Keluar Air Mani Di Siang Hari Bulan Ramadhan
الجواب
Ketika mengerjakan ibadat puasa, kita dituntut supaya menjauhi segala perkara yang boleh menjejaskan ibadat tersebut. Tidak kira sama ada kerana perkara tersebut boleh membatalkan ibadat puasa, atau kerana ia boleh menjejaskan kesempurnaannya kerana tidak selari dengan hikmat pensyariatan serta adab-adab berpuasa.
Salah satu perkara yang boleh menjejaskan ibadat puasa bahkan boleh menyebabkan ibadat puasa batal ialah keluar air mani di siang hari bulan Ramadhan. Walaupun demikian, bukan dalam semua keadaan keluar air mani itu boleh membatalkan ibadat puasa, kerana ada kalanya ia tidak menjejaskan ibadat puasa.
Sebab-sebab berlaku keluar air mani di siang hari bulan Ramadhan boleh dibahagikan kepada beberapa keadaan seperti berikut:
1. Disebabkan melakukan hubungan kelamin.
Mengadakan hubungan kelamin, sama ada bersama pasangan yang sah yakni suami isteri atau bukan, melalui qubûl ataupun melalui dubur, memakai sarung seperti kondom ataupun tidak, berlaku inzâl (keluar air mani) ataupun tidak, semuanya adalah membatalkan puasa.
Begitu juga tidak ada beza dalam perkara ini sama ada ia dilakukan bersama manusia ataupun bersama binatang. Semuanya ini membatalkan puasa dengan syarat dia tahu akan hukum haramnya, dan dia melakukannya dengan sengaja, atas kemahuannya sendiri tanpa paksaan daripada sesiapa.
Bagi lelaki, disyaratkan hubungan kelamin yang membatalkan puasa itu masuknya keseluruhan hasyafah yakni kepala zakar, ataupun kadarnya bagi lelaki yang tidak mempunyai hasyafah. Oleh itu, tidak batal puasa jika tidak masuk keseluruhan hasyafah ataupun kadarnya itu kecuali sekiranya ia menyebabkan inzâl yakni keluar air mani.
Adapun perempuan yang disetubuhi pula, batal puasanya dengan berlakunya dukhûl (masuk zakar ke dalam faraj atau dubur) semata-mata, walaupun hanya sebahagian hasyafah sahaja yang masuk ke dalam qubûl atau duburnya itu.
Wajib ke atas orang yang batal puasanya kerana jimâ‘ ini supaya imsâk (menahan diri daripada makan dan minum) sepanjang siang puasa Ramadhan sepertimana keadaan orang yang sedang berpuasa. Khusus bagi lelaki yang mewathi‘ (menyetubuhi), di samping wajib qadha’, dia juga wajib membayar kaffârah dengan memerdekakan seorang hamba. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak berdaya untuk berpuasa dua bulan berturut-turut, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin.
2. Disebabkan istimnâ‘ (onani).
Keluar air mani dengan sebab istimnâ‘ (onani), sama ada dilakukan menggunakan tangan sendiri atau tangan orang lain, dan sama ada dengan menggunakan sarung seperti kondom ataupun tidak, begitu juga sama ada dengan diiringi syahwat ataupun tidak, selama mana perbuatan itu menyebabkan keluar air mani, dan ia dilakukan dengan sengaja atas kemahuan sendiri serta tahu akan hukum haramnya, maka yang demikian itu adalah membatalkan puasa.
Adapun orang yang keluar air mani kerana menggaru zakarnya yang sangat gatal, maka yang demikian itu tidak membatalkan ibadat puasa jika dia tidak tahu bahawa perbuatannya itu boleh menyebabkan air maninya keluar.
Bagaimanapun, jika orang tersebut tahu bahawa jika dia menggaru zakarnya air maninya akan keluar, maka hal ini terbahagi kepada dua keadaan:
i. Jika dia tidak mampu menahan dirinya daripada menggaru zakarnya yang sangat gatal itu, lalu dia pun menggarunya kemudian keluar air maninya, maka tidak batal puasanya.
ii. Jika dia mampu menahan dirinya daripada menggaru zakarnya yang sangat gatal itu, lalu dia menggarunya juga, kemudian keluar air maninya, maka batal puasanya.
3. Disebabkan ciuman, sentuhan, pelukan dan yang seumpamanya.
Keluar air mani kerana ciuman, sentuhan, pelukan dan yang seumpamanya ini mempunyai beberapa permasalahan:
i. Keluar air mani kerana menyentuh mana-mana anggota tubuh badan perempuan yang membatalkan wudhu’, sama ada dengan cara ciuman, sentuhan dan sebagainya, tanpa berlapik, adalah membatalkan puasa.
ii. Sekiranya yang disentuh itu bukan yang membatalkan wudhu’, seperti rambut perempuan misalnya, walaupun rambut perempuan yang bukan mahramnya, lalu keluar air maninya kerana menyentuh rambut perempuan itu, maka tidak batal puasanya.
Begitu juga jika yang disentuh itu adalah mahramnya sendiri, dan sentuhannya itu bukan dengan syahwat, bahkan sekadar sentuhan kasih sayang atau belas kasihan semata-mata, lalu keluar air maninya, maka tidak batal puasanya.
Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâh, berlainan pula hukumnya jika dia menyentuh mahramnya itu dengan tujuan untuk mengeluarkan air mani, lalu keluar air maninya kerana sentuhan itu, maka batal puasanya kerana ini termasuk dalam kategori istimnâ‘ iaitu mengeluarkan air mani secara sengaja di luar jimâ‘.
iii. Sekiranya dia menyentuh atau memeluk perempuan dengan berlapik, sekalipun nipis lapiknya itu, lalu keluar air maninya, maka tidak batal puasanya, tidak kira sama ada dia melakukannya dengan syahwat ataupun tidak.
Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullâh, jika dia menyentuh atau memeluk dengan lapik itu dengan tujuan untuk mengeluarkan air mani, lalu keluar air maninya, maka batallah puasanya kerana ini juga termasuk dalam kategori istimnâ‘.
iv. Sekiranya dia memeluk perempuan sebelum masuk waktu berpuasa, seperti dalam waktu sahur misalnya, kemudian dia melepaskan pelukan tersebut sebelum masuk waktu Shubuh, tiba-tiba apabila masuk waktu Shubuh air maninya pun keluar, perkara ini tidaklah membatalkan puasa.
v. Sekiranya lelaki itu mencium perempuan ketika sedang berpuasa, lalu dia melepaskan ciumannya, kemudian setelah dia melepaskan ciumannya itu, air maninya pun keluar, maka dalam hal ini, jika ciuman itu diiringi syahwat dan berlaku ereksi pada zakarnya, maka batallah puasanya.
Adapun jika ciuman itu tidak diiringi syahwat dan tidak berlaku ereksi pada zakarnya, lalu keluar air maninya selepas melepaskan ciuman itu, perkara ini tidaklah membatalkan puasanya.
vi. Sekiranya air maninya keluar kerana menyentuh kemaluan binatang, perbuatan tersebut tidaklah membatalkan puasanya.
4. Disebabkan melihat atau memikirkan sesuatu yang menimbulkan syahwat.
Melihat, memikirkan atau membayangkan sesuatu sehingga timbul syahwat lalu keluar air mani, menurut ulama perkara tersebut tidaklah membatalkan puasa.
5. Disebabkan bermimpi.
Keluar air mani kerana mimpi di siang hari puasa tidak membatalkan ibadat puasa. Akan tetapi menurut Imam al-Asnawi Rahimahullâh, sunat dia menyegerakan mandi wajib sebaik sahaja dia tersedar daripada mimpinya.
Dalam keadaan-keadaan yang disebutkan di atas, ibadat puasa yang batal itu wajib diqadha’. Manakala kaffârah pula, ia hanya diwajibkan ke atas mereka yang rosak puasanya kerana melakukan jimâ‘ di siang hari puasa bulan Ramadhan walaupun tidak berlaku inzâl kerana jimâ‘ itu. Bagaimanapun, kaffârah ini hanya wajib ke atas lelaki yang mewathi‘ sahaja, dan tidak ke atas yang diwathi‘ (disetubuhi).
Adapun sekiranya air mani keluar kerana selain daripada jimâ‘, seperti kerana melakukan onani, menyentuh kulit perempuan yang bukan mahram tanpa lapik dan sebagainya, tidaklah diwajibkan kaffârah.
Memasuki Waktu Shubuh dalam Keadaan Berhadats Besar
Orang yang memasuki waktu Shubuh sedangkan dia masih lagi dalam keadaan berhadats besar, yakni belum mengerjakan mandi wajib, sama ada kerana jimâ‘, bermimpi dan sebagainya, hukum puasanya tetap sah. Begitu juga perempuan yang baru habis daripada haidh atau nifâs pada malam hari dan dia ada berniat untuk mengerjakan puasa, lalu dia masih belum mengerjakan mandi wajib sedangkan waktu Shubuh sudah masuk, hukum puasanya juga tetap sah.
Bagaimanapun, sunat menyegerakan mandi wajib sebelum masuk waktu Shubuh supaya dia berada dalam keadaan suci dari permulaan waktu berpuasa. Ini juga bertujuan untuk mengelakkan daripada termasuk air ke rongga-rongga telinga, dubur dan sebagainya yang boleh menjejaskan ibadat puasa sekiranya mandi wajib itu dilakukan ketika sudah masuk waktu berpuasa.
Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum ibadat puasa orang yang keluar air mani di siang hari bulan Ramadhan. Mudah-mudahan penjelasan ini akan mampu meningkatkan lagi pengetahuan serta kefahaman kita tentang ibadat puasa sekaligus membantu kita untuk mengerjakannya dengan lebih baik dan sempurna.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14702
دليل الألوان
