Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Hirâbah: Dosa Dan Jenayah Besar Yang Boleh Membawa Hukuman Mati

الجواب

Definisi Hirâbah

Hirâbah bermakna suatu perbuatan merampas harta orang lain dengan kekerasan atau ugutan hendak menggunakan kekerasan yang dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan orang yang bersenjatakan apa-apa jenis senjata atau alat yang boleh digunakan sebagai senjata.

Tidak disyaratkan dalam hirâbah itu sama ada penjenayah melakukan jenayah tersebut secara berseorangan ataupun secara berkumpulan. Tidak juga disyaratkan bahawa si penjenayah itu adalah lelaki ataupun perempuan. Begitu juga tidak disyaratkan dalam hirâbah itu pembunuhan mahupun kecederaan telah berlaku ataupun harta yang dirompak itu sampai nishâb.

Selagimana rompakan itu dilakukan dengan kekerasan atau dengan ugutan hendak menggunakan kekerasan, dan ia dilakukan dengan menggunakan senjata atau apa sahaja alat yang boleh digunakan sebagai senjata, sama ada ia dilakukan oleh orang perseorangan ataupun secara berkumpulan, lelaki ataupun perempuan, berlaku pembunuhan ataupun tidak, berlaku kecederaan ataupun tidak, harta yang dirompak sampai nishâb ataupun tidak, maka jenayah tersebut dinamakan atau dikategorikan sebagai hirâbah.

Hukum dan Balasan Melakukan Jenayah Hirâbah

Hirâbah tidak syak lagi adalah satu perlakuan haram dan merupakan satu dosa besar. Ia termasuk dalam bahagian jenayah yang dikenakan hukuman hadd dengan kesepakatan para fuqahâ’. Dalam al-Qur’an, perlakuan hirâbah dianggap dan digelarkan sebagai perlakuan memerangi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya serta membuat kerosakan di muka bumi.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Mâ’idah ayat 33:

Tafsirnya: Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi (dengan menyamun dan merompak) ialah dengan dibalas bunuh, atau dipalang atau dipotong tangan-tangan mereka serta kaki-kaki mereka dengan bersilang atau dibuang negeri (tempat kediaman mereka). Hukuman yang demikian itu adalah suatu penghinaan kepada mereka di dunia dan di akhirat kelak bagi mereka azab yang besar. (Surah al-Mâ’idah: 33)

Perumpamaan jenayah hirâbah sebagai satu perlakuan memerangi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya serta membuat kerosakan di muka bumi adalah satu perumpamaan yang sangat dahsyat di mana ia jelas menggambarkan bahawa perlakuan hirâbah itu adalah satu jenayah yang sangat besar dan berat.

Pelaku jenayah hirâbah ini, yang tergamak menggunakan kekerasan serta senjata untuk merampas hak dan harta benda orang lain, adalah mereka yang sangat malang. Selain kecaman dalam al-Qur’an, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri telah menafikan mereka ini sebagai umat Baginda. ‘Abdullah bin ‘Umar, Salamah bin al-Akwa‘, Abu Musa al-Asy‘ari dan Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhum meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang menghunus senjata ke atas kami, maka dia bukanlah sebahagian daripada kami. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penafian sebagai umat Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam atau umat Islam ini merupakan satu amaran serta kecaman atas perbuatan melampau mereka yang bertindak menyebabkan ketakutan di kalangan orang ramai serta satu peringatan kepada semua supaya menjauhi jenayah seumpama itu.

Ini kerana sebagai umat Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam atau umat Islam, hak mereka sesama Muslim sepatutnya adalah saling membantu, mempertahankan dan memberikan perlindungan di antara satu dengan yang lain. Bukannya merompak, membunuh, mencederakan, menggugat keamanan dan keselamatan atau menimbulkan ketakutan di kalangan mereka. Amaran ini jelas menunjukkan betapa beratnya perlakuan jenayah tersebut dan satu dalil jelas bahawa ia adalah suatu yang haram.

Hukuman Hadd bagi Jenayah Hirâbah

Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa jenayah hirâbah merupakan jenayah yang dikenakan hukuman hadd. Jenayah hirâbah tidak syak lagi merupakan satu jenayah yang sangat berat dan merbahaya. Oleh itu, pelakunya dikenakan hukuman hadd yang sangat berat juga jika jenayah hirâbah itu ditsabitkan dengan dua cara: 1. Iqrâr (pengakuan bersalah) oleh tertuduh sendiri, ataupun

2. Syahâdah (keterangan saksi mengikut hukum syara‘), selain daripada keterangan mangsa.

Sekiranya didapati tsabit kesalahan jenayah hirâbah itu melalui salah satu cara di atas atau kedua-duanya sekali, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menetapkan hukuman hadd berikut ke atas mereka sepertimana yang dinyatakan dalam ayat 33 surah al-Mâ’idah:

1. Hukuman hadd bunuh dan salib.

Hukuman hadd ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirâbah itu pembunuhan berlaku, yakni mangsa hirâbah terbunuh dan harta yang dirompak atau diambil pula cukup nishâb ataupun lebih.

