Mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam: Satu Tuntutan Wajib!
الجواب
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam merupakan seorang yang amat agung dan mulia, dianggap oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai kekasihNya dan menjadi kesayangan umat Islam sejagat. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan tentang diri Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu, hanya kita berpandukan dengan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia. (Surah al-Qalam: 4)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:
Tafsirnya: Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Surah al-Anbiyâ’: 107)
Terdapat lagi ayat-ayat lain dan hadits yang banyak memperkatakan tentang kemuliaan dan keagungan diri Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Kedatangan Baginda dengan membawa syariat Islam telah memberi sinar hidayah kepada manusia, menyuluh kehidupan manusia yang dahulunya berada dalam kegelapan kepada cahaya kehidupan yang penuh keimanan serta mengangkat wanita daripada serendah-rendah martabat kepada kedudukan yang tinggi, bahkan mengangkat manusia seluruhnya kepada kedudukan yang mulia.
Hukum Mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam
Mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam merupakan satu tuntutan agama dan mentaati perintah Baginda adalah satu perintah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perintah ini jelas disebut dalam firmanNya:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Jika kamu berpaling (derhaka terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya), maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir.” (Surah Âli ‘Imran:32)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, maka jika kamu berpaling (daripada mentaati Rasul Kami, kamulah yang akan menderita, bukan Rasul Kami) kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.
(Surah at-Taghâbun: 12)
Bagaimana Mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam?
Memang tidak dinafikan bahawa kasih sayang umat Islam terhadap junjungan besar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam amat besar. Baginda dipuja, disanjungi dan dihormati bukan sahaja kerana Baginda adalah kekasih Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, malahan juga kerana kukuhnya nama Baginda dalam hati setiap umat Islam. Sebarang cacian yang dilemparkan kepada Baginda oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab amat mengusik hati umat Islam sehingga ada yang bangkit menyatakan rasa marah bahkan rela berkorban demi mempertahankan kehormatan dan kesucian Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Antara cara menyatakan kecintaan kepada Baginda yang jelas disebutkan dalam ajaran Islam:
1. Mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Di dalam al-Qur’an al-Karim, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan umat manusia untuk mentaati suruhan dan meninggalkan larangan RasulNya. FirmanNya:
Tafsirnya: Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasul Allah kepada kamu maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. (Surah al-Hasyr: 7)
2. Meneladani akhlak Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan semulia-mulia akhlak. (Hadits riwayat Ahmad)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memuji akhlak Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia. (Surah al-Qalam: 4)
Justeru, sewajarnyalah kita mencontohi atau meneladani akhlak Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat.
(Surah al-Ahzâb: 21)
3. Menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan berpegang teguh kepada ajaran al-Qur’an dan sunnah Baginda.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; kamu tidak akan tersesat selama mana kamu berpegang teguh pada kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah nabiNya. (Hadits riwayat Malik)
4. Mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Rasa cinta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga dapat direalisasikan dengan sentiasa memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi; wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
(Surah al-Ahzâb: 56)
Fadhilat Mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam
Selain daripada memenuhi tuntutan agama, mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan keikhlasan hati juga mengandungi fadhilat yang menguntungkan. Antaranya:
1. Memperolehi kasih dan cinta Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di samping mendapat keampunan dosa-dosa kecil.
Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sendiri:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad!): “Jika kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Surah Âli ‘Imran: 31)
2. Merupakan sebahagian daripada kesempurnaan iman.
Daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehingga diriku menjadi orang yang paling dicintai melebihi ibu bapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Memperolehi kemanisan iman sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Tiga perkara apabila seseorang itu miliki dalam dirinya, nescaya dia akan merasakan manisnya iman, iaitu: Allah dan RasulNya lebih dia cintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam api neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
4. Mendapat kedudukan di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Maksudnya: Selawat umatku dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak berselawat kepadaku, dialah yang mempunyai kedudukan yang paling dekat denganku. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Selawat dari segi bahasa bererti do‘a serta permohonan rahmat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Pada kebiasaannya perkataan selawat digunakan untuk memuji Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Fadhilat berselawat kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam amat banyak dan antaranya ialah mendapat kedudukan yang dekat dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Fadhilat ini disebut kerana orang yang sering berselawat ke atas Baginda adalah orang-orang yang mencintai Baginda.
Mencintai dan mengasihi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bukan semata-mata hanya di mulut sahaja, malahan juga diiringi dengan mencontohi akhlak Baginda yang mulia kerana dengan kecintaan kita yang mendalam terhadap Baginda akan membawa kita dekat di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Dalam sebuah hadits riwayat Anas Radhiallâhu ‘anhu, beliau menceritakan:
Maksudnya: Seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang Hari Kiamat, katanya: “Bilakah berlaku Hari Kiamat?” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya semula kepada lelaki tersebut: “Apa yang
engkau sediakan untuk menghadapinya?” Lelaki itu menjawab: “Tiada apa-apa kecuali kecintaanku kepada Allah dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Engkau akan bersama orang yang engkau cintai.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14321
دليل الألوان
