Persoalan Ruku‘ Dan I‘tidâl Serta Zikir-Zikirnya
الجواب
Ruku‘ dan i‘tidâl merupakan rukun fi‘li (rukun dalam bentuk perbuatan) dalam sembahyang, sebagaimana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membetulkan sembahyang seorang lelaki, Baginda bersabda:
Maksudnya: Jika engkau mendirikan sembahyang maka bertakbîrlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah al-Fâtihah). Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga berdiri dengan i‘tidâl. Kemudian sujudlah sehingga sujud dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan thuma‘ninah. Kemudian lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyangmu. (Hadits riwayat Muslim)
Ruku‘ adalah rukun fi‘li yang panjang sementara i‘tidâl pula adalah rukun fi‘li yang pendek. Jika ruku‘ dan i‘tidâl ini ditinggalkan dan tidak diulangi semula nescaya sembahyang itu menjadi tidak sah.
Cara Melakukan Ruku‘
Cara melakukan ruku‘ bagi orang yang sembahyang berdiri ialah sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekadar mencapai telapak tangan ke lutut. Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sehingga belakang dan tengkuk sejajar seumpama sekeping papan serta meluruskan betis dan peha. Sementara telapak tangan memegang lutut dan merenggangkan jemari dengan renggangan yang sederhana serta menghadapkannya ke qiblat iaitu tidak meletakkan jemari ke kiri atau ke kanan.
Adapun cara melakukan ruku‘ bagi orang yang sembahyang duduk ialah sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut. Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.
Jika seseorang itu tidak mampu membongkokkan badannya sepertimana yang dituntut kerana sakit umpamanya maka bongkokkanlah sekadar yang termampu olehnya ataupun jika dia langsung tidak dapat membongkokkannya maka berilah isyarat dengan kepala. Jika dia tidak mampu memberi isyarat dengan kepala maka berilah isyarat dengan mata.
Cara Melakukan I‘tidâl
Cara melakukan i‘tidâl pula ialah kembali kepada keadaan sebelum ruku‘ iaitu berdiri dengan betul jika sebelumnya orang itu sembahyang berdiri dan dia mampu untuk kembali dengan berdiri betul. Adapun jika sebelumnya orang itu sembahyang dengan cara duduk, maka dia kembali dengan duduk betul. Jika dia tidak mampu untuk kembali dengan berdiri betul atau duduk betul, maka kembalilah sekadar yang termampu olehnya.
Jika seseorang sembahyang sunat dengan cara berbaring atas rusuknya kemudian dia duduk ketika hendak melakukan ruku‘, maka menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh dia bangkit melakukan i‘tidâl dengan kembali kepada perbuatan sebelum ruku‘ iaitu duduk, kerana ia lebih sempurna daripada berbaring atas rusuk. Adapun menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, orang tersebut tidak dilarang untuk melakukan i‘tidâl dengan kembali kepada berbaring atas rusuknya kerana perbuatan tersebut harus dalam sembahyang sunat walaupun dia mampu untuk berdiri atau duduk. Demikian juga orang tersebut tidak dilarang untuk melakukan i‘tidâl dengan kembali kepada duduk malah tidak dilarang dia kembali kepada berdiri betul kerana ia lebih sempurna daripada duduk.
Berbeza halnya jika seseorang melakukan sembahyang fardhu dengan cara berbaring atas rusuknya kerana sakit kemudian dia mampu duduk ketika hendak melakukan ruku‘, maka hendaklah dia bangkit melakukan i‘tidâl dengan kembali kepada duduk dan tidak memadai i‘tidâlnya jika dia kembali kepada berbaring atas rusuknya.
Thuma’ninah Dalam Ruku‘ Dan I‘tidâl
Thuma’ninah ketika ruku‘ sekurang-kurangnya ialah tetap sekalian anggotanya semasa melakukan ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara bangkit daripada ruku‘ dengan melakukan ruku‘ iaitu dengan kadar bacaan zikir: “ سبحان هللا
Demikian juga thuma’ninah ketika i‘tidâl iaitu tetap sekalian anggotanya seperti keadaannya sebelum ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara bangkit daripada ruku‘ dengan berdiri melakukan i‘tidâl.
