Larangan Dalam ‘Iddah Dan Ihdâd Kematian Suami
الجواب
Kehidupan sosial di zaman teknologi yang serba canggih ini memberi cabaran yang besar terhadap masyarakat, terutama masyarakat Islam. Cara dan gaya hidup moden yang tidak selari dengan Islam boleh saja menjejaskan nilai moral seseorang. Apa yang ditakuti ialah jika seseorang itu tidak dibimbing untuk memahami dan menghayati konsep Islam, maka setiap apa yang diajarkan oleh Islam akan dianggap remeh dan menyusahkan. Namun jika hikmah perintah dan larangan agama itu difahami, maka manusia tidak pernah akan mahu menyimpang daripada hukum-hakam yang ditentukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Penetapan hukum-hakam keluarga di dalam Islam jelas menunjukkan betapa Islam menitikberatkan tentang pemeliharaan terhadap nasab manusia, mementingkan perdamaian di antara keluarga, mengutamakan hak seorang suami yang wajib dijaga oleh isteri dan sebaliknya serta lain-lain lagi hikmah dan kebaikan dalam menjaga hubungan kekeluargaan. Masing-masing, suami dan isteri ada hak yang sudah ditentukan oleh syariat. Hatta pada awal proses perceraian, dititikberatkan juga hak suami dan isteri yang perlu dijaga dan dihormati oleh kedua-dua pihak.
‘Iddah, satu bab dalam perkara nikah disyariatkan bukan sahaja bagi perempuan yang bercerai hidup, malahan bagi perempuan yang kematian suami. Selain ‘iddah, ihdâd juga diwajibkan bagi perempuan yang kematian suami.
Apa Dia ‘Iddah dan Ihdâd?
Pertama: ‘Iddah
Dari segi bahasa bermaksud bilangan kerana ‘iddah itu ghâlibnya merupakan bilangan daripada qurû’ atau hitungan menurut kiraan bulan.
Dari segi syara‘ pula bermaksud satu jangka masa yang ditetapkan bagi seorang perempuan yang telah diceraikan suami untuk menunggu bagi memastikan rahimnya bersih daripada kehamilan atau sebagai menunaikan tuntutan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau untuk menzahirkan rasa kesedihan isteri yang bercerai kerana kematian suami.
‘Iddah yang disyariatkan Islam ialah:
1. ‘Iddah kerana thalaq atau fasakh; iaitu ‘iddah kerana bercerai hidup daripada suami setelah berlaku jimâ‘ (persetubuhan) di antara suami dan isteri, sama ada disebabkan oleh thalaq atau fasakh.Jika thalaq atau fasakh terjadi sebelum berlakunya jimâ‘, maka tidak dikenakan ‘iddah ke atas isteri.
2. ‘Iddah kerana kematian suami; ‘iddah disebabkan kematian suami, sama ada sebelum atau selepas berlaku jimâ‘ di antara kedua-duanya.
Jika seorang perempuan berada dalam tempoh ‘iddah thalaq raj‘i, apabila suaminya meninggal dunia ketika dia masih di dalam ‘iddah tersebut, maka ‘iddahnya berpindah kepada ‘iddah kematian suami. Maka dengan kematian suaminya itu, terbatallah hukum ‘iddah thalaq raj‘inya dan tsabitlah ke atasnya ‘iddah kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari yang bermula dari saat kematian suaminya.
Adapun tempoh ‘iddah perempuan yang kematian suami terbahagi kepada dua:
i. Jika perempuan itu tidak hamil, maka tempoh ‘iddah yang wajib ke atasnya ialah empat bulan sepuluh hari.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber‘iddah) selama empat bulan sepuluh hari. (Surah al-Baqarah: 234)
ii. Jika perempuan itu hamil, maka tempoh ‘iddah yang wajib ke atasnya ialah sehingga dia melahirkan anaknya, dengan syarat anak yang di dalam kandungannya itu adalah keturunan daripada suaminya yang telah meninggal dunia.
Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan yang mengandung tempoh ‘iddahnya adalah melahirkan kandungan mereka. (Surah ath-Thalâq: 4)
Hikmah pensyariatan ‘iddah kepada perempuan ialah:
1. Bagi memastikan rahim perempuan kosong daripada benih suami yang menceraikannya atau yang sudah meninggal dunia. Ini mengelak daripada terjadinya percampuran benih di antara suaminya dahulu dan suaminya yang baharu jika dia berkahwin sebelum tempoh ‘iddah selesai dijalankan.
