Melangkah Dalam Sembahyang
الجواب
Ketika sembahyang, kadang-kala seseorang itu tidak sunyi daripada melakukan pergerakan yang sedikit, umpamanya menggaru, menggerakkan kaki, tangan atau kepala. Selain itu, ada juga orang di dalam sembahyangnya tanpa sengaja melakukan perbuatan yang melebihi daripada apa yang telah disyariatkan, umpamanya menambah rukun fi‘li (perbuatan). Malahan disebabkan sesuatu perkara, seseorang itu perlu melangkah dalam sembahyangnya, iaitu dengan menggerakkan dan memindahkan kaki ke hadapan, ke belakang atau ke tepi, sama ada dengan sengaja ataupun tidak, sama ada hanya sebelah kaki sahaja ataupun kedua-duanya sekali.
Secara ringkas, perbuatan-perbuatan seperti yang disebutkan itu adalah perbuatan yang tidak disyariatkan dalam sembahyang dan ia terbahagi kepada dua. Pertama, perbuatan yang sejenis dengan rukun fi‘li (perbuatan) dalam sembahyang seperti menambah perbuatan ruku‘, sujud, duduk dan selainnya. Kedua, perbuatan yang tidak sejenis dengan rukun fi‘li (perbuatan) dalam sembahyang atau dengan erti kata lain perbuatan yang menyalahi perbuatan-perbuatan dalam sembahyang seperti perbuatan melangkah yang dilakukan oleh seseorang ketika sembahyang. Oleh itu, perkara yang disebutkan ini perlu kepada penjelasan kerana ia bersangkutan dengan hukum sah atau batal sembahyang tersebut.
Melakukan Perbuatan yang Sejenis dengan Rukun Fi‘li dalam Sembahyang
Seorang yang sembahyang sendirian melakukan suatu perbuatan yang sejenis dengan rukun fi‘li (perbuatan) dalam sembahyang lebih daripada apa yang telah disyariatkan tanpa sengaja, umpamanya kerana lupa atau jahil akan keharamannya, adalah tidak membatalkan sembahyang. Sebagai contoh seorang tanpa sengaja menambah satu ataupun lebih perbuatan ruku‘, sujud, duduk atau berdiri, ataupun tanpa sengaja menambah rakaat dalam sembahyang adalah tidak membatalkan sembahyang.
Dalil dalam perkara ini ialah suatu riwayat oleh ‘Abdullah ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu bahawa satu ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah sembahyang Zhuhur sebanyak 5 rakaat kerana lupa. Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukan sujud sahwi pada akhir sembahyang Baginda itu dan Baginda tidak mengulangi sembahyang tersebut.
Berbeza hukumnya bagi seorang yang sembahyang sendirian yang dengan sengaja menambah rukun fi‘li (perbuatan) dalam sembahyang, umpamanya ruku‘ dan selainnya, maka batal sembahyangnya itu, sekalipun tambahan pada rukun fi‘li (perbuatan) tersebut hanyalah satu ruku‘ sahaja. Ini kerana dia dikira mempermain-mainkan perkara sembahyang.
Melakukan Perbuatan yang Tidak Sejenis dengan Rukun Fi‘li Dalam Sembahyang
Dalam sesetengah keadaan yang tertentu, sepertimana yang telah disebutkan oleh ulama fiqh berdasarkan beberapa hadits dan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri, melakukan pergerakan atau perbuatan yang tidak disyariatkan atau yang menyalahi perbuatan dalam sembahyang adalah tidak membatalkan sembahyang jika ia adalah pergerakan yang sedikit atau kecil. Perkara ini tiada perselisihan ulama mengenainya.
Antara keadaan tersebut, seorang yang sedang sembahyang menahan atau menghadang orang lain daripada berjalan melintas di hadapannya ketika dia sedang sembahyang, membetulkan kain selendang, menghumban atau melempar seumpama kutu dan keadaan-keadaan lain yang telah diperincikan dalam kitab fiqh. Menyentuh mengenai cara menghalang atau menolak seseorang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu, ia dilakukan dengan seringan-ringan gerakan. Menurut beberapa ulama mazhab asy-Syafi‘e, menghalang atau menolak orang yang lalu itu adalah dengan tangan dan dia hendaklah tetap di tempatnya tanpa perlu bergerak untuk menghalang.
Begitu juga tunduk (membongkokkan badan sehingga had ruku‘) dalam sembahyang untuk memukul ular atau kala jengking adalah tidak membatalkan sembahyang kerana pergerakan untuk membunuh umpama ular dilakukan atas sebab takut akan mudharat binatang tersebut ke atas dirinya, maka jadilah pergerakannya itu suatu kemestian (dharûriy).
