Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات٠ مشاهدة

Mengabaikan Kewajipan Zakat Harta: Mengundang Azab Dan Kerugian

الجواب

Seringkali orang terlepas pandang akan kewajipan zakat harta berbanding zakat fitrah.

Ada yang beranggapan bahawa zakat yang wajib ialah zakat fitrah sahaja dan merasakan bahawa mereka telah menunaikan kewajipan zakat dengan mengeluarkan zakat fitrah pada setiap kali menjelang ‘Idul Fitri. Pada hakikatnya mereka belum lagi menunaikan zakat harta sekiranya harta mereka telah memenuhi syarat-syarat untuk dizakat umpamanya telah cukup nishâb zakat, sampai haul dan lain-lain.

Masih ada yang kurang faham atau tidak tahu tentang zakat harta, hukum-hakam zakat, tidak tahu kadar nishâb dan cara pengiraan zakat serta tidak tahu di mana tempat untuk mengeluarkan zakat.

Memandangkan zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam, masalah ini adalah sangat wajib untuk diketahui, umpamanya bagaimana cara mengeluarkan zakat perniagaan, zakat harta dan lain-lain yang wajib dizakat.

Hukum Zakat

Hukum mengeluarkan zakat adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang memenuhi syarat-syaratnya. Orang yang tidak mengeluarkan zakat adalah fâsiq dan berdosa besar manakala orang yang ingkar akan ketetapan hukum wajib zakat itu pula dikira kufur.

Terdapat banyak dalil yang menerangkan mengenai kewajipan zakat, antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan kamu dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat. (Surah al-Baqarah: 110)

Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Ditegakkan Islam itu atas lima (rukun): Syahâdah (pengakuan) bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya (Nabi) Muhammad itu Rasul (utusan) Allah, mendirikan sembahyang (fardhu yang lima), mengeluarkan zakat, menunaikan haji (di Baitullâh) dan berpuasa di bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sementara itu, ijmâ‘ membenarkan ketetapan hukum tersebut dan para sahabat Ridhwânullâhu ‘alaihim telah sepakat memerangi dan mengambil harta zakat golongan yang enggan menunaikan zakatnya sebagaimana yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu terhadap golongan yang enggan mengeluarkan zakat.

Zakat Harta

Yang dimaksudkan dengan zakat harta itu ialah nama bagi kadar harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu, menurut peraturan (syarat-syarat) yang tertentu dan diberikan kepada orang-orang tertentu yang berhak menerimanya.

Sementara yang dimaksudkan dengan zakat fitrah pula ialah mengeluarkan sebahagian daripada makanan utama (asasi) menurut ukuran yang ditentukan oleh syara‘ sesudah selesai mengerjakan puasa bulan Ramadhan tiap-tiap tahun. Zakat fitrah dipanggil juga zakat tubuh badan.

Mengenai harta yang wajib dizakat apabila menepati syarat-syarat yang ditentukan ialah harta yang mempunyai sifat bertambah dan berkembang seperti an-naqdan (emas dan perak), al-an‘âm (unta, lembu termasuk juga kerbau dan kambing), harta perniagaan, tanam-tanaman daripada buah-buahan dan bijirin seperti beras, gandum, tamar (kurma) dan kismis.

Dalam konteks zakat, harta dikategorikan kepada dua jenis:

1. Harta bâthin iaitu emas, perak (termasuk wang), harta perniagaan dan harta rikâz (harta yang terdiri daripada emas dan perak yang disorok atau ditanam di dalam perut bumi pada zaman jahiliyah iaitu sebelum Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diutus menjadi Rasul).

2. Harta zhâhir iaitu tanam-tanaman, bijirin, binatang ternakan dan harta ma‘din (harta galian yang terdiri daripada emas atau perak yang dikeluarkan dari perut bumi).

Syarat-syarat Wajib Zakat Harta

Syarat utama orang yang diwajibkan mengeluarkan zakat harta itu ialah Islam, merdeka dan pemilik sempurna bagi harta zakat itu.

Manakala syarat utama bagi harta yang wajib dikeluarkan zakat itu ialah cukup nishâb dan haul. Walau bagaimanapun, tidak semua jenis harta zakat itu diwajibkan cukup haul.