Dalam kes seumpama ini, walaupun harta yang dirompak atau diambil cukup nishâb, hanya hukuman hadd bunuh dan salib sahaja yang akan dijalankan ke atas pesalah. Adapun hukuman hadd potong tangan kanan dan kaki kiri pula tidak akan dikenakan.

Pelaksanaan hukuman hadd salib atau palang selepas dibunuh ini bertujuan sebagai balasan atas perbuatan melampau mereka serta sebagai pengajaran dan amaran bagi yang lain supaya menjauhi jenayah ini.

Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, hukuman hadd salib ini hendaklah dilaksanakan selepas pelaksanaan hukuman hadd bunuh. Ini kerana jika hukuman hadd salib itu dilaksanakan sebelum hukuman hadd bunuh, ia merupakan suatu penyeksaan yang ditegah oleh syara‘.

Selepas hukuman hadd bunuh dilaksanakan ke atas pesalah jenayah hirâbah, jenazahnya hendaklah dimandikan, kemudian dikafankan dan seterusnya disembahyangkan terlebih dahulu. Selepas itu barulah jenazah pesalah hirâbah itu disalib pada kayu atau seumpamanya selama tiga hari tiga malam supaya perkara jenayah dan hukumannya itu diketahui umum agar orang ramai mengambil i‘tibâr dan pengajaran daripadanya. Bagaimanapun, jika jenazah itu berubah ataupun mereput sebelum sampai tiga hari, menurut pendapat yang ashah hendaklah ia diturunkan.

Bagaimanapun, dalam konteks Negara Brunei Darussalam, atas dasar mashlahah, Majlis Ugama Islam Brunei telah bersetuju untuk meniadakan hukuman hadd salib ini.

2. Hukuman hadd bunuh.

Hukuman hadd ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirâbah itu pembunuhan berlaku, yakni mangsa hirâbah terbunuh walaupun harta tidak diambil ataupun harta diambil akan tetapi kurang daripada nishâb.

3. Hukuman hadd potong pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lal.

Hukuman hadd ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirâbah itu cuma harta yang dirompak atau diambil sahaja yang sampai nishâb ataupun lebih, akan tetapi tidak ada pembunuhan berlaku.

Adapun nishâb atau nilai yang dikenakan hukuman hadd sepertimana yang termaktub dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah ialah 1 dinar, iaitu 4.25 gram emas ataupun nilainya dalam matawang tempatan pada masa kesalahan dilakukan. Jadi jika harga pasaran 1 gram emas ialah 80 ringgit Brunei, maka kadar nishâb curian atau rompakan yang dikenakan hukuman hadd dalam mata wang Brunei Darussalam adalah 340 ringgit Brunei.

Hukuman hadd potong pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lali ini adalah dikira satu hukuman hadd dan perlu dilaksanakan kedua-duanya. Dalam makna, apabila semasa melakukan jenayah hirâbah itu cuma harta yang diambil yang sampai nishâb ataupun lebih, akan tetapi tidak ada pembunuhan berlaku, maka jika tsabit kesalahan, kedua-dua pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lalinya akan dipotong. Dari itu, kedua-duanya perlu dilaksanakan ke atasnya sama ada secara sekaligus ataupun secara satu persatu.

Hukuman Jenayah Hirâbah dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah

Dengan pelaksanaan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah di Negara Brunei Darussalam, sebagai mendukung kanun atau undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, hukuman hadd bagi jenayah hirâbah ini telah diperuntukkan dalam Bab 63 Akta tersebut seperti berikut:

Hukuman hirabah:

63. (1) Mana-mana orang yang melakukan hirabah dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya dua orang syahid menurut Hukum Syara‘ selain keterangan mangsa setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hadd seperti berikut –

(a) bunuh, jika semasa dia melakukan hirabah itu qatl (pembunuhan) telah berlaku, sama ada mengambil harta atau tidak, sama ada harta yang diambil itu nilainya sampai kepada nisab atau kurang daripada nisab;

(b) (i) potong tangan kanan di pergelangannya dan kaki kiri di buku lali, jika semasa dia melakukan hirabah, harta yang diambil itu nilainya sampai kepada nisab atau lebih;

(ii) apabila kesalahan hirabah itu telah dilakukan bersama oleh lebih daripada seorang, maka hukuman potong tangan dan kaki itu hendaklah hanya dikenakan jika nilai bahagian setiap orang daripada mereka itu adalah sampai kepada nisab atau lebih;

Selain hukuman di atas, turut dinyatakan dalam bab 63(c) akta tersebut bahawa jika jenayah hirâbah itu mengakibatkan kecederaan ke atas mangsa, maka hukuman berikut akan dikenakan menurut jenis kecederaan atau sepertimana yang ditetapkan oleh mahkamah:

i. hukuman balas balik atau hukuman yang serupa bagi kecederaan tersebut (qishâsh), atau;

ii. membayar suatu jumlah tertentu sebagai ganti rugi kepada mangsa kerana kecederaan (arsy).