Jika seseorang itu tidak melakukan thuma’ninah ketika ruku‘ atau i‘tidâl maka wajib dia kembali semula melakukannya. Sebagai contoh, seseorang mendirikan sembahyang dengan cara berdiri, lalu dia melakukan ruku‘ akan tetapi ketika ruku‘ dia terjatuh sebelum dia sempat melakukan thuma’ninah, kemudian dia terus bangkit melakukan i‘tidâl. Dalam hal ini, hendaklah dia kembali semula melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian baharulah dia bangkit melakukan i‘tidâl.
Jangan Bermaksud Melakukan Selain Daripada Ruku‘ Dan I‘tidâl
Ketika seseorang itu membongkokkan badan untuk melakukan ruku‘, janganlah dia bermaksud untuk melakukan selain daripada ruku‘. Jika dia bermaksud untuk melakukan selain daripada ruku‘ maka perbuatan ruku‘nya itu tidak dikira dan hendaklah dia bangkit semula untuk berdiri tegak kemudian melakukan ruku‘.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu bermaksud hendak melakukan sujud tilâwah lalu dia bergerak turun untuk melakukan perbuatan tersebut, sebaik sahaja dia sampai ke had ruku‘ ataupun sekurang-kurang ruku‘ dia menukar maksudnya itu daripada melakukan sujud tilâwah kepada melakukan ruku‘ maka dalam hal ini tidak dikira ruku‘nya itu.
Demikian juga ketika bangkit melakukan i‘tidâl, janganlah dia bermaksud untuk melakukan selain daripada i‘tidâl. Jika dia bermaksud untuk melakukan selain daripada i‘tidâl maka perbuatan i‘tidâlnya itu tidak dikira dan hendaklah dia ruku‘ semula kemudian bangkit melakukan i‘tidâl.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu bangkit daripada ruku‘ disebabkan takut pada serangga umpamanya maka perbuatan bangkitnya itu tidak dikira sebagai i‘tidâl. Oleh itu hendaklah dia ruku‘ semula kemudian bangkit melakukan i‘tidâl.
Mengangkat Kedua-dua Tangan Ketika Hendak Melakukan Ruku‘ Dan I‘tidâl
Sunat mengangkat kedua-dua tangan apabila hendak melakukan ruku‘ sebagaimana melakukan takbîratul-ihrâm. Bermula mengangkat kedua-dua tangan itu sebelum membongkokkan badan untuk melakukan ruku‘ iaitu ketika dalam berdiri sambil melafazkan takbîr ( َُاَهلل ُ أَكْب). Kemudian setelah sempurna mengangkat kedua-dua tangan iaitu hingga pergelangan tangan sejajar dengan bahu, lalu membongkokkan badan untuk melakukan ruku‘ dan kedua-dua tangan diturunkan sedang ucapan takbîr masih dipanjangkan sehingga sampai pada perbuatan ruku‘ agar tidak sunyi daripada bahagian sembahyang itu akan zikir. Bacaan yang dipanjangkan itu ialah mad yang terletak dalam kalimah ( ُ اَهلل) iaitu alif yang berada di antara huruf lâm dan hâ’ dengan tidak melebihi tujuh harakat.
Demikian juga sunat mengangkat kedua tangan apabila hendak melakukan i‘tidâl. Bermula mengangkat kedua tangan itu ketika mengangkat kepala untuk bangkit daripada ruku‘ sambil melafazkan tasmî‘ ( ُ ْ َحَِدَه َسَِع َ هللا ُ لِمَن ).
Zikir Ketika Hendak Melakukan Ruku‘ Dan I‘tidâl Dibaca Secara Isrâr Atau Jahr?
Isrâr ialah suara perlahan yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri dengan pendengaran yang baik tanpa didengar oleh orang lain. Sementara jahr pula ialah suara yang nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain.
Dalam hal melafazkan zikir ketika hendak melakukan ruku‘ dan i‘tidâl dengan isrâr atau jahr ini adalah seperti berikut:
1. Imam.
Sunat bagi imam melafazkan takbîr ketika hendak melakukan ruku‘ dan tasmî‘ ketika bangkit melakukan i‘tidâl dengan suara yang jahr.
2. Makmum dan munfarid.
Adapun bagi makmum dan munfarid (orang yang sembahyang seorang diri) hendaklah melafazkan takbîr dan tasmî‘ tersebut dengan suara isrâr. Jika dilafazkannya dengan suara jahr maka makruh hukumnya.
3. Muballigh.
Muballigh ialah orang yang menyampaikan seruan imam kepada makmum yang tidak terdengar suara imam.