Melangkah dalam Sembahyang
Melangkah dalam sembahyang merupakan satu pergerakan yang menyalahi perbuatan-perbuatan dalam sembahyang. Bagaimana satu langkah di dalam sembahyang itu menjadi perbincangan para ulama.
Yang dimaksudkan dengan melangkah itu ialah memindahkan salah satu kaki, tanpa mengira ke mana arahnya, umpamanya ke hadapan, ke belakang atau ke tepi, kemudian meletakkan kaki tersebut setelah memindahkannya. Ini dikira sebagai satu pergerakan atau satu langkah.
Sekiranya dia memindahkan salah satu kaki kemudian diikuti oleh kaki yang satu lagi secara berturut-turut, maka perbuatan memindah kaki yang kedua itu dikira sebagai langkah kedua, sama ada kaki yang kedua itu dipindahkan dan diletakkan sejajar (sebaris kedudukan) dengan kaki yang pertama tadi, ataupun kaki yang kedua itu diletakkan lebih ke hadapan daripada kaki yang pertama, ataupun kaki yang kedua itu diletakkan lebih ke belakang daripada kaki yang pertama tadi. Inilah yang dii‘timâdkan oleh Imam Ibnu Hajar dalam kitab at-Tuhfah, Imam ar- Ramli dan anaknya serta Khathib asy-Syarbini Rahimahumullâh.
Dari itu, perbuatan menggerakkan salah satu kaki ke hadapan kemudian mengembalikan semula kaki tersebut adalah dikira dua pergerakan secara muthlaq.
Menurut pendapat al-mu‘tamad, mengangkat atau menaikkan sebelah kaki ke arah atas yakni ke udara (bukan memindahkan kaki ke hadapan, ke belakang atau ke tepi) kemudian menjatuhkannya ke arah bawah dan meletakkannya semula ke tempat yang sama, adalah ia dikira satu pergerakan atau satu langkah. Bagaimanapun jika dia meletakkan semula kakinya di tempat lain, maka pergerakan meletakkan kakinya itu dikira sebagai pergerakan kedua.
Pergerakan yang Sedikit Tidak Membatalkan Sembahyang
Sukat-sukat suatu pergerakan yang tidak disyariatkan atau yang menyalahi perbuatan dalam sembahyang itu dikatakan sebagai pergerakan yang sedikit ataupun banyak yang boleh membatalkan sembahyang adalah dirujuk kepada ‘urf atau adat. Perlu juga diketahui bahawa asas sukat-sukat menurut ‘urf atau adat itu pula adalah hasil daripada perbandingan yang dibuat berdasarkan beberapa hadits dengan melihat kepada contoh-contoh pergerakan yang pernah dilakukan dalam sembahyang.
Hasilnya, menurut adat, “tiga” pergerakan adalah dikira sebagai pergerakan yang banyak tanpa khilâf ulama dalam perkara ini. Satu pergerakan adalah dikira sebagai pergerakan yang sedikit atau kecil tanpa khilâf ulama. Adapun dua langkah, masih dikira sebagai pergerakan yang sedikit. Sekiranya timbul syak adakah sesuatu perbuatan itu dikira sebagai sedikit ataupun banyak, maka ia adalah perbuatan yang sedikit dan tidak membatalkan sembahyang.
Perlu diambil perhatian, sungguhpun melakukan perbuatan yang sedikit atau kecil tanpa niat (qashd) bermain-main dan tanpa sebarang hajat adalah dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyang, namun hukumnya adalah makruh, melainkan kerana lupa atau dilakukan kerana hajat atau pergerakan yang dilakukan untuk membunuh umpamanya kalajengking dan menghadang orang lain daripada berjalan melintas di hadapannya ketika dia sedang sembahyang. Dalam dua keadaan yang terakhir ini ia tidak dihukumkan makruh, malah disunatkan.
Berbeza pula halnya dengan pergerakan yang sedikit dengan tujuan bermain-main, bersenda-gurau dan hiburan ataupun disengajakan adalah tetap membatalkan sembahyang, sekalipun sedikit. Umpamanya seseorang yang memanjangkan atau menghulurkan kakinya lalu diletakkannya di atas hujung baju atau kain kawannya dengan tujuan bergurau, iaitu untuk menahan kawannya itu daripada berdiri lurus selepas sujud, maka batal sembahyangnya semata-mata (bermula) dia memanjangkan kakinya itu.
Demikian juga satu pergerakan yang melampau sekalipun sedikit seperti melakukan satu lompatan adalah membatalkan sembahyang tanpa khilâf, melainkan lompatan disebabkan ketakutan kerana ular, maka tidak membatalkan sembahyang kerana ada keuzuran atau hajat. Demikian juga menggerakkan keseluruhan badan atau hampir keseluruhannya, sekalipun tanpa menggerakkan kedua-dua kakinya, adalah tetap membatalkan sembahyang.
Pergerakan yang Banyak dan Berturut-turut Membatalkan Sembahyang
Meninggalkan pergerakan yang banyak dalam sembahyang adalah dituntut kerana ia boleh membatalkan sembahyang dan termasuklah juga perbuatan yang melampau seperti melompat dalam sembahyang, sama ada sengaja ataupun lupa, ataupun jahil akan keharamannya melainkan pergerakan yang banyak itu disebabkan oleh suatu keuzuran.
Ulama telah bersepakat bahawa pergerakan yang banyak adalah sebanyak tiga pergerakan dan ia membatalkan sembahyang dengan syarat tiga pergerakan itu dilakukan secara berturut-turut, melainkan pada sembahyang yang dilakukan dalam keadaan sangat takut dan sembahyang sunat ketika dalam musafir.
Pergerakan yang banyak yang membatalkan sembahyang itu tidak disyaratkan daripada pergerakan yang sejenis sahaja dan daripada anggota yang sama. Penjelasan mengenai perkara ini adalah seperti berikut:
1. Melakukan tiga pergerakan yang sejenis (sama) secara berturut-turut seperti melakukan tiga langkah berturut-turut, sekalipun tiga langkah berturut-turut itu hanya menyamai kadar satu langkah.
2. Melakukan tiga pergerakan yang berbeza secara berturut-turut, umpamanya bergerak satu langkah, membuat satu pukulan dan menggoyangkan kepala satu kali dilakukan secara terturut-turut di antara kesemua pergerakan tersebut, atau melangkah dua langkah dan membuat satu pukulan.
3. Melakukan tiga pergerakan kesemuanya secara serentak, umpamanya menggerakkan kedua-dua belah tangan dan kepala secara serentak, ataupun menggerakkan kedua-dua belah tangan secara serentak kemudian diikuti perbuatan menggerakkan kepala.
Jika seseorang bertekad (qashd) mahu melakukan tiga pergerakan secara berturut-turut, maka dalam perkara ini sembahyangnya menjadi batal sekalipun dia melakukan hanya satu pergerakan sahaja ataupun sembahyangnya menjadi batal sebaik sahaja dia mula melakukannya. Akan tetapi jika dia langsung tidak melakukan apa-apa pergerakan seperti yang ditekadkannya itu, maka tidak batal sembahyangnya. Sekiranya dia syak sama ada pergerakannya itu adalah berturut-turut ataupun tidak, maka dianggap pergerakannya itu sebagai tidak berturut-turut.
Pergerakan yang Banyak tetapi tidak Berturut-turut tidak Membatalkan Sembahyang
Pergerakan yang banyak tetapi tidak berturut-turut, yakni terpisah-pisah, tidak membatalkan sembahyang. Untuk menentukan anggaran sesuatu perbuatan dan pergerakan itu sebagai berturut-turut atau bersambung, ulama merujuk perkara ini kepada ‘urf.
Contohnya seorang melangkah satu langkah, kemudian dia diam atau berhenti seketika, kemudian dia melangkah satu atau dua langkah lagi, diselangi dengan diam atau berhenti seketika, kemudian dia melangkah dua langkah lagi. Yang dimaksudkan dengan kadar diam seketika atau berhenti seketika itu ialah apa yang menurut ‘urf sesuatu perbuatan yang seterusnya itu tidak bersambung daripada perbuatan sebelumnya, umpamanya perbuatan yang kedua itu terpisah (tidak bersambung) daripada perbuatan yang pertama dan perbuatan yang ketiga terpisah (tidak bersambung) dengan perbuatan yang kedua.
Sebagai kesimpulan, meninggalkan pergerakan yang banyak dalam sembahyang adalah dituntut kerana ia boleh membatalkan sembahyang, sama ada dilakukan dengan sengaja, lupa, ataupun jahil akan keharamannya melainkan pergerakan yang banyak itu disebabkan oleh keuzuran tertentu. Ulama telah bersepakat bahawa pergerakan yang banyak, iaitu sebanyak tiga pergerakan, dilakukan secara berturut-turut adalah membatalkan sembahyang, manakala kurang daripada itu seperti satu atau dua pergerakan adalah dikira sedikit atau kecil. Sungguhpun melakukan perbuatan yang sedikit atau kecil tanpa sebarang hajat serta bukan dilakukan dengan niat (qashd) bermain-main atau disengajakan adalah dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyang, namun hukumnya adalah makruh.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14698
دليل الألوان