1. Cukup nishâb.

Nishâb ialah nama bagi kadar sesuatu yang tertentu daripada apa (harta) yang wajib dikeluarkan zakat. Kadar cukup nishâb adalah tertakluk kepada jenis harta yang hendak dizakat.

Kadar nishâb bagi an-naqdân (emas dan perak), bagi emas ialah apabila mencapai 20 mitsqal (85 gram) dan perak pula ialah apabila mencapai 200 dirham (595 gram). Maka wajib dikeluarkan 1/40 (2.5%) daripada emas dan perak tersebut.

Kadar nishâb bagi matawang pula adalah disandarkan kepada kadar nishâb emas. Sebagai contoh harga pasaran emas pada November 2013, satu gram emas bernilai $62.00, maka 85 gram emas bernilai $62 X 85 = $5,270.00. Oleh itu, kadar wang yang wajib dikeluarkan zakatnya ialah 1/40 atau 2.5% dari jumlah $5,270.00 iaitu $131.75. Kadar zakat wang akan berubah-rubah tertakluk kepada harga pasaran emas.

Kadar nishâb bagi al-an‘âm (binatang ternakan) pula adalah tertakluk kepada jenis binatang yang dizakatkan. Umpamanya, jika mencapai nishâb 40 hingga 120 ekor kambing, maka wajib dikeluarkan zakatnya iaitu seekor kambing.

Sementara itu, nishâb bagi zakat tanam-tanaman ialah setelah mencapai lima wasq iaitu bersamaan dengan 200 gantang Brunei dan bagi tanaman yang tidak dibuang kulitnya seperti padi, maka nishâb zakatnya ialah sepuluh wasq atau 400 gantang Brunei.

Kadar zakat yang wajib dikeluarkan adalah tertakhluk kepada bagaimana cara pengairan tanaman tersebut dibuat iaitu 1/10 atau 1/20 atau 3/40. 2. Sampai haul.

Haul bermaksud tempoh setahun hijrah iaitu pemilikan harta yang berada di tangan seseorang itu telah melalui tempoh setahun hijrah.

Harta yang wajib dizakat terbahagi kepada dua iaitu:

1. Zakat yang tidak disyaratkan haul iaitu zakat ma‘din, rikâz dan tanam-tanaman.

2. Zakat yang disyaratkan haul, iaitu:

i. Harta yang wajib dikeluarkan zakat pada ‘ainnya seperti an-naqdân dan al-an‘âm.

ii. Harta yang wajib dikeluarkan zakat bukan pada ‘ainnya seperti barang perniagaan.

Dalam perkara syarat wajib zakat ini, terdapat syarat dan ketetapan lanjut mengenainya yang perlu diketahui dan diambil kira sebelum pengeluaran zakat dibuat.

Hikmat Menunaikan Zakat

Antara hikmat pensyariatan zakat ialah:

1. Selain merupakan ibadat yang wajib ditunaikan, zakat juga adalah wadah untuk menyatakan rasa syukur atas ni‘mat yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

2. Berfungsi sebagai pembersih diri dan harta. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka, dan do‘akanlah untuk mereka. (Surah at-Taubah: 103)

3. Membersihkan jiwa, mensucikan hati daripada rasa dengki sesama anggota masyarakat, mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam dan menambah rasa kasih sayang dan keakraban di antara setiap golongan masyarakat.

4. Menghapus rasa benci golongan miskin terhadap golongan kaya, kerana dengan bantuan zakat, mereka dapat merasakan adanya pertolongan, rasa tanggungjawab dan perikemanusiaan serta merasakan adanya perkongsian dalam hak pemilikan harta. Ini kerana pada hakikatnya orang-orang miskin dan fakir juga mempunyai hak ke atas harta yang dianugerahkan Allah Ta‘ala sebagaimana dalil yang menyebutkan:

Tafsirnya: Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (Surah al-Ma‘ârij: 24-25)

Natijahnya, jurang perbezaan di antara lapisan masyarakat semakin rapat.

5. Mendidik dan membiasakan diri seseorang menjadi dermawan, pemurah dan suka membantu. Dalam masa yang sama dapat menolak dan mengikis sifat kikir dan bakhil, kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberkati harta si pemberi zakat dan menambahnya.