Sunat bagi muballigh melafazkan takbîr dan tasmî‘ dengan suara yang jahr. Muballigh yang disunatkan untuk menjahrkan suara itu ialah apabila dia diperlukan disebabkan makmum tidak mendengar suara imam. Hendaklah muballigh itu berniat zikir semasa melafazkan takbîr dan tasmî‘ atau berniat zikir berserta niat memperdengarkan takbîr dan tasmî‘ tersebut kepada makmum. Jika muballigh itu tidak berniat zikir atau hanya berniat untuk memperdengarkan takbîr dan tasmî‘ kepada makmum sahaja, maka batal sembahyang muballigh itu. Adapun muballigh yang tidak diperlukan adalah makruh baginya menjahrkan suara.
Zikir Ketika Ruku‘
Zikir yang sunat dibaca apabila sampai pada perbuatan ruku‘, ialah tasbîh
Bacaan sebanyak tiga kali itu adalah sekurang-kurang sempurna. Kemudian diikuti dengan lima kali, kemudian tujuh kali, kemudian sembilan kali dan paling sempurna ialah sebanyak sebelas kali. Sekurang-kurang mendapat pahala sunat bertasbîh itu ialah dibaca sebanyak sekali sahaja.
Adapun bagi imam makruh membaca tasbîh tersebut melebihi daripada tiga kali melainkan makmum redha dengan berbuat demikian.
Munfarid dan imam yang makmumnya redha dengan bacaan yang panjang, sunat menambah tasbîh itu dengan zikir berikut:
Ertinya: Ya Allah ya Tuhanku, kepadaMu aku ruku‘, dan denganMu aku beriman, dan kepadaMu aku menyerah. KepadaMu khusyû‘ pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulangku, urat sarafku, rambutku dan kulitku, dan apa yang dibawa oleh kakiku (seluruh jasadku) adalah kerana Allah Tuhan sekalian alam.
Begitu juga makmum yang mengikut imam yang panjang bacaannya, sunat dia menambah tasbîh ruku‘ itu dengan zikir tersebut.
Adapun imam yang makmumnya tidak redha dengan bacaan yang panjang, makruh dia menambah tasbîh ruku‘ itu dengan zikir tersebut.
Zikir Ketika I‘tidâl
Zikir yang sunat dibaca oleh makmum, munfarid dan imam (sama ada makmumnya redha atau tidak dengan bacaan panjang) ketika i‘tidâl iaitu setelah berdiri tegak dan kedua-dua tangan lurus di bawah, ialah membaca tahmîd seperti berikut:
Ertinya: Ya Allah ya Tuhan kami, bagiMu segala pujian, sepenuh seluruh langit, sepenuh bumi dan sepenuh apa yang di antara kedua-duanya (seluruh langit dan bumi, dan sepenuh apa yang Engkau mahukan daripada sesuatu selepas (langit dan bumi) itu.
Munfarid, makmum yang bacaan imamnya panjang dan imam yang makmumnya redha dengan bacaan yang panjang, sunat menambah lagi tahmîd tersebut dengan zikir seperti berikut:
Ertinya: Wahai Pemilik Pujian dan Keagungan, yang paling berhak diucapkan oleh seorang hamba, dan kami semua adalah hambaMu. Ya Allah, tidak ada penghalang yang dapat menghalangi apa yang Engkau beri, dan tidak ada pemberi yang dapat memberikan apa yang Engkau halangi dan tidak bermanfaat orang kaya, berketurunan atau orang senang di sisiMu melainkan yang Engkau redhai daripadanya.
Adapun imam yang makmumnya tidak redha dengan bacaan yang panjang, makruh baginya menambah tahmîd itu dengan zikir tersebut.
Zikir Ketika Ruku‘ Dan I‘tidâl Dibaca Secara Isrâr Atau Jahr?
Sunat bagi imam, makmum dan munfarid mengisrârkan suara ketika membaca tasbîh dalam ruku‘ iaitu ( َِّبَِّ الْعَظِيم ِ و َِبَِمْدِه سُبْحَان َ ر) dan tahmîd dalam i‘tidâl iaitu
Demikian juga, sunat dibaca dengan isrâr zikir-zikir yang ditambah selepas tasbîh dalam ruku‘ dan tahmîd dalam i‘tidâl.
Demikianlah beberapa penjelasan mengenai hukum dan cara-cara melakukan ruku‘ dalam sembahyang yang perlu kita ketahui agar mencapai kesempurnaan melakukan ruku‘ bahkan kesempurnaan sembahyang keseluruhannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14353
دليل الألوان