2. Bagi memberi ruang kepada suami isteri untuk berfikir mengenai tindakan yang sudah dibuat dan memberi peluang kepada kedua-duanya kembali bersatu. Ini hanya khusus untuk ‘iddah thalaq raj‘i.
3. Bagi perempuan yang kematian suami pula, selain daripada memastikan rahimnya kosong daripada benih suaminya yang meninggal dan tempoh ‘iddah juga adalah tempohnya ihdâd (berkabung) kerana kepergian suami untuk selama-lamanya. Ini sebagai tanda menjaga hak suami dan sebagai menyatakan kesetiaan si isteri kepada suaminya.
Kedua: Ihdâd (Berkabung)
Ihdâd dari segi bahasa bermaksud tegahan atau larangan, kerana perempuan berihdâd ditegah daripada berhias dan berharum-haruman.
Menurut pengertian syara‘, ihdâd bermaksud meninggalkan berwangi-wangian dan berhias.
Bagi perempuan yang kematian suami, diwajibkan ke atasnya ihdâd (berkabung) selama empat bulan sepuluh hari jika dia tidak hamil. Jika dia hamil maka wajib dia ihdâd sehingga dia melahirkan anak yang dikandungnya.
Kewajipan ihdâd dan larangan yang terdapat di dalamnya ada disebutkan dalam sebuah hadits daripada Ummu ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak berkabung seorang perempuan ke atas orang yang meninggal dunia lebih daripada tiga hari kecuali ke atas suaminya, (dia berkabung) selama empat bulan sepuluh hari dan dia dilarang memakai pakaian yang dicelupkan warna kecuali pakaian yang sederhana, dilarang memakai celak mata dan memakai wangi-wangian kecuali untuk bersuci (selepas membersihkan darah haidh), iaitu diusap sedikit sahaja daripada haruman atau wangian. (Hadits riwayat Muslim)
Larangan Dalam Tempoh ‘Iddah dan Ihdâd Kematian Suami
Islam telah pun menggariskan beberapa perkara ke atas perempuan yang menjalani tempoh ‘iddah dan ihdâd kerana kematian suami, iaitu:
1. Meninggalkan perkara yang mempunyai unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Antara perkara yang dilarang:
i Memakai pakaian berwarna yang menarik perhatian seperti merah dan kuning.
ii Memakai wangi-wangian atau haruman walaupun pada waktu malam sama ada pada pakaian atau tubuh badan.
iii. Menghias diri seperti berinai, bercelak mata atau mengenakan solekan pada muka dan gincu pada bibir serta memasang kanta mata yang berwarna.
iv. Berhias dengan memakai apa jua jenis barang kemas sama ada cincin atau gelang yang diperbuat daripada emas atau perak, permata dan sebagainya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullâh sebagaimana di atas. Dalam sebuah hadits yang lain pula, Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Perempuan yang kematian suaminya tidak boleh memakai pakaian yang berwarna kekuningan dan juga kemerahan, tidak boleh memakai barang kemas, tidak boleh berinai dan tidak boleh bercelak mata. (Hadits riwayat Abu Daud)
Jelas daripada hadits di atas, perempuan yang kematian suami dilarang untuk berhias pada tubuh badan dan pakaian dan berwangi-wangian kecuali untuk bersuci atau membersihkan darah haidh, iaitu untuk menghilangkan bau daripada kesan darah haidh dan bukan bagi tujuan berwangi-wangian.
2. Diwajibkan menetap diam di rumah suaminya yang meninggal dunia atau rumah tempatnya tinggal dan tidak boleh meninggalkan rumah itu selama dia masih dalam tempoh ‘iddah. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘iddah mereka) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu. (Surah ath-Thalâq:6)
Ayat tersebut menerangkan tentang kewajipan suami menempatkan isterinya yang dalam tempoh ‘iddah di rumahnya. Manakala kewajipan isteri pula, sama ada ‘iddah yang dicerai hidup ataupun yang kematian suami menetap di rumah tempat tinggalnya sewaktu berlakunya perceraian sehinggalah dia selesai menjalani ‘iddahnya.
Sungguhpun demikian, bagi perempuan yang menjalani ‘iddah kerana kematian suami dan perempuan yang ber‘iddah thalaq bâ’in yang tidak hamil, dia dibolehkan keluar dari rumahnya pada siang hari untuk memenuhi keperluannya dan melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya seperti membeli barang keperluan, berubat, bekerja dan seumpamanya kerana nafkahnya tidak lagi ditanggung oleh suami dan tidak ada orang lain yang dapat menolongnya dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut.
Walau bagaimanapun, pada waktu malam mereka dilarang keluar melainkan ada hajat atau keperluan yang tidak dapat dilaksanakan ketika siang. Maka dalam hal ini dibolehkan dia keluar malam dengan syarat dia dalam keadaan aman iaitu tidak mendatangkan kerosakan atau fitnah kepadanya.
3. Tidak boleh keluar belayar sekalipun untuk menunaikan haji atau umrah kecuali dalam beberapa keadaan yang tertentu.
Pertama: Perempuan yang sedang dalam musafir untuk melakukan haji atau umrah (dengan izin suaminya) kemudian di tengah perjalanannya itu diwajibkan ke atasnya ber‘iddah kerana dia dithalaq suaminya atau suaminya meninggal dunia, maka dia diberi pilihan sama ada:
- untuk meneruskan perjalanannya kerana memutuskan perjalanan atau pelayarannya itu akan mendatangkan kesukaran, terutama sekali apabila dia berada jauh dari negerinya dan takut terpisah daripada rombongannya atau; - untuk kembali semula ke tempat tinggalnya dan ini adalah lebih afdhal.
Kedua: Sekiranya kewajipan ber‘iddah ke atas perempuan itu terjadi sebelum dia keluar belayar dari rumahnya, maka dia sama sekali tidak dibolehkan keluar untuk membuat pelayaran.
Ketiga: Sekiranya perempuan itu telah berihram haji dengan izin suaminya, ataupun tanpa izin suaminya, kemudian dia dithalaq atau suaminya meninggal dunia, maka jika dia khuatir akan luput haji apabila dia menghabiskan ‘iddahnya dahulu, kerana masa yang singkat, maka wajib dia keluar untuk mengerjakan haji dalam keadaan ber‘iddah kerana dia telah berihram lebih awal. Jika sekiranya masa masih panjang, dan dia tidak khuatir akan luput haji, maka harus baginya keluar untuk mengerjakan haji.
Tetapi berbeza pula kedudukannya jika dia berihram untuk mengerjakan haji atau umrah atau kedua-duanya setelah dia dithalaq atau setelah kematian suaminya, dengan keizinan yang diberikan oleh suaminya sebelum itu ataupun tanpa izin suaminya, maka dalam keadaan ini dia ditegah untuk keluar, sama ada dia khuatir akan luput haji atau tidak. Ini kerana keizinan yang diberikan sebelum dia melakukan ihram itu telah terbatal kerana berlakunya thalaq atau kematian suaminya, ataupun dia sememangnya tidak mendapat izin daripada suaminya. Maka apabila telah selesai ‘iddahnya, barulah dia menyempurnakan umrah atau hajinya, jika masih ada waktu haji. Sekiranya waktu haji telah luput, hendaklah dia bertahallul dengan umrah, dan wajib ke atasnya qadha’ dan membayar dam kerana luput haji.
Jelasnya bahawa seorang isteri yang kematian suami yang masih lagi menjalani ‘iddah adalah dilarang keluar belayar, termasuk belayar untuk mengerjakan haji atau umrah, Seorang wanita yang berihram setelah dithalaq suaminya atau setelah kematian suaminya, tidak kira sama ada dia telah diberi izin sebelum itu ataupun tidak, dan tidak kira sama ada ihram itu bagi tujuan haji atau umrah atau kedua-duanya, dia tetap dilarang keluar dari rumahnya bagi melaksanakannya selagi dia masih dalam tempoh ‘iddah.
Keharusan untuk keluar menunaikan haji atau umrah bagi wanita yang dalam ‘iddah hanyalah dalam dua keadaan, iaitu:
1. Apabila dia dithalaq atau suaminya meninggal dunia, sedang dia pada ketika itu berada dalam musafir (dalam pelayaran).
2. Apabila dia telah berihram haji atau umrah sebelum dithalaq atau sebelum kematian suaminya.
Larangan di dalam ‘iddah merupakan satu kewajipan yang perlu dijaga oleh isteri yang ber‘iddah kerana perceraian atau kematian suami, bahkan kewajipan ihdâd juga berlaku bagi isteri yang kematian suami.Manakala larangan untuk berhias, bukanlah larangan ini menafikan aspek kebersihan dan kesihatan diri kerana menjaga kebersihan dan mengamalkan gaya hidup sihat juga adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam. Walaupun dalam ‘iddah dan ihdâd, perempuan juga masih dituntut untuk menjaga kedua-duanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14567
دليل الألوان
