Mertua Tiri Dengan Menantu Tiri: Adakah Mahram?
الجواب
Mengetahui atau mengenali orang-orang yang dikategorikan sebagai mahram dan bukan mahram adalah amat penting kerana terdapat perbezaan batasan hukum terhadap kedua-duanya.
Mahram ialah orang lelaki atau perempuan yang haram dinikahi menurut hukum syara‘ kerana hubungan nasab (keturunan), sesusuan dan perkahwinan.
Perempuan mahram kerana hubungan nasab ada disebutkan secara detil dalam al- Qur’an, maka untuk memudahkan disebutkan satu persatu seperti berikut:
1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas. 2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah. 3. Adik-beradik perempuan seibu sebapa. 4. Adik-beradik perempuan sebapa. 5. Adik-beradik perempuan seibu. 6. Ibu saudara sebelah bapa (adik-beradik bapa) dan seterusnya ke atas. 7. Ibu saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu) dan seterusnya ke atas. 8. Anak perempuan daripada adik-beradik lelaki mahupun daripada adik-beradik perempuan (anak kemanakan).
Perempuan mahram kerana saudara sesusuan adalah sama kedudukannya dengan perempuan mahram kerana keturunan. Persamaan ini adalah berdasarkan sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Dilarang untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perempuan sesusuan sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan. (Hadits riwayat Muslim)
Manakala perempuan mahram kerana perkahwinan juga jelas disebutkan dalam al- Qur’an seperti berikut: 1. Ibu mertua. 2. Anak menantu. 3. Ibu tiri. 4. Anak tiri.
Apa yang jelas ialah ikatan perkahwinan boleh membuatkan seseorang itu menjadi mahram, namun timbul persoalan adakah antara ibu mertua tiri dengan menantu lelaki tirinya atau sebaliknya bapa mertua tiri dengan menantu perempuan tirinya dikategorikan sebagai mahram?
Mungkin sebilangan orang mempunyai tanggapan bahawa hubungan ibu mertua tiri iaitu ibu tiri kepada isteri dengan menantu lelaki tirinya seolah-olah sama dengan hubungan ibu mertua kandung iaitu ibu kandung kepada isteri dengan menantu lelakinya.
Begitu juga sebaliknya menantu lelaki tiri juga mungkin tidak mengetahui dan beranggapan bahawa apabila dia sudah berkahwin dengan seorang perempuan yang mempunyai ibu tiri maka ibu tiri isterinya itu atau ibu mertua tirinya itu dianggapnya juga sebagai mahram disebabkan perkahwinan.
Begitu juga halnya jika berlaku sebaliknya di antara bapa mertua tiri dengan anak menantu perempuan tirinya.
Persoalannya, adakah tanggapan-tanggapan yang disebutkan itu betul? Maka akan dijelaskan dengan lebih lanjut adakah mertua tiri termasuk dalam kategori mahram kepada menantu tirinya.
Siapa Mertua dan Menantu Tiri?
Untuk memudahkan fahaman, maka akan diterangkan terlebih dahulu siapakah yang dimaksudkan dengan ibu mertua dan menantu tiri?
Pada dasarnya, apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, maka hubungan bapa dan ibu kandung perempuan itu jika dinisbahkan kepada suami perempuan itu akan menjadi sebagai bapa dan ibu mertua kandung.
Namun berbeza keadaannya jika bapa perempuan atau ibu perempuan itu berkahwin baharu, kerana isteri bapa perempuan yang baru itu ataupun suami ibu perempuan yang baharu itu akan menjadi bapa tiri atau ibu tiri kepadanya. Maka hubungan bapa tiri atau ibu tiri perempuan itu jika dinisbahkan kepada suami perempuan itu akan menjadi sebagai bapa ataupun ibu mertua tiri.
Begitulah gambaran bagaimana boleh terjadinya bapa mertua tiri atau ibu mertua tiri dan menantu lelaki tiri atau menantu perempuan tiri.
Adakah Sama di Antara Mertua Kandung dengan Mertua Tiri dan di Antara Menantu Kandung dengan Menantu Tiri?
• Perbezaan mertua kandung dengan mertua tiri.
Terdapat perbezaan di antara bapa mertua kandung dengan bapa mertua tiri dan di antara ibu mertua kandung dengan ibu mertua tiri sebagaimana diterangkan sebelum ini.
Apabila berlaku perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan, maka bapa kandung lelaki itu akan menjadi mahram kepada isterinya kerana dikira sebagai bapa mertua kandung kepada isteri. Begitu juga sebaliknya ibu kandung perempuan itu akan menjadi mahram kepada suaminya kerana dikira sebagai ibu mertua kandung kepada suami.
Al-Qur’an al-Karim telah menyebutkan kedudukan ibu mertua kandung sebagai salah seorang mahram disebabkan perkahwinan. Perkara ini jelas sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu (ibu mertua termasuk nenek perempuannya) … (Surah an-Nisâ’: 22)
Namun tidaklah sama halnya jika seorang lelaki itu berkahwin dengan seorang perempuan yang mempunyai ibu tiri, kerana walaupun setelah lelaki dan perempuan itu berkahwin, ibu tiri perempuan itu tidaklah menjadi mahram kepadanya, begitu juga jika berlaku sebaliknya seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki yang mempunyai bapa tiri, bapa tiri lelaki itu juga tidak menjadi mahram kepada perempuan itu.
Bahkan seorang lelaki boleh mengahwini ibu mertua tirinya jika berlaku perceraian atau kematian kepada bapa isterinya sepertimana disebutkan dalam kitab al-Hâwi al-Kabîr:
Ertinya: (Bagi tujuan untuk dijadikan isteri) tidak mengapa bagi seorang lelaki menghimpunkan seorang perempuan dengan (bekas) isteri bapa perempuan itu (iaitu bekas ibu tiri perempuan itu) atau (dengan bekas) isteri anak lelaki perempuan itu, dan menghimpunkan seorang perempuan dengan anak tiri perempuan itu, kerana di antara mereka tidak ada ikatan nasab. (Kitab al-Hâwi al-Kabîr: 11/292)
Justeru itu, kedudukan mertua kandung adalah tidak sama dengan mertua tiri. Hubungan mertua kandung dengan menantu kandungnya adalah hubungan mahram mu’abbad (selama-lamanya), manakala hubungan mertua tiri dengan menantu tiri adalah ajnabiy (orang asing).
• Perbezaan menantu kandung dengan menantu tiri.
Begitu juga terdapat perbezaan di antara menantu lelaki kandung dengan menantu lelaki tiri dan di antara menantu perempuan kandung dengan menantu perempuan tiri.
Apa yang jelas ialah isteri bagi anak kandung (menantu kandung) adalah mahram mu’abbad sementara isteri bagi anak tiri (menantu tiri) adalah ajnabiy.
Menantu yang dikira sebagai mahram mu’abbad sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an al-Karim itu ialah isteri daripada anak kandung, bukan isteri daripada anak tiri. Untuk lebih jelas disebutkan sekali lagi ayat tersebut, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan (haram kamu berkahwin dengan bekas) isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu (termasuk isteri cucu). (Surah an-Nisâ’: 23)
Syeikh al-Khatib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj bahawa isteri daripada anak angkat samalah juga dengan isteri anak tiri tidaklah termasuk kategori mahram dan tidak haram mengahwininya selepas dia bercerai dengan suaminya. Maka untuk lebih jelas dibawakan nash daripada kitab Mughnî al-Muhtâj tersebut:
Ertinya: Tidak termasuk (daripada kategori mahram itu) ialah isteri anak angkat (termasuk juga isteri anak tiri), maka tidak haram ke atas seseorang (mengahwini bekas) isteri anak angkatnya kerana anak angkatnya itu bukanlah anaknya sebenar. (Kitab Mughnî al-Muhtâj: 12/243)
Berdasarkan penjelasan itu jelaslah bahawa mertua tiri dan menantu tiri tidaklah ada ikatan mahram dan hubungan antara kedua-duanya adalah seperti hubungan bersama dengan orang asing.
Batasan Hukum di Antara Mertua Tiri dengan Menantu Tiri
Oleh itu di antara mertua tiri dengan menantu tiri hendaklah menjaga etika pergaulan sepertimana yang digariskan oleh syara‘ iaitu antaranya:
1. Menutup aurat.
Menutup aurat kepada selain mahram hukumnya adalah wajib. Kewajipan menutup aurat kepada selain mahram itu jelas disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits. Dari itu, di antara mertua tiri dengan menantu tiri tidak ada hubungan mahram, maka mereka tidaklah boleh mendedahkan aurat antara mereka.
2. Tidak berdua-duaan atau berkhalwat.
Larangan ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berkhutbah:
Maksudnya: Jangan seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan ada bersamanya (perempuan atau lelaki) mahram. (Hadits riwayat Muslim)
3. Tidak bersentuhan.
Ancaman bersentuhan dengan perempuan asing ini ada disebutkan dalam sebuah hadits daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Adalah lebih baik seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum daripada besi daripada menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya. (Hadits riwayat ath-Thabarani dan al-Baihaqi)
Oleh itu, di antara mertua tiri dengan menantu tiri tidak boleh mendedahkan aurat, tidak boleh berdua-duaan dan tidak boleh bersentuhan seperti berjabat tangan kerana jelas hukumnya adalah haram.
Sebagai kesimpulan, mertua tiri perlu mengetahui bahawa suami kepada anak perempuan tirinya atau isteri kepada anak lelaki tirinya iaitu menantu tirinya adalah tidak dikategorikan sebagai mahram kepadanya sebagaimana diterangkan sebelum ini kerana anak menantu yang dimaksudkan mahram sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an itu ialah suami atau isteri kepada anak kandungnya.
Begitu juga nisbahnya kepada menantu tiri, menantu tiri juga perlu mengetahui bahawa suami kedua kepada ibu isterinya (bapa tiri isteri) atau isteri kedua kepada bapa isterinya (ibu tiri isteri) adalah tidak dikategorikan sebagai mahram kepadanya kerana mertua yang dimaksudkan mahram sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an itu ialah bapa kandung atau ibu kandung kepada isteri.
Dengan ini jelaslah bahawa kedudukan mertua kandung adalah tidak sama dengan mertua tiri. Mertua kandung merupakan mahram, manakala mertua tiri adalah ajnabiy.
Begitu juga kedudukan anak menantu kandung adalah tidak sama dengan anak menantu tiri. Anak menantu kandung merupakan mahram, manakala anak menantu tiri adalah ajnabiy.
Apa yang penting dan perlu diambil perhatian ialah hubungan di antara mertua tiri dengan menantu tirinya adalah seperti hubungan sesama orang asing yang bukan mahram. Ini bererti mereka wajib menjaga batasan pergaulan sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘, walaupun bernaung di bawah satu bumbung.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14751
دليل الألوان
