dan barang siapa yang Allah mencari-cari keaibannya Dia akan membukakan keaibannya itu walaupun dia berada di dalam rumahnya bersembunyi daripada orang ramai.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Keseluruhan akhlak yang tidak baik yang telah kita sebutkan tidak syak lagi boleh melenyapkan suasana persaudaraan sesama Islam. Sebab itu Islam melarang secara tegas perkara-perkara tersebut demi memelihara persaudaraan itu.

Sebagai kesimpulan, keseragaman aqidah Islamiah yang membentuk jalinan persaudaraan Islam tidak akan begitu mantap dan utuh jika tidak dipelihara dan dipupuk dengan beberapa adab dan peraturan yang telah digariskan oleh Islam sebagai mempertahankan dan menjaga keutuhan jalinan tersebut supaya berdiri di atas landasan yang kuat. Di samping itu, menjauhi dan menghindari sebarang perilaku yang boleh melemahkan daya kekuatan jalinan persaudaraan itu perlu juga diimplimentasi atau dilaksanakan bersama supaya jalinan yang terbina itu tidak akan rapuh dan mudah goyah. Dengan itu akan terbinalah masyarakat Islam yang harmoni, bersatu padu dan sayang menyayang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-11073

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص