Membaca Dan Mengkhatam Al-Qur’an: Kelebihan Dan Keberkatannya
الجواب
Membaca al-Qur’an adalah umpama berniaga yang tidak menempuh kerugian, bahkan akan memperolehi pahala yang berlipat ganda. Ini dapat kita ketahui melalui firman Allah:
Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Surah Fâthir: 29)
Adalah dimaklumi bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-pertuan Negara Brunei Darussalam pernah menitahkan supaya pegawai-pegawai kerajaan akan membaca al-Qur’an sebelum memulakan tugas. Ia merupakan suatu kesempatan yang kena pada masanya dan sangat dijunjung tinggi, yang mana faedahnya bukan sahaja kembali kepada individu-individu, bahkan akan memberi kesan baik serta berkat kepada masyarakat dan negara. Maka perintah dan galakan seumpama ini adalah selari dengan perintah dan tuntutan dalam Islam, lebih-lebih lagi membaca al-Qur’an itu sehingga khatam.
Membaca al-Qur’an adalah di antara ibadat yang sangat dituntut, kerana ia merupakan salah satu daripada rangkaian iman, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Orang-orang yang Kami berikan kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah: 121)
Ayat di atas dengan tegas menyatakan bahawa di antara sifat orang-orang mukmin itu ialah beriman kepada Kitab (al-Qur’an). Mereka tetap memperuntukkan waktu untuk membaca al-Qur’an. Oleh sebab itulah syariat Islam telah menyarankan supaya al-Qur’an itu sentiasa dibaca malam dan siang, sehingga tidak ada malam atau siang yang kosong daripada bacaan al- Qur’an.
Bahkan para ulama melazimkan supaya membaca ayat-ayat dan surah-surah tertentu pada waktu-waktu tertentu demi memperolehi fadhilat dan keberkatan membacanya seperti surah al-Kahf, al-Mulk, al-Wâqi‘ah, Yâsin dibaca pada malam dan hari Jumaat. Semua ini dijelaskan dengan detil berdasarkan petunjuk hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Fadhilat Membaca Al-Qur’an
Membaca al-Qur’an adalah seafdhal-afdhal ibadat sehingga disebut bahawa al-Qur’an itu akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi orang yang membacanya, sebagaimana riwayat Abu Umamah:
Maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bacalah oleh kamu al-Qur’an, sesungguhnya (al- Qur’an) itu datang pada Hari Kiamat menjadi syafaat kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Amatlah rugi bagi orang-orang yang kurang gemar membaca al-Qur’an kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak menyebut dalam hadis-hadis Baginda tentang faedah dan fadhilat membaca al-Qur’an itu, antaranya;
1. Pembaca al-Qur’an dinaungi dengan payung rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan diturunkan Allah kepadanya ketenangan dan kewaspadaan. Disebutkan dalam hadis riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak berkumpul satu kaum di suatu rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid) yang membaca al-Qur’an dan saling mempelajarinya antara mereka melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, diselubungi rahmat, di kelilingi para malaikat rahmat dan Allah mengingati mereka pada siapa di sisiNya.” (Hadis riwayat Muslim)
2. Pembaca al-Qur’an dikurniakan hatinya dengan cahaya oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan dipeliharaNya daripada kegelapan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah Ta‘ala (al-Qur’an) ditulis baginya satu kebaikan yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya pula, baginya cahaya di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad)
3. Pembaca al-Qur’an diumpamakan seperti buah utrujjah yang harum bau dan enak rasanya. Disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Perumpamaan orang beriman yang membaca al-Qur’an seperti perumpamaan buah al-utrujjah iaitu buah yang berbau harum dan enak rasanya. Perumpamaan orang beriman yang tidak membaca al- Qur’an adalah seperti perumpamaan buah tamar, rasanya manis tetapi tidak ada baunya. Perumpamaan orang berbuat dosa (maksiat) yang membaca al-Qur’an adalah seperti ar-raihanah yang berbau harum tapi pahit rasanya. Perumpamaan orang berbuat dosa (maksiat) yang tidak membaca al-Qur’an adalah seperti buah al-hanzhalah iaitu buah yang pahit rasanya dan tidak ada baunya. Perumpamaan mendampingi orang yang salih adalah seperti mendampingi pemilik minyak wangi, sekalipun engkau tidak terkena minyaknya engkau tetap mendapat harumnya. Perumpamaan berdamping dengan teman yang jahat adalah seperti mendampingi orang yang menggunakan ububan (alat menghembus api), jika engkau tidak terkena hitamnya (daripada percikan api), namun engkau tetap terkena asapnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
4. Pembaca al-Qur’an, tidak bergundah hati dan terlepas daripada kesusahan-kesusahan di Hari Kiamat, kerana dia sentiasa dalam pemeliharaan dan penjagaan Allah, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Al-Qur’an datang pada Hari Kiamat lalu ia (al-Qur’an) berkata: “Wahai Tuhanku hiasilah dia (pembaca al-Qur’an)!” Maka dia dihiasi dengan mahkota kemuliaan. Kemudian ia berkata: “Wahai Tuhanku tambahlah lagi!” Maka dia ditambahi dengan hiasan-hiasan kemuliaan. Ia berkata lagi: “Wahai Tuhanku redhailah dia!” Maka dia diredhai.” Berkata ia pada pembaca al-Qur’an: “Bacalah al-Qur’an dan naiklah (pada tangga-tangga syurga) dan ditambahi pada setiap satu ayat satu kebaikan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
5. Pembaca al-Qur’an memperolehi kemuliaan dan diberi rahmat kepada ibu bapanya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya, dianugerahkan kedua ibu bapanya mahkota di Hari Kiamat. Cahayanya (mahkota) lebih baik daripada cahaya matahari di rumah-rumah dunia. Kalaulah yang demikian itu matahari berada di rumah kamu (dipenuhi dengan sinarannya), maka apa sangkaan kamu terhadap yang beramal dengan ini (al-Qur’an).” (Hadis riwayat Abu Daud)
6. Pembaca al-Qur’an memperolehi kedudukan yang tinggi dalam syurga. Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Dikatakan kepada pembaca al-Qur’an: “Bacalah (al- Qur’an), naiklah (pada darjat-darjat syurga) dan bacalah dengan tartîl sebagaimana engkau membacanya dengan tartîl di dunia. Sesungguhnya kedudukan darjatmu sehingga kadar akhir ayat yang engkau baca.” (Hadis riwayat Ahmad)
Sesuai dengan kehendak syara‘, ketika membaca al-Qur’an kita hendaklah memelihara adab-adabnya, iaitu membacanya dengan berwudhu’ dan sunat membersihkan mulut (bersugi). Sementara jika hendak menyentuhnya pula hendaklah (wajib) bersih daripada hadas kecil dan hadas besar.
Adab Membaca Al-Qur’an
Membaca al-Qur’an itu mempunyai adab-adabnya yang lahir dan batin. Seseorang itu tidak akan dihitung sebagai pembaca al-Qur’an yang sebenar atau sempurna bacaannya sehingga mendapat tempat di sisi Tuhan, melainkan terlebih dahulu ia melaksanakan adab-adab membaca al-Qur’an yang lahir dan batin. Orang yang mengabaikan adab-adab tersebut adalah orang-orang yang tidak memelihara tata-tertibnya, belum boleh dihitung telah sempurna bacaannya.
Pengarang kitab an-Nashâ’ih ad-Dîniyyah wa al-Washâya al-Îmâniyyah telah menulis mengenai adab membaca al-Qur’an. Di antara adab-adabnya yang terpenting dan dituntut kepada pembaca al-Qur’an itu ialah:
1) Hendaklah bersifat ikhlas kepada Allah Ta‘ala serta mengharapkan keredhaanNya, di samping mendekatkan dirinya kepadaNya dan mengharapkan pahala daripada pembacaannya itu. Dengan kata lain, dilarang membaca al-Qur’an secara menunjuk-nunjuk, meniru-niru orang lain, menghibur orang atau mengharapkan sesuatu hadiah dan bayaran, kerana yang demikian itu adalah mata benda yang bakal binasa dan lenyap. Tetapi hendaklah seluruh batin dan hatinya penuh perasaan dengan kebesaran Zat Yang Berbicara; iaitu Allah ‘Azza wa Jalla.
2) Merendahkan diri kerana keagunganNya, seluruh hati dan anggotanya penuh khusyû‘, seolah-olah dia sedang berdiri di hadapan Allah membaca Kitab SuciNya yang menerangkan tentang perintah dan larangan. Adalah wajar bagi orang yang telah mengenal al-Qur’an dan mengenal Allah Subhanahu wa Ta‘ala bersifat dengan sifat-sifat yang tersebut di atas itu, ataupun lebih sempurna daripada sifat-sifat yang tersebut. Betapa tidak, bukankah Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:
Tafsirnya: “Sekiranya Kami turunkan al-Qur’an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyû‘ serta pecah-belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.” (Surah al-Hasyr: 21)
Jika gunung yang bersifat keras akan demikian jadinya, apabila diturunkan al-Qur’an, maka bagaimana pula halnya manusia yang bersifat lemah dan yang dijadikan daripada air dan tanah. Hanya yang menyebabkan manusia itu tidak sedar ialah kerana kelalaian dan kekerasan hati serta kerana kurangnya pengenalan terhadap kebenaran Allah Ta‘ala, kemaha-muliaan dan kemaha-agunganNya.
Allah Ta‘ala telah berfirman dalam menyifatkan para hambaNya yang khusyû‘ ketika membaca al-Qur’an, firmanNya:
Tafsirnya: “Sama ada kamu beriman kepada al-Qur’an atau kamu tidak beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan al-Qur’an kepada mereka, mereka segera menyungkurkan muka dengan sujud (dalam keadaan hiba dan khusyû‘); serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): “Maha Suci Tuhan Kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana”. Dan mereka segera menyungkurkan mukanya dengan sujud itu sambil menangis, sedang al-Qur’an menambahkan mereka khusyû‘.” (Surah al-Isrâ’: 107-109)
Allah berfirman lagi:
Tafsirnya: “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benar dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah.” (Surah az-Zumar: 23)
3) Membesarkan Allah serta berlaku khusyû‘ dan khudhû‘ ketika membaca al-Qur’an itu adalah daripada sifat-sifat para mukminin yang sebenarnya, para ahli yang arif dengan kemaha-agungan Allah Ta‘ala, Tuhan Rabbul‘âlamîn. Manakala sifat lalai, keras hati, sentiasa lupa dan kurang memerhatikan ketika membaca al-Qur’an adalah daripada sifat-sifat orang yang membelakangi al-Qur’an, terkeliru, imannya lemah, keyakinannya hampir tidak ada, sedang hatinya kosong daripada hakikat mengenal Allah dan mengenal Kalâmullâh.
4) Ketika membaca al-Qur’an hendaklah dia merenungi apa yang dibacanya dan memahami maksudnya dengan penuh kesedaran dan tidak lalai.
Allah berfirman:
Tafsirnya: “(Al-Qur’an ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), - Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil i‘tibâr.” (Surah Shâd: 29)
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mendedahkan celaan dan kelalaian sesetengah kaum terhadap al-Qur’an dengan firmanNya:
Tafsirnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka senghaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al- Qur’an? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Qur’an)?” (Surah Muhammad: 24)
Demikianlah beberapa huraian mengenai hukum, fadhilat dan adab membaca al-Qur’an sebagaimana yang disebut oleh kitab an-Nashâ’ih ad- Dîniyyah itu.
Bilakah Waktu Terbaik Untuk Membaca Al-Qur’an?
Waktu yang afdhal membaca al-Qur’an ialah ketika berada di dalam sembahyang. Menurut mazhab asy-Syafi‘e dan yang lain-lain Rahimahumullah, bahawa memanjangkan bacaan al-Qur’an ketika qiyâm (berdiri) dalam sembahyang adalah lebih afdhal daripada memanjangkan sujud dan selainnya.
Adapun pembacaan al-Qur’an yang afdhal di luar waktu sembahyang ialah pada separuh terakhir malam lebih afdhal daripada awalnya. Manakala membaca al-Qur’an di antara waktu Maghrib dan Isya’ itu adalah disunatkan.
Sementara pembacaan al-Qur’an di waktu siang adalah afdhal dibaca selepas sembahyang fardhu Subuh. Walau bagaimanapun, membaca al-Qur’an ini boleh dilakukan pada bila-bila waktu sekalipun pada waktu-waktu yang ditegah sembahyang sunat.
Selain membaca al-Qur’an pada bila-bila masa, terdapat juga hari-hari yang terpilih terutama hari atau bulan yang mempunyai fadhilat dan kelebihan seperti hari Jumaat, Isnin, Khamis, hari ‘Arafah, bulan Ramadhan, sepuluh hari terawal daripada bulan Zulhijjah dan sepuluh hari terakhir daripada bulan Ramadhan.
Khatam Al-Qur’an
Majlis khatam al-Qur’an merupakan majlis yang berkebajikan. Ia wajar diadakan dengan menghimpunkan sanak keluarga dalam satu majlis yang bersesuaian. Perkara ini sangat dianjurkan kerana para sahabat menghimpunkan ahli keluarga mereka ketika mengkhatam al-Qur’an sebagaimana riwayat daripada Qatadah at-tâbi‘î (tâbi‘în) dia berkata:
Maksudnya: “Adalah Anas bin Malik (sahabat Nabi Shallallahu ‘alaih wasallam) Radhiallahu ‘anhu apabila dia mengkhatamkan al-Qur’an, dikumpulnya keluarganya dan dia pun berdoa.” (Riwayat Ibnu Abu Daud dengan isnâd shahîh)
Majlis khatam itu juga perlu dihadiri oleh orang ramai kerana terkandung di dalamnya doa-doa. Anjuran dan galakan seumpama ini telah disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang pernah memerintahkan perempuan yang haidh untuk keluar rumah pada Hari Raya dengan tujuan menghadiri majlis yang berkebajikan seperti majlis ilmu dan majlis-majlis yang terkandung di dalamnya doa seperti majlis khatam al-Qur’an, sebagaimana diriwayatkan daripada Ummu ‘Athiyyah katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kami, gadis yang sudah bâligh atau hampir bâligh, yang haidh dan gadis remaja, untuk keluar rumah pada Hari Raya Fitrah dan Adha. Adapun yang haidh jangan (hadir ke masjid untuk) sembahyang dan (disunatkan) hadir ke majlis berkebajikan dan doa orang Islam”. Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Salah seorang daripada kami tidak ada jilbâb. Baginda bersabda: “Pakaikan dia jilbâb kepunyaan saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim)
Majlis khatam al-Qur’an bukanlah setakat acara semata-mata (ceremonial), bahkan ia adalah suatu ibadat. Ketika khatam itu Allah menurunkan rahmatNya dan doa-doa sangat mustajâb. Al-Imam an-Nawawi dalam kitab al-Adzkâr telah menulis tata cara khatam al-Qur’an, antara lain beliau menulis:
1) Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Sesungguhnya dia (Ibnu ‘Abbas) menugaskan seorang lelaki untuk melihat-lihat orang membaca al-Qur’an. Apabila orang itu hendak mengkhatamkan al-Qur’an dia memberitahu Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, maka Ibnu ‘Abbas pun menghadirinya.” (Riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya)
2) Daripada Qatadah at-tâbi‘î (tâbi‘în) dia berkata: “Adalah Anas bin Malik (sahabat Nabi Shallallahu ‘alaih wasallam) Radhiallahu ‘anhu apabila dia mengkhatamkan al-Qur’an, dikumpulnya keluarganya dan dia pun berdoa.” (Riwayat Ibnu Abu Daud dengan isnâd shahîh)
3) Daripada al-Hakam bin ‘Utaibah at-tâbi‘î (tâbi‘în) dia berkata: “Mujahid dan ‘Ubadah bin Abu Lubadah datang menghadap aku, maka keduanya berkata: “Sesungguhnya kami datang menghadap kamu, kerana kami hendak mengkhatamkan al-Qur’an. Adalah doa itu mustajâb ketika khatam al-Qur’an.” (Diriwayatkan dengan sanad-sanad yang shahîh)
4) Pada sebahagian riwayat shahîh lainnya disebutkan: “Bahawasanya dikatakan, rahmat turun ketika khatam al-Qur’an.”
Diriwayatkan daripada Mujahid dengan sanadnya yang shahîh, dia berkata: “Mereka berkumpul ketika khatam al-Qur’an seraya mengatakan: “Rahmat turun.”
Oleh itu, perbanyakkanlah membaca al-Qur’an baik ketika berada dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang. Contohilah bagaimana para sahabat, salaf dan para tâbi‘în mengisi masa mereka dengan membaca al- Qur’an. Sebagai contoh, para salaf Radhiallahu ‘anhum, pada kebiasaannya mengkhatam (menghabiskan bacaan 30 juz) al-Qur’an mengikut kadar kemampuan mereka. Ada di antara mereka yang khatam dua bulan atau sebulan sekali. Ada juga pada setiap sepuluh, lapan, enam, lima atau empat hari sekali khatam. Menurut pengarang kitab al-Adzkâr, kebanyakan daripada salaf mengkhatamkan al-Qur’an setiap tujuh, tiga atau sehari semalam sekali khatam. Ada juga yang khatam dua atau tiga bahkan lapan kali setiap sehari semalam. As-Said al-Jalil ibnu al-Kathib ash-Shufiy Radhiallahu ‘anhu, diriwayatkan mengkhatam empat kali pada waktu malam dan empat kali pada waktu siang
Ada juga yang khatam sekali di antara Zuhur dan ‘Ashar, di antara Maghrib dan ‘Isya’ dan dua kali khatam di antara Maghrib dan ‘Isya’ pada bulan Ramadhan.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Daud dengan isnâdnya yang shahîh, bahawa Mujahid Rahimahullah pada bulan Ramadhan mengkhatam al-Qur’an di antara waktu Maghrib dan ‘Isya’. Sementara itu ada pula yang khatam al- Qur’an ketika bersembahyang (dalam satu rakaat) seperti ‘Utsman bin ‘Affan, Tamim ad-Dariy dan Sa‘id bin Jabir Radhiallahu ‘anhum.
Bilakah Waktu Memulakan Dan Mengkhatam Al-Qur’an?
Waktu memulakan dan mengkhatam al-Qur’an itu tertakluk kepada si pembaca untuk memilihnya. Sayyidina ‘Utsman Radhiallahu ‘anhu, apabila dia khatam seminggu sekali beliau memulakan pembacaan al-Qur’an pada malam Jumaat dan khatam pada malam Khamis.
Menurut al-Imam Abu Hamid al-Ghazali di dalam kitab al-Ihyâ’, afdhal memulakan waktu mengkhatam al-Qur’an itu sekali pada waktu malam dan sekali lagi pada waktu siang. Menjadikan khatam pada waktu siang itu pada hari Isnin di dalam sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh) atau selepasnya. Manakala khatam pada waktu malam pula, dilakukan pada malam Jumaat di dalam sembayang sunat dua rakaat Maghrib atau selepasnya.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Daud daripada ‘Amru bin Murrah at-tâbi‘î al-jalîl Radhiallahu ‘anhu katanya: “Mereka suka mengkhatam al-Qur’an itu dari awal malam atau awal siang.”
Sementara riwayat daripada Thalhah bin Musharrif at-tâbi‘î al-jalîl al-imam pula berkata: “Sesiapa mengkhatam pada suatu masa daripada waktu siang, berselawat malaikat ke atasnya sehingga petang. (Sesiapa mengkhatam) pada suatu masa dari waktu malam, berselawat malaikat ke atasnya sehingga Subuh.”
Al-Imam Abu Muhammad ad-Darimiy Rahimahullah daripada Sa‘ad bin Abu Waqash Radhiallahu ‘anhu berkata: “Apabila bertepatan waktu mengkhatam al-Qur’an itu pada awal malam, berselawat malaikat ke atasnya sehingga Subuh. Jika bertepatan waktu khatamnya pada akhir malam, berselawat malaikat ke atasnya sehingga petang.”
Dalam hal mengkhatam al-Qur’an ini, apabila seseorang itu mengkhatam al- Qur’an dengan berseorang diri, sunat dilakukannya ketika berada dalam sembahyang. Adapun jika di luar sembahyang dan mengkhatamnya secara berkumpulan, sunat dilakukan pada awal malam atau awal siang sebagaimana penjelasan sebelum ini. Sunat berpuasa di hari khatam tersebut melainkan jika bertepatan pada hari itu dengan hari ditegah untuk berpuasa. Ini kerana para tâbi‘în berpuasa pada hari mereka khatam itu. Menurut Imam an-Nawawi, sunat (mustahab) hadir di majlis khatam itu beramai-ramai sama ada yang baik bacaan al-Qur’annya ataupun sebaliknya.
Oleh yang demikian, janganlah kita sekali-kali meninggalkan al-Qur’an dalam semua aspek kehidupan, kerana membaca al-Qur’an itu mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan bukan sahaja kepada pembacanya, bahkan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Isi kehidupan dengan mendampingi al-Qur’an lebih-lebih lagi membaca sehingga khatam. Sama-samalah kita mencontohi para salaf ash-shâlih dan tâbi‘în, sehingga berjaya mengkhatam al-Qur’an beberapa kali dalam sehari. Apa yang diharapkan hidup di dunia ini, adalah untuk mendapatkan rahmat, keredhaan dan hidayat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-11178
دليل الألوان
