Jangan Jadikan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Medan Penyebaran Umpat Dan Fitnah
الجواب
Kecanggihan dunia teknologi pada masa ini tidak dapat disangkal lagi. Banyak ciptaan berteknologi baru muncul, ditambah lagi dengan ‘update’ (penaiktarafan) barisan teknologi yang sedia ada, di samping kemunculan sistem teknologi tanpa wayar (wireless) menjadikan dunia semakin kecil. Maklumat mengenai global dapat diperolehi dengan hanya menekan komputer atau telefon bimbit yang canggih dan komunikasi di antara satu dengan lain menjadi semakin mudah.
Dari segi individu pula semakin ramai kini yang celik teknologi maklumat dan komunikasi ini. Penggunaannya menjadi satu trend kehidupan masyarakat masa kini. Segenap lapisan masyarakat daripada golongan pemimpin, profesional malahan golongan kanak-kanak pun kini menjadikan teknologi ini sebagai medium informasi dan perhubungan dalam perkara harian. Teknologi maklumat dan komunikasi dikatakan banyak memberi manfaat kepada dunia moden hari ini.
Sejak akhir-akhir ini pula, muncul banyak penulisan, imej dan video yang diposkan menerusi laman-laman sosial dan aplikasi-aplikasi tertentu seperti WhatsApp, Facebook dan yang seumpamanya. Maklumat atau berita tersebar dengan pantas tanpa sempadan. Kadang-kadang maklumat atau berita tersebut langsung tidak mendatangkan manfaat kepada orang-orang yang dikirimkan, hanya sebagai hiburan dan bahan ketawa semata-mata. Yang membimbangkan jika terdapat antara maklumat atau berita yang disampaikan berupa pembohongan semata-mata, dan lebih dahsyat lagi jika pembohongan itu menjadi fitnah, seterusnya mengaibkan mana-mana pihak atau individu tertentu.
Apa Dia Teknologi Maklumat Dan Komunikasi?
Menurut Kamus Dewan, maksud teknologi maklumat ialah teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi.
Adapun fungsi teknologi maklumat dan komunikasi ini amat banyak, antaranya:
1. Untuk mendapatkan maklumat sama ada maklumat umum seperti mencari maklumat mengenai kebudayaan sesebuah negara atau maklumat untuk bahan kerja seperti guru yang mencari bahan untuk pengajarannya.
2. Menjadi medium untuk maklumat atau komunikasi kerja seperti Dropbox, e-mail dan yang seumpamanya.
3. Menjadi medium pembelajaran seperti e-Learning atau e-Tutor dan yang seumpamanya.
4. Menjadi bahan bacaan yang mudah seperti e-Book dan yang seumpamanya.
5. Menjadi medan perbincangan dan bertukar-tukar pendapat di antara keluarga atau rakan-rakan seperti perkhidmatan “group chat” di dalam MSN room atau WhatsApp.
6. Menjadi medium untuk meluaskan perniagaan seperti Facebook, blog persendirian dan yang seumpamanya.
Banyak lagi fungsi teknologi maklumat dan komunikasi yang mendatangkan manfaat kepada penggunanya, namun yang pasti terdapat dua faktor utama yang menguntungkan pengguna dengan pemakaian teknologi ini iaitu penjimatan masa dan penjimatan kos. Yang jelas manfaat dan keuntungan banyak diperolehi dengan adanya teknologi maklumat dan komunikasi pada era ini.
Hukum Mengumpat dan Memfitnah Orang Lain
Umpat dan fitnah merupakan perbuatan keji yang dibenci Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ, hukum mengumpat dan memfitnah dengan lidah itu adalah haram.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mencela pengumpat dan menyamakan mereka ini seperti memakan daging bangkai saudaranya sebagaimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat akan sesetengahnya yang lain. Sukakah seseorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Surah al-Hujurât: 12)
Maksud ‘umpat’ adalah sesuatu yang disebut mengenai orang lain dengan perkara yang dibenci oleh orang tersebut jika sampai kepadanya, sama ada menyentuh mengenai kekurangan pada fizikalnya, seperti: “Mata si Polan juling”, atau menyentuh mengenai keburukan keturunannya, seperti: “Bapa si Polan seorang fâsiq”, atau menyebut keburukan akhlaknya, seperti: “Si Polan seorang bakhil”, atau mengata kekurangan agamanya, sepert: “Si Polan berpura-pura alim”, dan yang seumpamanya. Perlu diingat bahawa mengatakan mengenai seseorang walaupun perkara itu benar dianggap sebagai mengumpat sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tahukah kamu apa itu ghîbah (mengumpat)?” Para sahabat berkata: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu.” Baginda bersabda: “(Mengumpat itu ialah) penyebutanmu terhadap saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukainya.” Dikatakan: “Apakah pendapat Tuan jika yang aku katakan itu memang benar ada pada saudaraku?”Baginda bersabda: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar maka sesungguhnya engkau telah mengumpatnya, tetapi jika apa yang engkau katakan itu tidak benar, maka sesungguhnya engkau telah membuat dusta kepadanya.” (Hadits riwayat Muslim)
Adapun umpat atau fitnah yang dicela syara‘ itu tidak hanya terbatas pada umpat atau fitnah dengan lidah bahkan juga dengan perbuatan. Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab beliau Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn menyebutkan bahawa menyebarkan dengan apa sahaja cara umpat atau fitnah yang boleh difahami sama ada dengan percakapan, isyarat atau tulisan juga adalah haram.
Adapun banyak perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat atau memfitnah, antaranya:
1. Untuk meredakan kemarahannya terhadap orang tersebut dengan cara mengumpat atau memfitnahnya. 2. Dengki atau iri hati terhadap seseorang yang mendapat pujian, disukai atau dimuliakan oleh orang ramai. Untuk menghilangkan segala kemuliaan itu, maka disebarkan berita buruk mengenai orang tersebut
3. Untuk gurauan dan mengisi waktu dengan gelak tawa, maka disebut keaiban orang lain.
4. Mengejek dan menghina. Perbuatan ini dapat dilakukan sama ada ketika kehadiran orang yang diejek atau semasa ketiadaannya.
Apabila dilihat kepada perkara di atas, jelas bahawa punca seseorang itu mengumpat atau memfitnah orang lain adalah untuk mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang yang diumpat atau difitnahnya. Inilah antara perbuatan yang sangat-sangat dilarang oleh Islam, sama ada disedari ataupun tidak.
Menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sebagai Tempat Penyebarluasan Umpatan atau Fitnah
Walaupun penggunaan sumber teknologi maklumat dan komunikasi memberi banyak kebaikan dan manfaat kepada penggunanya, namun jika disalahgunakan ia juga merupakan medium terhebat untuk menyebarluaskan perkara-perkara yang tidak elok pada pandangan syara‘, antaranya:
1. Menjadi medan untuk mengata atau mengaibkan orang lain.
2. Menjadi tempat perdebatan dan bertegang urat.
3. Menjadi saluran untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu pihak sehingga boleh menaikkan kemarahan orang ramai terhadap pihak tersebut.
4. Menjadi tempat penyebarluasan masalah sosial, bukan sahaja di kalangan remaja, malahan kanak-kanak dan orang-orang dewasa. Kesemua penyalahgunaan di atas memberi impak negatif pada individu, masyarakat malahan agama dan negara seperti semakin tersebar luas umpat dan fitnah di kalangan masyarakat. Persoalannya, adakah umpat dan fitnah menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat juga dianggap seperti umpat dan fitnah yang dilarang syara‘?
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ sebagaimana di atas, bahawa salah satu bentuk umpatan dan fitnah adalah dengan tulisan, sebagai contoh: Seorang pengarang buku dengan jelas menyebut orang tertentu di dalam penulisannya bahawa: “Si Polan itu begini dan begini”, dengan tujuan menyebutkan kekurangan dan menghinanya, maka yang sedemikian itu hukumnya adalah haram.
Oleh yang sedemikian, maka umpat dan fitnah melalui teknologi maklumat dan komunikasi seperti blog, e-mail atau WhatsApp juga dianggap sebagai satu bentuk penyebaran umpat dan fitnah dengan tulisan dan ini juga merupakan perbuatan yang dicela oleh syara‘. Ini kerana penyebaran dalam bentuk ini juga tidak sunyi daripada kejahatan umpat dan fitnah seseorang terhadap orang lain.
Perlu kita sedar, penyebaran umpat dan fitnah melalui kemudahan teknologi dan komunikasi ini turut menyumbang kepada perpecahan dan perbalahan ummah, bahkan ia lebih dahsyat lagi daripada penyebaran biasa kerana kepantasan penyampaian yang sekelip mata dengan hanya menekan ‘send’ (hantar/kirim) terus kepada penerima dapat merealisasikan niat buruk seseorang yang ingin mengaibkan atau menjatuhkan maruah orang lain.
Sebagai kesimpulan, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi adalah hasil ciptaan terbaik manusia yang seharusnya digunakan untuk manfaat dan kebaikan, bukan sebaliknya. Janganlah hendaknya hasil kemajuan minda manusia ini pula menjadi penyebab kemunduran akhlak ummah dek kerana berleluasa umpat dan fitnah yang ditabur di laman maklumat dan komunikasi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14576
دليل الألوان