Hukuman Ta‘zîr dalam Jenayah Hirâbah

Dalam kes jenayah hirâbah, selain daripada peruntukan hukuman hadd di atas, hukuman ta‘zîr juga boleh dikenakan dalam keadaan-keadaan berikut:

1. Bila hukuman hadd potong tangan dan kaki dalam kesalahan jenayah hirâbah tidak dikenakan.

Hukuman hadd potong tangan dan kaki dalam kesalahan jenayah hirâbah tidak akan dikenakan dalam keadaan-keadaan berikut:

i. Jika ia dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukkan di bawah ceraian (1), iaitu ia dibuktikan dengan cara selain daripada: a. Iqrâr oleh tertuduh sendiri, ataupun selain daripada;

b. Syahâdah (keterangan daripada sekurang-kurangnya dua orang saksi mengikut hukum syara‘), selain daripada keterangan mangsa.

ii. Dalam keadaan-keadaan di mana hukuman hadd potong tangan dan kaki mungkin tidak dikenakan dalam jenayah sariqah (curi). Umpamanya jika nilai harta hirâbah itu kurang daripada nishâb, ataupun pesalah itu bukan mukallaf ataupun jika harta yang dicuri adalah sejenis harta yang tidak bernilai dan sebagainya sepertimana yang disebutkan dalam bab 56 akta jenayah sariqah.

Dalam hal hukuman hadd potong tangan dan kaki dalam kesalahan jenayah hirâbah tidak dikenakan sepertimana dalam keadaan-keadaan yang disebutkan di atas, maka jika tsabit kesalahan, hukuman ta‘zîr akan dikenakan, iaitu dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak melebihi 40 sebatan. Hal ini ada disebutkan dalam bab 63(2) dalam akta berkenaan.

2. Percubaan melakukan hirâbah:

Orang-orang yang tsabit kesalahan kerana percubaan melakukan hirâbah atau cuba untuk menyebabkan berlakunya hirâbah tidak akan dikenakan hukuman hadd. Akan tetapi, mereka dikenakan hukuman ta‘zîr. Hal ini ada diperuntukkan dalam bab 65 akta berkenaan seperti berikut:

65. Mana-mana orang yang cuba melakukan hirabah atau cuba untuk menyebabkan berlakunya hirabah adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika sabit kesalahan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun dan disebat tidak melebihi 30 sebatan.

3. Subahat melakukan jenayah hirâbah:

Hukuman melakukan subahat dalam jenayah hirâbah, sepertimana yang diperuntukkan dalam bab 66 dalam akta tersebut adalah seperti berikut:

66. (1) Mana-mana orang yang bersubahat melakukan hirabah di bawah bab 63(1) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika tsabit kesalahan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak melebihi 40 sebatan.

(2) Mana-mana orang yang bersubahat melakukan hirabah di bawah bab 63(2) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika sabit kesalahan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun dan disebat tidak melebihi 20 sebatan.

Ini bermaksud, orang yang bersubahat melakukan jenayah hirâbah, yang mana jenayah tersebut dibuktikan dengan iqrâr tertuduh ataupun syahâdah, maka orang yang tsabit kesalahan bersubahat itu boleh dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 30 tahun dan disebat tidak melebihi 40 sebatan.

Sementara dalam kes jenayah hirâbah itu dibuktikan dengan selain daripada iqrâr tertuduh ataupun syahâdah pula, ataupun dalam keadaan hukuman hadd potong tangan dan kaki tidak boleh dikenakan ke atas pesalah, maka orang yang tsabit kesalahan bersubahat itu boleh dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 15 tahun dan disebat tidak melebihi 20 sebatan.

Demikian beberapa penerangan tentang jenayah hirâbah serta hukuman yang diperuntukkan bagi pesalah jenayah tersebut. Apa yang pasti, undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu Maha Adil dan saksama serta penuh dengan hikmah yang tersendiri. Hukuman yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ peruntukkan bukanlah untuk membalas dendam ataupun melepaskan geram ke atas pesalah, akan tetapi ia sebagai pembela hak dan nasib mangsa serta pengajaran dan iktibar bagi yang lain. Sememangnya Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah itu adalah penjamin keamanan dan kesejahteraan buat semua.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14775

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص