Persoalan Puasa Bagi Musafir Di Akhir Sya‘ban Atau Di Awal Ramadhan Dan Di Akhir Ramadhan Atau Di Awal Syawal
الجواب
Dalam bulan Ramadhan, memang banyak persoalan mengenai ibadat puasa ditimbulkan. Salah satu persoalan yang sering kali ditimbulkan ialah mengenai puasa bagi orang yang dalam pelayaran di akhir Sya‘ban atau di awal Ramadhan dan di akhir Ramadhan atau di awal Syawal.
Isu mengenai puasa di akhir Sya‘ban atau di awal Ramadhan dan di akhir Ramadhan atau di awal Syawal ini bolehlah dibahagikan kepada dua persoalan, iaitu:
1. Kedudukan puasa bagi orang yang dalam pelayaran di akhir Sya‘ban atau di awal Ramadhan.
2. Kedudukan puasa bagi orang yang dalam pelayaran di akhir Ramadhan atau di awal Syawal.
Kedudukan Puasa bagi Orang yang dalam Pelayaran di Akhir Sya‘ban atau di Awal Ramadhan
Hasil penglihatan anak bulan Ramadhan bagi sesebuah negeri itu adalah tidak sama. Bagi negeri yang berhasil melihat anak bulan Ramadhan pada 29 Sya‘ban, negeri tersebut wajib memulakan puasa Ramadhan, manakala bagi negeri yang tidak berhasil melihat anak bulan Ramadhan pada 29 Sya‘ban, mereka akan menggenapkan bulan Sya‘ban menjadi 30 hari. Oleh sebab ketidaksamaan ini, timbul persoalan mengenai kedudukan puasa orang yang dalam pelayaran di akhir bulan Sya‘ban atau di awal bulan Ramadhan ini. Ini kerana adakalanya negeri tempatnya memulakan pelayaran belum berpuasa Ramadhan tetapi negeri tempat ditujunya sudah berpuasa Ramadhan, ataupun sebaliknya, negeri tempatnya memulakan pelayaran sudah berpuasa Ramadhan sedangkan negeri tempat ditujunya itu belum berpuasa Ramadhan. Jadi bagaimanakah kedudukan puasa orang yang menghadapi keadaan seperti ini?
Mengenai perkara ini, apa yang perlu diambil perhatian ialah jika penduduk negerinya atau negeri tempatnya memulakan pelayaran, contohnya Brunei Darussalam, belum berpuasa disebabkan anak bulan Ramadhan tidak tsabit kelihatan pada 29 Sya‘ban, sedangkan negeri yang ditujunya, contohnya Singapura, sudah berpuasa disebabkan anak bulan Ramadhan tsabit kelihatan atau tsabit melalui hisab atau kiraan falak syar‘i pada 29 Sya‘ban, maka dalam hal ini wajib ke atasnya menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa pada hari itu.
Dalam hal ini, jika dia masih berada di negeri Singapura sehingga Hari Raya, maka hendaklah diqadha’ hari tersebut. Namun jika dia kembali ke Brunei Darussalam sebelum Hari Raya dan cukup bilangan hari puasanya sepertimana bilangan hari puasa penduduk negerinya, maka tidaklah dikenakan qadha’.
Manakala jika seseorang membuat pelayaran pada 1 Ramadhan ketika anak bulan Ramadhan telah kelihatan pada 29 Sya‘ban, contohnya di Singapura, sedangkan negeri yang ditujunya, contohnya Brunei Darussalam belum lagi berpuasa disebabkan anak bulan Ramadhan tidak kelihatan pada 29 Sya‘ban, maka dalam hal ini ada dua pendapat yang boleh dipilih:
1. Imam ar-Ramli Rahimahullâhu Ta‘âlâ mengatakan, hendaklah dia berbuka sebagaimana keadaan penduduk di mana dia berada iaitu Brunei Darussalam dan tidak dikenakan qadha’ satu hari yang dia berbuka itu, jika dia berpuasa bersama mereka sebanyak 29 hari. 2. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ mengatakan, tidak boleh baginya berbuka, kerana puasanya itu berdasarkan penglihatan anak bulan dengan yakin, maka tidak harus dia menyalahinya hanya dengan semata-mata sampai ke suatu tempat yang lain yang mana anak bulan tidak kelihatan. Oleh itu dia hendaklah meneruskan puasanya itu.
Kedudukan Puasa bagi Orang yang dalam Pelayaran di Akhir Ramadhan atau di Awal Syawal
Oleh kerana hasil penglihatan anak bulan Syawal di antara sesebuah negeri dengan sesebuah negeri yang lain adakalanya berbeza, maka ini menyebabkan berlakunya kekeliruan bagi sesetengah orang yang melakukan pelayaran pada akhir Ramadhan. Kekeliruan berlaku bilamana negeri tempat dia bertolak untuk melakukan pelayaran belum berhari raya disebabkan anak bulan Syawal tidak tsabit kelihatan, sementara negeri yang ditujunya sudah mula berhari raya disebabkan anak bulan Syawal telah tsabit kelihatan. Ataupun sebaliknya, negeri tempat dia bertolak untuk melakukan pelayaran sudah mula berhari raya disebabkan anak bulan Syawal tsabit kelihatan, sementara negeri yang ditujunya belum berhari raya disebabkan anak bulan Syawal tidak tsabit kelihatan. Jadi, bagaimanakah kedudukan puasa orang yang menghadapi situasi seperti ini?
Mengenai kedudukan puasa orang yang dalam pelayaran di akhir Ramadhan atau di awal Syawal ini, bolehlah di bahagikan kepada tiga keadaan seperti berikut:
1. Jika penduduk negeri tempat seseorang itu memulakan pelayaran sudah 30 hari berpuasa kerana anak bulan Syawal tidak tsabit dilihat, tetapi negeri yang ditujunya baru hendak berpuasa 30 hari disebabkan anak bulan Syawal tidak tsabit dilihat, maka menurut pendapat yang ashah (yang lebih shahîh) hendaklah dia juga ikut berpuasa bersama penduduk negeri itu, kerana dengan kedatangannya ke negeri tersebut menjadikan dia sebahagian daripada penduduk negeri itu.
2. Jika penduduk negerinya atau negeri tempatnya memulakan pelayaran sudah berhari raya (1 Syawal), tetapi negeri yang ditujunya baru hendak berpuasa 30 hari disebabkan anak bulan Syawal tidak tsabit dilihat, maka dalam hal ini, walaupun ketika memulakan pelayaran itu dia tidak berpuasa (kerana negeri tempatnya memulakan pelayaran sudah berhari raya), hendaklah dia menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa pada hari itu kerana mengikut penduduk tempatan (negeri yang ditujunya) berpuasa, sungguhpun dia sudah berpuasa 30 hari sebelum hari itu.
Apa yang perlu diambil perhatian ialah walaupun dia sudah berpuasa sebanyak 30 hari sebelum itu di negeri tempat dia memulakan pelayaran, namun wajib dia mengqadha’ hari tersebut (hari dia sampai ke negeri yang ditujunya) walaupun dengan mengqadha’ puasanya itu akan menjadikan puasanya itu sebanyak 31 hari. Ini kerana dengan berada di negara tersebut dia telah menjadi salah seorang daripada penduduk negara tersebut.
3. Jika negeri tempatnya memulakan pelayaran masih berpuasa (29 atau 30 Ramadhan) sedangkan negeri yang ditujunya itu sudah berhari raya (1 Syawal), maka dalam hal ini hendaklah dia ikut sama berbuka dan berhari raya.
Akan tetapi perlu diingat jika dia berbuka puasa, sekiranya bilangan puasanya hanya 28 hari sahaja, maka wajiblah diqadha’ satu hari yang dia berbuka itu bagi mencukupkan bilangan 29 hari. Melainkan jika dia sudah berpuasa sebanyak 29 hari maka tidaklah perlu diqadha’ hari yang dia berbuka itu.
Bagaimana pula jika orang yang dalam pelayaran itu ingin meneruskan puasanya kerana pelayarannya yang singkat dan balik semula pada hari yang sama?
Dalam sebuah pelayaran yang singkat seperti perjalanan dari Brunei ke Miri, walaupun negeri tempatnya memulakan perjalanan (Brunei) masih berpuasa dan negeri yang ditujunya sudah berhari raya (Miri), maka dia hendaklah berbuka bersama mereka. Walau bagaimanapun jika dia balik semula ke Brunei pada hari yang sama sebelum sempat berbuka, maka dia masih lagi dianggap berpuasa.
Begitulah huraian mengenai kedudukan puasa bagi orang yang dalam pelayaran di akhir Sya‘ban atau di awal Ramadhan dan di akhir Ramadhan atau di awal Syawal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14706
دليل الألوان