6. Masalah kekufuran disebabkan tekanan daripada kesempitan hidup yang biasanya berlaku di kalangan orang miskin, orang yang dibebani hutang atau yang seumpamanya boleh diatasi dengan kelapangan dan kesenangan yang terhasil daripada bantuan zakat yang diterima.

7. Membantu menjana ekonomi yang stabil dan teratur. Penghasilan zakat yang berterusan dan peruntukannya mengikut saluran-saluran yang ditentukan membantu membina ekonomi dengan cara yang praktikal. Umpamanya bantuan modal daripada hasil kutipan zakat diberikan kepada fakir atau miskin yang benar-benar berhajat untuk berniaga atau membuka perusahaan.

Selain itu, dalam memastikan pengurusan yang teratur dan efisien, institusi zakat memerlukan tenaga kerja yang mencukupi umpamanya pekerja-pekerja yang dibayar dengan upah yang diambil daripada bahagian ashnâf al-‘âmilîn dan ini membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Bantuan dan peluang pekerjaan tersebut mampu membantu menjana ekonomi yang stabil dengan cara membuka laluan kepada sumber pendapatan yang akhirnya menyumbang kepada putaran ekonomi yang sentiasa aktif.

Ganjaran Menunaikan Zakat

Orang-orang yang menunaikan zakat dijanjikan ganjaran besar daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Antaranya memperolehi ganjaran pahala yang berganda sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan pemberian zakat (atau sedekah) yang kamu berikan kerana menghendaki keredhaan Allah maka mereka itulah orang-orang yang mendapat pahala berlipat ganda. (Surah ar-Rûm: 39)

Di samping ganjaran yang besar, terdapat banyak hikmat di sebalik pensyariatan zakat yang menjanjikan keuntungan kepada orang yang menunaikannya terutama dalam aspek keimanan, akhlak, ibadat dan pendidikan. Selain itu zakat juga memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat ekonomi dan sosial sesebuah masyarakat dan negara.

Adapun jika sebaliknya, iaitu sesiapa yang ingkar mengeluarkan zakat sedangkan dia berkewajipan kerana telah cukup syarat-syarat wajib mengeluarkannya akan mendapat kerugian dan azab daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Balasan Orang-orang Yang Tidak Mengeluarkan Zakat

Antara balasan bagi sesiapa yang tidak menunaikan zakat adalah sebagaimana yang diperingatkan melalui al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

1. Akan dikalungi (dilingkari) lehernya oleh ular daripada api. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan janganlah sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta di jalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak. (Surah Âli ‘Imran: 180)

Dalam sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun dia tidak menunaikan zakatnya, maka harta itu akan dijadikan sebagai ular jantan gundul yang mempunyai dua taring yang akan mengalunginya (lehernya) pada Hari Kiamat. Kemudian ular itu mengambil dengan dua tulang rahangnya dengan berkata: “Aku adalah hartamu, aku adalah harta karunmu”. Kemudian Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam membaca ayat yang tafsirnya: “Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta di jalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka (surah Âli ‘Imran: 180).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

2. Akan dibakar dengan api yang panas.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak (yang tidak dikeluarkan zakatnya) dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka gembirakanlah mereka dengan azab yang pedih. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak serta harta benda itu dalam Neraka Jahannam, lalu diseterika (dibakar) dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang kamu telah simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasakanlah (balasan azab daripada) apa yang kamu simpan (dengan tidak mengeluarkan zakatnya) itu.” (Surah at-Taubah: 34-35)

Perkataan ‘gembirakanlah’ dalam ayat tersebut adalah suatu ejekan terhadap orang-orang yang tidak mahu membayar zakat dan tidak membelanjakan harta mereka pada jalan Allah. Berita azab yang disediakan oleh Allah untuk mereka bukanlah suatu yang menggembirakan bahkan mendukacitakan mereka.

Dalam hadits yang lain pula, daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada seorang pun pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan hak (zakat) daripada emas dan perak, kecuali pada Hari Kiamat akan dihamparkan kepingan-kepingan daripada api, kemudian kepingan-kepingan itu dipanaskan di dalam Neraka Jahannam, kemudian dengan kepingan-kepingan itu dibakar dahinya dan punggungnya. Setiap kali kepingan itu menjadi dingin, ia kembali dipanaskan untuknya. (Di akhirat) sehari itu kadarnya 50 ribu tahun. (Hadits riwayat Muslim)

Selain itu, peristiwa Isra’ dan Mi‘raj yang berlaku kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga memperingatkan akan azab yang ditanggung oleh orang-orang yang tidak menunaikan zakat.

Dalam peristiwa tersebut, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah diperlihatkan kepada satu kaum yang hanya menutup kemaluan (dubur dan qubûl mereka) dengan tampalan (secebis kain sahaja) dan mereka dihalau seperti binatang ternakan ke tempat pohon-pohon kering, buah zaqqum dan batu panas Neraka Jahannam. Apabila Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bertanya siapakah mereka itu, maka Jibril ‘Alaihissalâm menjawab bahawa mereka ialah orang-orang yang tidak menunaikan zakat harta mereka.

Menyegerakan Pengeluaran Zakat

Tiap-tiap harta yang tertentu, apabila telah sampai haul dan cukup nishâb, maka wajib dikeluarkan zakat bagi harta itu. Tidak boleh ditunggu haul dan nishâb bagi zakat yang lain atau ditunggu masuk waktu zakat fitrah.

Melambat-lambatkan pembayaran zakat setelah tamakkun (memungkinkan iaitu cukup syarat untuk dikeluarkan zakat) adalah berdosa. Kewajipan zakat itu tetap tertanggung ke atas pemilik zakat walaupun sekiranya harta zakat rosak disebabkan kecuaiannya (setelah tamakkun).

Adapun dalam perkara menyegerakan pembayaran zakat itu tertakluk kepada:

1. Zakat yang tidak disyaratkan haul: Zakat ma‘din, rikâz dan tanam-tanaman.

Tidak disyaratkan sampai haul pada mengeluarkan zakat daripada ma‘din dan rikâz. Maka tidak harus disegerakan zakatnya sebelum diperolehi harta tersebut kerana kewajipan mengeluarkan zakat ma‘din dan rikâz itu ialah sebaik sahaja harta tersebut diperolehi.

Demikian juga tidak disyaratkan sampai haul bagi zakat tanam-tanaman. Tanam-tanaman daripada buah-buahan dan bijirin wajib dikeluarkan zakatnya setelah mencapai nishâb. Ia wajib dikeluarkan sebaik sahaja bijirin tersebut menjadi keras (sudah matang) serta bersih daripada jeraminya, atau buah-buahan tersebut sudah matang serta kering. Oleh itu tidak harus mengeluarkan zakat tanam-tanaman sebelum ia matang.

2. Zakat yang disyaratkan haul: Harta yang wajib zakat pada ‘ainnya seperti an-naqdan dan binatang al-an‘âm adalah harus dikeluarkan zakatnya sebelum sampai haul asalkan harta tersebut telah mencapai nishâb sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Bahawasanya al-‘Abbas bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang menyegerakan zakatnya sebelum sampai haul. Lalu Baginda mengharuskan baginya pada berbuat begitu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Akan tetapi tidak harus dikeluarkan zakat pendahuluan harta an-naqdan dan al-an‘am jika belum mencapai nishâb.

Manakala harta yang wajib zakat bukan pada ‘ainnya seperti barang perniagaan adalah harus dikeluarkan zakatnya sebaik sahaja bermula perniagaan itu walaupun belum lagi sampai haul. Demikian juga, ia harus dikeluarkan sebelum mencapai nishâb kerana nishâb zakat perniagaan itu dikira di akhir haul.

Sebagai contoh, peniaga (pemilik zakat) membeli barang perniagaan yang bernilai 100 dirham. Kemudian dia mengeluarkan sebanyak 5 dirham sebagai zakat pendahuluan apabila di penghujung haul nanti nilai barang perniagaannya mencapai nishâb 200 dirham. Setelah berlalu haul dan ternyata nilai barang perniagaannya mencapai nishâb 200 dirham, maka zakat pendahuluannya itu adalah memadai.

Syarat Sah Menyegerakan Pengeluaran Zakat

1. Pemilik harta zakat itu hendaklah masih bersifat sebagai orang yang diwajibkan zakat sehingga akhir haul. Jika dia mati atau murtad sebelum sampai haul maka zakat pendahuluannya itu tidak dikira sebagai zakat.

2. Harta yang diwajibkan zakat itu hendaklah masih kekal sehingga sampai haul. Jika harta itu musnah sebelum sampai haul atau pemilik harta zakat (peniaga) menjual barang perniagaannya ataupun harta itu menjadi kurang daripada nishâb sebelum sampai haul, maka zakat pendahuluannya itu tidak dikira sebagai zakat.

3. Penerima zakat itu hendaklah bersifat sebagai orang yang berhak menerima zakat di akhir haul. Jika dia mati atau menjadi kaya disebabkan harta lain selain zakat pendahuluan ataupun murtad sebelum haul maka zakat pendahuluan itu tidak dikira sebagai zakat. Oleh itu, hendaklah pemilik zakat mengeluarkan zakatnya sekali lagi.

Adapun jika penerima zakat itu menjadi kaya atau murtad di pertengahan haul kemudian dia kembali semula menjadi miskin atau kembali kepada Islam di akhir haul, maka zakat pendahuluan itu adalah memadai.

Zakat harus dikeluarkan sebelum sampai haul setahun asalkan ia telah mencapai nishâb. Tidak harus disegerakan zakat dua tahun lebih awal sebagaimana menurut pendapat ashah.

Cara Penyerahan Harta Zakat

Wajib disegerakan pembayaran zakat apabila ada harta dan ashnâf (golongan) penerima yang berhak dan menepati syarat. Pemilik zakat diharuskan melaksanakan zakat hartanya dengan salah satu cara berikut:

1. Menyerahkan zakatnya sendiri atau melalui wakilnya kepada pemerintah atau naibnya iaitu pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan zakat seperti Baitul-Mal dan ‘âmil-‘âmil yang dilantik. 2. Mengagihkan sendiri zakat terus kepada mustahiqq (penerima yang berhak) yang terdiri daripada ashnâf yang lapan.

3. Menyerahkan atau mengagihkan sendiri zakat harta bâthin terus kepada mustahiqq.

4. Menyerahkan atau mengagihkan sendiri zakat harta zhâhir terus kepada mustahiqq. Ini adalah pendapat ashah dan adalah qaul jadîd Imam asy- Syafi‘e Rahimahullâh.

Jika pemerintah atau naibnya datang meminta dan mengutip zakat zhâhir, maka wajib bagi pemilik zakat itu menyerahkannya kepada mereka.

Menurut pendapat ashah, menyerahkan zakat harta bâthin kepada pemerintah atau naibnya adalah afdhal (lebih baik) daripada mengagihkannya sendiri kepada mustahiqq.

Begitu juga dalam perkara zakat zhâhir, menyerahkannya kepada pemerintah atau naibnya adalah lebih baik.

Oleh yang demikian, sebagai langkah untuk menjadikan aktiviti zakat lebih berkesan dan efisien, kesedaran dan keprihatinan terhadap zakat harta terutama daripada setiap individu Muslim perlulah dipertingkatkan dengan menitik-beratkan pendedahan dan pengetahuan mengenainya.

Adalah lebih baik zakat diserahkan kepada Baitul-Mal atau ‘âmil-‘âmil yang dilantik kerana pihak-pihak ini berperanan selaku naib pihak berkuasa atau wakil pemerintah.

Perkhidmatan daripada institusi-institusi berkenaan yang dipertanggungjawabkan mengurus hal ehwal zakat seperti Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan bank-bank Islam yang ada menawarkan khidmat Skim Potongan Zakat bolehlah dimanfaatkan kerana ia lebih memudahkan, meyakinkan, menepati syara‘, teratur dan dapat mengelakkan daripada tersilap, lupa, lalai mahupun ragu.

Pengabaian dan kegagalan seseorang untuk menunaikan zakat apabila menepati syarat tidak lain hanyalah mengundang kerugian dan balasan berupa seksaan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14516

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص